Wednesday, April 8, 2009

Kalau Mahu Semua Boleh

Di antara hikmah kita dijadikan sebagai khalifah di muka bumi Allah ini ialah bila kita diberikan akal untuk berfikir kemudian mengemudi akal kita dengan cara yang terbaik dan bila baik pelayaran akal kita maka kita akan berlabuh dengan mulia di pelabuhan abadi nanti. Namun, kadangkalanya kita sering menjadi seorang pelayar yang gagal, sudah berputus asa dan harapan, biarkan sahaja bahtera karam atau berlabuh di pulau sepi. Akhirnya pelayar kapal kalah dengan ciptaanNya yang bernama ombak dan ribut. Tiada akal dan tiada otak. Bagi pelayar yang berjaya melabuhkan kapalnya pula merupakan wira samudera, bijak dan hebat megawal keadaan serta perkasa membunuh 'TAKUT'. Kini pelayar yang berjaya sudah tiba di pelabuhan. Kemana destinasinya? Itulah hikmah manusia, dijadikan untuk benar-benar manjadi “Manusia yang Manusia”.

LUMRAH TRADISI DAN TRANSFORMASI

Menjadi seorang yang berjaya dan disegani bukanlah bermula dengan mudah dan senang, tidak seperti menyebut huruf A hingga ke Z. Rintangan dan dugaannya susah; perlu menghadapi dan dihadapi. Itu lumrah keadaan, bukan ciptaan mahupun rekaan. Bila mahu melaksanakan sesuatu yang baru, pasti ada yang memberontak; si TRADISI pasti bertindak menghalang si TRANSFORMASI untuk terus melaksanakan cita-cita. Akhirnya 1001 pertembungan akan berlaku. Siapa salah, siapa benar? Sekiranya dibincang dan dibahaskan, akhirnya pasti juga wujud “Khilaf”, akhirnya kedua-dua itu terkapai-kapai mencari titik yang tidak bertanda. TRADISI itu adatnya. Kena berpegang dan teguh berdiri. TRANSFORMASI itu pengubah adat. Perlu berkembang dan harus berjalan.

KALAU MAHU SEMUA BOLEH

Jika kita mahukan sesuatu luar biasa, apa yang kita akan buat? “Aku akan buat dan usaha sampai dapat!”, “Mestilah nak buat.. seronoknya!”. Angan-angan sudah mengatasi segalanya. Dibuai angan-angan kemudian diulit mimpi-mimpi indah dan kesudahannya sehingga kini masih lagi di KAKI AKAR. Berangan dan terus bermimpi-mimpi. KITA pasti bukan yang asyik berangan-angan dan bermimpi-mimpi, begitu juga saya. Kalau mahu semua boleh, kalau nak tiada yang mustahil dengan izin Allah. Ini kata-kata Abang Qobin (Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, Belia Melayu Islam yang pertama sampai di Everest , dan Belia Malaysia mengelilingi dunia dengan hanya berbasikal) pada saya setahun yang lalu dan ini juga maksud kata-kata Pasangan Muslim Pertama Asia dari Brunei Darussalam yang mengelilingi dunia dengan kereta pacuan 4 roda (Puan hayati dan Encik Harun).
Mereka merupakan diantara insan yang cukup bertuah dengan diri mereka kerana mereka dapat apa yang mereka mahu. Tiada tuah yang mendekati mereka, kerana mereka sendiri yang mencari tuah, itu istimewanya kerana mereka bukan pelayar yang berputus asa dan apa yang mereka tahu ialah “Kalau mahu semua boleh!”. Mereka Berjaya kerana mereka berpegang pada prinsip dan misi. Mereka juga berjaya kerana mereka mahu menjadi yang terbaik. Misi yang mulia akhirnya menjadikan mereka insan yang disegani. Mereka juga manusia seperti saya dan anda. Siapa tahu, kita bakal menjadi seperti mereka?

No comments: