"Buah Akal ialah Ilmu Pengetahuan, Buah Jiwa adalah Iman dan Buah Fizikal ialah Kemajuan"
Friday, November 14, 2008
Tabah Terhadap Kesusahan Untuk Agama
Malah kita tidak ingin pun bersusah-payah untuk mengambil tahu tentang kisah-kisah tersebut. Dalam bab ini dinukilkan beberapa kisah sebagai contoh. Saya memulakan dengan kisah Nabi Muhammad s.a.w kerana menyebut Baginda ialah asbab keberkatan. Perjalanan Nabi s.a.w ke Taif Setelah mendapat tugas kenabian, Nabi s.a.w menjalankan usaha dakwah di Mekah selama sembilan tahun dan terus berusaha demi petunjuk dan islah kaum Baginda s.a.w.
Dikalangan orang yang menolong Baginda s.a.w, terdapat hanya segolongan kecil daripada mereka yang telah menerima Islam serta segelintir orang yang masih belum memeluk Islam. Kebanyakan orang kafir Mekah berusaha sedaya upaya untuk menyusahkan dan mempersendakan Baginda s.a.w serta para Sahabat r.a dengan berbagai-bagai cara tanpa melepaskan sebarang peluang yang ada. Bapa saudara Baginda s.a.w, Abu Talib juga ialah antara mereka yang baik hati.
Walaupun tidak memeluk Islam, dia tetap membantu Baginda s.a.w dalam semua segi. Selepas sepuluh tahun baginda s.a.w menjadi nabi, apabila Abu Talib meniggal dunia, orang kafir pun mendapat lebih banyak peluang untuk menghalang penyebaran Islam dan meyeksa orang Islam dengan berbagai-bagai cara secara terbuka. Nabi s.a.w telah pergi ke Taif dengan anggapan bahawa di sana ada kabilah Thaqif yang ramai bilangannya. Sekiranya kabilah tersebut memeluk Islam maka kaum muslimin di Mekah akan mendapat keselamatan daripada segala kesusahan tersebut dan Taif akan menjadi pusat penyebaran Islam.
Setelah tiba di sana, Baginda s.a.w telah berbicara dangan tiga pembesar yang dianggap tinggi darjatnya. Baginda s.a.w menyeru mereka kepada agama ALLAH dan berusaha menarik perhatian mereka untuk membantunya. Walaubagaimanapun, mereka bukan sahaja tidak menerima ajaran Baginda, sebaliknya telah menjawab secara kasar dan tidak berakhlak sekali. Sekurang-kurangnya mereka patut melayan tetamu yang baru datang dengan baik sesuai dengan sifat suka melayan tetamu yang memang termashur di kalangan bangsa Arab. Sebaliknya mereka telah menjawab secara kasar. Mereka juga tidak rela Nabi s.a.w tinggal di sana.
Nabi s.a.w menganggap mereka yang merupakan pembesar kaum ialah orang yang baik dan akan bercakap dengan sopan tetapi salah seorang daripada mereka telah berkata:
"Hoi! Engkaukah orangnya yang ALLAH hantar sebagai nabi?"Orang yang kedua pula berkata,"Tidakkah orang lain daripada kamu yang ALLAH temui untuk diutus sebagai Nabi?"
Orang yang ketiga pula berkata,"Aku tidak ingin bercakap dengan kamu, kerana kalaulah kamu sememangnya nabi sebagaimana didakwa maka mengingkari percakapanmu mandatangkan musibah dan sekiranya kamu seorang pendusta, aku tidak ingin bercakap dengan orang seumpama itu."
Apabila Nabi s.a.w tiada menaruh harapan lagi terhadap pembesar-pembesar itu, Baginda s.a.w cuba bercakap-cakap pula dengan orang lain kerana Baginda s.a.w ialah seorang yang mempunyai hemah dan kecekalan seumpama gunung. Malangnya tiada seorang pun yang sanggup menerima.
Bukan sahaja mereka tidak menerima bahkan telah berkata kepada Nabi s.a.w, "Keluarlah dari bandar kami ini serta-merta. Pergilah ke mana-mana yang kamu suka." Apabila Baginda s.a.w sudah langsung tiada menaruh harapan lagi terhadap mereka maka Baginda s.a.w telah memulakan langkah untuk pulang. Mereka telah menghantar budak-budak untuk mengejar, megejek, mempersendakan dan melontari Baginda s.a.w dengan batu hinggakan kedua-dua kasut Baginda s.a.w dilumuri dengan darah yang mengalir. Dalam keadaan itulah Nabi s.a.w pulang. Apabila Baginda s.a.w sudah selamat daripada pengacau-pengacau tersebut, Baginda s.a.w berdoa:
Mahkfum doa nabi : "Ya ALLAH, kepadaMU aku mengadu kelemahanku, kekurangan daya-upayaku dan kehinaanku pada pandangan manusia. Ya! Arhamarrahimin! Engkaulah Tuhan orang yang ditindas. Engkaulah Tuhanku. Kepada siapakah Engkau menyerahkan diriku ini, kepada orang asing yang akan menyerang aku atau kepada musuh yang menguasaiku? Sekiranya Engkau tidak murka kepadaku maka aku tidak peduli. Namun, afiatMu sudah cukup buatku. Aku berlindung dengan nur wajahMu yang menerangi segala segala kegelapan dan teratur di atas nur itu urusan dunia dan akhirat, daripada Engkau menurunkan kemarahanMu kepadaku atau Engkau murka kepadaku. KepadaMulah aku tetap merayu sehingga Engkau reda. Tiada sebarang daya (untuk melakukan kebaikan) dan tiada upaya (untuk meninggalkan kejahatan) kecuali denganMu."
Dengan doa sedemikian, bersemaraklah sifat qahhar ALLAH s.w.t, Raja segala kerajaan. Lalu Jibrail a.s datang memberi salam dan berkata, "ALLAH s.w.t telah mendengar perbualan kaum itu dengan tuan dan telah mendengar jawapan mereka serta menghantar satu malaikat yang bertanggungjawab ke atas gunung-gunung. Perintahkan sahaja malaikat itu supaya melakukan apa-apa yang tuan kehendaki."
Selepas itu, malaikat tersebut memberi salam dan berkata,"Saya akan menunaikan segala yang diperintahkan supaya saya melagakan bukit-bukau di kedua-dua arah supaya mereka semua akan hancur atau apa-apa sahaja hukuman yang tuan tetapkan."
Baginda s.a.w ialah seorang yang amat pengasih lagi belas kasihan. Baginda s.a.w telah memberi jawapan,"Aku tetap menaruh harapan kepada ALLAH bahawa walaupun mereka ini tidak memeluk Islam, pasti akan lahir orang yang akan menyembah ALLAH s.w.t dan beribadat kepadaNya di kalangan anak-anak mereka."
Inilah dia akhlak peribadi mulia seorang yang kita kononya berbangga-bangga menjadi pengikutnya. Sebaliknya, apabila kita sendiri mengalami sedikit kesusahan atau kita dilempari dengan kata-kata kesat, kita akan menjadi begitu marah sehingga kita menaruh perasaan dendam yang tidak akan padam-padam seumur hidup kita terhadap orang yang telah menyakiti kita.
Kezaliman demi kezaliman kita lakukan ke atasnya sedangkan kita mengaku yang kita ialah pengikut Nabi Muhammad s.a.w yang mengikut jejak langkah Baginda s.a.w. Setelah menaggung kesusahan dan penderitaan yang sebegitu dasyat, Baginda s.a.w sendiri tidak pun mendoakan keburukan ke atas mereka dan tidak juga mengambil sebarang tindakbalas.
Wednesday, November 12, 2008
Rahmat Hujan
Bila langit mula mendungKekadang terdengar bebelan orang-orang di sekeliling Kita,"Cuaca buruk je akhir-akhir in ye.." Soalnya, kenapa hujan dikatakan cuaca buruk?
Berapa ramai di kalangan Kita yang mengeluh bila Hari hujan?
- Iskk, tak kering la baju kalau asyik hujan je..
- Alahai, hujan laaagiiii- Tiap-tiap Hari hujan...susah la mcm in
- Payah nak buat apa2 kalau Hujan
- Tak boleh balik lagi, hujan! Bukankah bebelan-bebelan itu lebih baik digantikan dengan DOA :
"Allahumma syaiyiban nafi'a" (Ya Allah, Ya Tuhan kami! Jadikan hujan ini bermanfaat buat kami).
Hakikatnya, hujan itu rahmat.
"Dan Dia lah (Allah) yang menghantarkan angin sebagai pembawa berita yang menggembirakan sebelum kedatangan rahmatnya (iaitu hujan), hingga apabila angin itu membawa awan mendung, Kami halakan dia ke negeri yang mati (ke daerah yang kering kontang), lalu Kami turunkan hujan dengan awan itu, kemudian Kami keluarkan dengan air hujan itu berbagai-bagai jenis buah-buahan. Demikianlah pula Kami mengeluarkan (menghidupkan semula) orang-orang yang telah mati, supaya kamu beringat (mengambil pelajaran daripadanya) ." (Al-A'raf : 57)
Sebenarnya hujan terlalu banyak manfaatnya.
1. Membersihkan udara
2. Menyubur tanaman
3. Membekal air ke empangan.
Ini sikit sahaja senarai kebaikannya. Ada banyak lagi.
Kenapa orang selalu "bad mood" bila hujan?" Hujan tidak, mendung pun tidak, tiba-tiba je bermuram in..?" Macam biasa dengar ayat TU kan ? Seolah-olah sinonim sungguh hujan dengan suasana muram/tak best. Kesian hujan.
Sedarkah Kita? Bila hujan turun, rahmat dilimpahkan buat manusia. Sebab itu, Nabi pun pernah pesan, bila hujan turun, DOA mustajab.
Sekarang ini, di tempat Kita hampir tiap-tiap Hari hujan. Tiap-tiap Hari Ada masa untuk DOA menjadi mustajab. Kenapa lepaskan peluang dengan keluhan sia-sia di saat pintu-pintu langit sedang terbuka?
"Maka Kami bukakan pintu-pintu langit, dengan menurunkan hujan yang mencurah-curah" (al-Qamar : 11)
Maka, BERDOALAH. Semoga Hari ini lebih baik dari semalam. Dan semoga, Hari esok akan lebih baik. Dalam ilmu tasawwuf Dan ilmu-ilmu fardhu Ainl ain pun Ada juga mengingatkan Kita tentang kebijaksanaan Allah.
Lihatlah firman Allah yg bermaksud : "Dan Kami turunkan hujan dari langit dengan sukatan yang tertentu, serta Kami tempatkan dia tersimpan di bumi; Dan sesungguhnya Kami sudah tentu berkuasa melenyapkannya."(Al-Mukminun : 18)
Rupa-rupanya Allah turunkan hujan ADA SUKATAN. Baru Hari ini Kita tahu, bahawa Allah turunkan hujan lebat kepada Kita sekarang ini Ada sebabnya, Ada sukatannya. Kemudian, air itu akan disimpan di bumi. Selama mana? Itu semua rahsia Allah.
"Dan Kami hantarkan angin sebagai pembawa air Dan pemindah benih; makadengan itu Kami menurunkan air (hujan) dari langit, kemudian kamiberikan kamu meminumnya; Dan bukanlah kamu yang (berkuasa menurunkannyaatau) menyimpannya." (al-Hijr : 22)
Semoga Ada iktibar untuk peringatan Kita."Dan Allah jualah yang mengetahui rahsia langit Dan bumi DankepadaNyalah dikembalikan segala urusan. Oleh itu, sembahlah akan Diaserta berserahlah kepadaNya. Dan (ingatlah), Tuhanmu tidak sekali-kalilalai akan apa yang kamu lakukan." (Surah Hud : 123)
So lepas ni bila hujan jangan ler bersungut ek. Berdoa ler banyak2...
Tuesday, November 11, 2008
Buat Baik Dulu Sebelum Suruh Orang Lain
MATA suka memandang dan mempengaruhi hati supaya menjatuhkan hukuman terhadap orang yang dipandang. Walaupun baru sekali berjumpa, ada yang sudah bijak menilai orang lain semata-mata dengan asas prasangka buruk.
Orang itu jahil, si polan fasik, jiran kamu sombong, kawan kamu penipu, suami kamu pembohong, beliau yang dihormati itu sebenarnya zalim, saudara kamu munafik, khianat, penjenayah, perampas hak orang dan segala kejahatan hanya milik mereka yang hadir dalam kehidupannya. Itulah mata jahat yang bersatu dengan hati busuk.
Tetapi kadang-kadang mata dan hati boleh tertipu oleh rupa paras dan tingkah laku orang yang dilihatnya. Baru sekali duduk minum dan mendengar tutur bicara halus dan idea bernas, terus percaya kepada orang di hadapannya itu umpama malaikat.
Semua baik, tidak ada cacat dan celanya. Akhirnya tertipu oleh imej palsu yang dilihat dengan cermin mata suram. Bertolak daripada kebaikan dan keburukan yang dilihat melalui mata zahir maka manusia terus mencari jalan tengah supaya dia dapat membuat penyesuaian dengan persekitaran secara selamat.
Sikap terbaik ketika menjalinkan hubungan dengan orang lain ialah ambil manfaat daripada kebaikannya saja, usah peduli dengan aib orang itu dan berhati-hati supaya diri tidak dimanipulasi. Namun begitu kita berasa diri diperhati tanpa mahu mengaku bahawa kita juga suka memerhati orang lain.
Sebenarnya sikap suka memerhati ini boleh memberi kesan positif dalam diri iaitu dengan syarat, perhatian itu hanya kepada mutiara kebaikan saja. Adapun keburukan orang lain, cukuplah dijadikan sempadan tanpa disertai celaan kepada orang itu kerana tiada siapa yang sempurna di dunia ini.
Jika setiap orang mengenal dirinya sendiri dengan sedalam-dalamnya nescaya tiada seorangpun tergamak menghina keaiban orang lain kerana dia masih melihat kelemahan yang banyak dalam dirinya sendiri. Alangkah eloknya jika kita menumpukan perhatian kepada kelebihan dianugerahkan Allah kepada orang lain untuk mengambil faedah daripadanya. Antara manfaatnya ialah:
Menghilangkan rasa ujub pada diri sendiri.
Hati manusia berubah-ubah, ada kala hari ini baik, esok pula belum tentu, hari ini angin yang bertiup itu sepoi-sepoi bahasa, namun tidak mustahil boleh bertukar menjadi puting beliung yang mengganas. Oleh itu, semua penilaian mengenai seseorang itu sifatnya relatif, boleh berubah-ubah seperti kenyataan Rasulullah SAW yang mengakui bahawa manusia dicipta dengan hati yang berbolak-balik sehingga Baginda mengajarkan umatnya supaya berdoa dengan sabdanya yang bermaksud: "Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hatiku pada agama-Mu." (Hadis riwayat Imam al-Tirmizi dan Imam Ahmad)
Manusia adalah makhluk yang relatif berubah, sehingga tidaklah boleh dinilai secara mutlak. Jika kita mahu mengambil manfaat daripada orang lain maka ambillah teladan daripadanya ketika dia berada di atas kemuncak kebaikannya.
Jangan sesekali melihat ketika dia jatuh, lemah, berdosa, penuh aib dan cela kerana jika kita suka melihat saat dia di bawah maka rasa ujub akan menguasai diri. Boleh jadi kita akan berkata: "Alangkah baiknya agamaku, amal dan ilmuku, keluarga dan kehidupanku jika dibanding dengan dirinya! Betapa buruk perangai orang itu, zalim sungguh tangannya, tamak dan kedekut sifatnya, kasar dan kurang ajar perangainya, tidak ada kebaikan langsung berbanding diriku!
Menyuntik semangat berlumba-lumba ke arah kebaikan.
Orang yang suka memerhati potensi saudaranya tidak seharusnya melahirkan rasa dengki, cemburu dan iri hati. Hanya orang yang berjaya saja yang boleh menjadikan kehebatan potensi orang lain sebagai inspirasi dan penyuntik semangat untuk lebih berjaya.
Al-Quran menyindir perangai orang yang suka mendengki terhadap kehebatan orang lain seperti Rasulullah SAW pernah menjadi mangsa kedengkian mereka. Firman Allah yang bermaksud: "Orang kafir dari Ahli Kitab dan orang musyrik tidak suka kiranya diturunkan kepadamu sesuatu kebaikan daripada Tuhanmu. Padahal Allah berhak menentukan rahmat-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah jugalah yang mempunyai kurnia yang amat besar." (Surah Al-Baqarah, ayat 105)
Ayat itu memberi amaran kepada diri kita yang mungkin sedikit sebanyak menyimpan dengki. Betapa seseorang itu menjadi hamba yang membangkang atas keputusan Allah memilih orang lain untuk diberi anugerah.
Maka pandanglah dengan hati kerana pandangan mata itu selalunya gelap tidak mampu melihat hakikat, sedangkan hati yang suci suka memandang dengan pandangan Tuhannya. Apa yang baik menurut Allah itulah yang baik baginya dan sebaliknya.
Sumber inspirasi, muhasabah diri.
Sesiapapun boleh menjadi sumber inspirasi. Jangan pedulikan keburukan orang di sekitar kita dan terus perhatikan kebaikan mereka. Suami boleh menjadi cermin kepada isteri tanpa menafikan kelemahannya. Ibu menjadi cahaya bagi anaknya walaupun dirinya tidak berpelajaran tapi jiwanya cukup arif membahagi cinta.
Guru menjadi penyelamat anak yang bodoh, lembap dan bingung sehingga mereka menemukan jalan terang walaupun guru juga memiliki kekurangan peribadi tetapi jangan dinafikan merekalah sebenarnya paling berpengaruh mewujudkan cita-cita setiap insan.
Siapapun yang berjasa, berbuat baik dan berjaya mereka tidak terlepas daripada cacat cela. Tetapi untuk apa mempersoalkan yang negatif jika yang positif itu mampu menghapus yang negatif? Tiada insan sempurna, berilah peluang kepada siapapun di sekitar kita untuk menjadi sumber inspirasi dalam hidup.
Jika kita sudah mengambil manfaat daripada kelebihan orang lain, bagaimana pula menjadikan keburukan dan aib mereka sebagai sempadan?
Seorang Muslim bukanlah mereka yang memilih untuk diam apabila melihat kemungkaran berlaku di sekeliling mereka. Mereka bukan orang yang penakut, takut menyatakan yang salah itu salah dan yang benar itulah hakikatnya. Mereka tidak takut menyuarakan jalan inilah yang Allah reda dan jalan itu sebaliknya. Seorang Muslim berkewajipan memandang, menilai dan menasihati saudaranya jika berbuat silap seperti tuntutan agama yang mahu amar makruf dan nahi munkar ditegakkan. Apabila melihat aib orang lain, berusaha membantu diri sendiri kemudian orang lain ke arah kebaikan.
Langkah pertama ialah pastikan diri kita sudah berada di jalan yang benar, lurus dan diredai Allah kemudian barulah kita boleh menuntun tangan saudara kita ke sana. Apa yang disampaikan mestilah diamalkan terlebih dulu. Lidah, hati dan amal perbuatan mesti selari, sehati dan sejiwa langsung tiada unsur munafik.
Prinsip amar makruf nahi munkar yang betul ialah buat dulu kemudian suruh orang lain. Allah amat membenci perangai orang yang cakap tidak serupa amal ini melalui firman-Nya yang bermaksud: "Wahai orang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahawa kamu mengatakan apa yang tidak kamu kerjakan." (Surah al-Shaff, ayat 2-3)
Ada pula yang bermulut manis dan menyatakan pujian di hadapan saudaranya tapi di belakang mengata lain, bermuka-muka dan menikam dari belakang. Bahkan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Jika kamu melihat orang yang suka memuji (mengampu) di hadapan kamu, maka taburkanlah debu tanah di mukanya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Sebaik-baiknya setiap Muslim berhati-hati dengan pemuji yang melampau ini kerana mereka akan mencela dengan melampau juga. Menggunakan ayat penuh rahmat bukan ayat kesat dan menyimpan emosi negatif. Mengapa nasihat yang kita beri kepada isteri, anak dan saudara kita tidak berjaya?
Puncanya kerana tiada hubungan kasih sayang kerana Allah. Kaedah dan cara menasihat pun tidak mengikut petunjuk Allah dan Rasul-Nya. Di samping itu, faktor emosi yang susah dikawal sehingga melahirkan nasihat berunsur kemarahan, kritikan pedas dan sindiran tajam menjadi penghalang keikhlasan dalam memberi nasihat.
Nyata begitu susahnya bergaul dengan manusia di sekeliling kita. Bukan hanya kesabaran dituntut tetapi keberanian untuk merasai sakit juga diperlukan dalam menjalinkan persaudaraan. Mungkin itulah sebabnya mengapa ramai memilih menyendiri dan tidak pedulikan orang lain. Tetapi sampai bila kita boleh bertahan? Pastinya yang terbaik ialah mencari kekuatan diri dalam persaudaraan.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Orang mukmin yang bergaul dengan manusia dan bersabar atas gangguan mereka lebih baik daripada orang mukmin yang tidak bergaul dan tidak bersabar atas gangguan mereka." (Hadis riwayat Al-Bukhari)
Adaptasi adalah suatu proses membentuk rasa cinta dan kasih sayang. Sesiapa yang tidak sabar melaluinya dia tidak akan merasai kenikmatan menjalinkan hubungan sesama insan.
Waspadalah dengan sikap antisosial. Ia boleh menghalang seseorang mendapat rahmat Allah. Adapun tanda seseorang mendapat rahmat-Nya adalah ketika manusia tertarik dengan keperibadiannya.
Friday, November 7, 2008
Beberapa Petanda Susahnya Amalan Batin
2. Pernahkah kita merasa indah bila bersendirian di tempat sunyi kerana mengingati Allah dan menumpukan sepenuh perhatian kepadaNya, merasa rendah dan hina diri, menyesali dosa dan kelalaian, mengingatiNya sambil berazam untuk memperbanyakkan amal bakti kepadaNya?
3. Kalau ada orang Islam yang ditimpa bencana dan berada dalam penderitaan, adakah hati kita merasa belas kasihan untuk membantu atau mendoakan dari jauh agar mereka mendapat pertolongan dari Allah?
4. Pernahkah kita menghitung dosa kita, lahir dan batin? Bila teringatkan dosa-dosa kita, adakah mudah untuk kita menangis menyesali diri sambil memohon keampunan Allah dan bertaubat kepadaNya?
5. Adakah kita sentiasa mengingati pada mati yang akan datang beberapa saat saja lagi? Sebab Tuhan memang boleh buat begitu. Jadi ketika umur masih ada ini, adakah kita berusaha mencari jalan untuk mendekatkan diri kita kepadaNya?
6. Pernahkah kita hitung berapa banyak harta kita, duit kita, rumah kita, kereta kita, motosikal kita, perabot kita, pinggan mangkuk kita, periuk belanga kita, kain baju kita, kasut kita, makanan kita, dan lain-lain kepunyaan kita yang melebihi dari keperluan kita sendiri (yang halal)? Kerana yang mana berlebihan itu akan dibicara, dihisab, ditanya, dicerca, dan dihina oleh Allah di padang Mahsyar nanti kerana membesarkan dunia dan memperkecilkan akhirat?
7. Pernahkah kita kenangkan orang-orang yang pernah kita kasari, umpat, tipu, fitnah, hina, kutuk, dan aniaya sama ada suami, isteri, ibu bapa, saudara mara, sahabat handai, jiran dan sesiapa saja, supaya kita meminta maaf dan membersihkan dosa dengan manusia di dunia ini lagi tanpa menunggu hari yg dahsyat? Senangkah kita untuk memaafkan kesilapan orang lain dan adakah kita mudah untuk terus meminta maaf bila bersalah?
8. Apabila kita sakit kerana ditimpakan oleh Allah, dapatkah kita tenangkan hati kita dengan rasa kesabaran dan kesedaran bahawa sakit adalah kifarah dosa (pengampunan dosa) atau sebagai darjat dan pangkat di sisi Allah swt?
9. Ketika menerima takdir yang kita rasakan tidak sesuai dengan kehendak kita, dapatkah kita rasa redha bahawa ia adalah satu pemberian daripada Allah yang patut untuk kita?
10. Di waktu mendapat nikmat, terasakah di hati bahawa ia adalah pemberian daripada Allah, lalu timbul rasa terima kasih kepada Allah dan rasa takut kalau-kalau ia tidak dapat digunakan di jalan Allah dan berazam untuk menggunakan nikmat itu demi Allah jua?
11. Kalau ada orang yang mengata atau mencerca kita di belakang kita, dapatkah hati kita merasa tenang lalu kita diamkan sahaja (tanpa rasa sakit dan susah hati serta dendam) bahkan kita memaafkan orang itu sambil mendoakan kebaikan untuknya sebab merasakan ia telah memberikan pahala kepada kita melalui cercaannya itu?
12. Begitu juga kalau orang menipu, menganiaya dan mencuri harta kita, mampukah kita relakan saja atas dasar kita mendapat pahala menanggung kerugian itu?
13. Kalau orang lain mendapat kesenangan dan kejayaan, dapatkah kita merasa gembira dan turut bersyukur serta mengharapkan kekalnya nikmat itu bersamanya tanpa ada rasa dengki dan sakit hati dengan kejayaan org itu?
14. Sanggupkah kita bertolak ansur dengan orang lain di waktu orang itu memerlukan sesuatu yang kita juga perlukan?
15. Adakah kita merasa puas dan cukup dengan apa yang ada tanpa mengharapkan apa yang tidak ada?
Susah agaknya untuk kita menjawab soalan-soalan di atas dengan jawapan-jawapan yang sepatutnya kerana sememangnya susah seorang buat insan biasa seperti kita untuk benar-benar menyempurnakan amalan batin. Walau bagaimanapun kita seharusnya menyimpan niat di hati kita dan seterusnya bersungguh-sungguh bermujahadah untuk menyuburkan amalan-amalan batin kita kerana amalan batin adalah lebih penting dari amalan lahir.
Rasulullah saw ada bersabda yang bermaksud:
"Allah tidak memandang akan rupa dan harta kamu, tetapi Dia memandang hati dan amalan kamu." (Hadith Riwayat Muslim)
Firman Allah pula yang bermaksud:
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada kaum itu, sehinggalah mereka mengubah apa yang ada dalam diri mereka (hati mereka)." (Surah Ar-Raad: ayat 11)
Marilah kita cuba tekunkan diri untuk membersihkan dosa lahir dan batin kita. Mari kita bermujahadah untuk itu. Mudah-mudahan Allah menolong dan meredhai kita.
Firman Allah yang bermaksud:
"Dan mereka yang bermujahadah kepada jalan Kami, nescaya Kami tunjukkan jalan-jalan Kami itu. Sesungguhnya Allah berserta dengan orang-orang yang berbuat baik." (Surah Al-Ankabut: ayat 69)
SEORANG ANAK MEMBANGKANG PERINTAH AYAHNYA
Kaum Muslimin sudah tidak merasa asing bila dipanggil untuk membela agama Allah dan jihad fisabilillah. Sebab itu Khaitsamah berkata kepada anaknya, "Wahai anakku, aku akan keluar untuk berperang dan kau tinggal di rumah menjaga wanita dan anak-anak."
"Wahai ayahku, demi Allah janganlah berbuat seperti itu, kerana keinginanku untuk memerangi mereka lebih besar daripada keinginanmu. Engkau telah berkepentingan untuk tinggal di rumah, maka izinkanlah aku keluar dan tinggallah engkau di sini, wahai ayahku."
Khaitsamah marah dan berkata kepada anaknya, "Kau membangkang dan tidak mentaati perintahku."
Saad menjawab, "Allah mewajibkan aku berjihad dan Rasulullah memanggilku untuk berangkat berperang. Sedangkan engkau meminta sesuatu yang lain padaku, sehingga bagaimana engkau rela melihat aku taat padamu tetapi aku menentang Allah dan Rasulullah."
Maka Khaitsamah berkata, "Wahai anakku, apabila ada antara kita harus ada yang berangkat satu orang baik kau mahupun aku, maka dahulukan aku untuk berangkat."
Saad menjawab, " Demi Allah wahai ayahku, kalau bukan masalah syurga, maka aku akan mendahulukanmu."
Khaitsamah tidak rela kecuali melalui undian antara dia dan anaknya sehingga terasa lebih adil. Hasil undian menunjukkan bahwa Saadlah yang harus turun ke medan perang. Dia pun turun ke medan Badar dan mati syahid.
Setelah itu Khaitsamah berangkat menuju medan pertempuran. Tetapi Rasulullah tidak mengizinkannya. Hanya saja Rasulullah akhirnya mengizinkannya setelah Khaitsamah berkata sambil menangis, " Wahai Rasulullah, aku sekali terjun dalam perang Badar. Lantaran inginnya aku harus mengadakan undian dengan anakku. Tetapi itu dimenangkannya sehingga dia yang mendapat mati syahid. Kelmarin aku bermimpi di mana di dalamnya anakku itu berkata kepadaku, "Engkau harus menemani kami di syurga, dan aku telah menerima janji Allah. Wahai Rasulullah, demi Allah aku rindu untuk menemaninya di syurga. Usiaku telah lanjut dan aku ingin berjumpa dengan Tuhanku."
Setelah diizinkan Rasulullah, Khaitsamah bertempur hingga mati syahid dan berjumpa dengan anaknya di syurga.
Thursday, November 6, 2008
Jual Mahal Berkali Ganda : Bolehkah ?
Jawapan ringkasnya ; tiada dalil khusus dalam hal ini sebagai contoh tiada penyataan dalam nas atau dalil yang melarang kadar untung tidak boleh melebihi 20 %, 30 % dari modal atau lain-lain peratusan. Ini kerana penetapan keuntungan ini akan melencongkan transaksi tersebut dari memberi keadilan buat pihak yang menjual dan membeli.
Di dalam Islam, setiap penjual berhak menentukan harga barangan yang dimilikinya, namun demikian ia masih terikat dengan harga pasaran.
Justeru, harga yang ditawarkan hendaklah :-
a- diterima harga pasaran.
b- Jika ia mahu keluar dari harga pasaran, ia MESTI mempunyai sesuatu add value atau tambahan nilai unik pada kualiti barangan itu, contohnya, harga pasaran bagi jualan sebuah rumah teres tiga bilik dengan keluasan 22 x 75 kaki adalah RM250,000. Namun penjual mahu menjualnya dengan harga RM 400,000 disebabkan renovation dalamannya yang begitu cantik.
c- Tidak dibuat dengan tujuan spekulasi (harga yang ditawar bukan bertujuan untuk jual beli sebenar tetapi hanya dibuat bagi memberi kesan kepada harga pasaran semasa) atau bagi menaikkan harga pasaran.
Tatkala itu, harga jualannya yang jauh lebih tinggi dari harga pasaran rumah sejenis adalah HALAL disebabkan perbezaan dan nilai tambah yang diusahakannya.
Hasil usaha beserta modal tadilah yang menjadikannya halal menerima imbuhan keuntungan.
Satu contoh lagi, saya masih ingat kisah yang heboh diperkatakan dikhabar satu ketika dahulu, berkenaan harga sepinggan nasi dagang yang mencecah RM45 ( jika tidak silap saya). Sudah tentu jika dilihat, ia melebihi harga pasaran sepinggan nasi dagang. Namun, jika berjaya dibuktikan nasi yang dijualnya mempunyai nilai yang sesuai dengan harganya seperti katanya, harga ikan yang digunakan, minyak zaitun atau apa jua yang lain. Ia adalah harus dan halal, namun jika ia tidak sepadan dengan harga pasaran , para ulama berbeza pendapat.
Jelas bahawa, jikalau barang yang dimiliki mempunyai ciri khas istimewa, atau telah ditambahkan ciri-ciri istimewa, tatkala itu ia boleh berbeza dengan harga pasaran biasa.
Adapun bagi penjual barangan yang tiada nilai tambah, atau jika ada sekalipun ia hanyalah nilai tambah yang kecil seperti :
Rumah teres tadi hanya dicat baru sahaja. Tatkala itu, harganya masih tidak boleh naik terlalu tinggi dari harga pasaran.
Bagi aset atau barang yang tiada sebarang perbezaan tambah nilai, para ulama berbeza pendapat, terdapat mereka yang membenarkan tidak lebih dari 1/6 dari harga pasaran, ada yang meletakkan 1/3 (pandangan ulama Maliki), ½ dan lain-lain.
Bagaimanapun, menurut tahqiq atau analisa terkini yang dibuat oleh Syeikh Prof Dr Muyi din AL-Qurrah Daghi, PANDANGAN TERKUAT DALAM HAL INI ADALAH TERSERAH KEPADA URUF atau suasana setempat. Semua kadar-kadar yang diberikan tadi semuanya tidak disokong oleh dalil khusus.
BAGAIMANA JIKA ANDA PENENTU HARGA PASARAN.?
Jika inilah kesnya, keadaannya berbeza dan anda boleh menentukan harga sendiri dan ia akan diikuti oleh yang lain sehingga diterima sebagai 'harga pasaran'.
Namun demikian perlu diingat, untuk diiktiraf menjadi pihak berwibawa dan dirujuk dalam penentuan harga, sudah tentu :-
1) Sebuah syarikat amat besar yang mampu memberi kesan kepada pasaran dan syarikat-syarikat lain,
2) Anda akan terikat dengan kepakaran menilai atau 'evaluation' harga kualiti khidmat ditawar atau barang yang dijual, agar ia bertepatan dengan 'Thaman al-Mithl' ( harga sesuai yang bertepatan dengan nilai barang). Justeru itu, sekiranya anda meningkatkan harga melambung-lambung tanpa justifikasi tepat, saya yakin anda tidak akan lagi menjadi pakar rujuk harga pasaran selepas ini. Wibawa menjadi hilang juga.
Kesimpulannya, walaupun anda atau syarikat adalah penentu harga, namun masih terikat dengan proses-proses penentuan harga yang lain seperti :-
a- Demand and supply
b- kesukaran memperolehinya,
c- ia dari jenis barang asasi atau tidak
d- Pihak yang membeli secara berhutang atau tunai,
e- matawang yang digunakan dan lain-lain.
f- Jenis transaksi dan lain-lain.
Semua ini memberi kesan dalam penentuan harga. Al ini banyak dibincangkan dalam perbincangan ekonomi Islam dan juga pernah dijelaskan oleh Ibn Taimiah dan lain-lain.
NISBAH UNTUNG DAN DALIL
Bagi mereka yang inginkan dalil keharusan harga tanpa had (selagi dalam harga pasaran atau boleh dijustifikasikan secara menepati Shariah), berikut antaranya :-
Keharusan mengambil untung lebih dari 100 % asalkan ia :-
1) Dari hadis berikut :-
أن النبي -صلي الله عليه وسلم- أعطاه دينارًا يشتري له به شاة، فاشتري له به شاتين، فباع إحداهما بدينار، فجاء بدينار وشاة فدعا له بالبركة في بيعه، وكان لو اشتري التراب لربح فيه
Ertinya : "Sesungguhnya Nabi SAW memberi 'Urwah satu dinar untuk membeli seekor kambing, maka (atas kebijaksanaannya) dapat dibelinya dua ekor kambing, lalu dijualnya seekor dengan harga satu dinar, lalu ia dating bertemu Nabi membawa satu dinar dan seekor kambing, maka Nabi terus mendoakannya dalam jualannya, yang jika ia membeli tanah sekalipun pasti ia akan mendapat untung" ( Riwayat Al-Bukhari, no 3642 )
Hadith ini menunjukkan bagaimana sahabat membeli dua ekor kambing dengan harga satu dinar, bermakna 1/2 dinar seekor, dan kemudian menjualnya degan harga 100% keuntungan iaitu 1 dinar seekor. Transaksi ini diiktiraf oleh nabi malah dipuji dan didoakannya.
2) Sebuah lagi dalil adalah :-
Apa yang dilakukan oleh sahabat bernama Zubayr Al-‘Awwam r.a di mana beliau telah membeli sekeping tanah hutang dengan harga 170,000 dan kemudian beliau menjualnya kepada Abdullah Bin Zubayr dengan harga 1,600,000. Ini bermakna beliau telah menjualnya dengan Sembilan kali ganda harga asalnya.
Walaupun hadis ini mawquf, namun tanah ini telah dijual kepada sahabat lain seperti Mu'awiyah, Abdullah bin Jaffar dan lain-lain sahabat masih hidup tatkala itu, transaksi ini dibuat di zaman Sayyidina Ali k.w. Para ulama menyatakan, persetujuan para sahabat di zaman itu menjadikannya sebagai ijma' sahabat, yang boleh menjadi satu dalil kukuh akan keharusannya.
Namun demikian, jika ia ada tujuan tidak sihat seperti usaha untuk menaikkan harga secara tidak sihat, melalui sorokan barangan hingga harganya meningkat, mengambil peluang atas kelemahan pembeli tentang harga pasaran atau lain-lain kezaliman, maka harga yang tinggi tadi menjadi haram.
BANK-BANK ISLAM CAJ HARGA LEBIH HARGA PASARAN ATAU TIDAK?
Dalam hal bank-bank Islam yang menjalankan transaksi jual beli ( sama ada atas kontrak BBA, Bai Al-Inah dan Murabahah) dalam produk pembiayaan runcitnya. Bank-bank ini kerap dikatakan menjual semula rumah tadi dengan harga yang terlalu mahal contonya seperti :
Pembiayaan sebanyak RM 200,000. Namun jumlah harga yang perlu dibayar semula oleh pelanggan adalah RM 400,000 dalam tempoh 25 tahun sebagai contoh.
Apa hukumnya?. Hukumnya masih harus dan halal kerana itulah harga pasaran bagi setiap pembelian aset yang mahal lagi mudah naik harga (seperti rumah) besar yang ingin dibayar secara ansuran selama 25 - 30 tahun. Buktinya ia harga pasaran adalah cubalah anda melihat tawaran dari bank-bank lain. Malah jika anda punyai pengalaman bekerja dengan bank konvensional atau bank Islam, anda akan mengetahui itulah juga nilai yang dijangka diperolehi oleh bank konvensional sepanjang tempoh 25 - 30 tahun itu walaupun jangkaan harga yang diharapkan oleh bank konvensinoanl sentiasa naik turun berdasarkan BLR.
Jika ingin dibuat perbandingan; sebuah rumah, kebiasaannya nilai semasanya cukup mudah untuk naik dalam beberapa tahun, seorang kenalan saya di Bukit Damansara pernah menyatakan ia membeli rumahnya di kawasan tersebut sekitar 20 tahun lalu dengan arga RM 100,000 ke RM 200,000 sahaja, hari ini nilai rumahnya tanpa sebarang renovation pun sudah mencecah RM 1 juta.
Adakah kita ingin pihak bank menjadikan jangkaan harga selepas 25 tahun itu sebagai harga pasarannya? Sudah tentu tidak rasanya. Justeru, jika pihak bank menawarkan sesuatu harga yang puratanya hanya melebihi 50% - 100% dari harga asal rumah, saya kira itu masih reasonable kerana dalam tempoh 25 - 30 tahun, harga rumah tersebut boleh meningkat jauh dari itu, tidak dinafikan ia boleh juga menurun.
Hakikatnya, nilai harga yang ingin ditawar kepada pelanggan ditentukan dengan cermat dan berhati-hati oleh pihak bank, ia bukanlah melihat sangat kepada harga aset dalam tempoh akan datang, namun ia mempunyai pelbagai aspek kos mengurus minima (cost of fund). Juga melihat kepada kadar faedah semalam yang ditentukan oleh pihak Bank Negara Malaysia.
Bagaimana pula kereta yang harganya tidak naik selepas 5 tahun tetapi turun.? Telah saya sebutkan tadi, nilai harga akan datang biasanya tidak dilihat sangat oleh pihak bank, kerana mereka lebih terikat dengan kadar faedah yang dikeluarkan oleh BNM dan Cost of Fund bank terbabit. Justeru, harga pasarannya adalah melihat kepada harga tawaran oleh bank-bank lain, termasuk bank konvensional. Apapun, harga dan kadar pembelian kereta menggunakan bank konvensional dan Islam adalah hampir sama. Malah pembiayaan kereta secara Islam lebih menarik kerana sebarang kelewatan hanya akan dikenakan 1% penalti tanpa 'compounding' berbanding 3 - 5 % penalti bagi bank konvensional yang bersifat compounding.
Sukar untuk saya terangkan semua fakta dan formula kira-kira di sini, namun sebahagiannya telah saya terangkan di artikel-artikel lain di web ini.
Kesimpulannya, itulah harga pasaran sebenarnya dan ia masih dalam harga pasaran. Saya juga berharap ia lebih murah kerana saya juga adalah pelanggan, namun saya terpaksa akur dengan harga yang ada di hadapan mata, kerana ia masih dalam ruang lingkup HARUS menurut Shariah.
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/
31 Oktober 2008
London, United Kingdom
Wednesday, November 5, 2008
Kerana Satu Klik Malapetataka Berterusan Diterima
Di zaman ICT dan Globalisasi ini kemudahan komputer dan email hampir ada pada setiap orang yang bekerja di sektor swasta juga kerajaan termasuk kepada pelajar-pelajar di kolej dan universiti. Kemudahan internet yang disediakan dengan kadar yang semakin munasabah menyebabkan kemudahan email ini menjadi semakin popular. Pernahkah kita terfikir dengan satu “KLIK” sahaja akan menyebabkan mencurah-curah dosa yang di terima secara berterusan hingga hari kiamat.
Apa yang penulis akan bincangkan adalah berdasarkan dua buah Hadis Sahih berikut. :
Mahfumnya:: Ibnu Mas’ud r.a. berkata: Bersabda Nabi s.a.w. :
“ Tiada suatu jiwa yang terbunuh dengan penganiayaan, melainkan putera Adam yang pertama dahulu itu, mendapat bahagian dari penumpahan darah itu, kerana ia yang pertama membuka jalan untuk penumpahan darah.” (Diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Imam Muslim)
Yang dimaksudkan di dalam hadis ini adalah kisah pembunuhan Qabil terhadap Habil kerana Qabil dengki terhadap Habil yang berkahwin dengan kembarnya yang lebih cantik.
Mahfumnya: Abu Hurairah r.a. berkata: Rasulullah s.a.w. bersabda:
“Sesiapa yang mengajak ke jalan hidayat, maka baginya dari pahala seperti pahala (sebanyak pahala) 2 pengikutnya, dengan tidak mengurangi sedikit pun dari pahala mereka. Dan sesiapa yang mengajak ke jalan sesat, maka menanggung dosa sebanyak dosa-dosa pengikutnya, dengan tidak mengurangi dari dosa-dosa mereka sedikit pun." (Diriwayatkan oleh Imam Muslim)
Bagi memudahkan kefahaman akan maksud hadis-hadis di atas dan berkaitan dengan konteks kehidupan kita pada zaman ICT ini, mari kita ambil iktibar dari kisah berikut.
Zack dan Yahoogroup
Zack baharu tamat belajar di sebuah universiti kemudian di terima bekerja di sebuah syarikat ICT. Setiap pekerja dibekalkan dengan komputer, alamat email dan internet akses bagi memudahkan urusan kerja seharian.
Zack mempunyai ramai kawan dan mereka berhubung melalui email setiap hari. Masa lapang Zack diisi dengan melayari laman web lucah. Kegemarannya ialah memuat turun (download) gambar-gambar lucah itu kemudian berkongsi dengan kawan-kawannya melalui email.Dia mempunyai “email group” dan ada 50 alamat email kawan-kawannya di dalam “emailgroup” tersebut. Sekali menghantar email, dia akan menghantar kepada “emailgroup” tersebut.
Selain daripada itu dia juga suka menghantar semula email yang diterima daripada rakan yang lain ke “emailgroup”. Di antara kandungan email itu adalah kisah-kisah yang mengaibkan seseorang seperti video klip bercium di dalam lif, kisah seluar dalam yang dijumpai di dalam periuk di restoran mamak dan seumpamanya lagi yang kebanyakannya adalah perkara-perkara yang nafsu kita seronok membacanya dan melihatnya tetapi hukumnya adalah jelas haram di sisi syariat Islam.
Pada suatu hari ketika pulang dari tempat kerja Zack terlibat dengan kemalangan jalan raya dan kembali kerahmatullah di tempat kejadian.Di dalam Islam telah sepakat ulama’ bahawa hukum melihat gambar-gambar lucah, menyebarkan fitnah, membuka aib dan seumpamanya adalah haram serta berdosa kepada mereka yang melakukannya dan menyebarkannya.
Berganda-ganda
Untuk memudahkan kefahaman, katakan Zack telah mendapat satu dosa kerana menghantar gambar-gambar lucah kepada kawan-kawannya. Gambar tersebut diterima oleh 50 orang kawan-kawannya melalui email. Kesemua kawan-kawannya seronok dengan gambar tersebut dan meredai perbuatan Zack maka setiap kawannya mendapat satu dosa manakala dosa setiap kawannya itu juga diberikan kepada Zack jadilah sekarang dosa Zack 1+50 = 51.
Setiap kawan-kawan Zack itu pula menghantar gambar tersebut kepada 10 orang lagi, maka sekarang dosa Zack akan bertambah lagi menjadi 1+50+500=551 dosa. Kemudian setiap sepuluh orang itu menghantar lagi kepada 10 orang yang lain, bertambahlah dosa Zack menjadi 1+50+500=5551. Begitulah seterusnya.
Zack telah meninggal dunia, email nya masih lagi tersebar, maka akan berterusanlah dia mendapat dosa selagi email itu berlegar di ruang cyber hingga hari kiamat.
Cerita Qabil
Begitulah iktibar yang boleh diambil daripada apa yang berlaku kepada Qabil, setiap jiwa yang mati dibunuh kerana hasad dengki manusia, maka dosa membunuh itu akan juga sampai kepada Qabil hingga hari kiamat. Bayangkanlah berapa ramaikah jiwa yang telah kena bunuh dengan zalim sejak dari zaman nabi Adam hingga sekarang? Dan berapakah dosa yang terpaksa ditanggung oleh Qabil di akhirat kelak?
Berbalik kepada kisah Zack, katakan sebelum meninggal dunia, Zack telah sempat bertaubat, insya’Allah dosa manusia terus dengan Allah, seperti meninggalkan puasa, zakat dan solat fardu akan Allah ampunkan tetapi dosa kita sesama manusia hanya Allah akan ampunkan bila insan tersebut mengampunkan kita. Zack telah menyebarkan perkara yang menyebabkan orang lain berdosa, bagaimanakah dia nak mintak ampun dengan semua yang menerima email tersebut?
Selagi mereka semua tidak mengampunkan Zack maka selagi itulah dia akan terima dosa hingga kiamat kelak. Inilah malapetaka yang sangat besar pada zaman ICT ini. Dengan sekali klik sahaja saham dosa akan mencurah-curah sampai kepada kita.
Sebab itu setiap kali apabila kita menerima email, hendaklah berhati-hati, jika kandungan email itu adalah gambar lucah atau yang mengaibkan seseorang muslim lain atau sesuatu fitnah hendaklah segera dibuang dan jangan ada sedetik pun didalam hati untuk seronok dengan benda yang haram bagi mengelakkan kita dan pengirim dari berdosa.Yang sebaiknya jika yang diterima itu haram, nasihatkanlah pengirim supaya bertaubat dan berhati-hati di masa-masa akan datang.
Sebaliknya jika kita menyebarkan perkara-perkara yang baik dan diredai oleh Allah SWT yang pastinya ganjaran pahala yang di terima pasti mencurah-curah selagi ia masih terus di sebarkan.
Wallahhu’alam