Monday, November 17, 2008

Terus berdoa, sekalipun zahirnya seperti tidak dimakbul - Haron Din

SOALAN: Berdoa kepada Allah untuk memohon sesuatu adalah digalakkan, dan yang paling makbul doanya adalah yang paling hampir kepada Allah. Kita telah banyak berdoa, termasuk orang-orang yang soleh di kalangan kita, tetapi semacam tidak dimakbulkan, mengapa berlaku demikian, pernahkah doa Rasulullah s.a.w., tidak dimakbulkan Allah SWT. Tolong Dato' jelaskan. - MOHD ALI BAHAROM, Hulu Langat

JAWAPAN: Doa adalah senjata bagi orang mukmin. Mereka yang enggan berdoa kepada Allah, adalah orang yang bongkak.

Al-Quran memaparkan banyak ayat, antaranya firman Allah (mafhumnya): "Berdoalah kepada-Ku, Aku (Allah) akan memperkenankan doa permohonan kamu..." (Surah al-Ghafir, ayat 60)

Firman Allah (mafhumnya): "Apabila hamba-Ku bertanyamu tentang Aku hai Muhammad, maka jawablah Aku (Allah) amat hampir dengan mereka, Aku memenuhi doa yang memohon kepada-Ku. Maka mereka hendaklah memenuhi perintah-Ku dan mereka beriman kepada-Ku agar mereka sentiasa mendapat petunjuk. (Surah al-Baqarah, ayat 186)

Dalam as-Sunnah, terdapat banyak hadis-hadis fi'li (perbuatan) dan hadis-hadis qauli (percakapan) yang jelas baginda Rasulullah s.a.w., berdoa ke hadrat Allah SWT.

Berdoa sememangnya dituntut, itu tugas kita sebagai hamba Allah. Sama ada terima atau tidak, ianya adalah urusan Allah SWT.

Terserahlah kepada Allah dan memohonlah apa sahaja dengan penuh yakin bahawa Allah akan mengkabulkan doa kita. Nescaya Allah akan memenuhinya sama ada cepat atau lambat.

Nabi Allah Ibrahim a.s. sebagai contoh, telah berdoa ke hadrat Allah agar hati-hati manusia tertarik untuk mengunjungi Makkah beramai-ramai, pada waktu Makkah masih menjadi sebuah lembah yang gersang.

Baginda berharap umat manusia datang beramai-ramai menunaikan haji dan membuat umrah, dan dipohonkan rezeki mereka melimpah ruah.

Doa itu dilafazkan ribuan tahun dahulu ketika baginda mendatangi Makkah bersama anak dan isterinya.

Alhamdulillah, Allah SWT memakbulkan doa baginda selepas zaman Nabi Muhammad s.a.w., malah sehingga hari ini semakin jelas doa Nabi Ibrahim a.s., seolah-olah baru dimakbulkan.

Cuba bayangkan, doa Nabi Ibrahim yang disebut sebagai 'khalilullah' - kekasih Allah - sahabat setia Allah, berdoa ke hadrat Allah, ribuan tahun kemudiannya baru jelas dimakbulkan.

Apabila kita sering berdoa, jangan sesekali membuat kesimpulan bahawa doa kita tidak akan dimakbulkan.

Mungkin Allah telah makbulkan doa itu, mungkin dalam bentuk diberikan yang lebih baik daripada apa yang kita pinta.

Kadang-kadang doa kita dimakbulkan cepat, kadang-kadang lambat. Ertinya, apa yang dipohon, tidak semestinya diberi atau ditolak.

Ia adalah suatu ujian kepada kesabaran seseorang hamba. Sama ada Allah berikan sesuatu yang lebih baik, atau Allah berikan ganjaran sewajarnya pada hari akhirat kelak dalam bentuk pahala yang banyak.

Antara sebab-sebab nyata Allah tidak makbulkan doa, seperti yang difirmankan Allah dalam ayat 186, Surah al-Baqarah tadi, iaitu orang-orang yang keimanannya kepada Allah itu, masih berada pada tahap yang boleh dipersoalkan dan kemaksiatan yang dilakukan.

Ada hadis Nabi s.a.w. yang menyebut tentang doa yang tidak dimakbulkan, antaranya (mafhum): "Makan minumlah kamu dengan yang halal, nescaya doamu akan dimakbulkan."

Pada suatu ketika ada seorang yang keadaannya begitu terdesak, mengangkat tangan setinggi-tinggi yang boleh, dan berdoa ke hadrat Allah SWT, memohon kepada Allah, tatkala Nabi s.a.w. melihatnya, lalu baginda bermadah kepada para sahabat, mafhumnya: "Lihat orang itu, makan minumnya haram, pakai memakainya haram, bagaimana mungkin Allah menerima doanya."

Sememangnya semakin hampir seseorang hamba kepada Allah, semakin suci bersih jiwa dan amalannya, maka semakin mudah Allah memakbulkan doanya.

Seperti yang disebut dalam sebuah hadis qudsi, mafhumnya: "Apabila hambu-Ku mendampingi daku, dengan amalan-amalan yang banyak, khususnya amalan-amalan sunat, maka Aku menyukainya, maka apabila Aku menyukainya, akan-Ku tunaikan doanya (hajat)."

Walau hampir dan akrabnya seseorang insan kepada Allah SWT, tidaklah menjadi syarat utama untuk Allah memakbulkan doanya.

Ini kerana, hanya Allah sahaja yang mengetahui kemaslahatan hamba-hamba-Nya. Allah amat mengetahui apa yang hendak diberi dan apa yang tidak perlu diberikan.

Harus kita sedari bahawa dalam kehidupan kita, selain daripada Allah memberi apa yang kita minta, banyak juga kebaikan, rezeki dan sebagainya Allah berikan kepada kita walaupun tidak kita diminta.

Amat sedikit yang tidak diberi, itu pun ada kemaslahatannya.

Mengenai soalan saudara, pernahkah doa Rasulullah sendiri ditolak Allah, jawapannya, ya.

Memang doa Nabi s.a.w. pernah ditolak. Kadangkala doa baginda pun ditolak. Ketika Nabi Muhammad s.a.w., pada zaman awal kebangkitan baginda sebagai Rasul, menghadapi banyak tekanan daripada kaum Quraisy dan anggota keluarganya tidak mahu memeluk Islam.

Malah baginda pernah disakiti sehingga berdoa ke hadrat Allah (mafhumnya): "Ya Allah! Berilah petunjuk kepada kaumku, mereka ini tidak mengetahui."

Doa Nabi ini tidak ditunaikan sepenuhnya. Bukan orang lain, kalangan anggota keluarga, bapa saudaranya, seperti Abu Lahab meskipun didakwah bertubi-tubi, namun mereka lebih bertegas mempertahankan kekufuran mereka.

Malah sampai kepada peringkat menantu Nabi s.a.w sendiri, ada yang tidak beriman, atau lambat beriman.

Apa yang nyata, kaum kerabat Nabi, yang didoa dan diusahakan untuk mereka beriman, akhirnya mati dalam keadaan kufur.

Dalam Kitab Sahih Muslim, hadis 2889 disebut (mafhumnya): "Suatu hari Rasulullah s.a.w. singgah di masjid Bani Muawiyah, ditunaikan solat sunat dua rakaat bersama sahabat, selepasnya baginda berdoa panjang dengan doa yang panjang. Selepas berdoa baginda berpaling ke arah sahabat dan bersabda, "Saya berdoa kepada Allah, tiga perkara, Allah tunaikan dua sahaja dan menolak yang satu lagi. Saya memohon agar umat Muhammad tidak dibinasakan dengan kelaparan, Allah tunaikan. Saya memohon agar jangan mereka dibinasakan dengan banjir yang menenggelamkan mereka, Allah tunaikan. Namun apabila saya berdoa agar jangan mereka bergaduh dan berperang sesama sendiri, Allah tidak tunaikan."

Bagaimanapun kebanyakan doa-doa Nabi s.a.w. dimakbulkan Allah SWT. Doa yang tidak dimakbulkan itu memang ada kemaslahatannya.

Oleh itu berdoalah ke hadrat Allah SWT, kerana ia adalah ibadah. Ibadah dilakukan bukan semata-mata untuk keperluan keduniaan.

Jika kita ikhlas beribadah, insya-Allah Allah akan memberikan ganjaran yang sebaiknya di hari kemudian.

Solat, puasa, zakat, haji, berjihad dan ibadah-ibadah, kita lakukan kerana berhajatkan keredaan Allah atau pahala yang dijanjikan kepada kita pada hari akhirat.

Wallahua'lam.

Tokoh Perjuangan Dari Al-Azhar

Universiti Al-Azhar telah banyak melahirkan tokoh yang memberi sumbangan besar kepada dunia dan Islam secara khususnya.

Antara individu-individu lulusan universiti Islam tertua dunia ini yang dikenali ramai dalam sumbangannya adalah Hassan Al-Banna yang terkenal sebagai reformis sosial dan politik Mesir serta pengasas kepada Ikhwanul Muslimin iaitu kumpulan terbesar dan paling berpengaruh dalam penggerak kebangkitan semula agama.

Dilahirkan pada 1906 di Mahmudiya, Mesir, beliau telah terlibat dengan pembaharuan seawal usia 13 tahun. Hassan juga menyertai demonstrasi dalam revolusi 1919 bagi menentang penjajahan British.

Berjaya menghafaz Al-Quran pada usia 14 tahun, Hassan memulakan pengajian di Dar al-Ulum, Kaherah pada 1923 ketika berusia 16 tahun. Sepanjang empat tahun di ibu negara Mesir memberi pendedahan kepada beliau tentang situasi politik dan bagaimana corak sekular dan Barat telah menembusi masyarakat.

Pada waktu ini jugalah Hassan menyedari bahawa golongan muda semakin jauh daripada landasan agama dan percaya hati dan minda pemuda- pemudi Islam adalah penting dalam mempertahankan kemurnian Islam.

Hassan turut mengikuti kuliah di Al-Azhar yang memberi pendedahan mengenai pandangan-pandangan ulama yang terkini serta ilmu dakwah untuk menyebarkan Islam.

Menjadi guru bahasa Arab pada usia 21 tahun di sebuah sekolah di Ismailiyya dan pada masa tahun yang sama Hassan, adiknya Gamal al-Banna dan lima sahabatnya bersumpah sehidup semati untuk mempertahankan Islam sekali gus tertubuhnya Ikhwanul Muslimin.

Pertubuhan itu seterusnya berkembang pesat dengan lebih setengah juta keahlian tidak termasuk cawangan-cawangan di negara-negara Arab lain malah turut menghantar ribuan tentera dalam perang terhadap Israel pada tahun 1948.

Hassan telah ditembak mati di sebuah pasar pada Februari 1949 pada usia 43 tahun.

Taqiuddin al-Nabhani

Seorang lagi pemimpin terkenal yang dikenali dari Al-Azhar adalah Taqiuddin al-Nabhani, pengasas kepada Hizbut Tahrir.

Dilahirkan pada 1909 di Ijzim, Haifa dan merupakan pakar perundangan Islam dan telah menghafaz Al-Quran pada usia 12 tahun lagi sebelum meneruskan pengajian peringkat rendah dalam bidang Syariah di Haifa.

Beliau mengambil langkah drastik dengan mengikuti kuliah di Al-Azhar dan Dar al-Ulum serentak pada 1928 dan berjaya lulus dengan cemerlang yang membolehkannya mendapat Diploma Syariah Universal.

Penglibatan dalam aktiviti kokurikulum di Al-Azhar anjuran cendekiawan terkenal seperti Sheikh al-Akhdar Hussein memberi peluang kepada beliau untuk mengasah kemahiran dalam perdebatan serta perbincangan.

Selepas pulang ke Palestin beliau berkhidmat sebagai guru dari 1932 hingga 1938 dan Taqiuddin kemudiannya beralih ke arah sistem kehakiman Islam yang masih menggunakan sistem perundangan era Uthmaniyah.

Pada awal 1953, beliau dan beberapa rakan menubuhkan Hizb ut-Tahrir di Quds, Baitulmaqdis namun pembentukan parti tersebut ditentang oleh Jordan yang seterusnya membawa kepada pengharamannya, namun Hizb ut-Tahrir terus berkembang ke seluruh dunia Islam malah turut sampai ke Aceh, Indonesia.

Selepas Taqiuddin meninggalkan Jordan buat sementara waktu untuk melawat Damsyik dan Beirut pada 1955, kerajaan Jordan mengharamkan beliau untuk kembali ke negara itu memaksanya Hizb ut-Tahrir menukar pusat operasi ke Damsyik dan Beirut.

Taqiuddin dipenjarakan di Iraq semasa melawat negara itu pada 1973 dan diseksa teruk namun dilepaskan hanya kerana pihak keselamatan membuat kesilapan apabila mengenal pasti beliau sebagai anggota Hizb ut-Tahrir dan bukan sebagai ketuanya.

Tekanan berterusan dari kerajaan Jordan memaksa beliau melepaskan peranan kepada masyarakat dan tidak lagi dilihat di khalayak ramai kerana takut dibunuh namun beliau meninggal dunia di Beirut pada 20 Disember 1977.

Sheikh Ahmad Yassin

Pengasas Pergerakan Hamas, Sheikh Ahmad Yassin juga merupakan salah seorang daripada lulusan Al-Azhar yang giat memperjuangkan agama, negara dan bangsa,

Sheikh Ahmad Yassin dilahirkan pada tahun 1937 di perkampungan Al-Jura berdekatan bandar Majdal yang ketika itu berada di bawah pemerintahan Mandat British Palestin sebelum berpindah ke Gaza selepas kampung tersebut musnah dalam Perang Israel 1948.

Mengalami kecederaan ketika bersukan pada usia 12 tahun yang membawa kepada kecacatan anggota sehingga terpaksa menggunakan kerusi roda sepanjang hayat.

Ia bagaimanapun tidak menghalang beliau dari melanjutkan pelajaran di Al-Azhar selepas menamatkan pengajian peringkat menengah, ketika pergerakan Islam dan perjuangan nasionalis Arab sedang berkembang pesat.

Yassin kemudian menyertai Ikhwanul Muslimin ketika pengajian beliau di Al-Azhar dan seterusnya terus melibatkan diri dengan cawangan kumpulan tersebut di Palestin.

Semasa Intifada pertama pada tahun 1987, Yassin dan rakan baiknya Abdel Aziz Al-Rantissi menubuhkan Hamas dan menjadi pemimpin kerohanian kumpulan tersebut yang menekankan perjuangan menentang Israel.

Ditangkap dua tahun kemudian bersama hampir 200 anggota Hamas dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana menyerang askar Israel dan penduduk Palestin yang disyaki bersubahat namun Hassan dibebaskan pada tahun 1997 selepas campur tangan arwah Raja Hussein dari Jordan.
Setibanya di Gaza pada 6 Oktober 1997, Yassin mengisytiharkan bahawa sekiranya Israel berundur dari Tebing Barat dan Gaza serta menutup kesemua penempatannya, maka Hamas bersedia berdamai dengan Israel.

Pada September 2003, tiga tahun selepas kebangkitan Intifada kedua di Palestin, Israel gagal dalam cubaan membunuh Yassin namun beliau terkorban pada tahun berikutnya apabila peluru berpandu mengenai keretanya ketika dia baru keluar dari sebuah masjid di Gaza.