Tuesday, July 29, 2008

Kemurnian Hati Dorong Amalan Mulia

Niat baik daripada keikhlasan jiwa cerminkan kualiti ibadat, perbuatan insan

APABILA berbicara soal hati, Rasulullah SAW memaklumkan bahawa dalam diri manusia ada segumpal daging, yang jika baik daging itu maka baik pula manusia itu. Sebaliknya jika daging itu buruk dan busuk, maka kualiti orang itu sudah tentulah tersangat rendah dan itulah hati.


Rasulullah SAW juga mengajarkan kepada kita bahawa setiap amalan bergantung kepada niatnya. Jika niatnya buruk, maka buruk pula amalannya. Dan jika niatnya baik, maka baik pula amalannya. Walaupun niatnya buruk dan amalannya nampak baik, hasilnya tetap tidak dipandang Allah .

Contohnya, kita bersedekah kepada seorang miskin. Kelihatannya itu adalah perbuatan mulia, tetapi jika niat kita untuk menyombongkan diri kepada orang lain bukan kerana belas kasihan kepada si miskin, maka perbuatan itu sebenarnya tidak mulia lagi.

Kedua-dua perkara ini sebetulnya mengajarkan hal yang sama, bahawa kualiti keagamaan kita sebagai Muslim boleh dilihat daripada hati yang dimiliki setiap individu.

Hati adalah ‘cermin’ kepada segala perbuatan kita. Setiap kita melakukan perbuatan, maka hati kita akan mencerminkan niat yang sebenarnya dari perbuatan itu. Jadi, hati lebih menggambarkan perbuatan kita sedangkan amalan, lebih sulit untuk dinilai kualitinya.

Oleh sebab itu, Islam lebih condong menggarap hati daripada perbuatan. Jika hatinya sudah baik, maka perbuatannya pasti baik. Sebaliknya perbuatannya kelihatan baik, belum tentu hatinya baik.

Seluruh amal ibadat yang diajarkan Rasulullah SAW sebenarnya dimaksudkan untuk menggarap hati kita agar menjadi baik. Seperti puasa, tujuannya untuk mendapatkan kemampuan mengendalikan diri atau disebut takwa dalam terminologi Islam.

Takwa adalah contoh kualiti hati. Orang yang bertakwa memiliki keteguhan hati untuk selalu berbuat baik dan menjauhi yang buruk. Orang yang bertakwa juga akan bersedekah ketika tiada mata yang melihat dan berbuat baik ketika semua orang menjadi jahat.

Demikian juga solat. Tujuan utama solat adalah membuka kepekaan hati. Orang yang solatnya baik, memiliki kepekaan hati untuk membezakan yang baik, buruk, bermanfaat dan yang membawa mudarat. Sebab itulah solat yang baik boleh menyebabkan kita jauh dari hal yang keji dan mungkar.

Tujuan utama zakat adalah melatih hati kita untuk peduli kepada orang yang lemah dan tidak berdaya. Hidup harus saling menolong, supaya tidak terjadi kezaliman yang menyebabkan kejahatan. Malah, kebiasaan menolong orang lain dengan zakat akan menyebabkan hati kita menjadi lembut dan penyantun.

Seluruh aktiviti ibadah termasuk mengerjakan umrah bertujuan melembutkan hati. Apa perlunya hati yang lembut? Kerana hati yang lembut itulah yang akan menyelamatkan kita ketika hidup di akhirat nanti.

Hati yang lembut adalah hati yang terbuka dan peka terhadap sekitarnya. Sedangkan hati yang kasar dan keras adalah hati yang tertutup terhadap sekitarnya seperti firman Allah dalam ayat yang bermaksud:

“Dan barangsiapa di dunia ini buta hatinya, maka di akbirat nanti juga akan buta, dan lebih sesat lagi jalannya.” (Surah al Israa, ayat 72)

Ayat itu memberi gambaran yang sangat jelas bahawa hati menjadi sasaran utama peribadatan kita dan al Quran memberikan maklumat yang sangat banyak mengenai hati sehingga tidak kurang dari 188 kali informasi mengenai hati diulang-ulang.

Ada beberapa tingkat kualiti hati yang buruk dalam Islam iaitu yang:

Pertama adalah hati yang berpenyakit. Orang yang di hatinya ada rasa iri dan hasad dengki, benci, dendam, pembohong, kasar, pemarah dan sebagainya, dikatakan memiliki hati yang berpenyakit.

Firman Allah bermaksud:

“Di dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya, dan bagi mereka seksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta” (Surah al Baqarah, ayat 10)

Kedua ialah hati yang mengeras. Hati yang pada peringkat awalnya berpenyakit, jika tidak segera diubati akan menjadi mengeras. Mereka yang terbiasa melakukan kejahatan, pendendam, berdusta dan suka memaki hamun, hatinya tidak lagi peka terhadap keburukan perbuatannya kerana sering diulang-ulang dan menjadi biasa. Mereka menganggap bahawa apa yang mereka kerjakan adalah benar malahan normal.

Firman Allah yang bermaksud:

“Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada Allah ) dengan tunduk merendahkan diri ketika datang seksaan Kami kepada mereka, bahkan hati mereka telah menjadi keras dan syaitan pun menampakkan kepada mereka kebagusan apa yang selalu mereka kerjakan”. ( Surah al An’aam, ayat 43)

Tingkat ketiga adalah hati yang membatu. Hati yang keras kalau tidak segera disedarkan akan meningkatkan keburukannya. Al Quran menyebutnya sebagai hati yang membatu semakin mengeras daripada sebelumnya.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Kemudian setelah itu hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi.Padahal di antara batu-batu itu sungguh ada yang mengalir sungai daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang terbelah lalu keluarlah mata air daripadanya dan di antaranya sungguh ada yang meluncur jatuh, kerana takut kepada Allah . Dan Allah sekali-kali tidak lengah dari apa yang kamu kerjakan.” (Surah l Baqarah, ayat 74)
Sesuatu yang telah mengeras menjadi batu sudah tentulah sukar untuk dilembutkan semula kerana sifat batu itu tidak akan lembut melainkan jika dihancurkan hanya menjadi kecil tetapi bukan lembut. Begitulah juga hati, sukarnya melembut hati samalah seperti tidak mungkin melembutkan batu menjadi kapas.

Tingkat keempat pula adalah hati yang tertutup iaitu apabila hati tidak boleh lagi menerima getaran petunjuk. Allah mengatakan hal itu di dalam firman yang bermaksud:

“Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutup hati mereka.” (Surah al-Muthaffifin, ayat 14)

Terakhir ialah hati yang dikunci mati, iaitu hati yang tidak boleh langsung berfungsi. Hal ini diungkapkan Allah dalam firman yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang kafir itu, sama saja bagi mereka, kamu beri peringatan atau tidak kamu beri peringatan, mereka tidak akan beriman. Allah telah mengunci mati hati dan pendengaran mereka, dan pembabitan mereka ditutup. Dan bagi mereka seksa yang amat berat.” (Surah al Baqarah, ayat 6-7)

Sebaliknya hati yang baik adalah hati yang bergetar apabila disebutkan nama Allah , seperti firman-Nya yang bermaksud:

“Iaitu orang yang apabila disebut nama Allah bergetarlah hati mereka, orang yang sabar terhadap apa yang menimpa mereka, orang yang mendirikan sembahyang dan orang yang menafkahkan sebahagian dari apa yang telah Kami rezekikan kepada mereka.” (Surah al-Hajj, ayat 35)

Sesungguhnya betapa seketul hati yang kecil itu tinggi nilainya berbanding daging yang lain. Jika seisi tubuh badan ini kenyal dengan daging yang merah berdarah, tetapi hati yang kecil itu lompang dek penyakit, kaku kerana mengeras, kelu dan membatu, tiada getaran lagi kerana tertutup rapat dan tidak fungsi kerana sudah mati, tiada apa lagi yang berbaki melainkan hari yang tiada isi, berbuat baik jauh sekali, ibadat berkira apatah lagi menggerak badani, akhirnya akal juga mati kerana tiada manusia yang bahagia tanpa hati yang murni.