Friday, July 18, 2008

Sifat Marah Cermin Jiwa Tidak Tenteram


Kita dituntut bersabar supaya dijauhi daripada ‘rasukan’ kemarahan

SIFAT marah yang datang daripada hati mempunyai kaitan dengan keimanan seseorang. Orang sabar dapat menahan kemarahan dalam saat genting dan sudah tentu mendapat ganjaran di sisi-Nya.

Daripada Abdullah bin Umar, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Tiada hamba yang meneguk air lalu mendapat ganjaran lebih besar di sisi Allah daripada hamba yang meneguk air menahan kemarahan kerana Allah .” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Bukankah orang gagah itu, orang kuat bertinju. Akan tetapi orang yang gagah adalah orang yang dapat mengawal diri ketika marah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Marah boleh merenggangkan hubungan kekeluargaan, begitu juga hubungan persahabatan dan kejiranan kerana perasaan marah menyebabkan kita susah melihat kebaikan orang lain serta hilang sifat lemah-lembut.

Sedangkan kita tahu Allah menyukai sifat lemah-lembut. Daripada Aisyah, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyukai sifat lemah-lembut dalam setiap perkara.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mengambil wuduk dan beristighfar dapat mengawal sifat marah. Segala-galanya dapat meruntuhkan tipu daya iblis dan menghancurkan kesesatan yang disuruhnya. Selain itu, memberi penawar hati yang marah dan gundah, sesungguhnya hati tunduk kepada Allah .

Sifat marah juga adalah cerminan kalbu keperibadian jiwa yang tidak tenteram. Oleh itu, kawal jiwa kerohanian supaya hidup sentiasa tenteram, aman dan damai sepanjang masa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sifat bodoh atau jahil itu pokoknya ialah watak kedegilan yang dipimpin oleh sifat marah. Sesiapa juga yang dirinya reda dalam keadaan jahil atau bodoh, maka baginya tidak perlu lagi bersifat toleransi kerani toleransi adalah sifat yang baik dan banyak manfaatnya. Kejahilan pula sifat buruk dan mendatangkan banyak mudarat. Oleh itu, lebih baik berdiam diri daripada melayani pertanyaan orang bodoh.”

Khaitamah bin Abdul Rahman, seorang ulama tab’in menerangkan bahawa syaitan berkata, “Bagaimana anak Adam dapat mengalahkan aku? Apabila dia rela, nescaya aku datang dan meresap ke dalam hatinya. Apabila dia marah, nescaya aku terbang sehingga berada di atas kepalanya.”

Mujahid menceritakan bahawa iblis atau syaitan itu berkata, “Aku tidak dapat dilemahkan oleh anak Adam pada tiga perkara:

1). Apabila seseorang itu mabuk, kami pun pegang talinya lalu kami halau ke mana yang kami kehendaki. Dia bekerja untuk kami menurut apa yang kami sukai.

2). Apabila orang itu marah, dia akan berkata apa yang tidak diketahuinya dan melakukan sesuatu perkara yang disesalinya.

3). Dia seorang yang lokek terhadap apa juga miliknya dan berangan-angan dengan sesuatu yang ia tidak mampu

Sementara itu, Abdullah bin Mas’ud berkata, “Perhatikan sifat lemah-lembut seseorang ketika marah dan perhatikan sifat amanahnya ketika dia rakus! Pengajaran yang diperoleh daripada sifat lemah-lembutnya apabila dia tidak marah dan dengan sifat amanahnya apabila dia tidak rakus.”

Diceritakan, Khalifah Umar Abdul Aziz menulis surat kepada wakilnya, “Anda tidak (harus) menjatuhkan hukuman ke atas seseorang ketika anda marah. Tahanlah orang itu dulu dan apabila perasaan marah itu sudah tenang, maka keluarkan orang itu dan jatuhkan hukuman mengikut dosanya (kesalahannya) dan anda tidak menghukum lebih daripada lima belas kali sebat.”

Saidina Umar Al-Khattab dalam pidatonya selalu berkata, “Orang yang beroleh kemenangan ialah orang yang mengawal dirinya daripada kerakusan, hawa nafsu dan kemarahan.”

Abdullah al-Mubarak ketika menjawab pertanyaan supaya memberikan kesimpulan mengenai pengertian budi pekerti berkata, “Meninggalkan marah.”

Wahab bin Muhaib berkata, “Kufur itu terdiri daripada empat faktor iaitu marah, nafsu syahwat, bodoh dan tamak.”

Kesimpulannya, dalam apa juga keadaan dan situasi, kita sebagai umat Islam mestilah dapat mengawal sifat marah yang boleh merosakkan sesuatu.

Solat ‘Pendinding’ Daripada Kemungkaran

DIDIKAN AWAL: Rasulullah berpesan agar mengajar anak mengambil wuduk dengan betul dan menunaikan solat sejak berusia tujuh tahun.

Kesempurnaan ibadat jadikan jiwa sentiasa tenang dan bencikan kejahatan

SALAH satu peristiwa agung yang berlaku kepada Rasulullah ialah Israk dan Mikraj. Israk dan Mikraj adalah antara mukjizat terbesar dan tidak pernah dikurniakan kepada nabi serta rasul sebelumnya.

Pada peristiwa itu Rasulullah SAW menyaksikan tanda kebesaran dan kekuasaan Allah . Di samping itu, Baginda juga diperlihatkan dengan pelbagai kejadian dan peristiwa aneh yang menunjukkan keadaan perilaku manusia dengan balasan bakal mereka terima.

Di kemuncak peristiwa inilah Allah mensyariatkan solat kepada umat Islam. Sesungguhnya solat adalah ibadat paling utama bagi umat Islam sehingga ia disebut sebagai tiang agama.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya sesungguhnya dia sudah mendirikan agama, sesiapa meninggalkannya sesungguhnya dia meruntuhkan agama.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kewajipan mendirikan solat diperintahkan Allah dalam firman yang bermaksud:

“Kemudian apabila kamu selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah solat itu (dengan sempurna seperti mana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang beriman, yang tertentu waktunya.” (Surah al-Nisa’, ayat 103)

Melihat betapa pentingnya kewajipan solat dilaksanakan oleh setiap umat Islam, Rasulullah menyuruh supaya ibadat solat itu diajarkan kepada anak ketika berumur tujuh tahun dan memukul mereka dengan pukulan bertujuan mendidik jika enggan solat ketika berumur 10 tahun.

Diriwayatkan daripada Amru bin Syu’ib bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Suruhlah anak kamu menunaikan solat ketika berumur tujuh tahun dan pukul mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun. Dan asingkanlah mereka (lelaki dan perempuan) dari tempat tidur.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Saranan hadis itu bertepatan dengan pepatah Melayu, “Jika hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Inilah cara pendidikan awal untuk melatih anak mengerjakan solat yang mesti dilaksanakan ibu bapa.

Di samping itu, kita juga digalakkan berdoa supaya anak dan zuriat sentiasa mendirikan solat. Allah berfirman yang bermaksud:

“Wahai Tuhanku! Jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.” (Surah Ibrahim, ayat 40)

Sesungguhnya solat mempunyai banyak rahsia dan kelebihan, antaranya ialah solat dapat meningkatkan seseorang untuk sentiasa mengingati Allah .

Allah berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya Akulah Allah ; tiada Tuhan melainkan-Ku. Oleh itu, sembahlah Aku, dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.” (Surah Taha, ayat 14)

Solat adalah jalan untuk kita sentiasa mengingati Allah . Dalam perkataan lain, solat tanda pengabdian dan syukur seseorang hamba kepada Allah atas segala nikmat dan rahmat yang dikurniakan.

Solat juga boleh menghapuskan dosa. Sebagai manusia kita tidak terlepas daripada melakukan dosa. Oleh itu, solat lima kali sehari semalam boleh menghapuskan dosa kecil yang kita lakukan.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu solat itu, selama dijauhinya dosa besar.” (Hadis riwayat Muslim)

Selain itu, solat juga boleh mencegah perbuatan keji dan mungkar. Solat yang dikerjakan dengan ikhlas, khusyuk dan mengikut segala rukunnya mencegah orang mengerjakannya daripada melakukan maksiat serta kemungkaran.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan perkara yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)
Seterusnya solat juga memberi keberkatan dan kebahagiaan dalam kehidupan seseorang. Orang yang memelihara solat, kehidupannya dipenuhi dengan kejayaan, keberkatan dan kebahagiaan.

Solat juga mempunyai pelbagai kelebihan daripada aspek perubatan dan kesihatan antaranya, solat yang ikhlas dan khusyuk boleh mendamaikan jiwa, mengawal tekanan perasaan dan menjadikan tubuh badan sihat serta cergas.

Perkara itu terbukti apabila pakar urat saraf bukan beragama Islam melakukan kajian mendapati bahawa ada beberapa urat saraf dalam otak manusia yang berkeadaan selalu kosong, tidak dimasuki darah, iaitu darah tidak boleh masuk ke dalamnya, padahal setiap bahagian otak manusia itu memerlukan darah yang cukup untuk ia dapat berfungsi dengan sempurna.

Namun, selepas sekian lama membuat kajian, akhirnya doktor itu mendapati memang darah tidak dapat sampai ke beberapa bahagian urat saraf tertentu dalam otak kecuali pada ketika seseorang itu sujud dalam solatnya, barulah darah itu boleh masuk dan mengalir.

Sesungguhnya ibadat solat terlalu istimewa di sisi Allah kerana Rasulullah menerimanya secara langsung daripada Allah dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Perintah ibadat solat berbeza dengan ibadat lain seperti puasa, zakat, haji dan lain-lain yang diterima melalui wahyu dengan perantaraan Malaikat Jibril. Ini menunjukkan ibadat solat terlalu istimewa di sisi Allah .

Oleh itu, sesiapa yang meremehkan dan mensia-siakan soal ibadat solat, mereka adalah golongan yang sesat. Allah berfirman yang bermaksud:

“Kemudian mereka digantikan oleh keturunan yang mencuaikan solat serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka).” (Surah Maryam, ayat 59)

Abdullah bin Abbas berkata, maksud mensia-siakan solat bukanlah meninggalkan solat sama sekali, tetapi melewatkan daripada waktunya. Misalnya seseorang yang menunaikan solat Zuhur dalam waktu Asar, solat Asar di dalam waktu maghrib, solat Isyak ditangguhkan sehingga masuk waktu Subuh serta solat Subuh dilaksanakan selepas terbit matahari.

Sesiapa yang mati dalam keadaan ini tanpa bertaubat, dia akan dihumbankan ke sebuah lembah bernama al-Ghai’a dalam neraka dan diberikan makanan amat jijik. Jika mengerjakan solat fardu di luar waktu sudah sebegini hukumannya, bayangkanlah azab yang bakal menimpa orang yang tidak menunaikan solat fardu sama sekali.

Justeru, melaksanakan solat fardu dalam waktu yang ditetapkan sebahagian daripada disiplin Islam yang wajib dilaksanakan. Oleh itu, marilah kita mentaati perintah Allah dengan menunaikan solat supaya kehidupan seharian sentiasa tenang dan dapat menghindarkan daripada melakukan mungkar.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan akhirat). Oleh itu, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai tanda kesyukuran).” (Surah al-Kauthar, ayat 1-2).

Ramai Ummah Alpa Keberkatan Jumaat

Banyak kelebihan, keistimewaan dikurniakan pada penghulu segala hari

MUTAKHIR ini ramai di kalangan kita yang alpa dengan kelebihan dan keberkatan Jumaat. Ada sebahagian masjid yang menjadi tumpuan umat Islam mendirikan fardu Jumaat kelihatan lengang, meskipun waktu solat sudah hampir tiba.

Hanya kira-kira 10 minit sebelum azan berkumandang, orang mula datang berduyun-duyun ke masjid. Itupun ramai hanya berlegar-legar di persekitaran masjid, tidak berlumba-lumba untuk mencari saf hadapan, membaca al-Quran, beriktikaf atau mencari keberkatan datang awal.

Bagi sesetengah wanita yang bekerja pula, Jumaat (waktu rehat) selalunya digunakan untuk membeli belah, bukannya mengadakan kuliah atau mengikuti khutbah di televisyen.

Fenomena ini menunjukkan kita sudah semakin lupa dengan kelebihan dan keberkatan yang ada pada Jumaat. Kita mungkin tidak sedar bahawa Jumaat adalah penghulu segala hari, yang mempunyai banyak kelebihan antaranya:

- Pada Jumaat, Allah menjadikan Nabi Adam (manusia pertama).
- Jumaat adalah hari paling mustajab bagi mukmin yang berdoa. Allah akan memakbulkan doanya, selama ia tidak meminta perkara yang haram.
- Pada Jumaat akan berlakunya kiamat.
- Jumaat adalah besar disisi Allah bahkan lebih besar daripada Aidilfitri dan Aidiladha.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya Rasulullah SAW membicarakan mengenai Jumaat dan Baginda berkata: Padanya ada suatu saat yang tidak ditemui oleh hamba (Allah ) yang Muslim dengan ia mendirikan solat sambil memohon kepada Allah akan sesuatu, melainkan apa yang dimohonkan akan diberi kepadanya (ia mengisyaratkan dengan tangannya yang diangkat).” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis itu menerangkan adanya saat yang paling mustajab pada hari Jumaat, di mana segala permohonan akan dimakbulkan dengan izin Allah . Malah, ulama berselisih pendapat mengenai bilakah saat yang dimaksudkan itu.

Ada berpendapat sesudah terbit matahari syuruk dan ada yang mengatakan sesudah gelincir matahari (zuhur atau Jumaat). Malah ada yang mengatakan sesudah waktu Asar dan selain waktu itu.

Bagaimanapun ada hadis sahih mengatakan saat mustajab itu bermula dari khatib berada di atas mimbar sehingga selesai solat Jumaat. Daripada Abu Al-Asya’ari, ia berkata:

“Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya saat mustajab itu adalah antara imam duduk di atas mimbar, sampai ia salam daripada solat.” - (Hadis riwayat Muslim)

Jelas menunjukkan bahawa ketika khatib berada di atas mimbar dan berkhutbah adalah antara waktu yang penuh berkat. Kerana ketika itu segala hidayah Allah disalurkan melalui mimbar. Ilmu dan nasihat agama disampaikan sebagai panduan untuk sekalian.

Khatib sering mengingatkan kita supaya bertakwa kepada Allah , mentaati titah perintahnya, berpegang teguh dengan ajaran Islam sebenar.

Khutbah yang baik dapat memupuk kesedaran dan ketaatan kepada Allah , memberi motivasi dan pedoman berfaedah ke arah membina kesejahteraan hidup dunia dan akhirat.

Justeru, kita dituntut datang awal ke masjid, membersihkan rohani dan menyiapkan diri untuk mendengar khutbah. Kita digalakkan berada di saf hadapan, kerana lebih hampir dengan mimbar yang menjadi saluran hidayah Allah .

Khatib pula perlu lebih bersedia sebelum berkhutbah dengan membuat semakan terhadap teks yang disediakan. Khatib juga perlu membuat rujukan dan pembacaan tambahan supaya khutbah yang disampaikan benar-benar menarik, berkesan dan bersesuaian dengan tuntutan zaman.

Selepas selesai solat Jumaat, bertebaran di muka bumi untuk mencari rezeki dan menyelesaikan urusan hidup. Bukannya dengan duduk di masjid berjam-jam, sehingga kadangkala kereta yang diletakkan di tengah-tengah jalan (kerana lewat datang) di biarkan melintang di tengah jalan sehingga menghalang lalu lintas. Ini tentu menyusahkan orang ramai.

Oleh itu, datanglah seberapa awal ke masjid untuk memenuhi saf hadapan dan segeralah pulang apabila solat atau doa selesai agar segala urusan dapat dibereskan.

Firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang beriman, apabila kamu diseru untuk mengerjakan fardu Jumaat, maka hendaklah kamu segera mengingati Allah dan tinggalkan urusan jual beli.” - (Surah al-Jum’ah, ayat 9)