Friday, July 25, 2008

Al-Quran, Amal Soleh Peneman Ketika Ajal Datang Menjemput

TIMBUL KEINSAFAN: Rasulullah SAW menyuruh umatnya mengamalkan ziarah kubur. Tidaklah pelik jika kita membawa ahli keluarga bersama bagi mengingati mati, bahkan yang pelik adalah membawa anak ke tempat melalaikan. - Gambar hiasan

Ummah wajar hindar kelalaian kerana punca ia penyesalan di akhirat

SESIAPA yang tahu bilakah ajalnya datang tentu akan mengalami tekanan akal dan perasaan. Tetapi Allah menjadikan manusia bersifat lupa dan lalai terhadap kematian.
Bayangkanlah jika semua manusia tahu hari atau jam berapa dia akan mati, tentu porak-peranda dunia ini. Kematian adalah misteri yang tidak akan terpecah dengan fahaman rasional semata. Manusia perlukan iman untuk melalui perjalanan menuju kematian dengan reda dan bersedia.

Abdullah bin Mas’ud berkata, Nabi SAW melukis empat segi untuk kami. Di tengahnya Baginda membuat garisan dan dekat garisan itu Baginda melukis beberapa garisan lain. Baginda juga membuat garisan di luar kemudian bersabda yang bermaksud: “Apakah kamu tahu apa ini? Kami menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih tahu.

Baginda bersabda: “Ini adalah insan (garisan yang di tengah), ini adalah ajal dan ia mengepungnya. Ini adalah beberapa hal baru (garisan yang di sekitarnya), ia menggigitnya. Jika luput terhadapnya ajal ini, maka manusia digigit oleh beberapa hal baru ini. Dan yang ini adalah angan-angan (beberapa garisan di luar).” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Sesungguhnya manusia sudah terkepung oleh ajalnya, tetapi mereka mengejar angan-angan yang tidak sudah. Betapa kita ditertawakan oleh takdir, ke mana saja kita pergi dan apa saja keinginan, semuanya kembali kepada qada dan qadar-Nya.

Jadi mengapa manusia melupakan kematian? Bukankah akan sampai saat matanya ditutup dan tidak boleh dibuka kembali, nafas dihirup tidak dapat dihembus lagi, saat kaki kanan melangkah dan belum pasti yang kiri akan sampai, saat menyuap rezeki yang belum tentu dapat ditelannya?

Betapa berharganya masa diberikan Tuhan kepada manusia, mungkin seminggu atau sehari lagi ajal akan datang, segala kemungkinan boleh berlaku di mana saja. Di atas jalan raya atau di pasar, di masjid atau dalam kamar, di bumi mana dia dijemput, tiada siapa yang tahu.
Jika ditanya bilakah kamu mahu membuat persediaan menghadap Allah , maka mereka menjawab: “Tunggulah hari tua nanti, sekarang aku mahu kumpulkan harta sebanyak-banyaknya supaya senang beribadah di kala tua.”

Selepas datangnya tanda mati, gugurnya gigi, tumbuhnya uban dan datang pula penyakit yang melemahkan tubuh badannya, maka orang tua ini pun berdolak-dalih: “Aku sakit, tak boleh sembahyang, tak wajib puasa, zakat dan sedekah pula tak payahlah keluarkan sebab anak aku perlukan rumah dan banyak hutang pula, lebih baik hulurkan kepada mereka hartaku ini, orang tua yang kedekut akan menerima padah nanti, bagaimana jika anak aku tidak mahu memelihara aku? Ada duit anak pun datang tak ada duit tinggallah aku keseorangan.”

Lalu dia menganggap baik kelalaian atas sebab uzur, maka dihembuslah ke dalam hatinya tipu daya syaitan yang menyuruh untuk bersangka baik kepada Allah secara yang silap, bukankah Allah maha penyayang?

Dia tidak akan menyeksa hambanya yang uzur. Atas sebab dan alasan kelemahan jasadnya dia tinggalkan amal, ketepikan ilmu dan tutup pintu hatinya untuk beribadah. Tetapi agenda memuaskan hawa nafsunya tetap berjalan, makan tidak mahu berpantang, jika berhibur mengalahkan orang muda.

Siang sampai ke malam dihabiskan di hadapan televisyen. Al-Quran dilupa, sembahyang pula tidak ingat. Datang pula penyakit hati yang biasa menyerang orang tua seperti, sedih, risau, cepat terasa hati dan menyangka buruk kepada sesiapa dikenali seperti anak atau menantu dan cucu-cicit. Begitulah belitan syaitan menguasai insan yang malang.

Allah berfirman mengenai keadaan manusia sebegini yang bermaksud:

“Dan kamu ragu-ragu serta ditipu oleh angan-angan kosong sehingga datanglah ketetapan Allah dan kamu sudah ditipu terhadap Allah oleh syaitan yang amat penipu.” (Surah al-Hadid, ayat 14)

Kelalaian adalah penyakit yang dideritai setiap insan. Ia lebih merbahaya daripada segala penyakit di dunia ini kerana setiap penyakit ada ubatnya dan hanya memberi impak pendek serta sementara. Tetapi kelalaian akan menghasilkan penyesalan selama-lamanya pada akhirat kelak.

Bagi orang muda, biasanya kesihatan dan kenikmatan duniawi menjadi faktor membuat mereka tertipu. Semasa sihat, banyak masa kosong dan harta masih berlonggok, amat malas beribadat kerana saat itu manusia berada dalam zon selesa. Jika ujian dan musibah datang barulah hati tergerak ingat kepada dosa dan berubah taat merapati Allah .

Jika cepat sedar, alangkah bersyukurnya orang memiliki jiwa seperti ini, dia sentiasa berwaspada daripada tipu daya syaitan. Tetapi jika terlalu asyik dengan nikmat dunia hingga lupa segala-galanya, musibah sekeras apapun tak akan menggoyahkan hatinya untuk tunduk kepada Allah .

Untuk mendidik jiwa supaya sentiasa merasai pendeknya usia tentu amatlah susah melainkan dengan latihan yang terancang dengan baik. Latihan mengingati mati boleh dilakukan dengan pembacaan dan kajian yang lebih mendalam mengenainya.

Ilmu penting untuk membentuk suatu penghayatan yang sempurna. Ayat al-Quran dan hadis membincangkan hari akhirat, hidup sesudah mati dan pembalasan syurga serta seksa neraka boleh melembutkan hati manusia dan menjaganya dalam lingkungan celik iman.

Rasulullah SAW juga menyuruh umatnya untuk mengamalkan ziarah kubur. Tidaklah pelik jika kita membawa ahli keluarga bersama singgah ke tanah perkuburan bagi mengingati mati, bahkan yang pelik adalah membawa anak ke tempat melalaikan.

Di perkuburan kita disyariatkan untuk mengucapkan salam dan berdoa untuk saudara kita dengan harapan supaya keinsafan sebati dalam jiwa yang selalu lalai dan sedar atas segala kejahatan diri kerana apabila berada dalam kubur, tiada siapa boleh membantu.

Senang sungguh jika membayangkan mahu membina rumah dengan kos yang tinggi, sudah tentulah ia harus dibayar dengan jerih payah yang menyeksa jiwa, tetapi susah sangat hendak membuat persediaan membina rumah idaman di dalam kubur yang lebih indah.

Manusia boleh berbangga dengan istana yang bermandikan cahaya kristal gemerlapan, tetapi yang hanya boleh menerangi kuburnya hanyalah al-Quran dan amal salih yang dicintai ketika di dunia ini.

INTI PATI

Kematian

a). Kematian adalah misteri yang tidak akan terpecah dengan fahaman rasional semata. Manusia perlukan iman untuk melalui perjalanan menuju kematian dengan reda dan bersedia.

b). Sesungguhnya manusia sudah terkepung oleh ajalnya, tetapi mereka mengejar angan-angan yang tidak sudah. Betapa kita ditertawakan takdir, ke mana saja kita pergi dan apa saja keinginan, semuanya kembali kepada qada dan qadar-Nya.

c). Betapa berharganya masa diberikan Tuhan kepada manusia, mungkin seminggu atau sehari lagi ajal akan datang, segala kemungkinan boleh berlaku di mana saja. Di atas jalan raya atau di pasar, di masjid atau dalam kamar, di bumi mana dia dijemput, tiada siapa yang tahu.

d). Siang sampai ke malam dihabiskan di hadapan televisyen. Al-Quran dilupa, sembahyang pula tidak ingat. Datang pula penyakit hati yang biasa menyerang orang tua seperti, sedih, risau, cepat terasa hati dan menyangka buruk kepada sesiapa dikenali seperti anak atau menantu dan cucu-cicit. Begitulah belitan syaitan menguasai insan yang malang.

e). Bagi orang muda, biasanya kesihatan dan kenikmatan duniawi menjadi faktor membuat mereka tertipu.

f). Untuk mendidik jiwa supaya sentiasa merasai pendeknya usia tentu amatlah susah melainkan dengan latihan yang terancang dengan baik. Latihan mengingati mati boleh dilakukan dengan pembacaan dan kajian yang lebih mendalam mengenainya.

g). Ayat al-Quran dan hadis membincangkan hari akhirat, hidup sesudah mati dan pembalasan syurga serta seksa neraka boleh melembutkan hati manusia dan menjaganya dalam lingkungan celik iman.

Friday, July 18, 2008

Sifat Marah Cermin Jiwa Tidak Tenteram


Kita dituntut bersabar supaya dijauhi daripada ‘rasukan’ kemarahan

SIFAT marah yang datang daripada hati mempunyai kaitan dengan keimanan seseorang. Orang sabar dapat menahan kemarahan dalam saat genting dan sudah tentu mendapat ganjaran di sisi-Nya.

Daripada Abdullah bin Umar, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Tiada hamba yang meneguk air lalu mendapat ganjaran lebih besar di sisi Allah daripada hamba yang meneguk air menahan kemarahan kerana Allah .” (Hadis riwayat Ibn Majah)

Sabda Rasulullah yang bermaksud:

“Bukankah orang gagah itu, orang kuat bertinju. Akan tetapi orang yang gagah adalah orang yang dapat mengawal diri ketika marah.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Marah boleh merenggangkan hubungan kekeluargaan, begitu juga hubungan persahabatan dan kejiranan kerana perasaan marah menyebabkan kita susah melihat kebaikan orang lain serta hilang sifat lemah-lembut.

Sedangkan kita tahu Allah menyukai sifat lemah-lembut. Daripada Aisyah, Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah menyukai sifat lemah-lembut dalam setiap perkara.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Mengambil wuduk dan beristighfar dapat mengawal sifat marah. Segala-galanya dapat meruntuhkan tipu daya iblis dan menghancurkan kesesatan yang disuruhnya. Selain itu, memberi penawar hati yang marah dan gundah, sesungguhnya hati tunduk kepada Allah .

Sifat marah juga adalah cerminan kalbu keperibadian jiwa yang tidak tenteram. Oleh itu, kawal jiwa kerohanian supaya hidup sentiasa tenteram, aman dan damai sepanjang masa.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sifat bodoh atau jahil itu pokoknya ialah watak kedegilan yang dipimpin oleh sifat marah. Sesiapa juga yang dirinya reda dalam keadaan jahil atau bodoh, maka baginya tidak perlu lagi bersifat toleransi kerani toleransi adalah sifat yang baik dan banyak manfaatnya. Kejahilan pula sifat buruk dan mendatangkan banyak mudarat. Oleh itu, lebih baik berdiam diri daripada melayani pertanyaan orang bodoh.”

Khaitamah bin Abdul Rahman, seorang ulama tab’in menerangkan bahawa syaitan berkata, “Bagaimana anak Adam dapat mengalahkan aku? Apabila dia rela, nescaya aku datang dan meresap ke dalam hatinya. Apabila dia marah, nescaya aku terbang sehingga berada di atas kepalanya.”

Mujahid menceritakan bahawa iblis atau syaitan itu berkata, “Aku tidak dapat dilemahkan oleh anak Adam pada tiga perkara:

1). Apabila seseorang itu mabuk, kami pun pegang talinya lalu kami halau ke mana yang kami kehendaki. Dia bekerja untuk kami menurut apa yang kami sukai.

2). Apabila orang itu marah, dia akan berkata apa yang tidak diketahuinya dan melakukan sesuatu perkara yang disesalinya.

3). Dia seorang yang lokek terhadap apa juga miliknya dan berangan-angan dengan sesuatu yang ia tidak mampu

Sementara itu, Abdullah bin Mas’ud berkata, “Perhatikan sifat lemah-lembut seseorang ketika marah dan perhatikan sifat amanahnya ketika dia rakus! Pengajaran yang diperoleh daripada sifat lemah-lembutnya apabila dia tidak marah dan dengan sifat amanahnya apabila dia tidak rakus.”

Diceritakan, Khalifah Umar Abdul Aziz menulis surat kepada wakilnya, “Anda tidak (harus) menjatuhkan hukuman ke atas seseorang ketika anda marah. Tahanlah orang itu dulu dan apabila perasaan marah itu sudah tenang, maka keluarkan orang itu dan jatuhkan hukuman mengikut dosanya (kesalahannya) dan anda tidak menghukum lebih daripada lima belas kali sebat.”

Saidina Umar Al-Khattab dalam pidatonya selalu berkata, “Orang yang beroleh kemenangan ialah orang yang mengawal dirinya daripada kerakusan, hawa nafsu dan kemarahan.”

Abdullah al-Mubarak ketika menjawab pertanyaan supaya memberikan kesimpulan mengenai pengertian budi pekerti berkata, “Meninggalkan marah.”

Wahab bin Muhaib berkata, “Kufur itu terdiri daripada empat faktor iaitu marah, nafsu syahwat, bodoh dan tamak.”

Kesimpulannya, dalam apa juga keadaan dan situasi, kita sebagai umat Islam mestilah dapat mengawal sifat marah yang boleh merosakkan sesuatu.

Solat ‘Pendinding’ Daripada Kemungkaran

DIDIKAN AWAL: Rasulullah berpesan agar mengajar anak mengambil wuduk dengan betul dan menunaikan solat sejak berusia tujuh tahun.

Kesempurnaan ibadat jadikan jiwa sentiasa tenang dan bencikan kejahatan

SALAH satu peristiwa agung yang berlaku kepada Rasulullah ialah Israk dan Mikraj. Israk dan Mikraj adalah antara mukjizat terbesar dan tidak pernah dikurniakan kepada nabi serta rasul sebelumnya.

Pada peristiwa itu Rasulullah SAW menyaksikan tanda kebesaran dan kekuasaan Allah . Di samping itu, Baginda juga diperlihatkan dengan pelbagai kejadian dan peristiwa aneh yang menunjukkan keadaan perilaku manusia dengan balasan bakal mereka terima.

Di kemuncak peristiwa inilah Allah mensyariatkan solat kepada umat Islam. Sesungguhnya solat adalah ibadat paling utama bagi umat Islam sehingga ia disebut sebagai tiang agama.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Solat itu tiang agama, sesiapa yang mendirikannya sesungguhnya dia sudah mendirikan agama, sesiapa meninggalkannya sesungguhnya dia meruntuhkan agama.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Kewajipan mendirikan solat diperintahkan Allah dalam firman yang bermaksud:

“Kemudian apabila kamu selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah solat itu (dengan sempurna seperti mana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang beriman, yang tertentu waktunya.” (Surah al-Nisa’, ayat 103)

Melihat betapa pentingnya kewajipan solat dilaksanakan oleh setiap umat Islam, Rasulullah menyuruh supaya ibadat solat itu diajarkan kepada anak ketika berumur tujuh tahun dan memukul mereka dengan pukulan bertujuan mendidik jika enggan solat ketika berumur 10 tahun.

Diriwayatkan daripada Amru bin Syu’ib bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Suruhlah anak kamu menunaikan solat ketika berumur tujuh tahun dan pukul mereka jika meninggalkannya ketika berumur sepuluh tahun. Dan asingkanlah mereka (lelaki dan perempuan) dari tempat tidur.” (Hadis riwayat Abu Daud)

Saranan hadis itu bertepatan dengan pepatah Melayu, “Jika hendak melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Inilah cara pendidikan awal untuk melatih anak mengerjakan solat yang mesti dilaksanakan ibu bapa.

Di samping itu, kita juga digalakkan berdoa supaya anak dan zuriat sentiasa mendirikan solat. Allah berfirman yang bermaksud:

“Wahai Tuhanku! Jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.” (Surah Ibrahim, ayat 40)

Sesungguhnya solat mempunyai banyak rahsia dan kelebihan, antaranya ialah solat dapat meningkatkan seseorang untuk sentiasa mengingati Allah .

Allah berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya Akulah Allah ; tiada Tuhan melainkan-Ku. Oleh itu, sembahlah Aku, dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.” (Surah Taha, ayat 14)

Solat adalah jalan untuk kita sentiasa mengingati Allah . Dalam perkataan lain, solat tanda pengabdian dan syukur seseorang hamba kepada Allah atas segala nikmat dan rahmat yang dikurniakan.

Solat juga boleh menghapuskan dosa. Sebagai manusia kita tidak terlepas daripada melakukan dosa. Oleh itu, solat lima kali sehari semalam boleh menghapuskan dosa kecil yang kita lakukan.

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu solat itu, selama dijauhinya dosa besar.” (Hadis riwayat Muslim)

Selain itu, solat juga boleh mencegah perbuatan keji dan mungkar. Solat yang dikerjakan dengan ikhlas, khusyuk dan mengikut segala rukunnya mencegah orang mengerjakannya daripada melakukan maksiat serta kemungkaran.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan perkara yang diwahyukan kepadamu daripada al-Quran, dan dirikanlah solat (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar.” (Surah al-Ankabut, ayat 45)
Seterusnya solat juga memberi keberkatan dan kebahagiaan dalam kehidupan seseorang. Orang yang memelihara solat, kehidupannya dipenuhi dengan kejayaan, keberkatan dan kebahagiaan.

Solat juga mempunyai pelbagai kelebihan daripada aspek perubatan dan kesihatan antaranya, solat yang ikhlas dan khusyuk boleh mendamaikan jiwa, mengawal tekanan perasaan dan menjadikan tubuh badan sihat serta cergas.

Perkara itu terbukti apabila pakar urat saraf bukan beragama Islam melakukan kajian mendapati bahawa ada beberapa urat saraf dalam otak manusia yang berkeadaan selalu kosong, tidak dimasuki darah, iaitu darah tidak boleh masuk ke dalamnya, padahal setiap bahagian otak manusia itu memerlukan darah yang cukup untuk ia dapat berfungsi dengan sempurna.

Namun, selepas sekian lama membuat kajian, akhirnya doktor itu mendapati memang darah tidak dapat sampai ke beberapa bahagian urat saraf tertentu dalam otak kecuali pada ketika seseorang itu sujud dalam solatnya, barulah darah itu boleh masuk dan mengalir.

Sesungguhnya ibadat solat terlalu istimewa di sisi Allah kerana Rasulullah menerimanya secara langsung daripada Allah dalam peristiwa Israk dan Mikraj. Perintah ibadat solat berbeza dengan ibadat lain seperti puasa, zakat, haji dan lain-lain yang diterima melalui wahyu dengan perantaraan Malaikat Jibril. Ini menunjukkan ibadat solat terlalu istimewa di sisi Allah .

Oleh itu, sesiapa yang meremehkan dan mensia-siakan soal ibadat solat, mereka adalah golongan yang sesat. Allah berfirman yang bermaksud:

“Kemudian mereka digantikan oleh keturunan yang mencuaikan solat serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka).” (Surah Maryam, ayat 59)

Abdullah bin Abbas berkata, maksud mensia-siakan solat bukanlah meninggalkan solat sama sekali, tetapi melewatkan daripada waktunya. Misalnya seseorang yang menunaikan solat Zuhur dalam waktu Asar, solat Asar di dalam waktu maghrib, solat Isyak ditangguhkan sehingga masuk waktu Subuh serta solat Subuh dilaksanakan selepas terbit matahari.

Sesiapa yang mati dalam keadaan ini tanpa bertaubat, dia akan dihumbankan ke sebuah lembah bernama al-Ghai’a dalam neraka dan diberikan makanan amat jijik. Jika mengerjakan solat fardu di luar waktu sudah sebegini hukumannya, bayangkanlah azab yang bakal menimpa orang yang tidak menunaikan solat fardu sama sekali.

Justeru, melaksanakan solat fardu dalam waktu yang ditetapkan sebahagian daripada disiplin Islam yang wajib dilaksanakan. Oleh itu, marilah kita mentaati perintah Allah dengan menunaikan solat supaya kehidupan seharian sentiasa tenang dan dapat menghindarkan daripada melakukan mungkar.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya Kami mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan akhirat). Oleh itu, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai tanda kesyukuran).” (Surah al-Kauthar, ayat 1-2).

Ramai Ummah Alpa Keberkatan Jumaat

Banyak kelebihan, keistimewaan dikurniakan pada penghulu segala hari

MUTAKHIR ini ramai di kalangan kita yang alpa dengan kelebihan dan keberkatan Jumaat. Ada sebahagian masjid yang menjadi tumpuan umat Islam mendirikan fardu Jumaat kelihatan lengang, meskipun waktu solat sudah hampir tiba.

Hanya kira-kira 10 minit sebelum azan berkumandang, orang mula datang berduyun-duyun ke masjid. Itupun ramai hanya berlegar-legar di persekitaran masjid, tidak berlumba-lumba untuk mencari saf hadapan, membaca al-Quran, beriktikaf atau mencari keberkatan datang awal.

Bagi sesetengah wanita yang bekerja pula, Jumaat (waktu rehat) selalunya digunakan untuk membeli belah, bukannya mengadakan kuliah atau mengikuti khutbah di televisyen.

Fenomena ini menunjukkan kita sudah semakin lupa dengan kelebihan dan keberkatan yang ada pada Jumaat. Kita mungkin tidak sedar bahawa Jumaat adalah penghulu segala hari, yang mempunyai banyak kelebihan antaranya:

- Pada Jumaat, Allah menjadikan Nabi Adam (manusia pertama).
- Jumaat adalah hari paling mustajab bagi mukmin yang berdoa. Allah akan memakbulkan doanya, selama ia tidak meminta perkara yang haram.
- Pada Jumaat akan berlakunya kiamat.
- Jumaat adalah besar disisi Allah bahkan lebih besar daripada Aidilfitri dan Aidiladha.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sesungguhnya Rasulullah SAW membicarakan mengenai Jumaat dan Baginda berkata: Padanya ada suatu saat yang tidak ditemui oleh hamba (Allah ) yang Muslim dengan ia mendirikan solat sambil memohon kepada Allah akan sesuatu, melainkan apa yang dimohonkan akan diberi kepadanya (ia mengisyaratkan dengan tangannya yang diangkat).” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Hadis itu menerangkan adanya saat yang paling mustajab pada hari Jumaat, di mana segala permohonan akan dimakbulkan dengan izin Allah . Malah, ulama berselisih pendapat mengenai bilakah saat yang dimaksudkan itu.

Ada berpendapat sesudah terbit matahari syuruk dan ada yang mengatakan sesudah gelincir matahari (zuhur atau Jumaat). Malah ada yang mengatakan sesudah waktu Asar dan selain waktu itu.

Bagaimanapun ada hadis sahih mengatakan saat mustajab itu bermula dari khatib berada di atas mimbar sehingga selesai solat Jumaat. Daripada Abu Al-Asya’ari, ia berkata:

“Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya saat mustajab itu adalah antara imam duduk di atas mimbar, sampai ia salam daripada solat.” - (Hadis riwayat Muslim)

Jelas menunjukkan bahawa ketika khatib berada di atas mimbar dan berkhutbah adalah antara waktu yang penuh berkat. Kerana ketika itu segala hidayah Allah disalurkan melalui mimbar. Ilmu dan nasihat agama disampaikan sebagai panduan untuk sekalian.

Khatib sering mengingatkan kita supaya bertakwa kepada Allah , mentaati titah perintahnya, berpegang teguh dengan ajaran Islam sebenar.

Khutbah yang baik dapat memupuk kesedaran dan ketaatan kepada Allah , memberi motivasi dan pedoman berfaedah ke arah membina kesejahteraan hidup dunia dan akhirat.

Justeru, kita dituntut datang awal ke masjid, membersihkan rohani dan menyiapkan diri untuk mendengar khutbah. Kita digalakkan berada di saf hadapan, kerana lebih hampir dengan mimbar yang menjadi saluran hidayah Allah .

Khatib pula perlu lebih bersedia sebelum berkhutbah dengan membuat semakan terhadap teks yang disediakan. Khatib juga perlu membuat rujukan dan pembacaan tambahan supaya khutbah yang disampaikan benar-benar menarik, berkesan dan bersesuaian dengan tuntutan zaman.

Selepas selesai solat Jumaat, bertebaran di muka bumi untuk mencari rezeki dan menyelesaikan urusan hidup. Bukannya dengan duduk di masjid berjam-jam, sehingga kadangkala kereta yang diletakkan di tengah-tengah jalan (kerana lewat datang) di biarkan melintang di tengah jalan sehingga menghalang lalu lintas. Ini tentu menyusahkan orang ramai.

Oleh itu, datanglah seberapa awal ke masjid untuk memenuhi saf hadapan dan segeralah pulang apabila solat atau doa selesai agar segala urusan dapat dibereskan.

Firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang beriman, apabila kamu diseru untuk mengerjakan fardu Jumaat, maka hendaklah kamu segera mengingati Allah dan tinggalkan urusan jual beli.” - (Surah al-Jum’ah, ayat 9)

Thursday, July 17, 2008

Bulan Rejab : Zaman ini Persis Wanita Mengandung


Zaman ini persis wanita yang mengandung. Lihatlah apa yang berlaku padanya dalam sekelip mata terutama apabila penguasaan ilmu dan iman semakin tidak dipedulikan manusia.

Sesetengah pihak cuba menakut-nakutkan umat Islam daripada melakukan amalan di bulan Rejab, beralaskan hadis kelebihan bulan Rejab adalah palsu dan yang lain pula mendatangkan dalil berat sebelah bagi mengikis keistimewaan bulan Rejab.Dalam memahami selok-belok Rejab, kita perlu cermat membuat penilaian terhadap sumber yang berkaitan dengannya.

Tegasnya, al-Quran, hadis, pandangan ulama muktabar dan fatwa berkaitan perlu dipersembahkan secara jujur serta telus. Ia boleh membantu kita dalam memahami kes berkaitan dan memberi justifikasi yang jelas dalam pelaksanaan. Kita tidak mencemuh dan menuduh mereka yang ikhlas melakukan kebaikan.Apabila kita meneliti kepelbagaian sumber yang ada di tangan ulama, didapati Rejab ada keistimewaannya tersendiri. Tidak hairanlah inti sari (matan) hadis “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku..” disokong oleh ulama muktabar.

Antaranya, Imam Hibbatullah bin Mubarak, yang meriwayatkan keistimewaan Rejab berdasarkan sanadnya yang jelas sebagaimana yang direkodkan oleh Syeikh Abd Qader al-Jaylani dalam al-Ghunyah. Oleh itu, amat baik jika diperhatikan siapa beliau dan bagaimana kualiti sanad yang diriwayatkannya.Tambahan pula, matan hadis terbabit tidak bertentangan dengan nas al-Quran.

Sebaliknya selari dengan perisytiharan Allah S.W.T pada surah al-Taubah ayat 36 mengenai empat bulan haram yang dimaksudkan: Rejab, Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharam.Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya menyifatkan Nabi s.a.w menegaskan Rejab adalah bulan Allah, iaitu bulan ahlullah. Dikatakan penduduk (mukmin) Tanah Haram itu ahlullah kerana Allah yang memelihara dan memberi kekuatan kepada mereka.

Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Anas bin Malik, apabila tibanya bulan Rejab, Baginda mendoakan: “Ya Allah, berkatilah hidup kami di bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikan (hayat) kami kepada bulan Ramadan.”

Imam al-Thabrani meriwayatkan daripada Abu Hurairah, Nabi s.a.w tidak menyempurnakan puasa sebulan selepas berlalunya Ramadan kecuali pada Rejab dan Syaaban. Al-Hafiz al-Haitsami dalam Majma’ al-Zawa’id turut meriwayatkan mengenai kelebihan Rejab. Walaupun dengan sanad daif, ia sudah memadai untuk menepati spesifikasi kelebihan beramal dan meningkatkan hemah diri.

Hal ini jelas sebagaimana diakui fuqaha dan ahli hadis menerusi kenyataan Imam al-Nawawi dalam kitab al-Arba’ien.Lebih kukuh, Imam Muslim meriwayatkan daripada Uthman bin Hakim al-Ansari, beliau (Uthman) pernah menanyakan Said bin Jubayr mengenai puasa Rejab (pada bulan Rejab). Said menjawab: “Aku mendengar Ibn Abbas mengatakan: “Rasulullah s.a.w berpuasa Rejab sehingga kami menyangka Baginda tidak berbuka (terus-menerus berpuasa) dan Baginda berbuka sehingga tidak nampak berpuasa.” (Sahih Muslim)

Imam al-Nawawi mengatakan: “Apa yang zahir daripada ucapan Sa’id bin Jubayr itu menjadi bukti tiada tegahan untuk berpuasa padanya (Rejab) kerana bulan berkenaan. Bahkan kedudukannya sama mengikut baki bulan Islam yang lain. Tidak ada larangan untuk melakukan ibadat puasa di bulan Rejab, tidak pula disunatkan kerana bulannya. Tetapi apa yang disunatkan ialah kerana kesunahan puasa terbabit.

Imam Abu Thayyib al-Azhim juga mengatakan: “Dalam Sunan Abi Daud direkodkan Nabi s.a.w menggalakkan kita berpuasa di bulan yang haram. Rejab adalah satu darinya.”

Al-Hakim meriwayatkan daripada Nubaisyah: “Seorang lelaki menanyakan Nabi SAW, wahai Rasulullah! Kami memberi persembahan (kepada berhala) di zaman Jahiliyah. Maka apa pula yang harus dilakukan di bulan Rejab ini. Baginda menjawab : “Sembelihlah binatang ternakan kerana Allah di mana-mana bulan sekalipun. Lakukanlah kebaikan kerana Allah dan berilah makanan.”

Imam al-Baihaqi meriwayatkan daripada Imam Syafie berbunyi : “Telah sampai kepada kami Syafie mengatakan: Sesungguhnya doa itu mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama bulan Rejab dan malam nisfu Syaaban.”Berdasarkan kepada penyelidikan, Rejab mempunyai pengertian dalam kelasnya yang tersendiri.

Sumber hukum melalui al-Quran, hadis dan keterangan ulamak salaf memberitahu kita bahawa di sana ada hadis sahih, hasan, mursal, marfuk, daif, daif jiddan, wahin (amat lemah) dan palsu berkaitan Rejab.Oleh itu, setiap isu dan dalil harus difahami secara menyeluruh lagi mendalam agar kita tidak tersasar daripada landasan yang benar. Dalill yang jelas, terang lagi bersuluh sepatutnya diamalkan. Dalil yang lemah boleh dijadikan bahan sokongan dan penambahbaikan dalam sesuatu amalan, sementara dalil palsu ditinggalkan.

Sempena sepertiga Rejab yang mulia, renunglah, setakat mana ilmu kita? Berapa banyak yang diamalkan dan di mana pula keikhlasan kita?Alangkah manisnya apabila kita dapat menyatukan ibadat solat, puasa, zikir, tasbih, tahlil, tahmid, qiyam, bersedekah dan kebaikan lain di bulan Rejab. Semoga amalan Rejab ini menjadi pemangkin untuk mereka yang benar-benar dahagakan kebesaran dan keagungan Allah. Pencarian hakikat Rejab sebenarnya bermula dan berakhir dengan kesucian hati kita. Sucikan suapan, pakaian dan perbuatan kita.

InsyaAllah sinar keagungan Rejab mampu menjadi milik kita secara hakikatnya.

Solat Sunat Tahajjud

Amalan solat sunat yang paling utama di sisi Islam ialah solat tahajjud. Sabda Nabi saw:

أفضل الصيام بعد رمضان ثهر الله المحرم وأفضل الصلاة بعد الفريضة صلاة الليل

“Puasa paling utama selepas Ramadan ialah puasa(sunat) pada bulan Allah iaitu Muharram. Sedangkan solat paling utama selepas solat fardu ialah solat malam (tahajjud)”. (Sahih Muslim, Kitab al-Syiam no.1163)

Solat tahajjud ialah solat sunat pada waktu malam selepas Isyak –sebelum masuk Subuh. Namun, waktu paling utama bertahajjud ialah 1/3 malam terakhir (kira-kira 3.00 pagi – masuk Subuh). Solat ini biasanya diganding dengan solat sunat witir sebagai penutup.

Dalil disyariatkan tahajjud ialah firman Allah swt :

ومن الليل فتهجد به نافلة لك عسى أن يبعثك ربك مقاما محمودا

“dan bangunlah pada sebahagian malam serta kerjakanlah tahajjud di waktu itu sebagai solat tambahan semoga Tuhanmu membangkit & menempatkanmu pada hari akhirat di tempat terpuji”. (al-Isra’: 79)

Dalil lebih utama dibuat 1/3 malam ialah sabda Nabi saw:

ينزل ربنا تبارك وتعالى كل ليلة لى السماء الدنيا حين يبقى ثلث الليل الآخر.يقول : من يدعونى فأستجيب له من يسألنى فأعطيه من يستغفرنى فأغفر له

“Tuhan kita Tabaraka waTaala turun setiap malam ke langit dunia ketika masih berbaki 1/3 malam yang akhir. Allah berfirman : sesiapa berdoa kepada-Ku, pasti Aku makbulkannya , sesiapa meminta kepada-Ku, pasti Aku memberinya , sesiapa mohon ampun kepada-Ku, pasti Aku ampuninya”. (Sahih Bukhari, Kitab at-Tahajjud no. 1145)

CARA SOLAT SUNAT TAHAJJUD

- Boleh dilakukan 2 rakaat tanpa had tertentu. Malah, solat sunat witir 1 rakaat juga dikira tahajjud. (Sahih Bukhari, Kitab at-Tahajjud no. 1137)

- Jumlah paling utama ialah tak lebih 11 atau 13 rakaat kerana itulah amlan Nabi saw. (Sahih Muslim, Kitab Solat al-Musafir wa Qasruha no. 736 & Sahih Bukhari, Kitab at-Tahajjud no. 1140)

Boleh juga dibuat 4 rakaat, 4 rakaat kemudian witir 3 rakaat (Sahih Bukhari, Kitab at-Tahajjud no. 1147). Samada 2 tahiyat 1 salam atau 4 rakaat sekaligus 1 salam. Jika solat 4 rakaat 1 salam, setiap rakaat hendaklah dibaca surah atau ayat al-Quran sesudah al-Fatihah.

SUNNAH TAHAJJUD

- Niat sebelum tidur hendak solat sunat itu. Jika sudah berniat tapi tak bangun, Allah tetap kurniakan pahala tahajjud. (Sunan Nasaie, Kitab Qiyam al-Lail no. 1763)

- Hilangkan mengantuk dengan bersugi & berdoa:

لا له لا الله وحده لا شريك له.له الملك وله الحمد وهو على كل شئ قدير. الحمدلله وسبحان الله ولا له لا الله والله أكبر ولا حول ولا قوة لا بالله

Kemudian ucapkan :

اللهم اغفرلى

(Sahih Bukhari, Kitab at-Tahajjud no.1154)
Atau baca 10 ayat terakhir surah Ali Imran. (Sahih Muslim, Kitab Solat al-Musafir Wa Qasruha no. 763)

- Mengerjakan solat 2 rakaat yang ringan sebelum bertahajjud. (Sahih Muslim, Kitab Solat al-Musafir Wa Qasruha no. 768 & Fath Bari, al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani jld 6 m/s273)

- Solat ini lebih utama dilakukan di rumah sendiri bukan di masjid kerana Nabi saw biasa melakukannya di rumah. (Sahih Muslim, Kitab Solat al-Musafir Wa Qasruha no. 781)

- Mengejutkan ahli keluarga untuk turut bertahajjud bersama. (Sunan Nasaie, Kitab Qiyam al-Lail no. 1592)

- Memanjangkan berdiri dengan membaca surah panjang & melamakan sujud. (Sahih Muslim, Kitab Solat al-Musafir wa Qasruha no. 756 – Sahih Bukhari

Tuesday, July 15, 2008

Lidah Penentu Martabat Setiap Insan

Oleh Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Umat Islam dituntut pelihara pertuturan bagi mengelak perpecahan akibat fitnah

SEJAK akhir-akhir ini, amalan fitnah memfitnah, tuduh menuduh, sindir menyindir, menyebarkan khabar angin, e-mel layang atau berita palsu, perkataan lucah, mendedahkan keburukan orang lain, berprasangka buruk semakin menjalar dan membarah dalam masyarakat Islam.

Semua amalan itu secara umumnya datang daripada lidah yang tidak bertulang. Namun lidah boleh menjadi lebih berbahaya daripada mata pedang yang terhunus hingga memungkinkan akibat dan implikasi buruk kepada umat manusia seluruhnya.

Oleh itu, Islam dari awal lagi sudah memperingatkan umat Islam akan bahaya penyalahgunaan nikmat lidah yang dianugerahi Allah melalui firman-Nya yang bermaksud:

“Dan (ingatlah) angkara fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan (semasa perang dalam bulan yang dihormati).” (Surah al-Baqarah, ayat 217)

Rasulullah SAW juga bersabda yang bermaksud:

“Kebanyakan dosa anak Adam adalah kerana lidahnya.” (Hadis riwayat Tabrani dan Baihaqi)

Walaupun lidah adalah satu anggota tubuh badan manusia yang kecil menghiasi kesempurnaan kejadian makhluk Allah , lidah mempunyai peranan besar dalam kehidupan manusia.

Pada satu ketika, lidah boleh memuliakan serta mengangkat maruah seseorang dan dalam ketika yang lain, lidah mampu pula untuk menghina dan menjatuhkan seseorang. Malah, lidah berupaya membawa kejayaan juga kegagalan. Maka tidak hairanlah orang tua ada bermadah, ’sebab pulut santan binasa, sebab mulut badan binasa’.

Menyedari akan kedudukan lidah yang penting, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Ketika seseorang memasuki pagi yang hening, seluruh anggota tubuhnya akan berlutut merayu kepada lidah seraya berkata: Hendaklah engkau bertakwa kepada Allah kerana kami sangat bergantung kepada engkau. Apabila engkau beristiqamah, kami pun akan turut sama beristiqamah. Sebaliknya jika engkau menyimpang dari jalan yang benar, kami pun turut menyimpang.” (Hadis riwayat Tirmizi)

Maksudnya, lidah umpama pisau bermata dua. Ia boleh hadir sebagai rahmat kepada manusia di kala ungkapan ucapannya terselit unsur nasihat dan ketaatan kepada Allah dan pada masa sama boleh membawa kepedihan di kala lisannya mendedahkan belang yang tersembunyi.

Contohnya, khabar angin yang disebarkan bisa melonjakkan indeks ekonomi sesebuah negara, begitu juga ia mampu membuatkan indeks ekonominya jatuh merudum gara-gara spekulasi yang tersebar. Begitulah peranan lidah yang mengundang bahaya tersembunyi di sebalik kepetahan dan keindahan bahasa terungkap.

Menurut perspektif Islam, lidah akan melambangkan identiti seseorang sama ada dia seorang yang bertakwa dan beriman kepada Allah ataupun sebaliknya. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata dengan perkataan yang baik-baik ataupun dia berdiam saja.” (Hadis riwayat Bukhari)

Seseorang insan dianggap beriman kepada Allah dan juga hari akhirat jika dia dapat memelihara lidah daripada perkara batil dan dilarang Islam. Seterusnya seorang yang beriman dan bertakwa akan menjuruskan lidahnya dengan amalan kebajikan serta mengelak perkara yang melalaikan.

Hal ini juga ditegaskan dalam firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya berjayalah orang yang beriman; iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya; dan mereka yang menjauhkan diri daripada perbuatan serta perkataan sia-sia.” (Surah al-Mukminun, ayat 1-3)

Allah menyediakan panduan dalam al-Quran bagaimana lidah seseorang yang beriman sewajarnya disalurkan dan dimanfaatkan kerana setiap perkataan yang terkeluar akan dirakam dan direkodkan oleh malaikat.

Firman Allah yang bermaksud:

“Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya).” (Surah Qaf, ayat 18)

Alangkah berbahagia dan beruntung seorang beriman yang menyumbangkan kebaikan dan kedamaian alam sejagat melalui ungkapan kata-kata yang sentiasa bermakna dan bermanfaat.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisik mereka kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah , tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.” (Surah al-Nisa’, ayat 114)

Tiga jenis amalan dianjurkan Islam iaitu menyuruh orang melakukan amalan sedekah, juga menyuruh orang lain berbuat kebaikan dan kebajikan serta mendamaikan antara dua orang atau dua pihak yang bergaduh.

Ini bermakna amalan selain daripada itu seperti melepak, mengumpat, bergurau senda berlebihan, memfitnah adalah perbuatan sia-sia yang dilarang Islam dan mengakibatkan dosa kepada si pelakunya dan orang bersubahat dengannya.

Malah dia termasuk di kalangan orang yang rugi sama ada di dunia dan di akhirat seperti firman Allah yang bermaksud:

“Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian; Kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan dengan kebenaran (iktiqad kepercayaan, tutur kata dan amal perbuatan) serta berpesan dengan sabar (dalam menjalankan suruhan Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya).” (Surah al-’Asr, ayat 1 - 3)

Selanjutnya, Islam amat melarang umatnya melakukan perbuatan keji yang berpunca daripada lidah seperti mengumpat dan mengutuk. Malah, amalan itu tidak termasuk dalam adab susila kesopanan Islam.

Rasulullah bersabda yang bermaksud:

“Bukanlah seseorang mukmin itu yang menjadi pencaci, pelaknat, bukan yang suka berkata kotor atau yang lidahnya suka menyebut kata-kata yang hina.” (Hadis riwayat Bazzar dan Hakim)

Sabda Rasulullah SAW lagi yang bermaksud:

“Tidak akan masuk syurga orang yang suka memfitnah.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Islam melarang keras sebarang perbuatan keji yang terbit daripada lidah. Ini kerana natijah perbuatan itu merbahaya bukan saja kepada individu, bahkan boleh membabitkan komuniti masyarakat keseluruhannya.

Jika diimbas zaman Khulafa’ al-Rasyidin, sejarah Islam sudah menyaksikan perpecahan dan pertelagahan di kalangan umat Islam akibat berlakunya fitnah terbesar di zaman Saidina Othman bin Affan dan Saidina Ali bin Abi Talib.

Sebab itulah, munculnya pelbagai mazhab ilmu kalam yang berselisih pendapat dalam beberapa isu agama. Selain itu, ia memberi kesan secara tidak langsung kepada kekuatan sesuatu bangsa dalam meneruskan perjuangan hidup yang sentiasa bergolak dengan pelbagai krisis.

Seterusnya, Islam menegaskan bahawa kemuliaan dan penghormatan seseorang manusia di sisi Allah bukanlah berdasarkan kepada rupa parasnya, kekayaannya, hartanya atau warna kulitnya. Sebaliknya neraca yang sebenarnya di sisi Allah ialah nilai keimanan dan ketakwaan yang sentiasa bertakhta dalam jiwa.

Oleh itu, setiap Muslim hendaklah sentiasa berwaspada ketika bercakap dan bertutur dengan saudaranya yang lain, juga memelihara lidah daripada melakukan perbuatan tercela lagi dilarang Allah .

Allah memerintahkan umat Islam supaya menapis dan menyaring terlebih dulu sebarang khabar berita atau fitnah yang tersebar seperti surat layang supaya tidak terperangkap dengan jerangkap dosa yang merugikan.

Firman Allah yang bermaksud:

“Wahai orang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa satu berita, maka hendaklah kamu selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali terhadap apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Hujurat, ayat 6)