Thursday, October 30, 2008

Figur: Omar Mokhtar, Singa Padang Pasir Digeruni Musuh

Tokoh terbilang ini nama penuhnya Omar al-Mokhtar Muhammad Farhat Abridan Muhammad Mukmin Buhadimeh Abdullah bin Manaf Bin Muhsen bin Hasan bin Ikrimah bin al-Wataj Bin Sufyan bin Khaled bin al-Joshafi bin Toher Bin al-Arqa' bin Said bin Uwaidah bin al-Jareh bin Khofi bin Hisham Bin Manaf al-Kabir yang berketurunan sampai kepada bangsa Quraisy.

Omar dilahirkan di perkampungan Timur Jenzur di timur Libya bersempadan dengan Mesir pada 1858M. Beliau lahir dalam keadaan yatim piatu apabila kedua-dua ayah dan ibunya meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Makkah untuk menunaikan ibadat haji.

Omar mendapat pendidikan awal di desanya sebelum melanjutkan di peringkat menengah di bandar al-Jaghbub kira-kira 500 kilometer dari ibu negara Libya, Tripoli.

Beliau menetap di situ selama lapan tahun untuk mendalami ilmu-ilmu agama di tangan para ulama tersohor seperti Imam Saiyid al-Mahdi as-sanusi tokoh ulama sufi tarekat as-Sanusiyyah. Beliau sempat belajar bahasa Arab, subjek-subjek yang berkaitan dengan Syariat Islamiah, ilmu-ilmu al-Quran dan menghafaznya dalam usia yang begitu muda.

Kepintaran beliau dapat dikesan oleh para gurunya dan mendapat perhatian serius dalam setiap subjek yang dipelajari. Begitu juga bakat kepimpinan yang ditampilkan beliau semasa belajar di situ. Beliau sering dipuji melangit oleh guru-gurunya kerana contoh teladan yang ditunjukkan di samping disiplin ketika belajar.

Beliau telah diminta oleh Syeikh al-Mahdi untuk mengiringinya ke Sudan dan Chad pada 1899 ketika beliau berusia 37 tahun memimpin pasukan mujahidin as-Sanusiyyah menentang penjajah Perancis, di mana beliau sudah mula terlibat dalam jihad menentang penjajah yang sering mendatangkan masalah kepada negara.

Menyertai jihad

Libya merupakan destinasi kedua Itali selepas Turki yang ditaklukinya pada 29 September 1911 untuk melenyapkan pemerintahan Islam Othmaniyyah yang akhirnya jatuh pada 1924 di tangan Inggeris. Ia menghadapi tentangan hebat daripada tentera Itali yang mahu menakluk Libya seluruhnya, ini bermakna selepas tahun 1911, suasana untuk belajar secara formal tidak lagi dianggap munasabah, kerana di mana-mana pelosok dibanjiri dengan peluru dan bom tentera Itali.

Omar al-Mokhtar telah biasa dengan suasana itu. Ketika umurnya 37 tahun beliau telah menyertai jihad menentang Perancis di sempadan Sudan dan Chad, iaitu satu usia yang dianggap muda khususnya dalam suasasan peperangan.

Libya menanti kehadiran pasukan tentera laut Itali yang menyeberangi Laut Mediterranean untuk menyusup masuk bandar Tripoli dan Benghazi pada 1912, iaitu dianggap tahun berlakunya peperangan besar antara tentera Itali dan Libya.

Mujahidin Libya yang diketuai oleh Omar al-Mokhtar berjaya membunuh belasan tentera laut Itali, mengusir 400 daripada mereka dan merampas persenjataan perang serta alat-alat kelengkapan perang yang menjadikan pergerakan mereka lebih mudah untuk mengusir dan bertahan.

Kejayaan Omar al-Mokhtar menghadapi tentera Itali boleh dibahagikan kepada tiga aspek penting:

1. Menghalang kemasukan tentera laut Itali dari Mesir dan memperkukuh barisan mujahidin di bandar Marmarika.

2. Pengawasan mujahidin di persempadan negara-negara jiran seperti di al-'Arqub, Salnatah dan al-Mukhili.

3. Persediaan mujahidin sepenuhnya di Miswas dan Ajdabiya yang merupakan pintu masuk penjajah.

Jeneral Itali yang bertugas pada waktu itu sudah dapat menghidu pergerakan Omar al-Mokhtar serta perancangannya, maka beliau mengarahkan supaya mencetuskan peperangan hanya menunggu di Umm Syakhnab, Syalizimah dan Zuwaitinah, ia berlaku pada 1914M hingga tercetusnya Perang Dunia Pertama.

Ketokohan Omar terserlah

Perang Dunia I berlarutan antara 28 Julai 1914 hingga 11 November 1918 dan ia bermula di rantau Balkan dan ketika itu juga kebanyakan negara-negara Barat atau lebih dikenali sebagai negara-negara yang menyimpan dendam kesumat terhadap Islam akibat kekalahan dalam perang Salib satu ketika dahulu. Mereka menyimpan hasrat untuk membalas dendam terhadap negara-negara umat Islam di seluruh dunia. Negara-negara yang jelas menunjukkan kebencian terhadap Islam adalah seperti Belanda, Perancis, Jerman, Itali, Britain, Sepanyol dan lain-lain.

Apabila tentera Itali mula memasuki Libya peringkat demi peringkat serta mencetuskan kekacauan pada 1922, Omar al-Mokhtar menyusun strategi untuk menghadapi kemaraan tentera-tentera Itali yang tidak diundang.

Selain sibuk dengan kelas-kelas pengajian al-Quran dengan anak-anak orang kampungnya, beliau tetap mempersiapkan generasi muda untuk bangkit berjihad ketika beliau mencecah usia hampir 50 tahun. Tetapi semangat untuk berjihad tetap membara seperti ketika beliau menemani gurunya satu ketika dahulu di sempadan Sudan dan Chad menghadapi kerakusan bala tentera Perancis.

Omar al-Mokhtar dan anak-anak buahnya yang berjihad walaupun pada peringkat awal berjaya melepasi serangan demi serangan daripada pihak Itali yang merasakan bahawa kepimpinan dan pengalamannya dalam peperangan sukar untuk ditembusi, kepimpinannya dikagumi pihak musuh, namun kehadiran tentera Itali di bumi Libya adalah untuk menaklukinya.

Justeru, mereka juga mempunyai pelbagai perancangan dan kemudahan peralatan berbanding Omar dan rakan-rakannya yang berbekalkan senjata lapuk. Namun keimanan yang cukup tingi kepada Allah SWT merupakan senjata ampuh yang sukar dikalahkan dan mereka tetap menjadi sasaran musuh untuk dikalahkan. Bagi mereka (musuh Itali) jika Omar dapat dikalahkan bermakna mudahlah Libya di bawah penguasaan mereka.

Dihukum gantung sampai mati

Akhirnya Omar berjaya ditahan. Beliau dan beberapa orang kanannya didakwa dan dibicarakan, keputusan menyebut bahawa Omar al-Mokhtar didapati bersalah kerana melawan kerajaan Itali dan dijatuhkan hukuman gantung sampai mati.

Sebelum beliau digantung pada pagi 16 September 1931 di hadapan pembesar Angkatan Tentera Itali, beliau meminta izin untuk berpesan kepada seluruh rakyat Libya yang hadir untuk menyaksikan hukuman berkenaan dan jasadnya yang terakhir sebelum terkulai layu sebagai syahid.

Beliau meingatkan kepada mereka: "Kita tidak akan menyerah dengan mudah kepada pihak musuh, kerana sama ada kita menang ataupun kita mati, ini bukanlah penghujung perjuangan kita. Bahkan kamu semua juga akan menghadapi peperangan demi peperangan, jika kamu gugur, ia akan diteruskan oleh generasi selepas kamu, adapun umur aku sendiri hanya setakat ini, tetapi ia terus hidup menjadi kenang-kenangan sampai bila-bila (sekurang-kurangnya aku telah menunjukkan jalan yang baik) untuk mempertahan agama Allah yang benar di muka bumi ini."

Peringatan Bagi Pejuang Islam

Berkata As-syahid Al-Imam Hassan Al-Banna:

1. Sesungguhnya ramai yang mampu berkata-kata dan sedikit dari mereka yang bertahan dalam beramal dan bekerja. Ramai pula dari yang sedikit itu yang mampu bertahan di waktu beramal dan sedikit dari mereka yang mampu memikul bebanan jihad yang sukar dan berat.

Para Mujahidin itu adalah angkatan terpilih yang sedikit bilangannya tetapi menjadi penolong dan menjadi Ansarullah. Adakalanya mereka tersilap tetapi akhirnya menepati tujuan sekiranya mereka diberi Inayah dan Hidayah oleh Allah.

"Sesungguhna kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendakiNya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk" (Al-Qashash:56)

"Dan barangsiapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari semesta alam" (Al-Ankabut:6)

2. Sesungguhnya ujian-ujian Allah adalah PROSES PENAPISAN, untuk menapis orang yang benar dan yang bohong; orang yang beriman dan Munafik; orang yang sabar dan gopoh.

"..dan agar Allah membersihkan orang-orang yang beriman (dari dosa mereka) dan membinasakan orang-orang yang kafir" (Ali-'Imran:141)

"Allah sekali-kali tidak akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan kamu sekarang ini, sehingga Dia menyisihkan yang buruk(munafik) dengan yang baik (mu'min). Dan Allah sekali-kali tidak akan memperlihatkan kepada kamu hal-hal yang ghaib, akan tetapi Allah memilih siapa yang dikehendakiNya di antara rasul-rasulNya. Kerana itu berimanlah kepada Allah dan rasul-rasulNya; dan jika kamu beriman dan bertakwa, maka bagimu pahala yang besar" (Ali-'Imran:179)

"Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan menguji kamu agar Kami mengetahui orang-orang yang berjihad dan bersabar di antar kamu; dan agar Kami menyatakan (baik buruknya) hal ehwalmu" (Muhammad:31)

"Musa berkata kepada kaumnya:'Mohonlah pertolongan kepada Allah dan bersabarlah; sesungguhnya bumi (ini) kepunyaan Allah; dipusakakanNya kepada siapa yang dikehendakiNya dari hamba-hambaNya. Dan kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa" (Al-A'Raaf:128)

3. Sesungguhnya da'wah berdiri di atas keazaman, bukan di atas kemudahan.

"Allah berfirman:'Jangan takut (mereka tidak akan dapat membunuhmu), maka pergilah kamu berdua dengan membawa ayat-ayat Kami (mu'jizat-mu'jizat); sesungguhnya Kami bersamamu mendengarkan (apa-apa yang mereka katakan)," (Asy-Syu'araa':15)

4. Orang yang beriman apabila diganggu Syaitan, mereka cepat sedar dan kembali kepada Allah.

"Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa bila mereka ditimpa was-was dari syaitan, mereka ingat kepada Allah, maka ketika itu juga mereka melihat kesalahan-kesalahannya. Dan teman-teman mereka(orang-orang kafir dan fasik) membantu syaitan-syaitan dalam menyesatkan dan mereka tidak henti-hentinya(menyesatkan)" (Al-A'raaf:201-202)

Wahai saudaraku, hendaklah kita tetap berada di atas Jalan Da'wah ini. Sesungguhnya janji-janjiNya adalah benar.

Wednesday, October 22, 2008

Kebahagiaan Dunia Banyak Muslihat

Kemewahan, kesenangan mudah lalaikan umat jika tak guna untuk amal kebajikan

Allah SWT mengehadkan pengertian kehidupan dunia sebagaimana dalam firman-Nya bermaksud:

“(Dan ingatlah, bahawa) kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang yang terpedaya.” (Surah al-Hadid: 20)

Ayat dengan edisi bahasa yang sama boleh kita dapati dalam ayat 185 surah Ali ‘Imran, manakala dalam pelbagai edisi bahasa tapi mempunyai makna sama boleh didapati dalam tiga ayat iaitu ayat 33 surah Luqman, ayat 5 surah Fatir, dan ayat 14 surah al-Hadid.

Dalam menjelaskan ayat ini, Syeikh Abdullah Basmeih dalam Tafsir Pimpinan Arrahman berkata: “Oleh itu awaslah daripada dilalaikan dan diperdayakan oleh kesenangan dunia dan kemewahan, sebaliknya gunakanlah semua itu untuk amal kebajikan bagi mencapai kesenangan dan kebahagiaan yang kekal di akhirat kelak.” (Nota: 135)

Kesenangan dan kebahagiaan dunia adalah relatif dengan pengertian berbeza esensinya daripada seseorang kepada seorang yang lain. Kebahagiaan pemimpin ada pada kepemimpinannya; kebahagiaan pekerja ada pada pekerjaannya; kebahagiaan pedagang ada pada perniagaannya; kebahagiaan petani ada pada pertaniannya; kebahagiaan guru ada pada profesionnya; kebahagiaan pelajar ada pada pembelajarannya, dan seterusnya.

Kerelatifan makna kebahagiaan membawa kepada kerelatifan sebaliknya yakni kesengsaraan. Jadi kesengsaraan pemimpin ada pada kepemimpinannya; kesengsaraan pekerja ada pada pekerjaannya; kesengsaraan pedagang ada pada perniagaannya; kesengsaraan petani ada pada pertaniannya; kesengsaraan guru ada pada profesionnya; kesengsaraan pelajar ada pada pembelajarannya, dan seterusnya.

Kebahagiaan dan kesengsaraan di atas adalah takdir dan qada’ Allah SWT yang tidak boleh dielakkan sesiapa pun yang memperolehnya. Dan sesuatu yang ditakdirkan itu boleh dihadapi dengan dua penyikapan, kata Ibnu Qayyim al-Jauziyyah dalam Risalah fi Amrad al-Qulub (Lembaran Penyakit-Penyakit Hati).

Pertama, istikharah sebelum takdir itu berlaku.
Kedua, reda selepas takdir itu berlaku.

Kebahagiaan seorang hamba ialah dengan menghubungkan kedua-dua hal terbabit seperti disebutkan dalam al-Musnad, dan lain-lain bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya:

“Sesungguhnya di antara kebahagiaan anak keturunan Adam ialah istikharah kepada Allah dan keredaannya terhadap apa yang diputuskan Allah . Dan sesungguhnya kemalangan anak keturunan Adam ialah meninggalkan istikharah kepada Allah dan kebenciannya terhadap apa yang diputuskan Allah .” (Hadis riwayat Ahmad)

Ketika mentafsir ayat al-Quran bermaksud:

“Maka janganlah harta benda dan anak mereka menarik hatimu. Sesungguhnya Allah menghendaki dengan (memberi) harta benda dan anak itu untuk menyeksa mereka dalam kehidupan di dunia dan kelak akan melayang nyawa mereka, sedang mereka dalam keadaan kafir,” (Surah at-Taubah: 55)

Ibn Qayyim dalam kitab yang sama berkata: “Penafsiran yang benar mengenai ayat di atas, wallahu a’lam, ialah bahawa penyeksaan mereka dengan harta boleh dilihat dan penyeksaan pemburu dunia, pencinta dunia dan orang yang lebih mengutamakannya daripada akhirat dalam bentuk ambisi untuk mendapatkannya, kelelahan luar biasa dalam mendapatkannya dan menemui banyak sekali ke dalam upaya mencarinya.

Anda tidak melihat orang yang lebih lelah dan orang menjadikan dunia sebagai matlamat besarnya dan ambisi untuk mendapatkannya. Begitulah orang yang menjadikan dunia sebagai matlamat atau matlamat terbesarnya seperti disabdakan Rasulullah SAW dalam hadis yang diriwayatkan at-Tirmizi bermaksud:

“Barang siapa akhirat menjadi matlamatnya, maka Allah menjadikan kekayaannya dalam hatinya, menyatukan perpecahannya dan dunia datang kepadanya dalam keadaan patuh kepadanya. Dan barang siapa dunia menjadi matlamatnya, maka Allah akan menjadikan kemiskinannya di antara kedua-dua matanya, memecah belah persatuannya, dan dunia tidak datang kepadanya kecuali apa yang ditentukan untuknya.”

Di antara seksa dunia yang paling menyakitkan ialah pemecah belahan persatuan, perpecahan hati dan kemiskinan diletakkan di pelupuk matanya dan tidak meninggalkannya sedetik pun. Seandainya perindu dunia tidak mabuk kepayang dengan cinta dunia, mereka pasti berteriak meminta perlindungan dari dunia. Disebutkan dalam al-Jami’ al-Sahih karangan Imam at-Tirmizi diriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda bermaksud:

“Allah berfirman: ‘Hai anak Adam, berilah tumpuan untuk beribadah kepada-Ku, nescaya Aku memenuhi dadamu dengan kekayaan dan menutup kemiskinanmu. Jika engkau tidak melakukannya, Aku memenuhi kedua-dua tanganmu dengan kesibukan dan Aku tidak menutup kemiskinanmu.”

Termasuk seksa dunia yakni kesibukan hati dan badan menanggung seksa dunia, bersaing dengan manusia dalam memperebutkan dunia dan memusuhi mereka seperti dikatakan seorang daripada generasi salaf:

“Barang siapa mencintai dunia, hendaklah ia menyiapkan dirinya untuk menanggung banyak musibah.”

Pencinta dunia tidak pernah lepas daripada tiga perkara: Pertama, galau yang selalu berlaku. Kedua, kelelahan yang berpanjangan. Ketiga, kerugian yang tidak berakhir. Ini disebabkan setiap kali pencinta dunia mendapatkan sesuatu, pasti jiwanya berhasrat mendapatkan sesuatu yang lebih besar lagi seperti disebutkan dalam hadis maksudnya:

“Jika anak Adam memiliki dua lembah berisi harta, pasti menginginkan lembah ketiga.” (Muttafaq ‘alaihi)

Nabi Isa bin Maryam a.s mengibaratkan pencinta dunia seperti peminum minuman keras. Semakin banyak dia minum minuman keras, rasa dahaganya semakin meningkat.

Ibn Abi Dunya menyebutkan bahawa Hasan Basri menulis surat kepada Umar bin Abdul Aziz:

“Sesungguhnya dunia adalah negeri yang akan pergi dan tidak abadi. Adam diturunkan kepadanya sebagai hukuman baginya. Oleh kerana itu berhati-hatilah terhadapnya wahai Amirul Mukminin. Sesungguhnya bekal di dunia ialah dengan meninggalkannya dan kaya di dalamnya ialah dengan tidak memilikinya.

Dunia selalu meminta korban dalam setiap waktu. Ia merendahkan orang yang mengagungkannya dan membuat miskin orang yang mengumpulkannya. Ia seperti racun yang diminum orang yang tidak mengetahuinya dan di dalamnya terdapat kematiannya. Maka jadilah baginda, wahai Amirul Mukminin di dalamnya seperti orang yang mengubati lukanya. Ia memilih bertahan menghadapi pantangan sebentar daripada sakit lama dan bersabar terhadap sakitnya pengubatan daripada berasakan sakit dalam jangka waktu lama.

Berhati-hatilah terhadap dunia yang menipu, berkhianat dan memperdaya. Ia berhias dengan tipuannya, berdandan dengan muslihatnya, membuat gila dengan angan-angannya dan membuat rindu kepada pelamarnya sehingga ia menjadi seperti pengantin yang menjadi pusat perhatian. Semua mata melihat kepadanya, semua hati rindu kepadanya dan semua jiwanya tertarik kepadanya. Ia pembunuh bagi suaminya, namun kenyataannya orang yang masih hidup tidak mahu belajar daripada orang yang sudah meninggal dunia dan generasi terakhir tidak mengambil pelajaran daripada generasi pertama.” Demikian hujah Ibn al-Qayyim mengenai tipu daya dunia yang membawa maut, bagaimana pula dengan hujah anda?

Wallahu a’lam.

Panduan Kekal Amalan Baik Selepas Ramadan

- Cuba mencari pertolongan Allah untuk membimbing anda berada di jalan lurus dan tetap teguh di landasan kebenaran.

Mengenai perkara ini elok diperhatikan ayat 8 Surah Ali-Imran, maksudnya:

(Mereka berdoa dengan berkata): Ya Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisi-Mu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan yang melimpah-limpah pemberian-Nya.

- Gigih mengikuti kuliah dan syarahan agama.

- Menambah pengetahuan mengenai biografi nabi, sahabat dan golongan beriman sama ada melalui buku atau sumber lain. Ia akan memandu anda untuk tetap berada pada landasan kebenaran serta mencontohi jejak langkah mereka yang terpuji dan diredai Allah .

- Mendengar rakaman ceramah agama.

- Tekun mengerjakan ibadat (wajib) dengan penuh tanggungjawab.

- Rajin mengerjakan ibadat sunat dan menjadikannya kebiasaan, walaupun sedikit. Nabi s.a.w bersabda, maksudnya: “…amalan terbaik kepada Allah ialah yang berterusan, walaupun ia sedikit.”

- Mula memerhati ayat al-Quran. Baca ayat al-Quran yang anda pelajari ketika mengerjakan solat dan amalkan membacanya sekerap yang boleh.

- Banyak berzikir (mengingati Allah ) dan memohon keampunan daripada Allah . Amalan ini mungkin nampak kecil, tetapi jika selalu diamalkan ia akan meningkatkan keimanan dan memberikan kekuatan kepada jiwa.

- Waspada terhadap setiap perkara yang boleh memesongkan hati daripada jalan kebenaran seperti pergaulan dengan orang jahat, program televisyen yang tidak sopan, lagu dan gambar tidak elok.

- Terakhir tetapi penting ialah taubat, iaitu menyesal atas kesalahan lalu kepada Allah dan bertekad tidak akan menyimpang daripada landasan kebenaran lagi. Allah suka apabila hamba-Nya kembali kepada-Nya dengan taubat yang sebenar-benarnya.

Monday, October 20, 2008

Ust. Osman Abdullah Al Yameni : Beza Hamba Ramadhan, Hamba Allah

ALHAMDULILLAH, kita sudah merayakan Aidilfitri yang mulia dengan penuh gembira dalam suasana harmonis dan aman.

Segalanya baru, baju baru, pakaian baru rumah baru tetapi harus diingat yang baru bukan sekadar baju, pakaian dan makanan tetapi amat penting ialah jiwa baru selepas ditarbiyah dan ditempa oleh madrasah Ramadan.

Semoga puasa kita dan Tarawih kita diterima, bacaan al-Quran kita berjaya menggugah hati yang degil dan keras ini, manakala sedekah kita menjadi perisai daripada bahaya dan musibah.
Sebagai muhasabah, dalam kita merayakan lebaran, jangan lupa sesungguhnya ukuran kejayaan kita bukannya diukur ketika dalam puasa.

Walaupun banyak kita baca al-Quran, itu belum tanda kita sudah berjaya. Bulan Ramadan memang kita kerap ke masjid untuk solat Tarawih, itu bukan tanda kita sudah berjaya, sedekah banyak pada bulan Ramadan, itu bukan tandanya kita sudah jadi pemurah.

Kenapa saya kata begitu? Pembaca pun boleh agak jawapan saya. Malah, kerap kali kita dengar jawapan yang akan saya utarakan ini dalam tazkirah dan ceramah serta khutbah alim ulama.
Sebabnya ialah kerana Ramadan adalah bulan “latihan.” Kejayaan sesuatu kursus bukannya di tempat kursus tetapi ukurannya ialah selepas selesai kursus.

Pertarungan sebenar kita bukannya pada bulan puasa malah “The Real Battle” ialah 11 bulan selepas Ramadan.

Ada orang sepanjang Ramadan ke surau dan masjid setiap malam tetapi selesai Ramadan, dia tidak ke masjid dan surau, itu namanya “hamba Ramadan” bukannya hamba Allah .

Jika Ramadan membaca al-Quran tidak henti-henti tetapi bila saja habis Ramadan, tidak baca-baca lagi al-Quran, itu namanya “hamba Ramadan” bukannya hamba Allah .

Bulan Ramadan bukan main lagi suka bertahajud tetapi selepas bulan Ramadan terus tidak terkejut-kejut lagi, itu namanya “hamba Ramadan” bukannya hamba Allah .

Maaf kerana saya guna perkataan agak kasar sedikit. Tetapi bila difikirkan mengenai kemunafikan kita beribadat rasanya sekali-sekala terpaksa berkasar sedikit. Ini bukan apa, cuma hendak menggugah hati yang tidak terikat dengan roh Ramadan.

Ungkapan mengenai hamba Ramadan sebenarnya nasihat daripada ulama semasa dan amat kontemporari iaitu Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi yang menyatakan, jadilah kamu hamba-hamba Allah dan jangan kamu menjadi hamba Ramadan.

“Kun rabbaniyyan wala takun ramadhaniyyan” maksudnya berbuat baik bukan hanya bermusim. Pergi masjid dan surau bukan ikut selera kita atau tengok ramai orang pergi kita pun pergi tetapi bila orang mula tidak pergi lagi ke masjid kita hilang semangat.

Kenapa bersemangat hanya pada bulan Ramadan? Sama juga dengan semangat membantu anak-anak yatim dan fakir miskin, kenapa pada satu bulan sahaja kita bantu dan gemukkan mereka, sedangkan kita tahu anak yatim dan fakir miskin tidak hanya hidup 30 hari setahun?

Mereka sama juga macam kita hidup selama 365 hari setahun. Bulan Ramadan montel mereka tetapi bulan-bulan lain jadi kurus pula.

Marilah kita jadikan kerajinan dan semangat serta kesungguhan di bulan ini sebagai “spark” untuk meneruskan kerajinan di sebelas bulan yang mendatang.

Friday, October 17, 2008

Sahabatku, Jalan ini Bukan Mudah

Sahabat..

Aku mencintaimu kerna Rasulullah memerintahkan aku mencintaimu. Ya,tidak beriman seseorang itu sehingga dia mencintai saudaranya sepertimana dia mencintai dirinya sendiri.

Sahabatku yang sangat aku cintai..

Sungguh,jalan yang kita lalui ini bukan jalan yang indah dan mudah. Jalan ini matlamatnya cantik dan mengkagumkan.Tapi, sungguh tidak dapat aku janjikan kepadamu jalan ini akan senang kau lalui. Bukankah sejarah membuktikannya, haq yang ingin dibawa tentu sekali akan ditentang.

Sahabat..

Bukankah dalam kita berdiskusi, seringkali kita ingatkan pejuang yang telah lama terkorban dulu? Sheikh Hassan Al Banna,ditembak di pasar. Kerna apa? Kerna dia membawa yang haq! Syed Qutb,nyawanya tercabut menemui Rabb nya di tiang gantung? Kerna apa? Kerna dia membawa yang haq. Sheikh Ahmad Yassin dibunuh dengan misil yahudi laknatullah di hadapan masjid di subuh yang hening. Kerna apa? Kerna dia juga membawa yang haq!

Amanah ini untuk kita,sahabatku. Amanah ini untuk orang seperti kalian. Bukanlah aku ingin menggoyahkan semangat wajamu dan bahkan tidak sesekali. Tetapi sahabat,yang pasti ingin aku ingatkan janji Allah terhadap orang yang menolong agamanya, Allah pasti akan membantu urusannya. Aku ingin ingatkanmu kasih sayangNya dan rahmatNya terhadap hamba yang diredhai Nya. Bukankah senang nanti bila Allah tanyakan kepada kita: Apa yang kau gunakan masa mudamu dan aku dan kau serentak menjawab :Ya Tuhanku, Ya Rabb, masa mudaku dan masa tuaku adalah aku letakkan pada jalanMu. Adalah untuk Kau. Hanya untuk hidup dalam redhaMu walau kami ditekan. Untuk hidup dalam cinta kami kepada Mu.

Sahabat...

Peluru, tali gantung, pedang yang tajam, bahkan tekanan yang kuat dari pengalaman kehidupan sememangnya boleh melemahkan sesiapa sahaja. Tapi bukan engkau. Engkau dibina dengan tarbiyah. Dihiasi keindahan akhlak. Dilahirkan sebagai pendukung agama ini. Biar siapa sahaja pun engkau, biar apa sahaja kata orang,kau terus menguatkan langkah menyusur jalan in. Aku yakin,kerna kau sahabatku.

Sahabatku yang dikasihi..

Tidak dapat aku janjikan kesenangan dan kemewahan mengikut jalan ini. Tidak dapat aku berikan nama dan pangkat. Tapi akan ku tawarkan yang lebih baik dari segala itu. Akan kuberikan doaku semoga kau teguh dalam jalan ini .Akan ku bersama kau melangkah membawa haq dalam jalan ini. Akan aku luka dan berdarah bersama kau. Kerna kita saudara yang saling mencintai kerna Nya.

Sungguh aku bersama mu.

Tulus,

Sahabatmu tercinta

Syawal Perlu Dijadikan Medan Istiqamah Amalan Ketika Ramadhan

RAMADAN sudah berlalu, namun kesan tarbiah seharusnya masih berbekas di setiap jiwa Muslim. Sesungguhnya Ramadan bulan melatih diri yang bakal mencetuskan momentum untuk kebaikan yang akan diteruskan bulan seterusnya.

Aidilfitri ini adalah jejak permulaan menentukan hasil daripada natijah Ramadan. Adakah ia mampu mengundang kebaikan dan pahala seperti dilakukan pada Ramadan?

Di sini pentingnya kekuatan dalaman yang perlu dicetuskan hasil daripada istiqamah yang berpanjangan. Apakah yang ada selepas Ramadan? Mampukah untuk terus berlaku baik dengan beramal ibadat dan menambahkan pahala serta amal kebaikan?

Semua persoalan ini boleh dijadikan titik renungan setiap daripada kita bahawa Syawal yang sedang kita lalui sekarang juga adalah ujian. Barangkali terbit juga kekusutan dan kekeliruan dalam pembawaan kita pada Ramadan dan bulan lain.

Mengekalkan sesuatu yang kita amalkan atau dalam erti kata lain istiqamah mungkin sukar untuk diteruskan jika istiqamah itu terus dipandang sebagai beban yang tiada penghujungnya. Sedangkan kita boleh mengubah pandangan itu bahawa apa yang lalui Ramadan dapat menjadi pencetus kepada kebaikan untuk sebelas bulan yang akan datang bermula pada Syawal.

Sayang sekali, ia hanya dipandang sepi. Cuba kita lihat, bagaimana sibuknya pada Ramadan, semua pihak atau orang perseorangan untuk bersedekah, menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan seperti orang miskin, orang tua dan anak yatim.

Kebanyakan rumah kebajikan yang dihuni warga yang tidak berkemampuan dihujani dengan pelbagai bentuk bantuan supaya mereka boleh merasai nikmat berpuasa dan berhari raya dengan kegembiraan.

Tetapi selepas Ramadan, golongan itu terus dibiarkan dan tidak dipedulikan dalam menjalani kehidupan. Kelaziman yang berlaku dalam Ramadan langsung tidak diteruskan selepasnya menyebabkan golongan itu terasa diabaikan. Inikah dikatakan roh Ramadan yang menjiwai setiap insan?

Jika keadaan ini terus dibiarkan, adalah lebih baik jika sikap dermawan badan tertentu atau orang perseorangan ini diamalkan dalam bulan lain selain Ramadan. Majlis berbuka puasa yang asalnya adalah ibadat dan sedekah bertukar menjadi adat. Tiba masa golongan itu memerlukan bantuan, mereka terus diabaikan dan dibiarkan sepi.

Sebab itu apabila tiba Syawal seharusnya disambut dengan penuh keazaman untuk mengekalkan kebaikan dan terus istiqamah dalam setiap lunas amalan.

Persoalan yang seharusnya timbul di setiap benak fikiran kita ialah adakah Syawal ini mampu menggamit istiqamah berpanjangan yang bertitik tolak daripada Ramadan yang lalu? Jika kita tinjau dari satu segi iaitu kesihatan, berapa ramai yang mampu mengekalkan amalan kesihatan dilakukan pada Ramadan?

Barangkali dengan undangan jamuan rumah terbuka yang tidak pernah surut, mengundang tuntutan selera dan nafsu yang tidak pernah padam apabila melihat juadah istimewa sepanjang Syawal. Ini menjadikan kita lupa tuntutan Ramadan supaya bersederhana dalam makan dan minum tidak dapat dijadikan sandaran untuk terus istiqamah dalam menjaga kesihatan.

Cuba kita lihat perokok tegar yang mampu menahan keinginan merokok sepanjang berpuasa pada siang. Tetapi berapa kerat daripada mereka yang mampu mengurangkan ketagihan merokok selepas Ramadan.

Jika tidak berhenti terus daripada merokok, seharusnya jumlah bilangan perokok dan kekerapan merokok patut dikurangkan sebagai kesinambungan sikap yang diamalkan sepanjang Ramadan. Tetapi sebaliknya berlaku apabila bermulanya Syawal, kerana ada juga yang semakin kerap merokok seolah-olah mereka bebas daripada ikatan yang menegah mereka daripada merokok dan medan untuk membalas dendam kerana tidak dapat menebus keinginan merokok sepanjang Ramadan.

Justeru, Syawal yang sedang kita lalui kini perlu dihargai kerana ia mampu menjadi medan istiqamah amalan yang berpanjangan tidak kira dalam apa juga sudut setiap jiwa insan tidak mudah luntur dengan roh Ramadan. Hati yang dibaluti dengan semangat Ramadan yang tebal mampu menggamit Syawal yang penuh iltizam agar menjadi pemangkin untuk terus menjana amalan salih.

Tuesday, October 14, 2008

3 Perkara Pastikan Mukmin Terlindung Tipu Daya Syaitan

TIPU daya syaitan dan bisikan hawa nafsu sentiasa mempermainkan kehidupan seorang insan. Setiap saat kedua-duanya bersatu tenaga merancang untuk merobohkan benteng iman di hati manusia.

Namun begitu, tidaklah Allah menyerahkan bulat-bulat diri orang mukmin untuk menjadi hidangan syaitan dan hawa nafsu mereka. Bahkan Allah akan membersih jiwa orang mukmin itu setiap saat hingga mereka kembali kepada-Nya dalam keadaan sebersih-bersihnya.

Apakah tanda Allah menyucikan diri seorang hamba?

Diturunkan musibah kepadanya lalu dia reda. Dihidupkan jiwanya lalu dia bertaubat. Dipimpin hatinya lalu dia suka beribadat.

Tiga perkara ini besar fungsinya untuk memastikan hamba yang beriman tetap terjaga dan terlindung daripada jenayah hawa nafsu dan tipu daya syaitan. Sehingga dia bertemu Allah dalam keadaan suci, bersih lagi diredai.

Sesungguhnya musibah akan membentuk tiga karakter manusia iaitu manusia yang memiliki jiwa yang unggul, teruji dan benar cintanya kepada Allah kerana musibah berkait rapat dengan perasaan kejiwaan manusia.

Pertama, apakah dia reda dan akur atas kehendak Allah kemudian percaya dengan ganjaran bagi orang yang sabar? Apakah dia menerima musibah itu sebagai hadiah terindah daripada kekasih Yang Maha Mengasihani?

Apakah musibah itu mampu melonjakkan imannya ke tahap lebih tinggi sehingga dia sentiasa meneliti kekurangan diri? Kemudian dia bertanya: “Mengapakah Allah memilih diriku? Apakah dosa yang harus disucikan, bagaimanakah aku harus memperbaiki diri dan amalku?”

Akhirnya, lahir satu keyakinan bahawa Allah akan mengganti musibah itu dengan kebaikan yang akan datang selepasnya. Sesuai dengan firman-Nya bermaksud:

“Sesungguhnya bersama kesusahan itu ada kemudahan.” (Surah Al-Insyirah, ayat 5)

Kedua ialah jiwa yang memberontak apabila seseorang menerima musibah dengan hati yang berprasangka buruk kepada Allah . Dia berkata: “Tuhan menghinakan aku, menyerahkan aku kepada orang jahat lalu mereka menzalimiku. Tuhan menolak doaku, mencampakkan ibadatku hingga 40 hari, Dia tidak menerima amal salihku. Dia menghukum, menutup pintu langit, menahan rezeki dan mengazabku dengan musibah ini.”

Betapa bijaknya syaitan meniupkan penyakit putus harapan yang mematikan jiwa reda seorang hamba. Hal ini bertentangan dengan suruhan Allah kepada orang yang berdosa dalam firman bermaksud:

“Katakanlah: Wahai hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah . Sesungguhnya Allah mengampuni dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Zumar, ayat 53)

Ketiga, jiwa yang mudah berpaling. Kesetiaan menjadi faktor terpenting dalam perhubungan, seperti seorang hamba mesti membuktikan setianya kepada Allah dalam setiap keadaan. Susah atau senang, sibuk atau lengang, kaya atau miskin, terkenal atau terlupakan, di atas atau di bawah, disanjung atau dijatuhkan.

Bagaimanapun situasi yang terjadi, hubungan hati dengan Allah tetap terjaga. Tidak pernah melupakan Allah saat senang seperti dia mengingati-Nya di kala susah. Tetapi al-Quran merakamkan keadaan orang yang mudah berpaling ketika dilanda musibah dalam hidupnya.

Firman Allah bermaksud:

“Dan di antara manusia ada orang yang menyembah Allah dengan berada di tepi. Maka jika ia memperoleh kebajikan, tetaplah ia dalam keadaan itu, dan jika ia ditimpa oleh suatu bencana, berbaliklah ia ke belakang. Rugilah ia di dunia dan di akhirat, yang demikian itu adalah kerugian yang nyata.” (Surah al-Hajj, ayat 11)

Sudah selayaknya setiap hamba Allah memandang musibah sebagai satu tanda bahawa Allah mahu membersihkan dirinya, memberi jaminan kafarah atas segala dosanya hingga dia bertemu Allah dengan jiwa yang reda lagi diredai.

Tanda kedua Allah menyucikan seorang hamba ialah dihidupkan jiwanya lalu dia bertaubat. Setiap kali berbuat dosa, hati akan terseksa, takut, sedih dan putus asa mengingati kejahatan diri. Di situlah rahmat bagi orang beriman yang melakukan dosa, dia sentiasa ingat untuk bertaubat, merayu dan memohon maaf kepada Allah .

Bagaikan mati hidup semula, begitulah perumpamaan mengenai jiwa orang mukmin yang kembali kepada Allah .

Keberkatan Surah Al-Ikhlas

Ketika Memulakan Kerja

Bacalah ayat ini sebelum anda memulakan apa-apa saja kerja kerana dengan bacaan ini akan keluarlah iblis dan syaitan yang berada didalam tubuh kita dan juga di sekeliling kita, mereka akan berlari keluar umpama cacing kepanasan.

Sebelum Masuk Ke Rumah

Sebelum anda masuk rumah, bacalah surah Al-Ikhlas (sebanyak 3 kali. Masuklah rumah dengan kaki kanan dan dengan membaca bismillah. Berilah salam kepada anggota rumah dan sekiranya tiada orang di rumah berilah salam kerana malaikat rumah akan menyahut.

Amalkanlah bersolat kerana salam pertama (ianya wajib) yang diucapkan pada akhir solat akan membantu kita menjawab persoalan kubur. Apabila malaikat memberi salam, seorang yang jarang bersolat akan sukar menjawab salam tersebut. Tetapi bagi mereka yang kerap bersolat, amalan daripada salam yang diucap di akhir solat akan menolongnya menjawab salam malaikat itu.

Ketika Sakit

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud: Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas sewaktu sakit sehingga dia meninggal dunia, maka dia tidak akan membusuk di dalam kuburnya, akan selamat dia dari kesempitan kuburnya dan para malaikat akan membawanya dengan sayap mereka melintasi titian siratul mustaqim lalu menuju ke syurga. Demikian diterangkan dalam Tadzikaratul Qurthuby).

Khatam al-Quran

Rasulullah SAW pernah bertanya sebuah teka-teki kepada umatnya: Siapakah antara kamu yang dapat khatam Qur'an dalam jangka masa dua-tiga minit? Tiada seorang dari sahabatnya yang menjawab. Malah Saiyidina Ummar telah mengatakan bahawa ianya mustahil untuk mengatam Qur'an dalam begitu cepat.

Kemudiannya Saiyyidina Ali mengangkat tangannya. Saiyidina Ummar bersuara kepada Saiyidina Ali bahawa Saiyidina Ali (yang sedang kecil pada waktu itu) tidak tahu apa yang dikatakannya itu. Lantas Saiyidina Ali membaca surah Al-Ikhlas tiga kali. Rasulullah SAW menjawab dengan mengatakan bahawa Saiyidina Ali betul. Membaca surah Al-Ikhlas sekali ganjarannya sama dengan membaca 10 jus kitab Al-Quran. Lalu dengan membaca surah Al-Ikhlas sebanyak tiga kali qatamlah Quran kerana ianya sama dengan membaca 30 jus Al-Quran.

Pahala Membacanya

Berkata Ibnu Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Ketika saya (Rasulullah SAW) israk ke langit, maka saya telah melihat Arasy di atas 360,000 sendi dan jarak jauh antara satu sendi ke satu sendi ialah 300,000 tahun perjalanan. Pada tiap-tiap sendi itu terdapat padang sahara sebanyak 12,000 dan luasnya setiap satu padang Sahara itu seluas dari timur hingga ke barat.

Pada setiap padang sahara itu terdapat 80,000 malaikat yang mana kesemuanya membaca surah Al-Ikhlas. Setelah mereka selesai membaca surah tersebut maka berkata mereka: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya pahala dari bacaan kami ini kami berikan kepada orang yang membaca surah Al-Ikhlas baik ianya lelaki mahupun perempuan.

Sabda Rasulullah SAW lagi: Demi Allah yang jiwaku ditanganNya, sesungguhnya Qul Huwallahu Ahadu itu tertulis di sayap malaikat Jibrail a.s, Allahhus Somad itu tertulis di sayap malaikat Mikail a.s, Lamyalid walam yuulad tertulis pada sayap malaikat Izrail a.s, Walam yakullahu kufuwan ahadu tertulis pada sayap malaikat Israfil a.s.

Friday, October 10, 2008

Puasa Sunat Syawal, Ganti & Ziarah

Puasa sunat Syawal sememangnya amat popular di kalangan masyarakat kita hari ini. Dikesempatan ini saya suka menasihatkan semua yang ingin mengamalkan puasa sunat ini agar berhati-hati dari tipu daya syaitan yang kerap berjaya menjadikan seseorang individu yang berpuasa itu bermegah dan riya' dengan amalannya.

" kau , dah hari ker berapa dah?"

"aku dah 5 hari dah ni"

"esok aku raya (sunat syawal)"

Ini adalah antara kata-kata yang kerap didengari di bulan syawal ini.

Ia menjadi seolah-olah satu budaya untuk berlumba menamatkan puasa enam. Ia agak terpuji tetapi ia dicemari oleh habahan-hebahan yang dibuat tentang bilangan hari puasanya bertujuan melihat 'sapa lebih hebat?'.

Amat dibimbangi, tindakan ini bakal menghilangkan seluruh pahala puasa sunatnya. Kerana ia boleh menjadikan seseorang merasa riya, serta memperdengarkan amalan masing-masing yang sepatutnya di sembunyikan khas untuk Allah.

Ziarah & Puasa Sunat

Saya tidak nafikan ada yang terpaksa memberitahu apabila ada rakan yang ajak makan dan menziarahi rumah rakan. Tatkala itu, ia tidaklah terkeji dan masing-masing bertanggung jawab menjaga niat dan hati masing-masing agar tidak timbul perasaan tersebut.

Puasa sunat ini juga tidak sewajarnya menjadi penghalang menerima jemputan rakan-rakan yang membuat rumah terbuka.

Isu Keutamaan Antara Sunat Syawal & Qadha

Selain itu, satu isu yang kerap ditimbulkan berkenaan hal ini adalah tentang penggabungannya dengan puasa ganti ramadhan dan puasa yang mana satu lebih perlu diutamakan.

Jika ada yang bertanya manakah yang lebih baik di antara puasa sunat syawwal dan puasa qadha?. Jawapannya sudah tentu adalah puasa Qadha. Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih

وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه

Ertinya : "..dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaKu dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya..." (Riwayat Al-Bukhari, no 6021)

Hadis tadi sebagai asas keutamaan, walau bagaimanapun dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang.

Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu Qadha puasanya selama 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat. Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawwal terlebih dahulu di ketika itu . Ini adalah kerana waktu sunnat puasa Syawwal yang singkat berbanding Qadha (sepanjang tahun).

Bagaimanapun harus di ingat, walaupun waktu bagi puasa Qadha adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu.

Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawwal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih berhutang dengan Allah SWT.

Bagaimanapun seseorang yang mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawwal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat syawal itu sekali. Berdasarkan sabda Nabi SAW

‏إن الله كتب الحسنات والسيئات ثم بين ذلك فمن هم بحسنة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له عنده عشر حسنات إلى سبع مائة ضعف إلى أضعاف كثيرة ومن هم بسيئة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له سيئة واحدة

Ertinya " ... barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah di tuliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, di tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda.." ( Riwayat Al-Bukhari, no 6010)

Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat Syawwal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang' ibadah dengan Allah berbanding puasa syawwal yang hanyalah sebagai tambahan pahala.

Isu Gabung Sunat & Qadha

Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :-

Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang specifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.

Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.

Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti' itu dipersoalkan, iaitu :-

1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid' atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid'. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.

2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa'dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a'lam.

3. Tindakan A'isyah r.a yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawwal. Maka inilah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana Aisyah r.a tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut :

كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان

Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya'ban" ( Riwayat Muslim, no 101)

4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam' (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.

Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)

5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad 'Aayish al-'Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awalwiyyat. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW

من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر

Ertinya: "Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)" (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).

6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe'il madhi' iaitu ‘past tense' bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.

7. Hujjah ulama yang mengharuskannya adalah hadith

" Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan." (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)

Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).

Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh di buat sesuka hati di dalam ibadah.

Kesimpulan

Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini : Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal);

Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah "keringanan" bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

Wednesday, October 8, 2008

Syawal 1429H

'...Allah telah memberkati kamu dengan dua hari yang lebih baik iaitu Aidul Fitri dan Aidul Adha. Kedua hari ini adalah untuk makan-makan dan minum-minum,bergembira bersama dan mengingati Allah.'

Ramadhan berlalu sudah, Syawal pula menjelang tiba sebagai tanda berakhirnya ibadat puasa yang merupakan rukun Islam yang ke empat. Moga setiap amalan yang dikerjakan di bulan Ramadhan berterusan dilaksanakan sehingga bertemu yang seterusnya,insyaAllah.

Syawal merupakan bulan kemenangan bagi seluruh umat Islam setelah berjaya menahan nafsu amarah, dari lapar,dahaga serta mengawal anggota badan daripada melakukan perkara yang dilarang.
Namun tidak bermakna berakhirnya Ramadhan di situlah juga penamat kepada segala amalan yang dilakukan bahkan seharusnya ia menjadi pemangkin diri bagi setiap individu muslim untuk terus berada dalam nikmat ketenangan yang telah dirasai semasa Ramadhan dengan meneruskan dan meningkatkan lagi amal ibadat.

Antara penerusan amalan yang boleh dilaksanakan di bulan Syawal ini adalah puasa Enam, sabda Rasulullah s.a.w :

‘Jika seseorang berpuasa semasa Ramadhan kemudian mengikuti dengan enam hari Syawal,ia adalah seperti berpuasa sepanjang tahun.’ (RIwayat Muslim).

Oleh itu marilah kita bersama-sama usahakan untuk melaksanakan puasa enam ini di sepanjang bulan Syawal. Selain itu, Syawal juga merupakan peluang untuk umat Islam berkumpul dan merapatkan lagi hubungan silaturrahim serta bermaaf-maafan sesama kita.

"Kamu akan melihat orang-orang yang beriman saling berkasih sayang, saling mencintai, saling mengasihi yaitu bagaikan satu tubuh. Apabila satu anggota saja sakit, maka tertariklah bagian anggota yang lain ikut sakit dengan tidak dapat tidur dan badan panas" (HR. Bukhari Muslim).

Walaupun hari raya merupakan masa untuk kita bergembira namun kita perlu mengingati mereka yang kurang bernasib baik berbanding diri kita;mereka yang fakir, miskin dan juga saudara kita di Palestin, Sudan, Kemboja dan di mana jua. Moga ia dapat menambah lagi rasa bersyukur kita serta menggerakkan hati dan anggota untuk bersama-sama membantu mereka yang di dalam kesusahan.

Di bulan yang mulia ini juga sebagai seorang hamba yang beriman kita perlu memperbanyakkan memuji kebesaran Sang Maha Pencipta.

“Dan sempurnakanlah puasa kamu mengikut bilangan dari dalam bulan Ramadhan (29 hari atau30 hari) dan bertakbirlah (membesarkan Allah s.w.t.) atas petunjuk-Nya yang diberikan kepada kamu, semoga kamu bersyukur." (Surah al-Baqarah:185)

Oleh itu para sahabat yang dikasihi, janganlah segala usaha dan amalan yang dilaksanakan di bulan Ramadhan disia-siakan begitu sahaja, terusanlah untuk menggapai redha dan rahmat Allah swt, bertakbir,bertahmid dan berzikir lah memuji kebesarannya dan berdoalah agar ditetapkan iman di hati lebih-lebih lagi syaitan yang dibelenggu ketika Ramadhan telah dilepaskan dan kembali untuk meracuni hati hamba-hambaNYA.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, La ilaha illa Allah, Allahu Akbar wa lillahi-l-hamd