Monday, June 22, 2009

Cerita Pengemis Dan Isteri Cantik

Pada suatu hari, ketika sepasang suami isteri duduk makan. Diruang tamu, datang seorang pengemis berpakaian lusuh meminta belas kasihan mereka. ''Tolonglah Encik ,saya lapar ,sejak semalam tidak menjamah sesuap nasi.''Dengan muka bengis,si suami sambil menjeling isteri yang cantik terus menghalau dan menengking si pengemis itu . Dalam hatinya berkata ''Aku membina perniagaan hingga berjaya bukan untuk orang lain,tapi untuk diri dan keluargaku.'' Si isteri tidak dapat berbuat apa-apa dengan sikap suaminya walaupun dalam hatinya ada niat untuk bersedekah.

Beberapa tahun kemudian, perniagaan si suami jatuh muflis dan dia menjadi miskin. Dia terus menceraikan isterinya kerana tidak mahu isterinya turut menderita sepertinya. Setahun kemudian, isterinya yang masih cantik itu berkahwin pula dengan lelaki lain. Pada suatu hari, sedang si isteri dan suami barunya mengadap makanan, tiba-tiba seorang pengemis mengetuk pintu sambil meminta belas kasihan. Mendengar rayuan pengemis itu, si suami menyuruh isterinya menghidangkan sepinggan nasi berlaukkan seperti yang mereka makan. Setelah memberi sepinggan nasi kepada pengemis, si isteri menangkup muka sambil menangis.

Si isteri mengadu, si pengemis itu sebenarnya adalah bekas suaminya yang dulu pernah menengking seorang pengemis . Suami yang baru itu menjawab dengan tenang : ''Demi ALLAH ,akulah pengemis yang dihalau dan ditengking itu .

RASULULLAH S.A.W Bersabda: ''Sedekah itu dapat menutup 70ribu kejahatan''.

Anas Malik pula meriwayatkan bahawa NABI MUHAMMAD S.A.W ada bersabda yang bermaksud ; ''Barang siapa mempunyai harta, maka bersedekahlah dia dengan kekayaanmu. Barang siapa yang mempunyai ilmu, maka sedekahlah dengan ilmunya dan barang siapa yang mempunyai tenaga bersedekahlah dengan tenaganya''.

p/s: CERITA INI MEMBERI PENGAJARAN BAHAWA HIDUP KITA SEPERTI PUTARAN RODA DAN TIDAK SELALUNYA DI ATAS .ADA MASA DAN KETIKANYA KITA AKAN TURUN DAN KE BAWAH DAN NAIK SEMULA ATAU SEBALIKNYA .

11 Jenis Manusia Didoa Malaikat

PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan. Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan.
Ketika kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat. Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:
1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
"Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: "Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci."
2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
"Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: 'Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.'"

3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
"Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan."
4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
"Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf."
5. Kalangan malaikat mengucapkan 'amin' ketika seorang imam selesai membaca Al-Fatihah.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
"Jika seorang imam membaca...(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu 'aamiin' kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu."
6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
"Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat."
7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
"Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal. "Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: "Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?" Mereka menjawab: 'Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.' "

8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
"Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata 'aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.'"
9. Orang yang membelanjakan harta (infak).
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
"Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: 'Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak...'"
10. Orang yang sedang makan sahur.
Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya:
"Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur."
11. Orang yang sedang melawat orang sakit.
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
"Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh."
p/s: Semoga kita tergolong dalam golongan yang didoakan oleh malaikat. Insyaallah.

Monday, June 15, 2009

Tokoh : ABU HANZALAH BIN AR RABIE

Salah seorang sahabat serta jurutulis Rasulullah S.A.W yang terkenal ialah Abu Hanzalah bin Ar Rabie. Ketika peperangan Uhud meletus beliau baru saja dinikahkan. Oleh kerana itu Rasulullah mengecualikan beliau dari turut serta ke medan peperangan. Inilah cara Rasulullah untuk merayakan kebahagiaan sahabat baginda.

Namun ketika Hanzalah terjaga dari tidurnya, beliau mendengar gendang perang dibunyikan begitu kuat sekali. Melalui seorang sahabatnya beliau mendapat berita bahwa tentera Islam mendapat tantangan yang hebat. dan dalam keadaan terlalu genting. Tanpa membuang waktu lagi Hanzalah lalu memakai pakaian perang lalu mengambil pedang. Dia menuju ke medan tempur tanpa sempat mandi junub.

Maka terjadilah pertempuran hebat sehingga banyak dari pihak Islam yang gugur syahid. Pihak musuh telah menyerang dari belakang. Akhirnya Hanzalah turut menjadi korban dalam keadaan sedang junub. maka Rasulullah SAW pun melihat mayat Hanzalah dimandikan oleh para malaikat seperti mana tercantum dalam sabdanya: “Aku melihat diantara langit dan bumi para malaikat memandikan mayat Hanzalah dengan air dari awan di dalam bejana perak.”

Para sahabat tercengang-cengang mendengar ini. Salah seorang dari mereka, Abu Said Saidi lalu pergi melihat mayat Hanzalah. Wajah Hanzalah kelihatan tenang. Dari rambutnya kelihatan titisan air berlinangan turun. Sungguh beruntung Hanzalah mendapat layanan yang begitu istimewa dari malaikat. Tidak pernah terjadi dalam sejarah seorang syahid dimandikan dengan cara yang luarbiasa ini. Malahan matinya sebagai syuhada menjadikan ia sebagai penghuni syurga tanpa dihisab. subhanallah…

Merasai Kemanisan Iman

Dalam kehidupan setiap umat telah diberikan nikmat iman oleh Allah swt. Dalam mencari kedamaian dan keharmonian hidup seharian,sebagai umat Islam kita mestilah mempunyai prinsip yang murni dan sihat. Tingkatan kenikmatan dan kemanisan iman yang dikecapi oleh seseorang bergantung kepada prinsip hidupnya iaitu kasih kepada Allah dan Rasul-Nya mengatasi segala-galanya disamping kasih kepada manusia,dengan tujuan menuntut keredhaan Allah dan benci kepada kekufuran.

Sebagai manusia yang beriman,perkara kekufuran tidak seharusnya berlaku dalam kehidupan di dunia ini.Manusia yang tidak beriman akan selalu lupa kepada nikmat ciptaan Allah terhadapnya. Manusia yang tidak bersyukur akan menjadi kufur dan lupa akan tujuan mereka dihidupkan di dunai ini sebagai khalifahNya. Rasulallah saw menjelaskan dalam sabdanya yang bermaksud:

”Tiga perkara menyebabkan terasa kemanisan iman,Allah dan Rasul-nya hendaklah dicintai lebih daripada yang lain,mencintai manusia kerana Allah semata-mata dan benci untuk kembali kepada kekufuran sebagaimana bencinya seseorang jika dicampakkan ke dalam api neraka”(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Begitu tingginya tahap kemanisan iman yang harus dicapai setiap umat Islam. Mukmin tersebut akan merasai betapa bahagianya hidup menjadi umat Islam yang beriman dan berada dalam ketenangan dan kedamaian,merasai keinginan dan kelazatan lidahnya dengan berzikir mengingati Allah swt. Al-Quran pula sebagai petunjuk yang sentiasa mendidik dan memberi pengajaran kepada semua manusia untuk dapat membentuk keimanan yang sempurna.

Pendidikan iman manusia diterapkan sejak manusia mengenal perkara baik dan buruk. Iman mendidik manusia mengenal dan meyakini adanya perkara-perkara ghaib yang wajib dipercayai melalui rukun iman seperti percaya kepada hari akhirat,qada dan qadar seta syariat Islam.

Keimanan antara lain memberi keyakinan bahawa manusia memerlukan pertolongan Allah dalam segala urusan duniawi dan ukhrawi. Iman memberi peringatan mengenai hukum Allah dan kewajipan mentaatinya.Iman mendidik manusia supaya mencintai Allah dan Rasulullah serta keluarganya(Ahlu Al-bait) dengan membiasakan diri dengan membaca al-quran. Iman memberi motivasi dengan semangat untuk terus tekun berusaha,supaya manusia tidak bergantung kepada takdir semata-mata untuk mencapai kejayaan hidup. Melalui iman yang mantap,ia akan mengingatkan manusia supaya tidak melupakan kepentingan hidup di akhirat ketika hidup di dunia ini. Firman Allah swt yang bermaksud;

”Dan carilah apa-apa yang dikurniakan Allah kepada(kebahagiaan)akhirat dan janganlah kamu melupakan kebahagian dari(nikmat)dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik terhadapMu” (Al-Qasas:77)

Iman merupakan faktor paling penting yang mendidik dan membentuk sahsiah manusia yang teguh dan berakhlak mulia,berakal budi murni serta memperlihatkan teladan yang baik.

Wednesday, June 3, 2009

Saidina Muawiyah: Khalifah Yang Teraniaya

Rata-rata umat Islam di zaman mutakhir ini menganggap Saiyyidina Muawiyah r.a sbg pengasas monarki dalam Islam, seorang yang zalim, pemutar belit, pemberontak, ahli politik yang licik dan lain-lain. Tidak ada keburukan yang tidak dihubungkan kepadanya dan tidak ada pula sebagai penulis wahyu daripada ALLAH, seorang yang dikhususkan oleh Nabi saw dengan doa-doanya yang istimewa, tidak pernah dilucutkan jawatan gabenor yang disandang selama 20 tahun dan kemudian sebagai khalifah pula selama 20 tahun.

Soalnya siapakah yang memimpin armada pertama dalam sejarah Islam menentang tentera-tentera Rom? Siapakah pula yang telah menakluk Cyprus, Sicily, Rhodesia, Sudan, Qairawan dan Sind? Siapakah yang menyatupadukan kembali umat di bawah satu panji-panji dalam melancarkan jihad yang terhenti sekian lama berikutan perpecahan dan peperangan saudara yang berlaku di zaman pemerintahan Saiyidina Ali? Dimanakah Muawiyah yang diakui Rasulullah saw, para sahabat dan tabi’en sebagai seorang pemimpin Al-Mahdi, adil, amanah, berani, penyantun, berilmu dan contoh mithali dalam pentadbiran dan penyusunan kerajaan…?

Malangnya, keistimewaan dan keutamaan Muawiyah telah pun mendap ke bawah oleh sikap prejudis umat terhadapnya lantaran terpedaya dengan fitnah yang ditabur oleh musuh-musuh Islam dalam sejarah mereka semenjak zaman permulaan lagi. Benih-benih fitnah yang ditabur itu kemudian telah berakar umbi dan menunjang dengan kuat sekali di dalam taman sejarah kita, sehingga sukar untuk kita mencabut dan membersihkannya melainkan jika kita memiliki keupayaan besar dan bersedia untuk mengorbankan masa yang lama untuknya.

Keutamaan dan kelebihan Muawiyah terbukti di dalam Al-Quran yang menyebutkan kelebihan-kelebihan para sahabat r.anhum dengan banyak sekali dan juga di dalam hadith-hadith, dan atsar para sahabat dan tabi’en. Antaranya yang dinyatakan di dalam kitab sohihaini; Rasulullah saw bersabda; "tentera pertama dari umatku yang berperang dengan meredah lautan sudah pasti mendapat syurga." (Peristiwa perang pertama menerusi lautan telah berlaku pada tahun 28H, semasa pemerintahan Saiyidina Uthman di bawah pimpinan Saiyidina Muawiyah.)

Keutamaan yang lain: Beliau merupakan penulis wahyu, menunjukkan betapa tingginya kedudukan beliau dari kalangan sahabat-sahabat baginda saw, dan membuktikan betapa Rasulullah mempercayainya. Beliau telah didoakan oleh Rasulullah supaya menjadi seorang pemimpin yang terpimpin dan seorang yang diajarkan oleh Allah pengetahuan tentang Al-Kitab dan ilmu hisab, dijauhi azab dan lain-lain. Sebagaimana didoakan oleh Rasulullah supaya dimantapkan pemerintahannya. : “ya Allah jadikanlah dia seorang pemimpin yang terpimpin dan pimpinlah(manusia) dengannya” -(sohih tarmizi jld.2)

Rasulullah juga berdoa; “ya Allah ajarkanlah dia Kitab dan hisab dan peliharalah dia daripada azab”. Sebenarnya hanya segelintir sahaja daripada kalangan sahabat yang didoakan secara khusus oleh Rasulullah berkenaan hal itu.

Pernah beliau dicela di hadapan Saiyidina Umar, maka Saiyidina Umar pun berkata, "Janganlah kamu mencela anak muda Quraish ini. Dia adalah seorang yang boleh ketawa ketika marah (terlalu penyantun). Tidak boleh diambil apa yang ada padanya melainkan dengan persetujuannya dan tidak boleh diambil apa yang ada di atas kepalanya melainkan dari bawah dua tapak kakinya."

Namun sejarah ini telah diselewengkan melalui pakatan jahat diantara perancang-perancang yahudi dan majusi. Mereka menyebarkan propaganda yang memburukkan khalifah umat Islam pada masa itu. Kemudian mereka membunuh Amirul Mukminin Saiyidina Uthman.

Golongan ini jugalah yang telah menyebarkan fitnah di zaman Saiyidina Ali dengan berselindung secara berbaiah kepada Ali. Mereka jugalah yang memburuk-burukkan Saidina Muawiyah dan menuduhnya dengan bermacam-macam tuduhan liar sememangnya telah lama menjadi syiar pengikut Abdullah Ibnu Saba’, bahkan ada di antara mereka telah memakai topeng taqiyyah, berpura-pura sebagai sunni lalu melontarkan bermacam-macam fitnah.

Masakan seorang sahabat agong Rasulullah saw seperti Muawiyyah itu akan tergugat oleh tuduhan-tuduhan yang dilemparkan oleh musuh Islam itu. Seorang sahabat biasa Nabi saw pun tidak tergugat dan tercedera kerana riwayat-riwayat golongan ini walaupun ia dinukilkan oleh beribu-ribu Thobari dan Jazari, berjuta-juta Kalbi dan Waqidi.

Inilah sepatutnya menjadi pegangan kita. Bagaimana kita boleh persoalkan tentang orang-orang yang telah dita’dilkan oleh Allah swt sendiri dalam firmannya yang bermaksud : “dan demikianlah kami telah menjadikan kamu(sahabat) satu ummat(generasi) yang adil dan terpilih agar kamu menjadi saksi atas manusia dan Rasul pula menjadi saksi atas kamu.” (al-Baqarah : 143)

Tuesday, June 2, 2009

Tiga Golongan Awal Ke Neraka

Sufyan Ash-Ashbahiny bercerita kepada 'Uqah ibn Muslim bahawa semasa memasuki Madinah, dia melihat orang sedang mengerumuni Abu Hurairah r.a. Sufyan pun menghampirinya, lalu dia duduk di hadapan Abu Hurairah yang sedang menyampaikan hadis kepada jemaah itu. Ketika Abu Hurairah berdiam diri seketika, Sufyan meminta agar dia menyampaikan hadis yang benar-benar difahami untuk dihayati. Abu Hurairah pun bersetuju seraya berkata. "Akan aku sampaikan kepadamu satu hadis yang telah disampaikan RASULULLAH S.A.W kepadaku" Selepas berkata begitu,tiba-tiba ABU HURAIRAH menangis tersedu-sedu hingga hampir pengsan.

Kemudian dia diam sebentar dan setelah kembali tersedar dia berkata, "Akan aku sampaikan kepadamu satu hadis yang telah disampaikan RASULULLAH s.a.w kepadaku di rumah ini,tidak ada orang lain selain aku dan baginda." Tiba-tiba Abu Hurairah menangis kembali tersedu-sedu sehingga hampir pengsan. Ketika itu Abu Hurairah kembali sedar dan dia menceritakan, "Bahawa pada hari kiamat nanti, ALLAH S.W.T akan turun kepada hambanya untuk memberikan keputusan kepada mereka. Setiap umat ketika itu berlutut. Golongan terawal yang akan dipanggil adalah "orang alim" , orang kaya dan orang yang berperang di jalan ALLAH S.W.T

ALLAH S.W.T bertanya kepada orang alim itu,"Bukankah AKU telah mengajarkanmu kitab yang telah AKU turunkan kepada rasul-KU?" Orang itu menjawab. "Benar,wahai Tuhan.'' ALLAH SWT kembali bertanya. ''Apa yang engkau kerjakan dengan ilmu yang kau miliki?'' Orang tersebut menjawab, ''Dengannya aku beribadat kepada-MU di malam hari dan siang hari'' Malaikat berkata kepadanya, "engkau berdusta". ALLAH SWT berfirman "engkau hanya ingin dikatakan bahawa engkau seorang yang alim''.

Kemudian dipanggil orang kaya. ALLAH SWT berfirman, ''Engkau telah AKU beri rezeki sehingga berkeadaan cukup". Orang itu menjawab, ''Benar wahai tuhan''. ALLAH SWT kemudian bertanya, ''Apa yang telah engkau kerjakan dengan hartamu itu?'', dia menjawab, ''Dengannya aku bersillaturrahim dan juga bersedekah.'' ALLAH SWT berfirman kepadanya, "Engkau dusta". Malaikat juga berkata begitu. ALLAH berfirman, ''Engkau hanya ingin dikatakan bahawa engkau seorang dermawan.''

Kemudian didatangkan orang yang terbunuh selepas berperang di jalan ALLAH SWT. Maka ALLAH SWT berfirman, ''Apa yang menyebabkanmu terbunuh?'' Dia menjawab, ''Telah diperintahkan kepadaku untuk berjihad di jalan-MU, maka aku berperang sehingga terbunuh.'' Maka ALLAH SWT berfirman kepadanya ,''Engkau berdusta, malaikat juga berkata begitu." ALLAH SWT berfirman, ''Engkau hanya ingin dikatakan bahawa engkau seorang yang berani''.

"Kemudian RASULULLAH S.A.W menepuk lututku sambil bersabda, ''Wahai Abu Hurairah, ketiga-tiga orang itu adalah orang-orang yang pertama sekali merasakan seksaan api neraka pada hari kiamat.''

"Marilah bersama kita fikir-fikirkan dan renung-renungkan~

Friday, May 29, 2009

Kisah Muhammad bin Wasi'

Dr. Aidh Abdullah Al-Qarni yang terkenal dengan bukunya yang bertajuk 'La Tahzan' telah menukilkan satu kisah tauladan yang cukup menggugat jiwa iaitu kisah Muhammad bin Wasi'. Muhammad bin Wasi' terkenal sebagai seorang yang zuhud pada zamannya. Suatu hari dia berada di dalam barisan tentera yang dipimpin oleh Qutaibah bin Muslim untuk meninggikan kalimah Allah di bahagian timur negara Islam pada waktu itu.

Suatu hari Qutaibah ingin menguji Muhammad bin Wasi' di hadapan para panglima dan menterinya. Maka, Qutaibah berkata kepada menteri dan panglima-panglimanya, 'Di tanganku ada segenggam emas yang diperolehi hasil ghanimah[rampasan perang] daripada musuh-musuh Islam.Adakah kalian semua percaya bahawa kalau aku menyerahkan emas ini kepada seseorang maka dia akan menolaknya?' Mereka menjawab:'Kami sama sekali tidak percaya kalau ada orang yang akan menolak pemberian emas ini.' Qutaibah berkata ;'Baiklah, aku akan tunjukkan seseorang daripada umat Nabi Muhammad saw yang menyamakan emas ini dengan tanah kepada kalian semua.'

Maka dia pun memerintahkan pengawalnya supaya memanggil Muhammad bin Wasi' untuk menghadapnya. Maka, tatkala Muhammad menghadap Qutaibah, lalu diberikannya segenggam emas di dalam tangan Qutaibah. Maka Muhammad bin Wasi' terus mengambil emas tersebut tanpa sepatah kata. Qutaibah tercengang. Sangkaannya Muhammad akan menolak pemberiannya. Wajahnya berubah menahan malu di hadapan menteri dan panglimanya. Qutaibah memerintahkan pengawal-pengawalnya supaya mengekori langkah Muhammad bin Wasi' selepas beliau keluar dari majlis itu.

Muhammad bin Wasi' membawa emas tersebut dan dalam perjalanannya beliau berjumpa dengan seorang fakir miskin, dan Muhammad memberikan semua emas tadi kepada fakir miskin tersebut. Berita ini dilaporkan oleh pengawal-pengawal yang mengintip pergerakan Muhammad bin Wasi' kepada Qutaibah. Lalu Qutaibah tersenyum dan berkata kepada orang-orang di sekelilingnya; 'Bukankah sudah aku katakan kepada kalian bahawa masih ada lagi hamba Allah daripada umat ini yang menyamakan emas dengan tanah?'

Begitulah contoh seorang insan yang hatinya langsung tidak terpaut kepada dunia. Emas yang tinggi nilainya, tidak langsung memesongkan hatinya daripada mengingati Allah dengan menyalurkan kepada orang-orang yang lebih memerlukan. Hidupnya sederhana dan mulutnya sentiasa basah dengan kalimah dan beristighfar [memohon ampun] dan bertasbih kepada Allah. Ternyata Muhammad bin Wasi' adalah contoh insan yang meletakkan dunia di atas tangannya. Dunia dan habuan di dalamnya digunakan untuk jalan-jalan kebajikan dan jihad di jalan Allah.

Nabi saw telah bersabda,'Jadilah kamu seolah-olah orang yang asing atau seorang musafir di dunia ini.' [Riwayat Bukhari dan Ahmad] Kita mungkin akan dilihat pelik atau dianggap asing kerana mengamalkan ajaran yang diajar oleh baginda Rasulullah saw. Meninggalkan dunia yang sedikit dan menumpukan perhatian kepada akhirat akan menyebabkan kita kelihatan janggal,pelik dan asing di mata manusia lain yang sibuk mengejar habuan dunia. Kita mungkin dianggap bodoh kerana menolak kemewahan dan keseronokan dunia, sebaliknya ketahuilah, bahawa kita adalah manusia yang paling cerdik di kalangan umat ini.