Wednesday, August 13, 2008

MANDI TELANJANG

Soalan;

assalamualaikum..ustaz saya nak tanya satu soalan. Apa hukum seseorang yang sudah baligh mandi dalam keadaan telanjang?

Jawapan;

Mandi telanjang jika di khalayak ramai hukumnya haram. Adapun di tempat tersembunyi atau tertutup, diharuskan.

[1] Menurut Qadhi ‘Iyadh; hukum harus ini adalah pandangan jumhur (majority) ulamak. Mereka berdalilkan hadis Nabi s.a.w. yang menceritakan; “Adalah Bani Israel mandi dengan bertelanjang (sesama mereka di mana) sebahagian mereka melihat kepada sebahagian yang lain. Akan tetapi Nabi Musa a.s. mandi bersendirian (kerana menjaga auratnya). Maka mereka (yakni Bani Isreal) mendakwa; ‘Demi Allah! Tidak menghalang Musa mandi bersama kita melainkan kerana buah zakarnya bengkak’. Satu hari Musa pergi untuk mandi. Ia meletakkan pakaiannya di satu batu. Tiba-tiba batu itu lari bersama pakaiannya. Musa pun keluar dari tempat mandi itu (dalam keadaan bertelanjang) mengekori batu itu sambil memanggil; ‘Pakaianku, wahai batu’, hingga ia dilihat oleh Bani Isreal. Maka mereka berkata; ‘Demi Allah! Tidak ada sebarang kecacatan pada Musa (sebagaimana yang didakwa)’. Musa dapat mengambil kembali pakaiannya dan dia lalu memukul batu itu” (Riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah r.a.). Jika mandi bertelanjang di tempat tertutup itu haram hukumnya, sudah tentu Nabi s.a.w. akan menjelaskannya dalam hadis di atas. Maka tanpa penjelasan dari baginda, menunjukkan bahawa perbuatan tersebut adalah harus. Menurut ulamak; berhujjah dengan hadis tersebut adalah satu cabang dari berhujjah dengan syariat sebelum Islam.

Walaupun harus, namun yang terbaik ialah mandi dengan menutup aurat dengan kain basahan atau sebagainya. Ini kerana terdapat hadis dari Mu’awiyah bin Haidah r.a. yang menceritakan; Aku telah bertanya Rasulullah s.a.w.; “Ya Rasulullah! Bila masanya wajib kami tutup dan bila masanya harus kami buka?”. Jawab baginda; “Jagalah aurat kamu kecuali kepada isteri kamu atau kepada hamba yang kamu miliki”. Aku bertanya lagi; “Bagaimana jika sekiranya seseorang dari kami sedang bersendirian?”. Nabi menjawab; “Allah lebih layak untuk kamu malu dari manusia” (Riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah. Kata Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan).

Imam Abu Laila menyanggahi pandangan jumhur di atas di mana menurut beliau; ditegah mandi telanjang sekalipun ditempat tertutup atau tersembunyi kerana air juga mempunyai penghuninya.

Wallahu a’lam.

Rujukan;
1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 4, Kitab al-Haidh, Bab Jawaz Ightisal Uryanan Fi al-Khalwah.

Nota kaki;

[1] Secara amnya, harus bertelanjang ketika bersendirian jika ada keperluan seperti ketika mandi, ketika buang air, ketika bergaul dengan isteri dan sebagainya. Jika tiada keperluan, para ulamak berbeza pandangan. Menurut mazhab Syafi’ie (berdasarkan pandangan yang rajah); haram bertelanjang tanpa ada keperluan, yakni; hukum menutup aurat ketika bersendirian adalah wajib kecuali ketika perlu membukanya seperti dalam beberapa keadaan di atas.

Antara Kemahuan dan Kewajipan

Tuntutan menjadi aktivis gerakan adalah merupakan satu tuntutan yang tidak perlu dinafikan lagi. Sebagai individu-individu muslim yang punya tasawwur Islam yang jelas, menyumbang jiwa dan harta untuk gerakan Islam adalah satu kemestian, dan bukannya satu pilihan.

Kewajipan ini boleh dilihat dari sudut prinsip, hukum dan tuntutan. Menjadi aktivis gerakan adalah wajib kerana bekerja untuk Islam adalah merupakan satu tanggungjawab yang telah dipertanggungjawabkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada seluruh manusia, didahului oleh para Nabi dan Rasul kemudian ke atas manusia seluruhnya hingga ke hari kiamat.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam kitab suci Al-Qur’an (yang lebih kurang maksudnya):
“Demi masa, sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati dengan kebenaran dan nasihat-menasihati dengan kesabaran.” (Surah Al-‘Asr: 1-3)

Sabda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam (yang bermaksud):

“Wahai manusia, sesungguhnya Allah berfirman kepadamu: Serulah (manusia) berbuat ma’ruf dan cegahlah mereka dari kerja-kerja munkar sebelum (tiba suatu waktu di mana) kamu meminta, lalu aku tidak lagi menerimanya, dan kamu memohon pertolongan lalu aku tidak menolong kamu lagi.” (Hadith Riwayat Ibn Majah dan Ibn Hibban)

Apabila seseorang individu itu telah menggabungkan dirinya dengan gerakan (menjadi aktivis gerakan), maka adalah perlu untuk individu tersebut taat kepada kepimpinan, patuh kepada segala undang-undang dan peraturan serta beriltizam dengan perjuangan gerakan.

Penggabungan dengan gerakan bukan setakat melalui pendaftaran sebagai ahli, bukan juga sekadar berulang-alik ke pusat atau sekretariat, dan bukan juga sekadar menghadiri program-program. Penggabungan ini mestilah membawa pengertian yang lebih jauh daripada itu, yakni penggabungan yang tidak sekadar dalam bentuk dan nilai-nilai tertentu sahaja tetapi ia adalah penggabungan yang membuktikan kemantapan ‘aqidah dan kekuatan ikatan fikrah dan tanzim.

Namun, untuk mencapai tahap penggabungan yang sebenarnya itu bukanlah satu proses yang mudah. Aktivis gerakan seringkali terpaksa berhadapan dengan beberapa konflik dan dilema, khususnya dalam menentukan keutamaan dan memilih di antara kemahuan peribadi dan kehendak gerakan. Justeru, adalah penting bagi para aktivis gerakan, khususnya gerakan pelajar, untuk memahami apakah kewajipan-kewajipan mereka dalam gerakan agar tidak mengutamakan kemahuan dan kehendak peribadi melebihi kewajipan-kewajipan yang sebenarnya merupakan tuntutan yang wajib dilaksanakan.

Pertama sekali, adalah penting untuk kita memahami bahawa penggabungan kita dengan gerakan adalah merupakan penggabungan kita dengan agama Islam itu sendiri. Hal ini bermakna, penglibatan kita sebagai aktivis gerakan adalah kerana ‘aqidah yang benar, bukan kerana ikut-ikutan, bukan kerana kawan, dan bukan kerana terpesona atau kagum dengan karismatik seorang pemimpin gerakan itu. Perkara ini berbalik kepada kewajipan penggabungan diri dengan gerakan itu sendiri.

Maka, apabila penglibatan kita sebagai aktivis gerakan itu ditunjangi oleh penggabungan kita dengan agama Islam itu sendiri, penglibatan kita itu akan mengukuhkan lagi kefahaman kita dalam agama dan menjadikan kita lebih dekat kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Perkara ini adalah perkara asas yang sangat penting, kerana visi gerakan tidak akan berjaya kecuali hubungan seseorang aktivis itu dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala adalah benar-benar kukuh dan mendalam dan perhatiannya semata-mata terus bekerja kerana Allah sahaja.

Justeru, aktivis gerakan seharusnya mendapat motivasi untuk terus bergiat dan menyumbang kepada gerakan atas kecintaannya kepada Allah. Apabila yang sebaliknya berlaku, yakni motivasi ataupun dorongan untuk bergiat dalam gerakan datangnya daripada rakan, daripada orang yang diminati serta daripada keuntungan material, maka akan berlakulah gejala futur di mana aktivis gerakan itu akan cepat merasa lesu dan putus asa di tengah-tengah perjuangan.

Perkara inilah yang menyebabkan timbulnya sikap acuh tak acuh dan sambil lewa dalam gerakan, walhal setiap aktiviti dan gerak kerja dalam gerakan memerlukan komitmen yang bersungguh-sungguh daripada ahli-ahlinya kerana perjuangan dakwah itu adalah satu perjuangan nafas panjang.

Selain daripada itu, apabila seseorang itu telah menggabungkan diri dengan gerakan, kefahaman tentang agama dan juga tentang budaya dan undang-undang gerakan itu sendiri perlu wujud. Hal ini demikian kerana penggabungan secara membuta-tuli, yang didorong oleh semangat dan perasaan yang melulu adalah ditolak. Atas sebab itulah Al-Maududi meletakkan kelayakan peribadi yang pertama bagi seorang aktivis gerakan ialah kefahaman Islam yang sebenar.

Apabila penggabungan diri seorang aktivis itu dengan gerakan adalah didasarkan kepada ‘aqidah yang benar, serta dipandu oleh ilmu yang jelas dan benar, maka tidak akan wujud aktivis-aktivis gerakan yang menjadikan gerakan itu sebagai kuda tunggangan ataupun batu loncatan untuk mendapatkan keuntungan peribadi semata-mata. Apabila seseorang aktivis itu menggabungkan dirinya ke dalam gerakan, maka seseorang itu mestilah mengorbankan seluruh kekuatan dan kemampuannya untuk gerakan, menyerahkan kepentingan diri untuk kepentingan gerakan, bukan sebaliknya.

Pengorbanan

Dalam soal ini, pengorbanan adalah amat diperlukan. Mana mungkin ada perjuangan kalau tidak ada pengorbanan. Aktivis gerakan, khususnya anak muda dan golongan pelajar, perlu banyak mengorbankan matlamat dan kehendak peribadi demi memastikan matlamat gerakan dapat dicapai. Atas faktor inilah, Allah Subhanahu wa Ta’ala berulang-ulang kali menyeru di dalam Al-Qur’an untuk berjihad dengan mengorbankan harta dan jiwa.

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala dalam kitab suci Al-Qur’an (yang lebih kurang maksudnya):

“(yakni) kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwamu. Itulah yang lebih baik bagi kamu jika kamu mengetahuinya,” (Surah As-Saff: 11)

Seterusnya, seperkara lagi yang perlu difahami oleh aktivis gerakan adalah penggabungan masa depannya dengan gerakan. Hal ini bermakna, masa depan seorang aktivis itu mestilah terikat dengan gerakan dalam apa bentuk dan keadaan sekalipun.

Apabila seseorang aktivis itu telah memahami bahawa penggabungan dirinya dengan gerakan adalah merupakan penggabungan dirinya dengan ajaran Islam itu sendiri, dan juga memahami bahawa keberadaan dalama gerakan itu sendiri merupakan antara tuntutan dalam ajaran Islam itu sendiri, maka dengan sendirinya seseorang aktivis itu akan memahami bahawa ia perlu menggabungkan seluruh kehidupannya, termasuk masa depannya, untuk gerakan.

Hal ini tidaklah bermaksud seseorang aktivis itu perlu menyerahkan sepenuhnya kepada gerakan untuk mencatur masa depannya, sebaliknya ia perlu menjadikan misi dan visi perjuangan gerakan (yang berdasarkan kepada tuntutan Islam itu sendiri) sebagai tunjang dalam merancang masa depannya. Dalam erti kata lain, seorang aktivis gerakan Islam perlu memastikan bahawa seluruh aktiviti kehidupannya dapat menyumbang kepada matlamat gerakan Islam.

Penggabungan dalam gerakan ini memerlukan pengorbanan. Namun, pengorbanan itulah yang dituntut dalam perjuangan. Aktivis gerakan perlu mengorbankan segala keinginan dan cita-cita peribadi yang tidak menguntungkan gerakan secara keseluruhan. Aktivis gerakan adalah mereka yang meletakkan perjuangan untuk melakukan tajdid Islami itu sebagai matlamat hidup mereka. Seseorang aktivis itu mungkin melakukan aktiviti-aktiviti lain untuk faedah rohani dan jasmaninya, tetapi tujuan hidupnya tetap merupakan perjuangan tadi dan bukan untuk tujuan lain.

Kesimpulannya, aktivis gerakan itu perlu mempunyai kefahaman yang jelas tentang peranan dan tanggungjawabnya untuk menggabungkan dirinya dengan gerakan, dan seterusnya mengorbankan seluruh kehidupannya demi menyumbang ke arah melaksanakan misi dan visi perjuangan gerakan.

Allah jua yang Maha Mengetahui.

Kiasan Al-Quran Menusuk Jiwa Insan Ikhlas

Memahami tafsir ayat cengkam hati suntik ilustrasi positif semangat iman

SETIAP kali al-Quran dibaca maka tersingkaplah segala sifat diri orang yang membacanya. Orang itu pun bertafakur menghayati ayat menceritakan mengenai jati dirinya sebagai insan. Apabila dia beriman dengan apa yang dibacanya, maka segala keburukan terpalit dalam diri segera mahu dibaiki.

Namun, ada yang tidak mahu mengakui kelemahan diri yang tersindir oleh ayat al-Quran. Padahal kiasan dan ulasan al-Quran begitu menusuk ke jantung hati orang yang ikhlas. Jika ditanya bilakah agaknya anda tidak berminat lagi dengan apa-apa pun melainkan berfikir mengenai akhirat? Sudah tentu ketika dada anda memeluk al-Quran, hati mengimani dan emosi mengikut petunjuknya.

Umar al-Khatab menceritakan detik bersejarah runtuhnya tembok kekufuran oleh hembusan hidayah yang dihantar al-Quran ke jiwanya. Umar berkata ketika dia masih kafir lagi: “Aku harus pergi ke Kaabah untuk melakukan tawaf tujuh atau 70 kali. Lalu aku pun datang ke sana untuk melakukan tawaf, aku melihat Rasulullah SAW sedang berdiri melakukan sembahyang, saat itu Baginda solat menghadap ke Syam (Baitulmaqdis) dan Baginda menjadikan Kaabah di antara dirinya dan negeri Syam. Baginda berdiri di antara rukun Hajarul Aswad dan rukun Yamani.

Aku berkata dalam hati saat aku melihatnya: Demi Allah , jika malam ini aku mendengar apa yang dibaca oleh Muhammad. Jika aku sudah mendekatinya dan mendengarkan apa yang dibaca pasti aku akan mengejutkannya! Aku pun menghampirinya dari balik al-Hajar dan masuk ke dalam kain Kaabah, tidak ada jarak antara diriku dan Muhammad melainkan hanya dibatasi kain Kaabah saja. Saat aku mendengar al-Quran, hatiku mencair sehingga membuat aku menangis, sejak saat itu aku beriman.” (Kata Ata’ dan Mujahid yang dikutip oleh Ibnu Ishaq daripada Abdullah bin Abi Najih)

Mengapa susah sungguh berinteraksi dengan al-Quran? Apakah kerana ayat yang kita baca sekarang berbeza dengan ayat didengar Umar? Bukankah al-Quran tetap sama dan takkan pernah berubah sampai bila-bila? Lalu sebenarnya, di manakah kesilapan kita?

Orang yang mahir membaca belum tentu memahami rahsia ayat dibaca. Terjemahan dan tafsiran yang baik sedikit sebanyak boleh membentuk imaginasi sebenar. Namun usaha menelusuri maksud ayat seharusnya lebih diutama berbanding dengan membaca saja.

Bagaimanapun, di kalangan orang ‘ajam yang tidak memahami bahasa Arab seperti kita, ramai lebih mementingkan lagu dan irama padahal ilmu tafsir al-Quran sepatutnya mestilah lebih diutamakan. Bagaimanakah bacaan itu boleh dinikmati tanpa sebarang penghayatan?

Sedangkan penghayatan bergantung kepada tafsiran dan kefahaman. Tak hairan apabila kita membaca tetapi tidak menjiwai bacaan itu. Ia membuat diri kita kehilangan petunjuknya.

Tujuan memahami tafsir al-Quran ialah untuk mencengkam jiwa dengan teguran dan ajarannya, membentuk ilustrasi positif yang menyuntik semangat iman, mendapat inspirasi reda dan sabar ketika diuji. Mendekatkan diri kepada Allah dengan ayat peringatan, suruhan, larangan, pujian dan janji Allah , syurga dan neraka, khabar gembira dan ancaman seksa-Nya.

Ketika seseorang sudah mencapai kefahaman sempurna mengenai tafsir al-Quran, tidak mungkin dia tertawa ketika membaca ayat seksa atau lalai ketika membaca ayat amaran kerana tujuan al-Quran diturunkan ialah untuk mencengkam jiwa manusia yang lalai. Supaya ingat jalan pulang ke sisi Tuhannya dan jangan tersesat kerana tidak menggenggam petunjuk yang dibekalkan melalui al-Quran.

Sudah selayaknya orang ‘ajam bukan Arab yang tidak memahami bahasa al-Quran bertungkus-lumus menjejaki rahsia Allah melalui kalam-Nya yang mulia dengan mempelajari tafsir al-Quran. Siapa kata usaha belajar tafsir hanyalah membazir masa dan wang ringgit? Orang yang berkata sebegini sememangnya tidak memahami betapa agungnya getaran jiwa pernah dirasai Saidina Umar bin al-Khattab.

Kesilapan dilakukan manusia dalam interaksi dengan al-Quran ialah memilih ajaran lain dan meninggalkan ajaran al-Quran. Banyak benda boleh menarik perhatian manusia, terutama yang sesuai dengan kehendak nafsu melampau. Duit, kuasa, kedudukan, pangkat, perhiasan dan hiburan adalah keperluan manusia untuk tetap bertahan di belantara kehidupan akhir zaman ini.

Allah tidak pernah melarang manusia menikmati kurniaan dianugerahkan-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. Hanya manusia seharusnya ingat tabiat mereka yang mudah dijangkiti kelalaian apabila dibukakan pintu dunia seluas-luasnya. Ayat Allah semakin dipinggirkan, dijual pada harga murah bahkan disembunyikan untuk kepentingan diri dan golongan tertentu.

Hal ini ditegaskan Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Dan bacakanlah kepada mereka berita orang yang Kami berikan kepadanya ayat Kami (pengetahuan mengenai isi al-Quran), kemudian dia melepaskan diri daripada ayat itu, lalu dia diikuti oleh syaitan (sampai dia tergoda), maka jadilah dia termasuk orang yang sesat. Dan jika Kami menghendaki, sesungguhnya kami tinggikan darjatnya dengan ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah. Maka perumpamaan seperti anjing jika kamu menghalaunya dihulurkan lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia menghulurkan lidahnya (juga). Yang demikian itu adalah perumpamaan orang yang mendustakan ayat kami. Maka ceritakanlah (kepada mereka) kisah itu supaya mereka berfikir.” (Surah al-A’raf, ayat 175-176)

Sikap orang Yahudi membaca Kitab Taurat tetapi tergamak mencari hukum lain yang lebih sesuai dengan kemahuan nafsu mereka untuk dijadikan landasan hidup. Inilah sikap dimurkai Allah .

Suatu hari seorang Yahudi meminta Rasulullah SAW menghukum ahli keluarganya yang berzina mengikut hukuman al-Quran. Dia sengaja melakukan perkara itu dengan harapan hukum al-Quran lebih ringan daripada hukum Taurat. Selepas Rasulullah SAW menegaskan bahawa al-Quran juga menjatuhkan hukuman rejam sama seperti dalam Taurat, bangsawan Yahudi itu langsung berpaling dengan bongkak, nyata sekali mereka tidak akan pernah mengikuti mana-mana kitab Allah .

Begitu juga mereka yang memperguna al-Quran demi kepentingan diri. Contoh paling mudah, dalam bab poligami bukan main beriman tetapi bab perintah Allah yang lain tidak dipatuhi. Mengapa mahu dipisahkan elemen penting dalam al-Quran.

Sistem akidah, ibadah, jenayah dan muamalat tidak mungkin dipisah, semua sistem buatan manusia seperti sistem ekonomi, politik, pendidikan, sosial dan kenegaraan sudah tersusun rapi dalam al-Quran sejak berabad lamanya.

Alangkah sedihnya apabila orang Islam hanya tahu beriman dengan al-Quran setakat malam Jumaat pada majlis membaca Yasin, ketika kematian ahli keluarga atau ketika membuka kedai barunya (menggantung ayat al-Quran sebagai azimat dan tangkal).

Sementara itu akhlaknya tidak mengikuti petunjuk al-Quran, ibadahnya menyalahi aturan al-Quran, perniagaannya mengamalkan riba dan penipuan, imej dan tutur katanya tidak mewakili kesopanan tatacara al-Quran, pemikirannya diracuni fahaman orang kafir yang bertentangan dengan al-Quran. Seolah-olah dengan bangga mereka berkata: “Ambillah al-Quran jika ia menguntungkan kamu, jika tidak tinggalkan saja.”

Padahal Rasulullah SAW diberi gelaran sebagai ‘al-Quran yang berjalan’. Mereka ini sepatutnya diberi gelaran juga iaitu ‘pemanipulasi al-Quran’. Ya Allah tundukkanlah hati kami dengan al-Quran.