Thursday, December 18, 2008

Top UP

“Maaf,baki anda tidak mencukupi untuk membuat panggilan”..

Kita sering saja mendengar perkataan ini daripada operator telefon apabila kita kehabisan kredit.Selalunya,apabila kita ingin membuat panggilan,lebih-lebih lagi kepada yang tersayang,apabila mendengar perkataan ini keluar dari telefon,kita akan berasa kecewa dan terus bergegas mencari bekal an ‘topup’.Kita akan memastikan bahawa kredit kita sentiasa penuh.Tetapi,pernah tidak kita aplikasikan ini kepada sesuatu yang lain?

Cuba kita bayangkan.Satu hari,satu suara berkata kepada kita..“Maaf, pahala anda tidak mencukupi untuk membolehkan anda masuk ke syurga”. Pernah tak kita berfikir seperti itu?Bayangkan di hari kebangkitan nanti,perkataan seperti itu diucapkan kepada kita. Bagaimana agaknya perasaan kita ketika itu? Apakah kita masih boleh men ‘top-up’ pahala kita di saat pahala amalan kita yang terlampau sedikit ini dihitung. Bayangkan rasa kecewa yang menyelebungi diri kita,melebihi segala kekecewaan kita gagal dalam peperiksaan di dunia,kecewa dalam interview,kecewa dalam kerja,dalam segalanya.

Kita selalu menangis apabila kita kita kehilangan sesuatu yang amat berharga kepada diri kita. Tetapi,pernah tidak sekali kita menangis mengenangkan dosa-dosa silam kita. Pernah tidak kita mendengar kisah-kisah para alim ulama’,tabi’ tabii’n dahulu,yang selalu menangis mengenangkan dosa mereka yang sedikit. Sedangkan kita? Dosa kita terlalu sedikitkah berbanding mereka yang menyebabkan terlalu sukar untuk kita menitiskan air mata. Tetapi,apabila kekasih kita meninggalkan kita,sampai bengkak mata kita menangis. Betapa lemahnya iman kita..

Ingatkah kita akan kisah Syadad bin Aus? Kenal siapa Syadad bin Aus? Kata Abu Darda’ ..“Setiap umat ada orang fakih,dan antara orang fakih umat ini ialah Syadad bin Aus”.Kembali kepada kisah Syadad bin Aus. Satu malam, Syadad bin Aus hendak tidur, tetapi dia tidak dapat tidur dan hatinya gelisah. Maka dia berkata “Ya Allah,nerakaMu menyebabkan aku berjaga malam,dan hilangkanlah daripadaku rasa mengantuk ini”. Lalu,beliau bangkit dan solat sehingga Subuh. Kisah bagaimana seorang Fakih yang takutkan neraka sehingga tidak dapat tidak tidur malam.. Adakah sekuat itu iman kita? Sahabat-sahabat kita di Palestin berjuang mengangkat senjata dan bermati-matian menentang golongan kuffar,dan kita? Hendak mengangkat mata dan selimut untuk pergi solat Subuh berjemaah pun kita tidak mampu,inikan pula hendak pergi berperang.

Mari kita sama-sama muhasabah diri kita..

Suka untuk saya bercerita kisah seorang sahabat Nabi bernama Amir bin Said. Pada zaman pemerintahan khalifah Saidina Umar al-Khattab. Ketika itu,beliau baru sahaja mendirikan rumah tangga. Saidina Umar hendak melantik seseorang untuk menjadi Gabenor di negara Kufah. Dengan berasaskan takwa, Saidina Umar menawarkan jawatan tersebut kepada Amir bin Said, tetapi beliau menolak kerana amanah tersebut terlalu berat bagi beliau. Saidina Umar berkata kembali “Kenapa kamu memilih aku menjadi khalifah sedangkan kamu tidak di belakang aku?”. Akhirnya, Amir bin Said menerima jawatan tersebut dan Saidina Umar memberikan kepada beliau sejumlah wang untuk beliau bertugas sebagai Gabenor di Kufah. Said bin Amir sebaliknya tidak menggunakan wang tersebut untuk dirinya, bahkan bersedekah kepada fakir miskin. Ketika menjadi gabenor di Kufah, pernah penduduk Kufah membuat aduan tentang kepimpinan beliau.

Penduduk Kufah mengadu tentang 3 perkara ; pertama(1), Said bin Umar tidak keluar dua kali dalam masa sebulan. Kedua(2), beliau lambat keluar untuk bertugas pada waktu pagi dan ketiga(3), beliau tidak keluar pada waktu malam. Dengan tawaddu’ Said bin Amir menjawab aduan-aduan tersebut. Beliau tidak keluar dua kali sebulan kerana beliau hanya mempunyai pakaian sehelai sepinggang. Dua hari itu digunakan untuk membasuh dan mengeringkan pakaian beliau. Beliau keluar lambat pada waktu pagi kerana beliau tidak mempunyai khadam atau hamba. Beliau dan isterinya melakukan sendiri semua kerja-kerja rumah.Beliau tidak keluar pada waktu malam kerana beliau memperuntukkan malam beliau hanya untuk beribadat kepada Allah.

Itulah satu contoh kepimpinan dan tauladan yang sepatutnya kita contohi. Walaupun bergelar gabenor,beliau tidak bermegah-megah dengan jawatan itu, bahkan semakin tawaddu’ dan rendah diri. Hendaklah kita memperuntukkan malam kita untuk beribadat kepada Rabb al-Jalil dan tidak mengisi sepenuhnya malam kita untuk melunaskan permintaan manusia kerana untuk memenuhi kehendak semua orang adalah sesuatu benda yang tak mungkin tercapai. Ubatilah hati kita selagi peluang bertaubat masih terbentang dan janganlah menunggu sehingga terbentangnya maksiat-maksiat kita di hari akhirat, baru kita hendak menyesal kerana seperti pepatah melayu “sesal dulu pendapatan,sesal kemudian tiada berguna” .

Berkata ulama’,terdapat 9 perkara yang boleh meng'islah(ubah)kan hati :

1.Membaca al-Quran dengan tadabbur dan memahami maknanya.
2.Mengosongkan perut dengan mengurangkan makan
3.Bangun malam dengan beribadat
4.Bermunajat pada waktu sahur
5.Berdamping dengan orang Soleh
6.Diam daripada perkara-perkara tidak bermanfaat
7.Uzlah daripada orang jahil
8.Jangan selalu bersama mereka(orang jahil)
9.Makan benda yang halal

Konklusinya, marilah kita sama-sama merenung dan menangisi dosa-dosa kita lakukan. Tidak rugi untuk menitiskan air mata kita kerana takutkan Allah kerana titis-titis air mata kita dan amalan-amalan baik kita umpama ‘top-up’ yang akan mengisi ‘kredit’ untuk kita pada hari perhitungan nanti, insyaALLAH..

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah,gementar hatinya..dan apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka..bertambah(kuat) imannya dan hanya kepada Tuhan mereka bertawakkal” (Al-Anfal,2)

Tuesday, December 16, 2008

Zikir 'senjata' Terbaik Hadapi Cabaran Ujian Alam

SETIAP manusia pasti tidak terlepas daripada segala macam ujian dan dugaan hidup. Selagi bergelar insan yang berada di atas muka bumi ini, cabaran itu sebenarnya adalah untuk menguji sejauh mana tahap kesabaran serta keimanan seseorang hamba.

Pelbagai musibah seperti banjir dan tanah runtuh yang dihadapi kita hari ini adalah ujian Allah SWT untuk kita bertanyakan kepada diri sendiri apakah kita daripada kalangan manusia yang sabar atau sebaliknya.

Manusia adalah makhluk paling sempurna ciptaan Allah SWT. Melalui kombinasi roh, jasad, akal dan fikiran menjadikan manusia khalifah yang mentadbir alam ini mengikut peraturan Penciptanya. Kesempurnaan ciptaan menyebabkan manusia lebih hebat berbanding makhluk-Nya yang lain.

Ini diakui melalui firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak Adam, dan Kami telah beri mereka menggunakan pelbagai kenderaan di darat dan laut, dan Kami telah memberikan rezeki kepada mereka daripada benda yang baik-baik serta Kami lebihkan mereka dengan selebih-lebihnya atas banyak makhluk yang Kami ciptakan.” (Surah al-Isra’, ayat 70)

Keupayaan manusia sebagai khalifah memerlukan kepada beberapa kekuatan dan tumpuan kali ini akan memfokuskan kepada kekuatan emosi dan jiwa sebagai salah satu faktor penting kejayaan manusia meneruskan tanggungjawabnya untuk memakmurkan alam ini.

Sesungguhnya kekuatan dalaman juga penting sebagai benteng pertahanan kukuh dalam menghadapi apa juga rintangan hidup. Allah SWT memberi jaminan beruntungnya manusia yang menjaga dan menyucikan hati serta kerugian mereka yang mengotorinya.

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya (yang sedia bersih) bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan). Dan sesungguhnya hampalah orang yang menjadikan dirinya (yang sedia bersih) itu susut dan terbenam kebersihannya (dengan sebab kekotoran maksiat).” (Surah al-Syams, ayat 9-10)

Kemewahan juga adalah ujian begitu juga kesusahan dan kesedihan. Justeru, Islam mengatur kehidupan manusia bagaimanakah kaedah yang sepatutnya diamalkan dalam menghadapi ujian hidup.

Zikrullah atau berzikir mengingati Allah SWT salah satu alternatif ke arah pembersihan dan ketenangan jiwa daripada segala macam kekalutan dan sifat mazmumah. Zikrullah yang dimaksudkan ialah mengagungkan Allah SWT, menyebut kalimah Allah SWT, mengucap tasbih, tahmid dan takbir serta melakukan pujian kepada-Nya.

Termasuk dalam istilah zikrullah ialah mengerjakan solat, menghadiri majlis ilmu dan membaca al-Quran. Ini bererti seseorang hamba Allah SWT perlu dan mesti melakukan perkara itu bagi memenuhi ciri zikrullah sebenar.

Zikrullah adalah penawar hati paling mujarab dalam memberi ketenangan jiwa bagi mengubat keresahan diri. Ini terbukti melalui firman Allah SWT yang bermaksud:

“Orang yang beriman itu tenang dan tenteram hati dengan zikrullah. Ketahuilah bahawa dengan zikrullah itu akan tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra’d, ayat 28).

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Zikrullah itu adalah penawar bagi hati.”

Sesungguhnya zikir itu boleh dilakukan melalui beberapa keadaan sama ada zikir secara bersendirian mahupun berjemaah atau berkumpulan, melalui lisan mahupun dengan hati. Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Azkar ada menyatakan mengenai mengingati Allah SWT dengan lisan atau hati bahawa ia adalah zikir yang paling afdal.

Zikir dengan lisan adalah dengan menyebut nama Allah SWT berulang kali, menyebut sifat-Nya atau melafazkan puji-pujian kepada-Nya. Zikir dengan hati pula ialah menghadirkan kebesaran, keagungan, kehebatan, kemuliaan dan kesempurnaan Allah SWT dalam diri dan jiwanya sehingga hati itu menjadi sentiasa sibuk dengan mengingati Allah SWT.

Seseorang yang lidahnya sentiasa basah dengan mengingati Allah SWT akan mendapat beberapa manfaat antaranya ;

-Membersihkan hati daripada sifat mazmumah.
-Melembutkan hati sehingga dapat melihat kebenaran yang datang daripada Allah SWT.
-Berasa betapa dekatnya diri dengan Allah SWT sehingga apabila berhadapan dengan pelbagai musibah, pergantungannya hanya kepada Allah SWT.
-Meningkatkan mutu amalan kepada Allah SWT.
-Memelihara diri daripada gangguan syaitan yang sentiasa mahu menyesatkan manusia daripada mengingati Allah SWT.
-Menjadi penawar kepada hati yang sering gundah gulana, keluh kesah dan tidak tenteram.

Menghadiri majlis ilmu sama ada berbentuk kuliah, ceramah, seminar atau bengkel turut termasuk dalam kategori zikrullah malah disifatkan oleh Rasulullah SAW sebagai satu daripada taman syurga.

Baginda SAW bersabda seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Umar yang bermaksud: “Apabila kamu melalui taman syurga, maka hendaklah kamu singgah dan ambil perhatian. Sahabat bertanya, apakah dia taman syurga itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab ia adalah halaqah (majlis) zikir. Sesungguhnya Allah menghantar utusannya yang terdiri daripada malaikat mencari majlis zikir dan apabila malaikat melihat dan berjumpa dengannya, mereka saling menyebut perkara itu sesama mereka.”

Rasulullah SAW ada menyebut bahawa malaikat akan turut serta duduk di dalam majlis zikir yang diadakan sehingga mereka merendahkan sayap menaungi mereka yang menghadirinya.
Allah pula akan menurunkan rahmat dan ketenangan kepada ahli majlis zikir dan apabila mereka selesai, hati mereka dipenuhi cahaya lantaran menerima percikan pancaran nur Ilahi.

Solat adalah zikrullah seperti dijelaskan Allah SWT dalam firman yang bermaksud:

“Dirikanlah solat untuk mengingatiKu.” (Surah Toha, ayat 14)

Solat adalah zikir paling afdal mesti menghiasi individu yang mengaku kasih dan cintakan Allah SWT. Sesungguhnya seseorang yang istiqamah dalam mengerjakan solat, dialah yang hampir dengan Allah SWT. Sesiapa yang lalai daripada mengingati Allah SWT melalui solat, sesungguhnya hati dan jiwanya kosong.

Membaca al-Quran juga zikir yang paling mulia kerana ia adalah kalam Allah SWT atau kata-kata Allah SWT. Maka apabila seseorang membaca al-Quran, dia sebenarnya menuturkan kata-kata Allah SWT dan itu adalah gambaran betapa hampir dirinya dengan Allah SWT.

Seseorang individu Muslim hendaklah membaca al-Quran setiap hari supaya hatinya tidak kosong tanpa roh. Apabila membacanya, maka dalam masa sama, pembacanya akan mengingati Allah SWT.

Apabila seseorang berhadapan dengan kesulitan, zikrullah alternatif dalam menyelesaikan segala masalah. Inilah sebenarnya kekuatan dalaman atau faktor utama keteguhan emosi dalam mengharungi segala macam pancaroba hidup.

Semoga hati akan menjadi tenang dan segala urusan kehidupan dapat dilaksanakan dengan sempurna. Tindakan menyalahkan takdir atau meletakkan kesalahan kepada orang lain perlulah dielakkan kerana ini bukan sifat orang yang beriman dan tawaduk.

- Penulis ialah Penolong Pengarah Pusat Pemantapan Akidah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Jelebu, Negeri Sembilan.

Thursday, December 4, 2008

Taubat, muhasabah diri ubati penyakit rohani

Jiwa dijaga sihat seperti tubuh dapat dilihat menerusi tingkah laku mulia seseorang

MANUSIA mempunyai dua badan iaitu jasmani (tubuh kasar) dan rohani (tubuh halus). Kedua-dua unsur ini saling melengkapi dan mempengaruhi antara satu sama lain. Demi mendapat kebahagiaan hakiki, rohani dan jasmani perlu diletakkan di landasan diredai Allah .

Rohani atau disebut juga batin, jiwa atau kalbu, sangat berkait rapat dengan tindak-tanduk manusia. Jika rohani tidak sihat atau sakit, sudah tentu tindak-tanduk manusia akan menyeleweng daripada landasan syariat.

Oleh itu, menjadi kewajipan dan tanggungjawab setiap manusia menjaga dan memelihara jiwa supaya tidak dilanda pelbagai penyakit.

Dr Hamzah Ya’qub dalam buku “Tingkat Ketenangan dan Kebahagiaan Mukmin” mengutarakan pengenalan mengenai penyakit rohani iaitu:

- Sifat buruk dan merosak dalam batin manusia yang mengganggu kebahagiaan.
- Sikap mental yang buruk, merosak dan merintangi peribadi memperoleh keredaan Allah .
- Sifat dan sikap dalam hati yang tidak diredhai Allah , sifat dan sikap mental yang cenderung mendorong peribadi melakukan perbuatan buruk dan merosak.

Gambaran di atas menunjukkan mereka yang mengalami penyakit rohani, tingkah laku atau akhlaknya dipengaruhi gejala tidak sihat dan menyalahi peraturan digariskan Islam seperti dengki, pemarah, riak, takbur, terlalu cinta hal keduniaan dan suka berprasangka buruk.

Penyakit rohani yang dikira paling bahaya ialah munafik yang menyembunyikan kekufuran dalam hatinya dan menyatakan iman dengan lidahnya seperti firman Allah yang bermaksud:

“Dan sebahagian daripada manusia ada yang berkata: Kami telah beriman kepada Allah dan kepada hari kemudian, padahal mereka sebenarnya bukan orang beriman. Mereka hendak menipu Tuhan dan orang beriman, dan tiadalah mereka tipu melainkan diri mereka sendiri, akan tetapi mereka tiada sedar. Di hati mereka ada penyakit, dan adalah bagi mereka seksaan yang pedih, kerana mereka telah berdusta.” (Surah al-Baqarah, ayat 9-10)

Sukar mengenal orang munafik kerana mereka sangat bijak dan licik dalam menyembunyikan sifat itu. Namun, Rasulullah SAW pernah memberi tanda orang munafik melalui sabda Baginda bermaksud:

“Sesiapa yang ada padanya empat sifat dia benar-benar munafik, sesiapa yang ada satu daripadanya bererti dia ada satu sifat munafik. Sehingga dia meninggalkannya iaitu apabila bercakap dia dusta, apabila dipercayai dia khianat, apabila berjanji dia menyalahi dan apabila bertengkar dia melampaui batas.” (Hadis riwayat Bukhari)

Kebanyakan manusia apabila jasmaninya terkena penyakit ia bergegas berjumpa doktor atau mencari ubat supaya penyakitnya cepat sembuh dan tidak menderita lebih lama. Namun mereka tidak begitu jika rohaninya yang sakit.

Seharusnya perasaan takut juga dirasai apabila rohani dijangkiti penyakit. Kita perlu segera berusaha menyembuhkannya sebelum penyakit itu merebak lebih teruk. Demikian orang beriman akan bertindak segera apabila rohaninya dijangkiti penyakit.

Usaha penyembuhan paling baik ialah bermuhasabah diri. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Orang yang cerdik ialah yang memeriksa dirinya, bersedia untuk beramal sebagai bekal untuk mati dan orang yang lemah ialah yang selalu menurutkan keinginannya dan mengharapkan pelbagai angan kepada Allah .” (Hadis riwayat Tirmizi)

Apabila selalu mengikut telunjuk nafsu, keinginan hati dan melupakan segala suruhan Allah , tentu seseorang mengalami kerugian besar sama ada di dunia atau akhirat seperti firman Allah yang bermaksud:

“Demi masa. Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan beramal soleh dan saling berpesan supaya mentaati kebenaran dan saling nasihat-menasihati supaya menjalankan kesabaran.” (Surah al-Asr, ayat 1-3)

Penyakit rohani juga boleh diubati melalui taubat dan beristighfar. Bertaubat bermakna sedar dan serta-merta berhenti daripada memiliki sifat mazmumah itu, membencinya dengan sepenuh hati dan tidak mungkin akan mengulanginya.

Firman Allah yang bermaksud:

“Dan orang yang apabila telah berbuat kejahatan atau menganiaya diri mereka sendiri, maka mereka ingat kepada Allah dan mereka memohon ampun atas dosanya.” (Surah Al-Imran, ayat 135)

Selalu berdoa memohon perlindungan Allah apabila diganggu syaitan, boleh mengelak daripada terkena cengkaman penyakit rohani sebagai suruhan Allah dalam firman yang bermaksud:

“Dan jika engkau diganggu oleh satu gangguan dari syaitan, maka mohon perlindungan kepada Allah kerana sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar dan Maha Tahu.” (Surah al-Fussilat, ayat 36)

Sebagai mukmin yang selalu ingat kepada-Nya, hendaklah kita menjauhi kemungkaran hati yang bukan saja menyebabkan jiwa dibalut kegelisahan, malah boleh mencetuskan pergaduhan dan memecah belah masyarakat harmoni.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Orang munafik lelaki dan perempuan, sebahagian dengan sebahagian yang lain adalah sama, mereka menyuruh membuat mungkar dan melarang berbuat makruf dan mereka menggenggam tangannya. Mereka lupa kepada Allah , maka Allah melupakan mereka. Sesungguhnya orang munafik itulah orang yang fasik.” (Surah at-Taubah, ayat 67)

Oleh itu, dalam mencari kebahagiaan sebenar dan keredaan Allah , seorang Muslim perlu sentiasa menyuburkan jiwanya dengan sifat mahmudah yang dimiliki junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta sahabat.

Apabila rohani bersih murni, terpancar pada dirinya sahsiah dan akhlak terpuji yang disukai Allah malah, sepanjang hidupnya dipenuhi dengan melakukan amalan soleh dan sentiasa menjaga tingkah laku supaya mendapat keredaan Allah selain disenangi masyarakat sekeliling.

Didik anak dengan ilmu, bukan ancaman

KANAK-KANAK boleh mengalami tekanan perasaan jika orang tua bersikap terlalu meletakkan harapan yang tinggi kepada anak melebihi kemampuan mereka. Harapan setiap ibu bapa adalah supaya anak menjadi genius, tinggi kemahiran dalam menyerap ilmu, sempurna akhlak dan kuat ibadat. Walaupun didikan yang diterapkan itu keras dan kejam, mereka tidak peduli, asalkan minda anak tumbuh dan berkembang dengan hebat hingga boleh dibanggakan di hadapan sanak saudara dan kawan-kawan. Bukankah membanggakan keturunan itu juga termasuk dalam kategori riak dan sum’ah? Lagi pula cara dan kaedah yang dilakukan dalam mentarbiah itu bertentangan dengan al-Quran dan sunnah Rasul-Nya.

Jadi, bagaimanakah kaedah yang sesuai untuk membentuk keperibadian anak mengikut acuan Islam?

Seimbang antara memberi khabar gembira dan ancaman.

Pendekatan yang paling sesuai untuk mengajarkan Islam kepada anak adalah dengan kaedah targhib wa tarhib (memberi khabar gembira dan ancaman). Di samping memberi khabar gembira mengenai syurga, harapan mendapat ganjaran pahala dan penjelasan secara mendalam mengenai rahmah dan sifat lemah lembut Allah . Seorang anak juga harus didedahkan khabar yang menakutkan dan ancaman kerasnya seksa Allah bagi menumbuhkan jati diri yang berdisiplin seiring dengan meningkatnya kematangan usia mereka.

Seorang anak yang tidak diperkenalkan dengan sifat Allah Yang Maha Tinggi dan rahmat-Nya tetapi terus diancam dengan seksaan kubur, azab neraka dan ajaran yang berunsur menakutkan, tidak akan berjaya membentuk bingkai pemikiran benar mengenai Islam? Belum mengenal kasih sayang Allah tetapi dipaksa mempercayai bahawa Allah suka menyeksa. Belum mengenal Allah Yang Maha Pengampun tetapi dipaksa meyakini siapa yang berdosa pasti masuk neraka.

Akhirnya anak akan memahami Islam sebagai agama susah, kejam, paksaan dan mengongkong, padahal sistem tarbiah yang diterapkan Rasulullah SAW kepada anak sahabat amat menekankan mengenai sentuhan hati, pujukan dan kelembutan, sesuai dengan fitrah semula jadi kanak-kanak.

Alangkah eloknya kita menelusuri kehidupan anak generasi salaf yang menjadi ikutan dan teladan umat sepanjang zaman. Keagungan sejarah generasi pertama yang dididik oleh baginda ini hendaklah menjadi kamus hidup yang dihafal oleh ibu bapa zaman moden kini, supaya tidaklah dunia yang menyilaukan mata ini juga akan membutakan hati. Akhirnya meranapkan impian membina empayar Islam yang gemilang. Sudahkah anda membaca kisah anak-anak kecil pada zaman turunnya wahyu?

Bolehkah kita bandingkan keelokan budi pekerti mereka dengan anak kita? Bagaimana pula dengan keluasan ilmu dan kekuatan ibadah mereka? Apakah itu semua tidak menggetarkan hati seorang ibu dan bapa seperti kita? Bagaimana mungkin anak Umar al-Khattab, anak Abu Bakar al-Shiddiq, anak al-Zubair al-Awwam hendak disamakan dengan anak kita? Betapa terhirisnya hati apabila memikirkan hakikat kelalaian kita sebagai ibu bapa yang beriman. Inikan hendak mendidik anak, sedangkan diri sendiri masih memerlukan perubahan.

Akhirnya, kita yang kurang iman, ilmu dan amal ini menjadi tidak sabar menghadapi kerenah anak sehingga menimbulkan kesilapan di dalam memahami kaedah tarbiah mengikut al-Quran dan sunnah. Ibu bapa yang mendidik anak dengan cara mengancam, menakutkan, mencederakan emosi anak dengan menengking dan menjerit, memaksakan kehendak tanpa memberi pemahaman ketika menyuruh, bukanlah ibu bapa yang mengamalkan Islam sebagai asas tarbiah.

Tak hairan anak hanya sembahyang jika disuruh dan melalaikannya jika ibu bapa tidak berada di depan mata. Lihatlah bagaimana Rasulullah SAW mendidik Abdullah Umar yang masih kecil bagi melakukan sembahyang malam.

Abdullah Umar berkata:

“Ada seorang lelaki apabila bermimpi nescaya dia menceritakan mimpinya kepada Rasulullah SAW, maka aku pun berharap melihat suatu mimpi dan menceritakannya kepada Rasulullah SAW. Aku adalah seorang kanak-kanak yang masih kecil, aku pernah tidur di masjid kemudian dalam tidurku aku melihat dua malaikat memegang dan membawaku menuju api, tempat itu melingkari seperti sumur yang mempunyai dua tanduk. Di dalamnya terdapat orang yang aku kenal sehingga aku berkata: Aku berlindung kepada Allah daripada api neraka. Lalu datang kepadaku malaikat yang lain seraya berkata: Janganlah kamu takut. Kemudian aku menceritakan mimpi ini kepada saudaranya Hafsah, isteri Rasulullah SAW dan dia menceritakannya kepada Rasulullah SAW sehingga Baginda SAW bersabda: Sebaik-baik lelaki adalah Abdullah, jika dia mengerjakan solat malam.” Maka sejak saat itu dia tidak tidur malam kecuali sedikit. - (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah SAW adalah seorang pendidik jiwa terulung. Baginda tidak pernah memaksakan suatu perintah agama tanpa bimbingan, pujukan dan janji serta khabar gembira mengenai ganjaran yang baik. Walaupun Ibnu Umar bermimpi melihat neraka tetapi dia tidak pernah diancam jika tinggal sembahyang malam boleh menyebabkan manusia lalai dan akhirnya masuk neraka. Bahkan Rasulullah SAW memuji dan memberi dorongan bahawa dia akan menjadi pemuda terbaik jika mengamalkan qiamullail.

Rasulullah SAW tidak sama sekali menyebut mengenai neraka dalam sabda baginda itu. Yang ada hanya pujian kepada seorang remaja yang sememangnya hanya bersedia untuk dipuji dan dipujuk, bukan ditakuti dan diancam.

Mendidik dengan mendedahkan ilmu bukan sekadar mengancam.

Ibnu Abbas menjadi teladan yang baik sebagai seorang anak yang gemar mengikuti cara ibadat Rasulullah SAW sehingga beliau sengaja tidur di rumah ibu saudaranya, Maimunah, isteri Rasulullah SAW, supaya dapat bersama Rasulullah SAW melakukan qiamullail. Beliau berkata:

“Nabi mengusap kepalaku dan mendoakanku agar diberi ilmu takwil (kefahaman dalam mentafsir al-Quran)”. - (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ibnu Abbas berusia 13 tahun ketika Rasulullah SAW wafat. Maknanya beliau belajar daripada lisan Nabi SAW. Menghafal al-Quran dan hadis di bawah usia itu. Hafalan itu bukan bermatlamat untuk sekadar menghafal dan terkenal bijak tetapi terbukti hafalan itu boleh membentuk iman yang berakar kuat, kecintaan kepada Allah dan Rasul-Nya yang tidak berbelah bagi dan kerinduan berdekatan dengan ilmu. Alangkah jauh berbeza dengan anak kita yang belajar al-Quran untuk khatam saja bukan difahamkan hingga menjunam ke hati. Ramai juga yang menghafal saja tanpa memahami maksud apatah lagi hendak mengamalkannya.

Walaupun kita belum mampu mengajar dengan sempurna seperti Nabi SAW mengajar Ibnu Abbas, tetapi sekurang-kurangnya jelaskan maksud ayat Al-Quran itu dengan bahasa yang boleh difahami seorang anak kecil supaya dia mudah mengenal Allah dan Rasul serta bangga menjadi seorang Muslim. Tentu dengan pendedahan ilmu yang sederhana sesuai dengan kapasitinya sebagai hamba Allah yang kecil. Maka dia akan berasa seronok dan gembira mengamalkan Islam tanpa rasa tertekan dan terpaksa.

Menghormati anak dan mengiktiraf kredibilitinya.

Khalifah Umar Abdul Aziz pernah didatangi utusan dari kalangan ulama di seluruh negeri yang diperintahnya. Pada suatu hari orang Hijaz datang menghadap Khalifah, maka berdirilah seorang anak muda dari kalangan mereka. Khalifah berkata: “Hendaklah yang bercakap adalah orang yang lebih tua darimu.” Anak muda itu menjawab: Semoga Allah memberi kebaikan kepada Amirul Mukminin, sesungguhnya seseorang itu dinilai dengan dua perkara yang kecil iaitu hati dan lisannya. Apabila Allah menganugerahkan seseorang dengan lisan yang fasih dan hati yang bersih, maka dia berhak untuk berbicara sehingga orang yang mendengar mengetahui keutamaannya.

Wahai Amirul Mukminin, kalaulah setiap urusan itu dinilai berdasarkan usia, nescaya pada umat ini ada orang yang lebih berhak duduk di kerusimu ini.” Khalifah berkata: “Engkau benar, berilah aku nasihat!” Anak muda itu berkata: “Semoga Allah menganugerahkan kebaikan kepada Amirul Mukminin, sesungguhnya seseorang di antara manusia terpedaya dengan kemurahan Allah yang diberikan kepadanya sehingga membuat kakinya tergelincir dan terjatuh ke dalam neraka, maka janganlah engkau terpedaya dengan kemurahan Allah yang diberikan kepadamu dan jangan pula terpedaya dengan panjangnya angan-anganmu serta banyaknya pujian manusia kepadamu sehingga kakimu tergelincir bersama dengan suatu kaum. Mudah-mudahan Allah mengumpulkan engkau dengan orang beriman dari umat ini.”

Khalifah bertanya kepada orang-orang yang datang: “Berapakah umur anak ini? Seseorang mengatakan: Dia masih berumur sebelas tahun. Dia salah seorang anak al-Husain Radhiyallahu Anhum, kemudian Umar Abdul Aziz memuji dan mendoakannya”. - (Ibnu Abdul Bar; al-Tamhid 23/204, al-Sindi; Al-Hasyiyah 8/10 dan Syarah Al-Zarqani 4/257).

Lihatlah, seorang ketua negara mendengar nasihat anak kecil berumur sebelas tahun. Mengapa pula kita tidak mahu mendengar isi hati anak kita? Pendapat dan idea yang boleh dibincangkan bersama sebagai satu didikan kepada anak supaya mereka berasa dihargai, dihormati dan diperakui sebagai insan yang mempunyai hak untuk diperdengarkan pendapatnya, difahami isi hatinya dan diajak bermusyawarah dalam memilih keputusan. Alangkah ramai ibu bapa yang suka memaksa kehendak mereka yang akhirnya merosakkan masa depan anak.

Melahirkan anak yang baik dan sempurna dalam setiap sisi keperibadiannya amatlah rumit dan mencabar, apatah lagi jika kita tidak cukup bersedia disebabkan kurangnya iman, ilmu dan ibadah. Anak bagai kertas putih. Kitalah yang bertanggungjawab mewarnakan mereka sama ada menjadi Yahudi, Majusi, Nasrani atau Muslim hakiki.

Tuesday, December 2, 2008

Ingatlah Kepada Nya...

Apabila semuanya serba tidak kena, dan kita tidak tahu apa lagi yg hendak dibuat,
ingatlah.. kita masih boleh bersandar kpd Dia Yang Maha Mengasihi

Apabila hidup dselubungi kegelapan,semuanya silap ,
carilah sinar itu dari Dia Yang Memberi Cahaya

Apabila dibelenggu masalah sedangkan tiada sesiapa pun yang mahu mengambil kisah,
ingatlah pada Dia yg tidak pernah melukakan hatimu. Dia Yang Maha Adil

Apabila hati terluka dan kesakitan itu menumbangkan kudratmu,
jangan berputus asa kerana Dia melihat segala-galanya..

Apabila lemah tidak bermaya sedangkan perjalanan masih jauh perlu diharungi,
carilah kekuatan itu dari Yang Maha Perkasa

Apabila hidup ini dirasakan seperti beban, segala-galanya goyah,
bangunkan semula kota semangat itu dengan keyakinan bahawa itu adalah iradat-Nya..

Apabila jalan di depan digelapi kelam mendung sedangkan tiada siapa di sisi sudi menemanimu,
carilah jalan lurus itu dari Dia,yang menjadi satu-satunya panduan hidup

Apabila semua orang di sekeliling tidak mahu mendengar suara dan keluhanmu,
jangan kecewa kerana Dia Maha Mendengar

Apabila miskin dan papa,kita terperangkap dalam kesempitan,
ingatlah kepada Dia Yang Maha Kaya..

Apabila kita dalam kedukaan sedangkan tiada tempat untuk melarikan diri,
mengadulah kepada Dia Yang Maha Esa

Apabila keseorangan dan kedukaan itu seperti tiada penghujungnya,
serahkan dirimu kepada Dia..satu-satunya tempat yang boleh digantungkan harapan nyata.

Apabila parut lukamu dicederakan lagi,hatimu dicakari kebimbangan,
ingatlah bahawa Dia sentiasa bersama orang-orang yang sabar!

Friday, November 28, 2008

Cawan vs Air

SEKUMPULAN bekas pelajar sebuah universiti berkumpul menziarahi bekas pensyarah mereka. Pensyarah itu amat gembira menerima kedatangan bekas pelajar yang berjaya dalam jurusan dan kehidupan masing-masing. Mereka bertanya khabar dengan penuh mesra dan terus terang. Perbincangan berlanjutan sehingga menyangkut kepada permasalahan berbentuk peribadi. Ada yang mengeluh, mengadu dan meluahkan perasaan yang tertekan dengan pelbagai permasalahan, tekanan hidup berkeluarga, dengan rakan di tempat kerja serta masyarakat sekeliling.

Pensyarah itu hanya tersenyum dan terus menuju ke dapur untuk mengambil cawan pelbagai bentuk dan warna. Ada yang dibuat daripada tembikar, kaca dan plastik. Ada yang cantik, penuh hiasan, kelihatan mahal dan ada yang biasa saja dan murah. Pensyarah itu menjemput semua bekas anak murid itu minum menggunakan cawan pilihan mereka.

Apabila semua bekas pelajar itu mengambil cawan yang terisi air, dia pun berkata: ”Jika kamu perhatikan, semua cawan yang cantik dan mahal itu diambil, yang tinggal hanya cawan yang biasa-biasa dan murah! “Begitulah lumrahnya kita hanya akan memilih yang terbaik (menurut pandangan luaran), sebenarnya itulah punca masalah dan tekanan hidup yang kita semua hadapi!”

Apa yang kita perlukan sebenarnya adalah air, bukan cawan itu, tetapi kita secara tidak sedar memilih cawan yang cantik saja! Demikianlah kehidupan ini – ibarat air. Kerjaya, wang ringgit dan kedudukan dalam masyarakat semuanya umpama cawan yang beraneka warna itu. Semua itu adalah alat atau pemudah cara untuk meneruskan hidup tetapi kualiti hidup tidak berubah.

Jika kita hanya menumpukan perhatian kepada cawan, kita tidak ada masa untuk menghargai, merasakan dan menikmati air itu!

Apa yang pensyarah itu katakan bertepatan dengan apa yang al- Quran bentangkan mengenai jiwa manusia yang selalu berkeluh kesah dan tidak pernah rasa cukup. Pelbagai permasalahan kita berpunca daripada empat perkara:

# Kita hanya memandang dan menginginkan apa yang ada pada tangan orang lain. Kita tidak nampak atau lupakan nikmat di dalam genggaman kita. Walhal, Allah telah berikan kepada kita. Oleh itu kita tidak rasakan ‘keseronokan’ atau terasa nikmat dengan pemberian itu.

# Kita terlalu banyak ‘komplen’ dan komen (mengadu) dan mengeluh serta menyalahkan keadaan sehingga kepada permasalahan sekecil-kecilnya dalam kehidupan dunia ini. Tetapi, kita sering lupa kesusahan dan penderitaan sebenar yang bakal kita hadapi di akhirat kelak.

# Kita terlalu mengejar kemewahan, kemegahan dan glamor kehidupan sehingga melupakan tujuan hidup kita sebenarnya. Inilah sebenar ujian hidup yang kadang kala kita rasakan amat memeritkan untuk dihindari, pada hal kita tahu ganjarannya adalah syurga daripada Allah.

# Kita selalu menganggap kehidupan di dunia ini untuk hidup selama-lamanya. Oleh itu, kita menghabiskan seluruh sumber dalam diri semata-mata untuk membina pengaruh, mengumpul harta dan kemasyhuran diri seolah-olah ‘kematian’ itu untuk orang lain, bukan untuk kita. Kita lupa semua kejadian akan mati dan walhal akhirat adalah kehidupan abadi.

Oleh itu, dari sekarang kita hentikan perangai suka komplen, komen dan berkeluh kesah. Kita hargailah kehidupan ini. Kita jalani kehidupan sebagai khalifah Allah, melakukan yang makruf, melarang perkara yang mungkar. Kita syukuri nikmat yang ada dan panjangkan nikmat ini kepada orang lain dengan memberikan khidmat menolong dan memudahkan kehidupan orang lain.

Pernah suatu ketika Saidina Ali ditanya oleh seorang lelaki:

"Jika diberikan pilihan, mana satukah yang kamu pilih?, kehidupan di dunia atau mati? Jawapan Saidina Ali memeranjatkan lelaki itu: “Saya akan pilih kehidupan di dunia, melalui perjuangan dalam kehidupan ini, saya mendapat bekalan untuk mencapai keredaan Allah di akhirat kelak.”

Moga seluruh perjalanan hidup kita diredhai dan dirahmati oleh Allah. Apa guna hidup seorang hamba tanpa keredhaan penciptaNYA.

Jadilah Seperti Danau

“Cuba ambil segenggam garam, dan masukkan ke dalam segelas air itu.

“Masin, dan perutku jadi mual,” jawab si murid dengan wajah yang masih mengernyih.

Sang guru ketawa kecil melihat wajah muridnya yang menyeringai kemasinan.

“Sekarang kau ikut aku.” Sang guru membawa muridnya ke danau berhampiran tempat mereka.

“Ambil garam yang tersisa dan taburkan ke danau. Sekarang, cuba kau minum air danau itu,” kata sang guru.

Si murid mengambil air danau menggunakan tangannya. “Ahh, segar sekali,” kata si murid sambil mengelap bibirnya dengan telapak tangan. Tentu saja, danau ini berasal dari aliran sumber air diatas sana. Dan airnya mengalir menjadi sungai kecil di bawah. Dan sudah pasti, air danau ini juga menghilangkan rasa masin di mulutnya.

”Terasakah masin garam yang kau taburkan tadi?” soal guru.

”Tidak sama sekali,” kata si murid sambil mengambil air dan meminumnya lagi.

Sang guru hanya membiarkan muridnya itu meminum air danau sampai puas.

“Nak, segala masalah dalam hidup itu seperti segenggam garam. Tidak kurang, tidak lebih.”

“Hanya segenggam garam. Banyaknya masalah dan penderitaan yang harus kau alami sepanjang kehidupanmu itu sudah diqadar oleh Allah, sesuai utk dirimu. Jumlahnya tetap, begitu-begitu saja, tidak berkurang dan tidak bertambah. Setiap manusia yang lahir ke dunia ini pun demikian.

“Tidak ada satu pun manusia yang bebas dari penderitaan dan masalah.”Si murid terdiam, mendengarkan.

“Tapi nak, rasa ‘masin’ dari penderitaan yg dialami itu sangat tergantung dari besarnya hati yang menampungnya. Jadi nak, supaya tidak berasa menderita, berhentilah jadi gelas. Jadikan hati dalam dadamu itu sebesar danau.”

Coretan penghantar: sama-sama mengambil ibrah dari kisah tersebut.renung kedalam hati, muhasabah diri, jaga hati, iman dan amal.