Monday, April 20, 2009

Empat Isteriku

Suatu ketika, ada seorang pedagang kaya yang mempunyai empat orang isteri. Dia mencintai isteri yang keempat dan memberikan harta dan kesenangan yang banyak. Sebab, isteri keempat adalah yang tercantik di antara kesemua isterinya. Maka, tidak hairan lelaki ini sering memberikan yang terbaik untuk isteri keempatnya itu.

Pedagang itu juga mencintai isterinya yang ketiga. Dia sangat bangga dengan isterinya ini, dan sering berusaha untuk memperkenalkan isteri ketiganya ini kepada semua temannya. Namun dia juga selalu bimbang kalau-kalau isterinya ini akan lari dengan lelaki yang lain.

Begitu juga dengan isterinya yang kedua. Dia juga sangat menyukainya. Dia adalah seorang isteri yang sabar dan penuh pengertian. Bila-bila masa pun apabila pedagang ini mendapat masalah, dia selalu meminta pandangan isterinya yang kedua ini. Dialah tempat bergantung. Dia selalu menolong dan mendampingi suaminya melalui masa-masa yang sulit.

Sama halnya dengan isterinya yang pertama. Dia adalah pasangan yang sangat setia. Dia sering membawa kebaikan bagi kehidupan keluarga ini. Dialah yang merawat dan mengatur semua kekayaan dan usaha si suami. Akan tetapi si pedagang tidak begitu mencintainya. Walaupun isteri pertamanya ini begitu sayang kepadanya namun, pedagang ini tidak begitu memperdulikannya.

Suatu ketika, si pedagang sakit. Kemudian dia menyedari mungkin masa untuknya hidup tinggal tidak lama lagi. Dia mula merenungi semua kehidupan indahnya, dan berkata dalam hati, "Saat ini, aku punya empat orang isteri. Namun, apabila aku meninggal, aku akan sendiri. Betapa menyedihkan jika aku harus hidup sendiri."

Lalu dia meminta semua isterinya datang dan kemudian mulai bertanya pada isteri keempatnya, "Kaulah yang paling kucintai, kuberikan kau gaun dan perhiasan yang indah. Nah sekarang, aku akan mati, mahukah kau mendampingiku dan menemaniku?" Isteri keempatnya terdiam. "Tentu ! saja tidak!" jawab isterinya yang keempat, dan pergi begitu sahaja tanpa berkata-kata lagi.

Jawapan itu sangat menyakitkan hati seakan-akan ada pisau yang terhunus dan menghiris-hiris hatinya. Pedagang yang sedih itu lalu bertanya kepada isteri ketiganya, "Aku pun mencintaimu sepenuh hati, dan saat ini, hidupku akan berakhir. Mahukah kau ikut denganku, dan menemani akhir hayatku?". Isteri ketiganya menjawab, "Hidup begitu indah di sini. Aku akan menikah lagi jika kau mati". Pedagang begitu terpukul dengan jawapan isteri ketiganya itu.

Lalu, dia bertanya kepada isteri keduanya, "Aku selalu berpaling padamu setiap kali mendapat masalah. Dan kau selalu mahu membantuku. Kini, aku perlu sekali pertolonganmu. Kalau aku mati, mahukah kau ikut dan mendampingiku?" Si isteri kedua menjawab perlahan, "Maafkan aku...aku tak mampu menolongmu kali ini. Aku hanya boleh menghantarmu ke liang kubur saja. Nanti, akan kubuatkan makam yang indah buatmu." Jawapan itu seperti kilat yang menyambar.

Si pedagang kini berasa putus asa. Tiba-tiba terdengar satu suara, "Aku akan tinggal denganmu. Aku akan ikut ke manapun kau pergi. Aku, tak akan meninggalkanmu, aku akan setia bersamamu." Si pedagang lalu menoleh ke arah suara itu dan mendapati isteri pertamanya yang berkata begitu.

Isteri pertamanya tampak begitu kurus. Badannya seperti orang yang kelaparan. Berasa menyesal, si pedagang lalu berguman, "Kalau saja aku mampu melayanmu lebih baik pada saat aku mampu, tak akan kubiarkan kau seperti ini isteriku.

" Teman, sesungguhnya kita punya empat orang isteri dalam hidup ini;

ISTERI KEEMPAT adalah tubuh kita. Seberapa banyak waktu dan belanja yang kita keluarkan untuk tubuh kita supaya tampak indah dan gagah, semuanya akan hilang. Ia akan pergi segera apabila kita meninggal. Tak ada keindahan dan kegagahan yang tersisa saat kita menghadapNYA.

ISTERI KETIGA adalah status sosial dan kekayaan kita. Saat kita meninggal, semuanya akan pergi kepada yang lain. Mereka akan berpindah dan melupakan kita yang pernah memilikinya.

ISTERI KEDUA pula adalah kerabat dan teman-teman. Seberapa pun dekat hubungan kita dengan mereka, mereka tak akan mampu bersama kita selamanya. Hanya sampai kuburla mereka akan menemani kita.

DAN SESUNGGUHNYA ISTERI PERTAMA adalah jiwa dan amal kita. Mungkin kita sering mengabaikan dan melupakannya demi kekayaan dan kesenangan peribadi. Namun, sebenarnya, hanya jiwa dan amal kita sajalah yang mampu untuk terus setia dan mendampingi kemanapun kita melangkah. Hanya amal yang mampu menolong kita di akhirat kelak. Jadi, selagi mampu, perlakukanlah jiwa dan amal kita dengan bijak.

Jangan sampai kita menyesal kemudian hari!...

Peringatan Buat Para Pemimpin

Menjadi pemimpin bukan mudah. Tapi zaman sekarang semua orang kemaruk untuk jadi pemimpin. Hayatilah kisah ini untuk menilai layakkah kita untuk meminta-minta jawatan pemimpin.

Dari hal keadilan, ketakwaan dan kemuliaan budi baginda Umar bin Abdul Aziz, tidaklah perlu lagi diterangkan panjang lebar. Kisahnya panjang lebar telah dikarang oleh ulama-ulama.

Sesungguhpun dia telah mencapai kedudukan yang semulia itu, belumlah dia kenyang dari petunjuk ulama dan pimpinan seorang yang arif.

Pada suatu hari berkirim suratlah baginda kepada ulama Tabi’in yang masyhur, Hasan Basri, bertanya kepada beliau dari hal sifat-sifat Imam (raja) yang adil. Maka telah menjawab Hasan Basri demikian bunyinya:

“Ketahuilah hai Amirul Mukminin, bahawasanya Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah menjadikan raja yang adil laksana tongkat tua yang teguh condong yang akan menauri, lemah yang akan membila. Dia menjadi tujuan dari segala orang yang ragu, memperbaiki segala yang rosak, menguatkan segala yang lemah, tempat mengadu bagi tiap-tiap yang teraniaya, tempat kembali dari tiap-tiap yang sengsara.”

“Imam yang adil ya Amirul Mukminin, ialah laksana seorang pengembala yang hati rahim kepada binatang pengembalaannya; dibawanya ke padang yang berumput subur, dijaganya jangan jatuh ke lurah yang curam, dijaganya dan dipeliharanya jangan ditangkap binatang buas, dipeliharanya jangan ditimpa dahaga dan kepanasan.”

“Imam yang adil ya Amirul Mukminin, laksana seorang ayah yang cinta akan anak-anaknya, diasuhnya semasa anak itu kecil, diajarnya setelah anak itu besar, dituntunnya di dalam mencari penghidupan, dikumpulkannya harta bersusah payah, untuk anaknya itu jika si ayah mati.”

“Imam yang adil ya Amirul Mukminin, laksana seorang ibu yang pengasih, dikandungnya anaknya dalam perutnya dengan susah payah, diasuhnya setelah anak itu lahir. Tidak tidur matanya malam, jika anaknya bangun, dia termenung jika dilihatnya anaknya duka, disusukannya; puas disusukan digendungnya. Mukanya berseri-seri jika si anak sihat, mukanya muram jika si anak sakit.”

“Imam yang adil ya Amirul Mukminin, ialah laksana seorang yang berdiri di antara Allah dengan hamba-Nya, didengarnya Maha Tuhan dengan tenang, setelah itu diterangkannya bagaimana wajah-Nya kepada mereka. Dibimbingnya tangan umat supaya sama-sama ke hadrat Rabbi, memohonkan kurnia-Nya.”

“Oleh sebab itu ya Amirul Mukminin, janganlah paduka sebagai budak yang dipercayakan oleh penghulunya kepadanya menyimpan hartanya dan memelihara kaum kerabatnya, lantas budak itu khianat akan amanat, dimusnahkannya harta benda itu dan disia-siakannya petaruh.”

“Kemudian itu ingatlah ya Amirul Mukminin akan maut dan apa yang akan kejadian sesudah mati. Ingatlah bahwa persedian paduka agaknya sedikit, orang yang akan menolong paduka tidak ada. Bersiaplah untuk menghadapi mati, dan untuk menghadapi zaman sesudah mati.”

“Ketahuilah pula ya Amirul Mukminin, bahawa paduka akan tinggal dalam sebuah rumah yang tidak serupa dengan rumah yang paduka diami sekarang. Lama sekali paduka akan mengeluh di sana, dan tidaklah seorang juga yang akan menemuinya, hanya tinggal seorang diri dalam kesunyian."

"Oleh sebab itu berkemaslah dari sekarang dan bersiaplah. Kerana perkemasan dan persiapan yang disediakan lebih dahulu, itulah hanya yang akan menolong di sana kelak, iaitu pada waktu lari padanya manusia daripada saudaranya dan ibunya daripada ayahnya dan isterinya, daripada anaknya sekalipun.”

“Ingatlah ya Amirul Mukminin, ingatlah dengan hati-hati, akan suatu masa kelak yang akan dibongkar segala isi kubur, akan dikupas segala isi dada, segala rahsia pada hari itu akan terbuka. Semuanya tertulis dalam kitab, baik besar mahupun kecil semuanya dihitung.”

“Maka sekarang ya Amirul Mukminin, ingatlah dengan saksama, sebelum ajal sampai janji mendatang, sebelum hukum putus angan berhenti:

Jangan paduka menghukum atas hamba Allah dengan kebodohan, jangan paduka bawa mereka ke jalan aniaya, jangan diangkat orang-orang yang takbur menjadi pegawai, memerintah orang yang lemah. Sebab mereka menjatuhkan perintah dengan sesuka hati dan semahu-mahunya saja. Kelak padukalah yang akan menanggungjawab atas dosa mereka, dan yang bertali dengan itu, dikumpulkan dengan dosa paduka sendiri.

Janganlah paduka terpedaya oleh tipuan orang-orang yang menelah nikmat kesusahan paduka. Mereka makan segala yang enak-enak di dunia, supaya paduka menelan segala kesusahan di akhirat.

Jangan paduka berbesar hati lantaran mempunyai kekuatan pada diri ini, tetapi fikirkanlah kekuatan untuk dari jiwa yang akan dicabut, pada waktu mana seluruh badan paduka diikat oleh rantai kematian, atau berdiri di hadapan Allah, dikelilingi oleh sekalian Malaikat. Nabi-nabi dan Rasul-rasul. Pada waktu mana seluruh wajah makhluk, menghadap kepada Yang Hidup dan Yang Kekal!”

“Adapun patik sendiri ya Amiru Mukminin, meskipun nasihat patik ini tidak sebagus nasihat-nasihat orang-orang yang lebih muda daripada patik pada zaman dahulu, namun patik amat cinta kepada tuanku dan amat ikhlas. Oleh sebab itu pandanglah isi surat patik ini, laksana ubat yang diberikan oleh seorang kecintaan kepada kecintaannya yang sakit. Meskipun agaknya pahit, moga-moga di dalam kepahitan itu ada tersimpan kesihatan dan afiat.”

Dipetik dari Lembaga Hikmat, karya Hamka

Wudhuk Pembersih Zahir Batin

SEMUA orang hendak cantik. Demi cantik, sekarang orang sanggup bargadai, asalkan cantik. Tidak cukup dengan bedak dan mekap, sanggup mereka mengubah muka dengan pembedahan plastik, asalkan cantik.Kadang-kadang walaupun terseksa mereka tidak peduli, kerana yang penting bagi mereka ialah cantik. Muka kena menawan biar orang memandang, berpaling dan menjeling, yang penting cantik.

Apabila hendak cantik, tentu bahagian mukalah menjadi sasarannya, dengan hidung ditinggikan, mulut ditebalkan, tulang rahang dinaikkan, mata dibuat alis, dilentik malah apa saja sanggup diubah selagi dapat diubah, kerana yang penting cantik. Kadangkala kesian juga pada mereka yang hendak cantik tetapi tidak juga cantik-cantik. Selepas dicantikkan muka kemudian menjadi tidak cantik juga.

Kenapa? Sebabnya ialah kerana kecantikan bukan sahaja pada muka dan penampilan serta aspek luaran tetapi juga kecantikan dalaman (inner beauty). Kecantikan dalaman sangat jarang diberi keutamaan seperti muka yang tenang bercahaya berpaksi dari hati. Bercahaya bukan sahaja di dunia tetapi berpanjangan dan berkekalan hingga ke akhirat. Antara tip muka bercahaya yang membekas kepada kehidupan ialah kesan wuduk.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Sesungguhnya umatku kelak akan dipanggil di hari kiamat dalam keadaan putih cemerlang kerana kesan daripada air wuduk."

Ini satu jaminan kecantikan yang abadi. 'Inner beauty' yang penulis maksudkan ialah kecantikan hati yang membawa lahirnya peribadi cemerlang seperti nilai integriti seperti ikhlas, jujur, amanah dan sebagainya bermula daripada wuduk. Air wuduk bukan sahaja membersihkan anggota fizikal tetapi membersihkan kotoran batin seperti dosa dan maksiat yang dilakukan.

Jangan pandang kecil pada yang bernama pengampunan Allah sebab itulah pintu segala kebaikan dan kebajikan. Cuba lihat ibadat wuduk mendidik bersih hati dan nilai integriti. Wuduk biasanya dilakukan secara sendirian, tidak ada orang melihat seperti juga puasa orang tidak tahu. Boleh saja kalau yang berwuduk itu hendak menipu seperti tidak basuh kaki atau basuh tidak sempurna kerana orang tidak tahu. Kerana itulah wuduk hanya dilakukan orang yang ikhlas sahaja.

Orang ikhlaslah yang berseri wajahnya. Mereka yang tidak pernah menghiasi muka dengan mekap wuduk sudah tentu tidak terlatih dengan keikhlasan. Sebenarnya boleh sahaja kalau seseorang itu melakukan solat tanpa wuduk tetapi keikhlasan sahaja yang membuatkan mereka tidak akan menipu. Orang yang jujur akan terpancar pada wajahnaya cahaya keikhlasan. Seseorang yang sentiasa berwuduk sentiasa bersama malaikat.

Malaikat sebagaimana yang kita ketahui bersih dan tidak akan berada di tempat kotor. Apabila bersama malaikat bukan sahaja ia akan mendoakan orang yang berwuduk malah sentiasa mendorong dan membisikkan kebaikan. Lagi banyak bisikan kebaikan, lagi terdorong melakukan kebaikan. Bukankah kebaikan itu bermula dengan dorongan.

Sebab itulah orang berwuduk terpancar kebersihan dan cahaya dari wajahnya. Selepas kebersihan wajah dengan wuduk, kemudian muka pula berhias dalam batas syarak akan terserlah kecantikan. Kalau harap cantik dengan mekap dan krim pencantik tetapi muka jauh daripada wuduk, itu hanya lakonan dan sandiwara itu yang menyebabkan rumah tangga tidak kekal, tidak ada kesetiaan dan integriti.