Friday, July 11, 2008

Berfikirlah Untuk Akhirat

PADA hakikatnya kita sentiasa berfikir. Setiap hari sewaktu bekerja kita sentiasa berfikir mengenai pekerjaan kita. Kita berfikir mengenai cara meningkatkan prestasi kerja. Kita berfikir mengenai cara untuk mengatasi masalah yang di hadapi.

Selepas itu, kita berfikir pula mengenai cara mengekalkan prestasi yang baik. Akhirnya kita akan berfikir pula mengenai cara menghasilkan prestasi yang terbaik. Begitulah keadaan akal kita yang tidak pernah berhenti daripada berfikir.

Bagaimanapun, kita akan berfikir dengan lebih serius apabila berhadapan dengan masalah, misalnya ketika ditimpa musibah, ketika kesempitan wang, ketika sakit atau ketika kita hadapi kegagalan.

Kita berfikir untuk mencari jalan penyelesaian. Lebih berat masalah yang kita hadapi, lebih besar juga usaha berfikir yang dilakukan. Dalam banyak waktu kita habiskan untuk berfikir per nahkah ada dalam fikiran kita mengenai hubungan kita dengan Pencipta? Bagaimana prestasi iman kita? Bagaimana jalan hidup yang sudah dan sedang serta yang akan kita lalui, adakah mengikut kehendak kita atau kehendak Pencipta?

Pernahkah kita berfikir untuk ‘menyemak’ batin kita, adakah di dalamnya jernih laksana titisan embun atau lakaran hitam yang kelabu dan berdebu dengan dosa? Bagaimana solat kita, puasa kita, anak-anak kita, suami atau isteri kita, sudahkah jelas kefahaman hamba Allah ?

Sudahkah matlamat kita selari dengan kehendak Pencipta? Sudah layakkah kita memegang ‘gelaran’ khalifah Allah yang mempunyai tugas besar sebagai ejen perubahan dalam ma syarakat?

Banyak-banyak maaf saya mohon kerana banyak sangat soalan yang ditanya. Kata orang kalau banyak sangat tanya dikata banyak ’songel’.

Katalah pun nak kata tetapi soalan yang ditanya sebenarnya sangat penting dalam kehidupan malah itulah penentu kita ini supaya beza antara hidup dan hidup-hidupan.

Semua soalan yang dilontarkan sebenarnya saya hendak kongsi mengenai kepentingan berfikir. Dalam satu hadis daripada Ibnu Hibban Rasulullah s.a.w pernah bersabda, maksudnya: “Berfikir sesaat lebih baik daripada beribadat setahun.”

Nah, betapa mahalnya nilai berfikir dan kesan yang di peroleh jika betul cara berfikir kita, berbanding ibadat begitu saja.

Berfikir sebenarnya adalah proses menyimpan, mengingat, menganalisis dan menyimpulkan berbagai-bagai maklumat yang ada di dalam dan luar diri kita sehingga menjadi idea dan akhirnya mendorong kita untuk bertindak.

Fikiranlah yang akan mengarahkan ke mana kita akan pergi dan bagaimana kita akan buat kerana dalam fikiran itu, seluruh keputusan, perencanaan serta konsep hidup di tentukan.
Malah, dengan pemikiran jugalah yang menjadi penentu kedekatan kita dengan Allah .
Satu hadis Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud: “Ketahuilah wahai Anas sesungguhnya orang yang bodoh itu lebih banyak tertimpa musibah kerana kebodohannya daripada orang jahat yang berakal. Sesung guhnya amat mudahlah seorang hamba mendekati Tuhannya dengan akalnya.”

Kata Napolean Hill: “ If a man is right, his world will be right.”

Jadi, dalam kesibukan kita mencari dunia jangan lupa memberikan waktu untuk berfikir. Bahagikan masa kita kepada empat waktu iaitu:

1). Waktu untuk dia bermunajat (berzikir dan berdoa) kepada Allah .
2). Waktu untuk dia bermuhasabah mengenai dirinya.
3). Waktu untuk dia berfikir mengenai ciptaan-ciptaan Allah .
4). Waktu untuk dia menumpukan kepada keperluannya seperti mencari makanan dan minuman.

Doa Dari Hadis Sohih : Khusus Elak Di Rogol & Cabul

Terdapat beberapa pertanyaan tentang doa yang khusus bagi kaum wanita samada dewasa dan kanak-kanak untuk mengelakkan mereka dari terperangkap dalam situasi yang boleh membawa kepada rogol, pencabulan dan lebih dahsyat lagi deraan seks yang diakhiri dengan pembunuhan.

Maka di sini, selain doa dari hadis sohih pelindung setiap kali keluar rumah yang telah saya paparkan di artikel berkenaan Al-Marhumah Nurin Jazlin sebelum ini. Iaitu :-

رَسُولَ اللَّهِ يقول من قال بِسْمِ اللَّهِ الذي لَا يَضُرُّ مع اسْمِهِ شَيْءٌ في الأرض ولا في السَّمَاءِ


وهو السَّمِيعُ الْعَلِيمُ ثَلَاثَ مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُصْبِحَ وَمَنْ قَالَهَا حين يُصْبِحُ ثَلَاثُ


مَرَّاتٍ لم تُصِبْهُ فَجْأَةُ بَلَاءٍ حتى يُمْسِيَ


DALAM sebutan rumi : BISMILLAH ALLAZI LA YADURRU MA'ASMIHI SYAIUN FIL ARDI WA LA FIS SAMAIE , WAHUWAS SAMI'UL 'ALIM

Ertinya : Rasulullah s.a.w didengari berkata sesiapa yang berdoa : "Dengan nama Allah yang tiada dimudaratkan sesuatu apapun dengan namaNya samada di bumi dan di langit, dan Dialah maha mendengar dan maha mengetahui" sebanyak 3 kali, maka ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehinggalah subuh esoknya, dan barangsiapa membacanya ketika subuh 3 kali, ia tidak ditimpa kesusahan bala dan musibah sehingga petangnya" ( Riwayat Abu Daud, 4/323 ; At-Tirmidizi, 5/465 dan Ahmad ; Tirmizi : Hasan - Teks doa berwarna Merah Syeikh Syuaib ; Hasan)

Ingin saya utarakan satu lagi doa sohih yang dibaca oleh isteri Nabi Ibrahim a.s (iaitu Siti Sarah) yang menyebabkan para lelaki zalim termasuk rajanya melarikan diri, saya sertakan sekali sumber rujukannya dari hadis Nabi s.a.w.

اللّهُمَّ اِنْ كُنْتَ تَعْلَمُ اني آمَنْتُ بِكَ وَبِرَسُولِكَ وَأَحْصَنْتُ فرجي إِلاَّ على زوجي فَلاَ تُسَلِّطْ عَلَىَّ الْكَافِرَ

DALAM SEBUTAN RUMI : ALLAHUMMA IN KUNTA TA'LAMU INNI AAMANTU BIKA, WA BIRASULIKA WA AHSONTU FARJI ILLA 'ALA ZAWJI FALA TUSALLIT 'ALAYYA AL-KAFIR WA AZ-ZALIM

Ertinya : Ya Allah, jika engkau mengetahui bahawa aku beriman kepada Mu dan Rasul Mu, dan aku menjaga kehormatanku hanya untuk suamiku, maka lindungilah aku daripada dikuasai oleh orang-orang kafir dan zalim" ( Riwayat Al-Bukhari, no 2104, 2/722 ; Sunan Al-Baihaqi, 5/97; Musnad ahmad, 2/403 ; Fath Al-Bari, 6/393; Umdat Al-Qari, 12/30 ; Sohih )

Semoga ia dapat dihafaz dan di amalkan oleh semua wanita Muslimah, Cuma jangan lupa bahawa doa ini bersoifat tawassul dengan amal soleh anda, iaitu apabila diikat dengan imannya dengan Allah s.w.t dan RasulNya dan telah dijaga kehormatannya dan sudah tentu auratnya.

Justeru, seolah-olah kemaqbulan doa ini juga diikat tentang kewajiban untuk beriman dengan Allah dan rasulNya dan menutup aurat anda. Tanpanya, doa ini masih amat digalakkan untuk dilakukan, cuma jaminan seolah-olah lebih pasti bagi yang apa yang dikatanya (dalam doa ini) menepati apa yang sebenarnya penampilan fizikal anda.

Justeru, jika berbaju kebaya terbelah, baju sendat menampakkan susuk tubuh, berpakaian nipis seolah telanjang, bersolek canggih seperti artis bukan Islam..sudah tentu doa ini sahaja belum cukup mampu menjaga anda. Bukan kerana Allah s.w.t tidak mampu, tetapi Allah s.w.t tidak anggap wanita itu layak dek kerana kedegilannya sendiri.

Fikirkanlah.

Sekian
Zaharuddin Abd Rahman

Batalkah Solat Bersentuh Anak Bernajis?

Soalan
Assalamualaikum ustaz, Saya seorang ibu yang mempunyai anak-anak yang masih kecil. Saya pernah diberitahu bahwa solat akan terbatal sekiranya anak-anak yang membawa najis (memakai lampin) dan anak-anak yang belum berkhatan tersentuh pakaian kita semasa kita sedang sembahyang, apatah lagi jika tersentuh tubuh badan. Tetapi, saya pernah melihat ada orang yang terus solat apabila keadaan itu berlaku. Saya mohon penjelasan, adakah perselisihan pendapat dalam hal ini? Terima kasih.

- Ibu musykil -

Jawapan :

Menurut Mazhab Syafie bersentuhnya anak yang menanggung najis di dalam lampin atau belum bersunat dengan seseorang dewasa yang sedang solat adalah tidak membatalkan solat.

Keadaan yang seperti ini ada disebutkan oleh Imam An-Nawawi di dalam Rawdah at-Tolobin dengan katanya : " Sekiranya (seseorang yang sedang solat itu bersentuh dengan sesuatu yang suci (pada jasanya seperti kanak-kanak ) tetapi benda yang suci tadi bersentuh pula dengan najis atau menanggung najis maka TIDAK BATAL SOLATNYA" (Rujuk Rawdah at-Tolibin, hlm 123 cet : Dar Ibn Hazm).

Pada hemat saya ini adalah kerana :-
a. Bersentuh itu tidak secara langsung dengan najis yang di tanggunginya. Jika secara langsung batallah solat seseorang tapi tidak wudhunya. Jika tersentuh najis secara langsung, ia hanya perlu membasuh najis itu sehingga bersih, dan tiada wudhu baru diperlukan.

b. Bersentuh secara tidak langsung dengan budak yang menanggung najis seperti memegang tangannya atau ia menyentuh pakaian kita, adalah tiada membawa sebarang masalah kerana kanak-kanak itu bukannya najis bergerak dan tidak pula tubuhnya bertukar menjadi najis hingga tidak boleh disentuh sama sekali, ia hanya menanggung najis sahaja.

Bagaimanapun, solat boleh terbatal sekiranya kita menanggung kanak-kanak ini (ia disebut dalam mazhab Syafie sebagai : "Haamil limuttasil binajastin") sama ada dengan mendukungnya atau ia memanjat belakang kita semasa sujud atau ia duduk di atas riba semasa kita sedang duduk tasyahhud akhir. (Mughni Al-Muhtaj, 1/ 264 cet Dar al-Fikr )

Akan tetapi jika kita menanggung sesuatu najis lalu bertindak membuangnya dengan cepat, solat tidak dikira batal . Ia berdasarkan peristiwa para sahabat bersolat bersama Nabi SAW dan Nabi SAW bersolat dengan memakai selipar, lalu tiba-tiba mereka melihat Nabi SAW (semasa dalam solat) menanggalkan seliparnya, maka seluruh sahabat yang melihat keadaan ini turut menanggalkan selipar mereka (kerana menyangka ia adalah perbuatan yang mesti diikuti), maka apabila telah selesai solat nabi bertanya kepada para sahabat : " Apakah yang menyebabkan kamu menanggalkan selipar-selipar kamu ? : para sahabat menjawab : kerana kami melihat kamu melakukannya : nabi membalas : Telah datang kepadaku Malaikat Jibrail as lalu memberitahuku bahawa di seliparku terdapat kekotoran atau najis (maka aku tanggalkan kerana itu). (Riwayat Abu Daud , no 650 , hlm 92 : Shohih menurut Albani. cet : Bayt Afkar )

Dari hadith di atas jelas kepada kita jika dengan segara membuang penanggungan kita terhadap najis, maka solat tidak terbatal sebagaimana dengan sgeranya Rasulullah membuang seliparnya yang terdapat najis. Justeru, jika anak kecil yang menanggung najis duduk di atas riba kita dan dengan pantas kita mengelak, maka solat tidak batal. (Rujuk Al-Fiqh Al-Manhaji, bab perkara yang membatalkan solat)

Sekian

Ust Zaharuddin