MENJADI idaman setiap Muslim berkeinginan mengecapi kecemerlangan hidup bukan saja di dunia malah di akhirat. Namun, untuk memperolehnya seseorang itu hendaklah terlebih dulu berusaha keras meningkatkan keimanan walau apapun dugaan atau halangan yang datang.
Kecewa dan mudah bosan memang penyakit sangat berbahaya dan mampu melenyapkan harapan untuk mencapai hidup maju. Perasaan itu mesti dilontarkan sejauh-jauhnya. Inilah sifat istiqamah yang sewajarnya menjadi identiti bagi setiap muslimin supaya tidak hanyut mengikut nafsu.
Allah berfirman yang bermaksud:
“Oleh yang demikian, maka ajaklah (mereka) dan berdirilah dengan lurus sebagaimana engkau diperintah, dan janganlah engkau turut hawa nafsu”. (Surah as-Syura, ayat 15)
Sehaluan dengan perintah itu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Katakanlah: Aku percaya kepada Allah kemudian berlaku lurus (istiqamah).” (Hadis riwayat Muslim)
Istiqamah seharusnya diterapkan dalam segala bidang pekerjaan kerana bekal keimanan serta sifat berhubung kait dengan hati dan ibadat membolehkan seseorang itu melihat segala kebaikan atau keburukan yang datang daripada sudut pemikiran rasional.
Sewajarnya apabila kecundang dalam sesuatu yang diperjuangkan, sama sekali tidak boleh menyalahkan takdir bahkan sehingga ada yang tergamak beranggapan bahawa Allah sudah benci kepadanya.
Sebaliknya, lihat pada diri sendiri, selidik dan teliti apa kekurangan atau kecacatan supaya dapat diperbaiki dan meneruskan usaha dengan akal sihat, subur, akhirnya bertawakal kepada Allah . Anggaplah kekalahan itu sebagai ujian Allah yang perlu dihadapi penuh kesabaran dan keimanan.
Dengan itu, mudah-mudahan tidak berulang lagi kegagalan yang sama dalam hidup. Di sinilah seseorang perlu kepada sifat istiqamah. Sesungguhnya orang yang mengaku beriman itu tetap diuji Allah untuk mengukur sejauh mana kekentalan iman di dadanya.
Firman Allah yang bermaksud:
“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya Kami menguji orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang yang dusta.” (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)
Umat Islam perlu tekun mematuhi perintah Allah untuk mengharungi kehidupan masa kini selain memastikan diri sentiasa beristiqamah kerana mereka yang beristiqamah akan mendapat rahmat Allah .
Allah berfirman yang bermaksud:
“Dan bahawasanya jika mereka tetap berjalan lurus (istiqamah) di atas jalan itu (agama Islam) benar-benar Kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar atau rezeki yang banyak.” (Surah al-Jin, ayat 16)
Dr Hamzah Ya’qub dalam bukunya Tingkat Ketenangan dan Kebahagiaan Mukmin, menyimpulkan istiqamah ini kepada tiga tahap iaitu istiqamah dengan hati, lisan dan perbuatan.
Istiqamah dengan hati bermaksud teguh iman, mempertahan kejujuran dan sifat mazmumah lain. Mereka yang memiliki iman teguh tidak mudah tergoda, terpengaruh dan rebah kepada godaan. Oleh itu, setiap tindak-tanduknya adalah mencerminkan hati yang suci.
Istiqamah dengan lisan ialah sentiasa memelihara tutur kata supaya ikhlas dan benar. Apa yang diucapkan itu mengikut landasan agama dan bukan atas kehendak nafsu. Firman Allah yang bermaksud:
“Allah menetapkan orang beriman dengan perkataan yang tetap dalam penghidupan dunia dan akhirat.” (Surah Ibrahim, ayat 27)
Akhir sekali, istiqamah dengan perbuatan iaitu tekun dalam bekerja, berusaha, berjuang, tidak jemu berusaha, tidak kecewa, cemas dan takut apabila jatuh sebaliknya terus saja berjuang sehingga berjaya.
Ketiga-tiga tingkatan tadi, tidak boleh tidak wajib dimiliki setiap orang yang beriman kerana ia adalah salah satu antara ciri orang mukmin yang akan membuahkan keuntungan dan kemenangan di dunia serta akhirat.
Allah memberi khabar gembira kepada orang istiqamah melalui firman yang bermaksud:
“Sesungguhnya mereka yang mengakui Allah Tuhan kami, kemudian berlaku lurus (istiqamah) akan turun malaikat kepadanya untuk menghibur dengan kata-kata: Jangan takut dan jangan berduka cita, dan bergembiralah kamu dengan syurga yang dijanjikan kepadamu.” (Surah Fushshilat, ayat 30)
No comments:
Post a Comment