Thursday, January 22, 2009

Ukhuwah Fillah Abadan Abada

'Maafkan saya bang, saya dah tak mampu nak join kawan-kawan lain untuk ikut program lagi. Saya nak…’ Hassan mengeluh panjang dan berat, sambil menahan gejolak hatinya yang kencang. Berat sekali untuk meneruskan kata-kata yang hendak dia ucapkan kepada murabbinya. Namun, dia benar-benar merasakan dia tidak mampu untuk bersama-sama dengan jemaah dakwah yang ia sertai selama ini.

Fikiran Hassan menerawang jauh mengenangkan detik-detik awal dia memasuki dunia dakwah. Hassan akui bahawa tarbiyahnya yang selama ini dia ikuti memberi impak yang sangat besar kepada pembentukan peribadinya. Dia mampu mengubah penampilannya secara sempurna kerana tarbiyahnya dan dia juga temukan keindahan ukhuwah dengan tarbiyah, bahkan dia mampu ‘bekerja’ sekarang kerana tarbiyah. Tapi saat ini, keindahan ukhwah yang dulu pernah dia rasakan terasa begitu hambar. Kemesraan dan kecintaan yang dibina bersama teman-teman se halaqah sudah mula memudar. Hassan merasakan teman-temannya terlalu cepat berjalan dan dia tertinggal jauh. Mereka begitu sibuk dengan amanah dakwah masing-masing, sementara pada waktu yang sama dia berasa tenggelam, malas dan letih dengan semua itu. Dia pun tidak tahu mengapa.

Dia ingin teman-temannya mengerti kelemahan jiwanya dan membantunya keluar daripada jeratan-jeratan maksiat yang menjadi asbab kepada kemunduran semangatnya. Namun ketika dia mahu meluahkannya kepada mereka, dia lantas berasa sangat malu. Teman-temannya asyik membincangkan masalah dakwah bersama murabbinya membuatkan Hassan sukar untuk mengucapkannya. ‘Ala.. masalah kecik je, diorang mesti rasa buang masa je untuk cerita’, begitu fikirnya. Akhirnya dia tenggelam keseorangan menelan permasalahannya sehinggalah dia mencari teman-teman di luar komuniti dakwahnya untuk sekadar melabuhkan masalah yang terkubu di dalam hati.

Fenomena di atas bukanlah sesuatu yang mustahil dalam putaran dakwah. Jatuh bangunnya aktivis dakwah dalam meniti jalan ini, fenomena futurnya iman serta keguguran jundi-jundi dakwah adalah biasa dalam perjuangan ini. Itu adalah sunnatullah. ‘Imanu Yazid way an quz- Iman itu naik dan turun’. Akan tetapi yang patut disesalkan adalah ketika jatuhnya aktivis dakwah ini, ia bukan kerana mereka tidak mahu bangun dan kembali bersama dakwah, tetapi kerana orang-orang yang disekelilingnya tidak mahu membantunya bangkit semula bahkan tidak peduli sama sekali kalau saudaranya sedang terjatuh. Inilah yang patut direnungi bersama. Kisah Hassan adalah satu contoh.

Kadang-kadang seorang murabbi itu merasakan bahawa anak-anak buahnya sangat bagus sekali, mendengar pengisian dengan teliti dan bersemangat, mencatat nota dengan rapi, kemudian pulang ke rumah masing-masing dengan aman. Tiada sebarang masalah. Padahal di sebalik penampilan yang bagus di hadapan murabbinya, ada jurang kemaksiatan yang dilakukan tanpa pengetahunnya. Anak buah seterusnya mahu mengundur diri dan merasa diri tidak setanding dengan teman-teman halaqahnya.

Kuncinya di sini adalah dengan berterus-terang. Mutu sesebuah halaqah itu sangat bergantung kuat pada kualiti dialog yang dibina di dalam halaqah itu. Tidak mungkin dialog-dialog itu mampu berlaku dengan baiknya jika tidak adanya keterbukaan pada jiwa individu yang ada didalam halaqah tersebut. Keterbukaan di sini adalah berterus terang dalam menyampaikan segala permasalahan walau sekecil manapun masalah itu. Jangan memandang enteng sesuatu masalah itu jika itu memang memerlukan penyelesaian. Bagi seorang murabbi tidak sebolehnya terlalu mempercayai bahawa ia telah memberikan banyak bahan dan terlalu yakin bahawa mad’unya telah menjadi kader-kader yang tidak mungkin jatuh tatkala ketika tersadung batu ujian.

Lihat sahaja kisah keterbukaan Kaab bin Malik semasa perang Tabuk kepada Rasulullah saw. Panglima besar Islam itu tidak mahu berperang hanya kerana malas! Namun dia bersimpuh di hadapan Rasulullah saw sambil berkata, "Wahai Rasulullah, andai aku berhadapan dengan selain engkau, aku yakin aku dapat mencari alasan, namun aku khuatir Allahswt akan membuatmu marah padaku dengan mengungkapkan kedustaan itu melalui wahyu…” Apa yang ditonjolkan Kaab sudah cukup menjadi renungan kita semua akan erti keterbukaan,berterus terang dan kejujuran. Di sanalah kuncinya.Ketika seorang mad’u berterus terang akan kesalahannya, maka akan legalah hati walaupun mungkin ianya memalukan.

Di saat itulah motivasi rohani daripada murabbi dan nasihat teman-teman harus segera diberikan untuk membantu dan mengembalikannya semula kepada langkah yang sudah ditinggalkan. Eratkan kembali ukhwah. Satu lagi perkara yang berperanan besar dalam menjaga stamina ruhiyah seorang individu dalam tarbiyah adalah ukhwah. Kadang-kadang kerana kesibukan yang mencengkam, hak-hak ukhwah yang seharusnya kita berikan kepada saudara kita menjadi terabai. Maka wajarlah apabila kita rasakan sewaktu berprogram atau pertemuan rutin seperti menjadi kering tanpa makna. Kosong!

Perkara sebegini haruslah diatasi.Sesibuk manapun kita dengan aktiviti yang dilakukan, hak-hak ukhwah harus tetap kita berikan. Berwajah ceria ketika bertemu, saling berziarah sehingga kita tahu keadaan keluarganya,masalah yang sedang dihadapinya serta keadaan imannya. Cari masa untuk bermalam bersamanya agar dapat bertukar cerita sehingga kita boleh merasakan sifat empati terhadap permasalahan saudara kita. Saling nasihat menasihati baik diminta ataupun tidak, saling bertukar-tukar hadiah dan saling mendoakan doa rabithah.

Andai kesemua hak-hak ukhwah tersebut kita tunaikan, akan menjadi tipislah kemungkinan untuk gugurnya sahabat-sahabat kita di atas jalan dakwah ini, insyaAllah. Akhirnya saudaraku, tarbiyah itu unik. Di situ bukan sahaja sekadar perpindahan ilmu dan bahan, tetapi adalah proses bagi setiap individu di dalamnya untuk menjadi lebih baik dari yang sebelumnya. Dan lebih dari itu, langkah-langkah ke arah menjadi lebih baik itulah yang menjadikan kita mengerti akan hakikat hidup berjemaah. Tarbiyah bukanlah segala-galanya, namun segala-galanya bermula dari tarbiyah.

Wallahua'lam...

Atas Jalan Ini ...

Dalam antara kita yang ingin mengajak ke arah kebaikan,ada yang mungkin akan tumpas atau pun dengan kata lainnya berhenti dari medan da`wah seperti mana Ustaz Hassan Hudaybi menyatakan:

Da`wah ini akan berjalan dan bergerak sama ada dengan kita atau tanpa kita. Seorang aktivis da`wah tidak perlu sedih sekiranya tidak nampak hasil. Allah melihat usaha kita. Pengasas empayar Rom tidak sempat melihat kejayaan nya kerana Rom itu terbina dalam masa yang lama. Kalau sang pengasas itu juangnya semata-mata untuk melihat hasil daripada usaha itu berada dalam hayatnya, maka usahanya mungkin sekali usaha yang tergopoh gapah tanpa perancangan yang kukuh.

Sahabatku,
Usaha anda mungkin tidak akan nampak hasilnya dalam hayat kita ini. Tetapi insya allah akan membawa hasil kerana jalan yang kita bawa adalah kesinambungan jalan Rasulullah dan para salafussoleh. Bukankah dalam surah Al-Fussilat ayat ke 33 Allah mengungkapkan

“Siapakah yang paling baik seruannya berbanding orang yang mengajak kepada Allah”.

Sahabat,
Dalam menjalani hidup,kita tidak akan lari daripada segala jenis cabaran. Al Quran sendiri perlu kita kaji dimana dinyatakan

“Adakah manusia itu menyatakan dirinya beriman sedangkan dia belum lagi diuji?”.

Maka ujian dan cabaran itu adalah penyukat terhadap kita. Sebagaimana kita mahu mendapatkan kualiti ISO atau SIRIM pun sesuatu produk itu perlu diuji, kita juga merupakan produk. Produk seorang Muslim untuk diuji sama ada kita ini seorang Mu`min sejati atau bukan. Ada pepatah asing mengatakan, “Tea shows it flavor in hot water“.

Maka dapat kita ambil pengajaran bahawa dalam cabaran itu, kita mampu membina diri kita dan mencari serta memperbaiki kelemahan diri. Anda bayangkan tentang pedang. Diciptakan pedang itu dari besi yang dipanaskan dan ditempa dengan ketukan untuk menempanya. Lalu menjadi pedang yang tajam yang berguna. Begitu juga manusia. Anggap saja manusia ini sebagai besi yang belum ditempa. Ketukan dan kepanasan yang amat tinggi itu adalah cabaran bagi kita dan produknya adalah seorang Mukmin yang berkualiti. Yang bukan sahaja baik pada akhlak dan imannya tetapi turut sukses dalam kehidupan.

Bukankah Islam ini menyuruh kita untuk berjaya dalam pelbagai segi. Tidak cukup untuk kita baik perangai kita sendiri sahaja. Perlunya kita cemerlang dalam ilmu, ekonomi dan kekuatan. Dan juga perlu kita seru orang lain. Sebagai contoh, perumpamaan dalam buku tulisan Muhammad Qutb,

“ Masyarakat ini ibarat sebuah bahtera lalu wujudnya segolongan yang ingin membocorkan lantai bahtera itu, sedangkan kita hanya melihat. Akhirnya kita sama - sama tenggelam.”

Justeru, hal inilah yang terjadi dalam fenomena sekarang! Kita melihat orang melakukan kemungkaran tetapi tidak langsung ingin menghalang. Alasannya, jangan jaga tepi kain dan itu bukan hal dan masalah kita. Namun akhirnya penyakit ini membarah dan merosakkan masyarakat sehingga ahli keluarga kita sendiri. Sekarang, ADAKAH INI JUGA BUKAN MASALAH KITA??.

Masalahnya, bilamana umat ini hanya menganggap Islam itu sebagai agama ritual. Yang setiap perlakuannya hanya adat dan budaya serta ibadat ritual, tiada pengertian lebih dari itu. Sedangkan Islam ini bukan ibadat sahaja. Kehidupan kia seharian dari kita memulakan hari kita perlu dalam kehidupan Islam dari segi pentadbiran, pergaulan, pendidikan dan lain-lain.

Merujuk kepada artikel tulisan bekas mufti Perlis Dr Asri Zainal Abidin dalam penulisannya, dia mengatakan yang golongan agama ini dilabel dengan orang yang selalu berjalan lambat, tetapi cepat bila ada majlis kenduri, dan cepat juga pulang bila tamat kenduri, berselisih sama ada daging korban wajar diberi kepada bukan Islam atau tak. Sedangkan umat bukan Islam telah maju kedepan dengan teknologi. Dalam zaman ini, kita seakan kembali ke zaman jahiliah dimana kesedaran bahawa Islam itu sebagai jalan hidup amat nipis sekali.

Dimana Jahiliah moden ini menganggap bahawa Islam itu hanya ritual. Hanya ibadah ritual dilakukan seharian. Hidup bekerja dan berkeluarga perlu ikut konsep lain dan bukan Islam.Ini suatu pemikiran yang mematikan.Tidak salah untuk kita mengambil konsep yang dibawakan kerna ia juga adalah ilmu yang berharga. Tetapi,bukankah sewajarnya kita berpaksikan kepada kehidupan yang menjadikan Islam itu sebagai jalan hidup dari semua segi.

Kejayaan cendekiawan Islam dahulu bukan hanya sekdar cerita dongeng semata. Itu adalah realiti sebenar. Tambahan pula,ada sebab kenapa mereka berjaya. Ini kerana, mereka menjadikan Islam ini sebagai jalan hidup bukan sebagai ritual. Jadi permulaannya, kita perlu membawa umat ini memahami erti shahadah itu sendiri. Dari satu kalimat ke satu kalimat. Bilamana kefahaman terhadap aqidah itu wujud dimana menerima konsep Tiada illah selain ALLAH, dan ini senang sekali membawa kepada da`wah berkaitan kehidupan seharian.

Contohnya, kenapa perlu bertudung,kenapa perlu menjaga pergaulan, kenapa perlu nya negara Islam, kenapa itu dan ini. Semuanya sudah ada jawapan kalau kita menerima konsep shahadah itu. Bukan maksudnya menerima itu sekadar melafazkan tetapi memahami dengan sebetulnya apa yang terkandung dalam shahadah. Bilamana kefahaman itu tiada maka terlampau banyak soalan yang bakal menjadikan kita lelah untuk menjawab. Semua perkara yang dipersoalkan akan perlu kita jawab.

Yang terbaru, Syed Tantawi dikecam kerana bersalam dengan shimon peres. Syed tantawi adalah ulama yang hebat. Pasti dia sudah berijitihad dengan sungguh-sungguh. Kita tidak bersalam dengan yahudi pun, mereka tetap menindas saudara kita di Palestin. Bukankah dari penat berbalah dan mengecam seseorang, kita berusaha menyemaikan kefahaman tentang Islam kedalam hati orang Islam itu sendiri yangt tidak akan muncul macam-macam bantahan lagi seperti pengharaman yoga, tidak boleh pakai seluar bagi perempuan dan sebagainya yang dipersoalkan. Walhal,itu semua adalah ranting-ranting.

Padahal pokok asasnya tidak kita perbetulkan dan fahami dengan sebaiknya. Kita potong ranting, ranting baru akan muncul. Tetapi kalau kita potong pokok tu terus, masalah akan selesai. Oleh itu, pokoknya adalah kefahaman.

Wallahua'lam ....