Sebelum
 ini saya telah pernah menulis perihal kejinya sangka buruk yang sering 
berlingkar di dalam masyarakat. Hari ini saya ingin mengecilkan sedikit 
skopnya, bagi menyambung beberapa isi dalam artikel ‘Inginkah  Ulama Malaysia seperti Al-Qaradawi’
 yang ada menyebut berkenaan pertelingkahan atau perbezaan pandangan di 
kalangan graduan agama di tanahair, malah di seantero dunia. Ada mereka 
yang bertanya lanjut, justeru ini sebahagian ulasannya.
Tidak
 dinafikan ada juga kedapatan jurutera yang bertelagah, namun mungkin 
jarang disebabkan ilmu mereka tetapi mereka bertelagah mengenai pangkat,
 jawatan, gaji, persaingan dan keputusan di tempat kerja. Ya mereka 
mungkin bertelagah disebabkan urusan dunia.
Demikian
 doktor, peguam, artitek, akauntan, guru dan sebagainya. Namun 
pertelagahan menjadi lebih kelihatan buruk apabila punca yang dizahirkan
 adalah bukan dunia tetapi disebabkan ilmu Islam atau akhirat.
Saya
 masih baru dalam dunia dakwah, hanya baru berpengalaman menyertainya 
sejak 20 tahun lalu. Dalam tempoh itulah saya terjun secara khusus dalam
 bidang dakwah, sama ada secara fardiah atau jama’iyyah. Saya mungkin 
masih agak mentah berbanding tokoh-tokoh pendakwah lain yang wujud di 
Malaysia. Namun begitu saya kira, tempoh itu sewajarnya cukup untuk 
memberi saya masa untuk meneliti antara punca pertembungan di kalangan 
ilmuan atau graduan agama di Negara kita dan di peringkat antarabangsa.
Sedihnya, jumlah
 mereka yang berminat kepada ilmu agama dan yang berkait dengannya 
tidaklah ramai, namun dari jumlah yang tidak ramai ini berlaku pula 
perselisihan dan pertelingkahan, kutuk mengutuk di antara satu sama lain. Mengapa demikian?
Bayangkan
 mungkin jumlah yang berminat dengan agama ini hanya 20-30 % dari 
seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam, dari situ terpecah dan 
berbalah disebabkan aliran Salafi (digelar wahabi), Khalafi (digelar 
Ahbash). Terpecah pula disebabkan politik, dan seterusnya terpecah lagi 
disebabkan berlainan wala’ dan bai’ah masing-masing kepada jemaah 
Tabligh, ABIM, JIM, IKRAM, ISMA, Tarekat, PAS, Hizb Tahrir dan lainnya.
Justeru, kelihatan semua pihak berlumba-lumba ‘mengejar’ sokongan dan dokongan, adakalanya 
 SEBAHAGIAN DARI MEREKA menggunakan teknik menghentam pihak yang lain 
bagi meyakinkan kumpulannya lebih baik dari yang lain. TIDAK MAMPU lagi 
untuk bersangka baik terhadap pihak lain.  Asyik tidak yakin dengan 
kemampuan pihak lain.  Snagka buruk akhirnya didahulukan, cuba menelaah 
niat  'tidak ikhlas' orang lain untuk menjustifikasikan tentangan. Perlukah demikian? Banyakkah keuntungan yang diperolehi oleh Islam dan umatnya melalui cara ini?
Bagaimanakah
 boleh tertariknya kumpulan majoriti umat Islam yang tidak minat dan 
tidak ambil berat urusan agama kepada Islam jika itulah gambaran yang 
terlihat berlaku di kalangan mereka yang serius di bidang agama?.
Ketidaksatuan
 ini hanya akan lebih memburukkan imej Islam dan muslimin, mengelirukan 
sesiapa sahaja yang ingin mula berjinak-jinak dengan Islam. Entahlah, 
tidak diketahui siapa yang perlu memulakan proses perdamaian tetapi yang
 pasti masing-masing perlu memperbetulkannya bermula dengan diri mereka 
sendiri.
CONTOH PERTEMBUNGAN MERUGIKAN BERPUNCA SANGKA BURUK
Saya
 ingin mengambil contoh kepada pertembungan tradisi di antara kumpulan 
yang dinamakan sebagai salafi dan khalaf, kaum tua dan kaum muda. Secara
 ringkasnya, antara punca utama pertembungan adalah banyak bergantung 
kepada sangka buruk serta miscommunication di antara mereka atau juga sengaja mengambil kalam pihak lain secara terpotong (out of context). Berikut adalah maksud saya :-
GELARAN BID'AH
1. Sekumpulan
 ilmuan yang digelar salafi atau wahabi sering ‘membelasah’ amalan 
tradisi yang diamalkan oleh ilmuan tempatan dengan nama bid’ah. 
SOALAN
 : Mengapa sebahagian besar ilmuan tradisi melenting apabila amalan yang
 diiktiraf dan diamalkan oleh mereka dilabel sebagai bid’ah?
JAWAPAN
 : Kerana majoriti ilmuan salafi telah berusaha sedaya upaya untuk 
mem’package’ kan bahawa amalan bida’ah itu adalah satu dosa besar. 
Sebahagiannya menggambarkan bid’ah itu sebagai dosa kedua besar selepas 
syirik. Selain itu, bid’ah juga digambarkan pula oleh sebahagiannya 
pelaku bid’ah akan ke neraka disebabkan kerana amalan itu.
AKIBAT
 : Kumpulan ilmuan tradisi tentulah marah dan merasa diserang, 
kebijaksanan dan keilmuan mereka dicabar secara ‘keras’ akibat dilabel 
sebagai pelaku bid’ah. Mereka merasa di ‘jahil’kan oleh kumpulan tadi. 
Lantaran itu mereka membalas dan sebahagiannya mempertahankan diri.
PUNCA
 : Sangka buruk ilmuan salafi atau yang digelar ‘wahabi’ bahawa 
kandungan ilmu, takwil dan takrifan yang dipegang oleh mereka adalah yang paling tepat. Justeru setiap takrif yang tidak bertepatan dengan mereka adalah salah dan sudah tentulah bid’ah.
SEPATUTNYA : Ada beberapa perkara yang sepatutnya iaitu:-
Kedua-dua pihak secara adil dan tenang mengenalpasti isu yang diperbezakan pandangan adalah terdiri dari isu qat’ie atau zanni thubut dan dalalahnya.
 Jika ia bukan dari isu yang Qat’ie, saya yakin sepatutnya kedua-duanya 
sewajarnya tahu dan faham bahawa dalam sebarang hukum dan isu yang tidak
 disandarkan oleh dalil qati’e thubut dan dalalah, 
mana-mana pihak tidaklah boleh secara putus atau muktamad meyakini pihak
 lain sebagai salah dan dirinya sebagai wajib betul secara 100 %.
Tidak salah merasakan diri berpegang dengan pandangan yang betul lagi tepat, tetapi yang salah adalah seolah-olah sudah confirm pandangan lain adalah tersasar lalu menafi dan meremehkannya dengan cara yang keras atau penuh sindiran.
Di hari akhir pengajian bersama Syeikhuna Al-Imam Dr Yusuf Al-Qaradawi di Qatar baru-baru ini, beliau menjelaskan, proses tarjih
 (berijtihad) untuk menentukan pandangan yang paling tepat dan lebih 
kukuh boleh dilakukan. Selepas itu wajib pula ke atas pihak yang telah 
memilih untuk beramal dengan pilihannya. Namun ia tidak sekali boleh memburukan (taqbih al-mukhalifin) amalan dan pilihan pihak lain. 
Apa
 yang patut dilakukan sepatutnya adalah menerangkan kepada masyarakat 
akan mengapa pandangan yang dipegang olehnya lebih kukuh dari pelbagai 
sudut, tanpa perlu dilekehkan hujah dan pilihan pihak lain. Tindakan itu
 hanyalah sebagai salah satu tanggungjawabnya selaku ahli ilmu yang 
inginkan orang ramai mengikuti pandangan yang lebih kukuh pada hematnya.
 Tapi jangan sekali usaha itu dicemari dengan kutukan terhadap ilmuan 
yang berbeza pandangan dengannya.
Apabila tindakan memperlekeh, menghina, mengutuk dan membid’ahkan ini dilakukan, ia tidak lain hanya menaikkan amarah ilmuan yang berbeza ijtihad
 dengannya. Kita harus faham, masing-masing ilmuan mempunyai hak untuk 
berusaha mencari jalan terbaik untuk mencapai redha Allah swt dan hampir
 kepada Rasulullah saw.
Alangkah baiknya, jika
 kita semua berlapang dada dan bersangka baik terlebih dahulu terhadap 
usaha ilmuan beraliran lain dari kita. Malangnya sangka buruk sering 
didahulukan, rasa ujub sering menyelubungi diri merasa diri lebih hebat 
dan bijak serta alim dari pihak lain. Malah, tergambar dibenaknya 
pihak ilmuan lain itu sengaja mengamalkan pandangan lemah kerana 
inginkan sesuatu dari dunia yang murah ini, sengaja ingin menyesatkan 
manusia dan membiarkan manusia ke neraka bersamanya!.
Saya
 amat berharap kita boleh bersangka baik, tiada siapa yang waras dan 
berilmu sengaja inginkan dirinya sesat, menyesatkan orang lain dan 
membawa mereka ke neraka.
GELARAN WAHHABI
SOALAN 2 : Mengapa
 kumpulan ilmuan yang menisbahkan diri mereka kepada manhaj salafi ini 
MELENTING, TIDAK PUAS HATI apabila ilmuan tradisional (Khalaf) menyerang
 mereka dengan gelaran Wahhabi?
JAWAPAN : Kerana ilmuan khalaf ini telah berusaha sejak sekian lama mem ‘package’ nama wahhabi sebagai ajaran sesat, mujassimah (menyatakan Allah ada jasad dan jisim) dan terkeluar dari ahli sunnah wal jama’ah.
AKIBAT:
 Sebahagian besar ilmuan dari aliran ini melenting dan tidak selesa 
dengan gelaran tersebut kerana seolah mereka memperjuangkan ajaran sesat
 dan adakalanya ada yang menuduh mereka sebagai kafir.
PUNCA : Memotong ayat dan sangka buruk yang bersarang dalam diri sebahagian pembenci wahhabi. Bayangkan, tidaklah saya faham mengapa kumpulan yang digelar Wahhabi ini boleh digelar sebagai mujassimah, padahal hanya orang bodoh dan terencat aqal sahaja yang akan berani mentajsimkan Allah dan menyamakannya dengan makhluk.
Masakan
 tidak, jika dirujuk kepada penulisan, ucapan dan sumber kedua-dua 
ilmuan aliran sama ada khalaf (tradisional) dan salaf, AMAT JELAS KEDUA-DUA MEREKA berpegang teguh kepada firman Allah :-
لَيْسَ كَمِثْلِهِ شَيْءٌ وَهُوَ السَّمِيعُ الْبَصِيرُ
Ertinya : Tiadalah yang menyerupai Allah dengan sesuatu apapun (dari kalangan makhluknya) ( Surah Al-Shura :11)
Nah,
 justeru dari mana datangnya salah satu antara dua aliran ini yang 
mengatakan Allah ada mata, tangan, kaki, kepala yang berjisim dan 
menyerupai manusia atau mana-mana mahkluk lain?.
Hakikat
 sebenarnya, apabila kita merujuk kepada sumber kedua-dua kumpulan akan 
kita dapati bahawa ulama kumpulan Salafi berijtihad mengatakan tiada 
takwilan pada setiap perkataan yang Allah menyifatkan dirinya, justeru 
apabila Allah mengatakannya
“Tangan Allah berada di atas mereka” (Surah Al-Fath : 10)
Kumpulan salafi ini berkata, ini bermakna Allah ada mempunyai tangan, namun sifat tangan itu tidak sama dengan manusia dan makhluk dan jangan ditanya perinciannya. Itulah ijtihad ulama bermanhaj salafi.
Namun
 ada kumpulan yang sengaja mencari salah, lalu ‘memotong’ ijtihad di 
atas dari boleh diterima kepada suatu kesalahan. Mereka mewarwarkan 
perkataan yang saya gariskan dan memotong  huraian yang sepatutnya, lalu
 kelihatanlah kumpulan manhaj salafi ini mengatakan Allah punyai tangan 
macam manusia dan berjisim. Lalu mereka berusaha mensabitkan bahawa 
pihak lain ini mentajsimkan Allah.
Begitulah
 satu contoh bagaimana hal ini berlaku, sama ada ia disengajakan atau 
tidak. Wallahu’alam. Jika mahu fahamkan lagi bentuk memotong konteks dan
 mengambil kata bukan yang dimaksudkan ini, bolehlah dibaca lanjut 
tulisan sahabat saya, Al-fadhil Ustaz Hasrizal DI SINI.
Memang
 benar, terdapat kemungkinan seseorang penulis itu sememangnya bermaksud
 sedemikian dan mentajsimkan Allah. Tapi mengapakah mungkin kita 
memasukkan penulis itu dalam mana-mana kumpulan?. Adalah lebih wajar, 
kesalahan penulis itu dibebankan kepada dirinya sendiri dan bukan 
mana-mana kumpulan, kerana tiada siapa yang boleh mendakwa diri dan 
pandangannya mewakili aliran Wahabi.
SEPATUTNYA : JANGAN MUDAH BEBANKAN KESALAHAN ‘SESAT’, ‘BID’AH, APATAH LAGI KAFIR
Jika
 kita boleh belajar dari arahan Nabi s.a.w agar berhati-hati dalam bab 
hudud, iaitu menjatuhkan kesalahan terhadap tertuduh dalam jenayah yang 
melibatkan hudud, nescaya saya yakin semua kita sepatutnya lebih 
berhati-hati untuk melabelkan seseorang sebagai:
- Wahabi yang disifatkan sebagai terkeluar dari ahli sunnah wal jama’ah dan sesat
 - Ahbash yang disifatkan sebagai ahli bid’ah yang berlagak soleh tetapi digambarkan mereka jika berterusan dalam amalan mereka lalu akan ke neraka.
 - Menghina nabi kerana mengggunakan hadis dhoif.
 - Khawarij hanya kerana terdapat pandangan dan tindakannya yang membangkang pihak pemerintah secara terbuka.
 - Ahli bid’ah kerana berzikir beramai-ramai dengan satu nada dan sebagainya.
 - Menjadi wahabi yang sesat dan tajsim Allah, hanya kerana ketika solat mengangkang kaki lebih dari biasa, tangan di atas dada atau menggoyangkan jari.
 - Bermazhab Zahiri hanya kerana terdapat beberapa tulisan dan pandangannya yang cenderung kepada mazhab terbabit.
 - Syiah yang disifatkan sebagai kafir dan sesat hanya kerana terdapat luahan kecintaannya kepada ahli al-bayt.
 
Sahabat-sahabat yang dikasihi, Rasulullah bersabda :
ادرؤوا الحدود عن المسلمين ما استطعتم فإن كان له مخرج فخلوا سبيله , فإن الإمام أن يخطئ في العفو خير من أن يخطئ في العقوبة
Ertinya
 : Tolaklah (wahai hakim) pensabitan hukum hudud dari muslimin selagi 
kamu mampu, sekiranya di sana terdapat jalan keluar maka bebaskanlah 
dia, kerana sesungguhnya seorang pemimpin yang tersilap dalam 
memberikan kemaafan (tidak jatuh hukuman), LEBIH BAIK dari yang tersilap
 (dalam mengenakan hukuman kepada yang tidak bersalah)” (Riwayat Ibn Majah, kitab al-Hudud, no 5004, At-Tirmizi, kitab al-Hudud, no 1424)
Bayangkan tindakan Umar al-Khattab :
أتي عمر رضي الله عنه بامرأة قد حملت فادّعت أنها أكرهت فخلى سبيلها
Ertinya
 : Pernah dibawakan kepada Umar Al-Khattab seorang wanita yang 
mengandung tanpa nikah, wanita tersebut mendakwa ia dipaksa (dirogol) 
maka Umar terus membebaskan wanita terbabit (dari hukuman hudud) ( 
Riwayat Al-Baihaqi, 8/235)
Imam
 Ibn Qudamah pula menjelaskan terdapat yang mentakwilkan wanita tersebut
 hamil bukan disebabkan zina dan persetubuhan tetapi adalah disebabkan 
dimasukkan mani lelaki tersebut ke dalam kemaluannya. (Al-Mughni, 1/193)
Semuanya
 ini sepatutnya memberikan kefahaman kepada para ustaz/ah, ilmuan dan 
graduan agama agar jangan tergesa-gesa melabel, men‘cop’  dan menganggap
 seseorang yang berbeza pendapat dengannya atau alirannya dalam sesuatu 
masalah hukum sebagai wahabi, ahbash, syiah, bid’ah, khawarij, 
muktazilah, murjiah dan lain-lain label yang berat lagi boleh membawa 
kepada menyesat dan mengkafirkan.
Sedang
 dalam masalah yang lebih ringan dari kafir dan sesat iaitu hudud pun 
terdapat hadis di atas menasihatkan agar cuba mencari jalan, bersangka
 baik dan mentakwilkan apa yang dibaca dan didengari kepada yang lebih 
baik, seperti mungkin tersalah tulis, kesilapan penerbit dan editor, 
terlanjur kata, tersasul, terlebih emosi tanpa niat dan sebagainya yang 
boleh menghalang kita dari tergesa-gesa dari meletak sebarang label.
Malah
 label-label ini juga sama sekali tidak adil khususnya jika ia dilakukan
 disebabkan beberapa pandangan sahaja. Perlu diingat satu pandangan yang
 sama tidak semestinya SESEORANG ITU TERMASUK di dalam package 
mana-mana aliran. Banyak sekali kemungkinan bahawa seorang ilmuan itu 
hanya mentarjihkan satu pandangan yang mungkin sama dengan aliran yang 
‘digelar wahabi’ tetapi dia sama sekali tidak pernah mentajsimkan Allah,
 membid’ahkan amalan orang lain dan sebagainya. Namun akibat penyakit 
sangka buruk dan busuk hati, terdapat individu lain yang memasukkannya 
ke dalam label ‘wahabi’.
Tindakan
 itu samalah menuduh seorang yang tidak mentajsimkan Allah, sebagai 
melakukannya, bukankah itu akan memburukkan keadaan? hanya menyebabkan 
pihak yang dituduh akan kembali menyerang dan akhirnya berlakulah 
pertempuran, kutuk mengutuk dari generasi ke satu generasi.
'PACKAGE'  SUATU TEKNIK ‘JAHAT’ MENJATUHKAN PIHAK LAIN
Sama
 juga dengan individu yang sengaja mengatakan ‘tindakan menyertai 
demonstrasi aman’ atau membangkang tindakan dan kesalahan pemimpin 
sebagai khawarij. Persoalan wajar atau tidak demonstrasi & teguran 
terang-terangan bukan target artikel ini, tetapi saya mengambilnya hanya
 sebagai contoh, bagaimana hanya disebabkan seseorang itu menyokong 
bantahan terbuka terhadap pemerintah, lalu di cuba dinamakan dan 
dilabelkan sebagai khawarij. Sedangkan khawarij itu adalah satu kumpulan
 yang menentang pemerintah yang merupakan khalifah dengan jalan 
kekerasan atau menggunakan senjata. Khawarij juga mendakwa dosa-dosa 
besar menyebabkan kekafiran lalu mengkafirkan pemimpin yang melakukan 
dosa besar dan menghalalkan darah mereka. ( Rujuk Fiqh Al-Jihad, 
Al-Qaradawi, 1/200 dan 2/1030)
Adakah
 mereka yang membangkang ini seperti itu? Saya yakin tidak. Justeru 
mengapakah dengan mudah cuba untuk melabel dengan label seburuk Khawarij?
Sedangkan
 mungkin sekali mereka yang dilabel itu sama sekali tidak faham seluruh 
rukun, polisi dan asas gerakan khawarij yang dikatakan itu. Malangnya 
disebabkan sangka buruk dan teknik ‘tidak sihat’ dikalangan sebahagian 
ahli agama, setiap kali apabila mereka berbeza pandangan, mereka kerap 
mencari nama-nama dan label-label buruk serta diketahui jahat agar boleh
 dinisbahkan kepada pihak yang berbeza dengannya. Mungkin harapannya 
agar boleh ‘mematikan’ hujah dan sokongan terhadap pihak sebelah sana.
Justeru,
 adakalanya kita mendengar gelaran ‘Munafiq’, ‘sama seperti Yahudi’ dan 
lain-lain label yang boleh terus memburukkan seseorang ilmuan yang tidak
 dipersetujui itu. Inilah juga yang dialami oleh Syeikhuna Dr. Yusuf 
Al-Qaradawi, hanya disebabkan satu dua ijtihad beliau yang tidak disukai
 oleh sekumpulan pengkaji ilmu, beliau dituduh sebagai ulama kerajaan 
(padahal telah dibuang negara dan dipenjara oleh kerajaannya di Mesir), 
boneka, munafiq, bekerjasama dengan Yahudi dan Kristian dan lain-lain 
tuduhan tidak bertanggungjawab.
Nabi s.a.w bersabda :
سباب المسلم فسوق قتاله كفر
Ertinya
 : Mencela orang muslim itu suatu kefasiqan, dan membunuhnya adalah 
kufur ( Riwayat Al-Bukhari dan Muslim dari Ibn Mas’ud)
Biasanya,
 tindakan label melabel ini biasanya adalah hasil dari niat dan hati 
tidak baik pihak yang melabel kerana mahu segera mematikan kredibiliti 
mereka yang tidak sama fikiran dan pendapat dengannya. Agar orang 
awam terus boleh menjauhi mereka dan pandangan mereka sama sekali. 
Akhirnya ustaz-ustaz terus bertelagah dan orang awam berterusan keliru.
Sebahagian orang awam menjauhkan diri dan sebahagian yang lain mengambil keputusan untuk turut serta menyokong ustaz mereka.
Malanglah
 kita mempunyai keadaan graduan agama yang sebegini. Kali ini gejala 
negatif ini bukan hanya berlaku di kalangan graduan agama yang kurang 
cemerlang di universiti malah yang juga cemerlang. Tetapi mungkin 
terlalu hairan dengan kealiman sendiri dan terburu-buru, tidak 
memikirkan cara pelaksanaan dan ajakan kepada sunnah.
TERGESA-GESA INGIN MEMBAWA PERUBAHAN
Memang benar, sunnah itu jelas tetapi cara ajakan itu adalah terdiri dari hukum-hukum mutaghaiyyirat
 dan perlu mengambil kira keadaan dan kesediaan orang ramai. Mengajar 
orang ramai dan awam secara tergesa-gesa tanpa proses lunak dan tadarruj
 hanya mencipta orang awam yang keliru dan merasa layak untuk berfatwa 
sendiri, merujuk ayat dan hadis  secara sendirian, lalu semakin mudahlah
 dia tersesat jalan.
Lihat
 bagaimana Rasulullah membatalkan hasrat baginda untuk mengubah binaan 
Ka’abah kepada asas yang didirikan oleh Nabi Ismail a.s disebabkan 
melihat umat Islam di ketika itu belum bersedia untuk Ka’abah 
diperlakukan sedemikian. Rasulullah bersabda kepada Aisyah :
لو لا أن قومك حديثو عهد بشرك لبنيت الكعبة على قواعد إبراهيم
Ertinya
 : Sekiranya tidaklah kaummu itu baru-baru sahaja (keluar) dari zaman 
syirik (menyembah berhala) nescaya sudah tentu akan ku bina semula 
Kaabah di atas binaan asal nabi Ibrahim ( Al-Bukhari & Muslim)
Demikian
 juga lunaknya baginda nabi s.a.w. ketika baginda menegur seorang 
sahabat bernama Mu’awiyah Al-Hakam yang bercakap di dalam solat, 
Muawayiah menceritakan walaupun sahabat-sahabat lain marah-marah dan 
membuat pelbagai isyarat keras kepadanya, namun sesudah solatnya, 
baginda hanya menerangkan kepadanya tanpa menyakitinya, memukulnya atau 
mencelanya, baginda bersabda
إن هذه الصلاة لا يصلح فيها شيء من كلام الناس , إنما هو التسبيح والتكبير وقراءة القرآن
Ertinya : Sesungguhnya ini adalah solat, dan tidak boleh didalamnya kecuali tasbih takbir dan bacaan al-Quran” ( Riwayat Muslim) 
KESIMPULAN
Sebenarnya
 banyak lagi hasil pemerhatian yang ingin dikongsikan, cuma cukuplah 
sekadar itu buat dahulu masa ini. Itupun belum tentu ingin dibaca oleh 
graduan-graduan agama yang asyik bertelagah ini, mungkin disebabkan saya
 bukan dari aliran mereka, malah saya bukan dari mana-mana aliran. 
Salafi tidak memasukkan saya sebagai manhaj salafi, khalaf juga menolak 
saya dari kalangan mereka.
Atau dalam bahasa mudahnya:
“Pendokong
 Wahhabi tidak menganggap saya dari kalangan mereka kerana saya tidak 
membid’ahkan amalan orang lain, pendokong khalaf juga tidak menganggap 
saya dari kalangan mereka kerana tidak membantai Wahhabi.”
Atau mereka bakal menolak tulisan ini kerana saya bukan graduan dari universiti yang mereka hormati..
Sebab
 itulah saya menyatakan kita perlukan seorang graduan cemerlang dari 
pelbagai universiti dan Negara sebagaimana yang disebutkan di dalam artikel sebelum ini. Semoga beliau kelak mampu meredakan pertelingkahan merugikan ini.
Lebih
 menyedihkan, sehingga sampai satu tahap kebencian di antara mereka ini,
 ada yang cuba memalukan antara satu sama lain memalukan dengan mencela 
kelulusan agama, wajah, tubuh, dan cuba pula memalukan keluarga pihak 
yang dibenci itu. Adakah ini merupakan amalan sunnah dan boleh 
menghampirkan diri kepada Allah?
Paling menyedihakan, sudah sampai satu tahap dimana perpecahan
 ini mengakibatkan satu pihak mengharapkan kematian pihak yang tidak 
sependapat dengannya atau bergembira dengan kematian individu tidak 
sependapat dengannya (jika berlaku).
Seringkali
 saya cuba mengingatkan diri dan sahabat-sahabat awam yang mula berjinak
 dengan mana-mana kumpulan dan aliran agar segera sedar tipu daya 
Syaitan ini. Syaitan sedang cuba membelit kita, kononnya 
berjuang untuk kesucian agama dan sunnahnya tetapi rupanya terpedaya 
dengan syaitan sehingga menggadaikan larangan qati’e yang ditegah oleh 
Allah dan rasulNya iaitu  sangka buruk, mengadu domba, merendah dan 
memperlekeh manusia serta mengumpat dan mencela orang lain. Sedang isu yang diperjuangkan 90 % antaranya adalah hanya isu yang bersifat zanni.
Berterusan sebahagian dari mereka melanggar larangan qat’ie kerana memperjuang arahan yang bersifat zanni?
Saya
 akui, saya sendiri mungkin tidak terlepas dari apa-apa inti yang 
disebutkan di atas dan dengan itu saya memohon keampunan serta 
beristighfar kepada Allah swt atas kelemahan-kelemahan diri. Sentiasa 
berusaha ke arah kesatuan dan sikap hormat menghormati yang lebih 
positif.
Saya
 memohon kemaafan jika sebahagian bahasa dalam tulisan ini menyinggung 
sesiapa dan aliran yang mereka dokongi tanpa hikmah. Tujuan dan harapan 
saya hanyalah untuk melihat sebuah kesatuan dan toleransi di kalangan 
ahli agama dalam bab yang cabang atau usul yang zanni serta bersepadu 
dalam membanteras yang sepakat salahnya sama ada isu cabang atau usul.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
18 Feb 2011
2 comments:
Punca berpecah dan sesat,
1. Ego, angkuh.
2. Ta'asub.
Keduanya dtg dr nafsu, dan tidak beriman seseorg hingga tunduk nafsunya kpd Kebenaran yg dibawa Nabi saw.
Tundukkan nafsu, berlapang dada, memaafkan, tanda iman.
Sedikit pndgn ;
Salafi sebenar tidak menafsir ""Tangan Allah" di atas tangan mereka" sbg 'Allah swt bertgn tp tgnNya tak sama dgn tgn makhluk' tetapi menyerahkan sepenuhnya tafsirannya kpd Allah swt. Ungkapan berkenaan diterima begitu sahaja tanpa tafsiran atau takwilan. Kerana yg berkaitan Zat Allah swt kita dilarang memikirkanNya, apatah lg memperkatakanNya atau membahaskanNya.
Khalaf membuat tafsiran dan takwilan yg bersesuaian spt "Tangan" di atas ditakwilkan dgn Restu, Pertolongan, Redha, utk menyelamatkan aqidah org awam agar tidak menggambar gambarkan atau membayang bayangkan Allah swt dgn sifat sifat makhluk.
WaAllahu'alam !
I agree that it is important to focus on unity and understanding within the Muslim community.
Post a Comment