Wednesday, August 25, 2010

Renungan Ramadhan

Saudara-saudari yang dirahmati Allah,

Ketahuilah bahawa puasa yang sedang kita jalani ini merupakan jalan singkat untuk
mendapat rahmat, pahala dan keberkatan dari Allah.

Orang-orang yang berpuasa merupakan golongan yang terpilih, special, dan mempunyai
keistimewaan pada hari qiamat. Sahal bin Sa’ad berkata bahawa Nabi (saw) bersabda:
“Sesungguhnya syurga itu mempunyai sebuah pintu, disebut “rayyan”. Akan diseru pada
hari qiamat: “ Mana orang yang berpuasa?”. Lalu bila orang yang terakhir dari mereka
telah masuk, maka pintu itupun ditutup”.
(hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Puasa ini juga bakal menjadi pembela dan pemberi syafaat kepada kita. Menurut
Abdulah bin Umar (ra), Nabi (saw) bersabda:

“Puasa dan al-Quran akan memberi syafaat bagi hamba, pada hari qiamat. Berkata
puasa: “Ya Tuhan, Engkau larang ia makan dan memuaskan syahwat di waktu siang, dan
sekarang ia meminta syafaat padaku kerana itu”. Dan berkata pula al-Quran: “ Engkau
larang ia tidur di waktu malam, sekarang ia meminta syafaat padaku mengenai itu”.
Maka syafaat kedua merekapun diterima oleh Allah.”
(hadis riwayat Ahmad)

Orang yang berpuasa akan bergembira apabila bertemu dengan Tuhannya nanti seperti
hadis dariAbu Hurairah bahawa Nabi (saw) bersabda:

“ Dan orang yang berpuasa itu beroleh dua kegembiraan yang menyenangkan hati: di
kala berbuka, ia akan bergembira dengan berbuka itu, dan di saat ia menemui Tuhannya
nanti, ia akan gembira kerena puasanya.”
(hadis riwayat Ahmad, Muslim dan an-Nisa’i)

Jelas kepada kita status atau kedudukan orang-orang yang berpuasa. Memang dalam
mengerjakan puasa itu terdapat kesukaran, keletihan dan kesusahan. Memang puasa
memerlukan pengorbanan dan kesabaran. Tetapi yakinlah dengan janji Allah melalui
lisan Nabi-Nya ini. Puasa bakal memohon syafaat bagi kita. Kita mempunyai
keistimewaan dengan pintu khas untuk masuk ke syurga. Dan kita akan bergembira
bukan sahaja ketika berbuka tetapi juga apabila kita bertemu dengan Allah nanti. Inilah
kegembiraan yang hakiki.

Semoga Allah menggabungkan kita ke dalam orang-orang istimewa dan memperoleh
syafaat dari puasa yang kita kerjakan.

No comments: