Wednesday, April 22, 2009

Mohon Sumbangan Dana

Mohon Sumbangan Dana Menyempurnakan Surau Al Ikhwan PUJ 2, Taman Puncak Jalil.

Assalamualaikum tuan/puan semua,

Firman Allah s.w.t :
"Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji." (Al-Baqarah : ayat 261)

Sabda Nabi s.a.w :
"Orang yang menbangunkan Rumah Allah di dunia, bererti dia telah membangunkan tempat tinggalnya di Syurga."

Untuk makluman semua, pihak AJK Surau Al Ikhwan sekarang dalam proses untuk menyempurnakan keadaan bangunan surau tersebut demi keselesaan ahli jemaah menjelang Ramadhan tahun ini. Antara perkara-perkara yang ingin dilakukan ialah :

1). Memasang syiling surau yang melibatkan

i). kawasan kolah tempat berwudhuk,
ii). bilik pentadbiran,
iii). bilik imam,
iv). kawasan imam,
v). bahagian koridor surau,
vi). ruangan solat

2). Membuat tempat membasuh pinggan mangkuk (Table top)

Kos keseluruhan yang terlibat adalah sebanyak RM10 000.

Oleh yang demikian, saya mewakili AJK Surau Al-Ikhwan ini memohon sumbangan dana dari tuan/puan dalam menyempurnakan bangunan surau kami ini.

Sebarang sumbangan dalam bentuk tunai atau cek boleh disalurkan ke dalam akaun surau kami atas nama "Dana Pembinaan Surau Al-Ikhwan PUJ 2", akaun no. 1060-2003-7368 AFFIN ISLAMIC BANK BERHAD, Cawangan Puchong atau berhubung terus dengan :

En Azlan (012-2823860),
En. Tn Faeh (019-3823879),
En Azmuddin (013-2696411),
En.Hassan (019-6000252),
En.Ikram (013-3651009).

Semuga sumbangan tuan/puan tersebut mendapat keberkatan dan keredhaan dari Allah s.w.t.

Sekian terima kasih,

Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah S.A.W. telah bersabda :
"Apabila telah mati anak Adam itu, maka terhentilah amalnya melainkan tiga macam :
1. Sedekah yang berjalan terus (Sedekah Jariah)
2. Ilmu yang berguna dan diamalkan.
3. Anak yang soleh yang mendoakan baik baginya.

Monday, April 20, 2009

Empat Isteriku

Suatu ketika, ada seorang pedagang kaya yang mempunyai empat orang isteri. Dia mencintai isteri yang keempat dan memberikan harta dan kesenangan yang banyak. Sebab, isteri keempat adalah yang tercantik di antara kesemua isterinya. Maka, tidak hairan lelaki ini sering memberikan yang terbaik untuk isteri keempatnya itu.

Pedagang itu juga mencintai isterinya yang ketiga. Dia sangat bangga dengan isterinya ini, dan sering berusaha untuk memperkenalkan isteri ketiganya ini kepada semua temannya. Namun dia juga selalu bimbang kalau-kalau isterinya ini akan lari dengan lelaki yang lain.

Begitu juga dengan isterinya yang kedua. Dia juga sangat menyukainya. Dia adalah seorang isteri yang sabar dan penuh pengertian. Bila-bila masa pun apabila pedagang ini mendapat masalah, dia selalu meminta pandangan isterinya yang kedua ini. Dialah tempat bergantung. Dia selalu menolong dan mendampingi suaminya melalui masa-masa yang sulit.

Sama halnya dengan isterinya yang pertama. Dia adalah pasangan yang sangat setia. Dia sering membawa kebaikan bagi kehidupan keluarga ini. Dialah yang merawat dan mengatur semua kekayaan dan usaha si suami. Akan tetapi si pedagang tidak begitu mencintainya. Walaupun isteri pertamanya ini begitu sayang kepadanya namun, pedagang ini tidak begitu memperdulikannya.

Suatu ketika, si pedagang sakit. Kemudian dia menyedari mungkin masa untuknya hidup tinggal tidak lama lagi. Dia mula merenungi semua kehidupan indahnya, dan berkata dalam hati, "Saat ini, aku punya empat orang isteri. Namun, apabila aku meninggal, aku akan sendiri. Betapa menyedihkan jika aku harus hidup sendiri."

Lalu dia meminta semua isterinya datang dan kemudian mulai bertanya pada isteri keempatnya, "Kaulah yang paling kucintai, kuberikan kau gaun dan perhiasan yang indah. Nah sekarang, aku akan mati, mahukah kau mendampingiku dan menemaniku?" Isteri keempatnya terdiam. "Tentu ! saja tidak!" jawab isterinya yang keempat, dan pergi begitu sahaja tanpa berkata-kata lagi.

Jawapan itu sangat menyakitkan hati seakan-akan ada pisau yang terhunus dan menghiris-hiris hatinya. Pedagang yang sedih itu lalu bertanya kepada isteri ketiganya, "Aku pun mencintaimu sepenuh hati, dan saat ini, hidupku akan berakhir. Mahukah kau ikut denganku, dan menemani akhir hayatku?". Isteri ketiganya menjawab, "Hidup begitu indah di sini. Aku akan menikah lagi jika kau mati". Pedagang begitu terpukul dengan jawapan isteri ketiganya itu.

Lalu, dia bertanya kepada isteri keduanya, "Aku selalu berpaling padamu setiap kali mendapat masalah. Dan kau selalu mahu membantuku. Kini, aku perlu sekali pertolonganmu. Kalau aku mati, mahukah kau ikut dan mendampingiku?" Si isteri kedua menjawab perlahan, "Maafkan aku...aku tak mampu menolongmu kali ini. Aku hanya boleh menghantarmu ke liang kubur saja. Nanti, akan kubuatkan makam yang indah buatmu." Jawapan itu seperti kilat yang menyambar.

Si pedagang kini berasa putus asa. Tiba-tiba terdengar satu suara, "Aku akan tinggal denganmu. Aku akan ikut ke manapun kau pergi. Aku, tak akan meninggalkanmu, aku akan setia bersamamu." Si pedagang lalu menoleh ke arah suara itu dan mendapati isteri pertamanya yang berkata begitu.

Isteri pertamanya tampak begitu kurus. Badannya seperti orang yang kelaparan. Berasa menyesal, si pedagang lalu berguman, "Kalau saja aku mampu melayanmu lebih baik pada saat aku mampu, tak akan kubiarkan kau seperti ini isteriku.

" Teman, sesungguhnya kita punya empat orang isteri dalam hidup ini;

ISTERI KEEMPAT adalah tubuh kita. Seberapa banyak waktu dan belanja yang kita keluarkan untuk tubuh kita supaya tampak indah dan gagah, semuanya akan hilang. Ia akan pergi segera apabila kita meninggal. Tak ada keindahan dan kegagahan yang tersisa saat kita menghadapNYA.

ISTERI KETIGA adalah status sosial dan kekayaan kita. Saat kita meninggal, semuanya akan pergi kepada yang lain. Mereka akan berpindah dan melupakan kita yang pernah memilikinya.

ISTERI KEDUA pula adalah kerabat dan teman-teman. Seberapa pun dekat hubungan kita dengan mereka, mereka tak akan mampu bersama kita selamanya. Hanya sampai kuburla mereka akan menemani kita.

DAN SESUNGGUHNYA ISTERI PERTAMA adalah jiwa dan amal kita. Mungkin kita sering mengabaikan dan melupakannya demi kekayaan dan kesenangan peribadi. Namun, sebenarnya, hanya jiwa dan amal kita sajalah yang mampu untuk terus setia dan mendampingi kemanapun kita melangkah. Hanya amal yang mampu menolong kita di akhirat kelak. Jadi, selagi mampu, perlakukanlah jiwa dan amal kita dengan bijak.

Jangan sampai kita menyesal kemudian hari!...

Peringatan Buat Para Pemimpin

Menjadi pemimpin bukan mudah. Tapi zaman sekarang semua orang kemaruk untuk jadi pemimpin. Hayatilah kisah ini untuk menilai layakkah kita untuk meminta-minta jawatan pemimpin.

Dari hal keadilan, ketakwaan dan kemuliaan budi baginda Umar bin Abdul Aziz, tidaklah perlu lagi diterangkan panjang lebar. Kisahnya panjang lebar telah dikarang oleh ulama-ulama.

Sesungguhpun dia telah mencapai kedudukan yang semulia itu, belumlah dia kenyang dari petunjuk ulama dan pimpinan seorang yang arif.

Pada suatu hari berkirim suratlah baginda kepada ulama Tabi’in yang masyhur, Hasan Basri, bertanya kepada beliau dari hal sifat-sifat Imam (raja) yang adil. Maka telah menjawab Hasan Basri demikian bunyinya:

“Ketahuilah hai Amirul Mukminin, bahawasanya Allah Subhanahu Wa Ta’ala telah menjadikan raja yang adil laksana tongkat tua yang teguh condong yang akan menauri, lemah yang akan membila. Dia menjadi tujuan dari segala orang yang ragu, memperbaiki segala yang rosak, menguatkan segala yang lemah, tempat mengadu bagi tiap-tiap yang teraniaya, tempat kembali dari tiap-tiap yang sengsara.”

“Imam yang adil ya Amirul Mukminin, ialah laksana seorang pengembala yang hati rahim kepada binatang pengembalaannya; dibawanya ke padang yang berumput subur, dijaganya jangan jatuh ke lurah yang curam, dijaganya dan dipeliharanya jangan ditangkap binatang buas, dipeliharanya jangan ditimpa dahaga dan kepanasan.”

“Imam yang adil ya Amirul Mukminin, laksana seorang ayah yang cinta akan anak-anaknya, diasuhnya semasa anak itu kecil, diajarnya setelah anak itu besar, dituntunnya di dalam mencari penghidupan, dikumpulkannya harta bersusah payah, untuk anaknya itu jika si ayah mati.”

“Imam yang adil ya Amirul Mukminin, laksana seorang ibu yang pengasih, dikandungnya anaknya dalam perutnya dengan susah payah, diasuhnya setelah anak itu lahir. Tidak tidur matanya malam, jika anaknya bangun, dia termenung jika dilihatnya anaknya duka, disusukannya; puas disusukan digendungnya. Mukanya berseri-seri jika si anak sihat, mukanya muram jika si anak sakit.”

“Imam yang adil ya Amirul Mukminin, ialah laksana seorang yang berdiri di antara Allah dengan hamba-Nya, didengarnya Maha Tuhan dengan tenang, setelah itu diterangkannya bagaimana wajah-Nya kepada mereka. Dibimbingnya tangan umat supaya sama-sama ke hadrat Rabbi, memohonkan kurnia-Nya.”

“Oleh sebab itu ya Amirul Mukminin, janganlah paduka sebagai budak yang dipercayakan oleh penghulunya kepadanya menyimpan hartanya dan memelihara kaum kerabatnya, lantas budak itu khianat akan amanat, dimusnahkannya harta benda itu dan disia-siakannya petaruh.”

“Kemudian itu ingatlah ya Amirul Mukminin akan maut dan apa yang akan kejadian sesudah mati. Ingatlah bahwa persedian paduka agaknya sedikit, orang yang akan menolong paduka tidak ada. Bersiaplah untuk menghadapi mati, dan untuk menghadapi zaman sesudah mati.”

“Ketahuilah pula ya Amirul Mukminin, bahawa paduka akan tinggal dalam sebuah rumah yang tidak serupa dengan rumah yang paduka diami sekarang. Lama sekali paduka akan mengeluh di sana, dan tidaklah seorang juga yang akan menemuinya, hanya tinggal seorang diri dalam kesunyian."

"Oleh sebab itu berkemaslah dari sekarang dan bersiaplah. Kerana perkemasan dan persiapan yang disediakan lebih dahulu, itulah hanya yang akan menolong di sana kelak, iaitu pada waktu lari padanya manusia daripada saudaranya dan ibunya daripada ayahnya dan isterinya, daripada anaknya sekalipun.”

“Ingatlah ya Amirul Mukminin, ingatlah dengan hati-hati, akan suatu masa kelak yang akan dibongkar segala isi kubur, akan dikupas segala isi dada, segala rahsia pada hari itu akan terbuka. Semuanya tertulis dalam kitab, baik besar mahupun kecil semuanya dihitung.”

“Maka sekarang ya Amirul Mukminin, ingatlah dengan saksama, sebelum ajal sampai janji mendatang, sebelum hukum putus angan berhenti:

Jangan paduka menghukum atas hamba Allah dengan kebodohan, jangan paduka bawa mereka ke jalan aniaya, jangan diangkat orang-orang yang takbur menjadi pegawai, memerintah orang yang lemah. Sebab mereka menjatuhkan perintah dengan sesuka hati dan semahu-mahunya saja. Kelak padukalah yang akan menanggungjawab atas dosa mereka, dan yang bertali dengan itu, dikumpulkan dengan dosa paduka sendiri.

Janganlah paduka terpedaya oleh tipuan orang-orang yang menelah nikmat kesusahan paduka. Mereka makan segala yang enak-enak di dunia, supaya paduka menelan segala kesusahan di akhirat.

Jangan paduka berbesar hati lantaran mempunyai kekuatan pada diri ini, tetapi fikirkanlah kekuatan untuk dari jiwa yang akan dicabut, pada waktu mana seluruh badan paduka diikat oleh rantai kematian, atau berdiri di hadapan Allah, dikelilingi oleh sekalian Malaikat. Nabi-nabi dan Rasul-rasul. Pada waktu mana seluruh wajah makhluk, menghadap kepada Yang Hidup dan Yang Kekal!”

“Adapun patik sendiri ya Amiru Mukminin, meskipun nasihat patik ini tidak sebagus nasihat-nasihat orang-orang yang lebih muda daripada patik pada zaman dahulu, namun patik amat cinta kepada tuanku dan amat ikhlas. Oleh sebab itu pandanglah isi surat patik ini, laksana ubat yang diberikan oleh seorang kecintaan kepada kecintaannya yang sakit. Meskipun agaknya pahit, moga-moga di dalam kepahitan itu ada tersimpan kesihatan dan afiat.”

Dipetik dari Lembaga Hikmat, karya Hamka

Wudhuk Pembersih Zahir Batin

SEMUA orang hendak cantik. Demi cantik, sekarang orang sanggup bargadai, asalkan cantik. Tidak cukup dengan bedak dan mekap, sanggup mereka mengubah muka dengan pembedahan plastik, asalkan cantik.Kadang-kadang walaupun terseksa mereka tidak peduli, kerana yang penting bagi mereka ialah cantik. Muka kena menawan biar orang memandang, berpaling dan menjeling, yang penting cantik.

Apabila hendak cantik, tentu bahagian mukalah menjadi sasarannya, dengan hidung ditinggikan, mulut ditebalkan, tulang rahang dinaikkan, mata dibuat alis, dilentik malah apa saja sanggup diubah selagi dapat diubah, kerana yang penting cantik. Kadangkala kesian juga pada mereka yang hendak cantik tetapi tidak juga cantik-cantik. Selepas dicantikkan muka kemudian menjadi tidak cantik juga.

Kenapa? Sebabnya ialah kerana kecantikan bukan sahaja pada muka dan penampilan serta aspek luaran tetapi juga kecantikan dalaman (inner beauty). Kecantikan dalaman sangat jarang diberi keutamaan seperti muka yang tenang bercahaya berpaksi dari hati. Bercahaya bukan sahaja di dunia tetapi berpanjangan dan berkekalan hingga ke akhirat. Antara tip muka bercahaya yang membekas kepada kehidupan ialah kesan wuduk.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Sesungguhnya umatku kelak akan dipanggil di hari kiamat dalam keadaan putih cemerlang kerana kesan daripada air wuduk."

Ini satu jaminan kecantikan yang abadi. 'Inner beauty' yang penulis maksudkan ialah kecantikan hati yang membawa lahirnya peribadi cemerlang seperti nilai integriti seperti ikhlas, jujur, amanah dan sebagainya bermula daripada wuduk. Air wuduk bukan sahaja membersihkan anggota fizikal tetapi membersihkan kotoran batin seperti dosa dan maksiat yang dilakukan.

Jangan pandang kecil pada yang bernama pengampunan Allah sebab itulah pintu segala kebaikan dan kebajikan. Cuba lihat ibadat wuduk mendidik bersih hati dan nilai integriti. Wuduk biasanya dilakukan secara sendirian, tidak ada orang melihat seperti juga puasa orang tidak tahu. Boleh saja kalau yang berwuduk itu hendak menipu seperti tidak basuh kaki atau basuh tidak sempurna kerana orang tidak tahu. Kerana itulah wuduk hanya dilakukan orang yang ikhlas sahaja.

Orang ikhlaslah yang berseri wajahnya. Mereka yang tidak pernah menghiasi muka dengan mekap wuduk sudah tentu tidak terlatih dengan keikhlasan. Sebenarnya boleh sahaja kalau seseorang itu melakukan solat tanpa wuduk tetapi keikhlasan sahaja yang membuatkan mereka tidak akan menipu. Orang yang jujur akan terpancar pada wajahnaya cahaya keikhlasan. Seseorang yang sentiasa berwuduk sentiasa bersama malaikat.

Malaikat sebagaimana yang kita ketahui bersih dan tidak akan berada di tempat kotor. Apabila bersama malaikat bukan sahaja ia akan mendoakan orang yang berwuduk malah sentiasa mendorong dan membisikkan kebaikan. Lagi banyak bisikan kebaikan, lagi terdorong melakukan kebaikan. Bukankah kebaikan itu bermula dengan dorongan.

Sebab itulah orang berwuduk terpancar kebersihan dan cahaya dari wajahnya. Selepas kebersihan wajah dengan wuduk, kemudian muka pula berhias dalam batas syarak akan terserlah kecantikan. Kalau harap cantik dengan mekap dan krim pencantik tetapi muka jauh daripada wuduk, itu hanya lakonan dan sandiwara itu yang menyebabkan rumah tangga tidak kekal, tidak ada kesetiaan dan integriti.

Thursday, April 16, 2009

Panduan Mengkhusyukkan Sembahyang

1. Memakai pakaian yang bersih dan suci lagi kemas serta bau-bauan yang diharuskan dan sentiasa sembahyang di awal waktu kecuali jika ada sesuatu majlis atau keuzuran

2. Tidak memandang ke kiri atau ke kanan sebaliknya terus memandang ke tempat sujud

3. Menyemaikan di dalam hati perasaan takut dan rendah diri terhadap Allah yang Maha

4. Melihat setiap gerak-geri kita

5. Menumpukkan pandangan ke tempat sujud dan tidak banyak menggerakkan anggota badan dalam sembahyang

6. Membanyakkan sedekah terutamanya kepada golongan fakir miskin

7. Memastikan tidak ada gangguan di dalam kawasan atau persekitaran sembahyang

8. Cuba memahami segala isi bacaan dalam sembahyang termasuk ayat Al Quran, zikir dan tasbih

9. Mengambil wuduk dengan sempurna supaya air merata pada semua bahagian anggota yang wajib dan membaca doa apabila air melalui di tiap-tiap anggota tersebut

10. Membaca surah An-Nas, selawat ke atas Rasulullah SAW, istighfar dan apa-apa bacaan untuk menjauhkan gangguan syaitan sebelum takbir

11. Tidak menahan diri dari membuang air kecil atau air besar sebelum sembahyang sebaliknya hendaklah ditunaikan hajat itu

12. Menjaga makan dan minum dan memastikan sumbernya dari yang bersih lagi halal serta menjauhi makanan yang haram dan syubahat

13. Memastikan di bahagian hadapan tempat sujud tidak ada gambar yang boleh menarik pandangan yang menyebabkan fikiran dan hati terganggu

14. Banyak mengingati mati dan menganggap sembahyang yang dilakukan itu adalah sembahyang yang terakhir dalam hidupnya

15. Menyedari hakikat yang ianya sedang berhadapan dengan Allah yang Maha Agung dan Maha Mengetahui akan segala rahsia hambanya

16. Memusatkan seluruh ingatan dan tumpuan pada sembahyang serta melambatkan bacaan tasbih

Al-Quran Milik Siapa?

“Sepatutnya sudah lama benda al-Quran ini dibaca dan digunakan dengan meluas oleh semua orang termasuk oleh orang Cina”. (Berita TV1 pada pagi 6 April 2009 dan rancangan Berita TV9 jam 8.00 malam).

Inilah lebih kurang, bunyi kata-kata saya sewaktu diminta mengulas penggunaan dan sebutan ayat al-Quran oleh Exco Kerajaan Negeri Perak, YB. Nga Ko Ming. Sebagai penjelasan lanjut, izinkan saya berkata begini:

Islam ini pada dasarnya diturunkan untuk membawa petunjuk. Ia sumber hidayah. Ia menjadi rahmat dan penawar. Nilai gunanya adalah untuk seluruh semesta alam. Ia bersifat “rahmatal lil ‘alamiin.” Ia berguna untuk seluruh umat manusia tanpa mengira perbezaan kaum, suku bangsa, warna kulit dan bahasa.

Sepatutnya, al-Quran itu boleh digunakan dengan jujur dan ikhlas oleh penggunanya tanpa mengira sesiapa. Pada saya, kesediaan YB. berkenaan yang cenderung menggunakan ayat al-Quran adalah satu permulaan kepada satu perkembangan yang cukup menggalakkan. Tidak ada sebab ia tidak dialu-alukan.

Jika dalam zaman awal Islam pun, Abu Lahab yang bukan Islam itupun diizin membaca dan memahami surah Al-Lahab yang mencela beliau, maka apa pilihan kita untuk menutup hak bukan Islam untuk mendekati, membaca dan cuba memahami al-Quran?

Isu ini bermula sebaik sahaja sesetengah pihak mencetuskan keresahan demi meraih perhatian untuk mendapatkan populariti dan simpati ke atas diri mereka. Saya diberi faham bahawa isu asal hanyalah kecil. Isu yang berbangkit ialah nama surah sahaja yang disebut salah tetapi ayat yang dikutip dan diterjemahan adalah betul.

Bacaannya masih OK; cuma intonasi dan sebutannya saja yang sedikit tersalah. Tetapi, tidaklah pula bacaannya itu sebaik seorang qari musabaqoh atau tilawah. Hatta, ada juga orang Islam baka, yang sudah lama Islamnya sekalipun; masih tidak sempurna dari segi tertib dan tartil, dari segi sebutan dan tajwid serta lafaz panjang pendeknya.

"...إِنَّ اللّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ"

Apa yang saya nampak, YB. berkenaan tidak mentafsir. Dia cuma membaca terjemahan "Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan". Dia terjemah perkataan “ehsan” sebagai 'belas kasihan'. Itu sahaja.

Dalam Islam, ada satu perkara yang disebut “Li iilaafi-quraisy“ seperti yang terkandung didalam surah Quraisy ayat 1. Maksud bergerak dari kalimat ini saya ertikan sebagai “menjinak atau menjinakkan.” Menjinakkan siapa, jika tidak orang-orang yang belum Islam kepada Islam?

Disini, apa salah orang Cina jika dia membaca Quran dengan tujuan untuk berjinak-jinak dengan Islam? Jika katakan tersalah (katakan), maka dengan lemah lembut dibetulkan. Tidak berbangkit sama sekali soal keperluan laporan polis oleh sesiapa.

Pada saya, ini percubaan menutup ruang dan menyekat langsung laluan non-Muslim mendekati Islam seperti yang pernah dilakukan oleh sebahagian dari penguasa masjid di tempat-tempat tertentu yang menghalang orang non Islam dari memasuki masjid.

Sedangkan dalam surah ‘Abasa, jelas yang Nabi SAW menerima, menegur dan membimbing orang Islam dan non-Muslim di dalam masjid.

Berbalik kepada isu, jika orang Cina baca salah, maka apa jaminan yang orang Melayu yang kebanyakannya datang dari jenis Islam baka ini pun turut tidak salah? Hal ini boleh disahkan oleh guru-guru tajwid seluruh negara pada bila-bila masa.

Ambil saja surah al-Fatihah yang menjadi ummul kitab. Saya tidak suka mencabar tetapi saya hampir pasti akan kekurangan yang juga turut melanda orang Melayu yang diperanakkan dalam suasana Islam sepenuhnya ini.

Satu lagi ialah apa gunanya Quran jika tidak untuk dibaca? Bagaimana orang bukan Islam mahu memahami jika diharamkan mereka dari bertatih membaca al-Quran. Ini permulaan. Kita kena faham.

Hatta, Saidina Umar sendiri diwaktu belum Islam (kufur) sekalipun direkodkan pernah merampas sesuatu dari tangan adik beliau. Beliau lalu mendapati bahawa ia satu tulisan dari Surah Toha lalu beliau membacanya dalam keadaan genggam dan lepas.

Sebenarnya kufur zaman dulu adalah orang Cina atau Indialah di zaman sekarang. Sepatutnya, kita berbangga apabila orang bukan Islam boleh memetik dan cuba-cuba membaca ayat dari kitab suci kita.

Salah satu punca kelemahan dalam menguasai ilmu pembacaan al-Quran ini ialah tidak dapat menguasai tulisan jawi. Ini kerja siapa jika tidak mereka yang memperjuangkan “dasar anti- jawi”? Dalam keadaan mereka yang meninggalkan Quran dan telah membunuh tulisan jawi itu, tiba-tiba, apabila ada pemimpin Cina membaca Quran dalam pelat yang dipandang salah, mereka sibuk mendesak DAP mengemukakan permohonan maaf secara terbuka. Disini soalan pertama saya, mana lebih besar dosanya, menolak Quran dan mengherdik hukum Islam atau dosa cuba membaca al-Quran?

Soalan kedua saya, apa kata, jika dalam satu masa terdekat, ada pihak yang dapat buktikan yang ada juga pemimpin Melayu Muslim yang membaca Quran dengan salah? Mahu atau wajarkah mereka dimalukan dengan dituntut membuat permohonan maaf secara terbuka?

Dalam hal begini saya lebih gemar kita semua melakukan muhasabah. Jika takdirnyalah, rakan-rakan kita dari yang “belum Islam” ini ada kekurangan dari segi sebutan ayat-ayat Quran, kenapa kita tidak berfikir untuk adakan kelas-kelas asas pengenalan ilmu al-Quran kepada non-Muslim?

Dalam hal ini, gunakanlah semua rangkaian radio dan televisyen kita untuk mengadakan slot-slot rancangan berupa kelas “mesra al-Quran” seperti yang ada dalam rancangan “learn a word a day” atau belajarlah satu perkataan satu hari.

Mungkin juga ia boleh disusuli dengan kelas-kelas malam percuma di semua masjid dan surau. Mungkin juga, kelas-kelas tuisyen malam disekolah-sekolah boleh juga diatur seperti sistem sekolah dewasa di awal tahun 60 han.

Atau, kita ada IKIM, JAKIM, YADIM, dan Jabatan-Jabatan Agama Islam setiap Negeri. Saya percaya, kita boleh melakukan sesuatu; mengambil kesempatan dan menafaat dari trend keghairahan baru yang sihat ini demi membangun bersama Islam dan mendekatkan non-Muslim kepada Islam.

Di sini, tidak bolehkah kita sama-sama cuba berfikir dalam kerangka pemikiran sebuah kerajaan. Janganlah terlalu mahu berpolitik secara berparti dalam serba-serbi sehingga segenap perkara hendak dipolitik mengikut syak wasangka kepartian. Sikit-sikit menuntut maaf. Sikit-sikit laporan polis. Sikit-sikit perkara perkauman, menghasut, sensitif dan boleh menimbulkan pecah belah.

Jika kita tidak sensitifkan isu ini maka tidak sensitif lah ia. Perkara ini bukannya susah sangat tetapi sengaja nak dikeliru dan nak disusah-susahkan. Sekarang, orang sudah ramai yang cerdik. Ini khususnya dikalangan orang-orang muda. Mereka biasanya lebih cepat menghidu dan dapat membezakan terus antara durian dengan tempoyak.

Sebagai penutup, mari kita mendalami keluhan dukacita YB. Nga di atas isu yang sengaja ditimbulkan. Kata beliau, “saya berasa amat kesal apabila masyarakat Tionghua yang cuba mengenali Islam dan al-Quran melalui kitab berkenaan, tiba-tiba dihalang.”

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat
Menteri Besar Kelantan
Tanggal: 7 April 2009
dipetik daripada: http://www.blogtokguru.com

Wednesday, April 15, 2009

Jawatan: Kelayakan @ Nafsu??

Manusia selalu membina hubungan sosial dengan manusia lain di mana pun dia tinggal dan hidup. Hubungan sosial yang dibentuk ini melahirkan sebuah masyarakat yang berorganisasi dan hidup dalam keadaan yang lebih sistematik.

Dalam sebuah organisasi terdapat mereka yang dipanggil pemimpin dan orang yang dipimpin. Pemimpin memainkan peranan yang cukup besar dalam sesebuah organisasi dan tanggungjawabnya adalah cukup berat dan akan dipertanggungjawabkan oleh Allah tentang tugas dan peranannya sebagai seorang pemimpin.

Jangan sekali-kali meminta untuk menjadi pemimpin sekiranya kita merasakan diri kita kurang berkelayakan untuk memimpin kerana dikhuatiri kita tidak akan dapat menunaikan tanggungjawab yang terpikul di atas bahu kita seandainya kita menjadi pemimpin.

Nabi s.a.w dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari & Muslim pernah bersabda : Maksudnya : “Wahai `Abd ar-Rahman! Jangan engkau meminta jawatan pemimpin. Sesungguhnya jika engkau diberikannya dengan permintaan maka engkau ditinggalkan (tidak ditolong). Sekiranya engkau diberikannya tanpa permintaan maka engkau dibantu (oleh Allah)” Shahih Al-Muslim: 1791

Dalam hadis ini Nabi melarang keras kita dari meminta jawatan sebagai pemimpin namun bagaimana pula soalnya dengan Kisah Nabi Yusuf yang meminta jawatan? Sebenarnya Nabi Yusuf meminta jawatan dalam keadaan dia layak sedangkan Samurah yang diceritakan dalam hadis ini tidak layak.

Sekiranya Kita Layak Hukum Minta Jawatan Ada 3 Hukum:

Wajib - jika kita tidak minta jawatan itu, menyebabkan berlakunya pengkhianatan, maka minta jawatan adalah wajib

Sunat - jika kita minta jawatan dalam keadaan orang lain pun layak juga, cumanya kita lebih layak dari yang lainnya maka hukum minta jawatan adalah sunat.

Harus - jika kita minta jawatan dalam keadaan kita dan orang lain sama dari sudut kelayakan maka minta jawatan itu adalah harus.

Hukum Mereka Yang Berkelayakan Menolak Untuk Memegang Jawatan Jika sekiranya ada orang lebih layak dan kita tolak jawatan tersebut maka itu adalah yang terbaik namun sekiranya semua tidak layak, hanya kita sahaja yang layak, lalu jika kita tolak juga maka hukum tolak itu menjadi haram.

Kesimpulannya sebelum kita tolak sesuatu jawatan pastikan ada orang yang lebih layak dari kita atau setidak-tidaknya sama layak. Sebelum membuat keputusan untuk merebut sesuatu jawatan hendaklah kita melakukan analisa terhadap diri sendiri terlebih dahulu adakah kita berkelayakan kerana dikhuatiri sebab kita mahukan jawatan hanyalah kerana untuk mencari populariti, publisiti dan menurut hawa nafsu semata-mata.

Fikirlah dengan akal yang sihat dan buatlah keputusan berdasarkan pertimbangan iman sebelum merebut sesuatu jawatan agar kita selamat dari merebut jawatan dalam keadaan kita tidak layak untuk memegangnya.