Thursday, August 21, 2008

Solat Tengah Malam Penghapus Dosa, Penghalang Maksiat

MENURUT Syeikh Muhammad Solih al-Munajjid, ada beberapa faktor penting yang dilihat boleh membantu umat Islam untuk bangun bagi melakukan solat di tengah malam antaranya:

- Ikhlas kepada Allah dalam setiap tindakan dilakukan bagi meraih keredaan-Nya, iaitu melakukan solat malam dengan merahsiakannya daripada pengetahuan orang ramai, ia bertujuan supaya tidak ada rasa riak dalam diri.

- Hendaklah bagi orang yang melakukan solat malam itu mempunyai perasaan dalaman, bahawa Allah menjemputnya untuk bangun di tengah malam.
- Mengetahui sedalam-dalamnya ilmu mengenai kelebihan bangun di tengah malam berdasarkan pengajian dan perbincangan.

- Memerhati kepada kesungguhan individu terdahulu daripada kita yang istiqamah dan iltizam melakukan qiyamulail khususnya para solihin di kalangan sahabat dan ulama.

- Tidur di atas lambung sebelah kanan akan memudahkan seseorang itu bangun di tengah malam seperti ditunjukkan Rasulullah SAW.

- Tidur dalam keadaan berwuduk seperti ditegaskan Rasulullah dalam sabda yang bermaksud:

“Apabila anda hendak masuk tidur, berwuduklah seperti untuk menunaikan solat.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Muslim daripada al-Barra’Bin ‘Azib)

- Bersegera masuk tidur (tidur pada awal waktu) terutama lepas solat Isyak seperti amalan dilakukan Rasulullah SAW.

- Berzikir dengan wirid yang Ma’thur seperti Ma’thurat sebelum tidur (kerana ia menjadi benteng diri daripada kejahatan syaitan dan membantu untuk mudah bangun) atau membawa ayat pilihan dari al-Quran, baca doa tidur dan membaca tiga Qul.

- Seboleh-bolehnya tidur sebentar pada siang hari yang dikenali sebagai ‘Qailulah’, iaitu sebelum masuk waktu Zuhur atau selepasnya.

- Elak daripada banyak makan dan minum kerana ia boleh membantutkan hasrat untuk bangun di tengah malam.

- Bertekad sedaya upaya untuk bangun malam dalam apa juga keadaan.

- Menjauhkan dosa dan maksiat, kerana ia dikenal pasti sebagai penghalang pertama mudah untuk bangun di tengah malam.

- Membuat perhitungan diri (muhasabah) jika tidak mampu untuk bangun di tengah malam.
Qiyamullail adalah ibadat yang menghubungkan hati kita dengan Allah selain ia adalah sunat muakkad yang sangat dianjurkan oleh Nabi SAW.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud:

“Hendaklah kamu lakukan solat di tengah malam, sesungguhnya ia adalah kebiasaan orang salih sebelum kamu, ia boleh mendekatkan kamu kepada Tuhan, penghapus segala dosa, penghalang daripada terjebak kepada maksiat dan dosa dan penawar kepada penyakit yang ada di tubuh.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Tirmizi)

Dosa Menghitam Hati Dicabut Iman

PENENANG HATI: Masa terluang perlu diisi dengan amal ibadat supaya kekuatan iman bertambah.

Masa luang paling bahaya kerana lemahkan perasaan hingga jejas kesabaran

TAKUTLAH dengan keselesaan dan ketenangan hidup kerana boleh jadi ia seperti sungai yang tenang, tetapi dalamnya boleh menenggelamkan orang yang leka akibat keindahannya. Begitulah perumpamaan dunia yang disediakan untuk menguji.

Firman Allah yang bermaksud:

“…siapakah antara kamu yang lebih baik amalannya. Dia Maha Perkasa (dalam melakukan pembalasan terhadap orang yang derhaka) lagi Maha Pengampun (bagi orang yang bertaubat).” (Surah al-Mulk, ayat 2)

Tetapi mengapa mesti takut jika seseorang sudah beriman. Bukankah hidup ini awal dan akhirnya, susah dan senang, azab dan nikmatnya sudah ditakdirkan untuk setiap yang bernyawa? Seperti kata Umar Al-Khattab mengenai hakikat ujian: “Aku tak kisah selama ujian itu tidak menjejaskan iman dan agamaku.”

Asalkan ada iman, segala-galanya akan menjadi mudah. Sebaliknya, tanpa iman harta yang banyak tidak akan memuaskan, wanita cantik rasa menjemukan, anak ramai, tetapi kesunyian, kawan dan pengikut taat setia, tetapi dicengkam pengkhianatan.

Maka ia memandang manusia dengan pandangan mencurigakan, mencari musuh dan mengumpul kekuatan untuk melawan. Hidup jadi kusut, konflik bertindih-tindih, apa yang ada di tangan tidak boleh menundukkan hatinya. Nafsu menjadi raja, iman semakin susut ke paras terendah.

Saidina Abu Darda’ pernah berkata: “Antara tanda kefahaman seorang hamba adalah dia mengetahui apakah imannya bertambah atau berkurang.”

Sesungguhnya iman boleh naik dan turun, ia diuji dengan pelbagai masalah kehidupan. Sama seperti ujian kemewahan dan kemiskinan yang disentuh dalam al-Quran.

Firman Allah yang bermaksud:

“Katakanlah: jika bapa, anak, saudara, isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan kamu usahakan, perniagaan kamu khuatiri kerugiannya, dan tempat tinggal kamu sukai, adalah lebih kamu cintai daripada Allah dan Rasul-Nya dan dari berjihad di jalan-Nya, maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya dan Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang yang fasik.” (Surah al-Taubah, ayat 24)

Firman Allah lagi yang bermaksud:

“Dan sungguh akan kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)

Menjadi sifat dan tabiat buruk manusia apabila diuji ingat kepada Tuhan dan jika hilang kesusahannya ia berpaling daripada Tuhan. Hal ini dinyatakan menerusi sindiran al-Quran yang bermaksud:

“Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang menimpanya. Begitulah orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan.” (Surah Yunus, ayat 12)

Semestinya ketika musibah berakhir dan berganti dengan keselamatan, seseorang semakin kuat bergantung kepada Allah dan berwaspada jika peristiwa itu berulang lagi. Kemudian bertambah kesyukuran dan selalu mengingati jasa Allah kepada dirinya.

Apabila dia melihat saudaranya ditimpa musibah, hatinya kembali mengingati bahawa dia pun terdedah kepada musibah itu dan bertambahlah harapannya kepada Tuhan. Begitulah kefahaman iman yang sejati ketika menghadapi ujian.

Selain ujian kehidupan, iman juga boleh dicabar dengan dosa kecil dan besar. Orang melakukan dosa, maka serta-merta berkuranglah imannya. Adakah sesuatu yang boleh menggugat ketenangan hati manusia? Yang menggetarkan hati adalah dosa, yang menghitamkan hati juga dosa, yang menggelapkan pandangan dan mengotori perasaan manusia hanya dosanya.

Seseorang boleh terjejas tumpuan amalnya kerana dosa, lemah azamnya kerana dosa, keruh hubungan dengan sesama manusia kerana dosa. Dan yang paling hebat impak dosa adalah terlempar manusia dari sisi Allah dan tercabutnya iman daripada hati.

Untuk itu, penting menjaga iman supaya sentiasa tegak pada paras yang tinggi atau setidak-tidaknya konsisten dan istiqamah begitu mendesak untuk disegerakan melebihi segala-galanya. Seboleh-bolehnya yang menjadi agenda terpenting dalam kehidupan kita adalah bagaimana cara melonjakkan iman dan menyurutkan maksiat.

Saidina Abdullah Masud berkata: “Seorang Muslim tidak akan sampai pada hakikat iman sehingga masa baginya lebih berharga daripada hartanya.” Dia begitu menghargai masa, mengisi dengan perbuatan berfaedah dan sentiasa mengejar sasaran tertentu. Tidak salah apabila seseorang mempunyai impian, asalkan bukan angan-angan kosong.

Khalifah Umar bin Abdul Aziz berkata: “Aku memiliki jiwa yang cekal untuk mendapat segala keinginanku. Dulu, aku ingin berkahwin dengan anak perempuan bapa saudaraku akhirnya aku memilikinya. Lalu aku ingin menjadi Gabenor Madinah, aku ingin menegakkan keadilan dan aku memperolehnya. Kemudian aku ingin menjadi khalifah kaum Muslimin dan aku mendapatkannya. Adapun kini, aku merindukan yang lebih tinggi lagi, sekarang aku merindukan syurga Allah .”

Betapa tingginya cita-cita semata-mata mahu memperjuangkan agama Allah dalam apa juga bidang diceburi. Alangkah singkatnya masa yang ada, sehingga al-Imam Hasan al-Banna berkata: “Sesungguhnya kewajipan kamu lebih banyak daripada masa yang kamu miliki.”

Bagaimana mungkin seseorang boleh menunda pekerjaan yang baik di sisi Allah padahal dia tidak tahu mungkin esok mendapat serangan penyakit atau musibah yang menjejaskan segala sasaran dibinanya.

Masa terluang adalah saat paling berbahaya kerana dosa dan kejahatan itu berpunca daripada masa dan hati yang kosong. Hanya dengan bekerja, beramal dan beribadat seseorang memiliki kekuatan iman, manakala menganggur, malas dan berhibur berlebihan akan melemahkan iman.

Al-Imam Ibnu Al-Qayyim berkata: “Setiap hembusan nafas dan titisan peluh yang keluar di dunia tidak dalam rangka ketaatan kepada Allah , maka akan keluar pada hari kiamat dalam keadaan menyesal.”

Abu Bakar al-Siddiq masuk ke sebuah kebun milik sahabat Ansar, bersama sahabatnya beliau duduk menikmati keindahan kebun, buah-buahan sedang ranum menunggu masa untuk dipetik, rantingnya tidak kelihatan disebabkan banyaknya buah, sementara burung bergayutan kegirangan.

Sahabat berasa gembira dengan pemandangan indah itu, tetapi mereka melihat Abu Bakar duduk sendirian sambil menangis teresak-esak. Mereka bertanya hairan: “Wahai Khalifah, apa gerangan yang terjadi pada dirimu? Abu Bakar menjawab: “Saya melihat burung ini, betapa beruntungnya ia, hinggap di sebatang ranting dan memakan buahnya, ia mendatangi sungai yang jernih dan meminum airnya, ia mati tanpa dihisab dan tiada mendapat azab. Oh seandainya aku hidup seperti burung ini, oh…seandainya ibuku tidak melahirkanku.” Akhirnya sahabat yang lain ikut menangis.

Jauhnya pandangan dan sensitifnya perasaan Saidina Abu Bakar, bukti kentalnya iman di dada. Pada saat tidak terduga pun (ketika bersantai) beliau mampu membangkitkan keinsafan dan menyuburkan imannya. Sesuatu yang agak mustahil dilakukan pada zaman ini di mana ramai generasinya dalam terkena bala pun masih sempat bermaksiat.

Ya Allah hidupkanlah iman di dada kami setiap saat.

Friday, August 15, 2008

Perjuangan Bantu Agama Hanya Terhenti Di Akhir Usia

SETIAP insan pasti akan hilang segenap kekuatan yang pernah ada secara perlahan-lahan. Kita terpaksa akur dengan fitrah alam yang akan merenggut tulang kita menjadi rapuh, darah dan daging sudah tidak sesegar dulu lagi. Manakala rambut pula memutih dan kulit menjadi kering. Semuanya tidak lagi cantik dan menarik.

Begitulah bekas hasil perjuangan hidup. Perjuangan untuk membuktikan kita adalah hamba Allah yang berjaya. Adakah bekas sujud masih kelihatan? Tujuh anggota badan kita itu masihkah dapat bertahan dalam menikmati rakaat yang panjang? Apakah kedua mata itu masih berminat kepada al-Quran? Bukankah al-Quran berisi kalimah cinta Allah kepada hamba-Nya?

Biarlah segala-galanya hilang, tua, lemah dan tidak berdaya. Jika kita bertemu Allah nanti, saat sakaratul maut datang menjemput, katakanlah dengan bangga kepada yang dikasihi:

"Wahai Tuhanku, saksikanlah tubuh kurusku yang berpenyakit, mata rabunku, tulangku, darah dan dagingku semuanya aku persembahkan kepada-Mu, mereka semua pernah beribadat, berjuang dan bekerja untuk keredaan-Mu, Ya Allah . Bangkitkan mereka pada hari akhirat nanti dengan bekas perjuangan pada jalan-Mu."

Mengapa harus bersedih pada penghujung usia? Biarlah anak-anak dewasa dengan cita-citanya sendiri. Asalkan mereka menjadi manusia yang berguna untuk agama, bangsa dan negara. Cukuplah bagi kita untuk tertawa bergembira menikmati hari tua ini.

Mengapa harus melayan perasaan yang semakin membuat kita pikun. Bukankah belantara ilmu masih belum diterokai semuanya? Bacalah buku yang bermanfaat. Kita ada al-Quran dan masjid tempat merehatkan hati yang lara. Cucu kita yang perlukan bimbingan dan kasih sayang, hati mereka bagai kertas putih yang sepatutnya ditulis di dadanya iman dan ilmu.

Umat ini perlu kepada islah, revolusi akidah, ibadat dan akhlak. Masyarakat masih lagi sakit dengan keruntuhan moral dan jenayah. Agama ini belum lagi menang! Sesungguhnya tiada kata rehat di dunia ini. Jangan sebut pencen dan bersantai lalai! Selagi ajal belum sampai, perjuangan untuk membuktikan cinta kita kepada Allah mesti diteruskan. Kerehatan dan kesenangan itu hanya ketika berada di syurga kelak. Dunia ini adalah tempat berjuang sampai kita terkorban kerana-Nya.

Bagaimana kehidupan Rasulullah ketika tua? Rasulullah wafat pada usia 63 tahun. Sehingga detik-detik terakhir dalam hidupnya baginda masih mengimamkan sembahyang berjemaah, mengajarkan ilmu, menyebarkan dakwah dan mengatur strategi penyebaran Islam ke luar Madinah.

Terakhir kalinya baginda mengirimkan pasukan tentera yang dipimpin oleh seorang anak muda kesayangan baginda iaitu Usamah bin Zaid r.a, anak daripada anak angkatnya sendiri.

Berketurunan seorang hamba sahaya, tetapi ayahnya juga seorang pejuang dan ahli tafsir terhebat di kalangan sahabat Nabi Muhammad SAW dan orang pertama menuliskan al-Quran dengan tangannya sendiri iaitu Zaid bin Harithah.

Bayangkan ketika Rasulullah dalam keadaan sakit, tua dan lemah, baginda masih bekerja bersungguh-sungguh untuk dakwah Islam. Baginda juga masih menerima wahyu daripada Allah . Daripada Anas r.a beliau berkata:

"Sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla menurunkan wahyu kepada Rasulullah sebelum wafatnya, sampai detik terakhir, baginda masih sering menerima wahyu." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Tiada kerehatan walaupun baginda seorang penguasa, pemimpin umat dan rasul pilihan. Jika beliau mahu nescaya memperoleh harta kekayaan, perhiasan dan layanan istimewa. Bahkan dunia seisi boleh dengan senang Allah kurniakan. Tetapi baginda memilih untuk hidup dalam kesusahan dan perjuangan.

Masa berlalu begitu berharga demi menolong agama Allah ini, sampai ke akhir usia. Kerja yang dibuat tiada noktah penghabisannya kecuali maut yang memisahkan roh dari jasad. Kembalilah kepada Allah dengan diredai dan reda kepada-Nya, Radhiyatan Mardhiyyah.

Rasulullah bersabda yang maksudnya: "Setiap hamba akan dibangkitkan dari kuburnya sesuai dengan keadaannya ketika dia wafat." (Hadis riwayat Muslim)

Kemuliaan seorang anak manusia bukan terletak pada pangkat dan darjatnya, harta dan perhiasannya atau keturunan nasabnya. Ia akan dikenang kerana kemuliaan amal perbuatannya. Jika dia mati dalam keadaan semua orang yang mengenalinya berasa kehilangan dan sayang kepadanya, maka sesungguhnya dia adalah seorang yang benar berpengaruh.

Pengaruh yang baik, bekas peninggalan yang baik, sejarah dan kenangan yang baik.
Pada usia tua, sakit adalah takdir yang harus diredai. Ia sebagai kaffarah bagi kesilapan pada masa muda dulu. Berbaik sangka kepada Allah . Teruskan bekerja dan beramal, ibadat dan muamalah sesama insan. Sampai Allah sudi menerima kita sebagai hamba-Nya yang teruji.

INTI PATI

-Perjuangan mencintai Allah tiada penghujungnya selagi nyawa belum dicabut.

-Kesenangan hanya ada di syurga.

-Nabi Muhammad menghabiskan riwayat hidup dengan berdakwah dan memperjuangkan syiar Islam.

-Kemuliaan seseorang itu dilihat daripada keikhlasan amal ibadatnya.

-Sakit pada usia tua adalah kaffarah bagi kesilapan kita pada masa muda dulu.

Sedekah Jalin Hubungan Sesama Manusia

BERDASARKAN rukun Islam keempat yang mewajibkan kita memberikan zakat dan fitrah, maka dengan sendirinya kita akan menyedari pentingnya satu bentuk "persyarikatan" dalam pengagihan sumber rezeki supaya ia dapat dinikmati semua golongan.

Mereka yang berjaya, hidup bahagia dengan segala kecukupan makanan, pakaian, wang ringgit dan harta benda, sewajarnya bersyukur serta menyedari semua itu datangnya daripada pemberian dan rahmat Allah SWT.

Bagi si miskin yang malang dan menderita, tidaklah bererti ia harus melalui kehidupan ini dengan perasaan rendah hati, kecewa serta putus asa. Sebaliknya mereka wajarlah menghadapinya dengan penuh kesabaran.

Dari aspek sosial, amalan sedekah adalah satu jalan tengah atau sebuah saluran bagi golongan kaya dan mampu memberikan pertolongan serta simpati kepada golongan miskin yang kurang bernasib baik.

Jelasnya, sedekah bukan saja bertujuan membantu sesama ummah, malah melanjutkan kesinambungan wadah silaturahim serta semangat kekeluargaan antara manusia sejagat di samping memberikan penekanan supaya seseorang itu tidak terlalu mementingkan keperluan sendiri saja.

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

"Sesungguhnya tangan yang memberi itu adalah lebih baik daripada tangan yang menerima."

Dalam suatu riwayat, Nabi Muhammad SAW pernah mengingatkan seorang sahabat yang menangguhkan bayaran upah kepada seorang hamba:

"Janganlah sampai berlaku kezaliman dan penganiayaan dari orang kaya kepada orang miskin, serta berikanlah upah untuk pekerjamu sebelum kering peluh didahinya."

Menurut hadis At Tirmizi oleh Mutafaq Alaih dinyatakan bahawa

"Akan mampu terjauh seseorang Muslim itu daripada bahang kepanasan api neraka walaupun hanya dengan memberikan sebiji tamar sebagai sedekah."

Fungsi sedekah daripada kaca mata Islam sesungguhnya adalah besar dan luas. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

"Sesungguhnya Aku ini amat pemurah dan penyayang, kepada mereka yang menghubungkan silaturahim dan memperbanyakkan sedekah nescaya akan Aku tambahkan rezeki kepadanya, tetapi kalau mereka memutuskan perhubungan, kikir dan kedekut nescaya kupendekkan rahmatku kepadanya." (Surah Al-Baqarah, ayat 26)

Bagaimanapun, menjadi lumrah bahawa kebanyakan manusia mudah lupa daratan serta banyak terpengaruh dengan dorongan kehendak nafsu tamak dan haloba, tanggapan dan penerimaan mereka terhadap kekayaan harta benda menjadikan mereka lupa bahawa di akhirat nanti ada tiga perkara yang disoal iaitu ke mana umurnya dihabiskan, bagaimana hartanya dibelanjakan dan apa amalannya ketika hidup.

Menurut pandangan Islam, sedekah itu tidak terbatas kepada pemberian dalam bentuk kebendaan serta wang ringgit saja. Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

"Berikanlah sedekah walaupun dengan hanya sebuku roti atau sebuah senyum yang manis."

Dalam sebuah riwayat daripada Jabar dan Anas:

Bahawa aku pernah mendengar Nabi Muhammad SAW bersabda:

"Sesungguhnya orang-orang yang dengan ikhlas mengalihkan batu atau mengubahkan ranting kayu yang menghalang perjalanan lalu lintas orang ramai di sebatang jalan pun adalah dikira mendapat pahala sedekah, dan pada tiap pohon serta tanaman yang dikerjakan oleh petani lalu apabila buahnya dimakan oleh unggas atau burung maka itupun juga adalah dikira sebagai sedekah."

Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud:

"Akan beroleh pahala yang besar bagi seseorang Muslim apabila bau dari masakannya tercium oleh jiran sebelah lalu kemudian bergegas dia pergi untuk menyedekahkan semangkuk. Dan tidak ada syafaat bagi seseorang Muslim apabila dia sihat dan kenyang tetapi di sebalik dinding ada jirannya yang susah dan lapar."

Dalam sebuah syair Arab dikatakan bahawa perbuatan memburu serta menambun harta benda dunia ini tidak ubah seperti perbuatan kita memburu bayang-bayang, ia sememangnya tak pernah akan kesampaian dan mencukupi, lantaran semakin banyak anggur hidup ini diminum maka semakin lagi terasa dahaganya.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Sesungguhnya manusia itu adalah sentiasa tamak dan haloba, jikalau aku berikan sebuah lembah emas maka nescaya ia tidak pernah merasa cukup lalu kemudiannya meminta lagi."

Sementara itu, menurut keterangan ulama, sedekah itu adalah antara amalan yang boleh menghapuskan dosa. Andainya konsep amalan sedekah dapat dilaksanakan sepenuhnya, maka sudah tentu akan segera berkembang sebuah institusi ummah di mana tidak akan ada mereka yang terlalu kaya tetapi dari sudut lain ada yang daif dan fakir.

Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud:

"Sesungguhnya syurga itu terdiri daripada banyak kunci, maka salah satu anak kunci syurga ialah pahala sedekah."

Tambah Baginda SAW lagi:

"Bila-bila pun sedekah itu sentiasa mendapat ganjaran pahala, namun sedekah yang paling utama serta tinggi darjatnya ialah sedekah yang diberikan pada bulan Ramadan."

Thursday, August 14, 2008

QADHA SOLAT

Soalan:

Adakah saya wajib mengqadha (mengganti) solat yang telah saya tinggalkan? Bagaimana caranya untuk saya menggantikan solat-solat yang saya tinggalkan dalam jangka waktu yang lama?

Jawapan;

Solat atau sembahyang merupakan kewajipan dalam Islam yang mesti ditunaikan oleh setiap muslim yang mukallaf. Al-Quran menegaskan;“Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada Dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan Yang Diwajibkan atas orang-orang Yang beriman, Yang tertentu waktunya”. (an-Nisa’: 103)

“Kitaban Mauqutan” dalam ayat di atas bermaksud “Kewajipan yang ditetapkan ke atas mukallaf dan ditentukan waktu-waktunya”.

Al-Quran juga menegaskan;“Peliharalah solat-solat kamu dan solat wusta (yakni solat Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam solat kamu) dengan tunduk dan khusyuk”. (al-Baqarah: 238)Apabila seorang muslim tertingal satu solat atau lebih, wajib atasnya mengqadha secara tartib (yakni mengikut urutan) jika bilangan solat yang tertinggal itu kurang dari lima solat. Jika lebih dari lima, maka tidak wajib tartib.

Jika ia mengetahui dengan pasti bilangan solat yang ia tinggalkan, hendaklah ia mengqadha dengan bilangan yang sempurna. Adapun jika ia tidak mengetahui dengan pasti, hendaklah ia mengqadha dengan bilangan yang kuat sangkaannya bahawa ia telah mengganti bilangan yang tertinggal itu. Ia hendaklah berusaha memastikannya sekadar termampu sekalipun ia tidak dapat menentukannya secara tepat.

Dengan melakukan demikian, akan gugurlah darinya dosa kerana meninggalkan solat. Tinggal lagi dosa melewatkan solat dari dari waktunya, maka dosa ini tidak terbebas darinya kecuali dengan taubat dan istighfar.

Bagi seorang yang meninggalkan solat dalam jangka-masa yang panjang seperti enam bulan sebagai contohnya, antara cara untuk ia mengqadha ialah dengan menentukan tempoh qadha mengikut tempoh lama ia meninggalkan solat itu, iaitu; setiap kali masuk waktu solat, ia menunaikan solat wajib di dalam waktu tersebut, kemudian diikuti dengan solat qadha yang sama jenis dengan solat wajib tersebut. Contohnya; apabila masuk waktu subuh, ia menunaikan solat subuh, kemudian setelah itu menunaikan pula solat qadha subuh. Bila masuk waktu zohor, ia melakukan seperti itu juga. Begitu juga pada waktu-waktu yang lain hinggalah sampai tempoh atau jangka-masa yang ia meninggalkan solat. Dengan melakukan demikian, akan bebaslah dari dirinya tanggungan solat yang ditinggalnya.

Adalah harus meninggalkan solat-solat sunat rawatib yang mengiringi solat-solat fardhu untuk memberi tumpuan kepada mengqadha solat-solat yang tertinggal, sehinggalah apabila selesai dari qadha barulah kembali kepada solat-solat sunat rawatib itu.

Wallahu A’lam.

TAWASSUL DENGAN NABI

Soalan;

Apa maksud tawassul? Adakah harus kita bertawassul kepada Nabi s.a.w.?

Jawapan;

Dari sudut bahasa, kalimah at-Tawassul bermaksud mengambil satu jalan untuk sampai kepada sesuatu. Adapun dari segi Syara’, ia bermaksud; mendekatkan diri kepada Allah melalui jalan mentaatiNya, beribadah kepadaNya, mengikuti para Nabi dan RasulNya dan dengan apa sahaja amalan atau cara yang disukai Allah dan diredhaiNya. Firman Allah (bermaksud); “Wahai orang-orang beriman! Bertaqwalah kepada Allah dan carilah wasilah kepadaNya (yakni jalan yang boleh menyampaikan kepadaNya), serta berjihadlah pada jalanNya supaya kamu beroleh kejayaan”. (Al-Maidah; 35)

Tawassul ada yang disepakati oleh para ulamak dan ada yang diikhtilafkan. Tawassul yang disepakati oleh ulamak akan keharusannya –malah digalakkan melakukannya- ialah;

1. Tasawwul dengan nama-nama Allah dan sifat-sifatNya
2. Tawassul dengan amal soleh
3. Tawassul dengan doa orang soleh

Tawassul melalui cara-cara di atas telah disepakati oleh para ulamak dan tidak ada ulamak yang mempertikainya. Adapun jenis tawassul yang diiktilafkan ialah bertawassul kepada Allah (iaitu berdoa kepadaNya) dengan kemuliaan atau kemegahan zat salah seorang dari hambaNya.

Contohnya; bertawassul dengan zat Nabi atau mana-mana orang soleh untuk memohon suatu hajat dari Allah. Para ulamak dalam menjelaskan hukum tentangnya ada beberapa pandangan;

Pertama;

Pandangan yang mengharamkannya secara keseluruhannya iaitulah pandangan Imam Ibnu Taimiyyah, Syeikh Nasiruddin al-Albani, Syeikh Bin Baz dan yang sealiran dengan mereka. Mereka berpandangan tawassul sedemikian adalah tidak harus dan bid’ah kerana tidak disebut oleh al-Quran dan tidak pernah diamalkan oleh Nabi s.a.w.. Adapun hadis-hadis yang menyebutkan tentang tawassul sahabat dengan Nabi s.a.w. maka maksudnya ialah tawassul dengan doa baginda, bukan dengan zatnya.

Menurut Imam Ibnu Taimiyyah; “Lafaz tawassul dikehendaki maknanya dengan tiga perkara;

(1) Bertawassul kepada Allah dengan cara beriman kepada Rasulullah s.a.w. dan mentaati baginda.

(2) Bertawassul dengan doa dan syafaat bagindaKedua-dua bentuk tawassul di atas telah disepakati keharusannya oleh ijmak ulamak. Siapa mengingkarinya ia adalah kafir dan murtad. Ia diminta supaya bertaubat. Jika enggan bertaubat, hendaklah dibunuh.

(3) Tawassul dengan makna bersumpah kepada Allah dengan zat Rasulullah s.a.w. atau memohon kepada Allah dengan zat baginda. Tawassul yang ketiga ini tidak pernah dilakukan oleh para sahabat sama ada ketika baginda masih hidup atau setelah baginda mati, sama ada di sisi kubur baginda atau di sisi kubur orang lain”. (Lihat; at-Tawwasul wa al-Wasilah, al-Imam Ibnu Taimiyyah).

Kedua;

Pandangan yang mengkhususkan keharusan dengan Nabi s.a.w. sahaja, yakni harus bertawassul dengan Nabi s.a.w., namun dengan orang lain (termasuk para sahabat, wali-wali Allah dan sebagainya) adalah tidak harus. Pandangan ini diambil dari Imam Izzuddin Ibnu ‘Abdissalam.

Beliau berdalilkan sebuah hadis yang menceritakan; “Seorang lelaki yang buta matanya datang kepada Nabi s.a.w., lalu ia berkata; ‘Ya Rasulullah! Berdoalah kepada Allah supaya Dia menyembuhkan mataku’. Lalu Rasulullah menyuruhnya mengambil wudhuk, menunaikan solat dua rakaat dan seterusnya berdoa seperti di bawah; “Ya Allah! Aku bermohon dan bertawajjuh kepadaMu dengan nabiMu Muhammad, nabi rahmat. (Aku telah meminta kepadanya (yakni kepada Muhammad);) ‘Ya Muhammad! Sesungguhnya aku bertawajjuh kepada Tuhanku dengan kemuliaanmu bagi hajatku ini supaya Ia menunaikannya untukku’. Ya Allah! Berilah syafaat kepadanya untukku’” (HR Imam at-Tirmizi dan al-Hakim. Menurut Imam at-Tirmizi, hadis ini adalah hasan soheh).

Ketiga;

Pandangan yang mengharuskannya secara mutlak, iaitu harus bertawassul sama ada dengan kemegahan zat Nabi Muhammad s.a.w., para Nabi yang lain atau orang-orang soleh. Pandangan ini diutarakan –antaranya- oleh Imam as-Subki, as-Syaukani, al-Alusi, Syeikh Zahid al-Kauthari dan Syeikh Muhammad Hasanin Makhluf (bekas mufti Mesir).

Antara dalil mereka ialah;

riwayat oleh Imam Ibnu Syaibah dari Malik ad-Dar dengan sanad yang soheh –sebagaimana yang ditegaskan Imam al-Hafidz Ibnu Hajar dalam Fathul-Bari- yang menceritakan; “Telah berlaku kemarau yang teruk pada zaman Umar r.a., lalu seorang lelaki pergi ke kubur Nabi s.a.w., lalu ia berkata; ‘Wahai Rasulullah! Mohonlah hujan (dari Tuhanmu) untuk umatmu kerana sesungguhnya mereka telah mengalami kemusnahan (kerana kemarau)’. Pada malamnya, lelaki itu bermimpi Rasulullah datang kepadanya dan berkata; “Pergilah kepada Umar, sampaikan salamku kepadanya dan khabarkan kepadanya bahawa mereka akan dikurniakan hujan (oleh Allah)”. Menurut Imam Ibnu Hajar, lelaki tersebut bernama Bilal bin al-Harith al-Muzani dan beliau merupakan seorang sahabat. (Rujuk; Fathul-Bari, juz. 3, hlm. 148 dan al-Isabah, juz. 3, hlm. 4).

Peristiwa di atas berlaku pada zaman Saidina Umar dengan diketahui oleh para sahabat termasuklah Umar sendiri dan tidak ada seorangpun di kalangan mereka yang mengingkarinya, menunjukkan bahawa ia adalah harus. Adapun pandangan Imam Izzuddin yang mengkhususkan keharusan bertawassul seperti itu dengan Rasulullah s.a.w. sahaja, yakni tidak harus dengan orang lain, maka pandangan itu dapat dipertikaikan kerana tidak ada dalil yang menegaskan bahawa hal tersebut hanya khusus untuk baginda sahaja. Apabila tiada dalil khusus, maka kekallah ia dengan sifat umumnya.

Kesimpulan;

Bertawassul dengan Nabi s.a.w. jika dengan makna mencari wasilah/jalan kepada Allah dengan cara beriman kepada baginda s.a.w. dan mentaatinya atau dengan makna memohon hajat kepada Allah dengan doa dan syafaat baginda (ketika hayatnya), maka tawassul sebegini adalah harus dengan ijmak para ulamak. Adapun bertawassul dengan makna memohon kepada Allah dengan menyebutkan zat atau kemuliaan baginda (selepas kewafatannya), maka ia diikhtilafkan di kalangan ulamak. Masing-masing dengan hujjah yang tersendiri. Hal ini dijelaskan juga oleh Imam Hasan al-Banna dalam Usul al-‘Isyrinnya; “Berdoa jika diiringi dengan bertawassul kepada Allah dengan salah seorang dari makhluknya merupakan perkara khilaf dalam masalah furu’ dalam cara berdoa dan ia bukan tergolong dalam masalah-masalah aqidah” (Usul ke 15).

Namun demikian, jika kita dapat mengambil sikap yang mengeluarkan kita dari khilaf itulah yang terbaik sebagaimana ditegaskan oleh ulamak dalam kaedah Fiqh; “Mengambil jalan untuk keluar dari khilaf adalah digalakkan”. Di hadapan kita ada tiga jenis tawassul yang disepakati oleh ulamak keharusannya –malah amat digalakkan kita menggunakannya- iaitu bertawassul dengan nama-nama Allah dan sifat-sifatNya, bertawassul dengan dengan amal soleh kita dan bertawassul dengan doa orang soleh. Tiga tawassul ini sudah mencukupi bagi kita untuk meninggalkan jenis tawassul yang dikhilafkan oleh ulamak (iaitu tawassul dengan orang yang telah mati). Dari tiga tawassul tersebut, yang terbaik ialah bertawassul dengan nama-nama Allah kerana Allah berfirman (yang bermaksud); “Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah (dan berdoalah) kepadaNya dengan menyebut nama-nama itu” (al-A’raf; 180) .

Wallau a’lamu bisshawab.

Wednesday, August 13, 2008

MANDI TELANJANG

Soalan;

assalamualaikum..ustaz saya nak tanya satu soalan. Apa hukum seseorang yang sudah baligh mandi dalam keadaan telanjang?

Jawapan;

Mandi telanjang jika di khalayak ramai hukumnya haram. Adapun di tempat tersembunyi atau tertutup, diharuskan.

[1] Menurut Qadhi ‘Iyadh; hukum harus ini adalah pandangan jumhur (majority) ulamak. Mereka berdalilkan hadis Nabi s.a.w. yang menceritakan; “Adalah Bani Israel mandi dengan bertelanjang (sesama mereka di mana) sebahagian mereka melihat kepada sebahagian yang lain. Akan tetapi Nabi Musa a.s. mandi bersendirian (kerana menjaga auratnya). Maka mereka (yakni Bani Isreal) mendakwa; ‘Demi Allah! Tidak menghalang Musa mandi bersama kita melainkan kerana buah zakarnya bengkak’. Satu hari Musa pergi untuk mandi. Ia meletakkan pakaiannya di satu batu. Tiba-tiba batu itu lari bersama pakaiannya. Musa pun keluar dari tempat mandi itu (dalam keadaan bertelanjang) mengekori batu itu sambil memanggil; ‘Pakaianku, wahai batu’, hingga ia dilihat oleh Bani Isreal. Maka mereka berkata; ‘Demi Allah! Tidak ada sebarang kecacatan pada Musa (sebagaimana yang didakwa)’. Musa dapat mengambil kembali pakaiannya dan dia lalu memukul batu itu” (Riwayat Imam al-Bukhari dari Abu Hurairah r.a.). Jika mandi bertelanjang di tempat tertutup itu haram hukumnya, sudah tentu Nabi s.a.w. akan menjelaskannya dalam hadis di atas. Maka tanpa penjelasan dari baginda, menunjukkan bahawa perbuatan tersebut adalah harus. Menurut ulamak; berhujjah dengan hadis tersebut adalah satu cabang dari berhujjah dengan syariat sebelum Islam.

Walaupun harus, namun yang terbaik ialah mandi dengan menutup aurat dengan kain basahan atau sebagainya. Ini kerana terdapat hadis dari Mu’awiyah bin Haidah r.a. yang menceritakan; Aku telah bertanya Rasulullah s.a.w.; “Ya Rasulullah! Bila masanya wajib kami tutup dan bila masanya harus kami buka?”. Jawab baginda; “Jagalah aurat kamu kecuali kepada isteri kamu atau kepada hamba yang kamu miliki”. Aku bertanya lagi; “Bagaimana jika sekiranya seseorang dari kami sedang bersendirian?”. Nabi menjawab; “Allah lebih layak untuk kamu malu dari manusia” (Riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmizi, an-Nasai dan Ibnu Majah. Kata Imam at-Tirmizi; hadis ini hasan).

Imam Abu Laila menyanggahi pandangan jumhur di atas di mana menurut beliau; ditegah mandi telanjang sekalipun ditempat tertutup atau tersembunyi kerana air juga mempunyai penghuninya.

Wallahu a’lam.

Rujukan;
1. Syarah Soheh Muslim, Imam an-Nawawi, juz. 4, Kitab al-Haidh, Bab Jawaz Ightisal Uryanan Fi al-Khalwah.

Nota kaki;

[1] Secara amnya, harus bertelanjang ketika bersendirian jika ada keperluan seperti ketika mandi, ketika buang air, ketika bergaul dengan isteri dan sebagainya. Jika tiada keperluan, para ulamak berbeza pandangan. Menurut mazhab Syafi’ie (berdasarkan pandangan yang rajah); haram bertelanjang tanpa ada keperluan, yakni; hukum menutup aurat ketika bersendirian adalah wajib kecuali ketika perlu membukanya seperti dalam beberapa keadaan di atas.