Rasulullah s.a.w bersabda : “ Kamu pasti akan mengikut jejak-jejak orang-orang sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, hingga mereka masuk ke lubang biawak sekalipun pasti kamu tetap mengikut mereka.” Kami bertanya: “ Wahai Rasulullah, Yahudi dan Nasrani?” Baginda menjawab : “Lalu siapa lagi(kalau bukan mereka)?” ( Bukhari dan Muslim).
Majoriti umat Islam pada hari ini telah menyimpang jauh daripada landasan Islam yang sebenar. Pelbagai telatah manusia dapat disaksikan. Atas kepelbagaian telatah ini maka timbullah kepelbagaian gejala yang kurang sihat bahkan banyak yang bertentangan dengan syariat Islam. Antaranya ialah April Fool dan Velentines Day.
Bermaharjalelanya budaya Barat ini sudah menjadi suatu trend di persekitaran kita. Bahkan ada segolongan yang berpendapat bahawa perkara ini ‘harus’ atau dengan kata lain, seri persekitaran ini akan hilang tanpa adanya perkara-perkara sedemikian. Amatlah ditakuti sekiranya pemikiran-pemikiran sebegini terus berleluasa hingga suatu masa nanti ada pula yang mengatakan bahawa ianya tidak bertentangan dengan Islam. Apa yang cuba diketengahkan di sini ialah sebahagian daripada kerosakan yang terdapat dalam alam persekitaran kita khususnya ruangan di mana kita berada pada hari ini. Sama ada suka atau tidak, apa yang dapat kita saksikan ialah remaja mahupun dewasa sudah terikut-ikut dengan budaya-budaya ini.
Asal Usul :
Fool’s Day atau April Fool mula dirayakan sewaktu kejatuhan kerajaan Islam yang telah bertapak berkurun-kurun lamanya di Granada, Sepanyol. Ia telah jatuh ke tangan tentera-tentera Kristian. Akibatnya penduduk-penduduk Islam terpaksa berlindung di dalam rumah masing-masing untuk menyelamatkan di mereka. Tentera-tentera Kristian bagaimanapun tidak berpuas hati dan berusaha menghapuskan semua orang Islam dari Sepanyol.
Penduduk-penduduk Islam ini diberitahu bahawa mereka boleh berlayar keluar dari Sepanyol dengan selamat bersama-sama barang keperluan mereka dengan menggunakan kapal-kapal yang berlabuh di pelabuhan. Di kalangan mereka ini ada yang mempercayai dan tidak kurang pula ada yang risau sekiranya tawaran tersebut hanya merupakan satu penipuan semata-mata. Maka mereka yang mempercayainya tanpa berlengah-lengah telah pergi ke pelabuhan untuk melihat kapal kapal yang dimaksudkan.
Setelah berpuas hati, mereka membuat persiapan untuk bertolak. Keesokkan harinya (1 April), mereka mengambil semua barangan yang telah disiapkan lalu menuju ke pelabuhan. Pada masa inilah puak Kristian mengambil kesempatan untuk menyerang penduduk-penduduk Islam ini. Mereka tidak sempat untuk menaiki kapal kerana semuanya telah dibakar manakala orang-orang Islam yang berada di sekitarnya telah dibunuh kesemuanya tidak kira lelaki, perempuan mahupun kanak-kanak. Peristiwa berdarah yang menyedihkan ini kemudian diraikan oleh tentera Kristian.
Keraian ini akhirnya dirayakan pada setiap tahun bukan sahaja di Sepanyol, tetapi juga di serata dunia di mana ia juga banyak diabadikan dalam bentuk perayaan-perayaan yang lain secara tidak langsung. Yang menyedihkan, hari ini orang-orang Islam yang jahil mengenai peristiwa itu turut meraikan April Fool tanpa menyedari bahawa mereka sebenarnya merayakan ulang tahun pembunuhan beramai-ramai saudara mereka sendiri.
No comments:
Post a Comment