Monday, September 22, 2008

Tips 10 Malam Terakhir

Bulan Ramadhan sudah hampir tiba ke penghujungnya. Wahai muslimin dan muslimat sekalian, rebutlah pahala di sepuluh malam yang terakhir ini sesungguhnya di sepuluh malam yang terakhir ini. “Dimalam itu (Lailatul Qadr) malaikat dan ruh turun dengan izin Tuhan mereka …” (Al-Quran).

Pernah dimalam itu Al-Quran diturunkan dari Luh Mahfuz ke langit dunia, Baitul Izzah. Ramadan 1429H/2008M semakin berakhir. Mukmin sejati semakin menggiatkan ibadah mereka khususnya di seluruh 10 malam terakhirnya, yakin pahala di salah satu dari malam-malam tersebut digandakan pahalanya sebanyak ibadah yang sama dikerjakan selama 1000 bulan! Itulah malam Lailatul Qadar. Pada 10 malam tersebut, demi berebut untuk mendapatkannya, Rasulullah saw mengasingkan dirinya dari isteri-isterinya, beriktikaf di dalam Masjid Nabawi, beribadah dan bermunajat kepada Allah swt sambil diikuti oleh para Sahabat ra. Firman Allah swt bermaksud,

“Sesungguhnya Kami menurunkan (Al-Quran) dalam malam Lailatul Qadr. Tahukah kamu apa itu malam Lailatul Qadr. Malam Lailatul Qadr lebih baik dari 1000 bulan. Malaikat dan ruh turun pada malam itu dengan izin Tuhan mereka dalam semua urusan. Salam (sejahtera) malam tersebut hingga naik fajar” (Al-Quran).

Diantara ibadah-ibadah yang boleh dilakukan ialah qiamulail, puasa fardhu, berbuka, solat Tarawih, tilawah Al-Quran, berdoa, zikir, istighfar, memuhasabah diri, merancang untuk amalan diri, keluarga dan Dakwah dan sebagainya.

Tips

Beberapa tips dalam merebut pahala dan kelebihan malam Lailatul Qadr :

1. Bersedia untuk merebutnya dari sekarang terutama disegi keyakinan, kesungguhan merebut peluang tahunan ini dan merancang kalender harian agar mengosongkan 10 malam-malam terakhir tersebut untuk tujuan itu semata-mata, tidak untuk kesibukan lain.

2. Memahami bahawa dimana jawatan, kedudukan dan kesibukan kita di dunia ini, tujuan utama manusia dijadikan ialah untuk beribadah kepada Allah swt dengan penuh keikhlasan, bersedia untuk “Hari (Akhirat) yang tiada gunanya lagi harta dan anak-anak, melainkan orang yang bertemu Allah dengan hati yang sejahtera” (Al-Quran).

3. Putuskan dari sekarang masjid mana yang akan kita gunakan untuk Iktikaf, siang dan malam, samada sebahagian atau 24 jam sehari. Pastikan AJK masjid tersebut memahami ibadah Iktikaf dan Qiyamullail 10 Malam terakhir agar tidak berlaku masalah pengurusan dengan mereka yang tidak memahaminya.

4. Dapatkan teman agar sama-sama dapat melakukan ibadah tersebut secara berjemaah.

5. Jika anda bekerja dibawah majikan, kenalpasti hari-hari yang akan dimohon cuti agar dapat lebih hari untuk beriktikaf di masjid. Jika anda tidak dapat mengambil cuti kerja, anda boleh cuba berktikaf di masjid sepenuhnya dalam cuti hujung minggu pada hari Sabtu 27/9/2008 dan Ahad 28/9/2008.

6. Jika anda seorang pelajar, cuba habiskan kerja-kerja rumah atau assignments dari sekarang agar tidak tertimbun pada 10 malam terakhir Ramadan. Beli tiket balik kampung lebih awal agar tidak disibukkan mencari tiket nanti.

7. Bersedia untuk Aidil Fitri lebih awal, sebelum 10 Malam Terakhir, agar kita tidak disibukkan nanti dengan membeli belah, memasang langsir, membuat kuih muih, menyiap atau menjahit pakaian Raya dan sebagainya seperti yang sering berlaku pada ramai orang yang kurang memahami dan menghayati kelebihan 10 malam terakhir Ramadan.

8. Memahami bahawa asas perubahan ke arah kebaikan pada seseorang bahkan pada sesebuah umat ialah pembaikan jiwa yang ada di dalam diri masing-masing. Madrasah 10 Malam Terakhir Ramadan yang bakal dilalui boleh turut membantu mencapai kearah perubahan tersebut.

Semoga Allah mengurniakan ketaqwaan kepada kita setelah menjalani ibadah di bulan Ramadan ini. Kita keluar darinya nanti dengan beroleh rahmah, keampunan dan selamat dari api neraka.

Ameen.

Keistimewaan 10 Terakhir Ramadhan

ALANGKAH cepatnya masa berlalu, ketika kita mula merasakan seronok melaksanakan ibadah, Ramadan semakin hampir menutupkan tirainya. Sepuluh hari terakhir Ramadan adalah saat di mana Rasulullah SAW meningkatkan amalan dengan berjaga malam, beriktikaf dan mengejutkan ahli keluarga untuk bersama dengannya.

Berlalunya sebahagian besar dari hari-hari Ramadan sewajarnya menimbulkan kecemasan kepada kita. Apakah selama 19 hari kita berpuasa benar-benar telah menjadikan kita manusia yang bertakwa atau sebaliknya?

Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan maksudnya:

Aisyah r.a meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW apabila masuknya sepuluh malam terakhir (Ramadan) baginda menghidupkan malam, baginda mengemaskan kainnya dan baginda mengejutkan isterinya (yakni tidak bersama dengan isteri).

Hadis ini menceritakan kepada kita bagaimana Nabi SAW bersungguh-sungguh melaksanakan ibadah meskipun baginda tidak melakukan dosa. Namun baginda telah memberikan satu contoh tauladan yang baik kepada umatnya di dalam menghayati sepuluh hari terakhir Ramadan.

Panduan yang diberikan oleh baginda ini menggambarkan betapa tinggi nilainya saat yang kita lalui sekarang. Menjadi suatu yang amat malang sekiranya kita semakin lemah dan cuai dalam melakukan ibadah meskipun Ramadan semakin hampir meninggalkan kita.

Imam Muslim juga meriwayatkan maksudnya: Aisyah r.a berkata: Bahawa Nabi SAW bersungguh-sungguh (beribadat) pada 10 malam terakhir tidak seperti mana (di bulan) selainnya.

Contoh yang ditinggalkan kepada kita oleh baginda SAW wajar dijadikan pedoman di dalam mengisi hari-hari terakhir Ramadan ini. Sepatutnya waktu ini tidak dihabiskan dengan menonton televisyen atau mengunjungi pusat-pusat membeli belah. Kerana inilah fenomena yang sering kita lihat.

Kelebihan 10 malam terakhir seolah-olah tidak langsung diambil kira. Malah lebih mendukacitakan, ada di kalangan muda-mudi Islam yang keluar malam ke taman-taman untuk memadu kasih tanpa rasa berdosa dan malu.

Sepatutnya bapa sebagai ketua keluarga mengambil berat soal membudayakan suasana ibadah khususnya pada 10 malam terakhir ini. Anak-anak perlukan satu panduan dan contoh dari ibu bapa.

Sebaliknya jika ibu bapa turut serta mengabaikan ibadah di penghujung Ramadan maka tidak hairanlah anak-anak tidak berminat untuk mengerjakan solat tarawih sebaliknya datang ke masjid atau surau hanya untuk membuat bising dan bermain mercun.

Apa yang dimaksudkan dengan baginda SAW menghidupkan malam dan mengemaskan kain sarungnya ialah sebagai satu gambaran bagaimana bersungguhnya baginda menumpukan saat ini dengan ibadah sehinggakan baginda tidak bersama dengan isteri untuk 10 malam terakhir ini.

Kesungguhan ini didorong pula dengan kelebihan sepuluh malam terakhir yang dijanjikan dengan kehadiran malam Al-Qadr atau Lailatulqadar.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: (Sesungguhnya kami Telah menurunkannya (Al Quran) pada malam kemuliaan, Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan). (al-Qadr: 1-3)

Malam al-Qadr sengaja dirahsiakan oleh Allah Taala sebagai satu ujian kepada umat Islam di dalam mencari rahmat dan kasih-Nya. Bagi mereka yang benar-benar beriman keghairahan mencari reda Allah menjadikan mereka begitu teruja meningkatkan pencarian ganjaran berlipatganda yang dijanjikan oleh Allah SWT.

Sebaliknya bagi mereka yang alpa, saat-saat ini seringkali dipenuhi dengan aktiviti persiapan hari raya yang menyibukkan mereka hingga terlupa promosi istimewa pelepasan azab neraka yang dijanjikan oleh Allah di penghujung Ramadan.

Antara amalan yang boleh dilakukan bagi menghidupkan sepuluh hari terakhir Ramadan ialah menghidupkan malam dengan solat malam seperti tahajud, hajat, taubat dan juga berzikir kepada Allah . Juga digalakkan supaya mengejutkan ahli keluarga supaya bersama-sama menghidupkan malam dengan amal ibadah.

Ibu bapa wajar mengajak anak-anak yang sudah dewasa khususnya bersama berqiamullail dan jangan biarkan mereka lena. Bagi memudahkan mereka bangun bersama pastikan mereka dapat tidur lebih awal.

Bagi suami isteri 10 malam terakhir tidak digalakkan untuk bersama kerana Nabi SAW diberitakan bahawa baginda mengemaskan ikat kainnya yakni tidak bersama dengan isteri kerana disibukkan dengan amal ibadah.

Amalan beriktikaf juga wajar diteruskan di penghujung Ramadan ini iaitu dengan memperbanyakkan duduk di masjid untuk beribadat kepada Allah . Kata Imam Az-Zuhri:

Maksudnya: “Suatu yang pelik bagi kaum muslimin mereka meninggalkan amalan iktikaf sedangkan Nabi SAW tidak pernah meninggalkannya semenjak baginda tiba di Madinah (hijrah) hingga ia meninggal dunia”.

- ZURIDAN MOHD. DAUD ialah Pengarah Pusat Islam dan Pembangunan Insan, Universiti Malaysia Pahang.

Friday, September 19, 2008

Separuh Masa Kedua Piala Taqwa!

“Wahai orang-orang yang beriman, puasa telah diwajibkan ke atas kamu sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas generasi sebelum kamu, mudah-mudahan (dengan puasa itu) kamu bertaqwa” [al-Baqarah 2: 183]

Sahabat,

Kita sudah pun masuk ke separuh kedua bulan Ramadhan. Separuh kedua ini biasanya adalah pusingan penentu. Jika kita umpamakan Ramadhan ini seperti perlawanan bola sepak, separuh masa kedua bukan lagi ruang untuk cuba-cuba mengintai pihak lawan, berkhayal mencari strategi dalam bayangan atau sekadar berlari turun naik padang tanpa arah tujuan. Semua orang sudah mesti tahu apa peranan masing-masing dan sudah tiba masanya untuk bertindak dan menyerang.

Apakah jaringan kita setakat separuh masa kedua ini?

Andai masih 0-0, perlu dikaji apa yang tidak kena. Maksiat kita tinggalkan, tapi kebaikan tidak kita lakukan. Tambah-tambah lagi jika maksiat ditinggalkan hanya semata-mata “rakan syaitan jin dan manusia” tertambat dan bukannya kerana dorongan mahu mendampingi Tuhan. Jangan lupa, buat sesuatu kerana selain Allah itu riya’, meninggalkan sesuatu kerana selain Allah juga adalah riya’.

Andaikata kita sudah mendahului dengan jaringan 1-0, syukurlah kepada Allah. Namun kita belum selamat. Pasukan Nafsu masih terlalu hampir untuk membuat jaringan persamaan, mereka tidak henti-henti menyerang sedangkan pertahanan kita semakin keletihan. Tambahkanlah bilangan bola yang berjaya dibawa melepasi pertahanan Pasukan Nafsu yang degil itu. Biar jarak kemenangan kita itu berada di zon selamat, bukan sentiasa di atas urat.

Tambah-tambah dekat nak Raya, penyokong pasukan nafsu semakin bersesak-sesak masuk ke gelanggang. Pekiknya makin menggerunkan. Jangan pula kalian lemah semangat kerananya. Kita pasukan Tuan rumah, harus menang sekurang-kurangnya di gelanggang sendiri.

Namun, kalau sudah masuk pusingan kedua, masih lemah ditinggalkan masa, hubaya hubaya… kamu di ambang kekalahan. Piala Taqwa itu bakal jatuh ke tangan orang lain, iaitu ke tangan Pasukan Nafsu yang memang diketahui tidak kenal dan kenang nilai Piala Taqwa. Ia hanya mahu mengalahkan pasukan kita, ia hanya mahu melihat Piala Taqwa itu tidak berada di tangan kita.

Apakah musim depan kita masih berpeluang untuk masuk gelanggang? Tiada seorang pun yang berani memberikan jawapan, bahkan jurulatih terhandal pun tahu masa yang ada di tangan kita hanyalah sekarang. Masa lalu telah berlalu, masa hadapan tak pasti kesampaian. Dan masa sekarang yang ada di tangan kita, hanya tinggal separuh masa kedua… apakah masih ada ruang untuk berlengah?

“Jibril datang kepadaku dan berkata, ‘Wahai Muhammad, siapa yang menjumpai bulan Ramadhan, namun setelah bulan itu habis dan ia tidak mendapat ampunan, maka jika mati ia masuk Neraka. Semoga Allah menjauhkannya. Katakan: Amin!. Aku pun mengatakan: Amin! ” (HR. Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dalam Shahihnya)

Hasil nukilan Ustaz Hasrizal

Teladani Puasa Rasulullah s.a.w

AL-QURAN sebagai kalamullah telah mengabadikan Rasulullah SAW sebagai utusan Allah dan penutup sekelian nabi. Sebagai nabi terakhir, baginda merupakan uswatun hasanah (contoh teladan) yang baik kepada umatnya.

Dalam ibadat puasa Ramadan, Rasulullah telah menunjukkan teladan yang terbaik untuk diikuti oleh umatnya. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud:

Apabila seorang dari kamu sekelian berpuasa, maka janganlah ia berkata kotor dan berteriak. Bila dicela orang lain atau dimusuhi, maka katakanlah - sesungguhnya aku ini sedang berpuasa. (riwayat Bukhari)

Sebagaimana penjelasan baginda Rasulullah sendiri bahawa orang yang berpuasa itu pada hari kiamat nanti bau mulutnya akan lebih harum dari bau kasturi.

Sama-sama kita renungi beberapa tatacara dan adab puasa yang telah diamalkan oleh baginda sebagai teladan dan iktibar untuk diikuti oleh semua umatnya.

Dalam penyempurnaan ibadat puasa Ramadan, beberapa langkah yang diambil oleh baginda antaranya:

- Memantapkan niat - Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak menetapkan akan berpuasa sebelum fajar, maka tidak sah puasanya”. (riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

- Melaksanakan makan sahur - Anas bin Malik r.a. berkata telah bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sahurlah kamu sekelian, sesungguhnya dalam sahur itu ada keberkatannya. (riwayat Muslim).

Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani yang dimaksudkan dengan berkat itu ialah ganjaran pahala dari Allah . Sahur akan menguatkan lagi semangat dalam berpuasa serta dapat membantu seseorang itu untuk melakukan apa juga bentuk ibadat sepanjang ibadat puasa dilaksanakan.

- Imsak Rasulullah - Rasulullah bersabda: “Apabila salah seorang dari kamu mendengar azan subuh padahal bekas minuman masih di tangannya, maka janganlah ia meletakkannya sehingga dia menyelesaikan meminumnya”. (riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).

Keadaan yang digambarkan oleh hadis tersebut ialah kepada seseorang yang terlewat ketika bangun untuk makan sahur.

- Mempercepat berbuka - Sahl bin Saad berkata sesungguhnya Rasulullah telah bersabda: Telah berfirman Allah SWT “hamba-hamba-Ku yang lebih aku cintai ialah mereka yang segera berbuka puasa bila tiba masanya”. (riwayat Tirmizi dan Abu Hurairah).

- Memperbanyak membaca al-Quran - Rasulullah bersabda yang bermaksud: Orang-orang yang berkumpul di masjid dan membaca al-Quran, maka kepada mereka Allah akan menurunkan kelemahan batin dan limpahan rahmat. (riwayat Muslim).

Sesiapa yang membaca satu huruf al-Quran, maka pahala untuknya 10 kali ganda. Namun membaca dalam konteks hadis di atas adalah ketenangan dan limpahan rahmat akan lebih mudah dicapai bila tadarrus diertikan dengan mempelajari, menelaah dan menikmati al-Quran.

- Memperbanyak sedekah - Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadan. Bersedekah bukan hanya memberi wang, tetapi termasuklah mengajak orang lain berbuka puasa di rumah kita terutama kepada golongan fakir miskin.

- Orang yang berpuasa wajib meninggalkan akhlak yang buruk. Segala tingkahlaku mestilah mencerminkan budi yang luhur dengan menjauhi kelakuan tidak sopan seperti mengumpat, mengeji dan sebagainya sehingga membawa kepada Allah tidak menerima amalan puasanya itu.

Terdapat beberapa kes yang berlaku pada zaman Rasulullah berkaitan ibadat puasa ini sebagai iktibar kita bersama. Antaranya ialah:

“Orang yang berpuasa tetapi berjunub pada awal pagi - Aisyah dan Ummu Salamah berkata sesungguhnya Nabi SAW pernah bertemu dengan waktu fajar dalam keadaan baginda berjunub. Baginda kemudian mandi dan berpuasa” Dari Aisyah r.a. berkata, “Aku menyaksikan Rasulullah SAW bangun pagi-pagi untuk mandi kerana berjunub, bukan kerana mimpi, kemudian baginda berpuasa pada hari itu”.

- Mencium isteri - Orang yang berpuasa boleh mencium isteri. Aisyah r.a. berkata, Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah mencium sebahagian isteri-isterinya, padahal baginda berpuasa.

Orang yang berpuasa boleh menyentuh dan mencium isterinya selagi dia dapat mengawal nafsunya. Jika dirasakan ia boleh membawa kepada berlakunya persetubuhan atau terkeluarnya air mani, maka eloklah ia ditinggalkan.

- Makan dan minum kerana lupa - Abu Hurairah r.a. berkata Nabi telah bersabda yang bermaksud: Apabila ia (orang berpuasa) lupa lalu makan dan minum tanpa disengajakan, hendaklah ia terus menyempurnakan puasanya kerana Allahlah yang telah memberi makan dan minum kepadanya. (riwayat Bukhari)

- Orang yang meninggal dan berhutang puasa - Aisyah r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang meninggal dan punya hutang puasa hendaklah walinya berpuasa untuknya. (riwayat Bukhari dan Muslim)

- Orang musafir - Orang yang bermusafir dibenarkan untuk berbuka puasa jika ia tidak mampu untuk meneruskannya. Aisyah meriwayatkan bahawa Abu Hamzah al-Aslami berkata kepada Nabi, “bolehkah aku berpuasa di dalam musafir?” Lalu jawab baginda, “Jika kamu ingin berpuasa, berpuasalah. Jika engkau ingin berbuka, berbukalah!”.

Rugi rasanya jika kita membiarkan Ramadan yang sedang kita tempuhi ini berlalu begitu saja sedangkan ganjaran yang sedang menanti adalah terlalu banyak menanti.

Lakukan sesuatu yang terbaik di sisi Allah .

“Wahai orang yang melakukan kebajikan terus tingkatkan apa yang kamu lakukan itu. Wahai orang yang lalai, hentikanlah segera akan kelalaian yang sedang engkau lakukan. Mudah-mudahan Allah akan menunjukkan kita semua jalan yang lurus, menghapuskan dosa dan memasukkan kita dalam golongan manusia yang bebas dari api neraka”.

Wednesday, September 17, 2008

Suburkan Sedekah

TANGAN yang memberi lebih mulia daripada tangan yang menerima. Sekecil mana sumbangan yang dihulurkan, ia cukup bermakna kepada si penerima yang hidup serba kekurangan, malah ‘buah tangan’ yang tidak seberapa itu mampu menerbitkan senyuman, walaupun cuma untuk seketika.

Islam sangat menggalakkan umatnya membantu mereka dalam kesempitan. Nas daripada al-Quran dan hadis Nabi s.a.w jelas menganjurkan umat Islam menghidupkan amalan sedekah, kerana banyak manfaatnya.

Sedekah adalah perkataan berasal daripada bahasa Arab, iaitu sadaqah yang turut diguna pakai dalam bahasa Malaysia. Maksud yang sama ialah menderma, membelanjakan wang atau memberikan sesuatu kepada pihak lain dengan hati yang ikhlas, tanpa mengharapkan sebarang imbalan.

Dan belanjakanlah (dermakanlah) sebahagian daripada rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang daripada kamu sampai ajal kepadanya, (kalau tidak) maka ia (pada saat itu) akan merayu dengan berkata: Wahai Tuhanku alangkah baiknya kalau engkau lambatkan kedatangan ajal matiku ke suatu masa yang sedikit saja lagi, supaya aku dapat bersedekah dan dapat pula aku menjadi orang yang soleh.” (al-Munafiquun: 10)

Sedekah umumnya terbahagi dua iaitu sedekah wajib (zakat) dan sedekah sunat. Ditekankan di sini ialah sedekah sunat dipandang ringan sesetengah pihak, tetapi sebenarnya ia memberikan manfaat yang besar, seperti dapat meringankan beban dan penderitaan si penerima, khususnya di kalangan orang fakir, miskin dan anak yatim.

Bagi pemberi sedekah, setidak-tidaknya dengan pemberian itu diharapkan dapat menebus dosanya dan memberikan ketenangan, malah yang lebih utama mendapat ganjaran berkali ganda di sisi Allah , seperti dijelaskan Allah pada ayat 261, surah al-Baqarah, bermaksud:

Bandingan (pemberian) orang yang membelanjakan har tanya pada jalan Allah , sama seperti sebiji benih yang tumbuh mengeluarkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula me ngandungi seratus biji. Dan (ingatlah), Allah akan me lipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah Maha Luas (rahmat) kurnia-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.” (al-Baqarah:261)

Amalan bersedekah daripada satu sudut menggambarkan sifat insani, kemurahan hati dan keluhuran budi seorang manusia.

Tidaklah dikatakan seseorang manusia itu kaya perike manusiaannya jika tiada di dalam jiwanya sikap prihatin dan kasihan belas kepada sesama manusia, yang menggerakkan hatinya untuk memberikan pertolongan sekadar kemam puannya.

Cuma disebabkan golongan fakir miskin tidak menzahirkan keperluannya, atas alasan segan, perasaan rendah diri dan ingin menjaga maruah, membuatkan sesetengah pihak me nyangka tiada pihak yang berada dalam kesempitan.

Malah, dengan kefahaman samar sesetengah pihak yang kerap membuat tafsiran dan andaian sendiri terhadap takrif fakir serta miskin, ia sedikit sebanyak menjejaskan amalan bersedekah, kerana apabila disangka tidak ada yang layak untuk menerima sumbangan, tiadalah amalan sedekah.

Ini belum lagi termasuk sifat keakuan individu tertentu yang mendakwa harta diperolehnya adalah miliknya seorang, kerana beralasan dia yang bersusah payah bekerja siang dan malam. Tetapi hakikatnya, harta terbabit adalah kurniaan daripada yang Maha Kaya melaluinya dan ia berupa pinjaman untuk dikongsi sebagai bekal di dunia.

Jika menurut penjelasan Imam Syafie Rahimahullah ‘Orang fakir ialah orang yang tidak berharta dan tidak ada mata pencarian (sumber rezeki), manakala orang miskin pula ialah orang yang ada harta (ala kadarnya) atau ada mata pencarian tetapi tidak mencukupi sara hidupnya’.
Baginda Rasulullah s.a.w menerangkan golongan yang dikatakan fakir miskin, seperti dalam satu hadis daripada Abu Hurairah r.a, maksudnya:

Orang fakir miskin (yang sangat menderita) bukanlah orang yang (menadah tangan) meminta-minta ke sana ke mari kepada orang ramai, yang apabila ia mendapat satu atau dua suap makanan atau mendapat sebiji atau dua biji buah kurma - ia akan pergi ke tempat lain meminta lagi. Se benarnya orang fakir miskin (yang sangat-sangat menderita) itu ialah orang yang tidak mempunyai sesuatu yang men cukupi sara hidupnya. Dan ia pula malu hendak meminta bantuan kepada orang ramai dan orang ramai pula tidak mengetahui keadaan penderitaannya untuk diberi bantuan.” (Hadis sahih, riwayat Imam Ahmad).

Justeru, menjadi tanggungjawab kepada penderma atau pihak berkenaan untuk mengenal pasti orang fakir dan miskin terlebih dulu bagi memastikan sumbangan amal yang diberikan kena pada sasarannya, sekali gus mencapai mat lamatnya iaitu meringankan mereka yang kesempitan.

Pada zaman moden ini, antara kaedah yang diguna pakai bagi melakukan penilaian terhadap golongan fakir dan miskin ialah pendapatan isi rumahnya dan ia berbeza mengikut lokasi, di kota dan desa kadarnya adalah berlainan, kerana kos hidup di kota lebih tinggi berbanding di kampung.

Bagi Malaysia, sebuah negara dihuni masyarakat majmuk, berbilang bangsa dan budaya, dengan penduduk Muslim berkongsi hidup bersama bukan Muslim, kemiskinan bukan hanya membabitkan orang Islam, malah ada antaranya di kalangan bukan Muslim.

Dalam situasi ini, apakah orang Islam juga dibenarkan untuk memberikan bantuan atau sumbangan kepada orang fakir dan miskin di kalangan bukan Muslim, terutama di kalangan sahabat handai dan mereka yang tinggal berjiran?

Seorang cendekiawan Muslim, Sheikh Ahmad Kutty, dipetik sebagai berkata: “Islam menggalakkan pemberian sedekah kepada semua manusia, tanpa mengira perbezaan agama, kaum, warna atau bahasa.”

Menurutnya, Nabi Muhammad s.a.w ada membantu orang bukan Muslim (jahiliah) di kalangan yang menentangnya dan mereka tidak menghalangnya untuk memberikan bantuan dalam memenuhi keperluan yang mendesak.

Mereka juga memberi makan benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan.

Sesungguhnya kami memberi makan kepadamu kerana Allah semata-mata. Kami tidak menghendaki sebarang ba lasan darimu atau ucapan terima kasih.” (al-Insaan:8-9)

Beliau berkhidmat sebagai pensyarah kanan Institut Islam Toronto, Ontario, Kanada, menjelaskan, orang Islam ber tanggungjawab untuk memberikan bantuan kepada jiran atau rakan di kalangan bukan Muslim.

Katanya, Nabi s.a.w ada bersabda, maksudnya: “Sekiranya seseorang tidur dengan perut kosong, jaminan perlindungan Allah akan jauh daripadanya.”

“Jadi, mari kita sama-sama menentang kemiskinan dan membantu mereka yang memerlukan bantuan tanpa mengira perbezaan agama, kaum atau etnik, warna kulit atau bahasa.

“Semoga Allah memasukkan kita di kalangan mereka yang digambarkan Nabi s.a.w, umat yang terbaik ialah mereka suka menolong hamba Allah ,” katanya.

Cuma, menurut fatwa yang pernah dikeluarkan negeri Johor hendaklah didahulukan bersedekah kepada saudara di ka langan orang Islam sebelum bersedekah kepada orang bukan Islam.

Alangkah indah Islam sebagai agama universal, yang mem berikan manfaat kepada semua pihak termasuk bukan Islam, sekali gus mencerminkan keluhuran budi umat Islam itu sendiri.

Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agamamu, dan tidak mengeluarkan kamu dari kam pung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.

Sesungguhnya Allah hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halamanmu, serta mereka membantu (orang lain) untuk mengusir kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang yang zalim.” (al-Mumtahanah:8-9)

Monday, September 15, 2008

Ramadhan : Batalkah Puasa Anda Jika...

Ulama terbilang dunia ketika ini, Dr Yusoff Al-Qaradhawi pernah menyebut dan meluah rasa kurang setuju beliau dengan tindakan para ulama yang terlalu meluaskan perbuatan yang membatalkan puasa. Beliau lebih setuju untuk mengecilkan skop dan ruang lingkup pembatalan puasa kepada perbuatan yang benar-benar terdapat dalil tepat dari al-Quran, al-Hadith dan disepakati ulama sahaja.

Beliau berpendapat perbincangan panjang lebar oleh ulama silam, antaranya para ulama dari mazhab Hanafi dan ulama mazhab-mazhab lain menyebut sekitar 57 bentuk perbuatan yang membatalkan puasa adalah adalah tindakan yang kurang sesuai. Malah ia juga amat digemari oleh ulama masa kini sehingga terdapat yang menghabiskan masa begitu lama untuk merangka fatwa, berijtihad dan meletakkan kaedah bagi sesuatu perbuatan. Adakalanya ia adalah isu yang tidak memerlukan perhatian begitu mendalam.

Masalah ini dilihat semakin bertambah, apabila ijtihad dalam bab ini semakin bercambah hingga menyebabkan kesukaran orang kebanyakkan (awam) menjalankan ibadah ini dengan tenang kerana perincian perbuatan yang membatalkan puasa amat cabang (furu') dan terlampau banyak. Ia menyebabkan orang awam yang terhad kemampuan, masa dan rujukan sering berada dalam kebimbangan dengan isu batal dan tidak batal puasa ini. Lebih dikesali adalah perbincangan tentang ini juga ada meninggalkan perbincangan yang lebih besar berkenaan Ramadhan. (Taysir al-Fiqh - Fiqh As-Siyam, hlm 86-87)

Sebagai contoh, antara isu terbesar yang patut diberikan fokus mendalam di waktu Ramadhan adalah :-

1) Raih Taqwa : Firman Allah yang mengarahkan kita berusaha meraih taqwa di dalam bulan ini. Perbincangan berkenaan kaedah, cara dan cabaran yang boleh menghalang kita mencapai target ini perlu diberikan perhatian lebih.

2) Bulan Ingatan Fungsi Al-Quran : Firman Allah yang menyebut bahawa Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan ini sebagai petunjuk, dan bukti kebenaran petunjuk dan pembeza di antara haq dan yang batil. Justeru perbincangan berkenaan kemestian umat Islam kembali kepada Al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk berjaya sebagai golongan bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu diperhebat.

3) Amaran Terhadap Pengikis Pahala Ramadhan Yang 'Confirmed' : Sabda-sabda Nabi berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa Ramadhan seperti bercakap kotor, nista, carut dan perbuatan jahat dan keji di waktu bulan ini. Ia perlu dipertekankan kerana ia adalah perkara yang disepakati bakal merosakkan pahala puasa seseorang walaupun ia tidak sampai membatalkan zahir puasanya.

4) Kaedah Penambah Pahala & Redha Allah di Bulan Ramadhan Yang 'Confirmed': Sabda-sabda Nabi yang mengandungi janji-janji dan tawaran Allah di bulan ini juga perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke Syurga Allah sekaligus melemahkan fungsi Syaitan dan nafsu amarah yang sentiasa ingin mengajak kepada kemaksiatan.

Adapun isu perkara yang membatalkan puasa, sewajarnya ditumpukan kepada hukum yang disepakati sahaja. Justeru, larangan yang disepakati tatkala puasa adalah menahan nafsu syahwat, menanggung lapar dan dahaga serta menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah. Inilah yang dijelaskan dari al-Quran dan as-sunnah, demikian juga menjauhi kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi kerana Allah. Ia disebut di dalam ayat al-Baqarah : 187 dan disokong oleh hadith-hadith yang banyak.

Merokok, keluar darah haid atau nifas dan hilang aqal adalah dipersetujui secara sepakat ulama membatalkan puasa.

Adapun yang tidak disepakati, boleh dibincangkan cuma jangan sampai ia mengambil perhatian utama kita apabila berada di dalam Ramdhan. Sebagai panduan, berikut disertakan beberapa hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai :-

1) Darah keluar dari tubuh ; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain.

Hukumnya : Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar' dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215). Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia telah di pinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wida' dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majority mazhab kecuali Hanbali. ( Bidayatul Mujtahid, 1/247)

2) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.

Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.

Hukumnya : Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja' atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.

3) Pil elak haid untuk puasa penuh :

Hukumnya : Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa.

4) Penyembur gas untuk pesakit lelah :

Hukumnya : Baru-baru ini pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa di Putrajaya ada membincangkan isu ini. Tidak dinafikan ia satu isu yang amat kerap dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka berbeza pandangan apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak.

Menurut kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa. Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Juali 2007 baru-baru ini, tetapi kemudiannya mereka menarik balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan datang.

Bagaimanapun para ulama masih bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat kerana Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut. Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226)

5) Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal:

Hukumnya : Terdapat dua jenis : samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, pain killer dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100 ; ‘Uqlah , hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.

Berkenaan suntikan makanan, air seperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan : Pandangan majoriti adalah : Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercangah dengan hikmah puasa. Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar'iyyah, hlm 268 ; Yasalunaka, 5/53 dll ).

Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.

6) Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu.

Hukumnya : Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di ketika puasa dalah lebih baik.
Ia berdasarkan hadith : "Sempurnakan wudhu , basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa ( Riwayat Abu Daud , no 142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi ; albani ; Sohih).

7) Melakukan Maksiat seperti tidak solat :

Hukumnya : Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramdhan. Pahala puasanya pula akan terhapus Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa dan jauh dari maksiat. (Qaradawi, hlm 104) Nabi bersabda : "Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah" (Riwayat Ibn Hibban)

8) Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa

Hukumnya : Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama.
Ia berdasarkan beberapa dalil antaranya :-

كان رسول اللَّهِ يُقَبِّلُ وهو صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وهو صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كان أَمْلَكَ لِإِرْبِهِ

Ertinya : "Nabi S.a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan nafsunya" (Riwayat Abu Daud, 2/311 ; Syuaib arnaout : Sohih)

Dan satu lagi adalah : -

فجاء شاب فقال أقبل يا رسول الله وأنا صائم قال لا قال فجاء شيخ فقال أقبل وأنا صائم قال نعم قال فنظر بعضنا إلى بعض فقال النبي قد علمت لم نظر بعضكم إلى بعض إن الشيخ يملك نفسه رواه أحمد والطبراني في الكبير وفيه ابن لهيعة وحديثه حسن وفيه كلام

Ertinya : Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya : Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi : Jangan ; tiba-tiba dating seorang tua dan bertanya soalan yang sama : Jawab nabi : Ye ( tiada masalah) ; kami kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata :-

"aku tahu apa mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu)" (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi'ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap dhoif)

Al-Qaradawi pula menambah "berapa ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak mampu mengawal nafsunya " (Fiqh As-Siyam, hlm 106 )

Kesimpulannya, ia tidak membatalkan puasa dan ciuman sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari ramadhan.

9) Wanita tamat haid

Wanita tamat haid pada waktu malam dan sempat niat pada waktu malamnya sebelum naik fajar subuh. Ia dikira sah walaupun belum mandi hadas. Jika ia tidak sempat berniat sebelum fajar subuh, seperti belum makan dan minum apa-apa pada pagi itu, kemudian pada jam 8 pagi haidnya kering, ia tidak dikira boleh berpuasa pada hari itu kerana tiada niat bagi puasa wajib boleh dibuat selepas terbit fajar.

Demikian juga ditegaskan oleh majoriti ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201)
Dalilnya adalah :-

من لم يُجْمِعْ الصِّيَامَ قبل الْفَجْرِ فلا صِيَامَ له

Ertinya : "Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa (wajib) baginya" ( Riwayat Abu Daud, 3/108 ; Albani : Sohih )

10) Keluar air mazi

Air mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan kerana naik syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi semasa berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau tidak.?

Zahir dalam mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan puasa.

Bagaimanapun mazhab Hanafi, Syafie, Awzai'e, Hasan albasri, As-Sya'bi dan Imam Ahmad dalam satu pendapatnya berfatwa keluarnya air mazi tidak membatalkan puasa. Saya lebih cenderung dengan pendapat ini.

11) Keluar air mani tanpa setubuh

Mencium dan menyentuh sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib qadha, ia adalah disepakati oleh seluruh ulama.

Adapun keluarnya air mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, ia tidaklah batal menurut sebahagian ulama termasuk mazhab Syafie, Hanafi. (Al-Mughni, 4/159)
Manakala mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal.

Walau bagaimanapun, saya lebih cenderung dengan pendapat yang mengatakannya batal kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam. Selain itu, ia juga adalah sama dengannya keluar mani kerana sentuhan.

Keluar air mani kerana bermimpi di siang hari Ramadhan atau kerana sakit tertentu. Sepakat ulama menyatakan ia tidak membatalkan puasa.

12) Menelan air liur

Hukum : Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untukmenjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159)

13 ) Mandi

Tiada masalah untuk orang berpuasa mandi, ia tidak membatalkan puasa. Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan orang yang junub mandi selepas waktu subuh. Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi ketika berpuasa.

14) Berniat berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu.

Tindakan sebegini adalah membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi. Cuma jika dengan segera seseorang itu kembali berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasa tidak terbatal.

Justeru, seluruh individu berpuasa wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong untuk membatalkannya. Imam Ibn Quddamah menolak pandagan yang mengatakan tidak batal kerana ibadah itu adalah berdasarkan niat seperti solat juga yang akan terbatal jika berniat membatalkannya. (Al-Mughni, 4/175)

Sekian,

Ramadhan Al-Mubarak dan selamat menjalani ibadah puasa untuk semua pengunjung

Zaharuddin Abd Rahman

Mohon Dihindari Kufur Selepas Dikurniakan Nikmat

Ada manusia dapat rezeki banyak jadi bakhil, kikir dan menjauhkan diri daripada beribadah

SAHABAT Nabi Muhammad SAW bersama Sya’labah bin Hathib sangat rajin beribadat dan berjemaah di masjid bersama Baginda. Akan tetapi, akhirnya beliau menjadi munafik, mungkir janji, meninggalkan Jumaat dan tidak membayar zakat hingga menjadi seorang yang ingkar.

Disebutkan dalam al-Quran dalam ayat yang bermaksud:

“Dan antara orang munafik itu, adalah seseorang yang berjanji kepada Allah , dengan ucapannya: Sesungguhnya jika Allah memberi rezeki padaku, nescaya aku akan bersedekah, akan tetap patuh beribadat kepada Allah terutama akan mengorbankan harta bendaku ke jalan amal yang baik.” - (Surah at-Taubah, ayat 75-78)

Bagaimanapun, setelah mendapat rezeki dari Allah , dia menjadi bakhil, kikir dan menjauhkan diri daripada beribadah. Akhirnya ia dijadikan Allah seorang yang munafik dan penyakit nifak itu tertanam kuat dalam hatinya hingga akhir hayat disebabkan mungkir janji.

Sejarah hidup Sya’labah bin Hathib pernah dihuraikan ahli tafsir, Ahmad bin Muhammad Syamwi: “Sya’labah seorang yang rajin solat jemaah dengan Nabi SAW di masjid akan tetapi dilihat oleh Nabi dia sering cepat pulang ke rumahnya sebaik selesai solat. Nabi bertanya kepadanya: Kenapa kamu lekas pulang, sebagai kebiasaan orang munafik? Dia menjawab: Aku hidup miskin, kain yang kupakai solat ini dinantikan oleh isteriku di rumah untuk dipakainya bagi mengerjakan solat pula, kerana kain kami hanya sehelai ini saja, dipakai solat berganti-ganti. Ya, Rasulullah, doakanlah kepada Allah supaya melapangkan rezekiku.

Nabi SAW bersabda kepadanya: Aneh sekali kamu, wahai Sya’labah. Sesungguhnya harta benda yang sedikit, dengan penuh kesyukuran lebih baik daripada harta yang banyak, tetapi tidak sanggup melakukan kesyukuran.

Sya’labah yang sengsara hidupnya berkali-kali datang kepada Nabi SAW dengan permintaan sama, supaya Nabi SAW memohon doa kepada Allah dilapangkan rezekinya. Nabi pun menjawab seperti mana sabdanya di awal tadi juga.

Akhirnya Sya’labah meminta, melafazkan janji bersumpah. Dia berkata: Demi Allah , Tuhan yang telah mengurus engkau dengan sebenarnya, aku berjanji, bahawa jika aku diberi rezeki oleh Allah nescaya akan aku penuhi segala kewajipan yang bersangkut dengan harta benda itu.
Maka Nabi SAW pun mendoakan dengan ucapannya: Ya Allah , berilah Sya’labah rezeki dengan harta benda.

Maka Sya’labah mulai berternak kambing, dengan kudrat Allah ternakannya berkembang-biak seperti ulat. Akibatnya ia menjadi lebih sibuk, ia hanya pergi solat berjemaah dengan Nabi SAW pada waktu Zohor dan Asar saja, sedangkan Maghrib, Isyak dan Subuh, beliau solat di desanya.

Semakin hari ternakannya semakin banyak, sehingga terpaksa ia berpindah ke lain tempat yang jauh dari kota Madinah. Keadaan demikian membuat dia sibuk, tidak dapat lagi solat berjemaah dengan Nabi SAW, hanya sempat sekali seminggu saja pergi solat Jumaat bersama Nabi SAW.

Ternakannya semakin hari semakin berkembang-biak, sehingga ia terpaksa pindah lebih jauh lagi, Akibatnya ia tidak dapat lagi solat Jumaat, sekalipun hanya sekali seminggu.

Pada suatu hari Jumaat, Nabi SAW bertanya kepada orang ramai, bagaimana Sya’labah. Orang menjawab: “Wahai Rasulullah, Sya’labah sudah mempunyai ternakan kambing yang sangat berkembang-biak sehingga sudah kesempitan tempat. Nabi mengucapkan: Celaka Sya’labah, celaka Sya’labah.”

Setelah datang perintah wajib berzakat, Nabi SAW mengutus dua orang utusannya, seorang daripada Bani Sulaiman dan seorang lagi daripada suku Bani Jahinah untuk memungut zakat ke desa di luar kota Madinah, dengan membawa surat perintah berzakat.

Kedua utusan itu lebih dulu datang kepada Sya’labah, meminta zakat ternakannya, membacakan surat perintah Nabi SAW. Maka Sya’labah berkata: “Ternakan ini hanya pajakan, bukan kepunyaanku. Pergilah kamu keduanya terlebih dulu kepada orang lain dan jika sudah selesai, kembali lagi kepadaku.”

Kedua utusan Nabi SAW pergi kepada seorang yang menternak unta daripada golongan Suku Bani Sulaim. Orang itu setelah mendengar perintah Nabi SAW lalu diserahkannya zakat daripada ternakannya.

Kemudian kedua utusan itu pergi kepada orang lain yang layak mengeluarkan zakat.
Akhirnya, kedua utusan itu kembali menemui Sya’labah, Sya’labah minta surat perintah Nabi SAW dan dibacanya. Lalu katanya: “Ini hanya pajakanku. Pulanglah kamu keduanya, nanti aku fikir dulu.”

Kedua utusan itu kembali kepada Rasulullah SAW. Belum mereka menyampaikan berita mengenai Sya’labah, Nabi SAW bersabda: Wah, celaka Sya’labah. Wah, celaka Sya’labah.
Lalu Nabi SAW mendoakan untuk kaum Bani Sulaim yang memilih unta yang baik sebagai zakat ternakan mereka, dengan doa kebaikannya. Kemudian kedua utusan itu menyampaikan berita penolakan Sya’labah sehingga turunlah ayat surah at-Taubah, ayat 75-78.

Kemudian Sya’labah datang kepada Nabi SAW menyerahkan zakatnya. Nabi SAW menjawab, al-Quran melarang untuk menerima zakat daripada Sya’labah. Maka Sya’labah berasa amat susah hati dan sedih sehingga dia siram kepalanya dengan tanah.

Nabi SAW bersabda: Inilah akibat perbuatan kamu sendiri, saya selalu perintahkan dulu, tapi hari itu kamu menolak, tidak mahu menurutinya. Tidak lama kemudian Nabi SAW wafat. Maka Sya’labah pergi kepada Abu Bakar, khalifah pertama untuk menyerahkan zakatnya. Abu Bakar menjawab, oleh kerana Rasulullah SAW menolak, ia tentu tidak dapat pula menerimanya.

Selepas Abu Bakar wafat, Sya’labah berulang-ulang menyerahkan zakatnya kepada Umar dan Usman. Kedua-dua khalifah itu pun menolak untuk menerima zakatnya, seraya berkata: Nabi SAW dan Abu Bakar sudah menolak, tentu kami tidak dapat pula menerimanya.

Begitulah Sya’labah yang mungkir janji sesudah berharta, berlimpah-ruah dan mewah, akhirnya dia meninggal di zaman khalifah Usman. Panjangnya umur Sya’labah kerana hidup di zaman Rasulullah SAW, zaman Khalifah Abu Bakar As-Siddiq, Khalifah Umar Ibnu Khattab dan meninggal di zaman Khalifah Usman.

Biarpun umurnya dipanjangkan, hartanya banyak berlimpah-ruah, tetapi kekayaan itu tidak diredai Allah . Maka, setiap insan beriman dianjurkan berdoa: “Jika Engkau panjangkan umurku berilah umur yang Engkau reda (umur yang engkau sukai), dan jika Engkau beri kekayaan berilah kekayaan yang Engkau reda.”

Thursday, September 11, 2008

Ramadhan Tetamu Mulia

JIKA seorang teman yang anda kasihi dan menghubungi anda menyatakan hasratnya ingin berkunjung ke rumah anda serta singgah untuk beberapa hari, apakah yang akan anda lakukan sempena kedatangannya dan apakah perasaan anda?

Tentunya anda gembira, menyediakan persediaan bagi menerima kunjungannya dengan mengemas rumah dan mengadakan keperluan yang sepatutnya bagi tetamu tersebut.

Bukankah begitu yang selayaknya anda dan teman-teman lakukan?

Jika demikian, bagaimana pula jika yang akan datang menjenguk anda bukan sahaja dikasihi oleh diri sendiri, bahkan ia dikasihi oleh Allah SWT, Nabi Muhammad SAW dan sekelian orang yang beriman?

Tetamu yang akan berkunjung ini membawa bersamanya sepanjang siang dan malamnya kebaikan dan keberkatan daripada Allah . Ia adalah bulan Ramadan yang mulia, bulan berpuasa dan bertilawah al-Quran, bulan tahajud dan qiamullail, bulan kesabaran dan ketakwaan, bulan keampunan dan kebebasan daripada api neraka.

Padanya terdapat suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan, bulan pemasungan syaitan, penutupan pintu-pintu neraka dan pembukaan pintu-pintu syurga. Bulan gandaan pahala dan berkat untuk segala ketaatan dan kebaikan yang dilakukan.

Itulah sifatnya tetamu mulia ini, kerana itu amat wajarlah bagi kita - orang yang mengetahui kehebatannya, menyambutnya dengan cara terbaik, bersedia untuknya dengan menyiapkan dan membiasakan diri kita beramal padanya, moga-moga kita mendapat faedah daripada kunjungannya dan apabila ia pulang, jiwa raga kita telah bersih dan suci dengan limpahan rahmat Allah .

Oleh kerana itulah para ulama terdahulu menghargai tetamu ini dan diceritakan bahawa mereka memohon Allah melanjutkan usia mereka supaya dapat bersama bulan Ramadan sepanjang enam bulan sebelumnya, apabila ia berakhir mereka menangis sayu di atas pemergiannya dan berdoa agar Allah menerima amalan mereka bagi bulan Ramadan sepanjang beberapa bulan selepas itu.

Malangnya, sebahagian umat Islam menyambutnya dengan pelbagai kegiatan yang menyalahi hukum Allah SWT. Ada yang menyambutnya dengan berpesta, nyanyian, tarian dan muzik.
Sebahagian lagi menyediakan filem-filem yang menyeronokkan sepanjang malam bulan Ramadan yang dipenuhi dengan adegan yang memenuhi tuntutan nafsu.

Ramai yang menyambutnya dengan mengunjungi pasar-pasar, berasak-asak dengan orang ramai untuk membeli pelbagai jenis makanan dan minuman; seolah-olah bulan tersebut adalah bulan makan-minum, tidur pada waktu siang, berjaga pada malamnya dengan aneka hiburan.

Cara yang dianjurkan oleh Islam secara ringkas adalah sebagaimana berikut:

1. Berdoa semoga Allah melanjutkan usia kita dan dapat menyambut bulan Ramadan sebagaimana yang diamalkan oleh ulama silam, di samping memohon pertolongan-agar dapat berpuasa, qiamullail dan beramal soleh padanya.

2. Membersih diri dan bersuci, iaitu membersihkan diri dan jiwa dengan taubat daripada segala dosa dan maksiat. Taubat ini adalah wajib pada setiap waktu. Taubat bukanlah sekadar meninggalkan perbuatan dosa. Bahkan ia memerlukan pengembalian seluruh jiwa raga kepada Allah s.w.t.

3. Menyediakan diri bagi menyambut kedatangan Ramadan dengan menunaikan ibadat puasa sunat pada bulan Syaaban serta amalan kebaikan lain. Ia merupakan bulan diangkatkan segala amalan manusia kepada Allah s.w.t.

4. Antara perkara terpenting ialah mempelajari hukum-hakam puasa, mengetahui sunah Nabi SAW serta hukum hakam puasa sebelum menghampiri bulan tersebut.

5. Agenda seterusnya ialah menyediakan jadual ibadah untuk bulan yang mulia itu dengan program yang memenuhi waktu yang amat berharga bagi diri kita, keluarga, rakan-rakan dengan membaca al-Quran, tadarus, qiamullail, menyediakan juadah berbuka puasa untuk mereka, mengerjakan umrah, iktikaf, bersedekah, berzikir, membersihkan jiwa dan raga, dan seterusnya.

Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya dalam syurga ada satu pintu namanya ‘al-Rayyan’. Orang yang berpuasa masuk syurga melalui pintu itu. Orang lain tidak akan memasukinya. (riwayat Bukhari)

Sebagai penutup bicara, marilah sama-sama kita hayati kata-kata ini:

“Wahai mereka yang belum cukup baginya dosa pada bulan Rejab, sehingga menderhakai Tuhannya pada bulan Syaaban, telah datang kepadamu bulan puasa selepas kedua-duanya.
Janganlah jadikannya juga bulan kemaksiatan, kerana ia adalah bulan al-Quran dan bulan tasbih.


“Berapa ramai orang-orang terdahulu yang kamu kenal telah berpuasa di antara jiran tetangga dan sahabat handai?

“Mereka telah meninggal dunia sedangkan kamu masih hidup. Alangkah hampirnya masa mereka yang telah pergi dengan yang masih tinggal.

Ya Allah , sampaikan kami kepada bulan Ramadan, supaya kami dapat menunaikan ibadah puasa dan amalan soleh. Tetapkan pendirian kami di dalam ketaatan kepada-Mu sehingga kami menemui-Mu. Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Menyahut doa-doa kami”.

Friday, September 5, 2008

Sedekah Cara Kongsi Gembira Ramadan

Tak perlu jumlah besar jika niat menunjuk-nunjuk kebaikan kepada orang lain agar dipuji

KESERONOKAN beramal pada Ramadan semakin terasa apabila umat Islam mula memahami bahawa bukan berpuasa saja ibadah yang boleh dilakukan dalam bulan rahmat ini tetapi amalan lain seperti bersedekah, beriktikaf, menunaikan umrah, beribadah pada malam sunyi, mudah-mudahan mendapat rahmat lailatul qadar.

Puasa juga mendidik rohani supaya menjauhi sifat suka mengumpat, berbohong, memaki hamun, tidak melihat perkara tidak baik atau mendengar perkara maksiat.

Bersedekah seperti memberi makan orang berbuka puasa contohnya sudah menjadi rutin umat Islam di Malaysia. Dulunya, amalan itu dilakukan kepada anak yatim dan golongan miskin, tetapi hari ini ramai dermawan menunaikan hajat dengan bersedekah di surau atau masjid tanpa mengira golongan disasarkan.

Ini kerana anak yatim dan orang miskin sudah mewah dengan juadah berbuka yang diadakan di hotel terkemuka, bahkan mereka diberikan lagi duit raya walau Ramadan baru saja berlalu dua tiga hari.

Salafus soleh seperti Abdullah bin Umar, Dawud Ath-Tha’i, Malik bin Dinar, Ahmad bin Hambal, Hasan Al-Bashri, Ibnul Mubarak dan lain lagi sentiasa berlumba-lumba memberi makan dan mereka lebih mengutamakannya daripada ibadah lain.

Keadaan itu berlarutan walaupun sebaik selepas Ramadan kerana nikmat berkasih sayang dengan membantu sesama mukmin mendekatkan diri mereka kepada Allah .

Hadis diriwayatkan At-Tirmizi (dengan sanad hasan), Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Siapa saja di antara orang mukmin yang memberi makan saudaranya sesama mukmin yang lapar, nescaya Allah akan memberinya buah-buahan syurga. Siapa saja antara orang mukmin yang memberi minum saudaranya sesama mukmin yang dahaga, nescaya Allah akan memberinya minuman Rahiqul Makhtum.”

Jika umat Islam menghayati nikmat kehambaan dan merasai manisnya iman kerana berbuat baik sesama Muslim, pasti semuanya tidak melepaskan peluang Ramadan kali ini untuk menunaikan hajat saudara yang kurang berkemampuan, atau sekurang-kurangnya mengurangkan beban orang susah supaya saranan bantu-membantu dan tolong-menolong dapat direalisasikan.

Sikap bermurah hati pada Ramadan sangat dipuji seperti Rasulullah SAW yang sangat dermawan, terutama pada Ramadan. Baginda juga menasihati sahabat supaya berkongsi kegembiraan dan rezeki dengan orang lain yang kurang berkemampuan, merasai hidangan yang mereka hajati dan sukai kerana takutkan Allah semata-mata, bukan untuk sebarang balasan atau ucapan terima kasih.

Firman Allah yang bermaksud:

“Dengan sebab (mereka menjaga diri daripada kesalahan), maka Allah selamatkan mereka daripada kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri (di muka) dan perasaan ria gembira (di hati). Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya), mereka dibalas oleh Allah dengan syurga dan (persalinan dari) sutera.” (Surah Al-Insaan)

Pihak melakukan sesuatu yang boleh menggembirakan orang lain kerana pemberian dan pengorbanannya tentulah lebih gembira daripada orang yang menerima. Kepuasan dirasai adalah apabila melihat orang lain dapat merasai apa dirasai, bahagia dengan apa yang diperoleh serta bersyukur dengan rezeki dianugerahi melalui orang yang bermurah hati.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

Barang siapa menyediakan makanan berbuka bagi orang berpuasa, nescaya ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun.” (Hadis riwayat Ahmad dan An-Nasai serta dinyatakan sahih oleh Al-Albani)

Tidak perlulah kita memberikan sedekah dalam jumlah yang besar jika berniat untuk menunjuk-nunjuk kebaikan kepada orang lain supaya dipuji atau dikatakan baik hati, sedangkan tiada sedikit pun rasa kehambaan dalam diri.

Orang yang ikhlas menunaikan ibadah ialah orang yang seboleh mungkin cuba ingin berkongsi ketakwaannya dengan dirinya sendiri saja, bukan dengan orang lain.

Jika tidak mampu menghulur wang, cukuplah sekadar beberapa butir kurma, jika itu dapat mengurangkan beban orang yang tidak berkemampuan. Jika tidak mampu juga, mungkin tidak salah mengorbankan masa dan keringat, membantu menyediakan juadah dan menghidangkan makanan kepada orang berbuka puasa, moga-moga diterima Allah sebagai amal ibadah dan sedekah.

Hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi daripada Anas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sedekah paling utama adalah pada bulan Ramadan.”

Justeru, sama-samalah berdoa dan berharap supaya Ramadan kali ini kita dilindungi Allah daripada segala kejahatan dan kemaksiatan kerana tidak ada syaitan dan iblis yang akan mengganggu gugat nafsu manusia melainkan empunya badan sendiri

Puasa dorong perbanyak ibadat sunat, kebajikan

MEREKA yang berpuasa sebenarnya sedang melaksanakan ibadat penting dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Oleh demikian, seseorang yang sedang berpuasa sebaiknya menjaga diri dan tingkah laku daripada sebarang perbuatan yang boleh mencacatkan ibadat puasanya.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Tiga golongan yang tidak ditolak doa permintaannya, antara golongan itu ialah seseorang yang berpuasa apabila dia berbuka puasanya.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Bagi seseorang yang berpuasa Ramadan, sejak bermula ibadat puasanya hingga berbuka, akan dikabulkan segala doa permintaannya oleh Allah dengan syarat puasanya benar-benar tulen seperti diperintahkan Allah dan Rasul-Nya.

Ibadat puasa membantu menjaga ibadat lain kerana orang yang berpuasa memelihara solatnya dan khusyuk dengan menjaga rukun serta syarat utama solat.

Mereka yang berpuasa dan mendirikan solat, pasti bertanya pada diri sendiri, “bagaimana aku melakukan ibadat diperintah Allah dan pada waktu sama melalaikan ibadat lain? Sedangkan perbuatan itu tidak sepatutnya aku lakukan.”

Mereka yang berpuasa tidak harus melalaikan ibadat lain. Inilah yang dikatakan puasa seharusnya mendorong pelakunya supaya lebih banyak mengamalkan ibadat lain sebagai tanda ketaatan kepada Allah .

Apabila melakukan ibadat wajib, maka dia akan turut sama melaksanakan amalan sunat yang lain. Bukan satu yang menghairankan apabila kita melihat sebahagian besar umat Islam mulai memenuhi ruang masjid untuk solat berjemaah, mengerjakan solat Rawatib, berzikir dan bertadarus al-Quran di sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini.

Pelbagai program dan kegiatan dilaksanakan sepanjang Ramadan seperti berbuka puasa, tazkirah selepas solat Zuhur, Tarawih di semua masjid dan surau serta program ceramah hujung minggu. Ini semua membuktikan puasa mengajak memperbanyakkan ibadat dan amalan kebajikan. Objektif utamanya adalah mencari reda Allah supaya dijauhi daripada azab dan seksa di akhirat kelak.

Puasa mendorong individu Muslim melaksanakan amalan kebajikan untuk dirinya sendiri. Mereka melaksanakan ibadat sunat di samping kewajipan puasa Ramadan. Contohnya, solat sunat Tarawih dan Tahajud dibuat pada setiap malam secara berjemaah dan bersendirian. Sememangnya ibadat sunat ini dianjurkan sepanjang bulan mulia ini, sebagaimana Allah mewajibkan ibadah puasa pada siangnya, manakala qiamullail di sepanjang malamnya.

Ibadat puasa yang hakiki memberi manfaat antaranya faedah yang bakal diperoleh daripada sedekah atau zakat fitrah. Berkata sebahagian ulama salaf, “Apabila tibanya Ramadan, perluaskan amalan sedekah dan membantu gologan yang susah kerana amalan itu ganjarannya hampir sama dengan bersedekah di jalan Allah .”

Oleh itu, manusia diperintah memperbanyakkan sedekah pada bulan ini. Nabi Muhammad SAW lebih pemurah pada Ramadan berbanding bulan lain. Baginda bertadarus al-Quran dengan Jibrail dan melaksanakan kebajikan lebih pantas dari angin yang bertiup.

Pada bulan ini, Muslim berpeluang melakukan ibadah dan ketaatan sepenuh hati serta berupaya meninggalkan perbuatan buruk dan maksiat. Perokok tegar mampu meninggalkan tabiat merokok yang sebati pada dirinya selepas berniat untuk berpuasa kerana Allah . Inilah keajaiban Ramadan yang sering dilupakan sebahagian manusia.

Apabila seseorang membuat kebaikan untuk keuntungan dirinya, dia juga perlu menyebarkan segala kebaikan itu kepada orang lain. Apabila kita melakukan kebajikan kerana Allah , kita juga berhak mengajak dan menasihati orang lain melakukan kebajikan sama.

Ajak mereka beroleh faedah yang sama seperti mana sabda Nabi SAW yang bermaksud “Siapa yang mengajak ke arah kebaikan, dia beroleh pahala yang sama daripada pahala orang yang mengikuti nasihatnya itu, malah tidak dikurangi sedikitpun pahala sesama mereka.” (Hadis riwayat Muslim)

Wednesday, September 3, 2008

Kepalsuan Hadis Kelebihan Solat Tarawikh.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata'ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'alaihi wasallam serta para sahabatnya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan tarawikh pada malam-malam ramadhan telah tersebar dengan meluas sekali. Media-media elektronik,media-media cetak serta media-media massa turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar, dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang diberkati itu.

Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut :

"Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan antaranya:

· Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).

· Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

· Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.

· Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.

· Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.

· Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W..

· Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh

Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanahair tentang kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan.

Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini.

Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya didalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama-ulama kita dahulu.

Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya :

Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Riwayat Bukhari, Muslim)

Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad S.A.W. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim.

Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad S.A.W. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain.

Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam… seterusnya dia berkata: Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga.

Fiman Allah bermaksud:

"Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan." (An-Najm: 3-4).

Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan terawih dalam bulan Ramadhan seperti mana kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang mana sebenarnya hadis itu pun telah di reka atas nama nabi Muhammad S.A.W. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi:

Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang zohor dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri.

Jika dia meninggalkan sembahyang sembahyang asar dosanya adalah seperti meruntuhkan kaa'bah..

Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadhan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud:

Sesiapa yang menghidupkan malam ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)

Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud:

Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan kedalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)

Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun siksaannya namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.

Diantara ciri-ciri hadis maudhu` (rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah :

1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad S.A.W. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi-nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.

2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan dimana ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis shohih.

3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi sepertimana yang terdapat dalam hadis-hadis shohih.

4. Didalam setengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan "Ya Ali" sedangkan ulama-ulama hadis telah mengatakan bahawa hadis-hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang shohih.Yang lainnya adalah palsu.

Oleh itu umat Islam sekalian terutamanya pihak-pihak berkenaan seperti institusi-institusi agama diperingkat negeri dan pusat sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan kedua Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan diayah-diayah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.

SELAMAT BERPUASA DAN BERIBADAT MENGIKUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W.

~Mufti Terengganu ~

Seminit Bermuhassabah di Bulan Ramadhan

Kita sebenarnya
....Lebih gembira menyambut 1hb Januari daripada 1 Muharram..
Kita sebenarnya
....Lebih tahu apa itu 14 Februari daripada 12 Rabiulawal..
Kita sebenarnya
....Lebih membesarkan hari Sabtu, Ahad daripada hari Jumaat..
Kita sebenarnya
....Lebih khusyuk mendengar lagu daripada mendengar Azan..
Kita sebenarnya
....Lebih suka lepak, tidur, tengok TV daripada sembahyang..
Kita sebenarnya
....Lebih tahu tentang artis pujaan kita daripada nama nabi-nabi Allah..
Kita sebenarnya
....Lebih suka menyebut hello!.. hai! daripada assalamualaikum..
Kita sebenarnya
....Lebih suka menyanyi dangdut daripada berwirid, bertahmid..
Kita sebenarnya
....Lebih suka memuji manusia daripada Tuhan kita sendiri..
Kita sebenarnya
....Lebih suka membaca majalah hiburan daripada buku-buku agama..
Kita sebenarnya
....Lebih suka ke konsert, karaoke daripada ceramah agama..
Kita sebenarnya
....Lebih suka mencarut, @#!*@!! daripada menyebut MasyaAllah..
Kita sebenarnya
....Lebih suka kemungkaran daripada berbuat kebaikkan..
Kita sebenarnya
....Lebih suka memaki, mengumpat orang daripada memuji mereka..
Kita sebenarnya
....Lebih bangga dengan kejahilan kita daripada bersyukur dgn keimanan kita..
Kita sebenarnya
....Lebih cintakan urusan dunia daripada urusan akhirat..

TETAPI bila orang tanya arah tujuan kita, kita pasti akan jawab kita sebenarnya..
Kita sebenarnya....Lebih suka menuju ke Syurga daripada ke Neraka
Layakkah kita dengan Syurga milik Allah SWT???

"Hai Kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan sementara) dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal. Barangsiapa mengerjakan perbuatan jahat, maka dia tidak akan dibalasi melainkan sebanding dengan kejahatan itu. Dan barangsiapa mengerjakan amalan yang saleh baik laki-laki maupun perempuan sedang ia dalam keadaan beriman, maka mereka akan masuk syurga, mereka diberirezeki di dalamnya tanpa dihisab." (Surah Al Mu'min ; ayat 39-40)
-wallahua'lam-

Antara Bersin dan Menguap

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ta’alaa anhu, Rasulullah bersabda, :

“Sungguh Allah mencintai orang yang bersin dan membenci orang yang menguap, maka jika kalian bersin maka pujilah Allah, maka setiap orang yang mendengar pujian itu untuk menjawabnya; adapun menguap, maka itu dari syaitan, maka lawanlah itu sekuat tenagamu. Dan apabila seseorang menguap dan terdengar bunyi: Aaaa, maka syaitan pun tertawa karenanya”. (Shahih Bukhari, 6223)

Imam Ibn Hajar berkata, “Imam Al-Khathabi mengatakan bahwa makna cinta dan benci pada hadits di atas dikembalikan kepada sebab yang termaktub dalam hadits itu. Yaitu bahwa bersin terjadi karena badan yang kering dan pori-pori kulit terbuka, dan tidak tercapainya rasa kenyang. Ini berbeda dengan orang yang menguap. Menguap terjadi karena badan yang kekenyangan, dan badan terasa berat untuk beraktiviti, hal ini karena banyaknya makan . Bersin boleh menggerakkan orang untuk beribadah, sedangkan menguap menjadikan orang itu malas (Fath-hul Baari: 10/6077)

Nabi menjelaskan bagaimana seseorang yang mendengar orang yang bersin dan memuji Allah agar membalas pujian tersebut.

Rasulullah bersabda: "Apabila salah seorang diantara kalian bersin, maka ucapkanlah Al-Hamdulillah, dan hendaklah orang yang mendengarnya menjawab dengan Yarhamukallahu, dan bila dijawab demikian, maka balaslah dengan ucapan Yahdikumullahu wa Yushlihubaalakum (HR. Bukhari, 6224)

Dan para doktor di zaman sekarang mengatakan, “Menguap adalah gejala yang menunjukkan bahwa otak dan tubuh orang tersebut memerlukankan oksigen dan nutrisi; dan karena organ pernafasan kurang dalam mengedar oksigen kepada otak dan tubuh.

Dan hal ini terjadi ketika kita sedang mengantuk atau pusing, lesu, dan orang yang sedang menghadapi kematian. Dan menguap adalah aktiviti menghirup udara dalam-dalam melalui mulut, dan bukan mulut dengan cara biasa menarik nafas dalam-dalam !!!

Karena mulut bukanlah organ yang disiapkan untuk menapis udara seperti hidung.Maka, apabila mulut tetap dalam keadaan terbuka ketika menguap, maka masuk juga berbagai-bagai jenis mikroba, kuman dan debu, atau kutu bersamaan dengan masuknya udara ke dalam tubuh.Oleh karena itu, datang petunjuk nabawi yang mulia agar kita melawan “menguap” ini sekuat kemampuan kita, atau pun menutup mulut saat menguap dengan tangan kanan atau pun dengan punggung tangan kiri.

Bersin adalah lawan dari menguap yaitu keluarnya udara dengan keras, kuat disertai hentakan melalui dua lubang: hidung dan mulut. Maka akan terkuras dari badan bersamaan dengan bersin ini sejumlah hal seperti debu, haba’ (sesuatu yang sangat kecil, di udara, yang hanya terlihat ketika ada sinar matahari), atau kutu, atau mikroba yang terkadang masuk ke dalam organ pernafasan.

Oleh karena itu, secara tabiat, bersin datang dari Yang Maha Rahman (Pengasih), sebab padanya terdapat manfaat yang besar bagi tubuh. Dan menguap datang dari syaithan sebab ia mendatangkan bahaya bagi tubuh.

Dan atas setiap orang hendaklah memuji Allah Yang Maha Suci Lagi Maha Tinggi ketika dia bersin, dan agar meminta perlindungan kepada Allah dari syaitan yang terkutuk ketika sedang menguap. (Lihat Al-Haqa’iq Al-Thabiyah fii Al-Islam: hal 155).

Tuesday, September 2, 2008

Bonus Belanjawan vs Bonus Ramadhan

Bagi meraikan Ramadhan yang mulia, ada baiknya saya mengulas ringkas berkenaan Ramadhan. Bulan ini bolehlah dianggap sebagai bulan ‘bonus' dari Allah SWT sebagai rahmat bagi hamba-hambaNya. Gandaan pahala di bulan dan ketika puasa adalah amat hebat. Ia berdasarkan hadith Qudsi yang menyebut : "Setiap amalan anak Adam adalah digandakan pahalanya kepada sepuluh hingga 700 kali ganda, maka berkata Allah SWT : Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah khas untukKu dan Akulah yang akan membalas kebaikannya, mereka meninggalkan makanan, minuman dan syahwat mereka (di siang hari) hanya keranaKu" (Riwayat Al-Bukhari & Muslim) .

Bonus & Belanjawan

Cuba kita renungkan kembali, kerap kali kita akan merasa gembira apabila tiba hujung tahun bagi mendapat bonus dari majikan kita.

Mengapa kita gembira bila mendapat bonus, gaji dan insentif?

Sudah tentu jawabnya kerana ; "dapat duit " .

Mengapa kita seronok mendapat duit ?

Jawabnya ; kerana boleh membeli itu dan ini, bergaya dan lain-lain.

Lalu berapa lamakah keseronokan barang dan perkara yang dibeli tadi ?

Sudah tentu jawabnya, bergantung kepada apa yang dibeli, ada yang rosak cepat dan ada yang lambat.

Jika demikian, jika barang itu lambat rosak, berapa lamakah keseronokan itu akan berterusan?
Jawabnya, paling panjang adalah sekadar kita masih hidup sahaja.

Baiklah, selepas kematian adakah masih ada seronok?

Jika tidak, maka apakah yang boleh menyeronokkan kita selepas mati ?

Jawabnya ; tidak lain tidak bukan adalah pahala dan amalan yang dikumpul. Jika banyak dan berkualiti, semua matawang pahala itu akan memberi seribu satu macam keseornokan berpanjangan sehingga satu tarikh yang hanya diketahui Allah s.w.t dan ia pastinya amat panjang.

Jika demikian, mengapa tidak tercetus perasaan seronok menerima kehadiran Ramadhan sebagaimana seronoknya kita menerima bonus duit? Sedangkan ramadhan adalah bulan bonus untuk meraih pahala sebanyaknya, bulan dipermudahkan peluang untuk ke syurga Allah s.w.t.

Tapi bezanya, ramai yang kelihatan lebih seronok kerana di permudahkan untuk meraih rumah kediaman di dunia dan mungkin akan dapat 'save' lebih banyak duit. Ini kerana belanjawan baru-baru ini ( untuk tahun 2008) akan mewujudkan lebih banyak rumah kos rendah, kos 'stamp duty' bagi rumah RM 250,000 ke bawah dikurangkan 50 %, boleh menggunakan wang akaun kedua dari KWSP untuk pembayaran rumah, yuran sekolah dan peperiksaan anak ditiadakan, buku teks percuma dan lain-lain. Semua ini disambut dengan gembira kerana memberi ruang untuk mengumpul duit dan digunakan untuk perkara lain.

Manakala pada belanjawan 2009 pula pastinya memberikan sedikit kelegaan buat individu berpendapatan rendah dan sederhana. Antara yang dikira menggembirakan adalah seperti :-

a). Rebat cukai pendapatan dinaikkan dari RM350 kepada RM400 bagi pendapatan bercukai RM35,000. Ekoran itu 100,000 pembayar cukai dari golongan berpendapatan rendah, tidak lagi dikenakan cukai.

b). Cukai jalan bagi kenderaan penumpang bersendirian berenjin diesel milik individu dan syarikat, dikurangkan mengikut kadar cukai jalan kenderaan berenjin petrol, mulai 1 September 2008.

c). Bayaran bonus sebulan gaji bagi 2008 atau minimum RM1,000 dalam dua bayaran pada September dan Disember ini.

d). Kemudahan pinjaman perumahan bagi kerja ubahsuai rumah yang tidak dibeli melalui pinjaman perumahan kerajaan

e). Kelayakan pendapatan isirumah untuk mendapat subsidi yuran Taska bulanan RM180, dinaikkan dari RM2,000 kepada RM3,000 mulai 1 Januari 2009.

f). Kemudahan tambang pergi-balik percuma sekali dalam tempoh dua tahun untuk mengunjungi wilayah asal iaitu antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak ditambah daripada sekali bagi setiap dua tahun, kepada setiap tahun mulai 1 Januari 2009.

g). Pengurangan 50 peratus bayarn tol bagi semua bas, kecuali di pintu masuk sempadan iaitu Tambak Johor, Link Kedua dan Bukit Kayu Hitam untuk tempoh du atahun mulai 15 September 2008.

SERONOK HAKIKI DAN SEMENTARA

Keseronokan jiwa yang hadir kerana dipermudahkan cara untuk memiliki rumah dalam belanjawan baru-baru ini lebih didapat dilihat dan dihayati oleh ramai daripada keseronokan untuk memasuki bulan yang dipermudahkan jalan pemilikan rumah syurga di akhirat yang kekal abadi.

Mengapa ini boleh berlaku kepada hati kita?. Apakah silapnya? Mengapa dan mengapa?. Pernahkah kita memikirkan mengapa gembira berpeluang dapat harta akhirat sebagaimana kita gembira mendapat harta dunia.

"Ya Allah, bantulah kami yang telah menzalimi diri kami, tiada tuhan melainkanMu dan engkaulah yang maha pengampun"

TAWARAN BONUS LUAR BIASA

Justeru, niat yang ikhlas dan benar ketika melaksanakan kewajiban Ramadhan adalah kunci kepada ‘bonus' yang ditawarkan oleh Allah. Bermakna, barangsiapa yang berpuasa Ramadhan bukan kerana Allah tetapi disebabkan oleh rasa malu kepada rakan-rakan, atau ter'paksa' menuruti suasana atau hanya ingin menunjuk-menunjuk dan lain-lain sebab keduniaan, tiadalah orang seperti ini layak mendapatkan ‘bonus' dan tawaran istimewa ‘pahala luar biasa' yang ditawarkan oleh Allah.

Selain itu, pahala ‘bonus' ini juga boleh tergugat dengan amalan-amalan keji bercakap buruk seperti maki, mencarut, mengeji orang, mengumpat, memfitnah dan apa-apa yang berkaitan dengan dosa lidah dan anggota juga akan menipiskan lagi ganjaran pahala seseorang walaupun ia berniat benar ketika berpuasa. Ini ditegaskan oleh Nabi SAW dalam sebuah hadith ertinya
"Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala puasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya" (Riwayat Al-Bukhari, 4/1903 - Fath al-Bari).

Beberapa ulama seperti Abu Gharib Al-Asfahani, Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Prof. Dr Muhd Uqlah Ibrahim (Ulama Fiqh di Jordan) serta lain-lainnya berpandangan bahawa di samping pahala yang berganda. Dosa juga boleh berganda di bulan mulia ini. Beliau ada mengutarakan beberapa dalil, bagaimanapun sukar untuk saya muatkan di ruangan terhad ini. Sebagai jalan terbaik, jauhilah dosa sejauh-jauhnya di bulan ini kerana masih terdapat kemungkinan dosa dipergandakan.

SYAITAN KENA GARI?

Umat Islam perlu lebih fokus untuk mencapai kebaikan di bulan ini. Nabi SAW telah memberikan menyebut juga bahawa pintu syurga dibuka, ditutup pintu neraka serta dibelenggu para syaitan (Riwayat Al-Bukhari, 1/18 ; Muslim, 1/41) ; malah terdapat ulama yang mengatakan bahawa bulan ia dinamakan ‘Ramadhan' (yang bermaksud panas) oleh Allah SWT kerana bulan ini adalah bulan menghanguskan dosa. (Mughni, Ibn Quddamah, 4/116).

Ada pula yang bertanya berkenaan erti Syaitan di belenggu dalam hadith di atas. Sebahagian ulama berpandangan bahawa ia membawa maksud ketidakmampuan Syaitan menguasai orang yang berpuasa sebagaimana penguasaannya di luar bulan ramadhan. ( Al-Muntaqa Min At-Targhib Wa at-Tarhib, Al-Munziri dan Al-Qaradawi, 1/313 )

Ada juga yang menyebut sebahagian jenis Syaitan yang utama sahaja di belenggu, manakala yang lain masih bebas lalu kerana itu masih terdapat yang membuat maksiat di bulan ini. Walaubagaimanapun, sebenarnya ia adalah akibat dorongan nafsu jahat yang telah lama terdidik dan terbiasa dengan ajakan Syaitan. Kebiasaan buruk ini mampu mendorong seseorang kearah kejahatan walau di ketika Syaitan utama di belenggu. (Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Syeikh Atiyyah Saqar, 2/13).

MARI MAKSIMUMKAN BONUS RAMADHAN

Bagi memastikan kesohihan puasa serta mampu memaksimakan pahala dan keuntungan dari Ramadhan, amalan yang berdasarkan nas yang kuat berikut perlu dilakukan:-

1) Berniat dalam hati untuk berpuasa di malam hari.

2) Besahur di akhir malam (yang terbaik adalah jaraknya dengan azan subuh selama bacaan 50 ayat al-Quran secara sederhana). Nabi SAW bersabda :

" Perbezaan di antara puasa kami (umat Islam) dan puasa ahli kitab adalah makan sahur" (Muslim, 2/770).

Selain itu, Nabi juga bersabda : "Bersahurlah kamu, kerana pada sahur itu ada barakahnya" ( Al-Bukhari, 4/1923 ; Muslim).

Baginda SAW juga menyebutkan bahawa Malaikat sentiasa meminta ampun bagi orang yang bersahur. (Riwayat Ahmad, 3/12 ; Hadith Hasan).

Selain makan tatkala itu adalah amat digalakkan kita untuk mendirikan solat sunat tahajjud, witr dan beristifghar dan lain-lain amalan sebelum menunaikan solat subuh berjemaah(bagi lelaki).

Adalah amat tidak digalakkan bagi seseorang yang bersahur dengan hanya makan di sekitar jam 12 malam sebelum tidur. Kebanyakan individu yang melakukan amalan ini sebenarnya amat merasa berat dan malas untuk bangun di tengah malam. Ia pada hakikatnya adalah tidak menepati sunnah yang diajarkan oleh Baginda SAW.

3) Memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan tenang dan tidak tergesa-gesa.

Terdapat ramai ulama silam menyebut tentang kepentingan mendahulukan membaca al-quran di atas amalan sunat seperti menelaah kitab, membaca hadith dan lain-lain. Ia adalah salah satu amalan yang paling diambil berat oleh Nabi SAW ketika baginda membacanya bersama Malaikat Jibrail as. Hal ini disebut di dalam hadith al-Bukhari.

4) Memperbanyakkan doa semasa berpuasa.

Sepanjang waktu kita sedang menjalani ibadah puasa, ia adalah sentiasa merupakan waktu yang sesuai dan maqbul untuk kita berdoa, sebagaiaman di tegaskan oleh Nabi S.a.w :-

ثلاثة حق على الله أن لا يرد لهم دعوة : الصائم حتى يفطر والمظلوم حتى ينتصر والمسافر حتى يرجع

Ertinya : Tiga yang menjadi hak Allah untuk tidak menolak doa mereka, orang berpuasa sehingga bebuka, orang yang dizalimi sehingga dibantu, dan orang bermusafir sehinggalah ia pulang" (Riwayat Al-Bazaar,

Sebuah hadis lain yang hampir sama maksudnya menyebutkan :-

ثلاثة لا ترد دعوتهم : الصائم حتى يفطر والإمام العادل ودعوة المظلوم

Ertinya : Tiga yang tidak ditolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, pemerintah yang adil dan doa orang yang dizalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Ibn Khuzaimah ; Hadis Hasan menurut Imam At-Tirmidzi dan Ibn Hajar, sohih menurut Syeikh Ahmad Syakir)

5) Memperbanykan doa ketika hampir berbuka

Ini kerana tahap maqbul tatkala itu semakin hebat berdasarkan hadith Nabi s.a.w :

إن للصائم عند فطره لدعوة ما ترد

Ertinya : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala wkatu berbukanya,adalah waktu doa yang tidak ditolak ( Riwayat Ibn Majah ; Sohih)

6) Menyegerakan berbuka puasa selepas kepastian masuk waktu maghrib.

Berdasarkan hadith Nabi SAW :

لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر

Ertinya : "Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepannjang kamu menyegerakan berbuka" ( Riwayat Al-Bukhari, 4/1957).

Berbuka juga perlu didahulukan sebelum menunaikan solat maghrib, malah jika pada hari tersebut tahap kelaparan kita agak luar biasa, lebih baik kita berbuka dan makan sekadar kelaparan tidak mengganggu solat Magrhib kita.

Disebutkan bahawa tidaklah Nabi SAW menunaikan solat Maghrib kecuali setelah berbuka walaupun hanya dengan segelas air. (Abu Ya'la dan al-Bazzar : hadith Hasan).

7) Adalah digalakkan pula untuk berbuka dengan beberapa biji rutab ( kurma basah) atau tamar (kurma kering) sebagai mengikuti sunnah, dan jika tiada keduanya mulakan dengan meneguk air.

كان رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏يفطر على رطبات قبل أن يصلي فإن لم تكن رطبات فعلى تمرات فإن لم تكن ‏ ‏حسا ‏ ‏حسوات ‏ ‏من ماء

Ertinya : Rasulullah s.a.w berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rotab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air" ( Riwayat Abu Daud, Ahmad & At-Tirmidzi) (Riwayat Abu Daud, 2/2356 : Hadith Hasan).

Sambil memboca doa berbuka yang sohih dari nabi iaitu

ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله

" Zahaba az-Zama u wabtallatil ‘uruq wathabatal ajru InsyaAllah"

Ertinya : "Telah hilanglah dahaga, telah basah ular leher dan telah tetap mendapat pahalanya InshaAllah " Riwayat Abu Daud, 2/2357 : Hadith Hasan menurut Albani). Atau doa-doa makan yang biasa.

9) Amat disunatkan untuk menyedeqahkan harta bagi mempersiapkan juadah berbuka untuk orang ramai terutamanya orang miskin. Nabi SAW bersabda :

‏من فطر صائما كان له مثل أجره غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئا

Ertinya : Barangsiapa yang memberikan juadah berbuka buat orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa kurang sedikit pun" ( Riwayat At-Tirmidzi, 3/807; Hadith Hasan menurut Imam At-Tirmidzi).

Disebut dalam sebuah hadis lain

ومن أشبع صائما سقاه الله من حوضي شربة لا يظمأ حتى يدخل الجنة

Ertinya : Barangsiapa yang mengenyangkan seorang yang berpuasa ( berbuka), Allah akan memberinya minum dari telagaku ini dengan satu minuman yang tidak akan haus sehinggalah ia memasuki syurga " (Riwayat Al-Baihaqi ; Ibn Khuzaymah dalam Sohihnya : rujuk juga Tuhaftul Ahwazi, )

10) Menunaikan solat sunat terawih pada malam hari secara berjemaah buat lelaki dan wanita atau boleh juga dilakukan secara bersendirian. Ia berdasarkan hadith riwayat An-Nasaie yang sohih.

Boleh juga untuk menunaikannya separuh di masjid dan separuh lagi di rumah, terutamanya bagi sesiapa yang ingin melengkapkan kepada 20 rakaat.

11) Memperbanyakkan bersiwak (iaitu menggunakan kayu sugi tanpa air dan ubat gigi). Ia juga sohih dari Nabi SAW dari riwayat al-Bukhari.

12) Amaran bagi berbuka di siang ramadhan tanpa uzur :

Nabi SAW bersabda dalam hadith sohih ancaman berat dengan digantung di dagunya dengan terbalik hingga darah mengalir bagi individu cuai. (lihat Al-Muntaqa min At-Tarhib wa targhib).

Selain itu, Nabi juga menyebut bahawa : "Barangsiapa yang berbuka tanpa uzur pada Ramadhan, maka ia tidak mampu mengantikan kerugian dari puasa yang ditinggalkan itu, walaupun ia berpuasa selama-lamanya" ( Riwayat Abu Daud, Ibn Majah)

Sekian dan Ramadhan Kareem..

Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/
28 Syaaban 1428 H
10 September 2007

( KEMASKINI PADA 31 OGOS 2008 , WALES, UK)

Selamat Menyambut Ramadhan Al-Mubarak

“Sempena kedatangan Ramadhan yang lama dirindui ini, saya menyusun sepuluh jari memohon kemaafaan di atas segala kesilapan dan kesalahan, sepanjang umur saya… Semoga Allah menaungi hati-hati kita dengan kasih silaturrahim yang suci dan dikurnia maghfirah-Nya di atas segala kekhilafan.”

Salam Tulus Ikhlas, Hassan Adli Othman

Marhaban Ya Ramadhan

Allaahumma baariklanaa fi Sya’ban wa ballighnaa Ramadhan

“Ya Allah , jadikanlah puasaku, puasa orang benar-benar berpuasa. Dan ibadah malamku, ibadah orang benar-benar mengerjakan ibadah. Dan jagalah aku dari tidurnya orang yang lalai. Hapuskanlah dosaku wahai Tuhan sekalian alam. Dan Ampunilah aku wahai Tuhan Maha Pengampun daripada segala dosa.”

CHECK LIST AMALAN DI BULAN RAMADHAN

1. Mengucapkan tahniah (Selamat datang Ramadhan atau Selamat menyambut Ramadhan.

2. Niat sebulan bagi malam yang pertama Dan selanjutnya niat untuk Hari-Hari.

3. Sembahyang Isyak berjamaah di masjid/surau.

4. Solat Tarawikh 20 rakaat.

5. Tadarus membaca bersemak Dan berturut-turut juzuk.

6. Tidur malam membaca 4 ayat terakhir Surah Al Kahfi supaya dikejutkan bangun tepat jam 4.00 pagi.

7. Bangun jam 4.00 pagi Dan setengah jam untuk Qiamullail ringan (Solat Tahjud, Solat Taubat Dan Solat Hajat)

8. Jam 4.30 pagi kaum ibu masak sahur.

9. Jam 5.00 pagi/5.15 pagi makan sahur.

10. Jangan tidur sesudah sahur.

11. Solat Subuh berjemaah di Masjid.

12. Tadarus pendek.

13. Matahari tinggi segalah, lakukan solat Isyraq.

14. Menjalankan kerja harian Dan menjaga pancaindera.

15. Jam 11.00 pagi tunaikan Solat Dhuha.

16. Lakukan Solat Kafarah Baul 2 rakaat. Rakaat pertama selepas Fatihah baca Surah Al Kautsar 7 kali Dan rakaat kedua selepas Fatihah baca Surah Ikhlas 7 kali.

17. Jam 12.00 tengahari tidur, niat tidur waktu Qailulah (ganti jaga satu jam diwaktu sahur)

18. Solat Zuhur berjemaah.

19. Tadarus pendek.

20. Sebelah petang kaum ibu menyediakan berbuka petang.

21. Solat Asar berjemaah di Masjid.

22. Jika masa petang jangan gunakan untuk bersiar-siar atau menonton TV yang melibatkan kemaksiatan. Sebaik-baiknya digunakan untuk mengikuti majlis-majlis ilmu atau berdoa kerana waktu itu amat mustajab.

23. Berbuka dengan Ala kadar iaitu minuman yang belum dipanas oleh api atau dengan buah kurma atau buah tempatan.

24. Segera Solat Maghrib di Masjid.

25. Makan malam bersama keluarga.

26. Bersiap sedia untuk ke masjid menunaikan Solat Isyak Dan Tarawikh secara berjemaah.

KELEBIHAN-KELEBIHAN YANG LAIN

1. Menghadiri majlis ilmu setiap langkah di beri pahala ibadah sunah setahun.

2. Mengekali berjemaah diberi balasan dengan disediakan sebuah Bandar khas di Syurga.

3. Membuat hubungan baik kepda kedua ibu bapa, Allah pandang dengan penuh kasih sayang.

4. Isteri taat kepada suami diberi pahala seperti pahala Asiah Dan Mariam.

5. Sesiapa yang menyampaikan hajat saudaranya disampaikan 1000 hajatnya di akhirat.

Mengurangkan berat badan di dalam menjalani ibadah Ramadhan

1. Sebelum puasa timbang badan

2. Kawal berbuka puasa

3. Pastikan semakin lama menunaikan ibadah puasa akan semakin kurang berat badan

4. Elakan daripada makan berlebihan

RANCANG PENINGKATAN IBADAH RAMADHAN

1. Sepuluh Hari yang pertama adakan muhasabah amalan.

2. Sepuluh Hari yang kedua, pastikan keimanan bertambah kuat Dan selaraskan dengan sempena Nuzul Quran.

3. Sepuluh Hari yang ketiga kuatkan azam untuk beramal di malam Al Qadr :

i. Dengan melakukan Solat Maghrib,Isyak Dan Tarawikh berjemaah.

ii. Atau ditambah dengan Solat Subuh berjemaah

iii. Duduk dengan air sembahyang Dan baca Al-Quran, Ayat Kursi, Surah Al Baqarah terakhir (Amanarrasul) , Surah Az-zalzalah, Suraah Al Kafirun, Surah al Ikhlas Dan Surah Yasin.

iv. Bagi kaum ibu yang uzur, baca zikir.

v. Bangun pukul 1.00 pagi tunaikan Solat Sunat Wuduk, Solat Hajat, Solat Tasbih, Solat Taubat, Solat Istikarah.

vi. Jika sedang beramal, badan terasa sejuk Dan terharu maka inilah tanda-tanda mendapat Lailatul Qadar.

SELAMAT TINGGAL RAMADHAN

i. Pastikan Tarawikh terakhirIi. Ucapkan Selamat Tinggal Ramadhan dengan penuh terharu Dan berdoa semoga dipertemukan sekali lagi dengan Ramadhan yang akan datang.