Thursday, September 11, 2008

Ramadhan Tetamu Mulia

JIKA seorang teman yang anda kasihi dan menghubungi anda menyatakan hasratnya ingin berkunjung ke rumah anda serta singgah untuk beberapa hari, apakah yang akan anda lakukan sempena kedatangannya dan apakah perasaan anda?

Tentunya anda gembira, menyediakan persediaan bagi menerima kunjungannya dengan mengemas rumah dan mengadakan keperluan yang sepatutnya bagi tetamu tersebut.

Bukankah begitu yang selayaknya anda dan teman-teman lakukan?

Jika demikian, bagaimana pula jika yang akan datang menjenguk anda bukan sahaja dikasihi oleh diri sendiri, bahkan ia dikasihi oleh Allah SWT, Nabi Muhammad SAW dan sekelian orang yang beriman?

Tetamu yang akan berkunjung ini membawa bersamanya sepanjang siang dan malamnya kebaikan dan keberkatan daripada Allah . Ia adalah bulan Ramadan yang mulia, bulan berpuasa dan bertilawah al-Quran, bulan tahajud dan qiamullail, bulan kesabaran dan ketakwaan, bulan keampunan dan kebebasan daripada api neraka.

Padanya terdapat suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan, bulan pemasungan syaitan, penutupan pintu-pintu neraka dan pembukaan pintu-pintu syurga. Bulan gandaan pahala dan berkat untuk segala ketaatan dan kebaikan yang dilakukan.

Itulah sifatnya tetamu mulia ini, kerana itu amat wajarlah bagi kita - orang yang mengetahui kehebatannya, menyambutnya dengan cara terbaik, bersedia untuknya dengan menyiapkan dan membiasakan diri kita beramal padanya, moga-moga kita mendapat faedah daripada kunjungannya dan apabila ia pulang, jiwa raga kita telah bersih dan suci dengan limpahan rahmat Allah .

Oleh kerana itulah para ulama terdahulu menghargai tetamu ini dan diceritakan bahawa mereka memohon Allah melanjutkan usia mereka supaya dapat bersama bulan Ramadan sepanjang enam bulan sebelumnya, apabila ia berakhir mereka menangis sayu di atas pemergiannya dan berdoa agar Allah menerima amalan mereka bagi bulan Ramadan sepanjang beberapa bulan selepas itu.

Malangnya, sebahagian umat Islam menyambutnya dengan pelbagai kegiatan yang menyalahi hukum Allah SWT. Ada yang menyambutnya dengan berpesta, nyanyian, tarian dan muzik.
Sebahagian lagi menyediakan filem-filem yang menyeronokkan sepanjang malam bulan Ramadan yang dipenuhi dengan adegan yang memenuhi tuntutan nafsu.

Ramai yang menyambutnya dengan mengunjungi pasar-pasar, berasak-asak dengan orang ramai untuk membeli pelbagai jenis makanan dan minuman; seolah-olah bulan tersebut adalah bulan makan-minum, tidur pada waktu siang, berjaga pada malamnya dengan aneka hiburan.

Cara yang dianjurkan oleh Islam secara ringkas adalah sebagaimana berikut:

1. Berdoa semoga Allah melanjutkan usia kita dan dapat menyambut bulan Ramadan sebagaimana yang diamalkan oleh ulama silam, di samping memohon pertolongan-agar dapat berpuasa, qiamullail dan beramal soleh padanya.

2. Membersih diri dan bersuci, iaitu membersihkan diri dan jiwa dengan taubat daripada segala dosa dan maksiat. Taubat ini adalah wajib pada setiap waktu. Taubat bukanlah sekadar meninggalkan perbuatan dosa. Bahkan ia memerlukan pengembalian seluruh jiwa raga kepada Allah s.w.t.

3. Menyediakan diri bagi menyambut kedatangan Ramadan dengan menunaikan ibadat puasa sunat pada bulan Syaaban serta amalan kebaikan lain. Ia merupakan bulan diangkatkan segala amalan manusia kepada Allah s.w.t.

4. Antara perkara terpenting ialah mempelajari hukum-hakam puasa, mengetahui sunah Nabi SAW serta hukum hakam puasa sebelum menghampiri bulan tersebut.

5. Agenda seterusnya ialah menyediakan jadual ibadah untuk bulan yang mulia itu dengan program yang memenuhi waktu yang amat berharga bagi diri kita, keluarga, rakan-rakan dengan membaca al-Quran, tadarus, qiamullail, menyediakan juadah berbuka puasa untuk mereka, mengerjakan umrah, iktikaf, bersedekah, berzikir, membersihkan jiwa dan raga, dan seterusnya.

Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya dalam syurga ada satu pintu namanya ‘al-Rayyan’. Orang yang berpuasa masuk syurga melalui pintu itu. Orang lain tidak akan memasukinya. (riwayat Bukhari)

Sebagai penutup bicara, marilah sama-sama kita hayati kata-kata ini:

“Wahai mereka yang belum cukup baginya dosa pada bulan Rejab, sehingga menderhakai Tuhannya pada bulan Syaaban, telah datang kepadamu bulan puasa selepas kedua-duanya.
Janganlah jadikannya juga bulan kemaksiatan, kerana ia adalah bulan al-Quran dan bulan tasbih.


“Berapa ramai orang-orang terdahulu yang kamu kenal telah berpuasa di antara jiran tetangga dan sahabat handai?

“Mereka telah meninggal dunia sedangkan kamu masih hidup. Alangkah hampirnya masa mereka yang telah pergi dengan yang masih tinggal.

Ya Allah , sampaikan kami kepada bulan Ramadan, supaya kami dapat menunaikan ibadah puasa dan amalan soleh. Tetapkan pendirian kami di dalam ketaatan kepada-Mu sehingga kami menemui-Mu. Engkaulah yang Maha Mendengar lagi Maha Menyahut doa-doa kami”.

Friday, September 5, 2008

Sedekah Cara Kongsi Gembira Ramadan

Tak perlu jumlah besar jika niat menunjuk-nunjuk kebaikan kepada orang lain agar dipuji

KESERONOKAN beramal pada Ramadan semakin terasa apabila umat Islam mula memahami bahawa bukan berpuasa saja ibadah yang boleh dilakukan dalam bulan rahmat ini tetapi amalan lain seperti bersedekah, beriktikaf, menunaikan umrah, beribadah pada malam sunyi, mudah-mudahan mendapat rahmat lailatul qadar.

Puasa juga mendidik rohani supaya menjauhi sifat suka mengumpat, berbohong, memaki hamun, tidak melihat perkara tidak baik atau mendengar perkara maksiat.

Bersedekah seperti memberi makan orang berbuka puasa contohnya sudah menjadi rutin umat Islam di Malaysia. Dulunya, amalan itu dilakukan kepada anak yatim dan golongan miskin, tetapi hari ini ramai dermawan menunaikan hajat dengan bersedekah di surau atau masjid tanpa mengira golongan disasarkan.

Ini kerana anak yatim dan orang miskin sudah mewah dengan juadah berbuka yang diadakan di hotel terkemuka, bahkan mereka diberikan lagi duit raya walau Ramadan baru saja berlalu dua tiga hari.

Salafus soleh seperti Abdullah bin Umar, Dawud Ath-Tha’i, Malik bin Dinar, Ahmad bin Hambal, Hasan Al-Bashri, Ibnul Mubarak dan lain lagi sentiasa berlumba-lumba memberi makan dan mereka lebih mengutamakannya daripada ibadah lain.

Keadaan itu berlarutan walaupun sebaik selepas Ramadan kerana nikmat berkasih sayang dengan membantu sesama mukmin mendekatkan diri mereka kepada Allah .

Hadis diriwayatkan At-Tirmizi (dengan sanad hasan), Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Siapa saja di antara orang mukmin yang memberi makan saudaranya sesama mukmin yang lapar, nescaya Allah akan memberinya buah-buahan syurga. Siapa saja antara orang mukmin yang memberi minum saudaranya sesama mukmin yang dahaga, nescaya Allah akan memberinya minuman Rahiqul Makhtum.”

Jika umat Islam menghayati nikmat kehambaan dan merasai manisnya iman kerana berbuat baik sesama Muslim, pasti semuanya tidak melepaskan peluang Ramadan kali ini untuk menunaikan hajat saudara yang kurang berkemampuan, atau sekurang-kurangnya mengurangkan beban orang susah supaya saranan bantu-membantu dan tolong-menolong dapat direalisasikan.

Sikap bermurah hati pada Ramadan sangat dipuji seperti Rasulullah SAW yang sangat dermawan, terutama pada Ramadan. Baginda juga menasihati sahabat supaya berkongsi kegembiraan dan rezeki dengan orang lain yang kurang berkemampuan, merasai hidangan yang mereka hajati dan sukai kerana takutkan Allah semata-mata, bukan untuk sebarang balasan atau ucapan terima kasih.

Firman Allah yang bermaksud:

“Dengan sebab (mereka menjaga diri daripada kesalahan), maka Allah selamatkan mereka daripada kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri (di muka) dan perasaan ria gembira (di hati). Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya), mereka dibalas oleh Allah dengan syurga dan (persalinan dari) sutera.” (Surah Al-Insaan)

Pihak melakukan sesuatu yang boleh menggembirakan orang lain kerana pemberian dan pengorbanannya tentulah lebih gembira daripada orang yang menerima. Kepuasan dirasai adalah apabila melihat orang lain dapat merasai apa dirasai, bahagia dengan apa yang diperoleh serta bersyukur dengan rezeki dianugerahi melalui orang yang bermurah hati.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Barang siapa menyediakan makanan berbuka bagi orang berpuasa, nescaya ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang yang berpuasa itu sedikit pun.” (Hadis riwayat Ahmad dan An-Nasai serta dinyatakan sahih oleh Al-Albani)

Tidak perlulah kita memberikan sedekah dalam jumlah yang besar jika berniat untuk menunjuk-nunjuk kebaikan kepada orang lain supaya dipuji atau dikatakan baik hati, sedangkan tiada sedikit pun rasa kehambaan dalam diri.

Orang yang ikhlas menunaikan ibadah ialah orang yang seboleh mungkin cuba ingin berkongsi ketakwaannya dengan dirinya sendiri saja, bukan dengan orang lain.

Jika tidak mampu menghulur wang, cukuplah sekadar beberapa butir kurma, jika itu dapat mengurangkan beban orang yang tidak berkemampuan. Jika tidak mampu juga, mungkin tidak salah mengorbankan masa dan keringat, membantu menyediakan juadah dan menghidangkan makanan kepada orang berbuka puasa, moga-moga diterima Allah sebagai amal ibadah dan sedekah.

Hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi daripada Anas, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sedekah paling utama adalah pada bulan Ramadan.”

Justeru, sama-samalah berdoa dan berharap supaya Ramadan kali ini kita dilindungi Allah daripada segala kejahatan dan kemaksiatan kerana tidak ada syaitan dan iblis yang akan mengganggu gugat nafsu manusia melainkan empunya badan sendiri

Puasa dorong perbanyak ibadat sunat, kebajikan

MEREKA yang berpuasa sebenarnya sedang melaksanakan ibadat penting dari terbit fajar sehingga terbenam matahari. Oleh demikian, seseorang yang sedang berpuasa sebaiknya menjaga diri dan tingkah laku daripada sebarang perbuatan yang boleh mencacatkan ibadat puasanya.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

“Tiga golongan yang tidak ditolak doa permintaannya, antara golongan itu ialah seseorang yang berpuasa apabila dia berbuka puasanya.” (Hadis riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah)

Bagi seseorang yang berpuasa Ramadan, sejak bermula ibadat puasanya hingga berbuka, akan dikabulkan segala doa permintaannya oleh Allah dengan syarat puasanya benar-benar tulen seperti diperintahkan Allah dan Rasul-Nya.

Ibadat puasa membantu menjaga ibadat lain kerana orang yang berpuasa memelihara solatnya dan khusyuk dengan menjaga rukun serta syarat utama solat.

Mereka yang berpuasa dan mendirikan solat, pasti bertanya pada diri sendiri, “bagaimana aku melakukan ibadat diperintah Allah dan pada waktu sama melalaikan ibadat lain? Sedangkan perbuatan itu tidak sepatutnya aku lakukan.”

Mereka yang berpuasa tidak harus melalaikan ibadat lain. Inilah yang dikatakan puasa seharusnya mendorong pelakunya supaya lebih banyak mengamalkan ibadat lain sebagai tanda ketaatan kepada Allah .

Apabila melakukan ibadat wajib, maka dia akan turut sama melaksanakan amalan sunat yang lain. Bukan satu yang menghairankan apabila kita melihat sebahagian besar umat Islam mulai memenuhi ruang masjid untuk solat berjemaah, mengerjakan solat Rawatib, berzikir dan bertadarus al-Quran di sepanjang bulan Ramadan yang mulia ini.

Pelbagai program dan kegiatan dilaksanakan sepanjang Ramadan seperti berbuka puasa, tazkirah selepas solat Zuhur, Tarawih di semua masjid dan surau serta program ceramah hujung minggu. Ini semua membuktikan puasa mengajak memperbanyakkan ibadat dan amalan kebajikan. Objektif utamanya adalah mencari reda Allah supaya dijauhi daripada azab dan seksa di akhirat kelak.

Puasa mendorong individu Muslim melaksanakan amalan kebajikan untuk dirinya sendiri. Mereka melaksanakan ibadat sunat di samping kewajipan puasa Ramadan. Contohnya, solat sunat Tarawih dan Tahajud dibuat pada setiap malam secara berjemaah dan bersendirian. Sememangnya ibadat sunat ini dianjurkan sepanjang bulan mulia ini, sebagaimana Allah mewajibkan ibadah puasa pada siangnya, manakala qiamullail di sepanjang malamnya.

Ibadat puasa yang hakiki memberi manfaat antaranya faedah yang bakal diperoleh daripada sedekah atau zakat fitrah. Berkata sebahagian ulama salaf, “Apabila tibanya Ramadan, perluaskan amalan sedekah dan membantu gologan yang susah kerana amalan itu ganjarannya hampir sama dengan bersedekah di jalan Allah .”

Oleh itu, manusia diperintah memperbanyakkan sedekah pada bulan ini. Nabi Muhammad SAW lebih pemurah pada Ramadan berbanding bulan lain. Baginda bertadarus al-Quran dengan Jibrail dan melaksanakan kebajikan lebih pantas dari angin yang bertiup.

Pada bulan ini, Muslim berpeluang melakukan ibadah dan ketaatan sepenuh hati serta berupaya meninggalkan perbuatan buruk dan maksiat. Perokok tegar mampu meninggalkan tabiat merokok yang sebati pada dirinya selepas berniat untuk berpuasa kerana Allah . Inilah keajaiban Ramadan yang sering dilupakan sebahagian manusia.

Apabila seseorang membuat kebaikan untuk keuntungan dirinya, dia juga perlu menyebarkan segala kebaikan itu kepada orang lain. Apabila kita melakukan kebajikan kerana Allah , kita juga berhak mengajak dan menasihati orang lain melakukan kebajikan sama.

Ajak mereka beroleh faedah yang sama seperti mana sabda Nabi SAW yang bermaksud “Siapa yang mengajak ke arah kebaikan, dia beroleh pahala yang sama daripada pahala orang yang mengikuti nasihatnya itu, malah tidak dikurangi sedikitpun pahala sesama mereka.” (Hadis riwayat Muslim)

Wednesday, September 3, 2008

Kepalsuan Hadis Kelebihan Solat Tarawikh.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata'ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'alaihi wasallam serta para sahabatnya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan tarawikh pada malam-malam ramadhan telah tersebar dengan meluas sekali. Media-media elektronik,media-media cetak serta media-media massa turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar, dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang diberkati itu.

Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut :

"Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan antaranya:

· Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).

· Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

· Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.

· Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.

· Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.

· Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W..

· Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh

Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanahair tentang kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan.

Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini.

Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya didalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama-ulama kita dahulu.

Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya :

Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Riwayat Bukhari, Muslim)

Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad S.A.W. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim.

Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad S.A.W. di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain.

Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam… seterusnya dia berkata: Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga.

Fiman Allah bermaksud:

"Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan." (An-Najm: 3-4).

Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan terawih dalam bulan Ramadhan seperti mana kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang mana sebenarnya hadis itu pun telah di reka atas nama nabi Muhammad S.A.W. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi:

Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang zohor dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri.

Jika dia meninggalkan sembahyang sembahyang asar dosanya adalah seperti meruntuhkan kaa'bah..

Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadhan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud:

Sesiapa yang menghidupkan malam ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)

Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud:

Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan kedalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)

Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun siksaannya namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.

Diantara ciri-ciri hadis maudhu` (rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah :

1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad S.A.W. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi-nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.

2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan dimana ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis shohih.

3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi sepertimana yang terdapat dalam hadis-hadis shohih.

4. Didalam setengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan "Ya Ali" sedangkan ulama-ulama hadis telah mengatakan bahawa hadis-hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang shohih.Yang lainnya adalah palsu.

Oleh itu umat Islam sekalian terutamanya pihak-pihak berkenaan seperti institusi-institusi agama diperingkat negeri dan pusat sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan kedua Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan diayah-diayah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w. Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.

SELAMAT BERPUASA DAN BERIBADAT MENGIKUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W.

~Mufti Terengganu ~

Seminit Bermuhassabah di Bulan Ramadhan

Kita sebenarnya
....Lebih gembira menyambut 1hb Januari daripada 1 Muharram..
Kita sebenarnya
....Lebih tahu apa itu 14 Februari daripada 12 Rabiulawal..
Kita sebenarnya
....Lebih membesarkan hari Sabtu, Ahad daripada hari Jumaat..
Kita sebenarnya
....Lebih khusyuk mendengar lagu daripada mendengar Azan..
Kita sebenarnya
....Lebih suka lepak, tidur, tengok TV daripada sembahyang..
Kita sebenarnya
....Lebih tahu tentang artis pujaan kita daripada nama nabi-nabi Allah..
Kita sebenarnya
....Lebih suka menyebut hello!.. hai! daripada assalamualaikum..
Kita sebenarnya
....Lebih suka menyanyi dangdut daripada berwirid, bertahmid..
Kita sebenarnya
....Lebih suka memuji manusia daripada Tuhan kita sendiri..
Kita sebenarnya
....Lebih suka membaca majalah hiburan daripada buku-buku agama..
Kita sebenarnya
....Lebih suka ke konsert, karaoke daripada ceramah agama..
Kita sebenarnya
....Lebih suka mencarut, @#!*@!! daripada menyebut MasyaAllah..
Kita sebenarnya
....Lebih suka kemungkaran daripada berbuat kebaikkan..
Kita sebenarnya
....Lebih suka memaki, mengumpat orang daripada memuji mereka..
Kita sebenarnya
....Lebih bangga dengan kejahilan kita daripada bersyukur dgn keimanan kita..
Kita sebenarnya
....Lebih cintakan urusan dunia daripada urusan akhirat..

TETAPI bila orang tanya arah tujuan kita, kita pasti akan jawab kita sebenarnya..
Kita sebenarnya....Lebih suka menuju ke Syurga daripada ke Neraka
Layakkah kita dengan Syurga milik Allah SWT???

"Hai Kaumku, sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah kesenangan sementara) dan sesungguhnya akhirat itulah negeri yang kekal. Barangsiapa mengerjakan perbuatan jahat, maka dia tidak akan dibalasi melainkan sebanding dengan kejahatan itu. Dan barangsiapa mengerjakan amalan yang saleh baik laki-laki maupun perempuan sedang ia dalam keadaan beriman, maka mereka akan masuk syurga, mereka diberirezeki di dalamnya tanpa dihisab." (Surah Al Mu'min ; ayat 39-40)
-wallahua'lam-

Antara Bersin dan Menguap

Dari Abu Hurairah radhiyallahu ta’alaa anhu, Rasulullah bersabda, :

“Sungguh Allah mencintai orang yang bersin dan membenci orang yang menguap, maka jika kalian bersin maka pujilah Allah, maka setiap orang yang mendengar pujian itu untuk menjawabnya; adapun menguap, maka itu dari syaitan, maka lawanlah itu sekuat tenagamu. Dan apabila seseorang menguap dan terdengar bunyi: Aaaa, maka syaitan pun tertawa karenanya”. (Shahih Bukhari, 6223)

Imam Ibn Hajar berkata, “Imam Al-Khathabi mengatakan bahwa makna cinta dan benci pada hadits di atas dikembalikan kepada sebab yang termaktub dalam hadits itu. Yaitu bahwa bersin terjadi karena badan yang kering dan pori-pori kulit terbuka, dan tidak tercapainya rasa kenyang. Ini berbeda dengan orang yang menguap. Menguap terjadi karena badan yang kekenyangan, dan badan terasa berat untuk beraktiviti, hal ini karena banyaknya makan . Bersin boleh menggerakkan orang untuk beribadah, sedangkan menguap menjadikan orang itu malas (Fath-hul Baari: 10/6077)

Nabi menjelaskan bagaimana seseorang yang mendengar orang yang bersin dan memuji Allah agar membalas pujian tersebut.

Rasulullah bersabda: "Apabila salah seorang diantara kalian bersin, maka ucapkanlah Al-Hamdulillah, dan hendaklah orang yang mendengarnya menjawab dengan Yarhamukallahu, dan bila dijawab demikian, maka balaslah dengan ucapan Yahdikumullahu wa Yushlihubaalakum (HR. Bukhari, 6224)

Dan para doktor di zaman sekarang mengatakan, “Menguap adalah gejala yang menunjukkan bahwa otak dan tubuh orang tersebut memerlukankan oksigen dan nutrisi; dan karena organ pernafasan kurang dalam mengedar oksigen kepada otak dan tubuh.

Dan hal ini terjadi ketika kita sedang mengantuk atau pusing, lesu, dan orang yang sedang menghadapi kematian. Dan menguap adalah aktiviti menghirup udara dalam-dalam melalui mulut, dan bukan mulut dengan cara biasa menarik nafas dalam-dalam !!!

Karena mulut bukanlah organ yang disiapkan untuk menapis udara seperti hidung.Maka, apabila mulut tetap dalam keadaan terbuka ketika menguap, maka masuk juga berbagai-bagai jenis mikroba, kuman dan debu, atau kutu bersamaan dengan masuknya udara ke dalam tubuh.Oleh karena itu, datang petunjuk nabawi yang mulia agar kita melawan “menguap” ini sekuat kemampuan kita, atau pun menutup mulut saat menguap dengan tangan kanan atau pun dengan punggung tangan kiri.

Bersin adalah lawan dari menguap yaitu keluarnya udara dengan keras, kuat disertai hentakan melalui dua lubang: hidung dan mulut. Maka akan terkuras dari badan bersamaan dengan bersin ini sejumlah hal seperti debu, haba’ (sesuatu yang sangat kecil, di udara, yang hanya terlihat ketika ada sinar matahari), atau kutu, atau mikroba yang terkadang masuk ke dalam organ pernafasan.

Oleh karena itu, secara tabiat, bersin datang dari Yang Maha Rahman (Pengasih), sebab padanya terdapat manfaat yang besar bagi tubuh. Dan menguap datang dari syaithan sebab ia mendatangkan bahaya bagi tubuh.

Dan atas setiap orang hendaklah memuji Allah Yang Maha Suci Lagi Maha Tinggi ketika dia bersin, dan agar meminta perlindungan kepada Allah dari syaitan yang terkutuk ketika sedang menguap. (Lihat Al-Haqa’iq Al-Thabiyah fii Al-Islam: hal 155).

Tuesday, September 2, 2008

Bonus Belanjawan vs Bonus Ramadhan

Bagi meraikan Ramadhan yang mulia, ada baiknya saya mengulas ringkas berkenaan Ramadhan. Bulan ini bolehlah dianggap sebagai bulan ‘bonus' dari Allah SWT sebagai rahmat bagi hamba-hambaNya. Gandaan pahala di bulan dan ketika puasa adalah amat hebat. Ia berdasarkan hadith Qudsi yang menyebut : "Setiap amalan anak Adam adalah digandakan pahalanya kepada sepuluh hingga 700 kali ganda, maka berkata Allah SWT : Kecuali puasa, sesungguhnya ia adalah khas untukKu dan Akulah yang akan membalas kebaikannya, mereka meninggalkan makanan, minuman dan syahwat mereka (di siang hari) hanya keranaKu" (Riwayat Al-Bukhari & Muslim) .

Bonus & Belanjawan

Cuba kita renungkan kembali, kerap kali kita akan merasa gembira apabila tiba hujung tahun bagi mendapat bonus dari majikan kita.

Mengapa kita gembira bila mendapat bonus, gaji dan insentif?

Sudah tentu jawabnya kerana ; "dapat duit " .

Mengapa kita seronok mendapat duit ?

Jawabnya ; kerana boleh membeli itu dan ini, bergaya dan lain-lain.

Lalu berapa lamakah keseronokan barang dan perkara yang dibeli tadi ?

Sudah tentu jawabnya, bergantung kepada apa yang dibeli, ada yang rosak cepat dan ada yang lambat.

Jika demikian, jika barang itu lambat rosak, berapa lamakah keseronokan itu akan berterusan?
Jawabnya, paling panjang adalah sekadar kita masih hidup sahaja.

Baiklah, selepas kematian adakah masih ada seronok?

Jika tidak, maka apakah yang boleh menyeronokkan kita selepas mati ?

Jawabnya ; tidak lain tidak bukan adalah pahala dan amalan yang dikumpul. Jika banyak dan berkualiti, semua matawang pahala itu akan memberi seribu satu macam keseornokan berpanjangan sehingga satu tarikh yang hanya diketahui Allah s.w.t dan ia pastinya amat panjang.

Jika demikian, mengapa tidak tercetus perasaan seronok menerima kehadiran Ramadhan sebagaimana seronoknya kita menerima bonus duit? Sedangkan ramadhan adalah bulan bonus untuk meraih pahala sebanyaknya, bulan dipermudahkan peluang untuk ke syurga Allah s.w.t.

Tapi bezanya, ramai yang kelihatan lebih seronok kerana di permudahkan untuk meraih rumah kediaman di dunia dan mungkin akan dapat 'save' lebih banyak duit. Ini kerana belanjawan baru-baru ini ( untuk tahun 2008) akan mewujudkan lebih banyak rumah kos rendah, kos 'stamp duty' bagi rumah RM 250,000 ke bawah dikurangkan 50 %, boleh menggunakan wang akaun kedua dari KWSP untuk pembayaran rumah, yuran sekolah dan peperiksaan anak ditiadakan, buku teks percuma dan lain-lain. Semua ini disambut dengan gembira kerana memberi ruang untuk mengumpul duit dan digunakan untuk perkara lain.

Manakala pada belanjawan 2009 pula pastinya memberikan sedikit kelegaan buat individu berpendapatan rendah dan sederhana. Antara yang dikira menggembirakan adalah seperti :-

a). Rebat cukai pendapatan dinaikkan dari RM350 kepada RM400 bagi pendapatan bercukai RM35,000. Ekoran itu 100,000 pembayar cukai dari golongan berpendapatan rendah, tidak lagi dikenakan cukai.

b). Cukai jalan bagi kenderaan penumpang bersendirian berenjin diesel milik individu dan syarikat, dikurangkan mengikut kadar cukai jalan kenderaan berenjin petrol, mulai 1 September 2008.

c). Bayaran bonus sebulan gaji bagi 2008 atau minimum RM1,000 dalam dua bayaran pada September dan Disember ini.

d). Kemudahan pinjaman perumahan bagi kerja ubahsuai rumah yang tidak dibeli melalui pinjaman perumahan kerajaan

e). Kelayakan pendapatan isirumah untuk mendapat subsidi yuran Taska bulanan RM180, dinaikkan dari RM2,000 kepada RM3,000 mulai 1 Januari 2009.

f). Kemudahan tambang pergi-balik percuma sekali dalam tempoh dua tahun untuk mengunjungi wilayah asal iaitu antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak ditambah daripada sekali bagi setiap dua tahun, kepada setiap tahun mulai 1 Januari 2009.

g). Pengurangan 50 peratus bayarn tol bagi semua bas, kecuali di pintu masuk sempadan iaitu Tambak Johor, Link Kedua dan Bukit Kayu Hitam untuk tempoh du atahun mulai 15 September 2008.

SERONOK HAKIKI DAN SEMENTARA

Keseronokan jiwa yang hadir kerana dipermudahkan cara untuk memiliki rumah dalam belanjawan baru-baru ini lebih didapat dilihat dan dihayati oleh ramai daripada keseronokan untuk memasuki bulan yang dipermudahkan jalan pemilikan rumah syurga di akhirat yang kekal abadi.

Mengapa ini boleh berlaku kepada hati kita?. Apakah silapnya? Mengapa dan mengapa?. Pernahkah kita memikirkan mengapa gembira berpeluang dapat harta akhirat sebagaimana kita gembira mendapat harta dunia.

"Ya Allah, bantulah kami yang telah menzalimi diri kami, tiada tuhan melainkanMu dan engkaulah yang maha pengampun"

TAWARAN BONUS LUAR BIASA

Justeru, niat yang ikhlas dan benar ketika melaksanakan kewajiban Ramadhan adalah kunci kepada ‘bonus' yang ditawarkan oleh Allah. Bermakna, barangsiapa yang berpuasa Ramadhan bukan kerana Allah tetapi disebabkan oleh rasa malu kepada rakan-rakan, atau ter'paksa' menuruti suasana atau hanya ingin menunjuk-menunjuk dan lain-lain sebab keduniaan, tiadalah orang seperti ini layak mendapatkan ‘bonus' dan tawaran istimewa ‘pahala luar biasa' yang ditawarkan oleh Allah.

Selain itu, pahala ‘bonus' ini juga boleh tergugat dengan amalan-amalan keji bercakap buruk seperti maki, mencarut, mengeji orang, mengumpat, memfitnah dan apa-apa yang berkaitan dengan dosa lidah dan anggota juga akan menipiskan lagi ganjaran pahala seseorang walaupun ia berniat benar ketika berpuasa. Ini ditegaskan oleh Nabi SAW dalam sebuah hadith ertinya
"Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala puasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya" (Riwayat Al-Bukhari, 4/1903 - Fath al-Bari).

Beberapa ulama seperti Abu Gharib Al-Asfahani, Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Prof. Dr Muhd Uqlah Ibrahim (Ulama Fiqh di Jordan) serta lain-lainnya berpandangan bahawa di samping pahala yang berganda. Dosa juga boleh berganda di bulan mulia ini. Beliau ada mengutarakan beberapa dalil, bagaimanapun sukar untuk saya muatkan di ruangan terhad ini. Sebagai jalan terbaik, jauhilah dosa sejauh-jauhnya di bulan ini kerana masih terdapat kemungkinan dosa dipergandakan.

SYAITAN KENA GARI?

Umat Islam perlu lebih fokus untuk mencapai kebaikan di bulan ini. Nabi SAW telah memberikan menyebut juga bahawa pintu syurga dibuka, ditutup pintu neraka serta dibelenggu para syaitan (Riwayat Al-Bukhari, 1/18 ; Muslim, 1/41) ; malah terdapat ulama yang mengatakan bahawa bulan ia dinamakan ‘Ramadhan' (yang bermaksud panas) oleh Allah SWT kerana bulan ini adalah bulan menghanguskan dosa. (Mughni, Ibn Quddamah, 4/116).

Ada pula yang bertanya berkenaan erti Syaitan di belenggu dalam hadith di atas. Sebahagian ulama berpandangan bahawa ia membawa maksud ketidakmampuan Syaitan menguasai orang yang berpuasa sebagaimana penguasaannya di luar bulan ramadhan. ( Al-Muntaqa Min At-Targhib Wa at-Tarhib, Al-Munziri dan Al-Qaradawi, 1/313 )

Ada juga yang menyebut sebahagian jenis Syaitan yang utama sahaja di belenggu, manakala yang lain masih bebas lalu kerana itu masih terdapat yang membuat maksiat di bulan ini. Walaubagaimanapun, sebenarnya ia adalah akibat dorongan nafsu jahat yang telah lama terdidik dan terbiasa dengan ajakan Syaitan. Kebiasaan buruk ini mampu mendorong seseorang kearah kejahatan walau di ketika Syaitan utama di belenggu. (Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Syeikh Atiyyah Saqar, 2/13).

MARI MAKSIMUMKAN BONUS RAMADHAN

Bagi memastikan kesohihan puasa serta mampu memaksimakan pahala dan keuntungan dari Ramadhan, amalan yang berdasarkan nas yang kuat berikut perlu dilakukan:-

1) Berniat dalam hati untuk berpuasa di malam hari.

2) Besahur di akhir malam (yang terbaik adalah jaraknya dengan azan subuh selama bacaan 50 ayat al-Quran secara sederhana). Nabi SAW bersabda :

" Perbezaan di antara puasa kami (umat Islam) dan puasa ahli kitab adalah makan sahur" (Muslim, 2/770).

Selain itu, Nabi juga bersabda : "Bersahurlah kamu, kerana pada sahur itu ada barakahnya" ( Al-Bukhari, 4/1923 ; Muslim).

Baginda SAW juga menyebutkan bahawa Malaikat sentiasa meminta ampun bagi orang yang bersahur. (Riwayat Ahmad, 3/12 ; Hadith Hasan).

Selain makan tatkala itu adalah amat digalakkan kita untuk mendirikan solat sunat tahajjud, witr dan beristifghar dan lain-lain amalan sebelum menunaikan solat subuh berjemaah(bagi lelaki).

Adalah amat tidak digalakkan bagi seseorang yang bersahur dengan hanya makan di sekitar jam 12 malam sebelum tidur. Kebanyakan individu yang melakukan amalan ini sebenarnya amat merasa berat dan malas untuk bangun di tengah malam. Ia pada hakikatnya adalah tidak menepati sunnah yang diajarkan oleh Baginda SAW.

3) Memperbanyakkan bacaan Al-Quran dengan tenang dan tidak tergesa-gesa.

Terdapat ramai ulama silam menyebut tentang kepentingan mendahulukan membaca al-quran di atas amalan sunat seperti menelaah kitab, membaca hadith dan lain-lain. Ia adalah salah satu amalan yang paling diambil berat oleh Nabi SAW ketika baginda membacanya bersama Malaikat Jibrail as. Hal ini disebut di dalam hadith al-Bukhari.

4) Memperbanyakkan doa semasa berpuasa.

Sepanjang waktu kita sedang menjalani ibadah puasa, ia adalah sentiasa merupakan waktu yang sesuai dan maqbul untuk kita berdoa, sebagaiaman di tegaskan oleh Nabi S.a.w :-

ثلاثة حق على الله أن لا يرد لهم دعوة : الصائم حتى يفطر والمظلوم حتى ينتصر والمسافر حتى يرجع

Ertinya : Tiga yang menjadi hak Allah untuk tidak menolak doa mereka, orang berpuasa sehingga bebuka, orang yang dizalimi sehingga dibantu, dan orang bermusafir sehinggalah ia pulang" (Riwayat Al-Bazaar,

Sebuah hadis lain yang hampir sama maksudnya menyebutkan :-

ثلاثة لا ترد دعوتهم : الصائم حتى يفطر والإمام العادل ودعوة المظلوم

Ertinya : Tiga yang tidak ditolak doa mereka, orang berpuasa sehingga berbuka, pemerintah yang adil dan doa orang yang dizalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, Ibn Majah, Ibn Hibban dan Ibn Khuzaimah ; Hadis Hasan menurut Imam At-Tirmidzi dan Ibn Hajar, sohih menurut Syeikh Ahmad Syakir)

5) Memperbanykan doa ketika hampir berbuka

Ini kerana tahap maqbul tatkala itu semakin hebat berdasarkan hadith Nabi s.a.w :

إن للصائم عند فطره لدعوة ما ترد

Ertinya : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala wkatu berbukanya,adalah waktu doa yang tidak ditolak ( Riwayat Ibn Majah ; Sohih)

6) Menyegerakan berbuka puasa selepas kepastian masuk waktu maghrib.

Berdasarkan hadith Nabi SAW :

لا يزال الناس بخير ما عجلوا الفطر

Ertinya : "Sentiasalah umatku berada dalam kebaikan sepannjang kamu menyegerakan berbuka" ( Riwayat Al-Bukhari, 4/1957).

Berbuka juga perlu didahulukan sebelum menunaikan solat maghrib, malah jika pada hari tersebut tahap kelaparan kita agak luar biasa, lebih baik kita berbuka dan makan sekadar kelaparan tidak mengganggu solat Magrhib kita.

Disebutkan bahawa tidaklah Nabi SAW menunaikan solat Maghrib kecuali setelah berbuka walaupun hanya dengan segelas air. (Abu Ya'la dan al-Bazzar : hadith Hasan).

7) Adalah digalakkan pula untuk berbuka dengan beberapa biji rutab ( kurma basah) atau tamar (kurma kering) sebagai mengikuti sunnah, dan jika tiada keduanya mulakan dengan meneguk air.

كان رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏يفطر على رطبات قبل أن يصلي فإن لم تكن رطبات فعلى تمرات فإن لم تكن ‏ ‏حسا ‏ ‏حسوات ‏ ‏من ماء

Ertinya : Rasulullah s.a.w berbuka dengan kurma basah (rutab) sebelum solat dan sekiranya tiada rotab, maka tamar dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air" ( Riwayat Abu Daud, Ahmad & At-Tirmidzi) (Riwayat Abu Daud, 2/2356 : Hadith Hasan).

Sambil memboca doa berbuka yang sohih dari nabi iaitu

ذهب الظمأ وابتلت العروق وثبت الأجر إن شاء الله

" Zahaba az-Zama u wabtallatil ‘uruq wathabatal ajru InsyaAllah"

Ertinya : "Telah hilanglah dahaga, telah basah ular leher dan telah tetap mendapat pahalanya InshaAllah " Riwayat Abu Daud, 2/2357 : Hadith Hasan menurut Albani). Atau doa-doa makan yang biasa.

9) Amat disunatkan untuk menyedeqahkan harta bagi mempersiapkan juadah berbuka untuk orang ramai terutamanya orang miskin. Nabi SAW bersabda :

‏من فطر صائما كان له مثل أجره غير أنه لا ينقص من أجر الصائم شيئا

Ertinya : Barangsiapa yang memberikan juadah berbuka buat orang yang berpuasa maka baginya pahala seperti orang yang berpuasa itu tanpa kurang sedikit pun" ( Riwayat At-Tirmidzi, 3/807; Hadith Hasan menurut Imam At-Tirmidzi).

Disebut dalam sebuah hadis lain

ومن أشبع صائما سقاه الله من حوضي شربة لا يظمأ حتى يدخل الجنة

Ertinya : Barangsiapa yang mengenyangkan seorang yang berpuasa ( berbuka), Allah akan memberinya minum dari telagaku ini dengan satu minuman yang tidak akan haus sehinggalah ia memasuki syurga " (Riwayat Al-Baihaqi ; Ibn Khuzaymah dalam Sohihnya : rujuk juga Tuhaftul Ahwazi, )

10) Menunaikan solat sunat terawih pada malam hari secara berjemaah buat lelaki dan wanita atau boleh juga dilakukan secara bersendirian. Ia berdasarkan hadith riwayat An-Nasaie yang sohih.

Boleh juga untuk menunaikannya separuh di masjid dan separuh lagi di rumah, terutamanya bagi sesiapa yang ingin melengkapkan kepada 20 rakaat.

11) Memperbanyakkan bersiwak (iaitu menggunakan kayu sugi tanpa air dan ubat gigi). Ia juga sohih dari Nabi SAW dari riwayat al-Bukhari.

12) Amaran bagi berbuka di siang ramadhan tanpa uzur :

Nabi SAW bersabda dalam hadith sohih ancaman berat dengan digantung di dagunya dengan terbalik hingga darah mengalir bagi individu cuai. (lihat Al-Muntaqa min At-Tarhib wa targhib).

Selain itu, Nabi juga menyebut bahawa : "Barangsiapa yang berbuka tanpa uzur pada Ramadhan, maka ia tidak mampu mengantikan kerugian dari puasa yang ditinggalkan itu, walaupun ia berpuasa selama-lamanya" ( Riwayat Abu Daud, Ibn Majah)

Sekian dan Ramadhan Kareem..

Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/
28 Syaaban 1428 H
10 September 2007

( KEMASKINI PADA 31 OGOS 2008 , WALES, UK)