Wednesday, August 26, 2009

Khasiat Buah Kurma

Buah kurma atau dalam bahasa Arab menggelarnya tamar tergolong dalam keluarga phoenix. Sekumpulan jenis palm seperti kelapa sawit sementara buahnya bertangkai seperti buah pinang. Kurma mengandungi khasiat pemakanan yang tinggi seperti kismis dan aprikot kering. Antaranya kurma kaya dengan protein, serat, gula, vitamin A dan C serta zat mineral atau galian seperti besi, kalsium, sodium dan potasium.

Selain kebiasaan, umat Islam digalakkan berbuka dengan kurma bersandarkan sabda Rasulullah s.a.w. yang lain maksudnya: "Rumah yang tiada kurma seperti rumah yang tidak mempunyai makanan". Kurma diangkat tinggi oleh Rasulullah kerana mempunyai nilai kandungan makanan yang tinggi.

Kandungan protein di dalam kurma lebih kurang 1.8 hingga 2.0 peratus, serat 2.0 hingga 4.0 peratus manakala kandungan gulanya 50 hingga 57 peratus glukosa. Ini menunjukkan kandungan gula didalamnya telah ditukar secara semulajadi. Bermakna apabila kita memakan kurma, tenaga yang diserap tubuh adalah serta-merta. Sebaliknya gula di dalam kebanyakan buah-buahan dikenali sebagai fraktosa dan gula tebu atau gula pasir yang biasa mengandungi sukrosa tidak boleh menyerap terus dalam tubuh. Ia terpaksa dipecahkan dahulu oleh enzim sebelum bertukar menjadi glukosa lalu diserap tubuh sebagai tenaga.

Disunatkan berbuka dengan kurma kerana orang yang berpuasa tidak makan selama 12 jam. Kurma menyumbang tenaga serta-merta kepada si pemakan dan ini memudahkan seseorang beribadat dan menunaikan sembahyang maghrib atau tarawih. Apabila tubuh berasa segar dan bertenaga ia menghalang kita makan berlebihan atau mengikut nafsu. Kadangkala waktu berbuka kita makan terlalu banyak, tetapi masih letih dan tidak bertenaga. Sebabnya makanan yang diambil kebanyakan mengandungi karbohidrat, tanpa tenaga serta-merta menjadi penyebab selesai makan, mata pun mengantuk.

Kita makan kurma tanpa buang kulitnya yang mengandungi serat. Amat baik untuk mencegah barah usus besar kerana ia melawaskan. Sementara kandungan vitamin A dan C amat tinggi pada peringkat khalal atau rotab dan menurun sedikit pada peringkat tamar. Selain itu ia mengandungi zat galian dan yang paling banyak dikenali sebagai potasium. Potasium diperlukan oleh tubuh untuk sistem saraf kerana kurma adalah excellant source atau sumber mujarab. Memang dalam susu, yogurt dan makanan laut juga mengandungi potasium tetapi jumlahnya sedikit.

Pengambilan potasium yang berlebihan tidak mengumpul toksid di dalam tubuh atau memudaratkan. Sebaliknya ia merangsang selera makan bagi yang berpenyakit serta bagus untuk golongan yang mengalami sembelit, lemah otot, sengal-sengal badan, letih, lesu, mengalami tekanan serta menguatkan ingatan. Ramai beranggapan hanya kismis yang baik untuk menguatkan ingatan, sebenarnya kurma juga setanding. Mungkin atas alasan pihak-pihak tertentu atau negara pengeluar anggur telah menjalankan kempen makan kismis dan mempopularkan khasiatnya.

Kurma diakui sebagai buah berkhasiat dan sebagaimana Firma Allah s.w.t. dalam surah al-Mukminah ayat 19, "Kemudian Kami tumbuhkan kerananya kebun kurma dan anggur untuk kamu. Di sana kamu peroleh buah-buahan yang banyak, dan sebahagiaannya kamu makan."

Diriwayat oleh Aishah r.a. yang menjelaskan, kurma mengandungi ubat. "Jika sesiapa yang selalu makan kurma akan dihindari daripada terkena racun yang dimakan." Dikisahkan sewaktu Mariam melahirkan Nabi Isa a.s. di bawah pohon kurma. Telah datang malaikat Jibrail menyuruh Mariam menggegar pohon kurma lantas dimakannya. Dengan izin Allah, ia memudahkan kelahiran Nabi Isa a.s.

Dalam bidang perubatan dengan ketiadaan kolesterol, lemak dan gula di dalam kurma, ia amat baik untuk meredakan tekanan darah tinggi.

Dalam perubatan homeopati, biji kurma dikisar halus atau dijadikan serbuk seperti teh. Direndam dan diminum bagi menyembuhkan pelbagai jenis penyakit.Begitu juga dalam rawatan kaedah sufism, menjadikan kurma salah satu penawar penyakit.

Melalui petua tertentu, kurma dimakan bersama badam dan madu untuk menyembuhkan penyakit. Kurma dikatakan menambah tenaga seksual atau batin.

Jus buah kurma mungkin baru di negara ini, sebaliknya di negara pengeluar selain dimakan segar, kering atau salai, kurma dibuang biji dan diganti dengan kacang tanah, badam atau gajus bagi mengenakkannya. Kurma juga dibuat jem, sirap atau bahan tambahan dalam aiskrim.

Kita seharusnya memakan buah kurma bukan hanya dalam bulan puasa sahaja. Kurma baik dijadikan pembasuh mulut selepas makan atau menggantikannya makanan ringan yang rata-rata mengandungi karbohidrat, garam, lemak dan gula berlebihan yang boleh membawa pelbagai jenis penyakit.

WALLAHUA'LAM

Keutamaan Sedekah

Hadith Nabi Saw: "Tidak berkurang harta kerana sedekah, dan tiada seorang yang memaafkan suatu kezaliman melainkan Allah swt menambah kemuliaan, dan tiada seorang yang tawadhuk (merendah) kerana Allah swt, melainkan Allah swt menaikkan darjatnya." (Abu Hurairah r.anhu)

Hadith Nabi Saw: "Dermawan itu merupakan suatu pohon yang akarnya di syurga dan dahan-dahannya menurun ke dunia. Maka barangsiapa yang berpegang kepadanya akan ditarik ke syurga. Kedekut (kikir) itu pohon yang asalnya di dalam neraka sedang dahan-dahannya menurun ke dunia. Maka barangsiapa yang berpegang kepadanya akan ditarik ke neraka." (Aishah r.anha)

Sedekah mengandungi 10 kebaikan:

Kebaikan di dunia

1) Membersihkan harta kekayaan
2) Membersihkan badan daripada dosa-dosa
3) Menolak bala dan penyakit
4) Menyenangkan hati orang miskin
5) Menjadikan berkat dalam harta dan meluaskan rezeki

Kebaikan di Akhirat

1) Sedekah itu menjadi naungan baginya
2) Sedekah meringankan hisab amalnya
3) Memberatkan timbangan amal kebaikannya
4) Memudahkan melintasi sirat
5) Bertambah darjat di syurga

Barangsiapa yang menolak lima pekara, maka Allah akan menolak lima pekara daripadanya iaitu:

1) Barangsiapa menolak zakat, Allah swt akan menolak keselamatan hartanya
2) Barangsiapa tolak sedekah, Allah swt akan mengurangi kesihatannya
3) Barangsiapa menolak zakat tanamannya, Allah swt akan menolak berkat tanahnya
4) Barangsiapa tidak suka berdoa, Allah tidak suka untuk menerimanya
5) Barangsiapa yang meringan-ringankan solatnya, Allah swt akan menolak dari kalimah syahadah ketika matinya

Sumber: Tanbihul Ghafilin

Istimewanya Bulan Ramadhan


Setiap orang yang mengaku beriman dengan kebesaran Allah pasti akan bergembira apabila tiba bulan Ramadhan Al Mubarak di setiap tahun (Anda bagaimana?). Asbabnya Ramadhan satu-satunya bulan yang penuh dengan rahmat dan keberkatan yang tidak terdapat di dalam bulan-bulan yang lain, oleh sebab itu Rasulullah s.a.w. menjelaskan Ramadhan adalah penghulu kepada sebelas bulan yang lain. Hanya orang yang kenal kelebihan Ramadhan sahaja yang akan bersedia bila menjelangnya bulan yang mulia ini.

Betapa besarnya fadilat bulan Ramadhan ini dapat kita fahami dari hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bererti:

Apabila masuk bulan Ramadhan maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta diikat semua iblis dan syaitan. Oleh kerana itu apabila seorang melangkah masuk ke bulan Ramadhan bererti mereka memasuki gerbang pertapaan yang penuh dengan ujian dan latihan. Kerana itu sudah sewajarnyalah kita membuat persiapan yang perlu dari segi rohani dan jasmani iaitu.

1. Mengulangi kembali pelajaran-pelajaran yang berkaitan dengan puasa agar kita memasuki dan menjalani amalan puasa ini dengan pengetahuan dan yang dibaharui dengan pedoman-pedoman yang baik serta pengalaman-pengalaman yang baru dan sempurna. Pelajaran-pelajaran itu hendaklah yang berhubung dengan rukun, syarat sah, syarat membatalkan puasa, perkara-perkara sunat, makruh, abad berpuasa dan hikmat yang terkandung serta perlaksanaan ibadat puasa yang merupakan ibadat yang istimewa ini.

2. Membuat persiapan dari segi Rohani rasa hati dan ketenangan jiwa dalam menghadapi bulan puasa sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda.

3. Memperbanyakkan doa moga-moga Allah memberikan kesihatan, tenaga, kelapangan dan kesempatan mengerjakan puasa dan mudah-mudahan Allah memberikan taufik dan hidayahNya supaya kita dapat menunaikan puasa dengan hati yang jujur, tulus ikhlas dijauhi dari riak, ujub dan dari segala rupa penyakit yang menghilangkan pahala puasa.

4. Menguatkan semangat dan hemat untuk melaksanakan latihan yang akan kita jalani sepanjang bulan ini dengan sempurna agar kita memperolehi kesan yang dimaksudkan iaitu peningkatan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. Bulan puasa itu merupakan bulan latihan berjihad memerangi hawa nafsu yang loba dan tamak.

Bulan puasa adalah bulan bercucuk tanam untuk akhirat, bulan menghasilkan bekalan untuk hari kemudian, bulan membersihkan dan menyuci diri dari berbagai dosa dan noda serta menghiasi diri dengan budi yang tinggi dan pekerti yang luhur. Maka oleh itu hendaklah kita menyediakan diri kita dalam melaksanakan hak puasa dengan perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan yang baik dengan sepenuh hati, jujur dan ikhlas semata-mata kerana Allah. Kita hendaklah berusaha menyediakan diri untuk menjaga benih-benih amal yang kita tanam di bulan Ramadhan itu kerana seorang yang menanam benih jika tidak membaja, menyiram serta memelihara pasti tidak akan mengeluarkan hasil yang baik apabila datang masa menuai tegasnya semasa berhadapan dengan Allah s.w.t.

Kita hendaklah mengelakkan daripada kebiasan-kebiasan yang memberatkan dan merugikan diri kita seperti berbelanja berlebihan, boros, suka berhibur, membuang masa dan bersembang yang tidak mendatangkan faedah kerana perkara-perkara tersebut adalah bertentangan dengan hikmat berpuasa. Sebaliknya hendaklah kita menyambut bulan puasa dengna cita-cita dan azam yang tinggi membanyakkan ibadah samada siang atau malam hari dengan kemahuan hendak melatih diri serta mensucikan jiwa. Kita hendaklah mengucapkan tahniah di atas kedatangan bulan Ramadhan itu kerana ianya merupakan hak muslim ke atas muslim.

Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud:

Daripada hak seorang muslim kepada muslim yang lain ialah apabila mereka menerima kebaikan hendaklah kita mengucapkan tahniah.Rasulullah s.a.w. sentiasa menggembirakan para sahabat di atas kedatangan bulan Ramadhan, bulan yang membawa rahmat serta nikmat yang tidak terhingga kepada mereka yang berpuasa, bulan melebur dosa dan memerdekan hambanya dari azab api neraka. (Riwayat Nasaie dan Ahmad daripada Abu Hurairah)

Rasulullah s.a.w. menggembirakan para sahabatnya dengan sabda baginda: Ertinya:

Sesungguhnya akan datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang diberkati, Allah mewajibkan kamu berpuasa di dalamnya. Pada bulan Ramadhan dibuka pintu-pintu syurga, dikunci semua pintu neraka, dibelenggu semua syaitan. Di malamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barangsiapa yang tidak memperolehi kebajikan pada malam itu berertilah diharamkan baginya segala kebaikan untuk dirinya.Rasulullah s.a.w. juga mengucapkan kepada para Sahabat ucapan yang bermaksud: Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan Penghulu segala bulan , maka selamat datanglah kamu kepadaNya. Maka telah datang bulan puasa membawa segala macam keberkatan. Oleh yang demikian muliakan tetamu yang datang itu dengan seberapa baik.

Daripada hadis-hadis di atas dapatlah kita membuat kesimpulan:-

Bahawasanya bulan Ramadhan adalah bulan istimewa bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat dari Allah s.w.t. Sewajarnyalah setiap muslim mengambil kesempatan daripada ketibaan bulan Ramadhan Al Mubarak ini dengan memperbanyakkan amal-amal soleh samada disiang hari atau dimalamnya. Bulan Ramadhan adalah bulan pendidikan dan latihan maka setiap orang yang menerima kedatangan bulan Ramadhan ini hendaklah membuat persiapan yang sekucupnya samada dari segi jiwa, fizikal dan spiritual.

Anggaplah Ramadhan sebagai bulan saringan pelepasan ke padang Masyar!