LALAI adalah satu penyakit yang menimpa individu dan masyarakat. Jika diamati ia sejenis penyakit cukup berbahaya, yang boleh membunuh cita-cita dan semangat, malah boleh membawa kepada kehancuran dalam kehidupan (suul khatimah).
Sekiranya penyakit lalai menyerang orang yang berilmu, orang terbabit akan berperwatakan sebaliknya, menjadi orang yang dungu seperti tidak tahu apa-apa dan jika penyakit ini menyerang orang kaya, mempunyai harta keliling pinggang, orang terbabit akan menjadi hina.
Lalai dalam bahasa biasa dapat dimengertikan, melakukan sesuatu tanpa hati-hati, mengabaikan yang terpenting daripada yang penting.
Dalam al-Quran, ayat 179, dari surah al-A’raaf, Allah memberi takrif mengenai lalai:
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi) neraka jahanam kebanyakan daripada jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya, dan mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya, dan mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya; mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang yang lalai.”
Jadi, melalui al-Quran kita dapat mengetahui makna lalai iaitu tidak berfikir, tidak melihat dan tidak mendengar. Dalam erti kata lain ialah tidak menggunakan segala panca indera yang dianugerahkan Allah dengan sebaik-baik kegunaan.
Dalam Islam, lalai ada beberapa fokus. Sesiapa yang mempunyai ciri-ciri dalam fokus ini, dia berada dalam bahaya. Tetapi orang yang paling bahaya ialah apabila dia tidak mengetahui yang dia sebenarnya berada dalam bahaya.
1. Lalai terhadap perkara yang membahayakan dan mendatangkan murka Allah , memandang kecil terhadap dosa, tidak bertaubat dan tidak takut langsung dengan dosa. Dia sebenarnya dalam bahaya. Justeru, hati-hatilah!
2. Lalai terhadap perbuatan yang boleh menyelamatkan diri daripada azab Allah iaitu tidak mengamalkan apa yang terkandung dalam rukun iman dan Islam. Malah, kadangkala sesetengah pula tidak tahu mengenai Rukun Iman dan Rukun Islam.
3. Lalai untuk menggunakan peluang iaitu tidak menggunakan umur dan waktu yang diberi Allah sebagai modal untuk mencipta kebaikan dunia dan keuntungan di akhirat.
Umur diberi kepada manusia dengan percuma, ia sangat mahal sehingga banyak tempat dalam al-Quran Allah bersumpah dengan waktu dan umur.
Tetapi kita manusia tidak tahu mengisi umur dan masa dengan amalan berharga. Itulah yang dinamakan lalai merebut peluang, lalai untuk berterima kasih terhadap tuan yang memberikan umur kepada kita, kerana jika tidak lalai pasti kita isikan dengan aktiviti berguna.
4. Lalai terhadap kualiti hati, iaitu diri tidak tahu keadaan hatinya, sama ada sakit atau sihat. Malah disebabkan lalai, diri tidak mengetahui hatinya hidup subur atau mati.
Apabila lalai, dia bersikap tidak peduli terhadap hatinya, tidak pernah memikirkan untuk memberikan rawatan terhadap hatinya. Justeru, hati yang keras menjadi bertambah keras, sukar menerima pendapat, nasihat dan tunjuk ajar.
5. Lalai terhadap musuh dan perangkap syaitan yang tidak pernah lalai terhadap mangsanya, terdiri daripada manusia. Syaitan sentiasa mencari peluang untuk memperdayakan manusia, tanpa berasa letih pada bila-bila masa, tetapi apabila manusia lalai, saat itulah peluangnya untuk menggoda manusia.
Tetapi tahukah anda, lalai yang paling bahaya ialah apabila orang mula menjadikan dunia sebagai matlamat atau tujuan kehidupan, sedangkan dunia adalah alat yang digunakan sewajarnya bagi mendapatkan habuan di akhirat.
Sekiranya antara kita tersenarai dalam mana-mana golongan yang lalai di atas, kita sebenarnya dalam bahaya. Justeru, marilah kita sama-sama melakukan penambahbaikan terhadap diri kita, amalan kita, ahli keluarga kita dan rakan taulan kita.
1 comment:
manusia yang diberikan telinga untuk mendengar, mata untuk melihat dan hati untuk menilai tetapi lalai dan tidak menggunakannya untuk tujuan yang sepatutnya mmg lagi sesat dari binatang, kerana binatang itu tidak dikurniakan akal fikiran dan memang fitrah binatang macam tuh.tapi manusia ada akal, jadi gunakan dengan sebaiknya, kerana jika tidak apelah beza seorang manusia yang sepatutnya menjadi khalifah tuh, dgn binatang...
Post a Comment