RAMADAN sudah berlalu, namun kesan tarbiah seharusnya masih berbekas di setiap jiwa Muslim. Sesungguhnya Ramadan bulan melatih diri yang bakal mencetuskan momentum untuk kebaikan yang akan diteruskan bulan seterusnya.
Aidilfitri ini adalah jejak permulaan menentukan hasil daripada natijah Ramadan. Adakah ia mampu mengundang kebaikan dan pahala seperti dilakukan pada Ramadan?
Di sini pentingnya kekuatan dalaman yang perlu dicetuskan hasil daripada istiqamah yang berpanjangan. Apakah yang ada selepas Ramadan? Mampukah untuk terus berlaku baik dengan beramal ibadat dan menambahkan pahala serta amal kebaikan?
Semua persoalan ini boleh dijadikan titik renungan setiap daripada kita bahawa Syawal yang sedang kita lalui sekarang juga adalah ujian. Barangkali terbit juga kekusutan dan kekeliruan dalam pembawaan kita pada Ramadan dan bulan lain.
Mengekalkan sesuatu yang kita amalkan atau dalam erti kata lain istiqamah mungkin sukar untuk diteruskan jika istiqamah itu terus dipandang sebagai beban yang tiada penghujungnya. Sedangkan kita boleh mengubah pandangan itu bahawa apa yang lalui Ramadan dapat menjadi pencetus kepada kebaikan untuk sebelas bulan yang akan datang bermula pada Syawal.
Sayang sekali, ia hanya dipandang sepi. Cuba kita lihat, bagaimana sibuknya pada Ramadan, semua pihak atau orang perseorangan untuk bersedekah, menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan seperti orang miskin, orang tua dan anak yatim.
Kebanyakan rumah kebajikan yang dihuni warga yang tidak berkemampuan dihujani dengan pelbagai bentuk bantuan supaya mereka boleh merasai nikmat berpuasa dan berhari raya dengan kegembiraan.
Tetapi selepas Ramadan, golongan itu terus dibiarkan dan tidak dipedulikan dalam menjalani kehidupan. Kelaziman yang berlaku dalam Ramadan langsung tidak diteruskan selepasnya menyebabkan golongan itu terasa diabaikan. Inikah dikatakan roh Ramadan yang menjiwai setiap insan?
Jika keadaan ini terus dibiarkan, adalah lebih baik jika sikap dermawan badan tertentu atau orang perseorangan ini diamalkan dalam bulan lain selain Ramadan. Majlis berbuka puasa yang asalnya adalah ibadat dan sedekah bertukar menjadi adat. Tiba masa golongan itu memerlukan bantuan, mereka terus diabaikan dan dibiarkan sepi.
Sebab itu apabila tiba Syawal seharusnya disambut dengan penuh keazaman untuk mengekalkan kebaikan dan terus istiqamah dalam setiap lunas amalan.
Persoalan yang seharusnya timbul di setiap benak fikiran kita ialah adakah Syawal ini mampu menggamit istiqamah berpanjangan yang bertitik tolak daripada Ramadan yang lalu? Jika kita tinjau dari satu segi iaitu kesihatan, berapa ramai yang mampu mengekalkan amalan kesihatan dilakukan pada Ramadan?
Barangkali dengan undangan jamuan rumah terbuka yang tidak pernah surut, mengundang tuntutan selera dan nafsu yang tidak pernah padam apabila melihat juadah istimewa sepanjang Syawal. Ini menjadikan kita lupa tuntutan Ramadan supaya bersederhana dalam makan dan minum tidak dapat dijadikan sandaran untuk terus istiqamah dalam menjaga kesihatan.
Cuba kita lihat perokok tegar yang mampu menahan keinginan merokok sepanjang berpuasa pada siang. Tetapi berapa kerat daripada mereka yang mampu mengurangkan ketagihan merokok selepas Ramadan.
Jika tidak berhenti terus daripada merokok, seharusnya jumlah bilangan perokok dan kekerapan merokok patut dikurangkan sebagai kesinambungan sikap yang diamalkan sepanjang Ramadan. Tetapi sebaliknya berlaku apabila bermulanya Syawal, kerana ada juga yang semakin kerap merokok seolah-olah mereka bebas daripada ikatan yang menegah mereka daripada merokok dan medan untuk membalas dendam kerana tidak dapat menebus keinginan merokok sepanjang Ramadan.
Justeru, Syawal yang sedang kita lalui kini perlu dihargai kerana ia mampu menjadi medan istiqamah amalan yang berpanjangan tidak kira dalam apa juga sudut setiap jiwa insan tidak mudah luntur dengan roh Ramadan. Hati yang dibaluti dengan semangat Ramadan yang tebal mampu menggamit Syawal yang penuh iltizam agar menjadi pemangkin untuk terus menjana amalan salih.
No comments:
Post a Comment