Wednesday, November 5, 2008

Kerana Satu Klik Malapetataka Berterusan Diterima

Di zaman ICT dan Globalisasi ini kemudahan komputer dan email hampir ada pada setiap orang yang bekerja di sektor swasta juga kerajaan termasuk kepada pelajar-pelajar di kolej dan universiti. Kemudahan internet yang disediakan dengan kadar yang semakin munasabah menyebabkan kemudahan email ini menjadi semakin popular. Pernahkah kita terfikir dengan satu “KLIK” sahaja akan menyebabkan mencurah-curah dosa yang di terima secara berterusan hingga hari kiamat.

Apa yang penulis akan bincangkan adalah berdasarkan dua buah Hadis Sahih berikut. :

Mahfumnya:: Ibnu Mas’ud r.a. berkata: Bersabda Nabi s.a.w. :

“ Tiada suatu jiwa yang terbunuh dengan penganiayaan, melainkan putera Adam yang pertama dahulu itu, mendapat bahagian dari penumpahan darah itu, kerana ia yang pertama membuka jalan untuk penumpahan darah.” (Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim)

Yang dimaksudkan di dalam hadis ini adalah kisah pembunuhan Qabil terhadap Habil kerana Qabil dengki terhadap Habil yang berkahwin dengan kembarnya yang lebih cantik.

Mahfumnya: Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sesiapa yang mengajak ke jalan hidayat, maka baginya dari pahala seperti pahala (sebanyak pahala) 2 pengikutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun dari pahala mereka. Dan sesiapa yang mengajak ke jalan sesat, maka menanggung dosa sebanyak dosa-dosa pengikutnya, dengan tidak mengurangi dari dosa-dosa mereka sedikit pun." (Diriwayatkan oleh Imam Muslim)

Bagi memudahkan kefahaman akan maksud hadis-hadis di atas dan berkaitan dengan konteks kehidupan kita pada zaman ICT ini, mari kita ambil iktibar dari kisah berikut.

Zack dan Yahoogroup

Zack baharu tamat belajar di sebuah universiti kemudian di terima bekerja di sebuah syarikat ICT. Setiap pekerja dibekalkan dengan komputer, alamat email dan internet akses bagi memudahkan urusan kerja seharian.

Zack mempunyai ramai kawan dan mereka berhubung melalui email setiap hari. Masa lapang Zack diisi dengan melayari laman web lucah. Kegemarannya ialah memuat turun (download) gambar-gambar lucah itu kemudian berkongsi dengan kawan-kawannya melalui email.Dia mempunyai “email group” dan ada 50 alamat email kawan-kawannya di dalam “emailgroup” tersebut. Sekali menghantar email, dia akan menghantar kepada “emailgroup” tersebut.

Selain daripada itu dia juga suka menghantar semula email yang diterima daripada rakan yang lain ke “emailgroup”. Di antara kandungan email itu adalah kisah-kisah yang mengaibkan seseorang seperti video klip bercium di dalam lif, kisah seluar dalam yang dijumpai di dalam periuk di restoran mamak dan seumpamanya lagi yang kebanyakannya adalah perkara-perkara yang nafsu kita seronok membacanya dan melihatnya tetapi hukumnya adalah jelas haram di sisi syariat Islam.

Pada suatu hari ketika pulang dari tempat kerja Zack terlibat dengan kemalangan jalan raya dan kembali kerahmatullah di tempat kejadian.Di dalam Islam telah sepakat ulama’ bahawa hukum melihat gambar-gambar lucah, menyebarkan fitnah, membuka aib dan seumpamanya adalah haram serta berdosa kepada mereka yang melakukannya dan menyebarkannya.

Berganda-ganda

Untuk memudahkan kefahaman, katakan Zack telah mendapat satu dosa kerana menghantar gambar-gambar lucah kepada kawan-kawannya. Gambar tersebut diterima oleh 50 orang kawan-kawannya melalui email. Kesemua kawan-kawannya seronok dengan gambar tersebut dan meredai perbuatan Zack maka setiap kawannya mendapat satu dosa manakala dosa setiap kawannya itu juga diberikan kepada Zack jadilah sekarang dosa Zack 1+50 = 51.

Setiap kawan-kawan Zack itu pula menghantar gambar tersebut kepada 10 orang lagi, maka sekarang dosa Zack akan bertambah lagi menjadi 1+50+500=551 dosa. Kemudian setiap sepuluh orang itu menghantar lagi kepada 10 orang yang lain, bertambahlah dosa Zack menjadi 1+50+500=5551. Begitulah seterusnya.

Zack telah meninggal dunia, email nya masih lagi tersebar, maka akan berterusanlah dia mendapat dosa selagi email itu berlegar di ruang cyber hingga hari kiamat.

Cerita Qabil

Begitulah iktibar yang boleh diambil daripada apa yang berlaku kepada Qabil, setiap jiwa yang mati dibunuh kerana hasad dengki manusia, maka dosa membunuh itu akan juga sampai kepada Qabil hingga hari kiamat. Bayangkanlah berapa ramaikah jiwa yang telah kena bunuh dengan zalim sejak dari zaman nabi Adam hingga sekarang? Dan berapakah dosa yang terpaksa ditanggung oleh Qabil di akhirat kelak?

Berbalik kepada kisah Zack, katakan sebelum meninggal dunia, Zack telah sempat bertaubat, insya’Allah dosa manusia terus dengan Allah, seperti meninggalkan puasa, zakat dan solat fardu akan Allah ampunkan tetapi dosa kita sesama manusia hanya Allah akan ampunkan bila insan tersebut mengampunkan kita. Zack telah menyebarkan perkara yang menyebabkan orang lain berdosa, bagaimanakah dia nak mintak ampun dengan semua yang menerima email tersebut?

Selagi mereka semua tidak mengampunkan Zack maka selagi itulah dia akan terima dosa hingga kiamat kelak. Inilah malapetaka yang sangat besar pada zaman ICT ini. Dengan sekali klik sahaja saham dosa akan mencurah-curah sampai kepada kita.

Sebab itu setiap kali apabila kita menerima email, hendaklah berhati-hati, jika kandungan email itu adalah gambar lucah atau yang mengaibkan seseorang muslim lain atau sesuatu fitnah hendaklah segera dibuang dan jangan ada sedetik pun didalam hati untuk seronok dengan benda yang haram bagi mengelakkan kita dan pengirim dari berdosa.Yang sebaiknya jika yang diterima itu haram, nasihatkanlah pengirim supaya bertaubat dan berhati-hati di masa-masa akan datang.

Sebaliknya jika kita menyebarkan perkara-perkara yang baik dan diredai oleh Allah SWT yang pastinya ganjaran pahala yang di terima pasti mencurah-curah selagi ia masih terus di sebarkan.

Wallahhu’alam

Mengapa masa umat hari ini bersama Allah terlalu singkat?

Oleh Ustaz Zainudin Hashim

Allah SWT ada menegaskan dalam satu surah pendek tetapi penuh dengan perkara tersirat di dalamnya yang telah diketahui umum sebagai surah 'masa' ataupun 'Wal Asr', ia perlu diteliti dan dirungkai secara bijak dan saksama, apa yang berlaku ia tidak dikaji dan difahami secara serius oleh umat Islam hari ini dengan lantaran begitu sibuk dengan kerjaya harian.

Maksud ayat-ayat tersebut : " Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran."

Menurut pepatah Arab : Masa itu bagaikan pedang, jika anda tidak memotongnya, maka ia akan memototongmu.

Jika dilihat dengan fikiran yang waras berhubung ayat di atas, kita akan dapati bahawa ramai di kalangan manusia terjerumus pada perkara yang merugikan mereka di dunia dan akhirat, rugi di dunia kerana tidak diisi masanya dengan menghayati al-Quran, hadis-hadis baginda Rasulullah s.a.w, mempelajari ilmu-ilmu fardu ain, berbuat kebajikan dan lain-lain.

Apabila perkara di atas tidak ada dalam kamus kehidupan orang Islam, maka sudah tentu mereka tidak mendapat pahala daripada Allah sekali gus tidak mendapat tempat di sisi Allah pada hari akhirat, malah kebarang-kalian tidak mendapat syafaat (recommendation) Nabi Muhammad s.a.w.

Ia juga menggambarkan, betapa umat hari ini tidak berapa pandai dalam mengurus perosalan masa, hingga ia berlalu begitu sahaja tanpa digunakan pada perkara-perkara yang boleh menguntungkan akhirat mereka.

Mengapa tidak? Umat hari ini, lebih tertumpu kepada golongan muslimun, lebih rela menghabiskan masa bukan pada perkara yang berfaedah, tetapi pada perkara-perkara yang sia-sia, bukan bermakna tidak ada langsung individu di kalangan mereka yang pandai mengatur dan mengurus masa dengan baik, malah ada yang lebih daripada itu.

Gambaran umat hari ini yang tidak memperuntukkan masa buat Allah

Sayang seribu kali sayang, apabila terdapat di kalangan umat Islam hari ini yang tidak ada masa dengan Allah, atau terlalu sedikit masa untuk-Nya, dan mungkin juga terdapat yang tidak terfikir langsung untuk bersama Allah dalam apa jua keadaan.

Itulah gambaran beberapa jenis umat Islam yang seolah-olah tiada hubungan dengan hari akhirat, hidup mereka serupa dengan mereka yang tidak beragama Islam, iaitu golongan yang tiada hubungan langsung dengan pahala, dosa, syurga, neraka, azab dan lain-lain.

Iaitu golongan yang terlalu sedikit masa mereka diperuntukkan buat Allah, kalau pun menunaikan solat, ia dikerjakan dengan begitu cepat, justeru mereka tidak suka solat berjemaah, kerana beranggapan imam membaca surah panjang, apa yang dapat disaksikan pada hari ini ramai yang suka bersolat secara sendirian, ia dapat dilihat di kawasan rehat dan rawat (R&R) dan lain-lain, semua amalan lebih kepada logik akal, bukan kerana kefahaman ilmu.

Hakikat yang berlaku pada hari ini, tempat-tempat hiburan seperti menyaksikan Akademi Fantasia, So do you think you can dance, Malaysian Idol, pesta anugerah filem yang pelbagai jenis saban tahun diadakan, pertandingan nyanyian RTM, menyaksikan pertandingan bolasepak akhir piala Malaysia, piala FA dan lain-lain, penuh dengan penonton yang memberi sokongan padu.

Tidakkah tindakan mereka itu memperlihatkan betapa masa yang berlalu itu disia-siakan tanpa sebarang faedah yang boleh membantu mereka menghadapi Allah di padang Mahsyar, lebih-lebih dengan bekalan yang kekal abadi yang memudahkan mereka memasuki syurga-Nya.

Cuba bayangkan, jika mereka yang pergi ke stadium untuk menyaksikan pertandingan akhir bolasepak yang boleh memuatkan 90,000 ribu penonton, kalau 10,000 sahaja yang sembahyang, bagaimana pula dengan baki jumlah 80,000 yang lain, ditambah pula kedudukan saiz surau yang tidak berapa besar, mereka yang ke stadium bukan bertolak dari rumah jam lapan malan jika pertandingan bermula 8.30 malam, sudah tentu mereka akan berangkat keluar lebih awal satu atau dua jam untuk memastikan keadaan lebih selesa.

Begitu juga yang menonton sesebuah rancangan hiburan, mereka juga akan keluar rumah lebih awal bagi memastikan dapat tempat duduk di hadapan sekali untuk melihat selebriti dari dekat, tetapi bagaimana dengan pelaksanaan solat mereka, yang pasti ramai yang meninggalkannya tanpa sebarang alasan yang boleh diterima Syara.

Golongan inilah yang ditegaskan oleh Nabi s.a.w dalam banyak hadisnya, antaranya sabda baginda : " Perkara pertama yang akan ditanya Allah terhadap hamba-hambaNya pada hari akhirat ialah pelaksanaan solat, jika solat itu beres dilakukan, maka bereslah seluruh urusan hidupnya, tetapi sebaliknya jika solat itu tidak beres, maka tidak bereslah urusan hidupnya."

Sabdanya lagi : " Sesiapa yang meninggalkan solat dengan sengaja, maka sesungguhnya dia telah menjadi seorang kafir yang terang dan nyata." Hadis sohih riwayat Imam Malik.

Rasullah s.a.w bersabda : "Solat itu adalah tiang agama (Islam). Maka sesiapa yang mendirikan solat, dia telah menegakkan agama. Dan sesiapa yang meninggalkan solat, bererti dia telah meruntuhkan agama".

Rasullah s.a.w bersabda : "Yang membezakan di antara orang Islam dan kafir ialah solat".

Ini menunjukkan bahawa ibadat solat tidak lagi jadi perkara penting dalam kehidupan orang Islam hari ini.

Bagi yang takutkan Allah dan sentiasa bersama-Nya khususnya ketika menunaikan ibadat solat, akan merasakan bahawa Allah sentiasa dekat di hatinya, rindu untuk bertemu-Nya, tidak cukup lima kali sehari semalam, malah ditambah dengan solat-solat malam hanya semata-mata untuk bermunajat kepada-Nya dengan segala ketundukan, khusyuk dan tawaduk.

Justeru, meninggalkan solat besar implikasi dan akibatnya, bukan sahaja di akhirat, malah di dunia lagi seseorang itu telah dilabel dengan kafir, meruntuhkan tiang-tiang agama Islam, iaitu menjadi makhluk perosak terhadap agamanya sendiri.

Golongan inilah yang apabila menghadiri majlis-majlis ilmu seperti tazkirah pada bulan Ramadan, punggungnya merasa panas, tidak dapat bertahan lama duduk di masjid atau surau, sedangkan majlis seumpama itu mahu mengingatkannya kepada Allah, untuk menilai semula amalan dan tindakan sepanjang hidup di dunia, yang bukan baru hidup lima atau enam tahun, tetapi sudah mencecah berpuluh-puluh tahun.

Inilah akibat mereka yang sepanjang hidup tidak memperuntukkan masa buat Allah, masa berlalu kebanyakannya pada perkara yang membawa kepada penentangan terhadap-Nya, tanpa membuat perhitungan dengan-Nya pada perkara yang halal dan haram, yang boleh membawa kepada syurga atau neraka, yang penting hidup perlu enjoy, golongan muda merasakan tidak akan jadi tua, dan yang tua pula merasakan tidak akan mati esok hari, begitulah lalainya manusia terhadap asal-usul kejadian mereka daripada tanah.