Friday, May 8, 2009

KISAH ORANG JEPUN DAN IKAN JERUNG

Masyarakat Jepun begitu menggemari ikan yang segar. Akan tetapi, bekalan ikan di lautan Jepun adalah terhad. Maka, para nelayan terpaksa menangkap ikan di kawasan laut dalam yang lebih jauh daripada daratan.Maka, semakin jauh ke laut dalam, semakin lama masa yang diambil untuk membawa balik ikan ke daratan. Syarikat perikanan ini mendapat satu jalan penyelesaian dengan menyediakan peti sejuk beku di dalam bot. Akan tetapi, masalah tetap muncul yang mana ikan menjadi tidak segar selepas beberapa hari di lautan.Orang jepun tidak menggemari ikan yang tidak segar! Maka, harga ikan sejuk beku ini dijual dengan harga yang lebih murah kerana permintaan yang rendah.

Syarikat ini tidak berputus asa untuk mencari penyelesaian dan akhirnya telah mengemukan idea dengan menyediakan tangki ikan! Teorinya begini, ikan hidup yang ditangkap akan terus dimasukkan ke dalam tangki ikan hidup-hidup! Maka, ikan tersebut di bawa balik ke daratan dalam keadaan hidup-hidup. Akan tetapi, masalah tetap timbul kerana walaupun ikan tersebut masih hidup, tetapi masyarakat jepun tidak dapat merasai kemanisan ikan yang segar. Hal ini adalah kerana ikan tersebut menjadi pasif yang menyebabkan daging ikan tidak segar.Maka, syrikat perikanan ini terus bertungkus lumus memerah idea bagi menyelesaikan masalah ini.

Akhirnya timbul satu idea yang cukup bernas bagi mengatasi masalah yang timbul. Syarikat ini masih mengekalkan konsep yang sama iaitu menyimpan ikan di dalam tangki air yang ditambah dengan ikan jerung kecil di dalamnya! Walaupun terdapat ikan yang menjadi mangsa kepada ikan jerung ini, akan tetapi kebanyakan ikan masih lagi hidup apabila sampai ke daratan.Ikan yang dibawa balik mendapat permintaan yang tinggi kerana ikan ini masih segar dan isinya manis. Hal ini adalah kerana, ikan-ikan ini terpaksa berenang dengan aktif untuk mengelakkan diri daripada di makan oleh jerung tadi.

Ironinya cerita ini dengan kehidupan kita seharian adalah kita menganggap cabaran dan dugaan sebagai ikan jerung kecil yang menjadikan kita sentiasa bersedia, bertenaga dan aktif.Ikan jerung ini juga menjadikan kita lebih bijak, berusaha secara berterusan dan berdaya saing dalam kehidupan seharian. Jadi jika kita malas dan tidak berusaha, pastilah kita akan menjadi mangsa kepada jerung kecil ini bukan? Bersyukurlah kita kepada Allah kerana menganugerahkan kita ” seekor ikan jerung kecil” dalam kehidupan kita seharian yang menjadikan kita lebih berusaha, berdaya saing dan menjadi lebih baik daripada semalam.

وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ

'Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.' (Al-Ankabut:3)

Taubat yang syaratnya gagal dipenuhi

Oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Barangsiapa yang beristighfar dengan sebanyak-banyaknya, Allah SWT akan bebaskan mereka daripada sebarang kesusahan, akan mendapat rezeki yang tidak diduga daripada sumber itu serta mendapat jalan penyelesaian daripada sebarang kerunsingan."

Orang yang tidak ditimpa runsing dalam kehidupannya, adalah merupakan suatu nikmat daripada Allah SWT.

Berapa ramai manusia yang memiliki harta kekayaan yang banyak tetapi tidak sunyi daripada dilanda runsing. Kekadang kehidupan seseorang sederhana sahaja tetapi mereka aman daripada sebarang kerunsingan jiwa dan fikirannya.

Jika berikhtiar menghilangkan kerunsingan dengan bukan jalan Allah SWT, seperti dengan berhibur yang melampau, maka usaha itu seperti menghilangkan gatal dengan menggaru akan hilang gatal sejenak. Dengan menggaru boleh menyebabkan calar berdarah bertukar jadi kudis.
Apabila kuman yang menyebabkan kegatalan aktif semula, maka gatal akan muncul kembali malah lebih parah lagi dengan munculnya kudis akibat luka digaru.

Fadilat beristighfar ialah Allah SWT akan memberi jalan penyelesaian daripada sebarang kesempitan, sama ada kesulitan hidup di dunia berbentuk kebendaan atau pemikiran dan perasaan.

Fadilatnya lagi ialah dikurniakan rezeki daripada sumber yang tidak diduga. Lebih istimewa lagi jika rezeki datang mecurah pada saat amat diperlukan.

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya aku seorang Nabi memohon ampun dosa (istighfar) kepada Allah SWT, setiap hari sebanyak 70 kali."

Meskipun Nabi s.a.w. maksum (dikawal) dosa oleh Allah SWT, namun baginda tetap memohon ampun sebanyak 70 kali saban hari.

Apakah tujuan Nabi s.a.w. mohon ampun kepada Allah SWT dalam keadaan maksum. Tujuannya ialah untuk mentarbiyah umatnya supaya tidak mengabaikan istighfar mohon supaya Tuhan ampuni dosanya.

Jika Nabi s.a.w. yang maksum beristighfar 70 kali, umatnya sebagai insan biasa yang bergelumang dosa, secara logiknya mestilah mohon ampun kepada Allah SWT setiap hari lebih daripada yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. itu.

Bagi Nabi s.a.w. yang maksum beristighfar itu bukanlah untuk mohon ampun dosa, tetapi istighfar Nabi s.a.w. ialah mohon ampun daripada perkara yang dikira silap.

Ini kerana amalan baik bagi orang yang jujur (abrar) itu, masih dikira sesuatu yang buruk bagi golongan 'muqorrobin' seperti golongan para nabi itu.

Contohnya, jika melakukan solat fardu didahului dan diiringi dengan solat rawatib, juga mendirikan solat malam tahjud empat rakaat dan tiga rakaat witir, jika boleh kekalkan sudah dikira termasuk golongan 'abrar'.

Tetapi sekadar itu tidak layak bagi golongan para anbiya, ia dikira berdosa bagi golongn muqarrabin jika ibadatnya sekadar itu.

Adapun istighfar yang sering diucapkan oleh Nabi s.a.w. seperti berikut: "Allahummaghfirli ma qaddamtu wama akhkhartu wama asrartu wama a'alantu wama Anta a'alamu bihi minni wa Antal muqaddimu wa Antal muakhkhir wa Anta 'ala kulli syai-in qadir."

Ia bermaksud: "Wahai Tuhan, ampunilah dosaku yang terdahulu dan dosa kemudian yang belum dilakukan, dosa yang kulakukan secara sulit tersembunyi dan dosa yang kulakukan secara terbuka, sebanyak mana yang Engkau ketahui. Sesungguhnya atas Engkau Yang Berkuasa penuh atas segala sesuatu."

Seorang ulama bernama Fudhul bin Akhyar berkata mengenai istighfar katanya: "Bahawa minta ampun dalam keadaan tidak menghentikan daripada berbuat dosa itu adalah taubat seorang pendusta."

Apabila seseorang beristighfar bererti dia mohon ampun kepada Allah SWT, apa ertinya dia mohon ampun kalau terus melakukan dosa maksiat.

Sedangkan syarat taubat ialah insaf dan menyesal, bertekad untuk tidak melakukannya lagi. Sangat pembohong bagi seorang yang mohon ampun kepada Tuhan, tetapi tidak berhasrat uantuk meninggalkan dosa dan menyesalinya.

Perbuatan itu umpama orang solat dengan memakai kain yang tercemar dengan najis, setelah dia sedar lalu digantinya dengan kain baru, sayangnya kain baru itu adalah kain curi.

Dia tinggalkan dosa diganti dengan dosa yang lain pula. Apakah ertinya itu jika dia tidak sedar sedang menipu diri sendiri?

Seorang wali besar yang masyhur dalam sejarah Islam, seorang wanita bernama Rabi'ah Al-'Adawiyyah berkata: "Sesungguhnya minta ampun bukan sekadar kerana berdosa, tetapi istighfar kerana kesalahan minta ampun daripada taubat yang tidak memenuhi syarat taubat itu."

Ertinya adalah dianggap satu dosa bagi orang minta ampun (istighfar) dalam keadaan dia tetap melakukan dosa, kerana sepatutnya dia menyesal serta berazam untuk tidak lakukannya lagi.
Beristighfar dalam keadaan demikian bererti dia sedang berdusta, seolah-olah mempermain-main dengan Allah SWT dengan istilah taubat.

Bertaubat dalam suasana demikian lebih buruk daripada melakukan dosa yang sebenar, kerana taubat seperti itu merupakan suatu dosa yang perlu bertaubat semula kerana bertaubat yang menyalahi syarat taubat. Inilah taubat manusia pendusta terhadap Tuhan.

Bagaimana Aqal Kita Tatkala Di Alam Kubur?

Apa perasan kita jika berselubung di dalam selimut tebal di waktu tengahari? Cuba lakukan ia selama sepuluh minit sambil berbaring seperti sekujur tubuh yang telah mati. Tanpa kipas, penghawa dingin dan tingkap dan pintu di tutup rapat.

Siapakah yang mampu bertahan lebih dari 30 minit ?

Sudah tentu minda dan tubuh kita tidak mampu menanggung ketidakselesaan itu walaupun hanya untuk 10 minit. Saya pasti kerana saya pernah mencubanya. Panas dan berhaba.

Setiap kali saya fikirkan semula percubaan saya itu, saya terfikir keadaan di alam barzakh kelak..terutamanya di liang lahad yang sempit, tertutup, tanpa penghawa dingin, tilam, tingkap serta kipas itu.

Sewaktu kita berada di alam barzakh kelak, adakah pancaindera dan penilaian minda kita terhadap alam ini sama seperti sewaktu kehidupan biasa kita di dunia?

Apabila saya utarakan hal ini. Ramai yang menjawab : "Tidak" atau juga "tidak tahu"
Apa jawapannya sebenar ?

Suka saya membawakan sebuah hadis berikut :-

ان رَسُولَ اللَّهِ ذَكَرَ فَتَّانَ الْقُبُورِ فقال عُمَرُ أَتُرَدُّ علينا عُقُولُنَا يا رَسُولَ اللَّهِ فقال رسول اللَّهِ نعم كَهَيْئَتِكُمُ الْيَوْمَ

Ertinya : Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w menyebut berkenaan ujian-ujian di dalam kubur.

Lalu Umar al-Khattab r.a bertanya : "Adakah akan dikembalikan kepada kita aqal-aqal kita (di dalam kubur kelak)?"

Nabi menjawab: Ya, (ia akan dikembalikan) sebagaimana keadaan kamu (sekarang) :
(Riwayat Ahmad, no 6603, 2/172 ; Ibn Hibban, 7/387 ; Majma Zawaid , 3/47 : Al-Haithami : Perawi Ahmad adalah Sohih kecuali terdapat Ibn Lahi'ah ; Syeikh Syuaib : Hasan Lighairi)

Bagaimana pula jika terpaksa menunggu di alam kubur ni sepanjang seribu tahun sebagaimana yang dikenakan kepada si Abu Jahal. !

Dalam keadaan status penilaian aqal kita sama seperti di waktu hidup, tetapi status keadaan tubuh dan keselesaannya adalah diletakkan di ruang liang lahad yang kecil, berselimut dek kain kapan dan ditimbus oleh tanah.

Namun, bagi mereka yang derhaka kepada Allah swt, disebutkan di dalam sebuah lagi hadis :-

إن للقبر ضغطه لو سلم أو نجا منها أحد لنجا سعد بن معاذ

Ertinya : "Sesungguhnya di dalam kubur itu terdapat himpitan, dan jika seorang itu mampu selamat darinya sudah tentu (salah seorangnya) adalah Sa'ad Bin Muadz ( seorang sahabat Nabi yang hebat )" ( Riwayat Ahmad, dengan sanad yang baik ; al-Mughni 'an hamlil asfar, no 4466, 2/1237 ; Ibn Hibban, Sohih, 7/379 ; Al-ahadith Al-Mukhtarah, Dhiya ad-Din al-Maqdisi, 5/200 ; Al-Maqdisi : Perawinya thiqat)

Ya, ruh terperangkap di dalam jasad di kuburan dan merasai azab himpitan dan lainnya yang amat berat lagi perit. Moga kita dijauhkan Allah swt dari keadaan ini.

Hanya amal soleh yang dapat memberikan keselesaan tatkala itu. Ye, benar, bagi yang bersedia, bersukar untuk mempelajari, mengamalkan, dan mengajarkan Islam kepada orang ramai dengan ikhlas dan tulus, mereka akan dikurniakan kenikmatan barzakh yang bermula dengan ruhnya diangkat dan dimasukkan ke dalam burung-burung berwarna hijau dan berterbangan serta menikmati makanan di pepohon syurga. Demikian sabdaan Nabi s.a.w yang mengatakan :-
إنما المؤمن طائر يعلق في شجر الجنة حتى يرجعه الله إلى جسده يوم يبعثه

Ertinya : Sesungguhnya ruh orang mukmin itu seperti burung (atau berada di dalam burung - bermakna tidalah kelihatan ruh manusia berterbangan), yang menikmati hidangan (dan berterbangan bebas) di pepohon Syurga sehinggalah dikembalikannya oleh Allah ke jasadnya di hari kebangkitannya. ( Riwayat Malik, Tirmidzi & Ibn HIbban : Hadis Sohih ; Ibn Hibban, Arnout, Syakir)

Segeralah kita menyiapkan diri sehabis mungkin untuk selamat dari sebarang azab kubur yang amat mengerikan.

Bagi orang yang bertaqwa, inilah peluang terhebat. Bagi individu yang hatinya diselaputi sifat nifaq dan dosa. Ia adalah a 'piece of cake' dan 'need no worries', hidup untuk ENJOYYYY!! .

Nau'zubillah.

Sekian,

Zaharuddin Abd Rahman