Thursday, September 23, 2010

Sudahkah Anda Mulakan Puasa 6 Hari di Bulan Syawal?

Ramadhan telah berlalu dan kini Syawal telah tiba. Namun tarbiyah Ramadhan diikuti tarbiyah Syawal juga tarbiyah bulan-bulan lain semuanya dan berkesinambungan dengan ketaatan dan ibadah merupakan bukti penerimaan Ramadhan. Ini kerana Rasul saw bersabda:

“Sesungguhnya setiap amalan perlu aktif dan setiap keaktifan adakalanya berlaku saat kemerosotan. Justeru barangsiapa semasa saat kemerosotannya kembali kepada sunnahku, maka dia memperolehi petunjuk tetapi barangsiapa semasa saat itu kembali kepada yang lainnya, maka ia pasti akan sesat”.

Wahai orang yang Allah berikan taufik kepadanya di bulan Ramadhan. Janganlah anda kembali kepada dosa-dosa yang anda lakukan sebelum Ramadhan seperti amalan mengumpat, mencerca, menipu, khianat dan sebagainya..kerana anda telah merasai kemanisan air mata dan kelazatan munajat yang merupakan saat yang paling bahagia bagi para hamba. Oleh itu janganlah anda tinggalkan kebahagiaan yang telah dinikmati itu. Begitu juga amalan qiam, puasa, sedekah, tilawah al-Quran dan zikir.

Puasa sunat di bulan Syawal selepas Ramadhan adalah di antara peluang terbaik kerana orang yang berpuasa masih berada pada ketaatan dan ibadah yang lain setelah selesai puasa Ramadhan.

Nabi saw telah menyatakan kepada umatnya tentang kelebihan puasa enam Syawal dan mendorong mereka dengan menggunakan teknik galakan supaya melaksanakan puasa 6 hari ini..sabda nabi saw:

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti puasa enam hari di bulan Syawal, maka ganjarannya seolah-olah puasa sepanjang tahun”. (Muslim dan lainnya)

Menurut Imam Nawawi: Para ulamak menyatakan: “Ganjarannya seolah-olah puasa sepanjang tahun, kerana satu hasanah (pahala) mendapat 10 gandaan. Jadi puasa Ramadhan sebulan seumpama puasa 10 bulan. Manakala puasa 6 hari seumpama puasa dua bulan”.

Ibn Rejab menukilkan dari Ibn Mubarak katanya: Bagi yang berpuasa 6 Syawal secara berkesinambungan selepas puasa Ramadhan, maka dia wajib memperolehi pahala puasa sepanjang tahun.

Jikalau tanda penerimaan sesuatu ibadah ialah kecenderungan melakukan ibadah seterusnya, maka puasa 6 Syawal selepas Ramadhan adalah bukti kesyukuran orang berpuasa kepada Allah kerana memberi taufik kepada puasa Ramadhan dan menambahkan kebaikan, sepertimana puasanya sebagai bukti kecintaan kepada ibadah dan ketaatan dan kecenderungan untuk meneruskan jalan ibadah. Bahkan ia seakan-akan suatu perjanjian dengan Allah untuk bersungguh-sungguh beribadah dan melaksanakan ketaatan kerana ia tidak mahu hanya beribadah kepada Allah di bulan Ramadhan dan meninggalkan ibadah selepas Ramadhan.

Al-Hafiz Ibn Rejab al-Hanbali berkata: “Orang yang menggantikan nikmat taufik puasa di bulan Ramadhan dengan melakukan maksiat selepasnya, maka sebenarnya dia seperti orang menukarkan nikmat Allah dengan kekufuran. Ada yang mengatakan kepada Bisyr al-Hafiy: Suatu kaum yang beribadah dan bersungguh-sungguh di bulan Ramadhan. Lalu Bisyr berkata: Seburuk-buruk suatu kaum ialah yang tidak mengenali Allah dengan sebenarnya kecuali di bulan Ramadhan sebaliknya orang soleh sentiasa beribadah dan bersungguh-sungguh sepanjang tahun”.

Di antara hikmat puasa 6 Syawal

1. Puasa 6 Syawal selepas Ramadhan menyempurnakan pahala puasa sepanjang tahun bagi seorang muslim.

2. Puasa di bulan Syawal dan Syaaban sama seperti solat sunat dan solat rawatib sebelum atau selepas solat fardu yang berfungsi menampung segala kekurangan dan kecacatan dalam ibadah fardu, kerana ibadah fardu disempurnakan oleh ibadah nawafil di hari Kiamat. Bahkan ramai orang yang puasanya terdapat kekurangan dan kecacatan, maka ia perlukan amalan yang dapat menampung atau melengkapkan kekurangan itu.

3. Puasa Ramadhan mewajibkan seseorang memperolehi keampunan daripada dosa-dosa yang terdahulu. Oleh itu kembali berpuasa selepas Eidul Fitri sebagai tanda syukur kepada nikmat ini kerana tiada nikmat yang lebih besar daripada keampunan daripada dosa.

Allah telah memerintahkan hambaNya supaya mensyukuri nikmat puasa Ramadhan dengan sentiasa mengingatiNya, berzikir dan bermacam-macam cara bersyukur yang lain. Firman Allah:

“Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur” (Al-Baqarah: 185)

Justeru tanda kesyukuran hamba kepada Allah di atas taufikNya dengan puasa Ramadhan, pertolongan dan keampunan daripada dosa ialah melaksanakan ibadah puasa sunat seterusnya.

4. Amalan-amalan yang mendekatkan seorang hamba dengan Allah pada bulan Ramadhan tidak terhenti dengan berlalunya Ramadhan, bahkan masih kekal selagi hamba itu hidup. Oleh itu berpuasa selepas Eidul Fitri menunjukkan kembalinya kepada keinginan untuk berpuasa. Baginya puasa tidak menjemukan dan membebankannya.

Permasalahan berkaitan puasa 6 Syawal

1. Setengah orang berpendapat bahawa jika tahun ini mereka berpuasa 6 Syawal, maka mereka mesti berpuasa 6 Syawal pada setiap tahun. Pendapat ini tidak betul kerana ibadah ini adalah pilihan semata-mata sama ada mahu berpuasa tahun ini atau tidak pada tahun berikutnya. Bukanlah wajib berpuasa setiap tahun.

Marilah kita mengingati firman Allah:

“Dan bersegralah kamu mencari keampunan dari Tuhanmu dan mendapatkan syurga yang luasnya langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa ”. (Ali-Imran:133)

2. Setengah orang berpendapat bila seseorang telah mula berpuasa 6 hari di bulan Syawal maka ia mestilah menyelesaikannya sekaligus dan tidak boleh berhenti atau terputus sehari atau dua hari sama ada atas sesuatu sebab atau sakit semsa puasa. Pendapat ini tidak betul kerana orang yang melakukan amalan sunat berhak ke atas dirinya. Ia boleh memutuskan puasanya pada bila-bila masa yang dia mahu berdasarkan sabda nabi saw:

"Orang yang berpuasa sunat adalah ketua (berhak) ke atas dirinya dia boleh memilih sama ada mahu berpuasa atau berbuka (tidak berpuasa)”. (Tirmizi)

3. Bagi orang yang mahu berpuasa 6 Syawal sepatutnya memulakan niat puasa pada malamnya, kerana puasa pada hari-hari yang khusus pada waktu yang terbatas mempunyai ganjaran yang khusus dan tidak sama seperti puasa sunat mutlak.

4. Bagi sesiapa yang tertinggal puasa beberapa hari di bulan Ramadhan, maka ia mestilah mengqada’nya (menggantikannya) dahulu, kemudian barulah berpuasa 6 Syawal kerana puasa Ramadhan adalah ibadah fardu dan puasa 6 Syawal adalah sunat sahaja berdasarkan zahir hadith:

“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian diikuti dengan puasa 6 hari di bulan Syawal..”. (Hadith)

Namun masalah ini tidak terlepas daripada perbezaan pendapat ulamak.

5. Disunatkan bersegera melaksanakan puasa 6 Syawal yang dimulakan pada hari kedua Syawal, tetapi tidak menjadi masalah jika melewatkan pada pertengahan bulan atau penghujung bulan.

6. Puasa Ramadhan yang diikuti puasa 6 hari di bulan Syawal ganjarannya menyamai puasa sepanjang tahun kerana satu hasanah menyamai 10 gandaan berdasarkan hadith Thuban r.a dari nabi saw yang bersabda:

“Puasa Ramadhan pahalanya menyamai sepuluh bulan. Puasa enam hari di bulan Syawal pahalanya menyamai dua bulan. Dengan itu seolah-olah puasa sepanjang tahun”. (Ahmad dan Ibn Hibban)

Tuesday, September 7, 2010

Panduan Menyambut Hari Raya Aidilfitri Cara Sunnah

Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai oleh Allah serta agama paling sempurna. Firman Allah S.W.T: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepadamu, dan Aku telah redha Islam itu menjadi agamamu.” – Surah al-Maaidah: 3.

Kesempurnaan Islam itu terserlah apabila ia mampu menangani segala permasalahan manusia secara menyeluruh. Islam telah membicarakan isu-isu bersifat global seperti sistem ekonomi, sistem pemerintahan malah ia juga membicarakan sekecil-kecil perkaraseperti adab masuk ke tandas dan beristinjak.

Oleh itu, tidak hairanlah sekiranya Islam juga telah memberikan garis panduan berkaitan tatacara menyambut hari-hari kebesarannya seperti hari raya Aidilfitri ini.

Adalah penting bagi kita untuk sentiasa menjadikan al-Quran dan sunnah sebagai petunjuk dalam mengendalikan upacara sambutan Aidilfitri kerana inilah masa untuk kita semua membuktikan bahawa kita benar-benar telah menjadi seorang insan yang bertakwa setelah melalui bulan Ramadan kerana padanya terdapat ibadah puasa yang berupaya membentuk golongan muttaqin(orang yang bertakwa).

Justeru itu, ada baiknya sekiranya kita mengetahui apakah amalan-amalan yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w sempena menyambut ketibaan hari lebaran Aidilfitri ini.

1. Bertakbir

Bertakbir pada tarikh 1 Syawal bersempena Aidilfitri merupakan suatu amalan yang disyariatkan. Takbir pada hari Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal (anak bulan) dan berakhir setelah selesainya kemuncak hari raya, iaitu ketika imam selesai berkhutbah. Firman Allah S.W.T: “Supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), supaya kamu membesarkan Allah (dengan bertakbir) kerana telah memberi petunjuk-Nya kepada kamu dan supaya kamu bersyukur.” – Surah al-Baqarah:185.

Adalah juga disunnahkan untuk kita bertakbir disepanjang perjalanan dari rumah kita menuju ke masjid untu menunaikan solat Aidilfitri. Menurut Syeikh Muhammad Nasiruddin al-Albani r.h: “Mengenai syariat bertakbir (pada hari raya Aidilfitri) yang perlu dilakukan oleh kaum muslimin ialah bertakbir dengan suara lantang ketika dalam perjalanan menuju ke tempat solat walaupun kebanyakan umat Islam mula memandang remeh sunnah ini.” – RujukKitab Meneladani Rasulullah S.a.w Dalam Berhari Raya, karya Syeikh Ali Hassan bin Ali al-Halabi al-Atsari, ms. 32

Bertakbir sejak mula keluar dari rumah bertujuan menyerlahkan syiar Islam di setiap pelusuk jalan yang dilalui ketika menuju ke tempat solat.

2. Lafaz ucapan selamat pada hari raya Aidilfitri

Majoriti amalan umat Islam di Malaysia akan mengucapkan antara satu sama lain pada hari lebaran dengan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Maaf Zahir dan Batin’. Namun, apa yang lebih bertepatan dengan amalan para salafussoleh dalam meneladani sunnah Nabi s.a.w adalah sebagaimana yang diceritakan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani r.h yang dinukilkan daripada Jubair bin Nufair r.a katanya: “Apabila para sahabat Rasulullah s.a.w bertemu di hari raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain ‘taqabbalullah minna waminka’ (Semoga Allah menerimaamalan kami dan amalanmu).” – Rujuk Fath al-Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-’Asqalani, , jil. 5, ms. 270-271. Menurut beliau hadis ini berstatus hasan.

3. Meneruskan qiamullail

Jika sepanjang bulan Ramadan kita telah bersungguh-sungguh menghidupkan malam kita dengan pelbagai ibadah terutamanya solat qiyam Ramadan (solat tarawih), ia seharusnya diteruskan juga pada hari-hari berikutnya dengan mengerjakan solat tahajjud. Saranan ini tidak bermaksud mengkhususkan pada malam Aidilfitri untuk dikerjakan qiamullail. Apa yang cuba ditekankan di sini adalah semangat mengerjakan qiyam Ramadan (solat tarawih) haruslah diteruskan dengan mengerjakan qiamullail pada hari-hari berikutnyasesudah bulan Ramadan.

4. Mandi pada pagi hari raya

Disunnahkan mandi di pagi hari raya sebagaimana mandi wajib, iaitu sebelum berangkat menuju ke tempat perlaksanaan solat Aidilfitri. Ali bin Abi Thalib r.a pernah ditanya mengenai mandi. Adakah diharuskan mandi setiap hari? Beliau menjawab: “Tidak harus melakukannya. Namun, mandi yang diharuskan ialah mandi pada hari Jumaat, hari Arafah, hari Aidiladha dan Aidilfitri.” – Hadis riwayat Imam Syafie di dalam Musnad al-Syafi’i, jil. 1, ms. 118-119.

5. Makan sebelum solat Aidilfitri.

Disunnahkan kaum muslimin menjamah makanan sebelum berangkat menunaikan solat Aidilfitri. Perbuatan ini bertujuan menutup segala andaian bahawa dibenarkan berpuasa pada hari raya. Menurut al-Muhallab r.h: “Mengenai hikmah menjamah makanan sebelum mengerjakan solat hari raya adalah agar seseorang tidak berpendapat bahawa dia boleh berpuasa sehingga solat hari raya Aidilfitri dilaksanakan. Seolah-olah Rasulullah s.a.w ingin menutup prasangka semacam ini.” – Rujuk Fath al-Bari, jil. 5, ms. 272.

Kebiasaannya, Rasulullah s.a.w akan memakan kurma dalam jumlah yang ganjil pada pagi hari raya. Namun, tidak bermakna umat Islam perlu menyediakan buah kurma untuk dimakan pada pagi hari raya Aidilfitri. Mereka bebas memakan apa sahaja. Tetapi, mengikut sunnah itu lebih baik daripada menyanggahinya. Sedangkan, sunnah itu termasuk perkara tauqifi (tidak boleh dipersoalkan). Anas bin Malik r.a berkata: “Rasulullah s.a.w tidak akan pergi ke tempat solat pada pagi Aidilfitri sebelum memakan beberapa biji kurma.” Murajja’ bin Raja’ berkata: Ubaidillah menceritakan kepadaku bahawa Anas r.a berkata: Rasulullah s.a.w memakannya dalam jumlah yang ganjil.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 953.

Namun, jika tidak memiliki kurma maka dibolehkan untuk mengisi perut dengan makanan lain terutamanya makanan yang manis-manis seperti madu. Sekiranya tidak ada makanan sama sekali, memadai dengan hanya meminum air.

6. Memakai pakaian yang indah

Disunnahkan kaum muslimin menghiaskan diri dengan pakaian yang indah-indah pada hari raya. Imam Syafier.h berkata: “Aku lebih menyukai seseorang memakai pakaian terbaik yang dimilikinya pada hari-hari raya, iaitu pada hari Jumaat, dua hari raya (Aidiladha dan Aidilfitri) dan tempat diadakan majlis (seperti majlis perkahwinan). Dia hendaklah memakai baju yang bersih dan memakai wangi-wangian.” – Rujuk Ringkasan Kitab Al-Umm, Imam al-Syafi’I, jil. 1, ms. 327.

Bagi kaum wanita pula walaupun disunnahkan memakai pakaian yang terbaik, namun mereka hendaklah menghindari dari memakai pakaian yang bercorak-corak serta perhiasan yang berlebih-lebihan sehingga menarik perhatian golongan lelaki. Bagi golongan kanak-kanak pula, Imam Syafie r.h menambah: “Mengenai golongan kanak-kanak pula, mereka boleh memakai pakaian paling bagus yang dimilikinya, baik lelaki mahupun perempuan dan mereka juga boleh memakaiperhiasan emas atau apa sahaja perhiasan.” – Rujuk Ringkasan Kitab al-Umm, Imam Syafie, jil. 1, ms. 327.

Semoga di pagi hari raya kita akan memilih pakaian yang terbaik serta paling mahal mengikut kemampuan masing-masing menuju ke tempat solat hari raya. Disunnahkan juga bagi kaum lelaki memakai wangi-wangian tetapi tidak disunnahkan kepada kaumwanita. Sabda Rasulullah s.a.w: “Mana-mana wanita yang memakai wangian lalu dia melintas di hadapan lelaki supaya mereka dapat menghidu kewangiannya, dia adalah penzina.” – Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya. no: 5036.

Namun begitu bukanlah bermakna kaum wanita harus membiarkan dirinya berbau busuk. Islam adalah agama yang menitik-beratkan kebersihan serta kesihatan diri. Dibenarkan bagi wanita untuk memakai wangian yang keharuman sekadar untuk menjaga dirinya dari berbau busuk dan tidak sehingga menarik perhatian orang di sekelilingnya. Haruman-haruman yang kuat dan boleh menaikkan nafsu berahi hanyalah khusus untuk suaminya.

7. Berjalan kaki menuju tempat dikerjakan solat hari raya.

Umat Islam dianjurkan berjalan kaki menuju ke tempat solat Aidilfitri jika tidak keberatan. Ali bin Abi Thalib r.a: “Termasuk sunnah, iaitu engkau berjalan kaki menuju ke tempat solat hari raya dan memakan sesuatu sebelum berangkat.” – Hadis riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannya, no: 487.

Namun begitu bagi yang sesiapa yang perlu menggunakan kenderaan kerana tempat solat terlalu jauh, ia dibolehkan dalam syarak. Tetapi, berjalan kaki menuju ke tempat solat lebih afdal berbanding menaiki kenderaan.

8. Mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya.

Disunnahkan juga mengikuti jalan yang berbeza ketika pergi dan kembali dari mengerjakan solat hari raya. Jabir bin ‘Abdullah r.a berkata: “Nabi s.a.w melalui jalan yang berbeza pada hari raya.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 986.

Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah r.h berkata:
“Baginda s.a.w selalu melalui jalan yang berbeza ketika menuju dan pulang dari tempat solat pada hari raya. Ada yang berpendapat, hal ini dilakukan agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui kedua-dua jalan itu. Sebahagian lain berpendapat untukmemberikan barakah kepada mereka. Ada juga berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang memerlukannya di kedua-dua jalan itu. Menurut pendapat lain pula untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Pendapat yang lebih tepat adalah supaya perjalanan yang ditempuh lebih jauh (banyak langkahnya). Orang yang berjalan ke masjid atau tempat solat, salah satu langkah kakinya akan meninggikandarjat. Sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya.” – Rujuk Zaadul Ma’ad, Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah, ms. 49.

9. Tempat perlaksanaan solat hari raya

Sunnah mengerjakan solat hari raya di kawasan lapang atau musholla (tempat terbuka seperti padang sehingga khatib dapat melihat semua hadirin) merupakan satu amalan yang jarang dilakukan di Malaysia melainkan beberapa kelompok kecil yang benar-benar kuat berpegang kepada sunnah Nabi s.a.w. Apakah musholla itu berbeza dengan masjid? Abu Said al-Khudri r.a berkata: “Pada hari Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w keluar menuju ke musholla. Ketika itu, perkara pertama yang dilakukan oleh baginda ialah mengerjakan solat hari raya (tanpa ada sebarang solat sunat).” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.

Tentang hikmah mengerjakan solat hari raya di musolla, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan telah berkata: “Sesungguhnya mengerjakan kedua-dua solat hari raya di tanah lapang mengandungi hikmah yang besar. Di antaranya adalah seluruh kaum muslimin setidak-tidaknya mereka boleh berkumpul bersama (bersua muka) dua kali dalam setahun. Semua orang dariseluruh pelusuk negeri akan berkumpul di sebuah tempat sama ada lelaki, perempuan atau kanak-kanak. Mereka semua menghadap Allah dengan hati yang penuh konsentrasi, dikumpulkan dengan satu kalimat (tauhid), solat di belakang seorang imam, membaca takbir dan tahlil bersama dan berdoa kepada Allah dengan penuh ikhlas. Seakan-akan hati mereka terikat menjadi satu, merasa bahagia dan mensyukuri nikmat Allah yang telah dilimpahkan kepada mereka. Dengan itu, hari raya benar-benar bermakna bagi mereka.” – Rujuk Koreksi Total Ritual Shalat, Syeikh Abu Ubaidah Masyhur bin Hasan, ms. 394.

10. Mengerjakan Solat Aidilfitri

Di antara syiar yang palin utama dalam menyambut Aidilfitri adalah perlakasanaan solat Aidilfitri sebanyak 2 rakaat oleh seluruh umat Islam. Ibn Abbas r.a berkata: “Rasulullah s.a.w telah keluar pada hari raya Aidilfitri kemudian terus mengerjakan solat hari raya sebanyak dua rakaat. Baginda tidak melakukan sebarang solat sebelumnya dan sesudahnya.” – Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 989.

Disunnahkan menyampaikan khutbah sesudah mengerjakan solat hari raya Aidilfitri. Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata: “Pada hari raya Aidilfitri dan Aidiladha, Rasulullah s.a.w akan keluar menuju musolla. Perkara pertama yang dilakukan oleh baginda (apabila tiba di masjid) baginda akan mengimami solat. Kemudian, baginda akan berpusing dan menghadap ke arah makmum yang sedang duduk di dalam saf mereka. Seterusnya, baginda akan memberikan nasihat, wasiat dan perintah kepada mereka (khutbah).” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya, no: 956.

Para jemaah tidak diwajibkan menghadiri atau mendengar khutbah hari raya. Sebaik sahaja selesai mengerjakan solat hari raya, sesiapa yang tidak ingin turut serta mendengar khutbah maka dia dibenarkan meninggalkan majlis itu. Abdullah bin al-Sa’ib r.a berkata:
“Aku pernah menghadiri solat hari raya bersama Nabi s.a.w. Setelah selesai solat baginda bersabda: Sesungguhnya kami akan berkhutbah. Oleh itu, sesiapa ingin duduk mendengar khutbah, dia boleh duduk. Sesiapa yang ingin pergi, dia boleh beredar.” – Hadis riwayat Abu Daud di dalam Sunannya, no: 975.

11. Bergembira Pada Hari Raya Aidilfitri

Islam adalah agama yang begitu praktikal lagi munasabah. Setelah sebulan umat Islam memberi tumpuan sepenuhnya untuk beribadah kepada Allah, maka kini tiba masanya untuk menyambut kejayaan itu dengan kegembiraan dan kemeriahan. Oleh itu, usaha-usaha untuk menimbulkan suasana kegembiraan di dalam keluarga masing-masing pada hari raya Aidilfitri adalah sebahagian daripada syiar Islam. Suasana kegembiraan ini berbeza mengikut adat setempat. Bagi kita di Malaysia, kegembiraan sambutan hari rayaAidilfitri dapat dilihat dengan memakai baju-baju baru yang indah, seluruh ahli keluarga berkumpul, ziarah-menziarah sesama umat Islam dan pelbagai lagi. Di sesetengah negara Timur Tengah, cuti umum hari raya Aidilfitri dipergunakan untuk membawa ahli keluargabersiar-siar serta berkelah di tempat-tempat peranginan. Semua bentuk suasana kegembiraan dan kemeriahan ini adalah sebahagian dari tuntutan agama Islam sempena menyambut hari raya Aidilfitri selagi ia dilaksanakan sesuai dengan lunas-lunas syarak. Syeikh Sayyid Sabiq r.h berkata:
“Mengadakan permainan serta kegembiraan yang tidak melanggar aturan agama, termasuk pelbagai bentuk nyanyian yang baik (dari segi makna), semua itu termasuk syiar agama yang disyariatkan oleh Allah pada hari raya untuk melatih tubuh jasmani dan memberi kepuasan serta kegirangan hati.” – Rujuk Fiqh al-Sunnah, Syeikh Sayyid Sabiq, jil. 2, ms. 290.

Rasulullah s.a.w sendiri telah membenarkan penduduk Madinah al-Munawwarah bergembira apabila munculnya hari raya Aidilfitri dan Aidiladha. Anas bin Malik r.a berkata:
Nabi s.a.w pernah datang ke Madinah sedangkan penduduknya memiliki dua hari raya yang mana mereka bermain-main (bergembira) di masa jahiliah pada kedua-dua hari itu. Lalu baginda berkata: Aku datang kepada kamu semua sedangkan kamu memiliki dua hari (raya) yang menjadi medan permainan kalian pada masa jahiliyyah. Sabdanya lagi: Sesungguhnya Allah telah menggantikan kedua-dua hari itu dengan yang lebihbaik, iaitu hari raya Aidiladha dan Aidilfitri.” - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunannya, no: 959.

12. Mengerjakan Puasa Sunat Enam Hari Pada Bulan Syawal

Sabda Rasulullah s.a.w:
“Sesiapa yang berpuasa pada bulan Ramadan lalu diiringi dengan puasa enam hari di bulan Syawal, seolah-olah dia telah berpuasa setahun.” – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1164.

Demikianlah keutamaan puasa sunat enam hari di bulan Syawal. Cara yang paling afdal untuk melaksanakannya adalah memulakan berpuasa sesudah hari raya Aidilfitri secara berturut-turut (bermula pada 2 Syawal) sebagaimana yang ditetapkan oleh para ulama. Ini juga merupakan pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Syafie r.h. Namun, seseorang bebas memilih mana-mana hari sepanjang bulan Syawal sama ada di awal, pertengahanmahupun di akhirnya bahkan dia juga boleh mengerjakan secara berturut-turut atau berpisah-pisah. Amalan sesetengah pihak yang melakukan puasa qada dan sunat Syawal secara serentak mengikut formula dua dalam satu merupakan perbuatan bid’ah yang tidak ada dalilnya dari mana-mana hadis Nabi s.a.w yang thabit. Oleh itu, afdhal menyempurnakan puasa bulan Ramadan yang ditinggalkan terlebih dahulu diikuti puasa sunat di bulan Syawal. Perbuatan ini lebih bertepatan dengan maksud hadis di atas untuk mendapat keutamaannya, iaitu seolah-olah berpuasa setahun.

PENUTUP

Inilah sebahagian daripada hukum-hakam dan amalan yang disunnahkan ketika menyambut bulan Ramadan al-Mubarak dan hari raya Aidilfitri menurut al-Quran dan sunnah yang sepatutnya dijadikan contoh ikutan bagi seluruh umat Islam. Mudah-mudahan, sambutan hari raya Aidilfitri yang akan menjelma nanti disambut dengan penuh keikhlasan, kemeriahan dan selari dengan perintah Allah serta Rasul-Nya s.a.w.

Wednesday, August 25, 2010

Ramadhan: Memenuhi Fitrah Manusia

"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa." Surah al-Baqarah, ayat 183.

Memahami tujuan hidup

Manusia terdiri daripada dua unsur yang saling melengkapi di antara satu sama lain. Unsur tersebut ialah tubuh dan roh. Sejak zaman berzaman, tubuh jika mengalami sebarang masalah dapat dirujuk kepada bomoh dan hari ini digelar sebagai doktor. Kesemuanya ini dirujuk apabila tubuh ditimpa sebarang penyakit. Manakala roh ataupun jiwa, jika ditimpa sebarang masalah akan dirujuk kepada pawang atau bomoh.

Selalu juga berlaku, sebahagian atau segelintir orang mengambil langkah penyelesaian kepada pelbagai masalah itu dengan cara mengadu kepada kuasa lain selain Allah SWT. Cara itu adalah khurafat. Lalu lahirlah amalan memuja pokok, sungai, batu, cakerawala dan sebagainya.
Semua itu menunjukkan keperluan untuk melunaskan fitrah manusia yang ingin bertuhan. Secara fitrahnya, manusia perlu kepada Tuhan. Manusia sendiri tidak boleh menerima dengan akal bahawa dunia ini wujud tanpa pencipta. Lalu dengan keyakinan inilah, manusia mencari-cari siapa yang perlu dirujuk ketika menghadapi sebarang masalah. Lahirlah dari rasa fitrah tersebut amalan-amalan khurafat yang wujud semenjak zaman dahulu kala.

Islam kemudiannya datang bukanlah sangat untuk mengajar manusia bahawa di dunia ini adanya Tuhan kerana itu merupakan satu fitrah. Tetapi Islam datang untuk meletakkan fitrah manusia di landasan yang betul iaitu mengakui Tuhan itu hanyalah Allah SWT. Jiwa dan jasad manusia dipandu dengan jelas agar mengakui bahawa zat yang layak untuk disembah hanyalah Allah SWT. Dengan kata lain, manusia diseru agar mengabdikan diri hanya kepada Allah SWT. Pengabdian kepada Allah SWT merupakan misi utama penciptaan manusia. Inilah tujuan hidup manusia yang telah ditetapkan oleh Allah Yang Maha Pencipta.

Al-Quran panduan hidup

Tujuan hidup ini tidak dapat disebut oleh mana-mana ahli fikir jika tidak merujuk kepada al-Quran. Ahli-ahli sains mungkin dapat menyebut tujuan tanah, air, api, dan udara atau sebagainya adalah berguna kepada manusia. Demikian juga seorang ahli perubatan dapat menjelaskan khasiat ubat-ubatan yang dihasilkan. Namun, siapakah yang dapat menjelaskan tujuan hidup jika tidak Allah SWT sendiri?

Sebagaimana seorang yang datang dari ceruk kampung berdepan dengan pelbagai mesin di gudang yang besar, tidak akan mengetahui fungsi setiap jentera dan suis yang dilihatnya kerana tidak mempunyai kemahiran. Orang yang mengetahui fungsi mesin yang pelbagai itu ialah jurutera yang menciptanya atau sekurang-kurangnya mereka yang berpengetahuan tentangnya.

Demikianlah tujuan hidup manusia. Mustahil seorang manusia mengetahui tujuan dia sendiri diciptakan jika tidak diberitahu oleh kuasa yang menciptakan manusia, iaitu Allah SWT. Untuk memberitahu tujuan hidup inilah, dihantar rasul-rasul kepada manusia dari zaman berzaman. Merekalah (para rasul) yang ditugaskan untuk memandu manusia, bagaimana hidup ini perlu diselaraskan menurut kehendak Allah SWT.

Justeru jurupandu kepada umat ini ialah para ambiya’ khususnya di akhir zaman ini ialah Nabi Muhammad SAW. Baginda tidak mereka-reka jalan, baginda hanya menunjuk jalan berpandukan al-Quran.

Sehubungan itu, bersempena menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak kali ini (1431H), maka seluruh kehidupan ini hendaklah mengambil pengajaran darinya. Antaranya mengambil ingatan sebaiknya kerana bulan Ramadhan merupakan bulan penurunan al-Qur an. Di antara sifat al-Quran ialah hudan linnas sepertimana firman Allah SWT:

"Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil). " Surah al-Baqarah, ayat 185.

Puasa memenuhi fitrah manusia

Justeru, antara keberkatan utama bulan Ramadhan adalah difardhukan ibadat puasa sepertimana difardhukan ke atas umat terdahulu. Namun, puasa sebagaimana ibadat-ibadat lain juga merupakan keperluan bagi fitrah manusia. Jika sekalipun agama tidak mewajibkan puasa ini dilakukan, manusia sendiri tentunya akan mewajibkan ke atas dirinya untuk berpuasa kerana banyak manfaat daripadanya, termasuklah dari aspek kesihatan. Apatah lagi jika ia merupakan satu perintah daripada Allah SWT, maka lebih perlulah puasa ditunaikan sekalipun menempuhi sedikit kepayahan.

Salah satu manfaat besar puasa ialah dapat membukti sejauh mana tanda taat dan tunduknya manusia kepada tuhannya. Manusia selaku hamba Allah, sanggup bersusah payah (dengan berpuasa), demi membuktikan kepatuhan mereka. Sebagaimana kita bersusah payah untuk menjaga anak-anak kita yang kita sayangi, maka demikianlah kita mengutamakan ibadat sepanjang Ramadhan ini, sanggup kita bersusah payah demi Tuhan yang kita yakini.

Inilah sebab mengapa setiap amalan di dalam Islam perlu diasaskan kepada niat yang ikhlas. Niat yang ikhlas dalam erti kata lain melaksanakan amalan semata-mata kerana ia merupakan perintah Allah SWT. Bukan sahaja beribadat seperti solat dan puasa, bahkan berpolitik, berniaga, bersosial, berumahtangga semuanya kerana Allah SWT. Dari sinilah, hati kita perlu sentiasa diasuh untuk meyakini bahawa amalan yang dilakukan bukan kerana budaya turun temurun atau adat resam tetapi hanya kerana Allah SWT.

Manusia perlulah sentiasa yakin bahawa Allah SWT itulah yang bersifat dengan al-Khaliq (Yang Maha Mencipta), al-Baari (Yang Memberikan Kemampuan) dan al-Mushawwir (Yang Memberikan Bentuk). Keyakinan seperti ini membantu manusia untuk lebih meningkatkan amal ibadat kerana diyakini setiap amalan tersebut dinilai oleh Allah SWT yang menciptakannya. Keyakinan inilah juga yang akan mendorong manusia untuk berpuasa dengan sesungguh hati yang memenuhi tuntutan takwa kepada Allah SWT.

Ingatlah, hilangnya keyakinan terhadap Allah, maka akan hilanglah roh dari ibadat puasa tersebut. Hilangnya roh ibadat puasa itu, maka akan menghilangkan pula ganjaran yang disediakan oleh Allah SWT kepada orang-orang yang berpuasa. Sebagaimana sabda Rasulullah SAW :

"Betapa ramai orang yang berpuasa tidak mendapat apa-apa daripada puasanya kecuali lapar dan betapa ramai orang yang berqiyam tidak mendapat apa-apa daripada qiyamnya kecuali hanya berjaga malam." Riwayat Ibnu Majah.

Semoga kita semua dapat memperbanyakkan amalan membaca al-Quran, bersedekah, qiyamullail dan sentiasalah berzikir mengingati Allah SWT di sepanjang Ramadhan. Malah, semua ini seharusnya sentiasa menjadi amalan rutin kita, bukan hanya ketika bulan Ramadhan. Harapan kita, agar bacaan al-Quran, sedekah, qiyam dan juga zikir yang kita amalkan sentiasa memandu kita di dalam mengurus tadbir hidup ini berpandukan al-Quran sebagai usaha kita memenuhi apa yang dikehendaki oleh Allah SWT. InsyaAllah, Ramadhan pada tahun ini jauh lebih baik dari Ramadhan pada tahun-tahun yang lepas.

Oleh :
Tuan Guru Dato Nik Abdul Aziz Nik Mat,
Menteri Besar Kelantan,
http://www.blogtokguru.com/

Renungan Ramadhan

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Ketahuilah bahawa puasa yang sedang kita jalani ini merupakan jalan singkat untuk
mendapat rahmat, pahala dan keberkatan dari Allah.

Orang-orang yang berpuasa merupakan golongan yang terpilih, special, dan mempunyai
keistimewaan pada hari qiamat. Sahal bin Sa’ad berkata bahawa Nabi (saw) bersabda:
“Sesungguhnya syurga itu mempunyai sebuah pintu, disebut “rayyan”. Akan diseru pada
hari qiamat: “ Mana orang yang berpuasa?”. Lalu bila orang yang terakhir dari mereka
telah masuk, maka pintu itupun ditutup”.
(hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Puasa ini juga bakal menjadi pembela dan pemberi syafaat kepada kita. Menurut
Abdulah bin Umar (ra), Nabi (saw) bersabda:

“Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat bagi hamba, pada hari qiamat. Berkata
puasa: “Ya Tuhan, Engkau larang ia makan dan memuaskan syahwat di waktu siang, dan
sekarang ia meminta syafaat padaku kerana itu”. Dan berkata pula al-Quran: “ Engkau
larang ia tidur di waktu malam, sekarang ia meminta syafaat padaku mengenai itu”.
Maka syafaat kedua merekapun diterima oleh Allah.”
(hadis riwayat Ahmad)

Orang yang berpuasa akan bergembira apabila bertemu dengan Tuhannya nanti seperti
hadis dariAbu Hurairah bahawa Nabi (saw) bersabda:

“ Dan orang yang berpuasa itu beroleh dua kegembiraan yang menyenangkan hati: di
kala berbuka, ia akan bergembira dengan berbuka itu, dan di saat ia menemui Tuhannya
nanti, ia akan gembira kerena puasanya.”
(hadis riwayat Ahmad, Muslim dan an-Nisa’i)

Jelas kepada kita status atau kedudukan orang-orang yang berpuasa. Memang dalam
mengerjakan puasa itu terdapat kesukaran, keletihan dan kesusahan. Memang puasa
memerlukan pengorbanan dan kesabaran. Tetapi yakinlah dengan janji Allah melalui
lisan Nabi-Nya ini. Puasa bakal memohon syafaat bagi kita. Kita mempunyai
keistimewaan dengan pintu khas untuk masuk ke syurga. Dan kita akan bergembira
bukan sahaja ketika berbuka tetapi juga apabila kita bertemu dengan Allah nanti. Inilah
kegembiraan yang hakiki.

Semoga Allah menggabungkan kita ke dalam orang-orang istimewa dan memperoleh
syafaat dari puasa yang kita kerjakan.

Tuesday, August 17, 2010

KEBERKATAN BERSAHUR

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Di antara sunat puasa yang sering dipandang ringan oleh ramai umat Islam kini ialah
bersahur. Bersabda Nabi (saw):

“ Makan sahurlah, kerana makan sahur itu berkat.” (hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis lain, Nabi (saw) bersabda:

“ Bersahur itu berkat maka janganlah kamu tinggalkan, walau seorang di antaramu
hanya meneguk air. Kerana Allah dan para Malaikat-Nya akan mengucapkan selawat
kepada orang-orang yang bersahur”.
(hadis Riwayat Ahmad)

Dan adalah disunatkan kita melewatkan sahur tersebut, seperti dinyatakan oleh ‘Amar bin
Maimun mengenai para sahabat Nabi (saw):

“Para sahabat Nabi Muhammad (saw) itu adalah orang-orang yang paling bersegera
berbukanya dan paling lambat bersahurnya”
(Riwayat Baihaqi)

Di sana terdapat hikmah dan berkat yang besar dari sahur dan melewatkannya. Pertama,
ia memberi kekuatan kepada yang berpuasa. Tetapi lebih besar ertinya pada kita ialah
sahur memberi peluang untuk mendapat ucapan selawat dari Allah dan para malaikat.

Bukan mudah untuk kita melayakkan diri menerima ucapan selawat daripada Pencipta
dan Penguasa Alam dan para malaikat-Nya. Ini merupakan satu anugerah yang perlu
direbut oleh setiap insan. Mengingatkan anugerah ini, pastinya tidak terlalu sukar untuk
kita bangun esok pagi untuk bersahur.

Satu lagi hikmah yang besar dari sahur yang lewat ialah ia akan memastikan kita berjaga
di penghujung malam menjelang subuh; satu saat yang amat mustajab untuk berdo’a.

Ambillah peluang bangunnya kita di waktu sahur untuk menunaikan dua rakaat solat
tahajjud atau hajat dan berdo’alah kepada-Nya Yang Maha Mendengar.

Di samping itu, bangunnya kita untuk bersahur menjelang subuh akan memastikan agar
kita dapat solat subuh di awal waktunya; satu amalan yang amat disukai. Menurut
sebuah hadis dari Abu Mas’ud al-Ansari:

“ Bahwa Rasulullah (saw) melakukan solat subuh di saat kelam pada akhir malam (di
awal waktu subuh), kemudian pada kali lain dilakukannya ketika hari mulai terang.
Setelah itu solat tetap dilakukannya pada waktu gelap tersebut sehingga beliau wafat,
dan tidak pernah lagi di waktu hari telah mulai terang.”
(riwayat Abu Daud dan Baihaqi)

Di samping itu, berkesempatan pula kita bersolat sunat subuh yang disebutkan oleh Nabi
(saw):

“Dua rakaat sunat subuh itu lebih baik daripada dunia dan seisinya.” (hadis Riwayat Ahmad, Muslim, Tirmidhi dan an-Nisa’i)

Oleh itu, kita tidak boleh memandang sahur hanya sekadar untuk makan menambah
tenaga bagi menguatkan badan; mungkin tidak diperlukan jika seseorang merasakan
dirinya telah kuat. Tetapi sahur adalah lebih dari itu; ia adalah satu sunnah Nabi,
melakukannya memberi kita peluang mendapat selawat dari Allah dan para malaikat,
peluang untuk berdo’a di saat yang mustajab, dapat solat subuh di awal waktu dan dapat
pula bersolat sunat yang begitu besar ganjarannya.

Semoga Allah mempermudahkan kita untuk istiqamah di atas sunnah Nabi-nya.

Thursday, August 12, 2010

KEPALSUAN HADIS KELEBIHAN TARAWIH

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata'ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'alaihi wasallam serta para sahabatnya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan tarawikh pada malam-malam ramadhan telah tersebar dengan meluas sekali. Media-media elektronik,media-media cetak serta media-media massa turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar, dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang diberkati itu.

Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut : "Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan antaranya:

· Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).

· Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

· Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.

· Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.
· Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.

· Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W..
· Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh

Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanahair tentang kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini.

Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya didalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama-ulama kita dahulu.

Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya : Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim)

Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad S.A.W. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini.

Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad S.A.W. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam… seterusnya dia berkata: Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga. Fiman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).

Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan terawih dalam bulan Ramadhan seperti mana kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang mana sebenarnya hadis itu pun telah di reka atas nama nabi Muhammad S.A.W. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi: Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang zohor dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri.Jika dia meninggalkan sembahyang sembahyang asar dosanya adalah seperti meruntuhkan kaa'bah..

Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadhan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)

Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan kedalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)

Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun siksaannya namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.

Diantara ciri-ciri hadis maudhu` (rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah

1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad S.A.W. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi-nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.

2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan dimana ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis shohih.

3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi sepertimana yang terdapat dalam hadis-hadis shohih.

4. Didalam setengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan "Ya Ali" sedangkan ulama-ulama hadis telah mengatakan bahawa hadis-hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang shohih.Yang lainnya adalah palsu.

Oleh itu umat Islam sekalian terutamanya pihak-pihak berkenaan seperti institusi-institusi agama diperingkat negeri dan pusat sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan kedua Ahlus Sunnah Wal Jamaah.Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan diayah-diayah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.

SELAMAT BERPUASA DAN BERIBADAT MENGIKUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W.

Jab. Mufti N. Terengganu,
Tingkat 1, Kompleks Seri Iman,
Kuala Terengganu 21100
Terengganu
Tel : 09-6252525 ext. Fax : 09-6235411

Tuesday, August 10, 2010

Ramadan Datang Lagi

“Ramadan kali ini aku nak cuba baiki diri. Lama dah rasanya tak buat amalan sunat. Rasa diri ini tak pandai menyambut Ramadan. Tapi kali ini aku nak cuba agar sejarah silam tak kembali lagi…”

Mungkin itulah kata hati kita apabila tibanya malam pertama Ramadan kali ini memandangkan Ramadan yang lepas disia-siakan. Adakalanya terasa juga ruginya umur remaja dijadikan masa untuk bersuka-ria sahaja. Sibuk dengan kawan-kawan, enjoy sana, enjoy sini hingga syariat Tuhan diabaikan. Tuhan semakin ditinggalkan apatah lagi nak dicintai. Huh… sibuk benar mengejar dunia yang sementara saja.

Ramadan yang sarat dengan janji pahala dan keampunan tidak layak untuk kita sia-siakan. Sesungguhnya puasa zahir ditandai dengan berakhirnya siang, iaitu ketika mulai tenggelamnya matahari di tempat istirehatnya. Semasa berbuka lupa Ramadan sekejap, rasa dunia ini dia yang punya, pelbagai jenis air, bermacam-macam warna dan rasa, kuih tak tau la berapa jenis, belum lagi lauk pauk. Pendek kata tak ada ruang lagi la atas meja tu. Akhirnya semua itu akan dimasukkan ke dalam tong sampah kerana perut tak dapat menampung beban makanan yang masuk…membazir bukan.

Akan tetapi puasa orang-orang yang dekat dengan Tuhan, tidak berpenghujung. Tidak dimulai dengan syuruk dan tidak diakhiri dengan ghurub. Tidak dapat dihitung dengan bilangan jam dan batasan waktu. Malah dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan mengharap reda Allah. PUASA MEREKA DIIRINGI DENGAN RASA BERTUHAN YANG MENDALAM DAN RASA HAMBA YANG MEKAR MEMBUNGA. Dirasakan Ramadan inilah rahmat dan kasih sayang Tuhan itu melimpah-ruah.

Pernah Rasulullah SAW, manusia yang agung bersabda: “Ada orang yang berpuasa tapi tiada baginya pahala, yang dapat hanyalah lapar dan dahaga”.

Ingatan ini mesti dijaga agar ibadah puasa kita tidak rosak dan sia-sia walaupun tepat syarat dan rukunnya.

Selanjutnya Rasulullah SAW memberitahu kita supaya banyakkan ibadah di bulan puasa kerana balasannya sungguh istimewa. Ia bulan pengampunan dosa juga bulan dikabulkan doa. Terhimpun kebaikan padanya. Syurga rindu orang yang memuliakannya.

Bagi orang yang menghayati Ramadhan yang diberkati, puasanya akan berkesan dihati hingga membina peribadi.

Nabi SAW bersabda: “Siapa berpuasa pada bulan Ramadhan kerana iman dan mengharapkan reda Allah, akan diampuni dosanya yang terdahulu dan kemudian”

Inilah puasa yang hakiki..

Oh Ramadhan…kedatanganmu kurindu..kehadiranmu menggamit ketenanganku.

Glosari:

1) syuruk: waktu terbit matahari

2) ghurub: waktu terbenam matahari