Friday, May 29, 2009

Kisah Muhammad bin Wasi'

Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni yang terkenal dengan bukunya yang bertajuk 'La Tahzan' telah menukilkan satu kisah tauladan yang cukup menggugat jiwa iaitu kisah Muhammad bin Wasi'. Muhammad bin Wasi' terkenal sebagai seorang yang zuhud pada zamannya. Suatu hari dia berada di dalam barisan tentera yang dipimpin oleh Qutaibah bin Muslim untuk meninggikan kalimah Allah di bahagian timur negara Islam pada waktu itu.

Suatu hari Qutaibah ingin menguji Muhammad bin Wasi' di hadapan para panglima dan menterinya. Maka, Qutaibah berkata kepada menteri dan panglima-panglimanya, 'Di tanganku ada segenggam emas yang diperolehi hasil ghanimah[rampasan perang] daripada musuh-musuh Islam.Adakah kalian semua percaya bahawa kalau aku menyerahkan emas ini kepada seseorang maka dia akan menolaknya?' Mereka menjawab:'Kami sama sekali tidak percaya kalau ada orang yang akan menolak pemberian emas ini.' Qutaibah berkata ;'Baiklah, aku akan tunjukkan seseorang daripada umat Nabi Muhammad saw yang menyamakan emas ini dengan tanah kepada kalian semua.'

Maka dia pun memerintahkan pengawalnya supaya memanggil Muhammad bin Wasi' untuk menghadapnya. Maka, tatkala Muhammad menghadap Qutaibah, lalu diberikannya segenggam emas di dalam tangan Qutaibah. Maka Muhammad bin Wasi' terus mengambil emas tersebut tanpa sepatah kata. Qutaibah tercengang. Sangkaannya Muhammad akan menolak pemberiannya. Wajahnya berubah menahan malu di hadapan menteri dan panglimanya. Qutaibah memerintahkan pengawal-pengawalnya supaya mengekori langkah Muhammad bin Wasi' selepas beliau keluar dari majlis itu.

Muhammad bin Wasi' membawa emas tersebut dan dalam perjalanannya beliau berjumpa dengan seorang fakir miskin, dan Muhammad memberikan semua emas tadi kepada fakir miskin tersebut. Berita ini dilaporkan oleh pengawal-pengawal yang mengintip pergerakan Muhammad bin Wasi' kepada Qutaibah. Lalu Qutaibah tersenyum dan berkata kepada orang-orang di sekelilingnya; 'Bukankah sudah aku katakan kepada kalian bahawa masih ada lagi hamba Allah daripada umat ini yang menyamakan emas dengan tanah?'

Begitulah contoh seorang insan yang hatinya langsung tidak terpaut kepada dunia. Emas yang tinggi nilainya, tidak langsung memesongkan hatinya daripada mengingati Allah dengan menyalurkan kepada orang-orang yang lebih memerlukan. Hidupnya sederhana dan mulutnya sentiasa basah dengan kalimah dan beristighfar [memohon ampun] dan bertasbih kepada Allah. Ternyata Muhammad bin Wasi' adalah contoh insan yang meletakkan dunia di atas tangannya. Dunia dan habuan di dalamnya digunakan untuk jalan-jalan kebajikan dan jihad di jalan Allah.

Nabi saw telah bersabda,'Jadilah kamu seolah-olah orang yang asing atau seorang musafir di dunia ini.' [Riwayat Bukhari dan Ahmad] Kita mungkin akan dilihat pelik atau dianggap asing kerana mengamalkan ajaran yang diajar oleh baginda Rasulullah saw. Meninggalkan dunia yang sedikit dan menumpukan perhatian kepada akhirat akan menyebabkan kita kelihatan janggal,pelik dan asing di mata manusia lain yang sibuk mengejar habuan dunia. Kita mungkin dianggap bodoh kerana menolak kemewahan dan keseronokan dunia, sebaliknya ketahuilah, bahawa kita adalah manusia yang paling cerdik di kalangan umat ini.

AMALAN YANG TIDAK PUTUS PAHALANYA

Sabda Nabi Muhammad s.a.w. : Amal manusia yang tidak pernah putusnya mendapat pahala disisi Allah, Ada tiga perkara:

AMAL-JARIAH:

Amal Jariah ertinya pekerjaan yang baik umpamanya dia menyumbangkan tenaga atau harta atau fikiran kepada masyarakat untuk pembaikan atau pembiayaan untuk masjid, musolla, madrasah, rumah sakit dan sebagainya maka selagi masjid masih digunakan beribadat, musolla dan madrasah dipakai orang, maka selama itu pula orang tadi mendapat pahala di sisi Tuhan.

Tapi kebanyakan orang berfaham amal jariah itu hanya untuk agama sahaja padahal untuk umum pun termasuk amal jariah juga. Misalnya : Sebuah Jalan atau jambatan yang umum diguna kerosakan, kemudian secara bergotong-royong masyarakat setempat beramai-ramai memperbaiki itupun termasuk amal jariah.

Org awam berpendapat yang dikatakan amal soleh adalah cuma solat dan puasa saja padahal bukan yang demikian. Yang dimaksudkan dengan kata "amal soleh" adalah perbuatan yang baik, baik dalam pandangan mata umum dan juga pandangan agama. Maka tandanya orang beriman, ialah yang suka melakukan amal kebajikan.

ANAK YANG SOLEH (ANAK YG BAIK)

Sudah jelas jika orang ingin mempunyai anak yang soleh, tidak mudah diperolehi begitu saja. Maka yang pertama wajib atas org tua mengajar anak dengan pendidikan agama. Selain menghantar anaknya ke sekolah umum dan sekolah agama, orang tua juga harus memberi contoh yang baik kepada anaknya dengan melaksanakan perintah agama. InsyaAllah anak itu akan mencontohi orang tuanya.

ILMU YANG DIAJARKAN KPADA ORANG LAIN

Adapun yang dimaksudkan dengan ilmu adalah bukan ilmu agama sahaja. Ilmu itu adalah umum, ilmu ertinya adalah "Pengetahuan". Sebagaimana Sabda Rasulullah s.a.w. : 'Sempurnanya agama dengan ilmu, sempurnanya dunia juga dengan ilmu."

Jadi tegaslah ilmu apa saja yg telah diajarkan kepada orang lain dan orang lain itu mendapat manfaat dari ilmu tersebut, maka org pertama yang mengajarkannya jika dia seorang muslim dia mendapat pahala yg tidak habis disisi Allah s.a.w.

Misalnya org pandai membetulkan radio rosak kemudian kepandaiannya diajarkan pada orang lain, lalu orang itu mendapat manfaat daripadanya yang disunatkan untuk mencari nafkah, maka orang yang mengajarkannya mendapat pahala "jariyah" dari sisi Allah s.w.t.