Friday, August 8, 2008

Betul Ke Pelihara Ikan Boleh Elak Ilmu Pukau?

Soalan

Ustaz, terlalu banyak kejadian kecurian di rumah atau premis perniagaan, pencuri memasuki bangunan tersebut dengan menggunakan apa dipanggil ilmu pukau. Betulkah ada ilmu pukau? Sehinggakan yang tidak tidur pun dipukau juga? Ada kepercayaan bahawa untuk mengelakkan pukau, maka hendaklah dipelihara ikan di dalam rumah. BEtulkah ini ustaz dan bolehkah diamalkan?

FIRDAUS ABDULLAH
Kota Raja, Selangor

Jawapan

Saya secara peribadi kurang arif fasal pukau. Kata orang , pukau adalah untuk membuat orang yang sedang tidur, akan tidur semakin nyenyak sehingga tidak disedari apa yang berlaku di sekelilingnya.

Ada juga dikatakan, dipukau orang yang sedang sedar, boleh berdialog dengannya tetapi dikuasai minda orang itu sehingga boleh menurut apa sahaja kehendak orang yang memukaunya tanpa daya melawan atau berlepas diri daripadanya.

Hal-hal sebegini acap kali didedahkan kepada saya. Oleh itu sebagai kesimpulan, hal-hal sebigini memang boleh berlaku dalam masyarakat kita. Pukau ini sebenarnya, suatu ilmu atau teknik yang digunakan seperti mana di Barat. Ia dinamakan sebagai ‘hypnotism’ atau disebut dengan istilah ‘hypnotic’.

Kamus dewan merujuk ‘hypnotism’ sebagai memukau atau terpukau, sama juga dengan ‘hypnotic’ yang disebut sebagai renungan yang memukau.

Umum mengetahui bahawa ‘hypnotism’ ada suatu teknik penguasaan diri sendiri melalui beberapa latihan kerohanian dan teknik memandang ke arah sesuatu perkara atau objek termasuk manusia.

Dikatakan boleh berlaku dengan pancaran kekuatan dalaman orang yang mengamalkan ‘hypnotism’ ini, boleh mendatangkan suatu tenaga khusus baginya untuk menguasai orang lain.

Ia termasuk menidurkan orang yang sedang sedar atau menguasai fikiran orang itu dengan tenungan dan kadang-kadang dengan hembusan. Teknik hembusan juga termasuk dalam salah satu cabang ilmu sihir dengan kekuatan kuasa hembusan yang dikaitkan dengan asosiasi (perhubungan) dengan makhluk halus, maka berlaku penguasaan sepenuhnya atau sebahagian ke atas seseorang.

Amalan menggunakan pandangan mata sehingga berlaku suatu proses pukau, jika dilihat pada pandangan syarak, kita dapati bahawa ada isyarahnya dalam as-Sunnah.Antara lain Rasulullah s.a.w. ada menyebut tentang pandangan mata seperti dalam hadis (mafhumnya):

Ibnu Abbas r.a berkata, “Rasulullah s.a.w. bersabda, ‘Bahawa pandangan mata yang mengakibatkan sesuatu keburukan adalah benar (boleh berlaku). Andainya ada sesuatu yang seolah-olah mendahului al-­Qadar, maka didahului oleh pandangan mata.”

Dalam hadis lain Abu Hurairah berkata (mafhumnya): “Nabi pernah menyebut al-‘ain (pandangan mata) adalah benar (boleh berlaku).” (Sahih Bukhari Muslim)

A1-Hafiz Ibnu Hajar dalam ulasannya tentang hadis-hadis ini menyebut bahawa pandangan mata seseorang itu ke atas sesuatu, boleh mendatangkan hasad dengki kepadanya, lalu ditemukan objek itu di samping tabiat buruknya muncul, boleh mendapat kemudaratan kepada yang dilihat.

Ash-Syanthiti pernah menyebut bahawa, jiwa-jiwa yang kotor mempunyai kesan yang kotor juga kepada yang dilihat.

Semuanya ini selari dengan apa yang disebut oleh Allah SWT yang mafhumnya:

“Dan sesungguhnya orang-orang kafir itu benar-benar hampir menggelincirkan kamu dengan pandangan mereka tatkala mereka mendengar al-Quran dan mereka berkata: “Sesungguhnya (Muhammad) itu benar-benar gila.” (Surah al-Qalam, ayat 51)

Ayat mi menjadi rujukan kepada hal-hal penyakit yang berpunca daripada pandangan atau renungan mata. Malah dalam beberapa hadis lain menga­takan ‘unta boleh masuk ke dalam periuk kerana pandangan mata’. Maksudnya unta boleh mati, tapi disembelih dan dijadikan hidangan makanan.

Demikian peranan mata. Oleh itu hal-hal pukau memukau mi, termasuk dalam amalan yang tidak diharuskan oleh syarak. Lagipun digunakan ilmu pukau untuk tujuan keburukan seperti merompak, mencuri dan sebagainya.

Sememangnya apabila berlaku sesuatu yang tidak baik, ada pencegahnya. Disebut dalam perubatan, sebagai vaksin. Saya sendiri tidak pasti apakah dengan membela ikan boleh menghalang atau menghadang dari berlakunya pemukauan.

Pada pemerhatian saya, apa yang berlaku, ada rumah yang membela ikan, dimasuki pencuri dan tuannya sedar. Ada pemilik sebuah kedai ikan (kenalan saya), menjual ikan-ikan hiasan di rumah termasuk ikan kelisa, dicuri orang dalam keadaan beliau dan pekerjanya sedar, tetapi dicuri di hadapan mata.

Sukar untuk dipercayai, sekadar membela ikan boleh menghindari kejadian seperti itu. Bagaimanapun untuk menghindarinya, lebih baik kita rujuk kepada amalan-amalan sunnah.
Seperti yang pernah disebut Nabi (maf­humnya), bahawa sesiapa yang memakan tujuh biji ajwah (tamar madinah), maka dia tidak akan terkena sihir.

Kesimpulannya untuk menghindarkan diri dari sihir atau ilmu pukau, lakukan amalan berikut setiap hari;

1. Baca doa berikut:


“Dengan nama Allah, tidak akan berlaku kemudaratan di samping nama-Nya itu, sesuatu yang turun dari langit atau dari bumi, dan Dialah Allah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

2. Ayatul Kursi

3. Al-Muawwizat (Surah al-Ikhlas, al-Falaq & an-Naas)4. Berniat lakukan amalan di atas agar Allah hindarkan dari apa jua bahaya.

Inilah amalan yang diterima oleh syarak.

Waalahu a’lam.

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Awasi Unsur Syirik Jika Guna Kayu Koka

Soalan

Apakah dia kayu koka? Betulkah kayu koka ini sejenis kayu yang diperintahkan Allah untuk digunakan Nabi Nuh a.s. membuat kapal dan menyuruh Nabi Musa a.s. mengambil tongkat yang juga diperbuat daripada kayu koka?

Banyak orang sanggup membeli kayu koka dengan harga yang terlalu mahal. Ada yang berbentuk tongkat, tasbih dan batu cincin. Kononnya ia boleh menjadi penghadang daripada jin dan syaitan, menyembuhkan penyakit serta memurahkan rezeki. Apakah ini ada isyarahnya dalam al-Quran atau as-Sunnah?

Abu Bakar Zakaria,Damansara, Selangor

Jawapan

Saya pernah melihat kayu koka dalam semua bentuk. Pernah dihadiahkan kayu tersebut oleh beberapa orang kepada saya. Malah saya pernah membaca ada sebuah buku yang diterbitkan di Malaysia, disebutkan tentang penggunaan dan kebaikan kayu koka seperti yang saudara sebutkan.

Sepanjang hidup saya, tidak pernah mendengar tentang kayu koka ini, melainkan sejak dua tiga tahun kebelakangan ini.

Ada pelajar yang pulang dari Jordan, bertemu saya dan memperkenalkan kayu koka. Beliau berhasrat menjualnya kepada saya kerana dia mengatakan sayalah orang yang paling layak memakai atau menggunakan kayu koka.

Saya berbincang panjang dengan beliau, malah saya menasihatkan beliau mencari profesyen lain daripada menjual kayu koka.

Persoalan ini lama kelamaan semakin timbul. Saya melihat orang memakai cincin yang batunya diperbuat daripada kayu koka. Kebetulan saya dapati bukan kayu sebenarnya, tetapi ia buah yang terlalu keras.

Oleh kerana tampung buah itu terlalu keras, maka daripadanya diperbuat pelbagai bentuk atas nama kayu koka. Ada juga yang saya jumpa ia diperbuat daripada kayu betul.

Pada saya, semua yang dikaitkan dengan kuasa makhluk-makhluk 'madi' seperti kayu, batu dan sebagainya yang dikaitkan dengan memberi bekas, kecelakaan atau kemanfaatan, inilah yang dilarang oleh Islam.

Ini termasuk dalam larangan Rasulullah s.a.w. dalam Sabdanya (mafhumnya); "Sesungguhnya jampi mentara yang mengandungi kesyirikan kepada Allah SWT dan semua jenis tangkal, ilmu pengasih yang menggunakan sihir, semuanya adalah syirik terhadap Allah SWT." (Hadis sahih)

Kalau sekadar perhiasan, yang semata-mata perhiasan, seperti membuat batu cincin atau gelang, yang tidak dikaitkan dengan sebarang kemudaratan atau kebaikan daripadanya, boleh digunakan.

Seperti kita menggunakan batu permata, emas dan perak, semata-mata untuk perhiasan, adalah diharuskan.

Oleh kerana penggunaan kayu koka ini sudah menjadi suatu profesyen kepada penjual atau penggunanya terpukau dengan penjelasan yang menarik, maka banyak orang yang tertipu dengan penerangan, lalu membelinya.

Jika berlaku kebetulan, seorang yang sempit rezekinya, memakai kayu ini, murah rezekinya. Jika dikaitkan rezeki yang murah berpunca dari kayu tersebut, jelas berlaku syirik terhadap Allah.

Tidak boleh ada kuasa lain yang memberi rezeki kepada makhluk melainkan Allah sahaja.
Banyak ayat al-Quran yang menyebut bahawa Allahlah pemberi rezeki yang sebenarnya.

Kayu koka mungkin ada khasiat khusus dalam perubatan termasuk dalam jenis herba. Jika ia merupakan herba, dilarutkan atau dimasukkan dalam apa-apa adunan, yang mungkin sesuai mengubati penyakit tertentu, itu termasuk dalam salah satu bentuk rawatan penyakit.
Itu pun salah satu yang diharuskan kerana ada dalam hadis-hadis Nabi s.a.w. yang merujuk rawatan penyakit secara memakan ubat.

Nabi s.a.w. pernah menyebut tentang madu lebah, bijirin hitam (Habbatus Saudak), jintan hitam, jenis tanaman seperti 'assina' dan 'assinut'. Dalam al-Quran disebut 'at-tiin', 'az-zaytun', 'ar-rummaan', 'an-nahiil' dan sebagainya yang merujuk kepada buah-buahan.

Ini termasuk dalam kajian-kajian untuk dijadikan ubat bagi menyembuhkan penyakit tertentu.
Persoalan saya tentang pengguna kayu koka atau apa sahaja kayu, mengapa orang yang memiliki kayu itu tidak menggunakan untuk faedah dirinya dan menjualkannya kepada orang lain.

Barangkali orang tersebut tidak begitu yakin dengan apa yang didakwanya manfaat kepada pengguna kayu koka, sehingga menjualnya dengan harga yang tinggi untuk mendapat faedah kewangan.

Saya amat meragui perkara menggunakan kayu ini, terutama untuk menjadi penghadang kepada jin, syaitan dan sebagainya.

Apa yang saya tahu, jin dan syaitan akan takut dan lari lintang pukang jika dibacakan ayat-ayat al-Quran ataupun zikir kepada Allah SWT.

Dalam suatu hadis disebut, Rasulullah s.a.w. pernah melintasi rumah-rumah sahabat di waktu dinihari. Baginda mendapati Umar al-Khattab r.a. membaca al-Quran dan berzikir kepada Allah dengan suara yang amat lantang.

Keesokan harinya Nabi s.a.w. bertemu Umar dan berkata kepadanya, "Aku melintasi rumahmu dan aku mendengar kamu membaca al-Quran dan berzikir dengan suara yang amat nyaring, mengapa kamu buat demikian."

Umar menjawab; "Saya berbuat demikian untuk menghalau segala syaitan yang menganggu saya." Lalu Nabi berkata kepadanya, "Perlahankan sedikit."

Wallahua'lam.

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Benarkah Ruh Orang Yang Telah Meninggal Dunia Boleh Menziarahi Anggota Keluarganya

Soalan

Ustaz, suami saya telah kembali ke rahmatullah kira-kira tiga bulan yang lalu. Bagaimanapun sejak akhir-akhir ini ada sesuatu yang pelik berlaku pada diri saya, iaitu pada setiap malam arwah mendatangi dan bergaul dengan saya. Kemusykilan saya ;

i) Bolehkah suami yang telah kembali ke rahmatullah, mendatangi semula dan bergaul, sepertimana mereka hidup pada malam-malam hari sebelum kematiannya?

ii) Bolehkah ruh suami saya menziarahi anggota keluarganya, menziarahi rumah atau kampung halamannya?

iii) Apakah benar ruh orang yang sudah meninggal, boleh balik memasuki tubuh anggota keluarganya, seolah-olahnya boleh berinteraksi dengan orang hidup.

Hamimah AbdullahBanting, Selangor.

Jawapan

Puan,

Menjawab soalan pertama, di sini ada dua episod daripada soalan ini, pertamanya, mendatangi isteri setelah suaminya meninggal iaitu 'tidur bersama', mungkin berlaku sebagai suatu mimpi indah atau keduanya, benar-benar berlaku dalam keadaan sedar dan yakin bahawa itu adalah suaminya yang terdahulu.

Kalau berlaku itu atas nama mimpi, memanglah ia sesuatu yang mungkin, lebih-lebih lagi berlaku kepada isteri yang amat menyayangi suaminya yang telah pergi menemui Allah lebih dahulu daripadanya.

Adapun mendatangi isteri dalam maksud ia benar-benar sedar dan yakin bahawa itu adalah suaminya maka ini adalah tidak mungkin dan tidak boleh berlaku kerana orang yang telah meninggal telah berpindah ke alam baqa' - alamul khulud - yang bermula daripada kubur.

Hadis Nabi s.a.w menyebut (yang bermaksud), "Alam kubur itu adalah suatu tempat tinggal sementara, tempat berhenti daripada tempat-tempat yang akan dilalui, menuju ke alam Akhirat, alam kubur adalah sebahagian daripada alam barzakh, maka yang telah dimasukkan ke alam kubur akan berada di dalamnya sehingga hari Kiamat yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia."

Adapun yang berlaku setelah yang didakwa oleh banyak orang, khasnya kepada saya, puan mesti yakin bahawa itu bukanlah suami yang sebenar.

Kalaupun berlaku sungguh, ia akan berlaku, tetapi bukan daripada suami. Tetapi ia dilakukan oleh makhluk lain yang bernama Qareen. Qareen ini memang wujud, dalam al-Qurannul Karim, terdapat istilah Qareen ini sebanyak 12 kali.

Misalnya kita merujuk kepada Surah as-Shaffaat, ayat 51; yang bermaksud, salah seorang daripada yang telah meninggal yang menghadapi balasan Allah S.W.T, mengakui dengan mengatakan bahawasanya, adalah pada diri saya dahulunya ada Qareen.

Qareen dalam tafsir seperti al-Qurtubi dan al-Maraghi, disebut sebagai kawan atau teman yang begitu rapat. Ertinya, insan yang menjadikan Qareen sebagai teman rapatnya maka dia telah mendapat sejahat-jahat teman. Qareen adalah satu jenis daripada jenis-jenis Jin ataupun Syaitan.

Pada umumnya, apabila manusia bersahabat dengan syaitan serta meminta tolong daripadanya dan berbagai-bagai lagi, maka jadilah dia Qareen. Oleh itu, selepas daripada kematian manusia, Qareen ini akan melakukan berbagai-bagai perkara yang tidak baik termasuklah dia boleh menganggu keluarga si mati dan mendatangi isterinya sebagaimana rupa suami terdahulu.
Oleh sebab itu puan tidak seharusnya mempercayai bahawa 'dia' adalah suami puan, kerana suami puan yang sebenarnya telah kembali ke rahmatullah.

Mengenai soalan kedua, orang yang telah meninggal dunia, ruhnya kembali kepada Allah S.W.T yang diistilahkan berada dalam alam Barzakh, ianya adalah alam Akhirat. Justeru insan yang telah pergi kepada-Nya tidak mungkin dan tidak boleh kembali ke alam dunia kerana Barzakh itu bermaksud pemisah atau penghalang. Ia seumpama sebuah tembok yang kukuh memisahkan di antara dua alam.

Maka orang yang telah kembali kerahmatullah atau kembali ke alam Barzakh ini, dia tidak boleh kembali. Dalam Surah az-Zumar, ayat 42; yang bermaksud, "Allahlah yang memisahkan nyawa dengan mati daripada makhluk-Nya dan memegang yang telah pasti mati ini dengan tidak membenarkannya kembali ke dunia."

Ayat al-Quran lain ada menyebut, "Bahawa selepas kematian, mereka akan kembali ke alam Barzakh sehinggalah kepada hari Kiamat."

Banyak ayat al-Quran dan al-Hadis yang menunjukkan bahawa ruh si mati berada dalam suatu kepungan Barzakh yang tidak mungkin boleh kembali ke alam dunia. Sebagaimana kita ke alam dunia tidak boleh masuk ke alam Barzakh (tanpa ada sebab).

Logiknya kita lihat, kalaulah ruh orang yang telah mati itu boleh kembali ke dunia, boleh melakukan berbagai-bagai perkara, sudah tentu orang-orang yang telah meninggal itu seolah-olahnya tiada seksa kubur, tiada balasan dan seolah-olahnya mereka bebas ke sana ke mari.
Oleh itu, kita harus yakin bahawa ruh si mati tidak boleh kembali untuk menziarahi keluarganya, rumahnya atau sebagainya.

Kepada soalan ketiga, pada saya orang yang telah meninggal tidak boleh kembali ke dunia. Peninggalannya adalah peninggalan yang terakhir, sebab itu ia disebut kembali ke rahmatullah. Sama ada dia (si mati) berada dalam keadaan penuh dengan nikmat alam Barzakh yang bermula dari alam kubur, atau bermula dengan seksa kubur seperti yang sabit dalam nas-nas al-Quran dan as-Sunnah yang wajib diimani adanya azab kubur.

Dalam kedua-dua keadaan ini, si mati sudah tidak mungkin akan kembali ke dunia ini kerana dia berada dalam alam Barzakh.

Akan tetapi berlaku dalam dunia ini, orang mengatakan ruh orang mati, kembali ke dunia dan meminjam jasad-jasad yang tertentu yang jadi seperti orang kehilangan akal, bercakap dengan nada, irama dan kelakuan orang yang telah mati.

Daripada pengalaman saya, ada juga yang medakwa dirinya Nabi Khidir, Sheikh Abdul Qadir Jailani, Wali Songo dan sebagainya. Ada juga pihak tertentu yang mengubat orang, yang mengajar ilmu-ilmu yang didakwa kununnya diambil daripada orang yang telah mati.

Semuanya ini adalah tidak benar dan ditolak oleh Islam.

Seolah-olah wujudnya fahaman mengembalikan ruh, dalam istilah Arabnya disebuttanasuthil arwah - reincarnation -. Fahaman ini ada dalam fahaman Buddha, Hindu dan fahaman purba. Islam bersih daripada semua fahaman ini.

Umat Islam mesti beriman bahawa ruh adalah untuk dirinya sahaja dan tidak boleh masuk dalam diri orang lain. Satu jasad satu ruh, apabila dipisahkan, jasad akan tinggal di alam dunia, ruh kembali ke alam Barzakh.

Apabila tibanya nanti di hari Qiamat, jasad akan dijadikan semula dan ruh akan mencarinya untuk dihisabkan oleh Allah S.W.T. Alam Barzakh adalah suatu alam yang ditutup rapat.
Oleh kerana itu pada pandangan saya tidak timbul sama sekali manusia yang telah mati, ruhnya boleh menganggu atau menyakiti manusia.

Waallahu'alam.

Tuan Guru Dato’ Dr. Haron Din

Doa Mohon Kesembuhan Daripada Penyakit