Wednesday, December 31, 2008

Khusyukkan Solatmu Wahai Sang Hamba

Solat adalah perkara yang paling penting bagi mereka yang beragama islam. Solat boleh diibaratkan sebagai tiang seri utama di dalam sebuah rumah. Yang mana apabila runtuhnya tiang seri utama itu maka akan runtuh jugalah rumah tersebut. Tiang-tiang seri yang lain tidak mampu untuk menanggung beban yang di tanggung oleh tiang seri utama dek kerana kecilnya saiz mereka berbanding saiz tiang seri utama.

Begitu jugalah dengan solat. Berbanding dengan amalan-amalan lain solat dikira sebagai amalan yang paling utama. Amalan yang pertama sekali disoal apabila kita dihadapkan di hadapan Allah S.W.T kelak juga adalah solat. Selagi mana tidak selesai solat kita dihisab maka selagi itulah amalan-amalan kita yang lain tidak diambil kira. Dalam solat pula kita amatlah di tuntut untuk khusyuk.Firman Allah S.W.T yang mana bermaksud:-

“Telah berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya” (Surah Al-Mu'minun:1-2)

"Peliharalah segala sembahyangmu dan peliharalah sembahyang utama (Asar, Subuh) dan berdirilah untuk Allah (melalui solatmu) dengan khusyuk" (Surah Al-Baqarah:238)

Rasulullah S.A.W juga ada bersabda yang mana bermaksud:-

"Berapa banyak orang yang mendirikan solat, tetapi yang di perolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya." Nabi s.a.w bersabda lagi yang bermaksud : "Tidak ada habuan bagi seseorang hamba dalam sembahyangnya kecuali sekadar mana yang ia ingat."

Yang dikatakan khusyuk dalam solat itu adalah hatinya sentiasa hidup,sentiasa merasakan takut serta malu pada Allah S.W.T dalam solat yang dilakukan. Segala urusan duniawi dilupakan sementara demi memberikan tumpuan yang sepenuhnya pada Allah S.W.T. Penting tidak pentingnya khusyuk dalam solat ini sehingga Imam Ghazali menyatakan solat yang dilakukan tanpa khusyuk boleh dikira sebagai sia-sia sahaja. Fungsi khusyuk dalam solat bukanlah sekadar mengingati Allah semata-mata malahan juga untuk mencegah diri daripada melakukan perkara-perkara mungkar.

Oleh yang demikian penulis menyertakan di sini antara amalan-amalan yang insyaAllah dapat membantu pembaca-pembaca sekalian mendapatkan apa yang di panggil khusyuk di dalam solat. Sama-samalah kita amalkan.

1. Menjaga makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain supaya datang dari punca yang halal tanpa syubhah.

2. Agar pemikiran tidak liar ketika solat lintaskan kematian seakan-akan amat hampir dengan kita serta solat tersebut merupakan sholat terakhir dan perlulah dijadikan yang terbaik.

3. Mendirikan sembahyang di awal waktu atau pertengahan waktu supaya tidak gopoh apabila masa hampir luput.

4. Membaca dengan baik (Khusnul Qori'ah), berusaha untuk memahami, mengerti bacaan dalam solat termasuk ayat Al-Quran yang dibacakan itu terutama sekali Al Fatihah, gerakan dan maknanya (Tafakhum). Ini kerana bacaan-bacaan dalam solat mengandungi banyak makna yang halus yang patut dimengertikan oleh orang yang melaksanakannya.

5. Rukun-rukun solat dilakukan secara tertib. Berusaha konsentrasi (Khudunul Kolbih), menyedari bahawa Allah memperhatikan sembahyang itu.

6. Rasa Malu (Haya') perasaan malu terhadap Allah s.w.t.,rasa takut (Khauf) kepada kekuasaan Allah.

7. Berharap serta yakin (Optimis) Allah menerima solat dan amal kita.

8. Hati diajak hadir/ikut,kehadiran hati dalam solat iaitu mengosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu dan yang tidak berkaitan dengan solat.

9. Membesarkan Allah dalam solat,merasakan kehebatan Allah dalam solat.

10. Menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang akan menghayalkan pemikiran.

11. Mendirikan sembahyang secara berjemaah.

12. Mengambil wuduk dengan sempurna.

13. Mengurangkan pergerakan anggota-anggota seperti tangan,kaki dan juga mata ditumpukan kepada tempat sujud dan ketika tasyahud melihat anak jari.

14. Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan sembahyang bersendirian ataupun sekurang-kurangnya iqamat sahaja.15. Ditegah bersembahyang dengan pakaian yang ada gambar,berwarna warni,bertulis,lukisan dan lain-lain kerana ia juga membuat orang lain hilang kekhusyukan ketika berjemaah. Walau apa pun syarat yang paling utama untuk mendapatkan khusyuk ialah kemantapan iman dalam diri pada Allah S.W.T. Oleh sebab itu berusahalah untuk lebih mengenali Allah S.W.T agar rasa gerun pada Allah itu mudah untuk dihadirkan dalam solat kita. Rasa khusyuk dalam solat juga berkait dengan rasa takutnya kita pada Allah ketika di luar solat. Kebiasaanya mereka yang ketika di luar solat tidak mempedulikan arahan dan larangan Allah dalam amalan-amalan yang dilakukan maka amatlah sukarlah bagi mereka untuk mendapatkan khusyuk di dalam solat dan begitulah sebaliknya.

Kesimpulannya orang-orang yang takut kepada penciptanya dan menyedari bahawa dirinya diciptakan untuk mengabdikan diri pada Allah serta mematuhi apa yang disampaikan oleh Allah dan Rasulnya sahajalah yang akan mendapatkan khusyuk di dalam solat seperti mana firman Allah S.W.T yang bermaksud:-

"Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat,kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan mereka akan kembali kepadaNya)" (Surah Al-Baqarah:45-46)

Akal dan Nafsu

Yang pertama-tamanya marilah kita sama-sama bersyukur kepada Allah Ta'ala kerana kita semua dilahirkan dalam keadaan sudah dianugerahkan akal dan nafsu. Kedua-dua perkara tersebut amatlah penting bagi manusia. Kalau kurang satu je daripada kedua tu pun da susah dibuatnya kita. Cubalah bayangkan kita dilahirkan dalam keadaan tidak berakal, alamatnya jadi orang tiga suku la kita(orang gila la). Kalau tak ada nafsu pun sama la juga. Hidup pun cam zombi jek, apa yang dilihat semua tak membawa makna bagi diri kita.

Orang hulur kek ke, mee goreng ke, pizza ke, semua bagi dia cam tengok batang kayu je. Tak rasa apa-apa pun. Kalau ada nafsu tapi tak pandai kawal pun masalah juga. Semua yang dia rasa nak dia gomo je, yang penting kehendak nafsu dia tercapai. Tak fikir da halal haram makruh sunat ke apa semua, yang penting dapat. Ish2..ni la yang orang kata binatang bertopengkan manusia. Ye la, da kalau hidup ni nak puas nafsu je, kan sama je ngan binatang tu. Dorang kan hidup tak diamanahkan apa-apa,maka boleh la nak ikut suka je apa nak buat.

Dalam Qur'an kalimah akal diulang sebanyak 29 kali. Tapi bukanlah semua kalimah tersebut bunyinya akal juga, akal tu disebutkan dalam perkataan lain tapi para ulama' menafsirkannya sebagai akal.(paham x nih? x faham kontek penulis) Antara ayat Qur'an yang menyentuh tentang akal ialah firman Allah yang mana ertinya:-

"Padahal sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka yang mendengar kalam Allah(taurat), kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka memahaminya,sedangkan mereka mengetahui(bahawa perbuatan mereka itu salah)?" (Al-Baqarah:75)

Kalau kita bandingkan manusia dengan robot,atau manusia dengan binatang, sebenarnya tak adalah jauh berbeza sangat pun. Manusia ada kaki, robot pun ada kaki, binatang pun ada kaki. Manusia ada kepala, robot pun ada kepala juga, macam tu la juga binatang, lebih kurang je dorang semua tu(cam la penulis bukan manusia juga,hu2..)

Cuma yang membezakan antara mereka semua adalah akal yang dimiliki oleh manusia. Akal yang dimiliki oleh manusia tidak dimiliki oleh binatang, robot, kayu, batu dan sebagainya. Dek kerana akallah manusia dimuliakan,oleh kerana akal jugalah manusia diagungkan. Lihat, betapa besar pengaruh akal pada manusia. Tujuan utama akal dikurniakan pada manusia adalah untuk mengenal Allah S.W.T, mengenal rasul-rasulnya,mengenal kitab-kitabnya dan pelbagai lagi ilmu-ilmu islam yang perlu diketahui sebagai landasan pada manusia untuk terus kekal berada di jalan yang lurus yang akan membawanya pada kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Kita semua dilahirkan bukanlah sekadar memenuhi muka bumi Allah Ta'ala,juga bukanlah sekadar untuk bersuka-ria memenuhi nafsu syahwat dengan membuta-tuli, tapi kita dilahirkan membawa satu amanah yang perlu kita laksanakan. Satu amanah yang mana satu ketika nanti kita semua akan disoal kembali tentang amanah-amanah tersebut. Firman Allah Ta'ala yang mana maksudnya:-

"Dan(ingatlah) aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku". (Az-Zariyat:56)

Nafsu juga merupakan satu anugerah yang amat bernilai bagi manusia. Dengan nafsulah manusia dapat memahami apa yang dikatakan nikmat,apa yang dikatakan lazat dan apa-apa lagilah yang menbawa kepada rasa 'best'. Dengan nafsu manusia dapat merasai lazatnya ayam bakar,dengan nafsu manusia dapat merasa manisnya teh tarik mamak, tapi dengan bantuan lidah la, kalau tak ada lidah tak dapat juga nak rasa apa-apa. Tapi kena ingat! Secara garis besarnya nafsu memang akan membawa kita pada kejahatan dan kemaksiatan. Firman Allah Ta'ala yang bermaksud:-

"Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan". (Yusuf:53)

Adapun nafsu manusia itu mempunyai tiga tingkatan iaitu:-
1.Nafsu Ammarah iaitu nafsu yang membawa pada keburukan
2.Nafsu Lawwamah iaitu nafsu yang mencela
3.Nafsu Mutma'innah iaitu nafu yang tenang lagi tenteram


Perbezaan antara nafsu dan akal itu amatlah besar. Nafsu sentiasa menginginkan kenikmatan tanpa mengira batasan syara' manakala akal sentiasa membawa manusia pada perbuatan yang rasional, yang mengikut landasan syara'. Di situlah terletaknya fungsi akal. Sentiasa mengawasi nafsu agar sentiasa menuju ke arah kebaikan. Ibaratnya nafsu sebagai anak kecil yang buas dan akal sebagai ayah yang sentiasa menjaga anaknya dari apa-apa perkara yang membahayakan anaknya.

Sebagai kesimpulan, kita perlulah memastikan agar nafsu kita sentiasa menuruti akal. Kita perlu mendidik nafsu sehingga segala kehendak nafsu akan seiring dengan akal, seiring dengan landasan syara'. Moga-moga segala mujahadah yang kita lakukan mendapat ganjaran daripada Allah S.W.T.

Wallahu'alam..