Wednesday, July 11, 2012

Mengapa Aktivis Agama Berbeza Sehingga Hampir Berpecah ?

Sebelum ini saya telah pernah menulis perihal kejinya sangka buruk yang sering berlingkar di dalam masyarakat. Hari ini saya ingin mengecilkan sedikit skopnya, bagi menyambung beberapa isi dalam artikel ‘Inginkah  Ulama Malaysia seperti Al-Qaradawi’ yang ada menyebut berkenaan pertelingkahan atau perbezaan pandangan di kalangan graduan agama di tanahair, malah di seantero dunia. Ada mereka yang bertanya lanjut, justeru ini sebahagian ulasannya.

Tidak dinafikan ada juga kedapatan jurutera yang bertelagah, namun mungkin jarang disebabkan ilmu mereka tetapi mereka bertelagah mengenai pangkat, jawatan, gaji, persaingan dan keputusan di tempat kerja. Ya mereka mungkin bertelagah disebabkan urusan dunia.

Demikian doktor, peguam, artitek, akauntan, guru dan sebagainya. Namun pertelagahan menjadi lebih kelihatan buruk apabila punca yang dizahirkan adalah bukan dunia tetapi disebabkan ilmu Islam atau akhirat.

Saya masih baru dalam dunia dakwah, hanya baru berpengalaman menyertainya sejak 20 tahun lalu. Dalam tempoh itulah saya terjun secara khusus dalam bidang dakwah, sama ada secara fardiah atau jama’iyyah. Saya mungkin masih agak mentah berbanding tokoh-tokoh pendakwah lain yang wujud di Malaysia. Namun begitu saya kira, tempoh itu sewajarnya cukup untuk memberi saya masa untuk meneliti antara punca pertembungan di kalangan ilmuan atau graduan agama di Negara kita dan di peringkat antarabangsa.

Sedihnya, jumlah mereka yang berminat kepada ilmu agama dan yang berkait dengannya tidaklah ramai, namun dari jumlah yang tidak ramai ini berlaku pula perselisihan dan pertelingkahan, kutuk mengutuk di antara satu sama lain. Mengapa demikian?

Bayangkan mungkin jumlah yang berminat dengan agama ini hanya 20-30 % dari seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam, dari situ terpecah dan berbalah disebabkan aliran Salafi (digelar wahabi), Khalafi (digelar Ahbash). Terpecah pula disebabkan politik, dan seterusnya terpecah lagi disebabkan berlainan wala’ dan bai’ah masing-masing kepada jemaah Tabligh, ABIM, JIM, IKRAM, ISMA, Tarekat, PAS, Hizb Tahrir dan lainnya.

Justeru, kelihatan semua pihak berlumba-lumba ‘mengejar’ sokongan dan dokongan, adakalanya  SEBAHAGIAN DARI MEREKA menggunakan teknik menghentam pihak yang lain bagi meyakinkan kumpulannya lebih baik dari yang lain. TIDAK MAMPU lagi untuk bersangka baik terhadap pihak lain.  Asyik tidak yakin dengan kemampuan pihak lain.  Snagka buruk akhirnya didahulukan, cuba menelaah niat  'tidak ikhlas' orang lain untuk menjustifikasikan tentangan. Perlukah demikian? Banyakkah keuntungan yang diperolehi oleh Islam dan umatnya melalui cara ini?

Bagaimanakah boleh tertariknya kumpulan majoriti umat Islam yang tidak minat dan tidak ambil berat urusan agama kepada Islam jika itulah gambaran yang terlihat berlaku di kalangan mereka yang serius di bidang agama?.

Ketidaksatuan ini hanya akan lebih memburukkan imej Islam dan muslimin, mengelirukan sesiapa sahaja yang ingin mula berjinak-jinak dengan Islam. Entahlah, tidak diketahui siapa yang perlu memulakan proses perdamaian tetapi yang pasti masing-masing perlu memperbetulkannya bermula dengan diri mereka sendiri.

CONTOH PERTEMBUNGAN MERUGIKAN BERPUNCA SANGKA BURUK
Saya ingin mengambil contoh kepada pertembungan tradisi di antara kumpulan yang dinamakan sebagai salafi dan khalaf, kaum tua dan kaum muda. Secara ringkasnya, antara punca utama pertembungan adalah banyak bergantung kepada sangka buruk serta miscommunication di antara mereka atau juga sengaja mengambil kalam pihak lain secara terpotong (out of context). Berikut adalah maksud saya :-

GELARAN BID'AH
1. Sekumpulan ilmuan yang digelar salafi atau wahabi sering ‘membelasah’ amalan tradisi yang diamalkan oleh ilmuan tempatan dengan nama bid’ah.

SOALAN : Mengapa sebahagian besar ilmuan tradisi melenting apabila amalan yang diiktiraf dan diamalkan oleh mereka dilabel sebagai bid’ah?

JAWAPAN : Kerana majoriti ilmuan salafi telah berusaha sedaya upaya untuk mem’package’ kan bahawa amalan bida’ah itu adalah satu dosa besar. Sebahagiannya menggambarkan bid’ah itu sebagai dosa kedua besar selepas syirik. Selain itu, bid’ah juga digambarkan pula oleh sebahagiannya pelaku bid’ah akan ke neraka disebabkan kerana amalan itu.

AKIBAT : Kumpulan ilmuan tradisi tentulah marah dan merasa diserang, kebijaksanan dan keilmuan mereka dicabar secara ‘keras’ akibat dilabel sebagai pelaku bid’ah. Mereka merasa di ‘jahil’kan oleh kumpulan tadi. Lantaran itu mereka membalas dan sebahagiannya mempertahankan diri.

PUNCA : Sangka buruk ilmuan salafi atau yang digelar ‘wahabi’ bahawa kandungan ilmu, takwil dan takrifan yang dipegang oleh mereka adalah yang paling tepat. Justeru setiap takrif yang tidak bertepatan dengan mereka adalah salah dan sudah tentulah bid’ah.

SEPATUTNYA : Ada beberapa perkara yang sepatutnya iaitu:-

Kedua-dua pihak secara adil dan tenang mengenalpasti isu yang diperbezakan pandangan adalah terdiri dari isu qat’ie atau zanni thubut dan dalalahnya. Jika ia bukan dari isu yang Qat’ie, saya yakin sepatutnya kedua-duanya sewajarnya tahu dan faham bahawa dalam sebarang hukum dan isu yang tidak disandarkan oleh dalil qati’e thubut dan dalalah, mana-mana pihak tidaklah boleh secara putus atau muktamad meyakini pihak lain sebagai salah dan dirinya sebagai wajib betul secara 100 %.
Tidak salah merasakan diri berpegang dengan pandangan yang betul lagi tepat, tetapi yang salah adalah seolah-olah sudah confirm pandangan lain adalah tersasar lalu menafi dan meremehkannya dengan cara yang keras atau penuh sindiran.
Di hari akhir pengajian bersama Syeikhuna Al-Imam Dr Yusuf Al-Qaradawi di Qatar baru-baru ini, beliau menjelaskan, proses tarjih (berijtihad) untuk menentukan pandangan yang paling tepat dan lebih kukuh boleh dilakukan. Selepas itu wajib pula ke atas pihak yang telah memilih untuk beramal dengan pilihannya. Namun ia tidak sekali boleh memburukan (taqbih al-mukhalifin) amalan dan pilihan pihak lain.

Apa yang patut dilakukan sepatutnya adalah menerangkan kepada masyarakat akan mengapa pandangan yang dipegang olehnya lebih kukuh dari pelbagai sudut, tanpa perlu dilekehkan hujah dan pilihan pihak lain. Tindakan itu hanyalah sebagai salah satu tanggungjawabnya selaku ahli ilmu yang inginkan orang ramai mengikuti pandangan yang lebih kukuh pada hematnya. Tapi jangan sekali usaha itu dicemari dengan kutukan terhadap ilmuan yang berbeza pandangan dengannya.

Apabila tindakan memperlekeh, menghina, mengutuk dan membid’ahkan ini dilakukan, ia tidak lain hanya menaikkan amarah ilmuan yang berbeza ijtihad dengannya. Kita harus faham, masing-masing ilmuan mempunyai hak untuk berusaha mencari jalan terbaik untuk mencapai redha Allah swt dan hampir kepada Rasulullah saw.

Alangkah baiknya, jika kita semua berlapang dada dan bersangka baik terlebih dahulu terhadap usaha ilmuan beraliran lain dari kita. Malangnya sangka buruk sering didahulukan, rasa ujub sering menyelubungi diri merasa diri lebih hebat dan bijak serta alim dari pihak lain. Malah, tergambar dibenaknya pihak ilmuan lain itu sengaja mengamalkan pandangan lemah kerana inginkan sesuatu dari dunia yang murah ini, sengaja ingin menyesatkan manusia dan membiarkan manusia ke neraka bersamanya!.

Saya amat berharap kita boleh bersangka baik, tiada siapa yang waras dan berilmu sengaja inginkan dirinya sesat, menyesatkan orang lain dan membawa mereka ke neraka.

GELARAN WAHHABI
 
SOALAN 2 : Mengapa kumpulan ilmuan yang menisbahkan diri mereka kepada manhaj salafi ini MELENTING, TIDAK PUAS HATI apabila ilmuan tradisional (Khalaf) menyerang mereka dengan gelaran Wahhabi?

JAWAPAN : Kerana ilmuan khalaf ini telah berusaha sejak sekian lama mem ‘package’ nama wahhabi sebagai ajaran sesat, mujassimah (menyatakan Allah ada jasad dan jisim) dan terkeluar dari ahli sunnah wal jama’ah.

AKIBAT: Sebahagian besar ilmuan dari aliran ini melenting dan tidak selesa dengan gelaran tersebut kerana seolah mereka memperjuangkan ajaran sesat dan adakalanya ada yang menuduh mereka sebagai kafir.

PUNCA : Memotong ayat dan sangka buruk yang bersarang dalam diri sebahagian pembenci wahhabi. Bayangkan, tidaklah saya faham mengapa kumpulan yang digelar Wahhabi ini boleh digelar sebagai mujassimah, padahal hanya orang bodoh dan terencat aqal sahaja yang akan berani mentajsimkan Allah dan menyamakannya dengan makhluk.

Masakan tidak, jika dirujuk kepada penulisan, ucapan dan sumber kedua-dua ilmuan aliran sama ada khalaf (tradisional) dan salaf, AMAT JELAS KEDUA-DUA MEREKA berpegang teguh kepada firman Allah :-
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ

Ertinya : Tiadalah yang menyerupai Allah dengan sesuatu apapun (dari kalangan makhluknya) ( Surah Al-Shura :11)

Nah, justeru dari mana datangnya salah satu antara dua aliran ini yang mengatakan Allah ada mata, tangan, kaki, kepala yang berjisim dan menyerupai manusia atau mana-mana mahkluk lain?.
Hakikat sebenarnya, apabila kita merujuk kepada sumber kedua-dua kumpulan akan kita dapati bahawa ulama kumpulan Salafi berijtihad mengatakan tiada takwilan pada setiap perkataan yang Allah menyifatkan dirinya, justeru apabila Allah mengatakannya
“Tangan Allah berada di atas mereka” (Surah Al-Fath : 10)

Kumpulan salafi ini berkata, ini bermakna Allah ada mempunyai tangan, namun sifat tangan itu tidak sama dengan manusia dan makhluk dan jangan ditanya perinciannya. Itulah ijtihad ulama bermanhaj salafi.

Namun ada kumpulan yang sengaja mencari salah, lalu ‘memotong’ ijtihad di atas dari boleh diterima kepada suatu kesalahan. Mereka mewarwarkan perkataan yang saya gariskan dan memotong  huraian yang sepatutnya, lalu kelihatanlah kumpulan manhaj salafi ini mengatakan Allah punyai tangan macam manusia dan berjisim. Lalu mereka berusaha mensabitkan bahawa pihak lain ini mentajsimkan Allah.
Begitulah satu contoh bagaimana hal ini berlaku, sama ada ia disengajakan atau tidak. Wallahu’alam. Jika mahu fahamkan lagi bentuk memotong konteks dan mengambil kata bukan yang dimaksudkan ini, bolehlah dibaca lanjut tulisan sahabat saya, Al-fadhil Ustaz Hasrizal DI SINI.

Memang benar, terdapat kemungkinan seseorang penulis itu sememangnya bermaksud sedemikian dan mentajsimkan Allah. Tapi mengapakah mungkin kita memasukkan penulis itu dalam mana-mana kumpulan?. Adalah lebih wajar, kesalahan penulis itu dibebankan kepada dirinya sendiri dan bukan mana-mana kumpulan, kerana tiada siapa yang boleh mendakwa diri dan pandangannya mewakili aliran Wahabi.

SEPATUTNYA : JANGAN MUDAH BEBANKAN KESALAHAN ‘SESAT’, ‘BID’AH, APATAH LAGI KAFIR

Jika kita boleh belajar dari arahan Nabi s.a.w agar berhati-hati dalam bab hudud, iaitu menjatuhkan kesalahan terhadap tertuduh dalam jenayah yang melibatkan hudud, nescaya saya yakin semua kita sepatutnya lebih berhati-hati untuk melabelkan seseorang sebagai:
  • Wahabi yang disifatkan sebagai terkeluar dari ahli sunnah wal jama’ah dan sesat
  • Ahbash yang disifatkan sebagai ahli bid’ah yang berlagak soleh tetapi digambarkan mereka jika berterusan dalam amalan mereka lalu akan ke neraka.
  • Menghina nabi kerana mengggunakan hadis dhoif.
  • Khawarij hanya kerana terdapat pandangan dan tindakannya yang membangkang pihak pemerintah secara terbuka.
  • Ahli bid’ah kerana berzikir beramai-ramai dengan satu nada dan sebagainya.
  • Menjadi wahabi yang sesat dan tajsim Allah, hanya kerana ketika solat mengangkang kaki lebih dari biasa, tangan di atas dada atau menggoyangkan jari.
  • Bermazhab Zahiri hanya kerana terdapat beberapa tulisan dan pandangannya yang cenderung kepada mazhab terbabit.
  • Syiah yang disifatkan sebagai kafir dan sesat hanya kerana terdapat luahan kecintaannya kepada ahli al-bayt.
Sahabat-sahabat yang dikasihi, Rasulullah bersabda :
ادرؤوا الحدود عن المسلمين ما استطعتم فإن كان له مخرج فخلوا سبيله , فإن الإمام أن يخطئ في العفو خير من أن يخطئ في العقوبة

Ertinya : Tolaklah (wahai hakim) pensabitan hukum hudud dari muslimin selagi kamu mampu, sekiranya di sana terdapat jalan keluar maka bebaskanlah dia, kerana sesungguhnya seorang pemimpin yang tersilap dalam memberikan kemaafan (tidak jatuh hukuman), LEBIH BAIK dari yang tersilap (dalam mengenakan hukuman kepada yang tidak bersalah)” (Riwayat Ibn Majah, kitab al-Hudud, no 5004, At-Tirmizi, kitab al-Hudud, no 1424)

Bayangkan tindakan Umar al-Khattab :
أتي عمر رضي الله عنه بامرأة قد حملت فادّعت أنها أكرهت فخلى سبيلها

Ertinya : Pernah dibawakan kepada Umar Al-Khattab seorang wanita yang mengandung tanpa nikah, wanita tersebut mendakwa ia dipaksa (dirogol) maka Umar terus membebaskan wanita terbabit (dari hukuman hudud) ( Riwayat Al-Baihaqi, 8/235)

Imam Ibn Qudamah pula menjelaskan terdapat yang mentakwilkan wanita tersebut hamil bukan disebabkan zina dan persetubuhan tetapi adalah disebabkan dimasukkan mani lelaki tersebut ke dalam kemaluannya. (Al-Mughni, 1/193)

Semuanya ini sepatutnya memberikan kefahaman kepada para ustaz/ah, ilmuan dan graduan agama agar jangan tergesa-gesa melabel, men‘cop’  dan menganggap seseorang yang berbeza pendapat dengannya atau alirannya dalam sesuatu masalah hukum sebagai wahabi, ahbash, syiah, bid’ah, khawarij, muktazilah, murjiah dan lain-lain label yang berat lagi boleh membawa kepada menyesat dan mengkafirkan.

Sedang dalam masalah yang lebih ringan dari kafir dan sesat iaitu hudud pun terdapat hadis di atas menasihatkan agar cuba mencari jalan, bersangka baik dan mentakwilkan apa yang dibaca dan didengari kepada yang lebih baik, seperti mungkin tersalah tulis, kesilapan penerbit dan editor, terlanjur kata, tersasul, terlebih emosi tanpa niat dan sebagainya yang boleh menghalang kita dari tergesa-gesa dari meletak sebarang label.

Malah label-label ini juga sama sekali tidak adil khususnya jika ia dilakukan disebabkan beberapa pandangan sahaja. Perlu diingat satu pandangan yang sama tidak semestinya SESEORANG ITU TERMASUK di dalam package mana-mana aliran. Banyak sekali kemungkinan bahawa seorang ilmuan itu hanya mentarjihkan satu pandangan yang mungkin sama dengan aliran yang ‘digelar wahabi’ tetapi dia sama sekali tidak pernah mentajsimkan Allah, membid’ahkan amalan orang lain dan sebagainya. Namun akibat penyakit sangka buruk dan busuk hati, terdapat individu lain yang memasukkannya ke dalam label ‘wahabi’.

Tindakan itu samalah menuduh seorang yang tidak mentajsimkan Allah, sebagai melakukannya, bukankah itu akan memburukkan keadaan? hanya menyebabkan pihak yang dituduh akan kembali menyerang dan akhirnya berlakulah pertempuran, kutuk mengutuk dari generasi ke satu generasi.

'PACKAGE'  SUATU TEKNIK ‘JAHAT’ MENJATUHKAN PIHAK LAIN

Sama juga dengan individu yang sengaja mengatakan ‘tindakan menyertai demonstrasi aman’ atau membangkang tindakan dan kesalahan pemimpin sebagai khawarij. Persoalan wajar atau tidak demonstrasi & teguran terang-terangan bukan target artikel ini, tetapi saya mengambilnya hanya sebagai contoh, bagaimana hanya disebabkan seseorang itu menyokong bantahan terbuka terhadap pemerintah, lalu di cuba dinamakan dan dilabelkan sebagai khawarij. Sedangkan khawarij itu adalah satu kumpulan yang menentang pemerintah yang merupakan khalifah dengan jalan kekerasan atau menggunakan senjata. Khawarij juga mendakwa dosa-dosa besar menyebabkan kekafiran lalu mengkafirkan pemimpin yang melakukan dosa besar dan menghalalkan darah mereka. ( Rujuk Fiqh Al-Jihad, Al-Qaradawi, 1/200 dan 2/1030)

Adakah mereka yang membangkang ini seperti itu? Saya yakin tidak. Justeru mengapakah dengan mudah cuba untuk melabel dengan label seburuk Khawarij?

Sedangkan mungkin sekali mereka yang dilabel itu sama sekali tidak faham seluruh rukun, polisi dan asas gerakan khawarij yang dikatakan itu. Malangnya disebabkan sangka buruk dan teknik ‘tidak sihat’ dikalangan sebahagian ahli agama, setiap kali apabila mereka berbeza pandangan, mereka kerap mencari nama-nama dan label-label buruk serta diketahui jahat agar boleh dinisbahkan kepada pihak yang berbeza dengannya. Mungkin harapannya agar boleh ‘mematikan’ hujah dan sokongan terhadap pihak sebelah sana.

Justeru, adakalanya kita mendengar gelaran ‘Munafiq’, ‘sama seperti Yahudi’ dan lain-lain label yang boleh terus memburukkan seseorang ilmuan yang tidak dipersetujui itu. Inilah juga yang dialami oleh Syeikhuna Dr. Yusuf Al-Qaradawi, hanya disebabkan satu dua ijtihad beliau yang tidak disukai oleh sekumpulan pengkaji ilmu, beliau dituduh sebagai ulama kerajaan (padahal telah dibuang negara dan dipenjara oleh kerajaannya di Mesir), boneka, munafiq, bekerjasama dengan Yahudi dan Kristian dan lain-lain tuduhan tidak bertanggungjawab.
Nabi s.a.w bersabda :
سباب المسلم فسوق قتاله كفر
Ertinya : Mencela orang muslim itu suatu kefasiqan, dan membunuhnya adalah kufur ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim dari Ibn Mas’ud)

Biasanya, tindakan label melabel ini biasanya adalah hasil dari niat dan hati tidak baik pihak yang melabel kerana mahu segera mematikan kredibiliti mereka yang tidak sama fikiran dan pendapat dengannya. Agar orang awam terus boleh menjauhi mereka dan pandangan mereka sama sekali. Akhirnya ustaz-ustaz terus bertelagah dan orang awam berterusan keliru.

Sebahagian orang awam menjauhkan diri dan sebahagian yang lain mengambil keputusan untuk turut serta menyokong ustaz mereka.

Malanglah kita mempunyai keadaan graduan agama yang sebegini. Kali ini gejala negatif ini bukan hanya berlaku di kalangan graduan agama yang kurang cemerlang di universiti malah yang juga cemerlang. Tetapi mungkin terlalu hairan dengan kealiman sendiri dan terburu-buru, tidak memikirkan cara pelaksanaan dan ajakan kepada sunnah.

TERGESA-GESA INGIN MEMBAWA PERUBAHAN

Memang benar, sunnah itu jelas tetapi cara ajakan itu adalah terdiri dari hukum-hukum mutaghaiyyirat dan perlu mengambil kira keadaan dan kesediaan orang ramai. Mengajar orang ramai dan awam secara tergesa-gesa tanpa proses lunak dan tadarruj hanya mencipta orang awam yang keliru dan merasa layak untuk berfatwa sendiri, merujuk ayat dan hadis  secara sendirian, lalu semakin mudahlah dia tersesat jalan.

Lihat bagaimana Rasulullah membatalkan hasrat baginda untuk mengubah binaan Ka’abah kepada asas yang didirikan oleh Nabi Ismail a.s disebabkan melihat umat Islam di ketika itu belum bersedia untuk Ka’abah diperlakukan sedemikian. Rasulullah bersabda kepada Aisyah :

لو لا أن قومك حديثو عهد بشرك لبنيت الكعبة على قواعد إبراهيم

Ertinya : Sekiranya tidaklah kaummu itu baru-baru sahaja (keluar) dari zaman syirik (menyembah berhala) nescaya sudah tentu akan ku bina semula Kaabah di atas binaan asal nabi Ibrahim ( Al-Bukhari & Muslim)

Demikian juga lunaknya baginda nabi s.a.w. ketika baginda menegur seorang sahabat bernama Mu’awiyah Al-Hakam yang bercakap di dalam solat, Muawayiah menceritakan walaupun sahabat-sahabat lain marah-marah dan membuat pelbagai isyarat keras kepadanya, namun sesudah solatnya, baginda hanya menerangkan kepadanya tanpa menyakitinya, memukulnya atau mencelanya, baginda bersabda
 
إن هذه الصلاة لا يصلح فيها شيء من كلام الناس , إنما هو التسبيح والتكبير وقراءة القرآن

Ertinya : Sesungguhnya ini adalah solat, dan tidak boleh didalamnya kecuali tasbih takbir dan bacaan al-Quran” ( Riwayat Muslim) 

KESIMPULAN
Sebenarnya banyak lagi hasil pemerhatian yang ingin dikongsikan, cuma cukuplah sekadar itu buat dahulu masa ini. Itupun belum tentu ingin dibaca oleh graduan-graduan agama yang asyik bertelagah ini, mungkin disebabkan saya bukan dari aliran mereka, malah saya bukan dari mana-mana aliran. Salafi tidak memasukkan saya sebagai manhaj salafi, khalaf juga menolak saya dari kalangan mereka.
Atau dalam bahasa mudahnya:

“Pendokong Wahhabi tidak menganggap saya dari kalangan mereka kerana saya tidak membid’ahkan amalan orang lain, pendokong khalaf juga tidak menganggap saya dari kalangan mereka kerana tidak membantai Wahhabi.”

Atau mereka bakal menolak tulisan ini kerana saya bukan graduan dari universiti yang mereka hormati..
Sebab itulah saya menyatakan kita perlukan seorang graduan cemerlang dari pelbagai universiti dan Negara sebagaimana yang disebutkan di dalam artikel sebelum ini. Semoga beliau kelak mampu meredakan pertelingkahan merugikan ini.

Lebih menyedihkan, sehingga sampai satu tahap kebencian di antara mereka ini, ada yang cuba memalukan antara satu sama lain memalukan dengan mencela kelulusan agama, wajah, tubuh, dan cuba pula memalukan keluarga pihak yang dibenci itu. Adakah ini merupakan amalan sunnah dan boleh menghampirkan diri kepada Allah?

Paling menyedihakan, sudah sampai satu tahap dimana perpecahan ini mengakibatkan satu pihak mengharapkan kematian pihak yang tidak sependapat dengannya atau bergembira dengan kematian individu tidak sependapat dengannya (jika berlaku).

Seringkali saya cuba mengingatkan diri dan sahabat-sahabat awam yang mula berjinak dengan mana-mana kumpulan dan aliran agar segera sedar tipu daya Syaitan ini. Syaitan sedang cuba membelit kita, kononnya berjuang untuk kesucian agama dan sunnahnya tetapi rupanya terpedaya dengan syaitan sehingga menggadaikan larangan qati’e yang ditegah oleh Allah dan rasulNya iaitu  sangka buruk, mengadu domba, merendah dan memperlekeh manusia serta mengumpat dan mencela orang lain. Sedang isu yang diperjuangkan 90 % antaranya adalah hanya isu yang bersifat zanni.

Berterusan sebahagian dari mereka melanggar larangan qat’ie kerana memperjuang arahan yang bersifat zanni?

Saya akui, saya sendiri mungkin tidak terlepas dari apa-apa inti yang disebutkan di atas dan dengan itu saya memohon keampunan serta beristighfar kepada Allah swt atas kelemahan-kelemahan diri. Sentiasa berusaha ke arah kesatuan dan sikap hormat menghormati yang lebih positif.
Saya memohon kemaafan jika sebahagian bahasa dalam tulisan ini menyinggung sesiapa dan aliran yang mereka dokongi tanpa hikmah. Tujuan dan harapan saya hanyalah untuk melihat sebuah kesatuan dan toleransi di kalangan ahli agama dalam bab yang cabang atau usul yang zanni serta bersepadu dalam membanteras yang sepakat salahnya sama ada isu cabang atau usul.

Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
18 Feb 2011

Thursday, July 5, 2012

Anak kita, Tanggungjawab Kita

Sebelum anda terus membaca buku ini, cuba gambarkan wajah setiap seorang dari anak-anak anda. Kemudian anda tanyakan diri anda; Berapa orangkah dari mereka yang anda rasa dapat menyelamatkan anda di akhirat nanti? Berapa orangkah yang akan mendoakan anda apabila anda mati kelak? Berapa orangkah yang akan meminpin tangan anda untuk masuk ke syurga?

Anak-anak kita adalah simpanan berharga untuk kita di akhirat. Apabila tibanya saat kematian kita di mana segala pahala dari amalan kita terputus, merekalah yang dapat kita harapkan untuk menyambung pahala kita dan mendoakan kesejahteraan kita di alam kubur dan memohon keampunan Allah untuk kita. Sabda Rasulullah s.a.w.;

إذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ: إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ، أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ، أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
“Apabila matinya seorang manusia, terputuslah pahala amalannya kecuali dari tiga perkara iaitu:
Sedekah jariah
Ilmu yang diambil manfaat dengannya
Anak yang soleh yang mendoakan untuknya”.
(Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

Setiap dari kita wajib menjaga dan mendidik anak-anak kita supaya menjadi anak yang soleh. Anak kita adalah tanggungjawab kita. Anak-anak bukan sekadar anugerah Allah kepada kita, tetapi yang lebih besar dari itu mereka merupakan amanah yang dipikulkan Allah ke atas bahu kita. Allah ingin menguji kita; adakah kita bersungguh-sungguh menjaga dan mendidik mereka atau tidak?

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedangkan kamu mengetahui. Dan ketahuilah bahawa harta-benda kamu dan anak-anak kamu adalah ujian (bagi kamu), dan sesungguhnya Allah di sisiNya pahala yang besar”. (al-Anfal: 27-28)

Di dalam al-Quran Allah memerintahkan kita agar memelihara diri kita dan juga ahli keluarga kita (yakni isteri dan anak-anak kita) dari api neraka. Allah berfirman;

“Wahai orang-orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya terdiri dari manusia dan batu…”. (at-Tahrim: 6)

Dalam menghuraikan maksud memelihara keluarga dari api neraka, Saidina Ali berkata; yakni “kamu didiklah mereka serta ajarlah mereka”. Berkata Imam Qatadah; ‘yakni kamu menyuruh mereka supaya mentaati Allah dan menegah mereka dari memaksiatiNya serta kamu melaksanakan tanggungjawab kamu terhadap mereka dengan agama Allah, kamu memerintahkan mereka dengannya dan membantu mereka untuk melaksanakannya. Apabila kamu melihat mereka melakukan maksiat, tegahlah mereka”. Menurut Imam Muqatil; “Menjadi suatu kewajipan ke atas setiap lelaki muslim untuk mengajar ahli-ahli keluarganya (isteri dan anak-anaknya) apa yang difardhukan Allah ke atas mereka dan apa yang ditegah Allah dari mereka”. (Rujuk: Tafsir Ibu Kathir)

Apa makna anak soleh?

Anak yang soleh bukan sahaja anak yang bersopan-santun dan taat kepada ibu-bapa sebagaimana yang disangka oleh kebanyakan kita, tetapi yang lebih utama dari itu ialah anak yang menjaga agamanya. Anak yang soleh ialah anak yang ta’at kepada Allah, yang tahu kewajipannya sebagai hamba Allah dan tahu tanggungjawabnya kepada agamanya. Apabila seorang anak dididik dengan taat kepada Allah dan patuh kepada suruhan agama, Insya’Allah anak itu secara otomatik akan taat kepada ibu-bapanya dan akan menjaga akhlaknya di mana-mana sahaja ia berada.

Bagaimana mendidik anak menjadi soleh?

Tidak ada cara mendidik anak yang paling baik dan paling berkesan melainkan dengan cara didikan Islam. Langkah pertama ke arah didikan anak yang sempurna ialah keazaman ibu-bapa itu sendiri untuk kembali menghayati Islam dan menghidupkan Biah Islamiyyah (yakni suasana keislaman) di dalam keluarga dan rumah. Hanya anak yang hidup di dalam suasana keislaman yang dapat menghayati Islam dan seterusnya berjaya dibentuk menjadi anak yang soleh.

“Wahai orang-orang beriman! Sahut dan sambutlah seruan Allah dan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang akan menjadikan kamu hidup sempurna”. (al-Anfal: 24)

Seterusnya di bawah ini kita bentangkan perkara-perkara yang mesti kita lakukan untuk melahirkan anak-anak yang soleh;

1. Didiklah anak-anak kita mengenali Allah

Kita selalu mendengar ungkapan dari para ulama’ yang menyebutkan;

أَوَّلُ الدِّيْنِ مَعْرِفَةُ اللهِ
“Asas agama ialah mengenal Allah”.

Perkara pertama yang wajib kita ajarkan kepada anak-anak kita ialah kalimah Syahadah (لا إله إلا الله، محمد رسول الله). Mengajar kalimah Syahadah bukan hanya mengajar menutur atau mengucapkannya sahaja sebagaimana yang dilakukan oleh kebanyakan orang hari ini, tetapi juga mengajar apa pengertian kalimah tersebut?, apa yang tuntut olehnya? dan apa perkara-perkara yang bertentangan dengan kalimah tersebut yang mesti dijauhi dari melakukannya?.

Kita perlu memberitahu anak-anak kita –dari semasa ke semasa- bahawa dengan mengucapkan kalimah tersebut mereka telah mengisytiharkan diri mereka beriman kepada Allah. Oleh demikian, mereka wajib mentaati Allah pada setiap ketika dan dalam setiap gerak-geri serta tingkah-laku mereka. Pada masa yang sama, mereka wajib menolak segala yang bertentangan dengan kehendak Allah sama ada yang berupa agama (yang lain dari Islam), fahaman, ideologi, budaya, gaya hidup, tingkah-laku, peraturan, undang-undang dan sebagainya. Inilah tuntutan kalimah Syahadah yang dapat kita fahami dari firman Allah:

“Dan sesiapa mengingkari taghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia berpegang dengan simpulan yang teguh, yang tidak akan putus selama-lamanya. Dan Allah maha mendengar lagi maha mengetahui”. (al-Baqarah: 256)

Menurut Imam Sa’id bin Jubair dan Imam ad-Dhahhak; yang dimaksudkan dengan ‘simpulan yang teguh’ (العروة الوثقى) dalam ayat di atas ialah kalimah “لا إله إلا الله”. Adapun thagut, maknanya ialah ‘segala yang menyesatkan manusia’ sama ada Iblis, Syaitan dan sebagainya.

2. Pastikan anak-anak kita sentiasa mendirikan solat dan menjaga ibadah-ibadah wajib yang lain
Rasulullah s.a.w. sendiri telah berpesan kepada kita supaya mengambil berat perihal solat anak-anak kita, di mana baginda bersabda;

مُرُوْا أَوْلاَدَكُمْ بِالصَّلاَةِ وَهُمْ أَبْنَاْءُ سَبْعِ سِنِيْنَ، وَاضْرِبُوْهُمْ عَلَيْهَا وَهُمْ أَبْنَاْءُ عَشْرِ سِنِيْنَ
“Suruhlah anak kamu mengerjakan solat apabila ia telah berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika enggan mengerjakan solat sedangkan mereka telah berumur sepuluh tahun”. (Riwayat Imam Ahmad, Abu Daud dan al-Hakim dari Abdullah bin Amru r.a.)

Solat adalah tiang agama. Menunaikan solat beerti menegakkan agama dan meninggalkannya beerti mengabaikan agama. Dalam pendidikan, solat mempunyai rahsia didikan yang amat hebat kepada anak-anak kita. Di samping mendidik anak-anak kita agar sentiasa ingat kepada Allah, solat menjadi benteng kepada mereka dari keruntuhan ahklak dan gejala social. Ini melihat kepada kekuatan yang ada pada solat dalam mencegah manusia dari melakukan dosa dan munkar sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah sendiri;

“Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan munkar”. (al-Ankabut: 45)

Adalah mustahil jika kita hendak mengekori anak-anak kita ke mana saja mereka pergi untuk memastikan mereka berbuat baik di mana-mana sahaja mereka berada. Namun jika kita berjaya mendidik anak kita dengan solat sehingga solat itu melekat dalam jiwa mereka, yakinlah bahawa sekalipun tanpa kehadiran kita, mereka akan tetap istiqamah dengan kebaikan kerana solat akan membenteng mereka dari melakukan kejahatan dan maksiat.

Selain dari solat, kita juga wajib mengasuh mereka menjaga ibadah-ibadah wajib yang lain seperti puasa, zakat, haji dan sebagainya.

3. Bekalkan ilmu agama yang secukupnya kepada anak-anak kita?

Menuntut ilmu agama diwajibkan oleh Allah ke atas setiap orang Islam sama ada lelaki atau perempuan. Sabda Rasulullah s.a.w:

طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيْضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
“Menuntut ilmu (agama) adalah fardhu ke atas setiap orang Islam”. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan at-Thabrani dari Anas r.a. dan al-Hasan bin Ali r.a.)

Bagi anak-anak, tanggungjawab mengajar ilmu agama kepada mereka asalnya adalah kewajipan ibu-bapa. Namun jika ibu-bapa tidak mampu mengajar sendiri anak-anak mereka, mereka wajib mencari seorang guru/ustaz yang dapat mengajar anak-anak mereka segala hal yang wajib diketahui tentang agama merangkumi;
a) Ilmu aqidah
b) Ilmu Ibadah
c) Ilmu halal dan haram (dalam makanan, percakapan, tindakan, pergaulan dan sebagainya)
d) Ilmu tentang hati dan rohani
e) Ilmu tentang kewajipan sebagai seorang muslim
f) Ilmu untuk membaca al-Quran
g) Ilmu tentang adab-adab sebagai seorang muslim

Kita melihat hari ini ramai ibu-bapa mengabaikan pengajian ilmu agama kepada anak-anak mereka. Mereka lebih menekankan ilmu-ilmu duniawi seperti sains, matematik dan sebagainya. Mereka sanggup menghabiskan wang yang banyak bagi memastikan anak-anak mereka lulus dengan cemerlang dalam ilmu-ilmu tersebut. Namun ilmu agama mereka abaikan. Mereka tidak pernah risau anak-anak mereka jahil tentang agama asalkan pandai ilmu-ilmu lainnya. Kerana itu tidak hairanlah jika kita dapati hari ini ramai anak-anak orang Islam yang semakin liar dari agama; meninggalkan solat, tidak tahu membaca al-Quran, tidak menutup aurat dan mudah terjebak dengan maksiat dan munkar. Semua gejala ini puncanya tidak lain dari pengabaian terhadap didikan agama oleh ibu-bapa.

4. Hidupkan dalam rumah kita Biah Islamiyyah (suasana keislaman)

Anak-anak memerlukan qudwah (yakni contoh/tauladan) untuk menjadi anak-anak yang soleh. Qudwah ini seharusnya bermula dari ibu-bapa dan juga suasana di rumah. Biah atau suasana di rumah mempunyai peranan yang besar dalam membentuk anak-anak. Oleh demikian, suasana keislaman di dalam rumah hendaklah dihidupkan. Pada masa yang sama, elakkanlah sebarang bentuk maksiat dan munkar dari rumah kita. Selain itu, menghidupkan sunah Nabi di dalam rumah juga memberi kesan besar dalam mewujudkan biah/suasasa keislaman di dalam rumah. Antara sunnah Nabi s.a.w. yang perlu kita praktikkan di rumah ialah;

a) Membaca al-Quran di rumah

Seboleh-bolehnya, ibu-bapa hendaklah menunjukkan minat mereka terhadap al-Quran dengan selalu membacanya di rumah di hadapan anak-anak mereka. Dalam satu hadis, Rasulullah mengibaratkan rumah yang tidak dibacakan al-Quran di dalamnya umpama kubur-kubur. Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda;

لاَ تَجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ مَقَابِرَ، إِنَّ الشَّيْطَانَ يَنْفِرُ مِنَ الْبَيْتِ الَّذِي تُقْرَأُ فيه سُورَةُ الْبَقَرَةِ
“Jangan kamu jadikan rumah-rumah kamu sebagai kubur. Sesungguhnya syaitan melarikan diri dari rumah yang dibacakan di dalamnya surah al-Baqarah”. (Riwayat Imam Muslim)

Bagi ibu-bapa yang tidak berkesempatan membaca al-Quran di rumah atau tidak berkemampuan membacanya, maka sebagai alternatif lain untuk menghidupkan suasana al-Quran di rumah ialah dengan memutarkan kaset-kaset atau cd-cd al-Quran di dalam rumah pada setiap hari terutamanya di waktu pagi dan pada masa anak-anak berhimpun di rumah.

b) Mengerjakan solat-solat sunat di rumah

Sabda Rasulullah s.a.w.;

صَلُّوْا أَيُّهَا النَّاسُ فِيْ بُيُوْتِكُمْ؛ فَإِنَّ أَفْضَلَ الصَّلاةِ صَلاَةُ المَرْءِ فِيْ بَيْتِهِ إِلاَّ المَكْتُوْبَةَ
“Kerjakanlah solat –wahai manusia- di rumah-rumah kamu. Sesungguhnya solat yang paling afdhal ialah seseorang mengerjakan solat di rumahnya kecuali solat yang fardhu”. (Riwayat Bukhari dan Muslim dari Zaid bin Thabit r.a.)

Dalam hadis yang lain Rasulullah s.a.w. bersabda; “Kerjakanlah sebahagian solat kamu dirumah kamu. Janganlah kamu jadikan rumah-rumah kamu ibarat kubur”. (Riwayat Imam Muslim dari Jabir r.a.)

Antara solat sunat yang digalakkan untuk dikerjakan di rumah ialah solat dhuha, solat tahajjud, solat hajat, solat taubat, solat tasbih, solat witir, solat sunat yang mengiringi solat fardhu dan sebagainya. Ibu-bapa yang selalu mengerjakan solat-solat sunat di rumah akan memberi qudwah kepada anak-anak dalam menanamkan sikap suka beribadah dan meningkatkan kesedaran rohani mereka.

Lebih baik lagi jika anak-anak turut diajak bersama-sama mengerjakan ibadah-ibadah tersebut. Adalah harus –sebagai latihan- pada selang-selang waktu tertentu solat-solat sunat tersebut (khususnya solat malam atau qiyamullail) dilakukan secara berjamaah bersama ahli keluarga dengan diimankan sendiri oleh bapa sebagai ketua keluarga. Sabda Rasulullah s.a.w.:

إذا أيْقَظَ الرَّجُلُ أَهْلَهُ مِنَ اللَّيْلِ فَصَلَّيَا ـ أَوْ صَلَّى ـ رَكعَتينِ جَمِيعاً كُتِبَا في الذَّاكِرِينَ اللّه كَثِيراً وَالذَّاكِرَاتِ
“Jika seorang lelaki mengejutkan ahli keluarganya pada waktu malam, lalu mereka mengerjakan solat dua rakaat bersama-sama, nescaya mereka berdua akan ditulis/disenaraikan di kalangan lelaki-lelaki yang banyak berzikir dan perempuan-perempuan yang banyak berzikir”. (Riwayat Imam Abu Daud dari Abi Said r.a.)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda; “Allah mengasihi seorang lelaki yang bangun menunaikan solat malam, kemudian ia mengejutkan isterinya…Begitu juga, Allah mengasihi seorang perempuan yang bangun menunaikan solat malam, kemudian ia mengejutkan suaminya…”. (Riwayat Abu Daud dari Abu Hurairah r.a.)

c) Hidupkan budaya memberi salam

Anas r.a. menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda kepadanya;

يا بُنَيَّ إذَا دَخَلْتَ على أهْلِكَ فَسَلِّمْ تَكُنْ بَرَكَةً عَلَيْكَ وعلى أهْلِ بَيْتِكَ
“Wahai anakku! Jika kamu masuk menemui ahli keluargamu (di rumah kamu) maka berilah salam kepada mereka, nescaya akan dilimpahi keberkatan ke atas kamu serta ahli rumah kamu”. (Riwayat Imam at-Tirmizi dari Anas r.a.)

Memberi salam bermakna kita mendoakan keselamatan dan kesejahteraan kepada orang yang kita ucapkan salam kepadanya. Apabila ibu-bapa mengucapkan salam kepada anak-anak mereka (tatkala baru sampai di rumah atau tatkala ingin keluar dari rumah atau ingin berpisah dengan mereka) maka ia telah mendoakan keselamatan dan kesejahteraan untuk mereka. Apabila mereka menjawabnya, maka mereka mendoakan pula keselamatan dan kesejahteraan untuk bapa atau ibu mereka. Fenomena saling doa-mendoakan ini pastinya akan mewujudkan suasana harmoni dan kasih-sayang di dalam keluarga.

Rasulullah s.a.w. pernah bertanya para sahabat baginda; “Mahukah aku tunjukkan kepada kamu suatu amalan yang jika kamu lakukan nescaya kamu akan saling berkasih-sayang?”. Jawab mereka; “Ya”. Lalu baginda bersabda;

أفْشُوا السَّلامَ بَيْنَكُمْ
“Hidupkan budaya memberi salam antara sesama kamu”.
(Riwayat Imam Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

d) Praktikkan adab-adab Islam di dalam rumah.

Antara adab-adab Islam yang perlu dipraktikkan oleh ibu-bapa serta ahli keluarga di rumah ialah adab ketika makan, adab ketika masuk dan keluar tandas, adab berpakaian, adab anak-anak ketika hendak masuk ke bilik ibu-bapa (terutamanya apabila anak-anak telah mumayyiz), adab keluar dan masuk rumah, adab tidur dan bangun dari tidur dan sebagainya. Adab-adab ini amat penting kerana ia melibatkan amalan dan rutin harian yang boleh memberi contoh berkesan kepada anak-anak dalam meningkatkan roh keislaman mereka.

5. Dekatkan anak-anak kita dengan masjid, mushalla atau surau

Dalam hal ini, terdapat hadis Rasulullah s.a.w. menyebutkan;

إِذَا رَأَيْتُمُ الرَّجُلَ يَعْتَاْدُ الْمَسَاْجِدَ فَاشْهِدُوْا لَهُ بِالإِْيْمَاْنِ
“Jika kamu lihat seorang lelaki selalu berulang-alik ke masjid, maka saksikanlah untuknya dengan iman (yakni akuilah bahawa ia sememangnya seorang yang benar beriman)”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Tirmizi dan Ibnu Majah dari Abi Sa’id r.a.)

Masjid adalah rumah Allah. Orang yang hatinya terikat dengan masjid menunjukkan bahawa jiwanya dekat dengan Allah. Alangkah bertuahnya kita jika anak-anak kita memiliki hati dan jiwa sedemikian. Oleh itu, perlulah kita berusaha bersungguh-sungguh mendekatkan anak-anak kita dengan masjid, atau sekurang-kurangnya surau atau mushalla. Dalam satu hadis, Rasulullah s.a.w. menceritakan tujuh orang yang akan mendapat perlindungan Allah di akhirat, antara mereka ialah ‘seorang pemuda yang membesar dalam ibadah kepada Allah dan seorang lelaki yang hatinya terikat dengan masjid’. (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim dari Abu hurairah r.a.)

6. Tanamkan semangat jihad dan perjuangan Islam ke dalam jiwa anak-anak kita

Semangat jihad yang kita maksudkan ialah semangat cintakan agama dan kesedaran untuk berkorban demi agama. Ramai di kalangan kita menganggap anak-anak belum tiba masanya untuk didedahkan dengan semangat jihad kerana mereka masih kecil. Anggapan ini ternyata salah. Sebenarnya dari kecillah kita perlu tanamkan semangat jihad ke dalam diri anak-anak kita supaya mereka akan terbiasa dengan semangat ini sejak awal mereka mengenali dunia dan kehidupan lagi. Lebih-lebih lagi apa yang disemai ketika kecil akan melekat kukuh dalam jiwa manusia sebagaimana kata hikmah;

اَلتَّعْلِيْمُ فِي الصِّغَاْرِ كَالنَّقْشِ فِي الْحَجَرِ
‘Pengajaran semasa kecil umpama memahat di atas batu”.

Untuk menyemai semangat jihad dan perjuangan Islam ini, antara usaha yang perlu kita lakukan ialah dengan menceritakan kepada anak-anak kita –dari masa ke semasa- sejarah/sirah perjuangan Nabi kita Muhammad s.a.w. dan juga tokoh-tokoh pejuang Islam terdahulu terdiri dari para Nabi dan Rasul, para sahabat, para alim-ulama’, para Syuhada’ dan sebagainya.

Amat menyedihkan kita apabila melihat anak-anak umat Islam hari ini di mana mereka lebih mengenali artis-artis dan pelakon-pelakon dari mengenali para Nabi dan Rasul, tokoh-tokoh Islam, ulama’-ulama’ dan para pejuang Islam. Keadaan ini memerlukan usaha bersungguh-sungguh dari kita sebagai ibu-bapa untuk mengubahnya.

7. Tanamkan kepada anak-anak kita sikap cintakan ilmu dan majlis ilmu

Antara perkara yang perlu kita tanamkan sungguh-sungguh ke dalam jiwa anak-anak kita dalam usaha kita mendidik mereka menjadi anak-anak yang soleh ialah sikap cintakan ilmu dan sukakan majlis-majlis ilmu. Dengan adanya semangat cintakan ilmu dan majlis ilmu akan timbullah keinginan dalam diri anak-anak kita untuk menuntut ilmu agama secara berterusan hingga ke akhir hayat mereka tanpa had umur atau batasan waktu.

Jika kita perhatikan majlis-majlis ilmu hari ini, boleh dikatakan keseluruhan yang hadir ialah golongan dewasa dan juga orang-orang tua. Di mana anak-anak atau kanak-kanak? Kenapa mereka tidak dibawa bersama oleh ibu-bapa mereka untuk sama-sama menuntut ilmu? Demi masa depan anak-anak kita, marilah kita ubah keadaan ini. Marilah kita bawa bersama anak-anak untuk sama-sama berada di dalam majlis ilmu yang diibaratkan oleh Rasulullah s.a.w. sebagai taman syurga. Baginda bersabda;

إذا مَرَرْتُمْ بِرِياضِ الجَنَّةِ فارْتَعُوا. قالُوا: وَمَا رِياضُ الجَنَّةِ يا رَسُولَ اللّه قَاْلَ: مَجَاْلِسُ الْعِلْمِ
“Apabila kamu berjalan melalui taman syurga, maka singgahlah di situ”. Lalu sahabat bertanya; “Apa itu taman syurga, ya Rasulullah?”. Jawab Rasulullah; “Iaitulah majlis-majlis ilmu””. (Riwayat Imam at-Thabrani dari Ibnu ‘Abbas r.a.)

8. Perhatikan dengan siapa anak-anak kita berkawan.

Kita tidak boleh mengongkong anak-anak kita dari berkawan. Namun apa yang kita perlu lakukan ialah memastikan anak-anak kita memilih kawan-kawan atau teman-teman yang baik supaya ia tidak terjebak ke dalam kejahatan dan maksiat kerana pengaruh kawan. Hal ini merupakan pesanan Rasulullah s.a.w. di mana baginda bersabda;

اَلْمَرْءُ عَلَى دِيْنِ خَلِيْلِهِ، فلْيَنْظُرِ امْرؤٌ مَنْ يُخَالِل
“Seseorang itu berada di atas agama temannya. Oleh itu, hendaklah setiap dari kamu memerhatikan dengan siapa ia berteman”. (Riwayat Imam Abu Daud dari Abu Hurairah r.a.)

Di dalam hadis di atas, Rasulullah s.a.w. berpesan kepada kita agar pandai memilih kawan/teman kerana kawan boleh mempengaruhi pengamalan agama kita. Maka sebagai ibu atau bapa, pesanan yang sama perlu kita sampaikan kepada anak-anak kita kerana mereka adalah tanggungjawab kita.

9. Mohonlah sentiasa dari Allah agar dikurniakan anak yang soleh

Doa adalah senjata kita orang-orang beriman. Dengan doa kita boleh memohon apa sahaja hajat kita dari Allah. Malah Allah amat suka hamba-hambanya yang banyak berdoa dan bermohon dariNya. Salah satu perkara yang perlu selalu kita pohonkan dari Allah ialah anak-anak yang soleh. Seboleh-bolehnya setiap kali kita berdoa, kita tidak lupa berdoa agar kita sekelian dianugerahkan Allah anak-anak yang soleh. Antara bentuk doa memohon anak soleh ialah yang termaktub di dalam al-Quran iaitu;

رَبِّ هَبْ لِي مِنَ الصَّالِحِينَ
“Wahai Tuhanku! Kurniakanlah kepadaku anak yang tergolong dari orang-orang soleh”. (as-Shaffat: 100)

Atau doa;

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَاماً
“Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami (anak-anak soleh yang menjadi) penyejuk mata-mata kami (apabila melihatnya) dan jadikanlah kami ikutan kepada orang-orang bertakwa”. (al-Furqan: 74)

Selain itu, kita juga perlu berdoa agar Allah memberi ilmu dan kefahaman agama kepada anak-anak kita. Antara doanya ialah;

اَللَّهُمَّ فَقِّهْهُ فِي الدِّيْنِ، وَعَلِّمْهُ التَّأْوِيْلَ
“Ya Allah, wahai Tuhan kami! Berilah kefahaman kepadanya dalam agama dan ajarkanlah kepadanya memahami al-Quran”.

Doa ini adalah doa yang pernah diucapkan oleh Rasulullah s.a.w. untuk Ibnu ‘Abbas r.a.. Berkat doa baginda ini, Ibnu ‘Abbas telah muncul di kalangan sahabat sebagai seorang pentafsir al-Quran yang paling unggul sehingga Abdullah ibnu Mas’ud menyatakan; “Sebaik-baik pentafsir al-Quran ialah Ibnu ‘Abbas”.

10. Sentiasalah memberi pesanan dan nasihat kepada anak-anak kita

Ibu-bapa hendaklah selalu memberi pesanan dan nasihat kepada anak-anak supaya sentiasa mentaati Allah dan menjaga perintah agama. Pesanan, teguran dan kata-kata nasihat dari ibu-bapa merupakan mutiara-mutiara berharga untuk anak-anak kerana ibu-bapa adalah orang yang paling hampir dengan anak-anak. Peranan ibu-bapa sebagai pemberi nasihat dan pesanan tidak terhenti setakat anak-anak masih kecil, tetapi berterusan hingga bila-bila sekalipun mereka telah dewasa. Di bawah ini kita kemukakan beberapa nasihat dan pesanan dari para nabi dan orang-orang soleh untuk anak-anak mereka sebagaimana yang terdapat di dalam al-Quran dan juga hadis Nabi s.a.w. untuk kita mencontohinya;

Pesanan Nabi Ibrahim kepada anak-anaknya

Pesanan Nabi Ibrahim untuk anak-anaknya dapat kita dilihat dalam surah al-Baqarah, ayat 132;


“Ibrahim telah berpesan kepada anak-anaknya dengan agama itu (yakni Islam) dan (begitu juga) Yaakob (di mana mereka berkata kepada anak-anak mereka): ‘Wahai anak-anakku! Sesungguhnya Allah telah memilih agama (Islam) untuk kamu, maka janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan muslim”. (al-Baqarah: 132)

Pesanan Nabi Yaakob untuk anak-anaknya

Allah menceritakan dalam surah al-Baqarah (ayat 133) bahawa Nabi Yaakob ketika hampir kematiannya ia telah berpesan kepada anak-anaknya supaya kekal menyembah Allah, tidak mengsyirikkannya.

“Adakah kamu menyaksikan ketika Yaakob hampir menemui kematian, ketika itu ia berkata kepada anak-anaknya; ‘Apakah yang kamu akan sembah selepas kematianku?’. Jawab mereka; ‘Kami akan menyembah Tuhanmu dan Tuhan bapamu Ibrahim, Ismail dan Ishak iaitu Tuhan yang maha esa dan kepadaNyalah sahaja kami berserah diri”. (al-Baqarah: 133)

Pesanan Luqman al-Hakim

Pesanan Luqman kepada anaknya dibentangkan dengan panjang lebar oleh Allah di dalam surah Luqman. Pesanan Luqman ini amat baik jika kita jadikan pesanan yang diulang-ulang dari masa ke semasa untuk anak-anak kita. Antara yang dipesankan oleh Luqman kepada anaknya ialah;

“Dan (ingatlah) tatkala Luqman berkata kepada anaknya semasa ia memberi nasihat kepada anaknya itu; ‘Wahai anak kesayanganku! Janganlah kamu mensyirikkan Allah (dengan sesuatu yang lain). Sesungguhnya perbuatan syirik itu merupakan satu kezaliman yang besar”. (Luqman: 13)

“Wahai anak kesayanganku! Dirikanlah solat dan suruhlah berbuat kebaikan serta laranglah dari kemungkaran, dan bersabarlah atas segala bencana yang menimpamu. Sesungguhnya yang demikian itu adalah dari perkara-perkara yang perlu diambil berat melakukannya”. (Luqman: 17).

Apa yang kita kemukakan ini hanyalah sebahagian kecil pesanan Luqman untuk anaknya. Untuk melihat pesanannya secara keseluruhan, sila rujuk surah Luqman (ayat 13 dan ayat-ayat seterusnya).

Pesanan Rasulullah kepada Ibnu ‘Abbas

Diriwayatkan dari Ibnu ‘Abbas r.a. yang menceritakan; (Suatu hari) aku berada di belakang Nabi s.a.w.. Lalu baginda bersabda kepadaku; “Hai anak! Aku ingin mengajar kamu beberapa perkataan (iaitu); ‘Peliharalah Allah nescaya Ia akan pelihara kamu. Peliharalah Allah, nescaya kamu akan mendapatinya di hadapan kamu. Apabila kamu meminta, mintalah kepada Allah dan apabila kamu memohon pertolongan, pohonlah pertolongan dari Allah. Ketahuilah bahawa sesungguhnya jika sekelian umat manusia berhimpun untuk memberi manfaat kepada kamu dengan sesuatu, tidaklah mereka dapat memberi manfaat kepada kamu melainkan dengan suatu yang telah ditulis oleh Allah untuk kamu. Dan jika mereka semua berhimpun untuk memberi mudarat kepada kamu dengan sesuatu, tidaklah mereka dapat memudaratkan kamu melainkan dengan sesuatu yang telah ditulis oleh Allah akan menimpa kamu. Telah diangkat pena dan telah kering lembaran-lembaran’”. (Riwayat Imam Tirmizi)

Wallahu a’lam.

Wednesday, July 4, 2012

Apa Maksud Sebenar 'Kembali Kepada Sunnah'?

Apa maksud sebenar seruan 'kembali kepada Sunnah Nabi s.a.w.? Sebahagian yang menggelarkan diri mereka 'salafi' begitu asyik dengan seruan ini seolah-olah sekali pandang kita akan menyangka bahawa masyarakat kita begitu 'jauh' dari Sunnah Nabi s.a.w. Adakah begitu keadaannya?

Ada baiknya kita melihat kepada maksud seruan kembali kepada Sunnah atau kembali memahami Islam dengan panduan Sunnah Nabi s.a.w. Sudah pasti kita semua tahu dalam Al-Quran terdapat banyak ayat-ayat yang menunjukkan perintah untuk kita meletakkan kedudukan Nabi s.a.w. dan Sunnah Baginda pada kedudukan 'rujukan' dalam agama. Tapi apakah maksud 'rujukan' di sini?

Seruan yang kita dengar daripada sebahagian 'salafi' ialah mereka ingin kita kembali kepada Sunnah tetapi dalam seruan mereka ada sedikit kekeliruan, antaranya:

Pertama, cara mereka membangkitkan seruan ini seolah-olah masyarakat begitu jauh dari Sunnah dan merekalah yang ingin membawa perubahan dalam meng'islah'kan kehidupan agar kembali ke jalan yang benar. Sedangkan masyarakat tidaklah sampai ke tahap sebegitu teruk. Kita dapati pengamalan Islam dalam masyarakat sememangnya secara keseluruhan adalah berlandaskan Al-Quran dan Sunnah Nabi s.a.w.

Contohnya mereka terlalu ingin membetulkan solat masyarakat dengan membawa seruan 'Sifat Solat Nabi s.a.w.'. Ada yang memang bersederhana dalam seruan itu tetapi ada yang terlalu beria-ia untuk menyalahkan amalan masyarakat yang telah pun solat dengan mengikut amalan tradisi. Rupanya bila diselidiki, seruan sebahagian bergelar 'salafi' ini rupanya menuju ke arah Sifat Solat Nabi s.a.w. versi ulama hadith tertentu sahaja, bukan menyeluruh meliputi pelbagai pandangan ulama terdahulu.

Masih teringat lagi kata-kata sahabat saya apabila dia mendengar terlalu banyak seruan ke arah kembali solat seperti cara Nabi s.a.w. Beliau berkata dengan ringkas: 'Bukankah menunaikan solat itu sendiri adalah Sunnah Nabi s.a.w. yang dilaksanakan masyarakat?'. Memang saya bersetuju dengan beliau.

Kedua, seruan agar masyarakat kembali kepada Sunnah rupanya dikaitkan dengan seruan lain iaitu 'menolak amalan tradisi' atau 'amalan mazhab'. Adakah ini sebenarnya apa yang dilakukan oleh para imam dan ulama hadith terdahulu? Apabila kita menyeru ke arah Sunnah, janganlah ia digambarkan seolah jauh dari mazhab kerana mazhab-mazhab utama dalam Islam sememangnya mengambil Sunnah sebagai rujukan. Maka tidak ada salahnya seorang yang ingin mengambil pandangan Mazhab Syafie jika dia berada di Malaysia kerana keyakinannya bahawa Imam as-Syafie dan para ulama di dalam mazhabnya sememangnya menggunakan Sunnah sebagai asas mengeluarkan pandangan. Jangan kita gambarkan situasi pertentangan atau permusuhan antara mazhab dan Sunnah!

Ketiga, seruan mereka telah tersasar dari maksud asal iaitu menjadikan Sunnah sebagai rujukan. Ia telah tersasar menuju kepada maksud baru iaitu 'menggunakan Sunnah semata-mata dengan melihat zahir lafaz atau teks hadith'. Apabila kita sebagai seorang muslim mengakui Sunnah sebagai rujukan, adakah ini bermakna kita meninggalkan huraian ulama sepanjang zaman? Adakah kita dengan mudah boleh mengambil mana-mana hadith lalu ditelek zahirnya lalu terkeluarlah hukum-hukum baru dan kita boleh menjadi mujtahid zaman baru? Jangan terpedaya wahai sahabat! Tidak mungkin anda boleh memahami hadith begitu sahaja tanpa huraian ulama. Bagaimana anda ingin menentukan sesuatu hadith itu telah dimansuhkan dengan hadith lain? Bagaimana anda ingin memahami beberapa hadith yang nampak bertentangan? Bagaimana anda mampu menentukan hukum hanya dengan sekadar membaca satu dua hadith? Contoh mudah ialah hadith-hadith tentang merapatkan saf sebagaimana pernah saya bangkitkan dalam artikel terdahulu. Cukup dengan anda melihat satu riwayat bahawa sebahagian sahabat Nabi s.a.w. melekatkan kaki dengan makmum di sebelah, lantas anda menyatakan ia wajib? Anda lupa huraian ulama zaman berzaman yang tidak pernah menyatakan begitu?

Nasihat ringkas saya ialah – bacalah buku Ibn Rusyd bertajuk 'Bidayatul Mujtahid wa Nihayatul Muqtasid' dan anda akan dapat lihat bagaimana khilaf para ulama berlaku dalam memahami nas Al-Quran dan Hadith. Barulah anda faham bahawa para ulama tidaklah begitu mudah mengeluarkan hukum melainkan mereka melihat kepada semua dalil dari semua sudut.

Keempat, seruan sebahagian bergelar salafi ini nampaknya menjurus kepada 'menggunakan Sunnah semata-mata tanpa memperdulikan soal hukum'. Apabila kita ingin menggunakan Sunnah sebagai rujukan, kita diberitahu oleh para ulama zaman berzaman bahawa dalam Sunnah ada hadith-hadith yang membawa 5 hukum – wajib, sunat, harus, makruh dan haram. Tetapi kita melihat kepada sikap sebahagian salafi ini mereka terus menggunakan hadith untuk 2 hukum – sunnah atau bid'ah. Kalau sesuatu amalan itu ada dalam hadith dan diperintah, ia menjadi seakan wajib. Kalau tiada dalam hadith, maka tidak boleh diamalkan pula seolah haram. Tidak begitu! Para ulama telah menetapkan bahawa setiap perintah dalam hadith tidak semestinya membawa hukum 'wajib'. Ada perintah yang membawa 'wajib', 'sunat' dan adakalanya membawa 'harus'. Tetapi sebahagian salafi ini apabila diajukan kepada mereka perkara sebegini, mereka cepat menyatakan 'yang terbaik ialah ikut Sunnah'. Mereka lupa soal hukum. Bila ada larangan pula, terus jadi 'tak boleh'. Sedangkan larangan dalam hadith ada yang bersifat larangan 'haram' dan ada larangan bersifat 'adab'.

Kelima, seruan mereka seringkali dikuatkan dengan buku-buku dan ulama tertentu sahaja. Ulama yang mereka gelar sebagai ulama 'salafi' juga. Akibatnya mereka kurang pembacaan, kurang pendedahan dan tidak banyak mengetahui cara ulama berbeza pandangan. Ada sebahagian salafi yang menyatakan keterbukaan tetapi rupanya mereka hanya ambil pandangan sebahagian kecil ulama. Adakah munasabah dalam dunia Islam yang luas ini hanya ada beberapa kerat sahaja ulama yang boleh 'dipakai' atau dijadikan 'rujukan'? Adakah ini seruan kembali kepada Sunnah atau seruan kembali kepada aliran baru iaitu 'Salafi'?

Kesimpulan dari artikel ringkas ini ialah :

- Jangan semata-mata laungkan seruan 'kembali kepada Sunnah' tanpa melihat apa yang telah dihuraikan oleh para ulama hadith.
- Luaskan pembacaan, banyakkan pengajian, pelbagaikan guru dan kembangkanlah dialog ilmiah untuk berkongsi pandangan agar lebih pandai menghormati perbezaan pandangan.
- Jangan mudah menilai sesuatu amalan masyarakat sebagai 'tidak sunnah' atau 'bid'ah' kerana mungkin sahaja kita yang tersalah sangka atau tersalah baca. Rupanya amalan itu boleh dibuat dan kita pula yang menghalang orang lain melakukan kebaikan!

Wallahu a'lam

Ust Adlan Abd Aziz