Tuesday, December 16, 2008

Zikir 'senjata' Terbaik Hadapi Cabaran Ujian Alam

SETIAP manusia pasti tidak terlepas daripada segala macam ujian dan dugaan hidup. Selagi bergelar insan yang berada di atas muka bumi ini, cabaran itu sebenarnya adalah untuk menguji sejauh mana tahap kesabaran serta keimanan seseorang hamba.

Pelbagai musibah seperti banjir dan tanah runtuh yang dihadapi kita hari ini adalah ujian Allah SWT untuk kita bertanyakan kepada diri sendiri apakah kita daripada kalangan manusia yang sabar atau sebaliknya.

Manusia adalah makhluk paling sempurna ciptaan Allah SWT. Melalui kombinasi roh, jasad, akal dan fikiran menjadikan manusia khalifah yang mentadbir alam ini mengikut peraturan Penciptanya. Kesempurnaan ciptaan menyebabkan manusia lebih hebat berbanding makhluk-Nya yang lain.

Ini diakui melalui firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak Adam, dan Kami telah beri mereka menggunakan pelbagai kenderaan di darat dan laut, dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda yang baik-baik serta Kami lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk yang Kami ciptakan.” (Surah al-Isra’, ayat 70)

Keupayaan manusia sebagai khalifah memerlukan kepada beberapa kekuatan dan tumpuan kali ini akan memfokuskan kepada kekuatan emosi dan jiwa sebagai salah satu faktor penting kejayaan manusia meneruskan tanggungjawabnya untuk memakmurkan alam ini.

Sesungguhnya kekuatan dalaman juga penting sebagai benteng pertahanan kukuh dalam menghadapi apa juga rintangan hidup. Allah SWT memberi jaminan beruntungnya manusia yang menjaga dan menyucikan hati serta kerugian mereka yang mengotorinya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya (yang sedia bersih) bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya (yang sedia bersih) itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).” (Surah al-Syams, ayat 9-10)

Kemewahan juga adalah ujian begitu juga kesusahan dan kesedihan. Justeru, Islam mengatur kehidupan manusia bagaimanakah kaedah yang sepatutnya diamalkan dalam menghadapi ujian hidup.

Zikrullah atau berzikir mengingati Allah SWT salah satu alternatif ke arah pembersihan dan ketenangan jiwa daripada segala macam kekalutan dan sifat mazmumah. Zikrullah yang dimaksudkan ialah mengagungkan Allah SWT, menyebut kalimah Allah SWT, mengucap tasbih, tahmid dan takbir serta melakukan pujian kepada-Nya.

Termasuk dalam istilah zikrullah ialah mengerjakan solat, menghadiri majlis ilmu dan membaca al-Quran. Ini bererti seseorang hamba Allah SWT perlu dan mesti melakukan perkara itu bagi memenuhi ciri zikrullah sebenar.

Zikrullah adalah penawar hati paling mujarab dalam memberi ketenangan jiwa bagi mengubat keresahan diri. Ini terbukti melalui firman Allah SWT yang bermaksud:

“Orang yang beriman itu tenang dan tenteram hati dengan zikrullah. Ketahuilah bahawa dengan zikrullah itu akan tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra’d, ayat 28).

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Zikrullah itu adalah penawar bagi hati.”

Sesungguhnya zikir itu boleh dilakukan melalui beberapa keadaan sama ada zikir secara bersendirian mahupun berjemaah atau berkumpulan, melalui lisan mahupun dengan hati. Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Azkar ada menyatakan mengenai mengingati Allah SWT dengan lisan atau hati bahawa ia adalah zikir yang paling afdal.

Zikir dengan lisan adalah dengan menyebut nama Allah SWT berulang kali, menyebut sifat-Nya atau melafazkan puji-pujian kepada-Nya. Zikir dengan hati pula ialah menghadirkan kebesaran, keagungan, kehebatan, kemuliaan dan kesempurnaan Allah SWT dalam diri dan jiwanya sehingga hati itu menjadi sentiasa sibuk dengan mengingati Allah SWT.

Seseorang yang lidahnya sentiasa basah dengan mengingati Allah SWT akan mendapat beberapa manfaat antaranya ;

-Membersihkan hati daripada sifat mazmumah.
-Melembutkan hati sehingga dapat melihat kebenaran yang datang daripada Allah SWT.
-Berasa betapa dekatnya diri dengan Allah SWT sehingga apabila berhadapan dengan pelbagai musibah, pergantungannya hanya kepada Allah SWT.
-Meningkatkan mutu amalan kepada Allah SWT.
-Memelihara diri daripada gangguan syaitan yang sentiasa mahu menyesatkan manusia daripada mengingati Allah SWT.
-Menjadi penawar kepada hati yang sering gundah gulana, keluh kesah dan tidak tenteram.

Menghadiri majlis ilmu sama ada berbentuk kuliah, ceramah, seminar atau bengkel turut termasuk dalam kategori zikrullah malah disifatkan oleh Rasulullah SAW sebagai satu daripada taman syurga.

Baginda SAW bersabda seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Umar yang bermaksud: “Apabila kamu melalui taman syurga, maka hendaklah kamu singgah dan ambil perhatian. Sahabat bertanya, apakah dia taman syurga itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab ia adalah halaqah (majlis) zikir. Sesungguhnya Allah menghantar utusannya yang terdiri daripada malaikat mencari majlis zikir dan apabila malaikat melihat dan berjumpa dengannya, mereka saling menyebut perkara itu sesama mereka.”

Rasulullah SAW ada menyebut bahawa malaikat akan turut serta duduk di dalam majlis zikir yang diadakan sehingga mereka merendahkan sayap menaungi mereka yang menghadirinya.
Allah pula akan menurunkan rahmat dan ketenangan kepada ahli majlis zikir dan apabila mereka selesai, hati mereka dipenuhi cahaya lantaran menerima percikan pancaran nur Ilahi.

Solat adalah zikrullah seperti dijelaskan Allah SWT dalam firman yang bermaksud:

“Dirikanlah solat untuk mengingatiKu.” (Surah Toha, ayat 14)

Solat adalah zikir paling afdal mesti menghiasi individu yang mengaku kasih dan cintakan Allah SWT. Sesungguhnya seseorang yang istiqamah dalam mengerjakan solat, dialah yang hampir dengan Allah SWT. Sesiapa yang lalai daripada mengingati Allah SWT melalui solat, sesungguhnya hati dan jiwanya kosong.

Membaca al-Quran juga zikir yang paling mulia kerana ia adalah kalam Allah SWT atau kata-kata Allah SWT. Maka apabila seseorang membaca al-Quran, dia sebenarnya menuturkan kata-kata Allah SWT dan itu adalah gambaran betapa hampir dirinya dengan Allah SWT.

Seseorang individu Muslim hendaklah membaca al-Quran setiap hari supaya hatinya tidak kosong tanpa roh. Apabila membacanya, maka dalam masa sama, pembacanya akan mengingati Allah SWT.

Apabila seseorang berhadapan dengan kesulitan, zikrullah alternatif dalam menyelesaikan segala masalah. Inilah sebenarnya kekuatan dalaman atau faktor utama keteguhan emosi dalam mengharungi segala macam pancaroba hidup.

Semoga hati akan menjadi tenang dan segala urusan kehidupan dapat dilaksanakan dengan sempurna. Tindakan menyalahkan takdir atau meletakkan kesalahan kepada orang lain perlulah dielakkan kerana ini bukan sifat orang yang beriman dan tawaduk.

- Penulis ialah Penolong Pengarah Pusat Pemantapan Akidah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Jelebu, Negeri Sembilan.