Tuesday, May 19, 2009

Kelebihan Surah Al-Ikhlas

- Dari Imam Bukhari, diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri; seseorang mendengar bacaan surah al-Ikhlas berulang-ulang di masjid. Pada keesokan paginya dia datang kepada Rasulullah s.a.w. dan sampaikan perkara itu kepadanya kerana dia menyangka bacaan itu tidak lengkap. Rasulullah s.a.w berkata, “Demi tangan yang memegang nyawaku, surah itu seperti sepertiga al Quran!”

- Dari Al-Muwatta', diriwayatkan oleh Abu Hurairah; Saya sedang berjalan dengan Rasulullah s.a.w, lalu baginda mendengar seseorang membaca surah al-Ikhlas. Baginda berkata, “Wajiblah.” Saya bertanya kepadanya, “Apa ya RasulaLlah?” Baginda menjawab, “Syurga” (Wajiblah syurga bagi si pembaca itu).

- Sabda-Sabda Rasulullah SAW, “Barangsiapa yang membaca surah Al-Ikhlas, maka seakan-akan dia telah membaca satu pertiga Al-Qur'an” (Hadith Riwayat Ahmad dan An Nasai).

- Dari Abu Hurairah r.a. - Rasulullah SAW bersabda : "Barangsiapa membaca 'Qulhuallah (sehingga akhir ayat), maka seolah-olah dia telah membaca sepertiga Al-Qur'an". “Barangsiapa yang membaca surah Al-Ikhlas tiga kali, maka seakan-akan dia telah membaca Al-quran seluruhnya”. (Hadith Riwayat Al’ugaili dan Rajaa Al Ghanawy) “Barangsiapa yang membaca surah Al-Ikhlas sebelas kali, Allah SWT membangunkan rumah untuknya di syurga.." (Hadith Riwayat Ahmad dan Muadz bin Aras).

- Dari Ubay Ibn Ka'ab - Rasulullah SAW bersabda : "Barangsiapa membaca Surah Al-Ikhlas satu kali, maka Allah SWT menganugerahkan kepadanya pahala seorang yang beriman kepada Allah SWT, MalaikatNya, Kitab-KitabNya dan Rasul-RasulNya, dan Dia menganugerahkan kepadanya - dari - pahala seperti pahala syuhada" "Ketika aku (Rasulullah SAW) israk ke langit, maka aku telah melihat Arasy di atas 360,000 sendi dan jarak jauh antara satu sendi ke satu sendi ialah 300,000 tahun perjalanan. Pada tiap-tiap sendi itu terdapat padang Sahara sebanyak 12,000 dan luasnya setiap satu padang Sahara itu seluas dari timur ke barat (masyrik ke maghrib) Pada setiap padang Sahara itu terdapat 80,000 malaikat yang mana kesemuanya membaca surah Al-Ikhlas. Setelah mereka selesai membaca surah tersebut, maka berkata mereka "Wahai Tuhan kami, sesungguhnya pahala dari bacaan kami ini, kami berikan kepada orang yang membaca Surah Al-Ikhlas baik ianya lelaki mahupun perempuan" (Riwayat Ibnu Abbas) "Demi Allah yang jiwaku di tanganNya, sesungguhnya 'Qul Huwallahu Ahad" itu tertulis di sayap malaikan Jibrail A.S., 'Allahus Somad' itu tertulis di sayap Mikail A.S., 'Lam Yalid Walam Yuulad' tertulis pada sayap Malaikat Izrail A.S. 'Walam Yakullahu Kufwan Ahad' tertulis pada sayap Israfil a.s."

Nasib Pencacai Ashabul Ukhdud

“Bawa budak itu ke puncak gunung. Tiba di sana, kamu ugut dia. Jika dia mengalah dan meninggalkan kepercayaannya, maka biarkan dia. Tetapi andai dia berdegil, campakkan sahaja budak itu dari puncak gunung ke bawah!” kata raja yang zalim itu kepada orang-orangnya.

Di puncak gunung, keadaan menjadi sangat genting. Orang-orang suruhan raja yang zalim itu sudah bersedia untuk melaksanakan arahan.“Ya Allah, percukupkan aku daripada kejahatan mereka dengan apa-apa sahaja cara yang Engkau kehendaki!” doa si anak muda itu.

Gunung bergegar.

Lantai bumi bergoncang.

Seluruh orang suruhan raja yang zalim itu jatuh dari puncak yang tinggi itu. Mati terbunuh dengan cara kerja Allah yang tidak mereka jangkakan.

Budak muda yang beriman itu ada peluang untuk melarikan diri. Dia sendirian di puncak gunung, menyaksikan kejadian yang dahsyat itu. Tetapi perjuangannya belum selesai. Dia pulang ke istana, mencabar raja yang zalim itu. Ada seribu satu hikmah daripada pilihan budak muda itu.

Setibanya dia di istana, raja amat terkejut.

“Apa yang orang-orang kamu sudah buat!” herdik raja kepada budak itu.

Orang kamu? Orang aku?

Ada kekeliruan di situ!

PENGAJARAN

Cerita di atas adalah petikan daripada kisah anak muda dan Ashab al-Ukhdud di kota Najran. Ia dikisahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala di dalam Surah al-Buruj, dan diperincikan oleh Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam di dalam sepotong hadith yang panjang di dalam Sahih Muslim.

Kisah itu penuh iktibar.

Tetapi salah satu kejutan besarnya ialah, tindak tanduk raja pemerintah yang zalim itu. Pelbagai pendedahan dilakukan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tentang isi perut dan benak hati raja yang zalim itu, agar kita meneladaninya sebagai petunjuk sepanjang zaman.

Lucu sekali, raja itu ramai orang suruhannya. Diarahkan mereka agar mengheret budak itu ke puncak gunung dan kemudiannya ke tengah lautan untuk menghapuskan kebenaran. Tetapi tatkala orang-orang suruhannya gagal melaksanakan misi itu, sikap raja terhadap orang-orangnya terus berubah.

Kata raja itu (seperti yang disebut di dalam hadith):“Apa yang orang-orang kamu telah buat?”

Tidakkah ganjil, raja itu menisbahkan orang-orang suruhannya yang gagal itu kepada budak yang dimusuhinya?

Demikianlah para Ulama’ menjelaskan, bahawa itu adalah sikap pemerintah yang zalim. Ketika dia mahu menggunakan orang-orangnya, pelbagai perkara dibuat untuk membina kesetiaan. Tetapi orang suruhan yang setia itu, tatkala khidmatnya sudah tidak diperlukan lagi, dibuang begitu sahaja tanpa sebarang erti.

Inilah pesanan Allah dan Rasul buat sekalian pencacai yang memperhambakan diri kepada manusia zalim dan kezalimannya, yang sanggup bermati-matian melaksanakan kerja-kerja kotor majikan yang menggajikannya dengan sekelumit habuan dunia, kalian hanyalah tebu-tebu yang habis madu sepah dibuang.

Andai masih ada ruang dirimu diselamatkan…

ABU SAIF @ www.saifulislam.com68000 AMPANG