Friday, July 4, 2008

Ust. Abu Hisham Al-Besuty : Sikap Ibu bapa Antara Punca Anak Lupa Agama

Pada hari Sabtu (28/7/08) yang lepas saya sempat menghadiri satu Majlis Doa Selamat yang diadakan di rumah sahabat saya iaitu Saudara Syed Syaqir sempena ulang tahun anaknya, Sharifah Nur Zahraa di Taman Puncak Jalil. Majlis dimulakan dengan tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Ustaz Abu Hisham Al-Besuty tentang tanggungjawab ibubapa dalam memberi pendidikan sempurna terhadap anak-anak terutamanya dalam keagamaan.

Beliau menegaskan bahawa realiti sekarang muda-mudi sudah lupa kepada tuntutan agama. Adakah masalah itu berpunca daripada sikap ibu bapa?

Hakikatnya, bukan wanita saja yang lupa pada agama. Lelaki juga bahkan tanggungjawab mereka sebenarnya lebih berat kerana Allah meletakkan kelebihan kepada lelaki sehingga mereka menjadi pelindung kepada wanita, tegas beliau.

Jika ramai wanita hari ini melupakan agama, sebahagiannya berpunca daripada lelaki yang juga meninggalkan agama sehingga mereka gagal melindungi wanita mereka daripada melanggar hukum agama.

Apakah gejala lupa kepada agama berpunca daripada kurangnya pendidikan ibu bapa? Pernyataan itu sebenarnya menggambarkan apa yang disebut Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud: "Setiap anak Adam itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibu bapanya yang menjadikan ia Yahudi, Majusi dan Nasrani."

Beliau menerangkan bahawa hadis ini menunjukkan jika anak membesar dengan corak akhlak atau pegangan hidup yang tertentu, ia boleh dikesan kepada pendidikan yang diterima daripada ibu bapa.

Ibu bapa adalah madrasah (sekolah) pertama bagi anak. Sebelum anak dihantar ke institusi pendidikan formal bermula dari tadika, sekolah dan peringkat lebih tinggi, anak mempelajari asas pembentukan pandangan hidup (akidah) dan sahsiah (keperibadian dan akhlak) daripada ibu bapa mereka. Inilah objektif pendidikan sebenar, ujar beliau.

Pendidikan ialah menurunkan nilai sehingga lahir insan mempunyai pegangan hidup yang mantap dan jitu. Bagi umat Islam, nilai itu ialah nilai Islam yang berteraskan tauhid. Asas tauhid yang mantap menatijahkan tingkah laku, tutur kata dan tindakan didasarkan tuntutan syariat Islam.

Jika hari ini kita melihat anak perempuan dan lelaki mendedahkan aurat, bergaul bebas tanpa batas, terbabit dengan pelbagai gejala sosial, maka itu adalah natijah daripada pendidikan yang mereka terima di rumah - pastinya tidak menepati apa yang dikehendaki Islam.

Mereka mungkin terpelajar dan mencapai kejayaan cemerlang dalam akademik, tetapi itu bukan matlamat pendidikan. Pendidikan Islam bukan sekadar menguasai bidang teknikal dan akademik, tetapi lebih menjurus pemupukan nilai dan pembentukan akhlak.

Ia tidak bermakna Islam mengetepikan akademik kerana ia adalah bahagian penting daripada pembinaan kebudayaan dan tamadun, tetapi mesti diasaskan atas pendidikan tauhid yang mantap.

Beberapa kajian menunjukkan kesilapan mendidik anak pada peringkat awal (antara umur tiga hingga tujuh tahun) menyebabkan kecelaruan nilai dan keruntuhan akhlak pada peringkat umur 13 hingga 20 tahun.

Berdasarkan penilaian ini, masalah yang berlaku pada kelompok umur remaja sebenarnya boleh dikesan pada peringkat awal pendidikan. Siapakah yang bertanggungjawab pada peringkat umur di bawah tujuh tahun kalau bukan ibu bapa. Boleh kita simpulkan di sini ibu bapa menjadi satu daripada punca kepada sikap umat Islam yang melupakan agama mereka hari ini.

Pendidikan awal penting dan Rasulullah SAW berpesan kepada ibu bapa supaya menyuruh anak mendirikan sembahyang pada usia tujuh tahun. Ia bermakna pada umur itu anak tadi sudah patut menerima dan mematuhi suruhan agama, tegas beliau.

Ia juga bermakna anak sudah terbiasa dengan suasana ibu bapa dan keluarga yang mendirikan dan mementingkan ibadat solat di rumah. Jika mereka tidak terbiasa melihat ibu bapa dan seisi keluarga mendirikan solat, bagaimana mungkin anak boleh meniru dan melakukan perbuatan sama.

Sebenarnya, ini juga satu isyarat bahawa pendidikan yang sebenar ialah dengan amal. Pendidikan hanya akan berlaku apabila pengajaran berlaku dalam bentuk amal, bukan dalam bentuk kata-kata. Ia juga menunjukkan hanya ibu bapa yang terdidik dengan kehidupan Islam mampu mendidik anak dalam acuan dikehendaki agama.

Beliau juga menerangkan mengapa Rasulullah SAW menyuruh ibu bapa memukul anak yang masih meninggalkan solat ketika berusia 10 tahun. Pengajarannya ialah apabila anak sudah berusia 10 tahun, nilai kehidupan sepatutnya sudah mewarnai jiwanya sehingga dia akan melakukan suruhan agama dan meninggalkan larangannya tanpa disuruh.

Jika masih meninggalkan solat pada usia itu, ia satu petanda nilai belum terbina dengan baik sehingga hukuman perlu digunakan bagi memperbetulkan keadaan.

Apabila anak memasuki umur baligh keadaan menjadi lebih sukar jika jiwa mereka tidak dipupuk dengan nilai yang berlandaskan syariat Islam.

Wallahualam...

Tokoh : Sayyid Qutb Rela Mati Membela Tauhid


SEORANG pejuang menegakkan kalimah tauhid, Sayyid Qutb, kembali ke rahmatullah 41 tahun lalu. Tokoh dilahirkan pada 9 Oktober itu adalah penulis kitab Fi Zilal Al-Quran, Ma’alim Fi Tariq dan Al-Mustaqbal li haza ad-Din.

Tiga buku itu diterjemahkan ke bahasa Indonesia dan Malaysia, serta mendapat sambutan hebat di kalangan umat Islam seluruh dunia.

Memang ada perbahasan mengenai metod Sayyid Qutb dalam tulisan yang tegas menyatakan kesesatan masyarakat moden berkaitan penghakiman yang tidak merujuk kepada Allah. Bagaimanapun sejarah Sayyid Qutb perlu diulas sebagai sebahagian daripada perjalanan seorang tokoh yang rela mengorbankan diri untuk membela tauhid yang diyakini kebenarannya.

Sayyid Qutb gugur di tiang gantungan pada 20 Ogos 1966. Ia dikenali sebagai tokoh yang berjuang di jalan Allah, menyerahkan seluruh hidupnya untuk Allah. Seorang mukmin yang begitu kuat keyakinannya. Ia persembahkan nyawa yang murah kepada keyakinan dan akidahnya.
Beliau melalui bertahun usia terakhir di penjara. Ia tuangkan jiwa dan fikiran yang luar biasa dalam lembar tulisan tangannya dengan untaian kata penuh makna dan bernilai sastera. Hampir semua orang yang membacanya, akan rasa getar hati nurani dan fikirannya.

Sayyid Qutb mendapat pendidikan pertama di rumah, daripada orang tuanya yang kuat dan taat beragama. Ketika usia enam tahun, Qutb dihantar ke sekolah rendah di kampungnya, Assiyut. Pada usia tujuh tahun, ia mula menghafal al-Quran dan tiga tahun kemudian menghafal seluruh Al-Quran.

Awal dekad 1940-an, satu era baru bermula dalam kehidupan Sayyid Qutb. Dalam karya pada 1939, beliau mulai menulis beberapa siri At-Taswir Fanni Fi Quran. Tulisan ini mengupas indahnya seni yang ada dalam ayat al-Quran.

Pada 1945, beliau menulis kitab Masyahidul Qiamah Fi Quran yang isinya menggambarkan peristiwa hari kiamat dalam al-Quran. Pada 1948, Sayyid Qutb menghasilkan Al-Adalah al-Ijtima’iyyah Fi Islam atau Keadilan Sosial dalam Islam, menyatakan bahawa keadilan masyarakat sejati hanya akan tercapai apabila masyarakat menerapkan sistem Islam.

Fasa terakhir perjalanan Sayyid Qutb bermula pada 1951, waktu beliau mula bergabung dengan Jama’ah al-Ihkwan al-Muslimun, sehingga beliau meninggal di tali gantung pada 1966. Baginya, masa itu sangat penting dan kerana itu beliau menyatakan 1951 adalah tahun kelahirannya.

Sayyid Qutb bergabung bersama al-Ikhwan al-Muslimun, dua tahun selepas meninggal Imam Hassan al-Banna, pelopor al-Ikhwan pada 1949. Mereka tidak pernah bertemu muka meskipun dilahirkan tahun yang sama 1906 dan mendapat pendidikan di Darul Ulum.

Walaupun begitu, mereka mempunyai kesatuan jiwa dan persamaan orientasi berfikir. Sebelumnya, ketika Hassan al-Banna membaca buku Al-’Adalah al-Ijtima’iyyah Fi Islam karya Sayyid Qutb, dia menganggap pengarang adalah sebahagian daripada Al-Ikhwan. Lalu, Al-Banna menyatakan bahawa ‘orang ini’ (Sayyid Qutb) tidak lama lagi akan bergabung bersama Al-Ikhwan.

Sayyid Qutb juga mempunyai perasaan yang sama terhadap Hassan al-Banna. Kematian al-Banna sangat terasa dalam jiwanya, walaupun belum pernah bersama dengan al-Banna. Berita kematian al-Banna diterimanya dengan perasaan menyayat hati ketika dirawat di sebuah hospital di Amerika.

Disebabkan orang Amerika bergembira menyambut berita kematian al-Banna, selepas pulang dari Amerika, Sayyid Qutb mengkaji kehidupan al-Banna dan membaca seluruh risalah karangannya. Seterusnya ia pun memutuskan untuk memikul amanah perjuangan Hassan al-Banna.

Pesan utama Sayyid Qutb yang ditekankan dalam tulisan adalah konsep al-Tauhid dari sudut al-Uluhiyyah. Menurutnya, inti tauhid Uluhiyyah adalah hak Allah daripada sudut al-Hakimiyyah dan al-Tasyri (pembuatan peraturan).

Beliau berkata, ikrar syahadah adalah pernyataan revolusi terhadap seluruh kedaulatan yang berkuasa di atas muka bumi-Nya. Maka seluruhnya itu mesti dikembalikan kepada hak-Nya.
Pada 13 Januari 1954, Revolusi Mesir melarang al-Ikhwan al-Muslimun dan pimpinannya ditangkap kerana dituduh hendak merampas kuasa. Tanpa bukti yang jelas, tujuh pemimpin tertinggi al-Ikhwan dijatuhi hukuman mati, termasuk Hassan Hudhaibi, Abdul Qadir Audah dan Syeikh Muhammad Farghali, ketua sukarelawan Mujahidin Ikhwan al-Muslimin di dalam Perang Suez 1948.

Tetapi hukuman terhadap Hassan Hudhaibi diubah menjadi penjara seumur hidup dan Sayyid Qutb dihukum penjara 15 tahun dengan kerja berat.

Pada 1964, Sayyid Qutb dibebaskan atas permintaan peribadi Presiden Iraq, Abdul Salam Arif tetapi pemerintahan Revolusi Mesir belum menerima pembebasan itu. Selepas Presiden Abdul Salam Arif meninggal dalam satu musibah pesawat, Sayyid Qutb ditangkap semula pada tahun berikutnya.

Alasannya beliau dituduh hendak merampas kuasa. Selain itu, Mahkamah Revolusi merujuk pada buku Sayyid Qutb terutama Ma’alim Fi Tariq, yang menyatakan seruan revolusi terhadap seluruh kedaulatan yang tidak berdasarkan syariat Allah.

Sayyid Qutb ditahan bersama seluruh anggota keluarganya. Sebelum hukuman gantung dilaksanakan, Presiden Naser menghantar utusan menemui Sayyid Qutb. Melalui utusan itu Presiden Naser meminta Sayyid Qutb menulis pernyataan memohon ampun supaya ia dibebaskan.

Bagaimanapun Sayyid Qutb dengan tegas menjawab:
“Telunjuk yang bersyahadah setiap kali dalam solat menegaskan bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasulullah, dan aku takkan menulis satu perkataan yang hina. Jika aku dipenjara kerana kebenaran, aku reda. Jika aku dipenjara kerana batil, aku tidak akan menuntut rahmat daripada kebatilan.”

Pada pagi Isnin, 29 Ogos 1966, Sayyid Qutb digantung bersama sahabat seperjuangannya, Muhammad Yusuf Hawwasy dan Abdul Fatah Ismail. Dunia Islam kehilangan salah seorang pejuangnya yang berani mempertaruhkan nyawanya untuk membela kalimah tauhid.

PROFIL SAYYID QUTB

- Sayyid Qutb mendapat pendidikan pertama di rumah, daripada orang tuanya yang kuat dan taat beragama.
- Ketika usia enam tahun, Qutb dihantar ke sekolah rendah di kampungnya, Assiyut.
- Pada usia tujuh tahun, ia mula belajar menghafal al-Quran dan tiga tahun kemudian menghafal seluruh Al-Quran.
- Pada 1951, beliau bergabung dengan Jama’ah al-Ihkwan al-Muslimun, sehingga beliau meninggal di tali gantung pada 1966. Baginya, masa itu sangat penting dan kerana itu beliau menyatakan 1951 adalah tahun kelahirannya.- Maut di tali gantung 20 Ogos 1966.
- Tiga karya besar adalah Fi Zilal Al-Quran, Ma’alim Fi Tariq dan Al-Mustaqbal li haza ad-Din. Karyanya menjadi rujukan umat Islam.

Jangan Putus Asa Berdoa


Doa hendaklah dibaca dengan perasaan penuh rendah diri di hadapan Allah SWT.
SABAN hari umat Islam di seluruh pelosok dunia memanjatkan doa kepada Allah SWT dengan harapan segala permohonan diperkenankan-Nya. Namun tidak semua doa daripada seseorang insan itu termakbul. Lantaran itu, sesetengah pihak tertanya-tanya kenapa doanya itu tidak berhasil sedangkan Allah telah berfirman:

"Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu." (Ghaafir: 60)

Disebabkan perasaan kecewa kerana tanggapan bahawa permohonannya itu seakan-akan tidak dimakbulkan, maka timbul perasaan putus asa. Sehingga ada yang meninggalkan amalan berdoa yang sebenarnya merupakan salah satu ibadah yang dimuliakan Allah. Nabi SAW bersabda:

“Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah dibanding doa”. (Riwayat Tirmidzi)

Hakikatnya, Allah SWT adalah Tuhan yang Maha Adil dan Dia sentiasa mengotakan janji-janji-Nya. Namun hamba-hamba-Nya adakalanya gagal untuk memahami hikmah di sebalik segala keputusan Allah. Kita merasakan apa yang dipinta daripada-Nya itu merupakan yang terbaik untuk diri kita sedangkan Allah lebih mengetahui segala-galanya dan setiap keputusan-Nya itu memiliki hikmah yang adakalanya tidak disedari oleh seseorang insan.

Ada ketikanya apabila Allah tidak memperkenankan sesuatu permintaan hamba-Nya disebabkan kerana Allah ingin memberikan sesuatu yang lebih baik dari apa yang dipinta.

Nabi SAW bersabda: “Tidaklah seorang Muslim berdoa kepada Allah dengan sebuah doa yang tidak berisi dosa dan permintaan untuk memutuskan silaturahim melainkan Allah akan mengurniakan kepadanya salah satu dari tiga perkara: Allah akan segera memakbulkan doanya atau Allah akan menyimpan doanya sebagai pahala di akhirat atau Allah akan menghindarkan dirinya dari keburukan semisalnya. Mereka berkata: Kalau begitu kami harus memperbanyakan berdoa.

Nabi bersabda: "Apa yang Allah kurniakan kepada kalian lebih banyak dari yang kalian minta”. (Riwayat Imam Ahmad)

Begitulah resam seorang insan yang selalu lupa tentang apa yang telah dikurniakan Allah yang hakikatnya lebih banyak berbanding permintaannya yang dianggapnya tidak dimakbulkan itu. Malah menerusi hadis di atas dapat kita fahami bahawa ada waktunya Allah menggantikan apa yang dipinta oleh hamba-hamba-Nya itu dengan menghindarkan diri mereka dari ditimpa kemalangan ataupun apa-apa jua bentuk musibah.

Ada ketikanya Allah menangguhkan untuk memperkenankan sesuatu permintaan dan dikurniakan sebagai ganti berupa ganjaran pahala di akhirat yang tentu sekali akan lebih memberi manfaat yang besar kepada hamba-hamba-Nya.

Insan tetap insan yang sebagaimana telah kita semua sedia maklum terbelenggu dengan pelbagai kelemahan. Kenapa tatkala merasakan Allah seperti tidak memperkenankan doa-doanya, seseorang insan itu tidak terlebih dahulu melihat kekurangan yang ada pada dirinya sendiri.

Bagaimana mungkin Allah ingin menjawab permintaannya itu sekiranya seseorang itu sentiasa bergelumang dengan perbuatan maksiat serta meninggalkan segala kewajipan yang telah diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Sabda Rasulullah SAW:

“Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, kamu harus mengerjakan segala yang baik (makruf) dan meninggalkan segala yang keji (mungkar), atau jika tidak Allah pasti akan menurunkan seksa ke atas kalian, nanti bila kalian berdoa tidak akan dimakbulkan”. (Riwayat Tirmidzi)

Tidak dapat dinafikan kelalaian seseorang dalam menurut perintah Allah dan juga tewasnya seseorang dengan godaan hawa nafsu merupakan penyebab utama terhalangnya kurniaan kebaikan (seperti mudah termakbulnya doa) daripada Allah terhadap hamba-hamba-Nya.

Firman-Nya:
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya." (al-Ra’du: 11)

Mana mungkin Allah SWT akan memperkenankan sesuatu permohonan jika hamba-hamba-Nya tidak mempedulikan perkara halal dan haram dari segi sumber rezeki, pemakanan dan pakaian-pakaiannya dalam kehidupan seharian.

Firman Allah:
"Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (al-Mukminun: 51).

Dan Dia berfirman:
"Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya." (al-Baqarah:172).

Kemudian Baginda menyebutkan tentang seseorang yang sedang dalam perjalanan panjang, rambutnya kusut dan berdebu. Dia berdoa sambil menadahkan tangannya ke langit, dia berucap: Ya Rabbi, Ya Rabbi, sementara makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram, lalu bagaimana mungkin doanya dimakbulkan. (Riwayat Imam Muslim)

Sikap terburu-buru sesetengah insan dalam meminta doanya agar dimakbulkan segera sehinggakan wujud perasaan putus asa apabila permintaan tersebut tidak tercapai merupakan antara faktor yang menyebabkan terhalangnya doa itu diterima oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda:

"Akan dimakbulkan doa salah seorang di antara kamu selagi dia tidak terburu-buru lalu dia mengatakan: Aku sudah berdoa namun tidak dimakbulkan bagiku." (Riwayat Imam al-Bukhari)

Sewajarnya setiap insan tidak putus harapan dalam berdoa dan tetap memperbanyakkan amalan berdoa. Keyakinan bahawa Allah SWT akan memperkenankan doa hamba-hamba-Nya juga merupakan faktor yang dapat mempermudahkan termakbulnya doa.

Sekiranya doa itu diyakini sebagai ibadah maka hendaklah kita menghadapkan doa itu ikhlas hanya kepada Allah SWT tanpa sebarang perantaraan yang bertentangan dengan syarak dan tatacara berdoa itu juga hendaklah bersesuaian dengan sunah Rasulullah agar ia diterima oleh Allah SWT. Doa itu hendaklah dibaca dengan perasaan penuh rendah diri di hadapan Allah dan dengan suara yang perlahan.

Firman-Nya:
"Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas." (al-A’raaf: 55)

Justeru, hendaklah setiap insan melazimkan diri mereka dengan berdoa. Pada masa yang sama hendaklah setiap insan itu juga berusaha untuk memperbaiki kekurangan diri dalam menurut segala perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya agar ia dapat memudahkan termakbulnya doa.

Wallahualam.

Solat Berkualiti Zahirkan Peribadi Mulia



Oleh Ibrahim Abdullah

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: “Mahukah kamu aku beritahu mengenai seburuk-buruknya pencuri? Sahabat bertanya: Siapakah dia, wahai Rasulullah? Nabi SAW menjawab: Orang yang mencuri dari solatnya. Sahabat bertanya: Bagaimana seseorang mencuri dari solatnya? Baginda SAW bersabda: Dia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya.”

Dalam kisah lain, Rasulullah SAW pernah menyuruh orang yang sudah melakukan solat untuk mengulangi solatnya hingga tiga kali. Sebabnya, ketika solat orang itu belum menyempurnakan wuduknya, takbirnya, berdirinya, bacaannya, rukuknya, sujudnya dan toma’ninahnya.

Baginda SAW menjelaskan cara yang benar dalam melakukannya sebanyak empat kali hingga selesai. Lalu Baginda bersabda yang bermaksud: “Solat seseorang di antara kamu tidak akan sempurna sebelum mengerjakan yang demikian itu.”

Menunaikan solat saja tidak mencukupi hingga mencapai taraf kesempurnaan. Kesempurnaan bukanlah paksaan, tetapi sebagai cara untuk menerapkan jiwa solat supaya membentuk keperibadian terpuji, menghasilkan keberkatan serta memperbaiki diri.

Kesempurnaan solat dimulakan dengan menyempurnakan wuduk mengikut contoh dan petunjuk Rasulullah SAW kerana pergerakan tanpa peraturan tidak akan memberi makna.

Setiap gerakan solat memiliki jiwa dan roh, peranan serta makna tersendiri yang akan memantulkan kekuatan positif. Ia adalah sebuah irama kesatuan yang saling membantu dan menyempurnakan gerakan seterusnya.

Wuduk bermakna membersihkan keperibadian buruk dan dosa. Menghadap kiblat bererti menghadapkan jiwa dan roh sepenuh hati dengan khusyuk dan merendah diri. Manakala takbiratulihram membesarkan Zat Allah.

Membaca surah dengan menghayati dan berkeinginan untuk mengamalkannya. Rukuk dan sujud adalah bentuk perwujudan ketundukan, kepatuhan dan kepasrahan diri secara menyeluruh kepada Zat Yang Maha Agung.

Kualiti ketakwaan seseorang sesungguhnya berkait rapat dengan kualiti solat kerana selain berkomunikasi dengan Allah, solat juga membentuk hubungan mendidik jiwa daripada melakukan perkara dilarang yang akan merosak jiwa.

Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah dari (perbuatan keji) dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya daripada ibadat lain), dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-’Ankabut, ayat 45)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:
“Apa pendapat kamu jika sebatang sungai berada di depan rumah seorang daripada kamu, kemudian ia mandi sebanyak lima kali setiap harinya, apakah tersisa kotoran darinya? Sahabat menjawab: Tentu tidak tersisa sedikit pun kotoran. Baginda SAW bersabda: Demikianlah perumpamaan solat, ia berfungsi sebagai penggugur dosa dan kesalahan.” (Hadis riwayat Muttafaqa ‘Alaih).

Sayyid Qutb dalam tafsirnya Fi Zilalil Quran menyebutkan, solat adalah jalan (mikraj) pertemuan seorang hamba yang daif dengan Allah Yang Maha Besar. Dengan solat seorang hamba berasa dekat dengan Pencipta.

Hati menjadi tenang dan jiwa sejuk. Solat ibarat sumber mata air sejuk yang tidak pernah kering oleh terik perjalanan dunia. Justeru itu, orang yang berakal sihat pasti amat bergembira mencelupkan dirinya ke dalam mata air solat lima kali sehari semalam secara berjemaah.

Malaikat pencatat amalan kebajikan pun menulis setiap langkah menuju masjid dapat mengangkat satu darjat kemuliaan. Mencatatkan langkah berikutnya sebagai penghapus satu kesalahan.

Jika seorang jemaah berjalan dari rumah menuju masjid atau musalla yang jaraknya 10 meter dengan 20 langkah. Maka 10 meter pula kenaikan satu darjat kemuliaan dan 10 meter berikutnya menghapus kesalahan.

Jika dilakukan lima waktu dalam sehari semalam, bererti 50 darjat kemuliaan dan 50 penghapusan dosa. Allah pun dapat memberikan kelebihan pahala lagi bagi hamba-Nya yang ikhlas memenuhi seruan solat.

Syeikh Hasan al-Banna menulis sepucuk wasiat kepada penggerak muda Muslim yang berbunyi, “Jika kamu mendengar seruan azan, segeralah tunaikan solat berjemaah walaupun kesibukan kamu.”

Firman Allah yang bermaksud:
“Sesungguhnya yang memakmurkan masjid Allah hanyalah orang yang beriman kepada-Nya dan hari kemudian, serta (tetap) mendirikan solat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapa pun) kecuali kepada Allah. Maka mudah-mudahan mereka termasuk orang yang mendapat petunjuk.” (Surah at-Taubah, ayat 18)

Perkara pertama dilakukan Rasulullah SAW ketika sampai di Madinah dalam rangkaian hijrahnya adalah membangun masjid. Dari sini kita dapat mengambil pelajaran betapa pentingnya posisi masjid dalam perjuangan kaum Muslimin.

Semangat persamaan dan penyatuan ummah tidak mungkin lahir jika Muslimin tidak bertemu setiap hari dalam satu saf di hadapan Allah. Masjid selain tempat beribadat adalah landasan penyatuan atas dasar ketakwaan.

Justeru, setiap masjid tidak boleh sunyi daripada aktiviti yang menyatukan ummah sebaliknya dimakmurkan supaya institusi masjid menjadi institusi penting kepada umat Islam mencapai kejayaan dalam kehidupan mereka.

Masjid juga mesti menjadi perantara pembinaan ummah. Hanya dengan dimakmurkan, masjid akan memainkan fungsi strateginya sebagai institusi kebangkitan ummah Islam.

Allah berfirman yang bermaksud:
“Sesungguhnya beruntunglah orang Mukmin, iaitu orang yang khusyuk dalam solatnya, dan orang yang meninggalkan perbuatan sia-sia.” (Surah al-Mukminun, ayat 1-3)

Diceritakan, bahawa Muhammad al-Fatih dan tenteranya ketika ingin menakluk kota Istanbul seperti dijanjikan Rasulullah SAW dalam hadisnya, tidak pernah meninggalkan solat wajib, rawatib dan tahajud sejak baligh.

Jiwa dan roh solat mereka telah berhubungan langsung dengan Allah iaitu sumber segala kekuatan. Itulah barangkali kunci kejayaan utama kejayaan beliau dan tenteranya menakluk kota Istanbul yang menjadi kota khalifah Islam terkenal hingga berkurun lamanya.

LELAKI PEMIMPIN WANITA

Firman Allah di dalam Al-Quran bermaksud: "Kaum lelaki adalah pemimpin kaum wanita". Ayat ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa kepimpinan adalah diterajui oleh kaum lelaki; manakala kaum perempuan adalah golongan yang dipimpin. Inilah fitrah atau sunnatullah yang berkuatkuasa dalam kehidupan manusia di dunia ini sepanjang zaman.

Dalam ayat lain pula Allah berfirman, bermaksud "Peliharalah dirimu dan ahli keluargamu dari api neraka." Perintah ini ditujukan kepada kaum lelaki yang menjadi ketua sesebuah keluarga.
Pengaruh barat yang menular ke negara Islam berjaya menyerapkan ideologi persamaan hak wanita-lelaki dan akhirnya diterima umum. Akibatnya konsep kepemimpinan lelaki terhakis. Kaum wanita yang dahulunya berperanan mentadbir anak-anak dan rumahtangga si-suami kini sudah mengabaikan tanggungjawab. Anak-anak sebaliknya dipelihara oleh orang gaji.

Apabila ramai wanita sudah memandang tanggungjawab di rumah sebagai kolot dan tidak ekonomikal, maka institusi keluarga akan tercemar dan terjejas. Anak-anak kehilangan kasih-sayang ibu. Ibu hanya sempat melihat anak waktu petang atau malam. Ketika itu badannya sudah keletihan dan tidak berdaya untuk mengasuh anak lagi. Anak-anak membesar tanpa menerima kasih-sayang ibu. Apabila ibu tidak menyayangi anak, semasa dewasanya nanti, sudah tentu anak tidak akan mengasihi ibunya. Jadilah mereka anak yang kasar dari segi tutur-kata dan tingkahlaku.

Walaupun kesilapan ini seolah-olah berpunca daripada wanita tetapi sebenarnya adalah berpunca daripada lelaki yang tidak berjaya mentarbiah wanita yang diamanahkan kepadanya.
Kegagalan mentarbiah anak dan isteri menyebabkan ramai anak-anak gadis keluar beramai-ramai memburu kerja di mana-mana saja. Kilang-kilang perindustrian yang menawarkan insentif dan gaji lumayan menjadi alternatif utama berbanding profesion perguruan dan perkeranian. Bahkan ramai juga wanita yang menjadi doktor, jurutera, polis, askar dan sebagainya. Kuantiti wanita yang ramai bekerja menyebabkan berlakunya satu kekosongan yang ketara di dalam institusi keluarga. Keadaan ini digawatkan lagi dengan sikap pelajar lelaki yang tidak secemerlang pelajar perempuan. Kecemerlangan pelajar perempuan di dalam peperiksaan awam berbanding pelajar lelaki menjadi satu faktor ramainya wanita melibatkan diri di dalam pasaran tenaga kerja.

Penglibatan wanita yang ramai di dalam sektor pekerjaan menyebabkan berlakunya pengangguran di kalangan kaum lelaki. Mereka akhirnya terjebak dengan penyalahgunaan dadah. Wanita bekerja terutama yang berpendapatan tinggi bertambah ramai yang hidup membujang. Pemuda yang menganggur sukar mencari wang untuk berkahwin. Akhirnya berlakulah pelbagai gejala keruntuhan akhlak di kalangan muda-mudi.

Walaupun banyak faktor dikaitkan dengan gejala keruntuhan akhlak yang berlaku sekarang, namun faktor yang jelas ialah kurang berkesannya peranan yang dimainkan oleh kaum lelaki sebagai ketua yang memimpin ahli-ahli keluarganya. Sebagai penutup sayugianya kita kembali kepada dasar Islam untuk mengembalikan martabat lelaki sebagai ketua yang diamanahkan untuk memimpin ahli-ahli keluarga dan kaum wanita amnya.

Wallahualam.