Thursday, July 3, 2008

AL-QURAN PENYEMBUH PENYAKIT

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Allah swt kerana dengan keizinanNya jua dapat kita berjumpa di alam siber - satu alam zahir yang hanya transparent (zahir) bagi pemilik internet. Rencana atau koleksi tazkirah ini insyallah boleh dijadikan sumber rawatan di tengah-tengah kesakitan rohani yang dialami oleh umat dewasa ini.

Isi kandungan tazkirah ini bukanlah berdasarkan pendapat sendiri malahan saya petik dari pelbagai sumber termasuk Al-Quran, Hadith serta kita-kitab ulamak serta petikan kuliyah yang dihadiri. Dalam Islam sebenarnya sudah tercerna lengkap dengan pelbagai rumusan dan cara rawatan bagi mengatasi masalah kegawatan jiwa dan sebagainya. Ini tidak didapati dalam agama-agama lain yang sibuk bertungkus lumus mencipta teori dan ism untuk mengubat jiwa seperti kaedah yoga, menelan pil, dadah, menonton wayang/tv/video, berkreasi di hutan lipur, memanjat gunung, mengadakan konsert dan pelbagai aktiviti rakan dsb; padahal itu hanya menyesat dan menambahkan kerosakan jiwa yang lebih gawat.

Jalan keluar bagi semua kekalutan ini ialah melalui Islam yang syumul dan lengkap dari awal hingga akhir dunia. Nabi Muhammad saw sudah menggariskan mereka yang berpegang dengan 2 pusaka yang ditinggalkannya tidak akan sesat selama-lamanya. Kedua-dua sumber itu ialah Al-Quran dan Hadith.

Jelas, bahawa Al-Quranulkarim adalah alat penyembuh dan pencuci roh teragung yang mampu menggilap semula jiwa manusia untuk kembali ke jalan lurus yang diredhai Allah. Inilah ubat yang hampir pupus dan dilupakan oleh masyarakat modern hari ini sehingga mereka mencari ubat-ubat lain yang bukan menjadi penawar malah menghancurkan kemanusiaan itu sendiri. Ubat yang dijumpai adalah racun pada hakikatnya.

Tazkirah kali ini akan memfokuskan tentang perlunya kita (terutama diri saya sendiri) supaya bermuzakarah dengan Al-Quran sehingga tilawah Al-Quran menjadi budaya yang mampu merubah atau meruntun perjalanan hidup sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah dan rasulNya.


Kepentingan Al-Quran:

1). "Sesungguhnya hati-hati berkarat seperti berkaratnya besi. Sahabat-sahabat bertanya bagaimana untuk mensucikannya, ya Rasulullah? Baginda menjawab, dengan membaca Al-Quran dan mengingati mati." - Hadith

2). "Yang terbaik di antara kamu ialah mereka yang mempelajari Al-Quran dan mengajarkannya." - Hadith

3). "Ahli Quran ialah Ahlullah"

4). "Bacalah Al-Quran. Kamu diberi pahala dengan setiap bilangan huruf yang dibaca." - Ibnu Mas'ud

5). "Tiap-tiap ayat di dalam Al-Quran adalah satu darjat di dalam syurga dan satu lampu di dalam rumahmu." - Amr ibnul 'As

6). "Rumah yang dibacakan Al-Quran nescaya lapanglah penghuninya, luas kebajikan, masuklah malaikat dan keluarlah syaitan. Rumah yang tidak dibacakan Al-Quran, sempitlah penghuninya, sedikitlah kebajikan, keluarlah malaikat dan masuklah syaitan" - Abu Hurairah

Zaman ini, hati manusia sentiasa terdedah dengan kekotoran disebabkan maksiat yang dilakukan. Setiap maksiat membawa kepada dosa dan setiap dosa akan menambah setompok titik hitam di dalam hati nurani dan menjadikan ia gelap hingga sukar melihat jalan kebenaran. Apabila tompok-tompok hitam sudah memenuhi sebahagian besar hati, maka yang benar (haq) dilihat sebagai salah (batil) dan yang salah (bathil) dipandang sebagai benar (haq). Maka ketika itu kompas hidup sudah tidak berfungsi lagi. Syaitan bermaharajalela menunggang diri membawa ke mana saja yang dihajatinya. Hati kita juga tidak terlepas daripada kekotoran ini dan memerlukan penyucian sebagai persiapan untuk berdepan dengan malaikat Munkar-Nakir dan lebih-lebih lagi hebat semasa berdepan dengan Allah Rabbul-Jalil di hari kiamat nanti. Salah satu cara menyuci hati ialah dengan membaca Al-Quran.


Islam dari dulu lagi menganjurkan umatnya supaya membaca Al-Quran, menganalisa atau meneliti kandungannya serta mengamalkan apa yang dibaca. Generasi awal sungguh gemar dan giat membaca, malah ada yang mengkhatamkan 30 Juz Al-Quran setiap hari, seminggu sekali atau sebulan 2 atau 3 kali. Sungguhpun begitu mereka tetap bergiat dengan kerja-kerja dunia serta maju di dalam pelbagai bidang kehidupan. Musuh Islam memandang potensi yang ada di dalam Al-Quran dan cuba menghalang umat Islam daripada membacanya. Lantas direka pelbagai cara media massa (audio dan video) untuk melalaikan mereka. Akhbar, majalah hiburan, radio, televisyen, video, filem, komputer dan akhir-akhir ini internet direka dan dieksploit untuk merosakkan budaya Islamik yang diterapkan oleh Al-Quran. Ternyata strategi mereka mengena. Akhir-akhir ini kita lihat umat Islam dilekakan dengan TV, radio, komputer, tayangan gambar, majalah hiburan dan sebagainya. Umat Islam semakin renggang dengan Al-Quran. Akhbar harian menjadi ketagihan. Mereka mampu membaca akhbar dari kulit ke kulit dua hingga tiga kali sehari tapi tidak mampu membaca walaupun sehelai atau satu ayat daripada Al-Quran. Mereka mampu duduk berjam-jam di depan set TV tapi tak mampu menghadap tok guru mengajar Al-Quran. Inilah penyakit masyarakat Islam hari ini.


Kita perlu kembali kepada Al-Quran dan menjadikannya sebagai amalan hidup. Kalau tidak mampu membaca huruf Jawi, perlulah terlebih dulu mempelajarinya. Amat malang generasi kini yang bukan saja buta Al-Quran tetapi buta huruf Jawi yang menjadi perantaraan Al-Quran. Anak-anak murid dulu memang diasuh dan diajar dengan tulisan Jawi tapi malangnya sejak di'haram'kan pendidikan jawi di sekolah oleh seorang 'talibarut' musuh, ramai di antara kita sekarang tidak dapat membaca kita-kitab lama yang bertulisan Jawi. Malang sekali disebabkan tidak mengenal huruf Jawi, lantas Al-Quran diperjauhi dan dipermusuhi.


Ada beberapa perkara yang harus diperhati semasa membaca Al-Quran. Di antaranya:

- Suci dari hadas (besar atau kecil)

- Duduk menghadap kiblat

- Dibaca dengan tertib, tartil dan bertajwid

- Memelihara hak-hak ayat

- Disunatkan menangis semasa membaca terutama apabila sampai ayat ancaman dan amaran

- Dinyaringkan supaya sekurang-kurangnya kedengaran oleh dirinya sendiri

Antara amalan-amalan batin yang perlu diperhatikan:

- Merasakan keagungan Al-Quran dan memikirkan maknanya satu persatu

- Menghadirkan kebesaran Allah di dalam hati

- Khusyuk semasa membaca

- Fahamkan makna yang dibaca

- Berfikiran tenang

Di samping itu, jika dapat jadikan wirid harian/mingguan membaca surah-surah utama seperti Surah Yasin, Al-Mulk, Al-Waqiah, Ad-Dukhan dan sebagainya.


Apa yang istimewa dalam tilawah ialah sungguhpun berulang-ulang kali dibaca ayat-ayatnya, seseorang tidak berasa jemu malahan semakin terasa akan kehebatan dan kelazatannya seolah-olah sedang berkomunikasi dengan Allah. Amat benarlah firman Allah "Sesungguhnya orang yang beriman ialah mereka yang apabila disebut nama Allah hatinya menjadi takut gementar dan apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Allah, bertambahlah keimanannya dan mereka bertawakkal kepada Allah."


Pada peringkat permulaan mungkin agaknya sukar untuk membaca dan mengkhatamkan Al-Quran. Sungguhpun begitu jangan pula tinggalkan langsung sesuai dengan kata orang tua-tua 'kalau tak mampu buat semua, jangan pula tinggalkan semua'. Mulakanlah sedikit demi sedikit. Insyaallah apabila kelazatan membaca sudah menebal, kemampuan untuk membacanya akan bertambah. Insyallah doa dan hajat kita akan dimakbulkan Allah. Hati akan berjinak-jinak dengan kalimah Allah dan berusaha mendengarnya melalui kaset-kaset atau CD Al-Quran yang terdapat di pasaran. Malahan dalam internet terdapat banyak tapak yang menyediakan ruangan Al-Quran secara audio. Mendengar Al-Quran juga diberikan pahala kerana Nabi saw pernah bersabda "Barangsiapa mendengar suatu ayat dari Kitab Allah (Al-Quran), nescaya ayat itu menjadi nur baginya pada hari kiamat."


Marilah sama-sama kita mengubah cara hidup kita yang berhobikan hiburan dan material semata-mata kepada hobi mendengar dan membaca Al-Quran. Kurangkan masa membaca akhbar dan gantikan masa tersebut dengan membaca Al-Quran. Semoga hendaknya Allah matikan kita di dalam iman dan menghembuskan nafas terakhir dengan bibir yang masih basah berkumat-kamit melafazkan ayat-ayat suci Al-Quran.

Amin.

Adab Solat: Tidak Menyinsing Lengan dan Memakai Singlet Sahaja

Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda:

أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظُمٍ وَلَا أَكُفَّ ثَوْبًا وَلاَ شَعْرًا

"Saya diperintahkan sujud di atas tujuh anggota badan, tidak menahan rambut dan tidak pula menahan pakaian". (HR. Al-Bukhoriy (783), Muslim dalam Kitab Ash-Sholah (490), Abu Dawud (889 & 890), An-Nasa’iy dalam Kitab Ash-Sholah (1113), Ibnu Majah (1040), dan Ibnu Khuzaimah (782))

Keterangan:
Imam Nawawi-rahimahullah- berkata, "Para ulama telah sepakat tentang terlarangnya melakukan shalat sedang pakaian atau lengannya disingsingkan".(Lihat Al-Minhaj Syarh Shohih Muslim (4/209))Setelah An-Nawawi membicarakan tentang hal ini pada pembicaraan sebelumnya, dia berkata, "Larangan menyingsingkan pakaian adalah larangan makruh tanzih.

Kalau dia shalat dalam keadaan seperti itu, bererti dia telah memperburuk shalatnya, meskipun shalatnya tetap sah. Dalam perkara itu, Abu Ja’far Muhammad bin Jarir Ath-Thobariy berhujjah dengan ijma’ (kesepakatan) ulama. Sedangkan Ibnul Mundzir telah menyebutkan tentang pendapat wajibnya mengulangi shalat dari Al-Hasan Al-Basriy". (Lihat Syarh Shohih Muslim (4/209))

Kemudian An-Nawawi-rahimahullah- berkata lagi, "Lalu madzhab jumhur (menjelaskan) bahawa larangan itu bersifat mutlak bagi orang yang shalat dalam keadaan seperti itu, baik dia sengaja melakukannya untuk shalat atau kerana ada maksud lain. Ad-Dawudiy berkata, "Larangan itu dikhususkan bagi orang yang melakukan untuk shalat. Sedangkan pendapat yang shahih adalah pendapat yang pertama. Itulah lahiriah pendapat yang ternukil dari sahabat atau yang lainnya". (Lihat Syarh Shohih Muslim (4/209))

Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda:

لَا يُصَلِّيْ أَحَدُكُمْ فِيْ الثَّوْبِ الْوَاحِدِ لَيْسَ عَلَى عَاتِقَيْهِ مِنْهُ شَيْءٌ

"Janganlah salah seorang di antara kalian shalat dengan satu pakaian, sehingga tidak ada sedikitpun pakaian yang menutupi kedua bahunya". (HR. Al-Bukhoriy dalam Shohih-nya (359), dan Muslim dalam Shohih-nya (516))

Keterangan:

Ibnu QudamahAl-Maqdisiy -rahimahullah- berkata, "Orang yang shalat, wajib meletakkan suatu pakaian di atas bahunya, jika dia mampu menutupinya. Ini adalah pendapat Ibnul Mundzir. Disebutkan dari Abu Ja’far (dia berkata), "Sesungguhnya shalat itu tidak memenuhi bagi siapa yang tidak menutupi kedua bahunya. Kebanyakan fuqaha berkata,"Yang demikian itu tidak wajib dan bukan menjadi syarat sahnya shalat. Ini pendapat Malik, as-Syafi’iy dan yang lainnya, sebab keduanya bukan aurat. Maka anggota badan yang lain diserupakan dengannya". (Lihat Al-Mughni (1/618))

Larangan yang ada pada hadits yang lalu mengharuskan pengharaman hal itu, dan diutamakan di atas qiyas. Sedangkan madzhab jumhur mengatakan, "Tidak membatalkan shalatnya". Tetapi mereka berkata, "Larangan ini adalah untuk menyatakan makruh, bukan larangan haram. Maka kalau seseorang shalat dengan satu pakaian yang telah menutupi auratnya, meskipun tidak ada satu pun pakaian yang menutupi bahunya, shalatnya tetap sah dan perbuatan itu dibenci (makruh), baik dia mampu menjadikan sesuatu sebagai penutup bahunya ataupun tidak". (Lihat Syarh Shohih Muslim (4/232))

Al-Qodhi-rahimahullah- telah berkata, "Sungguh telah ternukil riwayat dari Ahmad yang menunjukkan bahawa perkara tersebut tidak termasuk syarat shalat dan dia telah mengambil pendapat itu dari riwayat Mutsanna dari Ahmad tentang orang yang shalat memakai sirwal (seluar lebar) dan pakaiannya menutupi salah satu dari kedua bahunya, dan yang lainnya terbuka, "Dimakruhkan". Lalu ditanyakan kepada beliau, "Dia disuruh mengulangi (sholatnya)?" Maka beliau tidak berpendapat wajibnya mengulangi shalat.

Jawapan ini mengandung kemungkinan, bahawa dia tidak berpendapat wajibnya mengulangi shalat, kerana orang itu telah menutupi sebahagian dari kedua bahunya. Maka dicukupkan menutupi salah satu dari kedua bahunya, kerana dia telah menjalankan lafazh hadits tersebut."
Sisi persyaratan dari pendapat ini: sesungguhnya dia dilarang shalat dalam keadaan kedua bahunya terbuka. Larangan itu mengandung adanya kerosakan pada sesuatu yang dilarang, kerana menutupinya adalah perkara yang wajib dalam shalat. Maka membiarkannya terbuka akan merosak shalatnya. Sebagaimana hukum menutupi aurat". (Lihat Al-Mughni 1/619)

Akan tetapi, tentunya tidak wajib menutupi kedua bahu seluruhnya; sebaliknya cukup menutupi sebahagiannya. Demikian juga cukup menutupi kedua bahu dengan pakaian tipis, yang menampakkan warna kulit, kerana kewajipan menutupi keduanya berdasarkan hadits tersebut boleh terjadi dalam keadaan ini serta keadaan sebelumnya, maksudnya: baik dia menutupkan pakaian pada kedua bahunya atau tidak. (Lihat Al-Mughni (1/619))

Dalam hal ini para fuqaha berkata, "Jika seseorang melekatkan tali atau yang sejenisnya pada bahunya, apakah telah mencukupi?"

Lahiriah pendapat Al-Khiroqiy-rahimahullah- yang berbunyi, "Jika di atas bahunya ada sedikit pakaian," tidak mencukupinya. Kerana perkataannya: "…sedikit pakaian", sedang tali seperti ini tidak dinamakan pakaian.

Inilah pendapat Al-Qadhi Abu Ya’laa. Sedang Ibnu Qudamah membenarkannya seraya berkata, "Yang benar, yang demikian itu tidak mencukupinya, kerana nabi -Shollallahu ‘alaihi wasallam- bersabda:

إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ فِيْ ثَوْبٍ فَلْيُخَالِفْ بِطَرَفَيْهِ عَلَى عَاتِقَيْهِ

"Apabila salah seorang dari kalian shalat dengan satu pakaian, maka hendaklah dia menyilangkan di antara kedua tepinya di atas kedua bahunya." (HR. Abu Dawud (627))
Kerana perintah meletakkan kain pada kedua bahu untuk menutupinya. Maka tidak cukup hanya dengan menempelkan tali dan itu tidak dinamakan sebagai penutup". (Lihat Al-Mughni (1/620))

Dari sini, diketahuilah kesalahan sebahagian orang yang shalat, khususnya shalat pada musim panas, dengan memakai pakaian singlet yang bertali kecil, diletakkan pada bahunya.
Shalat mereka dalam keadaan seperti ini adalah batal menurut mazhab Hambali dan sebahagian ulama salaf. Sedangkan menurut pendapat jumhur (kebanyakan ulama’) hukumnya makruh (dibenci).

Keadaan mereka seperti ini, jika tidak terjatuh dalam kesalahan tersebut, maka mereka terjatuh dalam kesalahan shalat dengan memakai pakaian ketat yang membentuk aurat, atau dengan pakaian transfaran yang menampakkan warna kulit badan.

Kisah Rahsia Disebalik Sembahyang 5 Waktu

Ali bin Abi Talib r.a berkata : "Sewaktu Rasullullah S.A.W duduk bersama para sahabat muhajirin dan ansar, maka dengan tiba-tiba datanglah satu rombongan orang-orang Yahudi lalu berkata :

' Ya Muhammad, kami hendak tanya kepada kamu kalimat-kalimat yang telah diberikan oleh Allah kepada Nabi Musa A.S. yang tidak diberikan kecuali kepada para Nabi utusan Allah atau malaikat muqarrab.'

Lalu Rasullullah S.A.W. bersabda: 'Silakan bertanya.'

Berkata orang Yahudi: 'Sila terangkan kepada kami tentang 5 waktu yang diwajibkan oleh Allah ke atas umatmu.'

Sabda Rasullullah S.A.W. : 'Sembahyang Zuhur jika tergelincir matahari, maka bertasbihlah segala sesuatu kepada tuhanNya, Sembahyang Asar itu ialah saat ketika Nabi Adam A.S. memakan buah Khuldi, Sembahyang Maghrib itu adalah saat Allah menerima taubat Nabi Adam A.S., maka setiap mukmin yang bersembahyang Maghrib dengan ikhlas kemudian dia berdoa meminta sesuatu pada Allah maka pasti Allah akan mengkabulkan permintaannya.

'Sembahyang Isya' itu ialah sembahyang yang dikerjakan oleh para Rasul-Rasul sebelumku, Sembahyang Subuh adalah sebelum terbit matahari, ini kerana apabila matahari terbit, terbitnya di antara dua tanduk syaitan dan di situ sujudnya tiap orang kafir.'

Setelah orang Yahudi mendengar penjelasan dari Rasullullah S.A.W. maka mereka berkata: 'Memang benar apa yang kamu katakan itu Muhammad, katakanlah kepada kami apakah pahala yang akan didapati oleh orang yang sembahyang.'

Rasullullah S.A.W bersabda: 'Jagalah waktu-waktu sembahyang terutama sembahyang yang pertengahan, sembahyang Zuhur, pada saat itu nyalanya neraka Jahanam, orang mukimin yang mengerjakan sembahyang pada ketika itu akan diharamkan ke atasnya wap api neraka Jahanam pada hari Kiamat.'

Sabda Rasullullah S.A.W. lagi: 'Manakala sembahyang Asar, adalah saat di mana Nabi Adam A.S. memakan buah Khuldi. Orang mukmin yang mengerjakan sembahyang Asar akan diampunkan dosanya seperti bayi yang baru lahir.'

Setelah itu Rasullullah S.A.W. membaca ayat yang bermaksud: 'Jagalah waktu-waktu sembahyang terutama sekali sembahyang yang pertengahan, sembahyang Maghrib itu adalah saat di mana taubat Nabi Adam A.S. diterima. Seorang mukimin yang ikhlas mengerjakan sembahyang Maghrib kemudian meminta sesuatu dari Allah maka Allah akan perkenankan.

'Sabda Rasullullah S.A.W.: 'Sembahyang Isya' (atamah). Katakan kubur itu adalah sangat gelap dan begitu juga pada hari Kiamat, maka seorang mukmin yang berjalan dalam malam yang gelap untuk pergi menunaikan sembahyang Isya' berjamaah, Allah S.W.T. haramkan dari terkena nyalanya api neraka dan diberinya cahaya untuk menyeberangi titi sirath.'

Sabda Rasullullah S.A.W. seterusnya: 'Sembahyang Subuh pula, seorang mukmin yang mengerjakan sembahyang subuh selama 40 hari secara berjamaah, diberi oleh Allah S.W.T. dua kebebasan iaitu:

1. Dibebaskan dari api neraka.
2. Dibebaskan dari nifaq.

Setelah orang Yahudi mendengar penjelasan dari Rasullullah S.A.W. maka mereka berkata: 'Memang benarlah apa yang kamu katakan itu wahai Muhammad (S.A.W). Kini katakan pula kepada kami semua kenapakah Allah S.W.T. mewajibkan puasa 30 hari ke atas umatmu?'.

Sabda Rasullullah S.A.W.: 'Ketika Nabi Adam memakan buah pohon yang dilarang, lalu makanan itu tersangkut dalam perut Nabi Adam A.S. selama 30 hari. Kemudian Allah S.W.T. mewajibkan ke atas keturunan Adam A.S. berlapar selama 30 hari.

Sementara izin makan diwaktu malam itu adalah sebagai kurnia Allah S.W.T. kepada makhlukNya.'

Kata orang Yahudi: 'Wahai Muhammad, memang benarlah apa yang kamu katakan itu. Kini terangkan kepada kami ganjaran pahala yang diperolehi dari puasa itu.'

Sabda Rasullullah S.A.W.: 'Seorang hamba yang berpuasa dalam bulan Ramadhan dengan ikhlas kepada Allah S.W.T. dia akan diberi oleh Allah S.W.T.

7 perkara:

1. Akan dicairkan daging haram yang tumbuh dari badannya (daging yang tumbuh dengan makanan yang haram).
2. Rahmat Allah sentiasa dekat dengannya.
3. Diberi oleh Allah sebaik-baik amal.
4. Dijauhkan dari merasa lapar dan haus.
5. Diringan baginya siksa kubur ( siksa yang sangat mengerikan).
6. Diberikan cahaya oleh Allah S.W.T. pada hari Kiamat untuk menyeberang titian sirath.
7. Allah S.W.T. akan memberinya kemudian di syurga.

Kata orang Yahudi: 'Benar apa yang kamu katakan itu Muhammad. Katakan kepada kami kelebihanmu antara semua para nabi-nabi.'

Sabda Rasullullah S.A.W.: 'Seorang nabi mengunakan doa mustajabnya untuk membinasakan umatnya, tetapi saya tetap menyimpankan doa saya (untuk saya gunakan memberi syafaat pada umat saya di hari kiamat).'

Kata orang Yahudi: 'Benar apa yang kamu katakan itu Muhammad, kini kami mengakui dengan ucapan Asyhadu Alla illaha illallah, wa annaka Rasulullah (kami percaya bahawa tiada Tuhan kecuali Allah dan engkau utusan Allah).'

"Dan sesungguhnya akan Kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah2an. Dan berilah berita gembira kepada orang2 yang sabar." (Al-Baqarah : 155)

Rahsia dan Nikmat disebalik erti "SABAR"

MAKSUD "sabar" dalam konteks amalan batin ialah menahan hawa nafsu daripada dipengaruhi oleh sebarang gelora atau kegemparan hati atau tekanan jiwa atau perasaan atau rangsangan yang menimbulkan rasa marah atau berontak, resah- gelisah, tidak rela, sugul, kecewa atau putus asa, akibat daripada pengalaman menghadapi kesusahan, ketidak-selesaan atau sesuatu keadaan yang tidak disukai atau tidak diingini.

Kesabaran itu harus meliputi empat tindakan, iaitu:

* tabah dan tekun dalam mengerjakan taat atau ibadat kepada Allah;
* menahan diri daripada melakukan maksiat atau kemungkaran;
* memelihara diri daripada dipukau oleh godaan dunia, nafsu dan syaitan;
* tenang/teguh hati menghadapi cubaan atau musibah.

Sabar yang demikian itu adalah suatu tuntutan dalam agama dan merupakan satu ibadah, malah segala ibadat itu didirikan di atas sabar, kerana dalam mengerjakan ibadat itu kita terpaksa menanggung kepayahan dan pengorbanan.

Malah, dalam segala lapangan, kita perlu bersabar dan menangani segala kesukaran dan rintangan yang dihadapi. Orang yang gagal bersabar tidak akan tercapai matlamat dan manfaat ibadatnya. Antara tujuan kita disuruh mempertahankan kesabaran itu ialah:

Pertama, supaya dapat mengerjakan ibadat dengan tenteram dan dapat mencapai kesempurnaan dan seterusnya mencapai matlamatnya. Jika tidak bersabar, tekanan dan ekoran daripada pelbagai kesukaran atau daripada padah pelbagai musibah menjadikan kita keluh-kesah, lalu kehilangan punca kekusutan dan pertimbangan. Keadaan ini tentulah akan mengganggu konsentrasi dan penghayatan dalam kerja ibadat, khususnya. Kadang-kadang sampai tidak dapat meneruskannya.

Kedua, untuk mencapai kejayaan (kebajikan dunia dan akhirat).

Antara firman Allah Taala tentang hal ini ialah: "Dan Kami jadikan antara mereka itu pemimpin yang memberi pertunjuk dengan perintah kami ketika mereka bersabar". (QS. 32:24)
"Mereka itulah orang-orang yang dibalas (dikurniakan) bilik (martabat yang tinggi di syurga) kerana mereka bersabar (menjunjung taat kepada Allah), dan mereka dialu-alukan di dalamnya (syurga) dengan penghormatan dan ucapan salam kesejahteraan (oleh para malaikat)". (QS. 25:75)
"Sesungguhnya orang-orang yang bersabar itu dicukupkan ganjaran pahala mereka tanpa batas". (QS. 39:10);

Allah Taala menganjurkan kita supaya bersabar. Firman-Nya (mafhumnya): "Hai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu (melakukan taat dan menghadapi musibah), teguhkanlah kesabaran kamu, tetapkanlah kewaspadaan serta siap siaga dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung (merebut syurga dan bebas dari neraka). (QS. 3:200).

Apabila seseorang itu berjaya mempertahankan kesabarannya dalam keempat-empat keadaan tersebut di atas, maka tercapailah darjat istiqamah dan taat dengan mendapat ganjaran pahalanya yang besar. Orang itu tidak akan terjatuh ke jurang maksiat.

Saiyidina Ali Abu Talib k.a.w pernah bermadah, maksudnya: Jika engkau bersabar, takdir itu berlaku juga ke atas diri mu, tetapi engkau dikurniakan ganjaran pahala. Jika engkau tidak sabar pun, takdir tetap berlaku juga ke atas dirimu dan engkau berdosa.

DALAM konteks menghadapi ujian (qadhak) atau musibah atau mala petaka, seseorang hamba Allah itu, insya Allah, akan berjaya mengekalkan kesabarannya , jikalau dia sentiasa mengingati atau mengekalkan kesedaran tentang hakikat atau hikmat musibah itu, atau jika hamba Allah itu sentiasa menaruh sangkaan baik terhadap Allah Taala. Malah, dengan yang demikian, kesabaran dan keimanannya akan bertambah teguh.

Sebagai perbandingan tentang hakikat musibah itu, kita katakan ada seorang bapa yang melarang keras anaknya memakan sejenis makanan yang amat digemari oleh anaknya itu. Sebaliknya sang bapa itu memaksa anaknya memakan makanan biasa daripada bahan yang murah, walaupun dia cukup mampu membeli makanan istimewa yang menjadi kegemaran anaknya itu. Apakah penerimaan atau reaksi sang anak terhadap tindakan bapanya itu?

Dan apakah kata kita terhadap sang bapa itu? Mungkin ramai antara kita akan mengatakan sang bapa itu kedekut, bakhil,tidak bertimbang rasa dan sebagainya. Akan tetapi kita tidak harus menuduh sebarangan kepada sang bapa itu sebelum kita tahu apa tujuan dia bertindak demikian. Kita harus mencari sebab-musababnya.

Inilah tindakan wajar orang yang bersabar. Demikianlah antara cara kita berhadapan dengan keadaan yang tidak menyenangkan kita atau apabila menerima cubaan atau musibah yang ditakdirkan oleh Allah Taala ke atas diri kita. Kita tidak harus terus melenting marah atau kesal mengikut arus perasaan atau rangsangan nafsu dan syaitan, kerana kita tidak tahu rahsia hakikat dan hikmat di sebalik takdir itu.

Bandingannya, katakan kita tahu, tujuan sang bapa tersebut bertindak demikian adalah kerana anaknya itu sedang mengidap suatu penyakit yang mengikut doktor, sang anak itu akan menghadapi bahaya apabila memakan makanan kegemarannya itu.

Sekarang apa kata kita? Tidakkah tuduhan-tuduhan terhadap sang bapa tadi tergugur dengan sendirinya? Dan, sang anak itu pula, apa bila mengetahui tujuan bapanya itu, apakah wajar memarahi bapanya atau berkecil hati atau menyesali tindakan bapanya itu? Sekarang tentulah kita akan mengatakan, sang bapa itu adalah seorang bapa yang bertanggungjawab dan anaknya pula tidak sepatutnya menyesali tindakan bapanya yang demikian. Katakan lagi, sang bapa membawa anaknya itu ke hospital, lalu ditahan di wad hospital itu. Maka itu terpenjaralah sang anak di hospital, terpaksa berpisah dengan keluarga dan kawan-kawanya. Selain itu dia terpaksa minum dan menelan ubat-ubat yang pahit dan disuntik. Rawatan seterunya ialah pembedahan.

Pada zahirnya, sang anak itu menderita terseksa, tetapi apabila diyakini, bahawa 'seksaan' itu adalah untuk menyelamatkannya daripada ancaman dan seksaan sebenar yang berpanjangan daripada penyakit yang dihidapinya itu, maka 'seksaan' sementara itu seharusnya diterima dengan hati terbuka, penuh rela, tenang, dan sabar.

Demikianlah semestinya penerimaan kita terhadap musibah atau ujian daripada Allah Taala. Sebenarnya penyakit itu sendiri merupakan suatu cubaan atau musibah. Melalui penyakit, kita diuji oleh Allah Taala sejauh mana kesabaran dan keimanan kita, sejauh mana dan bagaimana usaha atau ikhtiar kita merawatinya, sama ada dengan cara yang bersendikan tawakal dan tafwid atau melibatkan perbuatan syirik, yakni bergantung kepada yang lain daripada Allah dan melakukan perkara-perkara mungkar yang lain.

Dan, kalau ditakdirkan usaha rawatan itu gagal dan penyakit itu bertambah tenat, maka itu adalah ujian yang lebih besar, khususnya kepada pengidap penyakit itu. Kalau penyakit itu akhirnya membawa maut, maka ujian itu melibatkan keluarga pula. Hikmat dan hakikat di sebalik apa yang ditakdirkan Allah itu, sama ada yang baik ataupun yang buruk, kita tidak tahu.

Sebab itu kita perlu bersabar menerima dan menanggungnya. Kita sebagai hamba Allah hendaklah menghadapinya dengan hati yang tenang, penuh kerelaan, penuh kesabaran; di samping berikhtiar mengatasinya dengan seberapa daya mengikut kemampuan kita sebagai manusia, hamba Allah.

Untuk mewujudkan kesabaran, kita hendaklah sentiasa menyedari, bahawa kadar dan waktu berlakunya kesusahan atau musibah itu adalah di bawah takdir Allah Taala yang maha berkuasa. Ketetapan kadar itu tidak bertambah atau berkurang dan waktunya tidak terdahulu atau terkemudian. Dan, untuk memelihara atau mengekalkan kesabaran itu pula, kita hendaklah sentiasa mengingati bahawa kesabaran itu bakal dibalas dengan ganjaran kebajikan dan pahala yang disimpan khas oleh Allah Taala.

Demikianlah, kesabaran itu merupakan ubat yang paling pahit tetapi paling mujarab. Yakinlah, keberkatan daripada kesabaran itu membawa manfaat kepada kita sekali gus menolak mudarat daripada kita. Sebagai ubat, pahitnya hanya sesaat, tetapi manisnya berpanjangan.
Wallahu a'lam.

Rahsia Khusyuk dalam Solat

Seorang ahli ibadah bernama Isam bin Yusuf, dia sangat warak dan sangat khusyuk solatnya. Namun dia selalu khuatir kalau-kalau ibadahnya kurang khusyuk dan selalu bertanya kepada orang yang dianggapnya lebih ibadahnya, demi untuk memperbaiki dirinya yang selalu dirasakan kurang khusyuk.

Pada suatu hari, Isam menghadiri majlis seorang abid bernama Hatim Al-Isam dan bertanya : "Bagaimanakah caranya tuan solat?" Hatim berkata : "Apabila masuk waktu solat aku berwudhu' zahir dan batin." Isam bertanya, "Bagaimana wudhu' zahir dan batin itu?" Hatim berkata, "Wudhu' zahir sebagaimana biasa, iaitu membasuh semua anggota wudhu' dengan air.

Sementara wudhu' batin ialah membasuh anggota dengan tujuh perkara iaitu :-

1. bertaubat
2. menyesali dosa yang dilakukan
3. tidak tergila-gilakan dunia
4. tidak mencari / mengharap pujian orang (riya')
5. tinggalkan sifat berbangga
6. tinggalkan sifat khianat dan menipu
7. meninggalkan sifat dengki

Seterusnya Hatim berkata, "Kemudian aku pergi ke masjid, aku kemaskan semua anggotaku dan menghadap kiblat. Aku berdiri dengan penuh kewaspadaan dan aku bayangkan Allah ada di hadapanku, syurga di sebelah kananku, neraka di sebelah kiriku, malaikat maut berada di belakangku, dan aku bayangkan pula bahawa aku seolah-olah berdiri di atas titian 'Sirratul Mustaqim' dan aku menganggap bahawa solatku kali ini adalah solat terakhirku, kemudian aku berniat dan bertakbir dengan baik.

Setiap bacaan dan doa dalam solat kufaham maknanya, kemudian aku ruku' dan sujud dengan tawadhu', aku bertasyahhud dengan penuh pengharapan dan aku memberi salam dengan ikhlas. Beginilah aku bersolat selama 30 tahun." Apabila Isam mendengar, menangislah dia kerana membayangkan ibadahnya yang kurang baik dibandingkan dengan Hatim.