Tuesday, October 14, 2008

3 Perkara Pastikan Mukmin Terlindung Tipu Daya Syaitan

TIPU daya syaitan dan bisikan hawa nafsu sentiasa mempermainkan kehidupan seorang insan. Setiap saat kedua-duanya bersatu tenaga merancang untuk merobohkan benteng iman di hati manusia.

Namun begitu, tidaklah Allah menyerahkan bulat-bulat diri orang mukmin untuk menjadi hidangan syaitan dan hawa nafsu mereka. Bahkan Allah akan membersih jiwa orang mukmin itu setiap saat hingga mereka kembali kepada-Nya dalam keadaan sebersih-bersihnya.

Apakah tanda Allah menyucikan diri seorang hamba?

Diturunkan musibah kepadanya lalu dia reda. Dihidupkan jiwanya lalu dia bertaubat. Dipimpin hatinya lalu dia suka beribadat.

Tiga perkara ini besar fungsinya untuk memastikan hamba yang beriman tetap terjaga dan terlindung daripada jenayah hawa nafsu dan tipu daya syaitan. Sehingga dia bertemu Allah dalam keadaan suci, bersih lagi diredai.

Sesungguhnya musibah akan membentuk tiga karakter manusia iaitu manusia yang memiliki jiwa yang unggul, teruji dan benar cintanya kepada Allah kerana musibah berkait rapat dengan perasaan kejiwaan manusia.

Pertama, apakah dia reda dan akur atas kehendak Allah kemudian percaya dengan ganjaran bagi orang yang sabar? Apakah dia menerima musibah itu sebagai hadiah terindah daripada kekasih Yang Maha Mengasihani?

Apakah musibah itu mampu melonjakkan imannya ke tahap lebih tinggi sehingga dia sentiasa meneliti kekurangan diri? Kemudian dia bertanya: “Mengapakah Allah memilih diriku? Apakah dosa yang harus disucikan, bagaimanakah aku harus memperbaiki diri dan amalku?”

Akhirnya, lahir satu keyakinan bahawa Allah akan mengganti musibah itu dengan kebaikan yang akan datang selepasnya. Sesuai dengan firman-Nya bermaksud:

“Sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kemudahan.” (Surah Al-Insyirah, ayat 5)

Kedua ialah jiwa yang memberontak apabila seseorang menerima musibah dengan hati yang berprasangka buruk kepada Allah . Dia berkata: “Tuhan menghinakan aku, menyerahkan aku kepada orang jahat lalu mereka menzalimiku. Tuhan menolak doaku, mencampakkan ibadatku hingga 40 hari, Dia tidak menerima amal salihku. Dia menghukum, menutup pintu langit, menahan rezeki dan mengazabku dengan musibah ini.”

Betapa bijaknya syaitan meniupkan penyakit putus harapan yang mematikan jiwa reda seorang hamba. Hal ini bertentangan dengan suruhan Allah kepada orang yang berdosa dalam firman bermaksud:

“Katakanlah: Wahai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah . Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Zumar, ayat 53)

Ketiga, jiwa yang mudah berpaling. Kesetiaan menjadi faktor terpenting dalam perhubungan, seperti seorang hamba mesti membuktikan setianya kepada Allah dalam setiap keadaan. Susah atau senang, sibuk atau lengang, kaya atau miskin, terkenal atau terlupakan, di atas atau di bawah, disanjung atau dijatuhkan.

Bagaimanapun situasi yang terjadi, hubungan hati dengan Allah tetap terjaga. Tidak pernah melupakan Allah saat senang seperti dia mengingati-Nya di kala susah. Tetapi al-Quran merakamkan keadaan orang yang mudah berpaling ketika dilanda musibah dalam hidupnya.

Firman Allah bermaksud:

“Dan di antara manusia ada orang yang menyembah Allah dengan berada di tepi. Maka jika ia memperoleh kebajikan, tetaplah ia dalam keadaan itu, dan jika ia ditimpa oleh suatu bencana, berbaliklah ia ke belakang. Rugilah ia di dunia dan di akhirat, yang demikian itu adalah kerugian yang nyata.” (Surah al-Hajj, ayat 11)

Sudah selayaknya setiap hamba Allah memandang musibah sebagai satu tanda bahawa Allah mahu membersihkan dirinya, memberi jaminan kafarah atas segala dosanya hingga dia bertemu Allah dengan jiwa yang reda lagi diredai.

Tanda kedua Allah menyucikan seorang hamba ialah dihidupkan jiwanya lalu dia bertaubat. Setiap kali berbuat dosa, hati akan terseksa, takut, sedih dan putus asa mengingati kejahatan diri. Di situlah rahmat bagi orang beriman yang melakukan dosa, dia sentiasa ingat untuk bertaubat, merayu dan memohon maaf kepada Allah .

Bagaikan mati hidup semula, begitulah perumpamaan mengenai jiwa orang mukmin yang kembali kepada Allah .

Keberkatan Surah Al-Ikhlas

Ketika Memulakan Kerja

Bacalah ayat ini sebelum anda memulakan apa-apa saja kerja kerana dengan bacaan ini akan keluarlah iblis dan syaitan yang berada didalam tubuh kita dan juga di sekeliling kita, mereka akan berlari keluar umpama cacing kepanasan.

Sebelum Masuk Ke Rumah

Sebelum anda masuk rumah, bacalah surah Al-Ikhlas (sebanyak 3 kali. Masuklah rumah dengan kaki kanan dan dengan membaca bismillah. Berilah salam kepada anggota rumah dan sekiranya tiada orang di rumah berilah salam kerana malaikat rumah akan menyahut.

Amalkanlah bersolat kerana salam pertama (ianya wajib) yang diucapkan pada akhir solat akan membantu kita menjawab persoalan kubur. Apabila malaikat memberi salam, seorang yang jarang bersolat akan sukar menjawab salam tersebut. Tetapi bagi mereka yang kerap bersolat, amalan daripada salam yang diucap di akhir solat akan menolongnya menjawab salam malaikat itu.

Ketika Sakit

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas sewaktu sakit sehingga dia meninggal dunia, maka dia tidak akan membusuk di dalam kuburnya, akan selamat dia dari kesempitan kuburnya dan para malaikat akan membawanya dengan sayap mereka melintasi titian siratul mustaqim lalu menuju ke syurga. Demikian diterangkan dalam Tadzikaratul Qurthuby).

Khatam al-Quran

Rasulullah SAW pernah bertanya sebuah teka-teki kepada umatnya: Siapakah antara kamu yang dapat khatam Qur'an dalam jangka masa dua-tiga minit? Tiada seorang dari sahabatnya yang menjawab. Malah Saiyidina Ummar telah mengatakan bahawa ianya mustahil untuk mengatam Qur'an dalam begitu cepat.

Kemudiannya Saiyyidina Ali mengangkat tangannya. Saiyidina Ummar bersuara kepada Saiyidina Ali bahawa Saiyidina Ali (yang sedang kecil pada waktu itu) tidak tahu apa yang dikatakannya itu. Lantas Saiyidina Ali membaca surah Al-Ikhlas tiga kali. Rasulullah SAW menjawab dengan mengatakan bahawa Saiyidina Ali betul. Membaca surah Al-Ikhlas sekali ganjarannya sama dengan membaca 10 jus kitab Al-Quran. Lalu dengan membaca surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali qatamlah Quran kerana ianya sama dengan membaca 30 jus Al-Quran.

Pahala Membacanya

Berkata Ibnu Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Ketika saya (Rasulullah SAW) israk ke langit, maka saya telah melihat Arasy di atas 360,000 sendi dan jarak jauh antara satu sendi ke satu sendi ialah 300,000 tahun perjalanan. Pada tiap-tiap sendi itu terdapat padang sahara sebanyak 12,000 dan luasnya setiap satu padang Sahara itu seluas dari timur hingga ke barat.

Pada setiap padang sahara itu terdapat 80,000 malaikat yang mana kesemuanya membaca surah Al-Ikhlas. Setelah mereka selesai membaca surah tersebut maka berkata mereka: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya pahala dari bacaan kami ini kami berikan kepada orang yang membaca surah Al-Ikhlas baik ianya lelaki mahupun perempuan.

Sabda Rasulullah SAW lagi: Demi Allah yang jiwaku ditanganNya, sesungguhnya Qul Huwallahu Ahadu itu tertulis di sayap malaikat Jibrail a.s, Allahhus Somad itu tertulis di sayap malaikat Mikail a.s, Lamyalid walam yuulad tertulis pada sayap malaikat Izrail a.s, Walam yakullahu kufuwan ahadu tertulis pada sayap malaikat Israfil a.s.