Thursday, January 8, 2009

Hanya Penonton???

'Dan Kami menyatakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau.Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu) dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku.Kemudian (setelah kamu bertaubat), Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka dan Kami beri kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya.' (Al-Isra:4-6)


Palestin diserang lagi, namun berapa ramai antara kita yang telah mengambil tindakan proaktif dan berusaha untuk membantu saudara kita di sana? Walau sekecil mana jua usaha yang dilakukan biarlah Allah yang menentukan. Mungkin pelbagai maklum balas dapat dilihat berkenaan sumbangan wang,boikot dan pelbagai lagi usaha yang telah dilakukan, positif mahupun negatif , usaha-usaha ini perlu diteruskan untuk membela saudara kita yang terkorban di bumi Palestin terutamanya berdoa untuk saudara tercinta.

Sejak beberapa hari ini, saya berada dalam keadaan menafikan perbuatan (denial state) kejam pembunuhan beramai-ramai pihak Zionis Yahudi ini. Ini adalah kerana hati ini terlalu sedih dan sukar menerima hakikat bahawa ada sekumpulan manusia yang sanggup mencenderakan dan membinasakan sekumpulan manusia yang lain, yang mana golongan yang ditindas ini amat jelas berada dalam keadaan lemah dan melibatkan golongan kanak-kanak yang tidak berdosa. Mana mungkin?

Namun saya perlu bangun dari tidur ini kerana saudaraku diinjak-injak dan diperkotak-katikkan nyawa mereka oleh Israel laknatullah. Setelah hampir 12 hari pembunuhan beramai-beramai ini dilakukan dan lebih kurang 660 rakyat Palestin dibunuh, hari ini menyaksikan masih tiada langkah-langkah berkesan dan efektif untuk menghentikannya oleh mana-mana pihak.

Wahai sahabat, tidaklah adil sekiranya kita mengharapkan pihak Amerika Syarikat mahupun UK apatah lagi Israel untuk mengambil sebarang tindakan yang akan merugikan mereka. Seharusnya negara-negara Islam yang diam membatu bagaikan tiada apa yang berlaku yang perlu bangkit dan bersatu ke arah membebaskan Palestin dan menghentikan kekejaman ini.

Amat memalukan kerana perkara ini tidak berlaku malah Mesir menidakkan keperluan untuk OIC bersidang untuk membincangkan isu ini! Malulah anda pemimpin dunia Islam! Malulah anda wahai sang pemegang amanah kerana masih berdiam diri! dan malulah wahai diri kerana memilih pemimpin yang tidak berguna membela agama yang tercinta!

MALULAH WAHAI UMAT ISLAM! kerana engkau hanya menonton dan tidak mengambil bahagian dalam perjuangan yang mulia ini!

'Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?' (Ali-Imran:142)



Ayuh para pejuang yang mengaku pejuang agama yang mulia, tegakkanlah ianya walau apa jua caranya, bantulah saudaramu yang menderita kerana tidak sempurna iman seseorang hamba itu melainkan ia menyayangi saudaranya yang lain sepertimana ia menyayangi dirinya sendiri.

Dan TIDAK ianya tidak akan terhenti apabila pembunuhan oleh Yahudi laknatullah ini berhenti yang mungkin berlaku esok, mungkin juga lusa TETAPI perjuangan ini berterusan sehingga Islam tertegak kembali sebagai pemerintah dunia dan ianya hanya akan berlaku ketika Palestin kembali dikuasai sang pemiliknya!

Palestin bukan milik nenek moyang Yahudi

MEMANDANG wajah bayi dan kanak-kanak yang terkorban di Gaza menimbulkan perasaan amat bersalah dalam hati kerana tidak mampu melakukan apa-apa untuk menyelamatkan saudara yang ditindas.

Soalan datang menerjah nurani keimanan, apakah bentuk bantuan paling relevan disumbangkan kepada mereka supaya kita terlepas daripada tanggungjawab sebagai Muslim di hadapan Allah SWT nanti?

Mengapa kamu membiarkan agamamu diperangi? Mengapa kamu berdiam diri menonton keganasan dan kekejaman menumpahkan darah Muslimin di atas tanah suci yang melahirkan para nabi? Apakah sumbanganmu untuk agama Allah SWT, apakah perananmu memastikan kalimah Allah SWT tertegak di atas bumi tanpa penghinaan?

Tidak mampu rasanya menjawab soalan tajam umpama peluru yang mengoyak jantung hati kita. Betapa selama ini keselesaan hidup sudah melayukan semangat Islam dalam diri yang lena. Seluruh bumi Allah SWT ini adalah tanggungjawab kita, di mana seorang Muslim lahir di situlah tanah air kita.

Amat menyedihkan, ramai di kalangan umat Islam yang jahil terhadap isu Palestin. Padahal, mereka cukup bijak dalam menempa kejayaan peribadi, kerjaya dan kedudukan selesa yang seharusnya mencelikkan hati nurani untuk memandang dengan serius isu kemanusiaan sejagat.

Bermula daripada kesedaran memahami bahawa peperangan di Palestin adalah isu agama dan keimanan. Walaupun media sentiasa memaparkan perbalahan yang terjadi antara dua kubu Fatah dan Hamas yang seolah-olah mahu menunjukkan perebutan kuasa politik, ketamakan dan kotornya peperangan sesama umat Islam sendiri.

Tujuan media Barat memaparkan isu itu supaya umat Islam yang melihat daripada kaca televisyen berputus asa terhadap masa depan Palestin dan tidak mahu lagi campur tangan kerana letih melihat pertumpahan darah sesama Muslim yang mencalarkan imej perjuangan mereka.

Padahal, isu perebutan kuasa di Gaza sebenarnya sudah selesai dengan keputusan pilihan raya yang dimenangi Hamas. Yang membangkitkan peperangan lagi adalah Israel dan sekutu kuatnya Amerika yang mahu Fatah memerintah supaya terjadi konflik berlanjutan.

Sengketa Fatah dan Hamas adalah tipu daya dan rancangan busuk Israel serta sekutunya untuk menciptakan ketidakstabilan politik dalam Palestin. Juga, menipu dunia Islam supaya mereka mempersoalkan keikhlasan pejuang Palestin itu.

Akhirnya, umat Islam seluruh dunia melupakan Palestin. Jika seorang Muslim yang mengikuti dari jauh kisah perjuangan Palestin sudah rasa bosan, tidak terdetik hati untuk berniat memberi sokongan dan pertolongan, maka dikhuatiri keadaan itu akan mencabut keimanan dalam hatinya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah dia mengasihi saudaranya seperti mana dia mengasihi dirinya sendiri.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW juga menyuruh umatnya untuk sentiasa berada dalam keadaan membela saudara muslimnya dengan sabda Baginda SAW yang bermaksud:

“Tidak ada seorang Muslim yang membiarkan saudara muslimnya ketika maruahnya dicerobohi dan kehormatannya dicela melainkan Allah SWT akan membiarkannya (tidak menolong) ketika dia memerlukan pertolongan.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud)

Kelemahan umat Islam dalam menyampaikan maklumat sahih mengenai isu Palestin dimanfaatkan Zionis yang mampu memutarbelitkan fakta dalam berita yang mereka sebar luaskan melalui media masa. Mereka menyatakan tanah Palestin adalah milik nenek moyang mereka, sedangkan jika diteliti, sejarah dunia sudah mencatatkan pembohongan mereka itu.

Asal bangsa Palestin dikenali sebagai bangsa Kan’an dan keturunannya sudah mendiami tanah itu sejak 1500 tahun sebelum bani Israel menetap di sana. Islam pula datang dan memerdekakan Palestin daripada cengkaman penjajahan dan berkuasa selama 1200 tahun.

Sejarah tamadun Islam merekodkan pembebasan Palestin daripada cengkaman Rom pada zaman Umar bin al-Khattab. Islam memberi kedamaian selama 500 tahun di mana Kristian dan Yahudi dilindungi status kerakyatan mereka sebagai kafir Zimmi yang diberi hak sebagai warga negara.

Berdasarkan fakta penyelidikan seorang ahli akademik Yahudi sendiri bernama Arthur Koestler, lebih daripada 80 peratus Yahudi hari ini langsung tidak mempunyai kaitan sejarah dengan Palestin. Majoriti Yahudi sekarang sebenarnya berketurunan Yahudi Khazar iaitu puak Tartar-Turki kuno yang asalnya bukanlah Yahudi. Mereka mendiami bahagian utara Kaukaz (kawasan bekas Soviet) yang sudah memeluk agama Yahudi pada kurun ke-8 Masihi, mereka sepatutnya pulang ke selatan Russia bukannya Palestin.

Jadi, mengapa Zionis amat berminat dengan bumi Palestin? Zionis Antarabangsa sudah merangka dengan teliti tanah jajahan yang paling strategik dan berharga dengan menciptakan negara Yahudi. Suatu ketika mereka pernah merancang memilih Uganda sebagai jajahannya tetapi di situ tidak ada nilai sentimental seperti di Baitulmaqdis yang menyimpan sejarah Bani Israel bertapak suatu ketika dulu.

Mereka juga beriman bahawa di Al-Quds akan muncul Messiah (penyelamat) dan akan mengasaskan kerajaan Yahudi yang besar seperti yang dibina oleh Sulaiman, menurut dakwaan dongeng mereka.

Sikap umat Islam terhadap penjajahan Israel ke atas Palestin tidak akan berubah sehingga hari kiamat. Kita wajib menentang sekeras-kerasnya serangan dan pencerobohan ke atas kaum Muslimin. Ulama sedunia sudah memfatwakan haram mengakui kedaulatan Israel di bumi Palestin yang terjajah.

Pada 1947, fatwa Al-Azhar menyatakan haram membahagikan tanah antara Arab dan Yahudi di Palestin dan haram mengiktiraf kewujudan negara Israel di Palestin. Pada 1956 fatwa Syaikhul Azhar dan Mufti Mesir ketika itu, al-Imam al-Akbar al-Syaikh Hassan Makmum menyatakan menjadi fardu ain ke atas Muslimin semua untuk membebaskan bumi Palestin kerana Islam tidak mengenal persempadanan antara negara.

Perdamaian dengan Israel untuk merelakan mereka menindas dan membunuh kaum muslimin, perdamaian sebegini adalah haram. Fatwa Syaikhul Azhar terkini, Syaikh Muhammad Tantawi, ulama ulung sedunia, al-Syaikh Yusuf al-Qaradawi, Mufti Mesir Syaikh Nasr Farid Wasil pula menyatakan aksi serangan berani mati ke atas Yahudi penjajah adalah satu aksi jihad dan pelakunya adalah mati syahid.

Antara tindakan minimum yang wajib dilakukan umat Islam di seluruh dunia adalah memboikot barangan Israel dan sekutu. Mereka juga haram menjalankan hubungan dagang dan memberi apa-apa bekalan musuh, termasuk memboikot Amerika yang juga sekutu utama Israel.

Dr Yusuf Al-Qaradawi menyatakan: “Satu riyal yang digunakan untuk membeli barangan Amerika bersamaan dengan sebutir peluru yang akan digunakan oleh tentera Zionis untuk membunuh anak kecil di Palestin.” Inilah jihad minimum yang wajib dilakukan.

Apakah fatwa itu mampu menggerakkan umat Islam untuk menyokong perjuangan Palestin?

Setiap kali kita membaca surah al-Isra dan mengingati peristiwa Israk dan Mikraj, muncul satu pertanyaan mengenai pembabitan kita dalam isu Baitulmaqdis, adakah cukup sokongan yang diberi untuk melayakkan kita sebaris dengan mereka yang berjihad di sana?

Terdetik ketakutan atas kelalaian, memandangkan Palestin adalah tanah air kita juga kerana Rasulullah SAW sudah memberi amaran dalam hadis Baginda yang bermaksud:

“Barang siapa yang tidak peduli akan nasib saudara muslimnya maka dia bukan daripada golongan mereka.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Palestin adalah sejarah kita, perjuangan dan impian umat Islam seluruh dunia. Sudahkah kita memastikan generasi selepas kita nanti masih menjaga nilai sejarah dan kedaulatan Islam di sana? Atau anak kita akan menjadi pemuda-pemudi yang buta maklumat mengenainya? Bahkan akan melupakan cita-cita tertinggi dalam kehidupan seorang Muslim iaitu berjihad di jalan Allah SWT.

Apabila sudah terhakis semangat menegakkan agama Allah SWT dalam diri generasi Islam, tidak mustahil mereka akan mengikut jejak tali barut kuffar memerangi umat Islam sendiri. Tidak peduli dengan agama, mencampakkan al-Quran dari dada mereka dan mengejek kemuliaan hadis Rasulullah SAW kerana terlalu taksub dengan kitab dari Amerika, Eropah dan bangsa lain.

Dan menjadi kewajipan umat Islam untuk menyokong Palestin dengan harta, jiwa, ilmu dan kepakaran yang diperlukan bagi sebuah negara Islam merdeka. Allah berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya orang yang beriman itu ialah mereka beriman kepada Allah dan Rasul-Nya kemudian tidak ragu-ragu berjihad dengan harta dan nyawa mereka. Mereka itulah golongan mukmin yang benar.” (Surah al-Hujurat, ayat 15)

Wednesday, January 7, 2009

Kita dan Palestin

Jika anda berniat mendermakan sebahagian daripada wang anda untuk Palestin, anda sebenarnya masih tak faham-faham isu Palestin. Palestin bukan soal derma dan sedekah. Palestin adalah jihad dan kewajipan. Tuhan kita berkata, berjihadlah dengan harta dan nyawa kamu..

Wang, bahkan nyawa setiap umat Islam adalah tagihan Allah untuk bumi yang disucikanNya itu. Tiada muslim yang tidak mengambil bahagian di dalam jihad Palestin sepanjang zaman kecuali tuahnya pasti direntap bumi suci itu di akhirat nanti.

Palestin adalah ujian Allah

Palestin adalah sebahagian ujian Allah ke atas umat nabi Muhammad sallaLlahu alaihi wasallam. Dari tiga bumi suciNya ( tanah haram ) itu, Allah memberi keamanan untuk Makkah dan Madinah, tetapi tidak untuk Palestin. Palestin sentiasa berdarah dan jika ia aman seketika atau lebih lama daripada itu, di sekelilingnya adalah penuh dengan komplot dan konspirasi musuh untuk merampas dan menghancurkannya kembali.

Ia menjadi rebutan sepanjang zaman untuk umat tiga agama langit yang memiliki kitab samawi masing - masing yang mendakwa sejarah pendudukan dan pemerintahan di situ. Jika tidak kerana Allah menghukum dan memutuskan bahawa bumi haramNya itu adalah milik hambaNya yang bertaqwa yang berada di atas jalanNya yang lurus, iaitu Islam, agama tauhid nabi Ibrahim al hanif alaihissalam, iaitu datuk kepada ketiga - tiga umat tersebut, maka tiadalah umat Islam memiliki hujjah mutlak untuk memilikinya.

Cinta Palestin tanda iman dan taqwa

Mencintai Palestin adalah tanda iman dan taqwa. Kita mesti mencintainya melebihi kecintaan kita kepada tanah air sendiri.Roda zaman yang berpusing menentukan bahawa bangsa Yahudi telah berjaya merampas dan mendudukinya kini selepas perjuangan lama mereka untuk menguasainya semenjak ribuan tahun dahulu. Selepas mereka menguasainya, impian dan angan - angan mereka begitu memuncak bahawa merekalah anak - anak tuhan yang diberkati segala tindakan mereka.

Hanyalah yang menghantui keyakinan mereka adalah pengetahuan tersembunyi mereka bahawa Palestin ini sebenarnya dan kesudahannya adalah milik umat yang menjadi musuh nombor satu mereka. Mereka tahu Palestin adalah untuk umat Islam.

Hari ini, saat kita dan seluruh umat Islam cuba membina keyakinan dan azam baru di awal tahun baru hijrah, Palestin dibedil dan dibakar oleh Yahudi, musuh Allah, malaikat, manusia dan seluruh makhluk kecuali syaitan daripada kalangan jin dan manusia.

Negara Israel hari ini yang menghimpunkan bangsa Yahudi sedunia itu tahu bahawa mereka tidak boleh hidup dengan hidupnya Islam. Justeru harapan, azam, keyakinan dan masa depan umatnya harus sentiasa dilumpuhkan dan dipadamkan dengan apa jua senjata dan peralatan.

Umat Islam mesti kekal putus asa, putus harapan dan putus hubungan dengan tuhannya. Membunuh umat Islam adalah ibadah dan persembahan mereka kepada tuhan mereka yang mereka ciptakan sendiri.

Cerita yang panjang

Palestin ceritanya panjang dan akan terus memanjang sehingga kiamat. Bermula keamanan dunia adalah dengan amannya Palestin dan bermula kecelakaan dunia adalah dengan celakanya keadaan di bumi Palestin. Begitulah Allah menetapkan sunnahNya bahawa Palestin adalah ujian kehidupan manusiawi.

Anda mesti tahu dan mesti akur bahawa lecehnya pengetahuan anda tentang Palestin adalah petanda lecehnya anda di sisi perjuangan Islam.

Jangan harapkan negara-negara Arab untuk mengembalikan Palestin. Sehingga semalam pun, mereka tidak mampu menyapu dan membersihkan diri daripada tohmahan bahawa mereka adalah sebahagian konspirasi pengeboman di Genting Gaza. Mereka membisu seperti bisu anak dara yang melakukan zina. Negara Arab yang berzina dengan Israel! Ah, sejak bila mereka menerima kehadiran HAMAS? Apatah mengiktiraf mereka sebagai rakan hidup dan mati? Sedangkan mereka tahu bahawa HAMASlah nyawa dan nadi umat Islam Palestin hari ini.

Anda hanya perlu meneka, siapakah yang lebih takutkan HAMAS? Israel atau Arab nasionalis syirik itu sendiri?

Jangan pula mengharapkan negara kita. Negara kita tidak akan menyokong HAMAS sebab HAMAS adalah saudara PAS. Mengharap pemerintah negara bertindak untuk Islam di Palestin adalah seperti mengharapkan perempuan mandul melahirkan anak atau seperti mengharap lelaki yang telah dikasi untuk mensyahwati perempuan.

Dalam dunia yang penuh nifaq dan kekufuran, harapan adalah terletak di atas bahu sekelompok umat Islam yang berjuang untuk kembali kepada Islam yang sebenar. Harapan dan keyakinan masa depan adalah daripada umat yang bersedia menghidupkan kewajiban berjihad fi sabiliLlah.

Setiap kita mestilah mengambil bahagian melaksanakan kewajiban membebaskan bumi suci Palestin.

Jika 10,000 umat Islam di Malaysia menyimpan RM100.00 setahun untuk perjuangan membebaskan al Masjidil Aqsa daripada cengkaman zionis Yahudi, maka wakil pejuang Islam Palestin yang datang ke negara kita akan pulang ke medan jihad dengan RM1 juta dari rakannya di Malaysia.


Allah terima taqwa di dalam dada

RM1 juta itu banyak tetapi ia adalah terlalu kerdil di hadapan bilionan dolar yang dibelanjakan oleh Yahudi dan sekutu Amerikanya untuk menjajah tanah suci itu. RM1 juta itu banyak, tetapi ia adalah sedikit di banding 15 juta umat Islam di negara kita. Atas nama kewajiban ugama, umat Islam di Malaysia semestinya mengeluarkan puluhan juta ringgit untuk perjuangan suci ini.

Sekali lagi, usah mengharap dan berangan wang saku kerajaan nasionalis Melayu akan tumpah walau setitik ke Palestin. Jika ia menitik, ia akan jatuh ke anak mata buat mengaburi pandangan mata. Pemimpin nasionalis Melayu ini pula, bila masa mereka cukup duit? Mata mereka tidak melihat kecuali duit.Allah tidak menerima RM100.00 yang kita keluarkan itu. Allah menerima taqwa di dada kita. Taqwa kitalah yang akan menggapai Tuhan dan ridhaNya. Ertinya, bukanlah RM1 juta yang perlu kita kumpulkan daripada 10,000 umat Islam di Malaysia, bahkan kita memerlukan sejumlah hambaNya yang bertaqwa yang berjuang di atas jalanNya yang benar.

Apabila ada taqwa, adalah wang yang dikeluarkan atas nama kewajiban dan jihad.

100 orang kaya di negara kita yang bertaqwa sudah cukup untuk menghantar RM1 juta atau lebih ke Palestin. 1000 umat Islam daripada masyarakat bandar pertengahan yang bertaqwa sudah cukup untuk menghasilkan RM1 juta untuk Palestin.

Jika setiap kita bertekad untuk menggabungkan diri dalam 10,000 umat Islam negara yang tidur bangunnya adalah untuk Palestin dengan berazam menjadikan perjuangan membebaskan bumi suci itu sebagai sebahagian amal jihadnya di hadapan Allah di padang mahsyar kelak, pastinya kita mampu saja menghantar RM10 juta setiap tahun ke sana.

Ia adalah jumlah yang sedikit. Tetapi bayangkan betapa gembiranya rakyat Palestin, terutama para pejuangnya apabila mendengar jumlah wang sebanyak itu datang daripada saudara mereka di Malaysia yang menyokong perjuangan mereka. Bayangkan betapa roh jihad mereka akan semakin panas dan membara buat membakar Yahudi laknatuLlah itu.

Saya membubuh angka agar anda tahu bahawa Allah mengurniakan pahalanya dengan angka dan juga berat. Dua rakaat masing - masing di Masjid Nabawy, di Masjidil Haram dan di Masjidil Aqsa adalah bersamaan lebih ratusan ribu rakaat berbanding dua rakaat dan sujud anda di masjid Putra Jaya atau di balaisah di hadapan rumah anda.Bukan negara - negara umat Islam yang hidup penuh dayus dan nifaq hari ini yang akan membebaskan bumi Palestin daripada penjajahan. Mereka adalah bagai buih - buih yang dilambung ombak tanpa perlu dihirau hitung berapa beratnya.

Sudikah setiap kita untuk mendaftar diri sebagai pejuang Islam untuk pembebasan Palestin?

10 Perangkap Syaitan

ALLAH berfirman yang bermaksud: "Syaitan memberikan janji yang membangkitkan angan-angan kosong kepada mereka. Walhal syaitan itu tidak menjanjikan kepada mereka kecuali tipu daya belaka. Tempat mereka itu ialah di neraka jahanam dan mereka tidak memperoleh tempat untuk lari daripadanya.'' ( An-Nisa': 120-121).

Keterbukaan manusia mengundang kehadiran syaitan ke dalam diri masing-masing, sebenarnya ada kaitannya dengan sifat mazmumah yang diamalkan dalam kehidupan seharian. Melalui pelbagai jenis sifat mazmumah itulah sama ada kita sedar atau tidak, kita sebenarnya telah menyediakan ruang kepada syaitan untuk menapak dalam diri. Apabila syaitan sudah meraja dalam diri, seseorang individu itu akan sanggup melakukan apa jua perbuatan keji dan mungkar kerana keinginan nafsu akan menjadi sebati dengan sifat jahat syaitan itu sendiri.

Hati, suatu organ istimewa kurniaan Allah kepada manusia, pada saat dan waktu itu juga akan mula goyah apabila sedikit demi sedikit syaitan durjana mula merayap untuk menguasai tunjang di dalam badan manusia tersebut. Berlumba-lumbalah nanti para syaitan untuk memenangi dan menguasai hati manusia. Mereka akan sedaya upaya menawan hati tersebut dan memujuk nurani manusia untuk melanggar segala perintah Allah. Beruntunglah golongan manusia yang berupaya menangkis godaan tersebut.

Mengikut para ulama, syaitan akan menguasai tubuh badan manusia melalui sepuluh pintu:

1. Melalui sifat bohong dan angkuh

Dua sifat inilah yang amat mudah tersemai dan menyubur dalam diri manusia. Ia berpunca daripada keegoan manusia itu sendiri yang lazimnya akan mudah hanyut ketika dilimpahi kemewahan dan kesenangan.

2. Melalui sifat bakhil dan kedekut

Setiap harta benda dan kemewahan yang diperoleh adalah kurniaan ALlah yang seharusnya dibelanjakan ke jalan yang hak. Ia boleh digunakan untuk membantu kesempitan hidup orang yang memerlukan sama ada melalui kewajipan berzakat atau bersedekah.

3. Melalui sifat takbur dan bongkak

Sifat ini selalunya bertapak dalam diri seseorang manusia yang merasakan dia sudah memiliki segala-galanya dalam hidup ini. Mereka terlupa bahawa kesenangan dan kenikmatan yang dikurniakan itu boleh ditarik oleh Allah pada bila-bila masa saja. ALlah Taala berfirman yang bermaksud: "Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang-orang yang takbur.'' (An-Nahl:23)

4. Sifat khianat

Khianat yang dimaksudkan bukan sahaja melalui perbuatan merosakkan sesuatu yang menjadi milik orang lain, tetapi juga mengkhianati hidup orang lain dengan tidak mematuhi sebarang bentuk perjanjian, perkongsian dan sebagainya.

5. Sifat tidak suka menerima ilmu dan nasihat

Junjungan RasuluLlah s.a.w. selalu menasihati para sahabat baginda agar menjauhkan diri masing-masing daripada menjadi golongan manusia yang dibenci Allah, iaitu golongan yang tidak suka diri mereka dinasihati atau mendengar nasihat orang lain.

6. Melalui sifat hasad

Perasaan hasad dengki selalunya akan diikuti dengan rasa benci dan dendam yang berpanjangan. RasuluLlah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: "Hindarilah kamu daripada sifat hasad kerana ia akan memakan amalan kamu sebagaimana api memakan kayu yang kering " (Riwayat Bukhari dan Muslim).

7. Melalui sifat suka meremehkan orang lain

Sifat ego manusia ini selalunya akan lahir apabila seseorang individu itu merasakan dirinya sudah sempurna jika dibandingkan dengan orang lain. Orang lain dilihat terlalu kecil dan kerdil jika dibandingkan dengan apa yang dia miliki. Abu Umamah pernah meriwayatkan bahawa RasuluLlah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: "Tiga kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafik iaitu orang tua Muslim, orang yang berilmu dan imam yang adil.'' (Riwayat Muslim).

8. Melalui sifat ujub atau bangga diri

Menurut Imam Ahmad, Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: "Jangan kamu bersenang lenang dalam kemewahan kerana sesungguhnya hamba Allah itu bukan orang yang bersenang-senang sahaja.'' (Riwayat Abu Naim daripada Muaz bin Jabal)

9. Melalui sifat suka berangan-angan

Islam adalah anti kemalasan. Orang yang berat tulang untuk berusaha bagi mencapai kecemerlangan dalam hidup akan dipandang hina oleh Allah dan manusia. Mereka lebih gemar berpeluk tubuh dan menyimpan impian yang tinggi tetapi amat malas berusaha untuk memperolehnya.

10. Melalui sifat buruk sangka

Seseorang yang suka menuduh orang lain melakukan sesuatu kejahatan tanpa diselidiki terlebih dulu amat dicela oleh Islam. RasuluLlah s.a.w. bersabda yang bermaksud: "Nanti akan ada seseorang berkata kepada orang ramai bahawa mereka sudah rosak. Sesungguhnya orang yang berkata itulah sebenarnya yang telah rosak dirinya.'' (Riwayat Muslim)

Monday, January 5, 2009

Antara Syiah, Sunnah, Palestin dan Israel

"Pada hari ini bumi Palestin yang sudah semakin hancur dikerjakan oleh Israel sejak berpuluh tahun dahulu terus lagi dibedil, diratah dan dirogol oleh bangsa Yahudi yang dilaknat oleh Allah ini. Jumlah kematian terus meningkat, yang cedera apa tah lagi dan yang hilang terus tidak ditemui.

Bagaikan lembu gila Israel terus menerkam dan membaham warga Palestin yang tidak berdosa yang dahagakan keamanan dan ketenangan sejak berpuluh tahun dahulu. Boleh dikatakan lebih dari separuh rakyat Palestin tidak pernah merasai nikmat keamanan sejak mereka lahir ke dunia ini. Kini kekejaman yang sentiasa berlaku itu terus lagi meningkat denganb gilanya.

Lebih biadap serangan terhadap penduduk Palestin ditingkatkan pada umat Islam seluruh dunia sedang merayakan sambutan awal Muharam (1 Muharam) yakni tahun baru bagi kalendar Islam. Tindakkan Isreal melancarkan serangan pada tarikh tersebut juga boleh dilihat sebagai cara untuk mencabar umat Islam seluruh dunia yang menghuni hampir 1/2 muka bumi ini.

Namun dunia terus memandang sepi dan umat Islam seluruh dunia tidak merasakan itu sebagai satu cabaran atau penghinaan terhadap mereka.Mereka hanya sekadar mengadakan demostrasi - demostrasi ringan yang belum cukup kuat untuk mematahkan peluru - peluru dan bom milik Isreal yang terus membedil bumi Palestin. Pertubuhan Bangsa - Bangsa Bersatu PBB, pada hari ini iaitu Sabtu 3 Januari 2009 baru akan mengadakan persidangan bagi mencari resolusi kepada keganasan yang meningkat di Palestin kini. Setelah ratusan nyawa hilang dalam keganasan menggila Isreal sejak lebih seminggu yang lalu, PBB baru mahu mengadakan persidangan mungkin bertujuan mencari defenisi “apa itu keganasan”.

Pemimpin - pemimpin Arab langsung dayus dan bacul. Majoriti pemimpin Arab kini menjadi kuda tungangan Amerika Syarikat dan secara tidak lanngsung Isreal demi kepentingan peribadi dan kekenyangan perut mereka dan sanggup membiar saudara seagama mereka terus diratas buas oleh Yahudi yang dilaknat Allah ini.

Mana pergi Ahmadinejad pemimpin Iran yang begitu lantang dan dilihat berani berdepan dengan Amerika dan Isreal? Mana hilangnya Hizbullah yang pernah menjadi hero dengan mengalahkan tentera Isreal di Lubnan pada 2006 yang lalu. Kemana perginya mereka semua ini tak kala saudara seagama mereka dibunuh kejam oleh Isreal. Mengapa hanya jeritan - jeritan kecil yang muncul dari Ahmadinejad dan kenapa langsung tidak kedengaran suara atau tindakan dari Hizbullah?

Jawapannya kerana orang Islam di Palestin itu Mahzabnya Sunnah dan Iran serta Hizbullah itu ber Mahzab Syiah. Inilah perkara yang menyebabkan dua pihak yang dilihat gagah pada suatu - suatu masa itu seolah - olah sedang bermimpi tak kala umat Islam di Palestin dibelasah dengan teruk Isreal. Pemimpin Arab yang bermazhab Sunnah lainnya telah sedia terbeli oleh secara langsung oleh Amerika dan tidak langsung oleh Israel.

Hanya kerana perkara Syiah dan Sunnah yang mana ianya sendiri tidak pernah disebut oleh Nabi Muhammad ini, menjadi alasan paling kuat untuk membiarkan saudara seagama terus dibaham dan diratah oleh Israel. Perkara mazhab yang wujud secara kebetulan dan perasaan tidak puas hati dua pihak ini terus memakan diri umat islam sendiri hingga hari ini. Hakikatnya ajaran Islam itu sendiri tidak pernah membahagi - bahagikan yang mana satu Syiah dan yang mana satu Sunnah. Tetapi perkara itu yang menjadi pegangan kuat umat Islam seperti pemimpin - pemimpin dunia Arab pada hari ini daripada perkara - perkara sebenar yang dituntut Islam.

Sampai bilakah bumi Palestin akan terus dibasahi darah dan dicuci dengan linangan air mata penghuninya dan penghuni dunia lain sekadar mampu duduk diam mengelengkan kepala. Atau sememangnya bumi Isreal dan kawasan sekitarnya itu menjadi tempat pengumpulan dan penghapusan bangsa Yahudi seluruh dunia pada akhir zaman nanti seperti mana yang disebut dalam Al-Quran.

Moga Allah mengurniakan keamanan terhadap bumi Palestin yang mana selama ini erti keamanan itu terpisah terlalu jauh dari bumi Palestin dan penghuninya.

Wednesday, December 31, 2008

Khusyukkan Solatmu Wahai Sang Hamba

Solat adalah perkara yang paling penting bagi mereka yang beragama islam. Solat boleh diibaratkan sebagai tiang seri utama di dalam sebuah rumah. Yang mana apabila runtuhnya tiang seri utama itu maka akan runtuh jugalah rumah tersebut. Tiang-tiang seri yang lain tidak mampu untuk menanggung beban yang di tanggung oleh tiang seri utama dek kerana kecilnya saiz mereka berbanding saiz tiang seri utama.

Begitu jugalah dengan solat. Berbanding dengan amalan-amalan lain solat dikira sebagai amalan yang paling utama. Amalan yang pertama sekali disoal apabila kita dihadapkan di hadapan Allah S.W.T kelak juga adalah solat. Selagi mana tidak selesai solat kita dihisab maka selagi itulah amalan-amalan kita yang lain tidak diambil kira. Dalam solat pula kita amatlah di tuntut untuk khusyuk.Firman Allah S.W.T yang mana bermaksud:-

“Telah berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu orang-orang yang khusyuk dalam sembahyangnya” (Surah Al-Mu'minun:1-2)

"Peliharalah segala sembahyangmu dan peliharalah sembahyang utama (Asar, Subuh) dan berdirilah untuk Allah (melalui solatmu) dengan khusyuk" (Surah Al-Baqarah:238)

Rasulullah S.A.W juga ada bersabda yang mana bermaksud:-

"Berapa banyak orang yang mendirikan solat, tetapi yang di perolehi hanya penat dan letih, kerana mereka itu lalai dalam sembahyangnya." Nabi s.a.w bersabda lagi yang bermaksud : "Tidak ada habuan bagi seseorang hamba dalam sembahyangnya kecuali sekadar mana yang ia ingat."

Yang dikatakan khusyuk dalam solat itu adalah hatinya sentiasa hidup,sentiasa merasakan takut serta malu pada Allah S.W.T dalam solat yang dilakukan. Segala urusan duniawi dilupakan sementara demi memberikan tumpuan yang sepenuhnya pada Allah S.W.T. Penting tidak pentingnya khusyuk dalam solat ini sehingga Imam Ghazali menyatakan solat yang dilakukan tanpa khusyuk boleh dikira sebagai sia-sia sahaja. Fungsi khusyuk dalam solat bukanlah sekadar mengingati Allah semata-mata malahan juga untuk mencegah diri daripada melakukan perkara-perkara mungkar.

Oleh yang demikian penulis menyertakan di sini antara amalan-amalan yang insyaAllah dapat membantu pembaca-pembaca sekalian mendapatkan apa yang di panggil khusyuk di dalam solat. Sama-samalah kita amalkan.

1. Menjaga makanan, minuman, pakaian, tempat tinggal dan lain-lain supaya datang dari punca yang halal tanpa syubhah.

2. Agar pemikiran tidak liar ketika solat lintaskan kematian seakan-akan amat hampir dengan kita serta solat tersebut merupakan sholat terakhir dan perlulah dijadikan yang terbaik.

3. Mendirikan sembahyang di awal waktu atau pertengahan waktu supaya tidak gopoh apabila masa hampir luput.

4. Membaca dengan baik (Khusnul Qori'ah), berusaha untuk memahami, mengerti bacaan dalam solat termasuk ayat Al-Quran yang dibacakan itu terutama sekali Al Fatihah, gerakan dan maknanya (Tafakhum). Ini kerana bacaan-bacaan dalam solat mengandungi banyak makna yang halus yang patut dimengertikan oleh orang yang melaksanakannya.

5. Rukun-rukun solat dilakukan secara tertib. Berusaha konsentrasi (Khudunul Kolbih), menyedari bahawa Allah memperhatikan sembahyang itu.

6. Rasa Malu (Haya') perasaan malu terhadap Allah s.w.t.,rasa takut (Khauf) kepada kekuasaan Allah.

7. Berharap serta yakin (Optimis) Allah menerima solat dan amal kita.

8. Hati diajak hadir/ikut,kehadiran hati dalam solat iaitu mengosongkan hati dari segala urusan yang boleh mengganggu dan yang tidak berkaitan dengan solat.

9. Membesarkan Allah dalam solat,merasakan kehebatan Allah dalam solat.

10. Menggunakan sejadah yang tidak terlalu banyak gambar yang akan menghayalkan pemikiran.

11. Mendirikan sembahyang secara berjemaah.

12. Mengambil wuduk dengan sempurna.

13. Mengurangkan pergerakan anggota-anggota seperti tangan,kaki dan juga mata ditumpukan kepada tempat sujud dan ketika tasyahud melihat anak jari.

14. Azan dan iqamat terlebih dahulu walaupun mendirikan sembahyang bersendirian ataupun sekurang-kurangnya iqamat sahaja.15. Ditegah bersembahyang dengan pakaian yang ada gambar,berwarna warni,bertulis,lukisan dan lain-lain kerana ia juga membuat orang lain hilang kekhusyukan ketika berjemaah. Walau apa pun syarat yang paling utama untuk mendapatkan khusyuk ialah kemantapan iman dalam diri pada Allah S.W.T. Oleh sebab itu berusahalah untuk lebih mengenali Allah S.W.T agar rasa gerun pada Allah itu mudah untuk dihadirkan dalam solat kita. Rasa khusyuk dalam solat juga berkait dengan rasa takutnya kita pada Allah ketika di luar solat. Kebiasaanya mereka yang ketika di luar solat tidak mempedulikan arahan dan larangan Allah dalam amalan-amalan yang dilakukan maka amatlah sukarlah bagi mereka untuk mendapatkan khusyuk di dalam solat dan begitulah sebaliknya.

Kesimpulannya orang-orang yang takut kepada penciptanya dan menyedari bahawa dirinya diciptakan untuk mengabdikan diri pada Allah serta mematuhi apa yang disampaikan oleh Allah dan Rasulnya sahajalah yang akan mendapatkan khusyuk di dalam solat seperti mana firman Allah S.W.T yang bermaksud:-

"Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu. Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat,kecuali bagi orang-orang yang khusyuk. (orang-orang yang meyakini bahawa mereka akan menemui Tuhannya dan mereka akan kembali kepadaNya)" (Surah Al-Baqarah:45-46)

Akal dan Nafsu

Yang pertama-tamanya marilah kita sama-sama bersyukur kepada Allah Ta'ala kerana kita semua dilahirkan dalam keadaan sudah dianugerahkan akal dan nafsu. Kedua-dua perkara tersebut amatlah penting bagi manusia. Kalau kurang satu je daripada kedua tu pun da susah dibuatnya kita. Cubalah bayangkan kita dilahirkan dalam keadaan tidak berakal, alamatnya jadi orang tiga suku la kita(orang gila la). Kalau tak ada nafsu pun sama la juga. Hidup pun cam zombi jek, apa yang dilihat semua tak membawa makna bagi diri kita.

Orang hulur kek ke, mee goreng ke, pizza ke, semua bagi dia cam tengok batang kayu je. Tak rasa apa-apa pun. Kalau ada nafsu tapi tak pandai kawal pun masalah juga. Semua yang dia rasa nak dia gomo je, yang penting kehendak nafsu dia tercapai. Tak fikir da halal haram makruh sunat ke apa semua, yang penting dapat. Ish2..ni la yang orang kata binatang bertopengkan manusia. Ye la, da kalau hidup ni nak puas nafsu je, kan sama je ngan binatang tu. Dorang kan hidup tak diamanahkan apa-apa,maka boleh la nak ikut suka je apa nak buat.

Dalam Qur'an kalimah akal diulang sebanyak 29 kali. Tapi bukanlah semua kalimah tersebut bunyinya akal juga, akal tu disebutkan dalam perkataan lain tapi para ulama' menafsirkannya sebagai akal.(paham x nih? x faham kontek penulis) Antara ayat Qur'an yang menyentuh tentang akal ialah firman Allah yang mana ertinya:-

"Padahal sesungguhnya telah ada satu puak dari mereka yang mendengar kalam Allah(taurat), kemudian mereka mengubah dan memutarkan maksudnya sesudah mereka memahaminya,sedangkan mereka mengetahui(bahawa perbuatan mereka itu salah)?" (Al-Baqarah:75)

Kalau kita bandingkan manusia dengan robot,atau manusia dengan binatang, sebenarnya tak adalah jauh berbeza sangat pun. Manusia ada kaki, robot pun ada kaki, binatang pun ada kaki. Manusia ada kepala, robot pun ada kepala juga, macam tu la juga binatang, lebih kurang je dorang semua tu(cam la penulis bukan manusia juga,hu2..)

Cuma yang membezakan antara mereka semua adalah akal yang dimiliki oleh manusia. Akal yang dimiliki oleh manusia tidak dimiliki oleh binatang, robot, kayu, batu dan sebagainya. Dek kerana akallah manusia dimuliakan,oleh kerana akal jugalah manusia diagungkan. Lihat, betapa besar pengaruh akal pada manusia. Tujuan utama akal dikurniakan pada manusia adalah untuk mengenal Allah S.W.T, mengenal rasul-rasulnya,mengenal kitab-kitabnya dan pelbagai lagi ilmu-ilmu islam yang perlu diketahui sebagai landasan pada manusia untuk terus kekal berada di jalan yang lurus yang akan membawanya pada kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat.

Kita semua dilahirkan bukanlah sekadar memenuhi muka bumi Allah Ta'ala,juga bukanlah sekadar untuk bersuka-ria memenuhi nafsu syahwat dengan membuta-tuli, tapi kita dilahirkan membawa satu amanah yang perlu kita laksanakan. Satu amanah yang mana satu ketika nanti kita semua akan disoal kembali tentang amanah-amanah tersebut. Firman Allah Ta'ala yang mana maksudnya:-

"Dan(ingatlah) aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku". (Az-Zariyat:56)

Nafsu juga merupakan satu anugerah yang amat bernilai bagi manusia. Dengan nafsulah manusia dapat memahami apa yang dikatakan nikmat,apa yang dikatakan lazat dan apa-apa lagilah yang menbawa kepada rasa 'best'. Dengan nafsu manusia dapat merasai lazatnya ayam bakar,dengan nafsu manusia dapat merasa manisnya teh tarik mamak, tapi dengan bantuan lidah la, kalau tak ada lidah tak dapat juga nak rasa apa-apa. Tapi kena ingat! Secara garis besarnya nafsu memang akan membawa kita pada kejahatan dan kemaksiatan. Firman Allah Ta'ala yang bermaksud:-

"Sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan". (Yusuf:53)

Adapun nafsu manusia itu mempunyai tiga tingkatan iaitu:-
1.Nafsu Ammarah iaitu nafsu yang membawa pada keburukan
2.Nafsu Lawwamah iaitu nafsu yang mencela
3.Nafsu Mutma'innah iaitu nafu yang tenang lagi tenteram


Perbezaan antara nafsu dan akal itu amatlah besar. Nafsu sentiasa menginginkan kenikmatan tanpa mengira batasan syara' manakala akal sentiasa membawa manusia pada perbuatan yang rasional, yang mengikut landasan syara'. Di situlah terletaknya fungsi akal. Sentiasa mengawasi nafsu agar sentiasa menuju ke arah kebaikan. Ibaratnya nafsu sebagai anak kecil yang buas dan akal sebagai ayah yang sentiasa menjaga anaknya dari apa-apa perkara yang membahayakan anaknya.

Sebagai kesimpulan, kita perlulah memastikan agar nafsu kita sentiasa menuruti akal. Kita perlu mendidik nafsu sehingga segala kehendak nafsu akan seiring dengan akal, seiring dengan landasan syara'. Moga-moga segala mujahadah yang kita lakukan mendapat ganjaran daripada Allah S.W.T.

Wallahu'alam..