Monday, May 25, 2009

Pujuk Rayu Iblis

Allah swt telah berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat ke 34 yang bermaksud 'dan (ingatlah) ketika Kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir.'

Iblis seperti yang telah kita semua ketahui adalah musuh yang nyata bagi setiap anak Adam. Kehebatannya merayu untuk menyesatkan datang dari setiap penjuru sehingga mengalir di dalam darah ,bersembunyi di dalam hati dan tinggal di akal manusia. Nabi Muhammad saw telah bersabda maksudnya 'Sesungguhnya syaitan berjalan pada manusia di setiap pembuluh darah.' (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Apabila syaitan menetap dalam hati,manusia akan menjadi was-was dan benci kepada kebaikan serta gemar kepada keburukan. Jika bersarang di akal,manusia asyik memikirkan keuntungan diri tanpa memperdulikan kebajikan orang lain. Semua manusia termasuk para Rasul dan para Nabi didatangi dan dipujuk rayu oleh iblis. Tujuannya adalah supaya manusia mengikuti jejaknya yakni dengan tidak mentaati dan melanggar perintah Allah dan bersama-sama menemaninya ke dalam neraka; “Dan sesungguhnya neraka jahannam itu,tempat yang dijanjikan bagi sekalian mereka yang menurutmu.”(Surah al-Hijr:43)

Kelicikannya dapat mengaburi manusia jika iman manusia itu pudar,luntur dan tidak dibajai setiap masa dengan mengingati Allah SWT.Mereka yang terperdaya dengan iblis semestinya akan menyesal di kemudian hari walaupun dibuai keseronokan di permulaannya.

Kesimpulannya,semua manusia tidak akan terlepas daripada pujuk rayu dan pengaruh iblis,kecuali bagi mereka yang sentiasa memperbaharui iman mereka supaya tetap teguh dan kuat untuk melepasi godaan itu.

Bagi yang telah sedar akan kesilapan diri, dipengaruhi serta digoda tipu daya iblis,segeralah bertaubat bagi kesalahan yang telah dilakukan sebagaimana nabi Adam yang segera bertaubat setelah termakan tipu daya iblis bersama Hawa sehingga dikeluarkan dari syurga. Kisah ini telah disebutkan dalam surah Al-baqarah ayat 36 yang bermaksud; 'Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: "Turunlah kamu! sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)".

Dunia ini bagaikan lautan yang dalam yang mana sudah ramai ditenggelaminya. Oleh itu, jadikanlah taqwa sebagai perahu, iman sebagai isinya dan tawakal sebagai layarnya.Ikan yang hidup di dalam laut yang masin tidak masin apabila dinaikkan ke darat. Tetapi apabila telah mati,secubit garam sudah cukup untuk memberi rasa masin kepadanya. Begitulah juga dengan hati, hati yang 'hidup' amat sukar ditembusi,tapi bila hati telah 'mati',amat mudah untuk dipengaruhi.

Mutiara kata & wasiat

Sesiapa yang merasa marah tetapi dia tidak dapat meluahkannya maka dia seumpama keldai dan sesiapa yang merasa redha terhadap sesuatu tetapi dia tidak dapat menerimanya maka dia seperti syaitan yang mana redha dengan ketentuan Allah tetapi tidak mahu tunduk kepada perintah-Nya. “Keredhaan manusia sukar untuk engkau capai dan bukanlah bermakna selamat daripada lidah manusia sudah boleh dianggap mencapai jalan kepada mendapat keredhaan mereka. Oleh itu hendaklah engkau melakukan perkara yang bermanfaat kepadamu dan sentiasalah berbuat demikian”. (Wasiat Imam Syafi’e)

Kesan Zikir Terhadap Otak

Otak hanyalah aktiviti-aktiviti bio-elektrik yang melibatkan sekumpulan saraf yang dipertanggungjawabkan untuk melakukan tugas-tugas tertentu bagi membolehkan ia berfungsi dengan sempurna.

Setiap hari 14 juta saraf yang membentuk otak ini berinteraksi dengan 16 juta saraf tubuh yang lain. Semua aktiviti yang kita lakukan dan kefahaman atau ilmu yang kita peroleh adalah natijah daripada aliran interaksi bio-elektrik yang tidak terbatas.

Oleh itu, apabila seorang itu berzikir dengan mengulangi kalimat-kalimat Allah, seperti Subhanallah, beberapa kawasan otak yang terlibat menjadi aktif. Ini menyebabkan berlakunya satu aliran bio-elektrik di kawasan-kawasan saraf otak tersebut. Apabila zikir disebut berulang-ulang kali, aktiviti saraf ini menjadi bertambah aktif dan turut menambah tenaga bio-elektrik. Lama-kelamaan kumpulan saraf yang sangat aktif ini mempengaruhi kumpulan saraf yang lain untuk turut sama aktif. Dengan itu, otak menjadi aktif secara keseluruhan.

Otak mula memahami perkara baru, melihat dari sudut perspektif berbeza dan semakin kreatif dan kritis, sedang sebelum berzikir otak tidak begini. Otak yang segar dan cergas secara tidak langsung mempengaruhi hati untuk melakukan kebaikan dan menerima kebenaran.

Hasil kajian makmal yang dilakukan terhadap subjek ini dimuatkan dalam majalah Scientific American, keluaran Disember 1993. Satu kajian yang dilakukan di Universiti Washington dan ujian ini dilakukan melalui ujian imbasan PET yang mengukur kadar aktiviti otak manusia secara tidak sedar.

Dalam kajian ini, sukarelawan diberikan satu senarai perkataan benda. Mereka dikehendaki membaca setiap perkataan tersebut satu persatu dan mengaitkan perkataan-perkataan dengan kata kerja yang berkaitan. Apabila sukarelawan melakukan tugas mereka, beberapa bahagian berbeza otak mempamerkan peningkatan aktiviti saraf, termasuk di bahagian depan otak dan korteks. Menariknya, apabila sukarelawan ini mengulangi senarai perkataan yang sama berulang-ulang kali, aktiviti saraf otak merebak pada kawasan lain dan mengaktifkan kawasan saraf lain.

Apabila senarai perkataan baru diberikan kepada mereka, aktiviti saraf kembali meningkat di kawasan pertama. Ini sekali gus membuktikan secara saintifik bahawa perkataan yang diulang-ulang seperti perbuatan berzikir, terbukti meningkatkan kecergasan otak dan menambah kemampuannya.

Oleh itu, saudara-saudaraku se-Islam, ketika saintis Barat baru menemui mukjizat ini, kita umat terpilih ini telah lama mengamalkannya dan menerima manfaatnya. Malang bagi mereka yang masih memandang enteng kepentingan berzikir dan mengabaikannya.

Tuesday, May 19, 2009

Kelebihan Surah Al-Ikhlas

- Dari Imam Bukhari, diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri; seseorang mendengar bacaan surah al-Ikhlas berulang-ulang di masjid. Pada keesokan paginya dia datang kepada Rasulullah s.a.w. dan sampaikan perkara itu kepadanya kerana dia menyangka bacaan itu tidak lengkap. Rasulullah s.a.w berkata, “Demi tangan yang memegang nyawaku, surah itu seperti sepertiga al Quran!”

- Dari Al-Muwatta', diriwayatkan oleh Abu Hurairah; Saya sedang berjalan dengan Rasulullah s.a.w, lalu baginda mendengar seseorang membaca surah al-Ikhlas. Baginda berkata, “Wajiblah.” Saya bertanya kepadanya, “Apa ya RasulaLlah?” Baginda menjawab, “Syurga” (Wajiblah syurga bagi si pembaca itu).

- Sabda-Sabda Rasulullah SAW, “Barangsiapa yang membaca surah Al-Ikhlas, maka seakan-akan dia telah membaca satu pertiga Al-Qur'an” (Hadith Riwayat Ahmad dan An Nasai).

- Dari Abu Hurairah r.a. - Rasulullah SAW bersabda : "Barangsiapa membaca 'Qulhuallah (sehingga akhir ayat), maka seolah-olah dia telah membaca sepertiga Al-Qur'an". “Barangsiapa yang membaca surah Al-Ikhlas tiga kali, maka seakan-akan dia telah membaca Al-quran seluruhnya”. (Hadith Riwayat Al’ugaili dan Rajaa Al Ghanawy) “Barangsiapa yang membaca surah Al-Ikhlas sebelas kali, Allah SWT membangunkan rumah untuknya di syurga.." (Hadith Riwayat Ahmad dan Muadz bin Aras).

- Dari Ubay Ibn Ka'ab - Rasulullah SAW bersabda : "Barangsiapa membaca Surah Al-Ikhlas satu kali, maka Allah SWT menganugerahkan kepadanya pahala seorang yang beriman kepada Allah SWT, MalaikatNya, Kitab-KitabNya dan Rasul-RasulNya, dan Dia menganugerahkan kepadanya - dari - pahala seperti pahala syuhada" "Ketika aku (Rasulullah SAW) israk ke langit, maka aku telah melihat Arasy di atas 360,000 sendi dan jarak jauh antara satu sendi ke satu sendi ialah 300,000 tahun perjalanan. Pada tiap-tiap sendi itu terdapat padang Sahara sebanyak 12,000 dan luasnya setiap satu padang Sahara itu seluas dari timur ke barat (masyrik ke maghrib) Pada setiap padang Sahara itu terdapat 80,000 malaikat yang mana kesemuanya membaca surah Al-Ikhlas. Setelah mereka selesai membaca surah tersebut, maka berkata mereka "Wahai Tuhan kami, sesungguhnya pahala dari bacaan kami ini, kami berikan kepada orang yang membaca Surah Al-Ikhlas baik ianya lelaki mahupun perempuan" (Riwayat Ibnu Abbas) "Demi Allah yang jiwaku di tanganNya, sesungguhnya 'Qul Huwallahu Ahad" itu tertulis di sayap malaikan Jibrail A.S., 'Allahus Somad' itu tertulis di sayap Mikail A.S., 'Lam Yalid Walam Yuulad' tertulis pada sayap Malaikat Izrail A.S. 'Walam Yakullahu Kufwan Ahad' tertulis pada sayap Israfil a.s."

Nasib Pencacai Ashabul Ukhdud

“Bawa budak itu ke puncak gunung. Tiba di sana, kamu ugut dia. Jika dia mengalah dan meninggalkan kepercayaannya, maka biarkan dia. Tetapi andai dia berdegil, campakkan sahaja budak itu dari puncak gunung ke bawah!” kata raja yang zalim itu kepada orang-orangnya.

Di puncak gunung, keadaan menjadi sangat genting. Orang-orang suruhan raja yang zalim itu sudah bersedia untuk melaksanakan arahan.“Ya Allah, percukupkan aku daripada kejahatan mereka dengan apa-apa sahaja cara yang Engkau kehendaki!” doa si anak muda itu.

Gunung bergegar.

Lantai bumi bergoncang.

Seluruh orang suruhan raja yang zalim itu jatuh dari puncak yang tinggi itu. Mati terbunuh dengan cara kerja Allah yang tidak mereka jangkakan.

Budak muda yang beriman itu ada peluang untuk melarikan diri. Dia sendirian di puncak gunung, menyaksikan kejadian yang dahsyat itu. Tetapi perjuangannya belum selesai. Dia pulang ke istana, mencabar raja yang zalim itu. Ada seribu satu hikmah daripada pilihan budak muda itu.

Setibanya dia di istana, raja amat terkejut.

“Apa yang orang-orang kamu sudah buat!” herdik raja kepada budak itu.

Orang kamu? Orang aku?

Ada kekeliruan di situ!

PENGAJARAN

Cerita di atas adalah petikan daripada kisah anak muda dan Ashab al-Ukhdud di kota Najran. Ia dikisahkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala di dalam Surah al-Buruj, dan diperincikan oleh Baginda sallallaahu ‘alayhi wa sallam di dalam sepotong hadith yang panjang di dalam Sahih Muslim.

Kisah itu penuh iktibar.

Tetapi salah satu kejutan besarnya ialah, tindak tanduk raja pemerintah yang zalim itu. Pelbagai pendedahan dilakukan oleh Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam tentang isi perut dan benak hati raja yang zalim itu, agar kita meneladaninya sebagai petunjuk sepanjang zaman.

Lucu sekali, raja itu ramai orang suruhannya. Diarahkan mereka agar mengheret budak itu ke puncak gunung dan kemudiannya ke tengah lautan untuk menghapuskan kebenaran. Tetapi tatkala orang-orang suruhannya gagal melaksanakan misi itu, sikap raja terhadap orang-orangnya terus berubah.

Kata raja itu (seperti yang disebut di dalam hadith):“Apa yang orang-orang kamu telah buat?”

Tidakkah ganjil, raja itu menisbahkan orang-orang suruhannya yang gagal itu kepada budak yang dimusuhinya?

Demikianlah para Ulama’ menjelaskan, bahawa itu adalah sikap pemerintah yang zalim. Ketika dia mahu menggunakan orang-orangnya, pelbagai perkara dibuat untuk membina kesetiaan. Tetapi orang suruhan yang setia itu, tatkala khidmatnya sudah tidak diperlukan lagi, dibuang begitu sahaja tanpa sebarang erti.

Inilah pesanan Allah dan Rasul buat sekalian pencacai yang memperhambakan diri kepada manusia zalim dan kezalimannya, yang sanggup bermati-matian melaksanakan kerja-kerja kotor majikan yang menggajikannya dengan sekelumit habuan dunia, kalian hanyalah tebu-tebu yang habis madu sepah dibuang.

Andai masih ada ruang dirimu diselamatkan…

ABU SAIF @ www.saifulislam.com68000 AMPANG

Monday, May 11, 2009

Allah S.W.T menolak 1 daripada 3 doa Rasulullah S.A.W.

'Amir bin Said daripada bapanya berkata bahawa :

" Suatu hari Rasulullah S.A.W telah datang dari daerah berbukit. Apabila Rasulullah S.A.W sampai di masjid Bani Mu'awiyah lalu beliau masuk ke dalam masjid dan menunaikan solat dua rakaat. Maka kami pun turut solat bersama dengan Rasulullah S.A.W. Kemudian Rasulullah S.A.W berdoa dengan doa yang agak panjang kepada Allah S.W.T. Setelah selesai beliau berdoa maka Rasulullah S.A.W pun berpaling kepada kami lalu bersabda yang bermaksud :

" Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T tiga perkara, dalam tiga perkara itu Allah S.W.T hanya memperkenankan dua perkara sahaja dan satu lagi ditolak.

1. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya ia tidak membinasakan umatku dengan musim susah yang berpanjangan.

Permohonanku ini diperkenankan oleh Allah S.W.T.

2. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya umatku ini jangan dibinasakan dengan bencana tenggelam (seperti banjir besar yang telah melanda umat Nabi Nuh s.a).

Permohonanku ini telah diperkenankan oleh Allah S.W.T.

3. Aku telah bermohon kepada Allah S.W.T supaya umatku tidak dibinasakan kerana pergaduhan sesama mereka (peperangan, pergaduhan antara sesama Islam).

Tetapi permohonanku telah tidak diperkenankan (telah ditolak).

Saudaraku,

Apa yang kita lihat pada hari ini ialah pergaduhan semasa negara Islam sendiri, hari ini orang Islam bergaduh sesama sendiri, orang kafir bertepuk tangan dari belakang.

Apakah ini yang ingin kita lihat? Apakah tindakan kita? Tidakkah kita ingin Islam kembali gemilang seperti dahulu? Bangkitlah wahai saudaraku, tegakkan Islam kembali megah, itu amanahmu! Yakinlah dengan janji Allah S.W.T.

KISAH PETANI DENGAN BIJI BUAH OREN

Terdapat seorang petani yang tinggal di kawasan kampung yang mengusahakan ladang buah oren.Petani ini terkenal dengan kejayaannya menghasilkan buah oren yang bermutu tinggi dan manis. Pada suatu hari, seorang jirannya datang untuk meminta biji buah oren tersebut. Maka, petani itu dengan senang hati memberikan biji buah oren tersebt kepada jirannya itu.

Jiran tersebut sangat gembira, lalu menceritakannya kepada jiran-jiran yang lain. Maka, sikap pemurah hati petani tersebut tersebar ke pelosok kampung.Maka, ramailah jiran-jiran yang lain datang untuk meminta biji buah oren tersebut. Petani tersebut memberikan biji benih tersebut dengan senang hati. Dalam masa yang sama, anak petani tersebut berasa kehairanan dengan sikap bapanya itu.

Maka, pada suatu hari dia pun bertanya kepada ayahnya ” Ayah tak risau ke kalau ayah bagi biji benih buah oren ini pada semua orang, nanti buah oren kita dah tak unik lagi?” tanya sang anak kepada ayahnya. Ayahnya menjawab, "Memahami sesuatu dalam hidup adalah sangat penting dalam kehidupan.Apa sahaja yang kita buat memberi kesan pada orang lain.Apa yang orang lain buat juga akan memberi kesan kepada kita.” "Saya tak paham la ayah” kata anaknya dengan kehairanan. "Kita kena pastikan buah oren kita sentiasa berkualiti bukan? Angin akan membawa debunga dari buah oren yang matang dan menyebarkannya ke tempat lain. Sifat angin itu sendiri tidak memilih debunga apa yang dibawanya, maka angin akan membawa debunga biji oren kita dan debunga yang lain dan debunga tersebut akan......” sambung ayahnya.
Tiba-tiba anaknya mencelah "Saya dah faham ayah!Kesemua debunga ini akan bersenyawa secara bersilang yang mana, cepat atau lambat akan mempengaruhi buah oren kita kan?” kata anaknya dengan penuh bersemangat. "Jadi, untuk memastikan kualiti buah oren kita tetap terjaga, jiran-jiran kita yang lain juga perlu mempunyai buah oren yang berkualiti juga” kata ayahnya dengan senyuman terukir di bibir.

Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita berkongsi ” biji benih” kita dengan orang lain? Apa yang terbaik yang kita berikan kepada orang lain insyaAllah, akan mendapat ganjaran yang jauh lebih baik daripada Allah swt.

وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالْإِيمَانَ مِن قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِّمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَىٰ أَنفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ ۚ وَمَن يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ

'Dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. ' (Al-Hasyr:9)

Friday, May 8, 2009

KISAH ORANG JEPUN DAN IKAN JERUNG

Masyarakat Jepun begitu menggemari ikan yang segar. Akan tetapi, bekalan ikan di lautan Jepun adalah terhad. Maka, para nelayan terpaksa menangkap ikan di kawasan laut dalam yang lebih jauh daripada daratan.Maka, semakin jauh ke laut dalam, semakin lama masa yang diambil untuk membawa balik ikan ke daratan. Syarikat perikanan ini mendapat satu jalan penyelesaian dengan menyediakan peti sejuk beku di dalam bot. Akan tetapi, masalah tetap muncul yang mana ikan menjadi tidak segar selepas beberapa hari di lautan.Orang jepun tidak menggemari ikan yang tidak segar! Maka, harga ikan sejuk beku ini dijual dengan harga yang lebih murah kerana permintaan yang rendah.

Syarikat ini tidak berputus asa untuk mencari penyelesaian dan akhirnya telah mengemukan idea dengan menyediakan tangki ikan! Teorinya begini, ikan hidup yang ditangkap akan terus dimasukkan ke dalam tangki ikan hidup-hidup! Maka, ikan tersebut di bawa balik ke daratan dalam keadaan hidup-hidup. Akan tetapi, masalah tetap timbul kerana walaupun ikan tersebut masih hidup, tetapi masyarakat jepun tidak dapat merasai kemanisan ikan yang segar. Hal ini adalah kerana ikan tersebut menjadi pasif yang menyebabkan daging ikan tidak segar.Maka, syrikat perikanan ini terus bertungkus lumus memerah idea bagi menyelesaikan masalah ini.

Akhirnya timbul satu idea yang cukup bernas bagi mengatasi masalah yang timbul. Syarikat ini masih mengekalkan konsep yang sama iaitu menyimpan ikan di dalam tangki air yang ditambah dengan ikan jerung kecil di dalamnya! Walaupun terdapat ikan yang menjadi mangsa kepada ikan jerung ini, akan tetapi kebanyakan ikan masih lagi hidup apabila sampai ke daratan.Ikan yang dibawa balik mendapat permintaan yang tinggi kerana ikan ini masih segar dan isinya manis. Hal ini adalah kerana, ikan-ikan ini terpaksa berenang dengan aktif untuk mengelakkan diri daripada di makan oleh jerung tadi.

Ironinya cerita ini dengan kehidupan kita seharian adalah kita menganggap cabaran dan dugaan sebagai ikan jerung kecil yang menjadikan kita sentiasa bersedia, bertenaga dan aktif.Ikan jerung ini juga menjadikan kita lebih bijak, berusaha secara berterusan dan berdaya saing dalam kehidupan seharian. Jadi jika kita malas dan tidak berusaha, pastilah kita akan menjadi mangsa kepada jerung kecil ini bukan? Bersyukurlah kita kepada Allah kerana menganugerahkan kita ” seekor ikan jerung kecil” dalam kehidupan kita seharian yang menjadikan kita lebih berusaha, berdaya saing dan menjadi lebih baik daripada semalam.

وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ

'Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.' (Al-Ankabut:3)