Monday, August 9, 2010

Keistimewaan Puasa dan Bulan Ramadhan

Setiap orang yang mengaku beriman dengan kebesaran Allah pasti akan bergembira apabila tiba bulan Ramadhan Al Mubarak di setiap tahun. Ini disebabkan Ramadhan satu-satunya bulan yang penuh dengan rahmat dan keberkatan yang tidak terdapat di dalam bulan-bulan yang lain, oleh sebab itu Rasulullah s.a.w. menjelaskan Ramadhan adalah penghulu kepada sebelas bulan yang lain. Hanya orang yang kenal kelebihan Ramadhan sahaja yang akan bersedia bila menjelangnya bulan yang mulia ini.

Betapa besarnya fadilat bulan Ramadhan ini dapat kita fahami dari hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bererti:

"Apabila masuk bulan Ramadhan maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka serta diikat semua iblis dan syaitan."

Oleh kerana itu apabila seorang melangkah masuk ke bulan Ramadhan bererti mereka memasuki gerbang pertapaan yang penuh dengan ujian dan latihan. Kerana itu sudah sewajarnyalah kita membuat persiapan yang perlu dari segi rohani dan jasmani iaitu:

1. Mengulangi kembali pelajaran-pelajaran yang berkaitan dengan puasa agar kita memasuki dan menjalani amalan puasa ini dengan pengetahuan dan yang dibaharui dengan pedoman-pedoman yang baik serta pengalaman-pelangalam yang baru dan sempurna. Pelajaran-pelajaran itu hendaklah yang berhubung dengan rukum, syarat sah, syarat membatalkan puasa, perkara-perkara sunat, makruh, abad berpuasa dan hikmat yang terkandung serta perlaksanaan ibadat puasa yang merupakan ibadat yang istimewa ini.

2. Membuat persiapan dari segi Rohani rasa hati dan ketenangan jiwa dalam menghadapi bulan puasa sebagaimana yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. dan para sahabat baginda.

3. Membanyakkan doa moga-moga Allah memberikan kesihatan, tenaga, kelapangan dan kesempatan mengerjakan puasa dan mudah-mudahan Allah memberikan taufik dan hidayahNya supaya kita dapat menunaikan puasa dengan hati yang jujur, tulus ikhlas dijauhi dari riak, ujub dan dari segala rupa penyakit yang menghilangkan pahala puasa.

4. Menguatkan semangat dan hemat untuk melaksanakan latihan yang akan kita jalani sepanjang bulan ini dengan sempurna agar kita memperolehi kesan yang dimaksudkan iaitu peningkatan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t. Open in new windowBulan puasa itu merupakan bulan latihan berjihad memerangi hawa nafsu yang loba dan tamak.

Bulan puasa adalah bulan bercucuk tanam untuk akhirat, bulan menghasilkan bekalan untuk hari kemudian, bulan membersihkan dan menyuci diri dari berbagai dosa dan noda serta menghiasi diri dengan budi yang tinggi dan pekerti yang luhur.

Maka oleh itu hendaklah kita menyediakan diri kita dalam melaksanakan hak puasa dengan perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan yang baik dengan sepenuh hati, jujur dan ikhlas semata-mata kerana Allah. Kita hendaklah berusaha menyediakan diri untuk menjaga benih-benih amal yang kita tanam di bulan Ramadhan itu kerana seorang yang menanam benih jika tidak membaja, menyiram serta memelihara pasti tidak akan mengeluarkan hasil yang baik apabila datang masa menuai tegasnya semasa berhadapan dengan Allah s.w.t.

Kita hendaklah mengelakkan daripada kebiasan-kebiasan yang memberatkan dan merugikan diri kita seperti berbelanja berlebihan, boros, suka berhibur, membuang masa dan bersembang yang tidak mendatangkan faedah kerana perkara-perkara tersebut adalah bertentangan dengan hikmat berpuasa.

Sebaliknya hendaklah kita menyambut bulan puasa dengna cita-cita dan azam yang tinggi membanyakkan ibadah samada siang atau malam hari dengan kemahuan hendak melatih diri serta mensucikan jiwa. Kita hendaklah mengucapkan tahniah di atas kedatangan bulan Ramadhan itu kerana ianya merupakan hak muslim ke atas muslim. Rasulullah S.A.W. pernah bersabda yang bermaksud:

"Daripada hak seorang muslim kepada muslim yang lain ialah apabila mereka menerima kebaikan hendaklah kita mengucapkan tahniah. "

Diriwayatkan oleh Ahmad dan Nasaie daripada Abi Khurairah bahawa Rasulullah s.a.w. sentiasa menggembirakan para sahabat di atas kedatangan bulan Ramadhan, bulan yang membawa rahmat serta nikmat yang tidak terhingga kepada mereka yang berpuasa, bulan melebur dosa dan memerdekan hambanya dari azab api neraka.

Rasulullah s.a.w. menggembirakan para sahabatnya dengan sabda baginda:

Ertinya: "Sesungguhnya akan datang kepada kamu bulan Ramadhan bulan yang diberkati, Allah mewajibkan kamu berpuasa di dalamnya. Pada bulan Ramadhan dibuka pintu-pintu syurga, dikunci semua pintu neraka, dibelenggu semua syaitan. Di malamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Barangsiapa yang tidak memperolehi kebajikan pada malam itu berertilah diharamkan baginya segala kebaikan untuk dirinya."

Terkadang-kadang Rasulullah s.a.w. mengucapkan kepada para Sahabat ucapan yang bermaksud:

"Telah datang kepada kamu bulan Ramadhan Penghulu segala bulan , maka selamat datanglah kamu kepadaNya. Maka telah datang bulan puasa membawa segala macam keberkatan. Oleh yang demikian muliakan tetamu yang datang itu dengan seberapa baik."

Daripada hadis-hadis di atas dapatlah kita membuat kesimpulan:-

Bahawasanya bulan Ramadhan adalah bulan istimewa bulan yang penuh dengan keberkatan dan rahmat dari Allah s.w.t. Sewajarnyalah setiap muslim mengambil kesempatan daripada ketibaan bulan Ramadhan Al Mubarak ini dengan memperbanyakkan amal-amal soleh samada disiang hari atau dimalamnya. Bulan Ramadhan adalah bulan pendidikan dan latihan maka setiap orang yang menerima kedatangan bulan Ramadhan ini hendaklah membuat persiapan yang sekucupnya samada dari segi jiwa, fizikal dan spiritual.

KELEBIHAN BULAN RAMADHAN

Berikut beberapa hadith yang menceritakan fadhilat bulan Ramadhan untuk kita hayati bersama dan mendapat keberkatannya :

1. Dari Abi Hurairah beliau berkata : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :

"Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan."

Hadis riwayath Bukhari, Muslim& Nasaaei.


2. Dan daripada Abu Hurairah daripada Nabi S.A.W telah bersabda yang bermaksud :

"Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu."

Hadith riwayat oleh Nasai'e, Ibn Majah dan Baihaqi

3. Dan Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang artinya :

"Sesiapa yang mendirikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka akan diampunkan baginya dosanya yang telah lalu."

Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Abu Daud, Nasai'e dan Baihaqi

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :

"Solat yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar).

Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah."

Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim dan Baihaqi

5. Daripada Abi Solih Az-Zaiyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :

"Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untuk Ku dan Aku sendiri yang akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri isterinya pada hari itu dan tidak meninggikan suara.

Sekiranya dia dihina atau diajak berkelahi maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri Nabi Muhammad saw didalam kudratNya maka bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. "

Hadis riwayat imam Bukhari& Muslim.

wallahua'lam

Friday, June 25, 2010

Ada Apa Dengan Solat Berjemaah?

Orang muda selalu bercakap mengenai cinta. Ada apa dengan cinta? Cinta digambarkan sebagai perasaan yang membangkitkan semangat, lantaran bersatunya dua jiwa. Adapun kita bukan nak berbicara panjang tentang cinta orang muda. Namun, masih lagi berkait tentang cinta. Cinta yang lahir akibat mengikut petunjuk nabawi. Kemanisan yang dapat dikecapi dengan melazimi solat berjemaah.

Lazimnya, apabila solat jemaah dilakukan, bahu si kaya dan si miskin bersentuhan, lutut anak muda bergesel dengan lutut si tua, tapak kaki orang besar bertemu rakyat biasa, justeru membangkitkan ikatan cinta persaudaraan yang penuh rahmah dan berpanjangan. Sememangnya telah didoakan oleh para malaikat atas orang yang berniat melakukan solat berjemaah dengan rahmah dari Allah. Sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. katanya,

''Rasulullah s.a.w. bersabda: Solat seorang lelaki dalam jamaah itu dilipat gandakan pahalanya melebihi solatnya di rumah secara bersendirian-munfarid-atau di pasarnya dengan dua puluh lima kali ganda'' (Muttafaqun 'Alaih).

Bila mana kita tinjau teori fizik, kajian sains mendapati sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jemaah yang lain yang berada di kiri dan kanan kita, akan menstabilkan kembali cas-cas yang diperlukan oleh tubuh. Ia berlaku apabila cas yang berlebihan-sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam kita. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita. Semakin segar setelah melakukan solat berjemaah adalah nikmat dan rahmat bagi yang percaya dan menyerah diri kepada Allah.

Justeru itu sahabat... Tidak pelikkah kalian dengan bilangan umat Islam yang ramai mencecah 6.5 billion, saudara Islam kita di Palestin masih dicabut maruah mereka, bumi kita Palestin dan negara-negara tinggalan empayar Islam satu ketika dahulu yang masih tidak dapat dikuasai kembali, ummat Islam yang dirampas hak mereka di Thailand, sistem Islam yang direndahkan di Turki, dan saudara Islam China yang dibunuh? Lalu tidak hairanlah masalah yang melanda ummat Islam pada hari ini sehingga tercabut kegerunan musuh Islam adalah kerana kita semakin jauh dengan unjuran nabawi - we have quantity but not quality. Sehingga akhirnya kita jauh dari rahmat, kasih sayang dan pertolongan Allah (nauzubillahiminzalik).

Oleh itu, sahabat yang dirahmati Allah sekalian, marilah kita sama-sama menghayati sekecil-kecil tuntutan nabawi ini, solat berjemaah agar Allah mengasihani kita. Di samping solat jemaah, berperananlah dengan mula memperbaiki diri dan keluarga dengan kefahaman Islam yang sahih dan murni menurut petunjuk nabawi agar kemanisan cinta sejati dapat kita kecapi!

Solat itu tiang agama,
Wajiblah kita menunaikannya,
Saat disoal di akhirat sana,
Solat itu yang utama.

Teruskan usaha mengenal pencipta,
Kemanisan iman nikmat tak terhingga,
Moga istiqamah setiap masa,
Kelak Allah beri balasannya.

Monday, May 17, 2010

'M'sia bukan masyarakat judi'

Oleh : Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Mei 9, 10 - 5:52pm

Kenyataan Timbalan Menteri Kewangan Datuk Awang Adek Hussein bahawa kerajaan pusat mempertimbangkan untuk mengeluarkan lesen judi sempena Piala Dunia 2010 demi mengelakkan berleluasa kegiatan judi haram adalah satu kenyataan yang memalukan dan amat menyalahi cara fikir yang lurus.

Saya ingin tegaskan hal ini berasaskan perkara berikut:

1. Dari segi Islam adalah menjadi asas bahawa 'tindakan pemerintah terikat dengan maslahah'. Maslahah dalam konteks ini adalah kepentingan atau kebaikan rakyat dan negara itu sendiri.

Ini seperti juga yang disebut oleh al-Imam al-Syafi'i r.h: “Kedudukan pemerintah di sisi rakyat bagaikan kedudukan penjaga anak yatim” (lihat: Al-Sayuti, al-Asybah wa al-Nazair).

Apakah memberikan lesen judi itu memberikan kebaikan atau mempunyai kepentingan umum rakyat? Atau ia hanya kepentingan segelintir taukeh dan kaki judi semata?

Jika ia tidak memulangkan kepentingan umum atau kebaikan kepada rakyat maka itu bukan tindakan pemerintah yang bertanggungjawab.

2. Tidak dinafikan judi dan arak memang mempunyai keuntungan dan beberapa manfaat untuk pihak-pihak tertentu.

Namun, ancaman dan bahayanya jauh lebih besar dibandingkan manfaat yang bakal diterima.

Al-Quran menyebut: (maksud) “Mereka bertanya engkau (wahai Muhammad) tentang arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa (keburukan) yang besar dan manfaat kepada manusia.

Namun dosa (keburukan) keduanya lebih besar dari manfaatnya” (Surah al-Baqarah ayat 219).

Maka dengan itu, sekadar untuk digunakan cukai judi berkenaan untuk kegiatan sukan bukan satu alasan. Kerosakan judi lebih besar dari manfaat yang akan diterima.

Membiayaan untuk membaikinya nanti jauh lebih tinggi.

3. Judi sama ada 'dilesenkan' atau tidak dilesen keburukannya sentiasa dominan.

Ia menyebabkan pembaziran tanpa sebab, sikap bergantung nasib tanpa kewarasan, merosakkan keluarga, menimbulkan tabiat suka berhutang, membawa kepada kejatuhan ekonomi individu secara mengejut, ketagihan tabiat buruk tersebut yang luar biasa dan berbagai lagi keburukan yang lain.

Akal waras manusia dari semua aliran agama dan masyarakat, bahkan yang tidak beragama pun tetap menyatakan judi selalu merosakkan masyarakat.

4. Jika pun judi itu untuk masyarakat bukan Islam, saya tetap katakan masyarakat Malaysia bukan masyarakat judi.

Tiada ajaran mana-mana agama yang menggalakkan judi. Tiada siapa pun dalam mana-mana bangsa atau agama dalam negara ini sanggup untuk mendakwa 'judi adalah budaya kami', atau 'kebanggaan hidup kami'.

Jika ada, itu terkeluar dari norma kewarasan. Tiada isteri yang normal sukakan suaminya kaki judi.

Maka, jangan kaitkan atau hidupkan budaya ini secara terbuka dalam masyarakat kita. Kaki judi sentiasa dipandang negatif dalam semua masyarakat yang rasional.

5. Judi akan menggalakkan tabiat berhutang dan pergaduhan. Sama ada diberi lesen atau tidak, tetap sama.

Hutang along atau hutang bank, tetap bebanan hutang.

Jika diberi lesen terbuka, yang tertutup tetap berjalan seperti biasa. Itu bukan alasan yang munasabah.

6. Peranan pemerintah adalah mencegah keburukan, bukan menaja atau bersaing dengan penjenayah. Cadangan tersebut hanya mengubah 'tauke' sahaja dari yang berlesen kepada yang tidak berlesen.

Apakah nanti mungkin kita akan wujudkan tempat 'hisap candu berlesen' untuk mengelakkan penagih candu menghisapnya di tempat yang tidak berlesen?

Jangan fikir lesen dan cukai keuntungan sahaja, kerajaan hendaklah berfikir kesan yang akan menimpa rakyat nanti!

Maka, saya sekali lagi membantah cadangan ini dan meminta semua rakyat Malaysia yang waras dan mempunyai nilai-nilai agama dan moral membantah cadangan ini!

Tuesday, April 27, 2010

Hati Kita Keras

Hati adalah sumber ilham dan pertimbangan, tempat lahirnya cinta dan benci, keimanan dan kekufuran, taubat dan sikap degil, ketenangan dan kebimbangan. Hati juga sumber kebahagiaan jika kita mampu membersihkannya namun sebaliknya ia merupakan sumber bencana jika kita gemar menodainya. Aktiviti yang dilakukan sering berpunca daripada lurus atau bengkoknya hati.

Abu Hurairah r.a. berkata, “Hati adalah raja, sedangkan anggota badan adalah tentera. Jika raja itu baik, maka akan baik pula lah tenteranya..Jika raja itu buruk, maka akan buruk pula tenteranya”.

Hati yang keras mempunyai tanda-tanda yang boleh dikenali, di antara yang terpenting adalah seperti berikut:

1. Malas melakukan ketaatan dan amal kebajikan

Terutama malas untuk melaksanakan ibadah, malah mungkin memandang ringan. Misalnya tidak serius dalam menunaikan solat, atau berasa berat dan enggan melaksanakan ibadah-ibadah sunnah. Allah telah menyifatkan kaum munafikin dalam firman-Nya yang bermaksud, “Dan mereka tidak mengerjakan sembahyang, melainkan dengan malas dan tidak (pula) menafkahkan (harta) mereka, melainkan dengan rasa enggan.” (Surah At-Taubah, ayat 54)

2. Tidak berasa gerun dengan ayat al-Quran

Ketika disampaikan ayat-ayat yang berkenaan dengan janji dan ancaman Allah, hatinya tidak terpengaruh sama sekali, tidak mahu khusyuk atau tunduk, dan juga lalai daripada membaca al-Quran serta mendengarkannya. Bahkan enggan dan berpaling daripadanya. Sedangkan Allah S.W.T memberi ingatan yang ertinya, “Maka beri peringatanlah dengan al-Quran orang yang takut dengan ancaman Ku.” (Surah Al-Qaf, ayat 45)

3. Berlebihan mencintai dunia dan melupakan akhirat

Segala keinginannya tertumpu untuk urusan dunia semata-mata. Segala sesuatu ditimbang dari segi keperluan dunia. Cinta, benci dan hubungan sesama manusia hanya untuk urusan dunia sahaja. Penghujungnya jadilah dia seorang yang dengki, ego dan individulistik, bakhil serta tamak terhadap dunia.

4. Kurang mengagungkan Allah

Sehingga hilang rasa cemburu dalam hati, kekuatan iman menjadi lemah, tidak marah ketika larangan Allah diperlekehkan orang lain, tidak mengamal yang makruf serta tidak peduli terhadap segala kemaksiatan dan dosa.

Tipu Daya Syaitan Terhadap Manusia

Tipu daya syaitan terhadap manusia supaya meninggalkan ibadat kepada Allah ada tujuh perkara menurut Imam Ghazali iaitu:

1. Syaitan melarang manusia taat kepada Allah. Sedangkan orang-orang yang dipelihara Allah akan menolak ajakannya dan mengatakan: 'Aku mengharapkan pahala dari Allah. Untuk itu, aku harus mempunyai bekalan di dunia ini demi akhirat yang kekal.'

2. Syaitan sentiasa memujuk manusia agar tidak mentaati Allah. Dia menghasut manusia dengan mengatakan : 'Nanti sahajalah, kalau sudah tua nanti barulah, masa masih panjang dan kita masih muda atau sebagainya lagi.' ; Orang-orang yang terpelihara akan menolaknya dengan mengatakan: 'Kematianku bukan berada ditanganmu. Jika aku menundakan amalanku hari ini untuk esok, sehingga amal hari esok perlu aku kerjakan. Sedangkan setiap hari aku mempunyai amal berlainan.'

3. Syaitan sentiasa mendorong manusia untuk bersegera dalam melakukan amalan kebaikan. Kata syaitan: 'Cepat beramal agar engkau dapat mengejar dan mengerjakan amalan-amalan lain.' ; Orang-orang yang selamat akan menolaknya dengan mengatakan: 'Amal yang sedikit tetapi sempurna lebih baik daripada amalan yang banyak tetapi tidak sempurna.'

4. Syaitan akan menyuruh manusia untuk menjalankan amalan yang baik secara sempurna agar tidak dicela oleh orang lain. Mereka yang dipelihara oleh Allah akan mengatakan: 'Bagi saya, penilaian cukup hanya dari Allah swt dan tidak ada manfaatnya beramal kerana manusia (orang lain).'

5. Syaitan membisikkan pujian kepada orang yang beramal: 'Betapa tinggi darjatmu kerana dapat beramal soleh dan betapa cerdik dan sempurnanya dirimu.' ; Mendengar pujian ini, orang yang baik akan mengatakan bahawa: 'Semua keagungan dan kesempurnaan itu hanyalah kepunyaan Allah dan bukan kekuatan atau kekuasaanku. Allah yang melimpahkan taufik kepadaku untuk dapat beramal sehingga Dia meredhai dan memberikan pahala yang besar. Sekiranya tanpa kurniaanNya, apalah erti amalanku ini, jika dibandingkan dengan nikmat Allah yang telah diberikan kepadaku, disamping dosaku yang bertimbun pula.'

6. Dengan gagalnya jalan kelima, syaitan akan menerapkan cara yang keenam. Cara ini lebih berat jika dibandingkan dengan cara-cara yang terdahulu dan manusia tidak akan menyedarinya kecuali orang-orang yang cerdik dan berfikir. Syaitan berbisik dalam hati manusia: 'Bersungguh-sungguhlah engkau beramal dengan sir (kejahatan), jangan sampai diketahui oleh orang lain .' ; Begitulah syaitan mencampur-baurkan amalan seseorang dengan penipuannya yang sangat tersembunyi. Dengan ucapannya itu syaitan bermaksud untuk memasukkan sedikit perasaan riak. Orang-orang yang dipelihara Allah akan menolak ajakannya dengan mengatakan: 'Hai malaun (yang dilaknat), engkau tidak henti-henti menggodaku dan merosakkan amalanku dengan pelbagai cara. Dan kini, kau berpura-pura seolah-olah akan memperbaiki amalanku, padahal engkau bermaksud merosakkannya. Aku adalah hamba Allah dan Allah yang menjadikanku. Jika berkehendak, Allah akan menjadikan aku mulia atau hina. Semuanya itu adalah urusan Allah. Aku tidak khuatir, amalanku diperlihatkan atau tidak kepada orang lain, sebab itu bukan urusan manusia.'

7. Gagal dengan cara itu, syaitan akan meneruskan godaannya dengan cara lain lagi. Dia mengatakan: 'Hai manusia, janganlah engkau menyusahkan diri sendiri dengan beramal ibadat kerana jika Allah telah menetapkan kamu sebagai orang yang berbahagia pada hari azali kelak, maka meninggalkan ibadat pun tidak akan memberikan sebarang mudharat. Engkau tetap menjadi orang yang berbahagia dan sebaliknya jika Allah menetapkan kamu sebagai seorang yang celaka, maka tidak ada gunanya engkau beribadat kerana engkau tetap akan celaka.' ;

Orang-orang yang dipelihara oleh Allah sudah pasti akan menolak godaan itu dengan mengatakan: 'Aku hanyalah hamba Allah. Wajib bagiku menuruti perintahNya. Allah Maha Mengetahui, menetapkan sesuatu dan berbuat apa sahaja sesuai dengan kehendakNya. Walau bagaimanapun keadaanku, amalanku tetap bermanfaat. Jika aku ditetapkan sebagai orang yang berbahagia, aku akan tetap beribadat untuk memperbanyakkan pahala. Sebaliknya, jika aku ditetapkan sebagai orang yang celaka, aku akan tetap meneruskan perbuatan ibadat agar tidak menjadi sebuah penyesalan bagiku. Sekiranya aku masuk neraka, padahal aku taat, itu adalah lebih aku sukai daripada aku masuk neraka kerana melakukan maksiat.

Tetapi tidak akan demikian akibatnya kerana janji Allah pasti terbukti dan firmanNya pasti benar ; Allah telah menjanjikan pahala kepada sesiapa sahaja yang taat kepadaNya. Barangsiapa mati dalam keadaan beriman dan taat kepada Allah, dia tidak akan dimasukkan ke dalam neraka, melainkan syurgalah tempatnya. Jadi, masuknya seseorang ke dalam syurga bukan kerana kekuatan amalan yang telah didirikan, tetapi kerana janji Allah yang suci murni dan pasti! Kelak, orang-orang yang berbahagia dan beruntung akan mengatakan; Segala puji bagi Allah yang membuktikan janjiNya dengan syurga, Semoga Allah melimpahkan rahmatNya kepada kita.'

Sesungguhnya dalam mentaati Allah, terlalu banyak godaan dan tipu daya syaitan yang perlu kita lalui. Bandingkan segala permasalahan dan perbuatan kepada keadaan tersebut dan pohonlah perlindungan Allah swt agar terlindung dan terpelihara dari kejahatan syaitan. Sesungguhnya segala sesuatu itu berada di bawah kekuasaan Allah dan kepadaNyalah kita mengharapkan taufiq dan keredhaan. Tiada daya untuk meninggalkan maksiat dan tidak ada kekuatan untuk mengerjakan ketaatan kecuali dengan pertolongan Allah yang Maha Luhur dan Maha Agung.

Tuesday, February 23, 2010

BARISAN DI AKHIRAT

Suatu ketika, Muaz bin Jabal r.a. menghadap Rasulullah S.A.W. dan bertanya kepada baginda:

“Wahai Rasulullah S.A.W., tolong huraikan kepadaku mengenai firman Allah S.W.T” Erti firmanNya;

“Pada sangkakala ditiup, maka kamu sekalian datang berbaris-baris” (Surah al-Naba’) Mendengar pertanyaan ini, baginda menangis dan basah pakaian dengan air mata. Lalu menjawab;

“Wahai Muaz, engkau telah bertanyakan kepadaku perkara yanag amat besar bahawa umatku masing-masing dengan pembawaan diri mereka sendiri.” Maka Rasulullah menyatakan setiap barisan yang sebanyak 12 barisan.

BARISAN PERTAMA

Diiringi dari kubur dengan tidak bertangan dan berkaki. Keadaan mereka dijelaskan melalui satu seruan dari sisi Allah Yang Maha Pengasih;

“Mereka itu adalah orang yang sewaktu hidupnya menyakiti hati jirannya. Maka demikian balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KEDUA

Diiringi dari kubur dalam berbentuk babi hutan. Datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih;

“Mereka itu adalah orang yang sewaktu hidupnya meringan-ringankan solat. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KETIGA

Mereka berbentuk keldai, sedangkan perut mereka penuh dengan ular dan kala jengking.

“Mereka itu adalah orang yang enggan membayar zakat. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KEEMPAT

Diiringi dari kubur dengan keadaan darah seperti air pancutan keluar dari mulut mereka.

“Mereka adalah orang yag berdusta di dalam jual beli. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KELIMA

Diiringi dari kubur dengan bau busuk daripada bangkai. Ketika itu,Allah S.W.T. menurunkan angin sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman di Padang Mahsyar.

“Mereka itu adalah orang yang menyembunyikan perlakuan derhaka kerana takut diketahui manusia,tetapi tidak pula rasa takut kepada Allah S.W.T. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KEENAM

Diiringi dari kubur dengan keadaan kepala mereka terputus dari badan.

“Mereka adalah orang yang menjadi saksi palsu. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KETUJUH

Diiringi dari kubur tanpa mempunyai lidah dari mulut mereka mengalir nanah dan darah.

“Mereka itu adalah orang yang enggan member kesaksian di atas kebenaran. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KELAPAN

Diiringi dari kubur dalam keadaan terbalik dengan kepala ke bawah dan kaki ke atas.

“Mereka adalah orang yang berbuat zina. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka.”

BARISAN KESEMBILAN

Diiringi dari kubur dengan wajah hitam gelap dan bermata biru sementara di dalam diri mereka penuh dengan api gemuruh.

"Mereka adalah orang yang memakan harta anak yatim dengan cara yang tidak sepatutnya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka."

BARISAN KESEPULUH

Diiringi dari kubur dalam keadaan tubuh mereka penuh dengan sopak dan kusta.

"Mereka adalah orang yang derhaka kepada ibu bapa. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka."

BARISAN KESEBELAS

Diiringi dari kubur dalam keadaan buta mata kepala,gigi mereka memanjang seperti tanduk lembu jantan, bibir mereka melebar sampai ke dada dan lidah mereka terlanjur memanjang sampai ke perut mereka dan keluar beraneka kotoran.

"Mereka adalah orang yang meminum arak. Maka inilah balsannya dan tempat kembali mereka adalah neraka."

BARISAN KEDUA BELAS

Mereka diiringi dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar laksana bulan purnama. Mereka melalui titian sirat seperti kilat. Maka datang suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih memaklumkan;

"Mereka adalah orang yang banyak berbuat baik. Mereka menjauhi perbuatan derhaka, memelihara solat, ketika meninggal dunia keadaan mereka sudah bertaubat. Maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah syurga, mendapat keampunan, kasih sayang dan keredhaan Allah Yang Maha Pengasih.”