AL-QURAN sebagai kalamullah telah mengabadikan Rasulullah SAW sebagai utusan Allah dan penutup sekelian nabi. Sebagai nabi terakhir, baginda merupakan uswatun hasanah (contoh teladan) yang baik kepada umatnya.
Dalam ibadat puasa Ramadan, Rasulullah telah menunjukkan teladan yang terbaik untuk diikuti oleh umatnya. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud:
Apabila seorang dari kamu sekelian berpuasa, maka janganlah ia berkata kotor dan berteriak. Bila dicela orang lain atau dimusuhi, maka katakanlah - sesungguhnya aku ini sedang berpuasa. (riwayat Bukhari)
Sebagaimana penjelasan baginda Rasulullah sendiri bahawa orang yang berpuasa itu pada hari kiamat nanti bau mulutnya akan lebih harum dari bau kasturi.
Sama-sama kita renungi beberapa tatacara dan adab puasa yang telah diamalkan oleh baginda sebagai teladan dan iktibar untuk diikuti oleh semua umatnya.
Dalam penyempurnaan ibadat puasa Ramadan, beberapa langkah yang diambil oleh baginda antaranya:
- Memantapkan niat - Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak menetapkan akan berpuasa sebelum fajar, maka tidak sah puasanya”. (riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
- Melaksanakan makan sahur - Anas bin Malik r.a. berkata telah bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Sahurlah kamu sekelian, sesungguhnya dalam sahur itu ada keberkatannya. (riwayat Muslim).
Menurut Ibnu Hajar al-Asqalani yang dimaksudkan dengan berkat itu ialah ganjaran pahala dari Allah . Sahur akan menguatkan lagi semangat dalam berpuasa serta dapat membantu seseorang itu untuk melakukan apa juga bentuk ibadat sepanjang ibadat puasa dilaksanakan.
- Imsak Rasulullah - Rasulullah bersabda: “Apabila salah seorang dari kamu mendengar azan subuh padahal bekas minuman masih di tangannya, maka janganlah ia meletakkannya sehingga dia menyelesaikan meminumnya”. (riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah).
Keadaan yang digambarkan oleh hadis tersebut ialah kepada seseorang yang terlewat ketika bangun untuk makan sahur.
- Mempercepat berbuka - Sahl bin Saad berkata sesungguhnya Rasulullah telah bersabda: Telah berfirman Allah SWT “hamba-hamba-Ku yang lebih aku cintai ialah mereka yang segera berbuka puasa bila tiba masanya”. (riwayat Tirmizi dan Abu Hurairah).
- Memperbanyak membaca al-Quran - Rasulullah bersabda yang bermaksud: Orang-orang yang berkumpul di masjid dan membaca al-Quran, maka kepada mereka Allah akan menurunkan kelemahan batin dan limpahan rahmat. (riwayat Muslim).
Sesiapa yang membaca satu huruf al-Quran, maka pahala untuknya 10 kali ganda. Namun membaca dalam konteks hadis di atas adalah ketenangan dan limpahan rahmat akan lebih mudah dicapai bila tadarrus diertikan dengan mempelajari, menelaah dan menikmati al-Quran.
- Memperbanyak sedekah - Sedekah yang paling utama adalah sedekah pada bulan Ramadan. Bersedekah bukan hanya memberi wang, tetapi termasuklah mengajak orang lain berbuka puasa di rumah kita terutama kepada golongan fakir miskin.
- Orang yang berpuasa wajib meninggalkan akhlak yang buruk. Segala tingkahlaku mestilah mencerminkan budi yang luhur dengan menjauhi kelakuan tidak sopan seperti mengumpat, mengeji dan sebagainya sehingga membawa kepada Allah tidak menerima amalan puasanya itu.
Terdapat beberapa kes yang berlaku pada zaman Rasulullah berkaitan ibadat puasa ini sebagai iktibar kita bersama. Antaranya ialah:
“Orang yang berpuasa tetapi berjunub pada awal pagi - Aisyah dan Ummu Salamah berkata sesungguhnya Nabi SAW pernah bertemu dengan waktu fajar dalam keadaan baginda berjunub. Baginda kemudian mandi dan berpuasa” Dari Aisyah r.a. berkata, “Aku menyaksikan Rasulullah SAW bangun pagi-pagi untuk mandi kerana berjunub, bukan kerana mimpi, kemudian baginda berpuasa pada hari itu”.
- Mencium isteri - Orang yang berpuasa boleh mencium isteri. Aisyah r.a. berkata, Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah mencium sebahagian isteri-isterinya, padahal baginda berpuasa.
Orang yang berpuasa boleh menyentuh dan mencium isterinya selagi dia dapat mengawal nafsunya. Jika dirasakan ia boleh membawa kepada berlakunya persetubuhan atau terkeluarnya air mani, maka eloklah ia ditinggalkan.
- Makan dan minum kerana lupa - Abu Hurairah r.a. berkata Nabi telah bersabda yang bermaksud: Apabila ia (orang berpuasa) lupa lalu makan dan minum tanpa disengajakan, hendaklah ia terus menyempurnakan puasanya kerana Allahlah yang telah memberi makan dan minum kepadanya. (riwayat Bukhari)
- Orang yang meninggal dan berhutang puasa - Aisyah r.a. berkata Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang meninggal dan punya hutang puasa hendaklah walinya berpuasa untuknya. (riwayat Bukhari dan Muslim)
- Orang musafir - Orang yang bermusafir dibenarkan untuk berbuka puasa jika ia tidak mampu untuk meneruskannya. Aisyah meriwayatkan bahawa Abu Hamzah al-Aslami berkata kepada Nabi, “bolehkah aku berpuasa di dalam musafir?” Lalu jawab baginda, “Jika kamu ingin berpuasa, berpuasalah. Jika engkau ingin berbuka, berbukalah!”.
Rugi rasanya jika kita membiarkan Ramadan yang sedang kita tempuhi ini berlalu begitu saja sedangkan ganjaran yang sedang menanti adalah terlalu banyak menanti.
Lakukan sesuatu yang terbaik di sisi Allah .
“Wahai orang yang melakukan kebajikan terus tingkatkan apa yang kamu lakukan itu. Wahai orang yang lalai, hentikanlah segera akan kelalaian yang sedang engkau lakukan. Mudah-mudahan Allah akan menunjukkan kita semua jalan yang lurus, menghapuskan dosa dan memasukkan kita dalam golongan manusia yang bebas dari api neraka”.
No comments:
Post a Comment