Thursday, November 20, 2008

Menjadi Sahabat Allah swt

*Intipati dari tazkirah Sheikh Nazim Al Haqqani, Ulama sufi Kepulauan Cyprus.

Setiap orang seharusnya berusaha menjadi ‘sahabat’( hamba yang dekat denganNya) Allah, kerana Tuhan tidak pernah menolak para hamba dari mendekatiNya. Alasan utama mendatangi majlis Ilmu dan Zikir, mendalami ilmu-ilmu agama adalah untuk menyiapkan diri meraih kedekatan itu.

Namun perlu diingati,tidak seorang pun dapat menjadi ‘sahabat’ Tuhan tanpa menjadi sahabat bagi semua hamba-hambaNya. Hamba-hambaNYA yang dimaksudkan adalah para nabi dan rasul, khususnya Nabi Muhammad saw, para sahabatnya, dan pewaris para nabi iaitu golongan ulama’. Adalah mudah mengaku sebagai sahabat Tuhan, tetapi tidak mudah menjaga keselarasan dengan sesama manusia. Pencapaian kedekatan dengan ‘jiwa-jiwa’ para kekasih Allah adalah bukti kehambaan seseorang kepada Tuhan.

Mungkin saat ini, selama kamu berada di medan menuntut Ilmu dan majlis Zikir, mudah untuk merasakan kedekatan kamu dengan Allah kerana didampingi teman sesama pencari kebenaran. Namun ketika kembali ke tempat asal akan merasa kesusahan kerana berada bersama mereka yang terkadang tidak mengerti. Maka ingatlah! Bila seseorang hamba telah menjadi 'sahabat' Tuhan, semua orang akan menjadi sahabatnya. Berhasilnya pencapaian kedekatan ini adalah sebuah tanda pengakuan yang berasal dari Hadrat Ilahi.

Bukanlah dimaksudkan secara zahir menjadi menarik atau tertarik pada mereka tetapi tarikan melalui hati yg murni.

Guruku pernah bercerita padaku tentang kisah sepohon bunga di India yang tumbuh hanya di tempat-tempat yang tidak terjangkau dan anehnya selalu dikelilingi oleh ular-ular. Bunga-bunga itu menghasilkan bau wangi yang amat kuat dan siapa yang mengenakan wangian dari bunga tersebut akan dicintai oleh semua orang. Lalu aku katakan: "Guruku, izinkanlah saya pergi mencari bunga itu". Namun jawapan beliau: "Nazim Effendi, tak perlu engkau ke sana. Sepanjang kamu bermuraqabah (waspada) akan Tuhan-mu setelah tengah malam (walaupun hanya sebentar) maka Allah akan menganugerahimu dengan sebuah daya tarikan yang banyaknya 70 kali lebih kuat dari wangi bunga itu. Bahkan jika kamu hanya bangun di akhir-akhir waktu malam ketika yang lain masih tertidur, bahkan tidak melakukan solat, maka keajaiban akan muncul dan kamu akan penuh daya tarik seperti mana wangi bunga itu".

Siapapun yang bangun pada waktu-waktu itu akan meraih perhatian Tuhannya kerana di waktu-waktu itu, Tuhan mencari permohonan ampun hamba-hambaNya untuk diampunkan dosa mereka, meredhai mereka, melimpahkan rahmatNya, bahkan memperkenankan doa mereka . Untuk itu sahutlah sarananku untuk bangun beberapa saat di sepertiga malam, Walaupun hanya 5 minit saja. Anda harus mujahadah (bersungguh), dengan keadaan suci / wudhu, lalu katakan pada Tuhanmu: Ya Tuhanku, datanglah padaku karena aku tidak mampu mendatangi-Mu. Do’a semacam itu cukup untuk memberi kamu perlindungan penuh sepanjang hari itu dan menjadikan kamu sebagai seorang ‘sahabat’ yang ditemani Tuhan.

Manusia melangkaui hari-harinya yang datang dan pergi, dan di malam hari mereka kembali pada kekasih hatinya. Itulah kehendak Tuhan, meminta kamu untuk bersamaNya saja, bahkan hanya untuk 5 minit daripada sekalian waktu kita yang digunakan untuk tidur atau bersenang-senangan. Siapa yang kembali pada Tuhannya di malam hari akan merasakan Allah itu dekat dan mampu untuk pasrah padaNya walaupun di saat-saat waktu yang terberat sekalipun.

Wallahu Waliyyuttaufiq

Hati Penuh Ilmu Jadi Penggerak Amal Soleh

Oleh Dr Juanda Jaya

BUKU boleh menjadi pendorong motivasi dengan syarat ia dibaca kerana Allah dan penuh penghayatan.

Ilmuwan Islam perlu jadi ejen pembaharuan corak pemikiran ummah selari nilai al-Quran, hadis
BUKU adalah khazanah ilmu. Sebuah buku boleh membuat pembacanya menangis, menguatkan azam yang hampir padam, mencerahkan pemikiran dan menghanyutkan perasaan ke satu muara yang bernama kepuasan ilmu.

Buku boleh menjadi pendorong motivasi dengan syarat ia mesti dibaca dengan niat kerana Allah dan penuh penghayatan. Ramai membaca dengan fikiran dan hati kosong, akhirnya mereka tidak mendapat apa-apa. Ada pula yang membaca tetapi menolak nilai baik di dalam buku itu dengan cara menutup ruang untuk melakukan diskusi ilmiah antara maklumat lama dan yang baru dibaca.

Berhati-hatilah dengan fahaman yang sengaja diselitkan tanpa disaring. Jangan pula tidak bertanya kepada pakar terhadap pemahaman yang kurang jelas dipaparkan dalam buku yang dibaca.

Bagi mereka yang tiada masa untuk membaca, agaknya mereka mesti menjawab satu soalan penting:

“Mengapa untuk menonton dan melepak sentiasa ada masa sedangkan untuk buku langsung tiada masa? Mengapa mampu mengeluarkan duit untuk keperluan yang bukan asasi tapi untuk membeli buku bukan main berkira? Kalau anak tak rajin membaca, ibu bapa seharusnya berasa bertanggungjawab secara tak langsung dalam membentuk persekitaran yang kering ilmu itu. Gerbang ilmu adalah membaca dan minat membaca itu perlu dipupuk sejak kecil.

Begitu pula dalam memahami Islam, seseorang mesti mendalami dan menghayati buku yang membuka gerbang maklumat mengenai Islam. Dengan membaca mengenai Islam seseorang sudah membuka hatinya untuk cahaya Allah Taala. Hati yang penuh dengan ilmu menjadi penggerak seluruh amal salih, maka bagaimanakah keadaannya apabila hati tidak menyimpan walau secebis ilmu mengenai Islam?

Fenomena dalam diri umat Islam kini adalah ramai mengalami krisis buta agama. Wujudnya golongan terlalu meremehkan ilmu Islam. Mereka hanya puas dengan ilmu asas yang dipelajari ketika di sekolah rendah saja, seperti ilmu fardu ain yang terlalu cetek bahasanya sehingga pemikiran dan pemahaman mereka mengenai Islam terbatas.

Bukankah ramai sudah berasa cukup apabila sudah khatam al-Quran ketika usia mumaiyiz dan tiada lagi usaha untuk mengkaji tafsirnya? Apabila anak kita mengambil pengkhususan sains, matematik atau perubatan maka menuntut ilmu agama seolah-olah tidak lagi menjadi fardu ‘ain, akhirnya terlepaslah ikatan agama itu daripada jiwa sedikit demi sedikit jika tiada usaha keras untuk kembali kepada hidayah Allah Taala.

Menuntut ilmu Islam tidak semestinya secara formal seperti mengambil kuliah khusus di institusi pengajian Islam. Seorang pakar bedah atau arkitek, wartawan atau ahli politik dan pakar ekonomi misalnya perlu membaca mengenai maklumat Islam terkini dan berdiskusi dengan ilmuwan Islam untuk mendapatkan bimbingan menghayati agama sebagai satu cara hidup.

Apabila mereka tidak mengikuti pelajaran lanjutan mengenai ilmu al-Quran dan sunnah, besar kemungkinan mereka semakin asing dengan agama. Lahirlah generasi buta agama dan hanya tahu agama itu setakat mendirikan sembahyang, bukan diaplikasi untuk mengatur ekonomi dan politik dunia.

Di samping itu, wujudnya golongan masyarakat awam yang belajar Islam daripada sumber tidak jelas, sehingga buta dalil dan nas. Mereka belajar setakat mengikut kata-kata orang yang dianggap sebagai ‘ahli agama’ tanpa diajar untuk beramal mengikut dalil sahih bersandar kepada sunnah Rasulullah SAW.

Timbullah rekaan dalam ibadat yang menyalahi cara ibadat Rasulullah SAW dan salafus salih. Di sinilah tugas dan peranan ilmuwan Islam. Mereka mesti menonjolkan diri di tengah masyarakat, berdiri kukuh sebagai ejen pembaharuan di dalam mencorakkan pemikiran masyarakat selari dengan nilai al-Quran dan al-Sunnah yang asli.

Pendekatan membaca kitab yang muktabar semestinya dipertingkatkan, budaya ilmu hendaklah menjadi keutamaan dalam pendekatan dakwah, penceramah yang juga pakar agama janganlah kedekut menjelaskan seterang-terangnya nas dan dalil yang menguatkan isi ceramah mereka supaya tidaklah umat ini dibiarkan buta dalil sehingga beramal tanpa sandaran kukuh.

Peganglah dengan kuat amanah ilmu dengan menyampaikan yang benar tanpa selindung. Janganlah kerana bimbang ‘pasaran saham’ diri merudum, maka amanah kebenaran itu dibenam kerana takut ‘hilang pasaran arus perdana’.

Inilah disiplin ilmu yang diperlukan umat Islam yang terjajah oleh pemikiran tidak bertanggungjawab angkara perbuatan khianat mereka yang enggan mendedahkan fakta agama yang berteraskan al-Quran dan al-Sunnah yang sahih.

Kekeringan ilmu dan pendedahan nas sahih masih menjadi masalah utama di dalam membezakan antara budaya dan agama. Seolah-olah agama asli seperti yang dibawa Rasulullah SAW dicampuradukkan sehingga memesongkan keasliannya.

Ada yang dipaksa saudara maranya mengadakan kenduri tahlil sempena kematian ahli keluarganya padahal mereka bukan orang kaya, anak yatim yang memerlukan nafkah itu terpaksa merelakan wang hak mereka untuk menjamu orang yang belum tentu mahu menolong mereka jika ditimpa kesusahan.

Yang lebih teruk lagi ustaz mesti diberi sagu hati mengikut adat setempat. Yang memandi, mengkafan dan menyembahyangkan mayat juga dapat bahagian, selepas dikuburkan mayat itu lalu diupah juga pembaca al-Quran untuk menyampaikan pahala kepada si mati.

Akibat tidak didedahkan dengan dalil dan nas sahih, maka bercampur ibadat itu dengan bidaah dan amalan rekaan yang tidak pernah dilakukan Rasulullah SAW, bahkan ia adalah dicela oleh Islam. Baginda SAW mengancam pelaku penyelewengan agama ini di dalam sabdanya yang bermaksud:

“Demi Allah , akulah yang paling takut kepada Allah dan yang paling bertakwa, barang siapa yang berpaling daripada sunnahku maka dia bukan dari kalangan aku.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Al-Imam Ibnu al-Qayim ketika merungkaikan maksud surah al-Hujurat ayat 2 yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suaramu melebihi suara Nabi, dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara yang keras, seperti kerasnya suara sebahagian kamu terhadap sebahagian yang lain, supaya tidak hapus (pahala) amalanmu sedangkan kamu tidak menyedari.”

Beliau berkata: “Jika meninggikan suara mengatasi suara Nabi menjadi penyebab terhapusnya amalan, maka bagaimana pula kedudukan seseorang yang mendahulukan pendapat, akal, siasah dan pengetahuannya daripada apa yang dibawa Nabi SAW, sudah tentulah amalannya lebih mudah terhapus.”

Betapa berbahaya membiarkan umat tenggelam dalam kejahilan! Apabila keadaan umat yang buta ilmu ini dibiarkan berlarutan, maka tidak hairan akan muncul ajaran sesat di tengah masyarakat. Mereka yang suka menambah agama atau menyembunyikan maklumat agama yang sahih ini, tidaklah jauh berbeza dengan sikap rahib Yahudi dan pendeta Nasrani yang suka menokok tambah agama mereka.

Di samping itu jika kejahilan ini tidak segera diatasi maka tidak mustahil generasi baru yang dilahirkan akan membuang identiti agama dalam keperibadiannya. Mereka akan hidup semata-mata mencari kenikmatan dunia. Apabila agama dikalahkan oleh hawa nafsu dan mempertuhankan harta benda maka tunggulah kehancurannya.

Seperti ramalan Rasulullah SAW kebenaran pasti terjadi, yang bermaksud:

“Demi Allah bukan kefakiran yang aku khuatir terhadap kamu semua. Aku khuatir apabila dunia dibentangkan kepada kamu seperti dibentangkan kepada orang sebelum kamu, lalu kamu berlumba-lumba seperti mereka sehingga dunia membinasakan kamu seperti ia sudah membinasakan mereka.” (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Kebutaan terhadap agama menjadi punca kelalaian manusia. Tanpa agama manusia menjadi buas umpama binatang. Sifat kemanusiaan hilang tanpa suluhan ilmu dan nasihat agama. Bagaimanakah jika masyarakat kehilangan orang bijak dan bermoral di tengah-tengah mereka?

Tanggungjawab ilmuwan Islam jujur dan berwibawa tanpa memandang pada fanatisme kumpulan atau mazhab tertentu diharap dapat memperbetulkan keadaan dan mengubati kejahilan dan kelalaian umat ini. Setiap Muslim mesti membuka pemikirannya untuk menghayati Islam mengikut Sunnah Rasulullah SAW sahih dan amalan salafus salih yang benar.

Seelok-eloknya dilepaskan segala kontroversi mazhab yang membawa perpecahan dan penyakit hati, dan kembalilah kepada yang asal dan tinggalkan rekaan palsu hasil tangan manusia yang durjana.

Usahalah mengkaji setiap inci permasalahan ibadat dan juga situasi semasa dengan pendekatan nas dan dalil sahih, dan berpeganglah kepada paksi al-Quran dan al-Hadis ketika pembacaan dan kajian dilakukan.

Setiap Muslim mesti berusaha memahami Islam. Walaupun dia tidak berada di alam persekolahan lagi, dia tetap berkewajipan menunaikan fardu ain yang ditaklifkan ke atasnya iaitu menuntut ilmu agama sepanjang hayat. Tidak akan diterima alasan agama ini tidak sampai kepadanya kerana Nabi SAW diutuskan dan Baginda meninggalkan dua panduan sebagai penyelamat umat iaitu, al-Quran dan hadis.

Mulakan dengan amalan membaca keduanya kemudian mengkaji dengan teliti bagi memperbaiki diri dengan mengambil hidayah Allah . Dekatilah ulama yang mengikuti sunnah Nabi SAW dan tundukkan hati dengan ilmu yang dibekalkan berlandaskan wahyu Ilahi.

Ambillah sebanyak-banyak bekalan ilmu demi keselamatan dunia dan akhirat. Langkah pertama, bacalah kemudian bertanyalah kepada yang alim dan pakar dalam bidang itu.