Ini cerita seekor kerang...Cerita pengajaran...Cerita sastera...Cerita kita.
Seekor makhluk Allah yang hidup dalam dunianya yang tersendiri. Begitu sukar ditafsir oleh pancaidera manusia. Kehidupannya sama seperti kita; seandainya kita adalah kerang.
Angin taufan yang melanda pantai laut Mediteranean bulan itu amat kuat sehingga meniupkan tiupan angin yang bukan kepalang, lalu angin itu ditafsir menjadi gulungan ombak yang menggila sepanjang pantai. Ia takut, risau dengan keselamatannya. Lantas ia tetap menyorok dalam cangkerangnya. Lama ia begitu, biarpun kelaparan tetap bertahan.
Tanpa melihat keluar walau sejenak pun. Adakalnya ia bergolek-golek; dek kerana hempasan ombak setinggi langit baginya. Lalu ia berdoa, semoga tetap bertahan. Kembali muhasabah erti sebuah kehidupan. Terkenang ia akan sebulan yang lalu, pantai itu begitu tenang. Pantai yang terletak di salah sebuah daerah Mesir; Dumyat. Keriangan petang itu bersama rakan-rakannya yang lain masih terasa hingga kini. Tika itu, seluruh ahli keluarganya berkumpul bersama-sama, makan bersama-sama dan gelak ketawa silih berganti. Alangkah riangnya hati. Semua kerang membuka luas cangkerangnya, begitu banyak makanan yang dapat diperoleh. Dia dapat melihat seluruh dunianya; dunia terumbu karang.
Namun kini, segalanya berubah. Ingatkan panas hingga ke petang, namun hujan di tengah hari. Pernah sekali ia cuba melihat keluar dalam ngauman ombak tatkala itu. Astaghfirullah... Segala-galanya hancur, mati dan binasa. matanya terpaku kepada sekujur cangkerang; seolah biasa melihatnya. "Maak!.." Itu sahaja kalimah yang terlafaz pada mulutnya. Dalam linangan air mata ia cuba mendekati tubuh itu. Mati. Tiada apa yang boleh diusahakan. Dia lantas menoleh ke sekelilingnya, segala-galanya hancur! cangkerang siput, kerang dan ketam bergelimpangan di sana-sini. Ia amat takut, trauma melihatnya. Dia lantas pergi dari situ, meninggalkan sekujur tubuh kaku insan tercinta.
Tiba-tiba ia terlihat seekor kerang yang masih teguh cangkerangnya, cantik, indah. Ia cuba mendekati perlahan-lahan, dengan harapan menemukan kerang hidup yang lain. Ombak menghempas lagi. Cepat-cepat ia masuk ke dalam perlindungannya. Setelah reda ia cuba membuka kembali pintu cangkerangnya. "Ya Allah!..." Alangkah terkejutnya ia, kerang tadi yang begitu indah luarannya terbuka luas mulutnya. Hanyir dan busuk. Kelihatan beberapa ekor ulat sedang memamah jasadnya. Ulat itu menggelitik-gelitik. Menggelikan, matanya melihat, otaknya mentafsir lalu meghasilkan satu emosi yang kurang menyenangkan. Ia mual dan termuntah di situ. Kerang itu sedih dan duka. hatiya benar-benar menangis, pilu mengenangkan nasib diri. Lalu atas tikar kesedihan itu ia bermunajat kepada Ilahi. Biar betapa kuat ombak menghempas, ia tetap bertahan. Ya tetap bertahan dalam cangkerangnya.
Begitulah juga kehidupan seorang manusia wahai sahabatku. Kita ini ibarat kerang. Dunia kita ialah pantai. Adakalanya arus laut terlalu tenang, indah, senang dan perlahan. Lantas kita lupa, kita alpa dengan kesenangan yang hanya sementara. Kita juga lupa bahawa kita hanyalah kerang yang lemah, menumpang dalam pentas kehidupan. Sungguh, zaman remaja kita amatlah hebat ombak cabarannya wahai sahabatku, walaupun kita tidak menyedari hakikat ini. Fenomena-fenomea kebejatan sosial dan kehancuran akhlak adakalanya tidak disedari oleh kita.
Jarum-jarum thaghut telah mencucuk hati kita melalui media-media, majalah, surat khabar dan internet. Maka ramai yang hatinya mati, seperti matinya kerang-kerang, siput-siput dan ketam-ketam dalam kisah di atas. Hanyalah bahtera iman yang akan melayarkan kita ke destinasi yang abadi. Perkasakanlah iman dengan al-Quran dan solat malam. Sentiasa berdamping dengan Quran, kerana ia akan menyalakan semangat perjuangan. Manakala solat malam (qiamullail) akan memantapkan hati, meneguhkan jiwa dan melancarkan lidah.
Adakalanya kita perlu beruzlah (mengasingkan diri) dalam cangkerang keimanan kita. Ombak di luar sana amat hebat sahabatku. Berlindunglah dalam cangkerang keimananmu. Semoga hati kita sentiasa bersih dan suci. Kerang itu masih di situ. Berteleku dalam munajatnya di hadapan wajah Tuhan. Kerang itu teguh dan kuat, tatkala yang lain kalah, ia dapat bertahan. Kisah kerang; analogi kehidupan insan. Ada yang kalah dan mati, ada yang hidup dan tetap bertahan. Sekiranya seekor kerang dapat bertahan di pantai ombak ganas yang membinasakan, mampukah kita bertahan dalam arus dunia keremajaan?
No comments:
Post a Comment