Monday, May 25, 2009

Pujuk Rayu Iblis

Allah swt telah berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat ke 34 yang bermaksud 'dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.'

Iblis seperti yang telah kita semua ketahui adalah musuh yang nyata bagi setiap anak Adam. Kehebatannya merayu untuk menyesatkan datang dari setiap penjuru sehingga mengalir di dalam darah ,bersembunyi di dalam hati dan tinggal di akal manusia. Nabi Muhammad saw telah bersabda maksudnya 'Sesungguhnya syaitan berjalan pada manusia di setiap pembuluh darah.' (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Apabila syaitan menetap dalam hati,manusia akan menjadi was-was dan benci kepada kebaikan serta gemar kepada keburukan. Jika bersarang di akal,manusia asyik memikirkan keuntungan diri tanpa memperdulikan kebajikan orang lain. Semua manusia termasuk para Rasul dan para Nabi didatangi dan dipujuk rayu oleh iblis. Tujuannya adalah supaya manusia mengikuti jejaknya yakni dengan tidak mentaati dan melanggar perintah Allah dan bersama-sama menemaninya ke dalam neraka; “Dan sesungguhnya neraka jahannam itu,tempat yang dijanjikan bagi sekalian mereka yang menurutmu.”(Surah al-Hijr:43)

Kelicikannya dapat mengaburi manusia jika iman manusia itu pudar,luntur dan tidak dibajai setiap masa dengan mengingati Allah SWT.Mereka yang terperdaya dengan iblis semestinya akan menyesal di kemudian hari walaupun dibuai keseronokan di permulaannya.

Kesimpulannya,semua manusia tidak akan terlepas daripada pujuk rayu dan pengaruh iblis,kecuali bagi mereka yang sentiasa memperbaharui iman mereka supaya tetap teguh dan kuat untuk melepasi godaan itu.

Bagi yang telah sedar akan kesilapan diri, dipengaruhi serta digoda tipu daya iblis,segeralah bertaubat bagi kesalahan yang telah dilakukan sebagaimana nabi Adam yang segera bertaubat setelah termakan tipu daya iblis bersama Hawa sehingga dikeluarkan dari syurga. Kisah ini telah disebutkan dalam surah Al-baqarah ayat 36 yang bermaksud; 'Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)".

Dunia ini bagaikan lautan yang dalam yang mana sudah ramai ditenggelaminya. Oleh itu, jadikanlah taqwa sebagai perahu, iman sebagai isinya dan tawakal sebagai layarnya.Ikan yang hidup di dalam laut yang masin tidak masin apabila dinaikkan ke darat. Tetapi apabila telah mati,secubit garam sudah cukup untuk memberi rasa masin kepadanya. Begitulah juga dengan hati, hati yang 'hidup' amat sukar ditembusi,tapi bila hati telah 'mati',amat mudah untuk dipengaruhi.

Mutiara kata & wasiat

Sesiapa yang merasa marah tetapi dia tidak dapat meluahkannya maka dia seumpama keldai dan sesiapa yang merasa redha terhadap sesuatu tetapi dia tidak dapat menerimanya maka dia seperti syaitan yang mana redha dengan ketentuan Allah tetapi tidak mahu tunduk kepada perintah-Nya. “Keredhaan manusia sukar untuk engkau capai dan bukanlah bermakna selamat daripada lidah manusia sudah boleh dianggap mencapai jalan kepada mendapat keredhaan mereka. Oleh itu hendaklah engkau melakukan perkara yang bermanfaat kepadamu dan sentiasalah berbuat demikian”. (Wasiat Imam Syafi’e)

Kesan Zikir Terhadap Otak

Otak hanyalah aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi dengan sempurna.

Setiap hari 14 juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan 16 juta saraf tubuh yang lain. Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas.

Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimat-kalimat Allah, seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif. Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut. Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik. Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan.

Otak mula memahami perkara baru, melihat dari sudut perspektif berbeza dan semakin kreatif dan kritis, sedang sebelum berzikir otak tidak begini. Otak yang segar dan cergas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.

Hasil kajian makmal yang dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan dalam majalah Scientific American, keluaran Disember 1993. Satu kajian yang dilakukan di Universiti Washington dan ujian ini dilakukan melalui ujian imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak sedar.

Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai perkataan benda. Mereka dikehendaki membaca setiap perkataan tersebut satu persatu dan mengaitkan perkataan-perkataan dengan kata kerja yang berkaitan. Apabila sukarelawan melakukan tugas mereka, beberapa bahagian berbeza otak mempamerkan peningkatan aktiviti saraf, termasuk di bahagian depan otak dan korteks. Menariknya, apabila sukarelawan ini mengulangi senarai perkataan yang sama berulang-ulang kali, aktiviti saraf otak merebak pada kawasan lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain.

Apabila senarai perkataan baru diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan pertama. Ini sekali gus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan yang diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan kecergasan otak dan menambah kemampuannya.

Oleh itu, saudara-saudaraku se-Islam, ketika saintis Barat baru menemui mukjizat ini, kita umat terpilih ini telah lama mengamalkannya dan menerima manfaatnya. Malang bagi mereka yang masih memandang enteng kepentingan berzikir dan mengabaikannya.