Thursday, July 10, 2008

Perbezaan Ayat Makiyyah, Madiniyyah

KITAB suci al-Quran mengandungi 114 surah iaitu 86 surah Makiyyah dan 28 surah Madiniyyah. Jumlah ayatnya pula adalah 6,236 ayat iaitu 4,613 ayat Makkiyah dan 1,623 ayat Madiniyyah.

Ayat Makiyyah diturunkan di Makkah atau sebelum Nabi Muhammad saw berhijrah ke Madinah.

Ayat Madaniyyah diturunkan di Madinah atau selepas Nabi berhijrah ke Madinah.

Perbezaan ayat Makiyyah dan Madiniyyah :

1). Ayat Makiyyah pada umumnya pendek-pendek, sedangkan ayat Madiniyyah panjang-panjang.

2). Surah Madiniyyah adalah 11/30 daripada isi al-Quran dan selebihnya, surah Makaniyyah.

3). Keseluruhan juz 28 adalah ayat Madiniyyah kecuali surah Mumtahinah dan ayatnya berjumlah 137. Juz 29 adalah ayat Makiyyah kecuali surah Ad-Dahr dan ayatnya berjumlah 431.

4). Surah al-Anfaal dan surah al-Syu’araa masing-masing setengah juz, tetapi yang pertama ayat Madiniyyah dengan bilangan ayat sebanyak 75, sedangkan yang kedua ayat Makiyyah dengan ayatnya berjumlah 227.

5). Dalam surah Madiniyyah ada perkataan "ya ayyuhalladzina aamanu" dan hanya sedikit perkataan “yaa ayyuhannaas“, sedangkan dalam surah Makiyyah pula adalah sebaliknya.

6). Ayat Makiyyah pada umumnya mengandungi hal berhubung keimanan, ancaman dan pahala. Begitu juga kisah umat terdahulu yang mengandungi pengajaran dan budi pekerti.

7). Ayat Madiniyyah pula mengandungi hukum, baik yang berhubungan dengan hukum adat atau duniawi, seperti hukum kemasyarakatan, ketatanegaraan, perang, hubungan antarabangsa dan antara agama.

Isi ajaran yang terkandung dalam al-Quran meliputi tiga fasa iaitu :

1). Cerita atau peraturan (masalah) masa lampau (sejak penciptaan malaikat, langit dan bumi dan sebagainya).

2). Peraturan masa kini (ketika al-Quran diturunkan).

3). Peraturan untuk masa depan (sejak masa Rasulullah saw, masa kini dan seterusnya hari kiamat).

Pelihara Solat Walau Dalam Apa Keadaan


FIRMAN Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan, kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna), sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya.” (al-Baqarah: 239)

Sayid Qutub berkata: Agama ini sungguh mengkagumkan. Ia adalah agama ibadat, iaitu ibadat dalam segala bentuk rupa dan solat itulah judul utamanya, dan menerusi ibadat manusia dapat sampai ke makam yang setinggi-tingginya.

Menerusi ibadat juga Allah mengukuhkan pendiriannya di dalam kesusahan dan mendidik dirinya dengan baik di dalam kesenangan dan kemewahan. Seterusnya melalui ibadat juga Allah memasukkannya ke dalam kedamaian dengan seluruh jiwa raganya dan melimpahkan ke atasnya nikmat keamanan dan kesejahteraan.

Mengancam

Oleh sebab itulah ibadat solat diberi perhatian yang begitu tinggi walaupun ketika pedang terhunus di tangan dan pedang musuh mengancam di lehernya.

Apabila berada dalam suasana aman, maka hendaklah mereka dirikan solat biasa yang diajarkan Allah kepada kaum Muslimin dan hendaklah mereka mengingati Allah sebagai bersyukur terhadap apa yang diajarkan Allah tentang hal-hal yang tidak diketahui mereka.

Firman Allah Taala: Dan jika kamu takuti (sesuatu bahaya) maka sembahyanglah sambil berjalan atau berkenderaan, Al-Mawardi berkata: Ulama telah khilaf kadar solat mereka. Jumhur telah berpendapat dengan dua rakaat. Sedangkan al-Hassan satu rakaat sahaja jika dalam ketakutan.

Sayid Qutub berkata: Jika seseorang itu menghadapi ketakutan yang tidak memberi peluang untuk mendirikan solat dengan menghala ke kiblat, maka solat hendaklah ditunaikan terus tanpa terhenti. Dan di sini yang menunggang binatang dan yang berjalan kaki dan sibuk bertempur dan menghindari bahaya dibenarkan menghadap ke arah mana sahaja yang sesuai dengan keadaannya dan bolehlah ia membuat isyarat-isyarat yang ringan untuk sujud dan rukuk.

Solat ini berlainan daripada solat yang dinyatakan kaifiatnya di dalam surah an-Nisaa'. Kerana solat yang diterangkan di dalam surah an-Nisa’ itu adalah dikerjakan dalam keadaan, di mana kedudukan medan perang membenarkan diletakkan satu saf makmum yang mengawalnya, kemudian datang pula saf yang kedua pula bersembahyang serakaat sementara saf yang pertama yang telah telah bersembahyang kali yang pertama tadi berdiri mengawalnya.

Tetapi jika keadaan ketakutan itu bertambah dan pertempuran sedang berlaku, maka solat yang disebut dalam surah al-Baqarah di sini yang diamalkan. Perintah solat ini amat mengkagumkan. Ia menunjukkan bagaimana pentingnya solat pada pandangan Allah yang menyarankan kepada hati kaum Muslimin bahawa solat selaku senjata untuk menghadapi ketakutan dan kesusahan. Oleh sebab itu solat tidak seharusnya ditinggal di saat-saat ketakutan yang sedang memuncak.

Solat adalah senjata. Oleh kerana itu ia ditunaikan oleh pejuang Islam di medan pertempuran ketika pedang terhunus di tangannya dan ketika pedang (musuh) menghayun di atas kepalanya. Ia tetap menunaikan solat kerana solat adalah senjata Mukmin sama seperti pedang yang terhunus di tangannya. Solat adalah perisai Mukmin sama seperti perisai yang melindunginya. Ia menunaikan solat untuk berhubung dengan Allah di saat-saat yang paling diperlukannya, di saat-saat yang dirasakannya paling dekat kepada Allah , iaitu ketika ketakutan mengepung di sekelilingnya.

Firman Allah Taala: Kemudian apabila kamu telah aman sentosa, maka hendaklah kamu mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang secara yang lebih sempurna),
Al-Baghawi berkata: Maksud zikrullah ialah solat lima waktu yang sempurna dengan segala haknya.

Ibnu al-Arabi berkata: Allah s.w.t. memerintahkan supaya solat dipelihara dalam segenap keadaan, sama ada ketika sihat, sakit, bermukim, bermusafir, ketika kuat, ketika lemah, ketika takut dan ketika aman. Kewajipan solat tidak gugur daripada orang yang mukalaf dengan apa keadaan sekalipun dan kefarduannya tidak terjejas sedikitpun.

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: Solatlah sambil berdiri, kalau engkau tidak mampu solatlah sambil duduk, kalau engkau tidak mampu solatlah sambil mengiring.

Baginda bersabda dalam hadis sahih daripada riwayat Ibnu Umar berkaitan solat ketika takut: Jika ketakutan itu lebih kuat daripada yang demikian, maka solatlah sama ada secara berdiri atau berkenderaan, menghadap kiblat atau tidak mengadap kiblat.

Rasulullah s.a.w. pernah menunaikan solat khauf (semasa dalam ketakutan ) beberapa kali dengan pelbagai cara. Kami telah menyebutkannya secara terperinci dalam kitab-kitab hadis.

Tujuannya untuk memberitahu bahawa solat hendaklah didirikan bagaimana cara yang terdaya dan kewajipannya tidak gugur dalam keadaan apa sekalipun. Meskipun ia hanya mampu dilakukan secara mengisyaratkan dengan anak mata maka ia mesti dilakukan.

Begitu juga jika tidak mampu, digerakkan anggota tubuh yang lain. Dengan pengertian ini maka solat berbeza daripada ibadat-ibadat yang lain. Hal ini kerana ibadat yang lain gugur kewajipannya apabila terdapat keuzuran dan diberikan rukhsah (keringanan) yang lemah. Sebab itulah para ulama kami mengatakan solat ialah persoalan yang paling besar: Sesungguhnya orang yang meninggalkan solat dihukum bunuh kerana solat menyerupai imam yang tidak boleh gugur dalam apa jua keadaan. Mereka menyatakan solat salah satu tunggak agama Islam yang tidak boleh digantikan dengan batang tubuh orang lain atau harta benda. Orang yang meninggalkannya perlu dihukum bunuh. Tunggak asalnya ialah dua kalimah syahadah.


Abu Hanifah mengatakan: Berperang menyebabkan solat itu menjadi rosak (batal). Kami telah menolak pandangannya dengan mengemukakan dalil melalui jalan periwayatan Ibnu Umar dan keterangan zahir ayat al-Quran ini merupakan dalil terkuat yang dapat menolak pandangan beliau.
Sonhaji berkata: Tetapi jika telah berada dalam keadaan aman kembali atau tidak berada dalam ketakutan lagi maka sembahyanglah seperti biasa. Sebutlah dan ingatlah kembali kepada Allah .

Firman Allah Taala: Sebagaimana Allah telah mengajar kamu apa yang kamu tidak mengetahuinya.

Al-Alusi berkata: Faedah menyebut maf’ul fih di sini sekalipun manusia tidak mengetahui kecuali apa yang tidak diketahui secara jelas dengan menyebut keadaan jahil yang berpindah daripadanya. Maka ia lebih nyata dalam kurniaan.

Sebagaimana Dia telah mengajarkan kamu apa yang kamu tidak ketahui yakni mengisyaratkan bahawa Allah mengurniakan kita nikmat ilmu pengetahuan, kalaulah tidak dengan adanya hidayat dan tunjuk ajar-Nya tiadalah dapat kita mengetahui sesuatu. Maka kepada-Nya terserah segala pujian.

Iktibar Ayat :
- Solat tidak gugur dalam apa jua keadaan sekalipun.
- Solat merupakan ibadat yang mulia sebagai hubungan antara hamba dengan tuhannya.
- Pensyariatan solat khauf semasa dalam ketakutan atau peperangan menandakan kepentingan solat.

Tanda Solat Dan Sujud Di Wajah ?

Soalan

Melaksanakan solat yang menjadi tiang agama hakikatnya, mendatangkan ketenteraman jiwa dan kebahagian hidup, sekali gus terpancar di wajah. Bagaimana boleh dibuktikan menerusi ayat al-Quran dan sunah Rasulullah SAW?

Jawapan UZAR

Benar solat adalah tiang dan asas kepada agama berdasarkan hadith:

رأس الأمر الاسلام وعموده الصلاة

Ertinya : "Kepala urusan (kehidupan) ini adalah Islam dan tiangnya adalah solat" (Riwayat Ibn Majah dan An-Nasa'ie dalam As-Sunan Al-Kubra; Al-Albani dan Al-Arnauot : Hadis sohih )

Ia juga jika ditunaikan dengan ilmu dan khsuyu'nya adalah menghasilkan rasa kemanisan iman dan ketenangan sebagaimana yang ditegaskan oleh Nabi s.a.w

حبب إلي من دنياكم الطيب والنساء وجعلت قرة عيني في الصلاة

Ertinya : "Aku suka terhadap beberapa perkara dalam dunia kamu, iaitu wangian, wanita (iaitu dalam meningkatkan martabatnya berbanding menjadi barang mainan dan dagangan di zaman Jahiliyah) dan dijadikan ketenangan dan kenikmatanku di dalam solat"( Riwayat Ahmad, al-Baihaqi dan Al-Hakim)

Adapun berkenaan ketenangan yang terpancar di wajah pula adalah petikan dari Al-Quran ketika menerangkan sifat mereka yang bersama perjuangan Nabi s.a.w :-

تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ

Ertinya "..kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari karunia Allah dan keridaan-Nya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud. (Al-Fath : 29)


Imam Fakhruddin Al-Razi menyatakan terdapat dua pendapat dalam mentafsirkan tanda ini ( At-Tafsir Al-Kabir, 28/93 ) :-

Pertama : Tanda itu akan ternampak di akhirat kelak sebagaimana firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 106 " Di hari yang Allah memutih dan menggelapkan wajah" dan juga dari surah At-Tahrim ayat 8.

Kedua : Tanda ini akan terzahir di dunia lagi. Terdapat dua kemungkinan yang disebut,

a) Bekas sujud ini adalah tanda hitam di dahi. Namun perlu diingat ada sebahagiannya memang hitam kerana banyaknya sujud, namun banyak sujud belum tentu diterima solatnya. Manakala ada yang hitam sebab-sebab lain.

Justeru secara umumnya, tanda hitam di dahi, boleh membawa erti tanda sujud yang banyak dan lainnya. Jika tanda sujud itu diiringi dengan sifat-sifat mahmudah dirinya dan wajahnya yang menepati ciri kedua di bawah, lalu ia kemungkinan besar tanda yang benar.

b) Satu tanda yang Allah zahirkan di wajah orang yang sujud dari raut yang bercahaya, kelihatan tenang dan menyenangkan. Tanda inilah yang disebut terdapat pada wajah baginda Nabi, para sahabat dan lain-lain ulama.

Sahabat besar nabi seperti Ibn Abbas pula menjelaskan maksud tanda itu dengan katanya ( Tafsir Ibn Kathir, 4/205 ; Ad-Durr Al-Manthur, As-Suyuti, 7/453 ) :-

a- Raut yang baik dan menyenangkan, taqwa dalam urusan agamanya dan pemalu. ( Riwayat Al-Baihaqi dan Ibn Mardawaih)

b- Wajah putih bercahaya di hari kiamat ( Riwayat Al-Bukhari dalam At-Tarikh)

Sudah tentu wajah ini cukup berbeza dengan wajah penzina, orang yang meninggalkan solat, pelaku dosa yang kelihatan gelap walaupun wajahnya berkulit cerah. Inilah beberapa nas dari begitu banyak himpunan nas yang menerangkan berkenaan kesan hebat dari solat kepada umat Islam seluruhnya.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
http://www.zaharuddin.net/
16 April 08

Wednesday, July 9, 2008

Keimanan Bentuk Sahabat Sejati

Tali persaudaraan sesama umat terus utuh jika didasari ajaran al-Quran

AMIRUL Mukminin Khalifah Sulaiman Abdul Malik adalah sepupu Umar Abdul Aziz. Hubungan mereka sangat erat sehingga khalifah menamakan Umar sebagai pewaris takhtanya. Walaupun kaum kerabat khalifah tidak menyukainya, khalifah tetap meneruskan hasratnya itu kerana Umar amat taat kepada agama.

Seorang menteri dan penasihat khalifah terkenal alim lagi warak, Raja’ Haiwah menasihati Sulaiman sewaktu akhir hayatnya: “Wahai Amirul Mukminin, antara perkara yang menyebabkan engkau akan dijaga di dalam kubur dan menerima syafaat daripada Allah SWT di akhirat kelak adalah apabila engkau tinggalkan untuk orang Islam khalifah yang adil, maka siapakah pilihanmu? Jawab Khalifah Sulaiman: Aku melihat Umar Ibn Abdul Aziz.”

Suatu hari, sewaktu pemerintahannya, Sulaiman mengajak Umar ke kem tentera Bani Umayyah. Sulaiman bertanya kepada Umar: “Apakah yang kamu lihat wahai Umar bin Abdul-Aziz?” Khalifah nampak terlalu bangga ketika melihat kekuatan pasukan yang sudah dilatih.

Namun Umar menjawab tanpa rasa takut: “Aku sedang melihat dunia itu sedang dilahap antara satu sama lain, dan engkau adalah orang yang paling bertanggungjawab dan akan ditanyakan oleh Allah SWT mengenainya.”

Khalifah Sulaiman berkata lagi: “Tidakkah kamu takjub dengan kehebatan pemerintahan kita ini? Jawab Umar lagi: “Bahkan yang paling hebat dan membuatku takjub ialah orang yang mengenali Allah SWT kemudian menderhakai-Nya, mengenali syaitan kemudian mengikutinya, mengenali dunia kemudian condong kepadanya.”

Mengamati perbualan antara khalifah dan sahabat sejatinya, Umar Abdul Aziz itu jelas terlihat keikhlasan dan cinta kasih dalam perhubungan dua insan atas nama persahabatan dunia akhirat. Sulaiman menangis setiap kali Umar menasihati dengan penuh kasih sayang.

Kedua-dua bapa mereka iaitu Abdul Malik dan Abdul Aziz adalah adik beradik daripada keturunan kerajaan Bani Umayyah. Pertalian darah merapatkan hubungan mereka. Namun yang paling ketara ialah pertalian hati yang ikhlas kerana Allah SWT dalam mencintai saudaranya.

Teman paling rapat kadang-kadang boleh menjadi musuh dalam selimut melainkan orang dipelihara Allah SWT hati mereka daripada khianat, dengki yang disembunyi dan dendam yang dipendam. Dunia menunjukkan kesudahan orang yang teraniaya angkara teman sendiri, ada yang muflis disebabkan mahu menolong kawan.

Dipenjara kerana membela orang yang istimewa baginya tetapi orang itu akhirnya langsung tidak mengenang budi dan jasa sahabatnya itu. Semua terjadi kerana sikap kepura-puraan, bermuka-muka dan saling mengampu. Hubungan yang tidak diasaskan dengan kejujuran, keimanan dan ketakwaan kepada Allah SWT.

Al-Quran mengabadikan kejujuran dan keikhlasan persahabatan antara Muhajirin dan Ansar dalam firman Allah yang bermaksud:
“Dan orang yang menduduki kota Madinah dan beriman (Ansar) sebelum (kedatangan) mereka (Muhajirin), mereka (Ansar) mencintai orang yang berhijrah kepada mereka (Muhajirin) dan mereka (Ansar) tiada menaruh keinginan dalam hati mereka terhadap apa-apa diberikan kepada mereka (Muhajirin) dan mereka mengutamakan (orang Muhajirin), atas diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam kesusahan. dan siapa yang dipelihara daripada kekikiran dirinya, mereka itulah orang yang beruntung.” (Surah al-Hasyr, ayat 9).

Syarat tali persaudaraan boleh menjadi kukuh menurut al-Quran ialah jika anda dan sahabat disatukan oleh ikatan iman. Bukan kerana ikatan perniagaan atau assabiah jahiliah. Ia terlalu rapuh untuk dipegang, bahkan dua insan boleh dirosakkan oleh hubungan sebegitu.

Jika untung boleh jadi kawan, rugi pula saling tikam menikam. Masa berkuasa semua menyokong jika jatuh tanpa kuasa tiada seorang pun mahu menolong. Begitu pula di dunia, mereka boleh jadi sahabat rapat saling menguntungkan tetapi di akhirat, mereka menjadi musuh yang saling cela mencela.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Teman akrab pada hari itu sebahagiannya menjadi musuh bagi sebahagian yang lain kecuali orang bertakwa.” (Surah al-Zukhruf, ayat 67)

Ketika di dunia mereka saling tolong menolong pada jalan batil, jika seseorang melakukan kejahatan maka sahabatnya itu malah memuji dan mengampu kerana mahu mengambil kesempatan atas kelemahan saudaranya.

Al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud meriwayatkan daripada Abi Bakrah, beliau berkata:
“Seorang lelaki memuji seseorang di sisi Rasulullah SAW kemudian Baginda SAW bersabda yang bermaksud: Engkau telah memotong leher sahabatmu. Barang siapa yang memuji saudaranya dengan tidak dapat dielakkan juga, maka hendaklah dia berkata: Aku menilai si polan. Dan Allah SWT yang menjadi penilai yang sebenar, seseorang tidak boleh menyucikan seseorang melebihi Allah SWT.”

Oleh itu, sahabat Rasulullah SAW amat membenci perbuatan suka mengampu, padahal mereka memang selayaknya mendapat pujian. Seorang lelaki memuji Abdullah bin Umar katanya: “Wahai sebaik-baik manusia, wahai anak sebaik-baik manusia.”

Maka ibu Umar berkata: “Aku bukan sebaik-baik manusia dan bukan anak sebaik-baik manusia tetapi aku seorang hamba Allah SWT daripada hamba-hamba Allah SWT, aku berharap kepada Allah SWT dan aku takut kepada Allah SWT. Demi Allah SWT jika kamu tidak mahu berhenti mengatakan yang demikian itu kepada seorang lelaki maka engkau sesungguhnya telah membinasakan dia.”

Iman menjadi penyatu dua hati, jika iman berbicara sikap ditunjukkan seseorang kepada saudaranya benar-benar bersih daripada kepentingan dunia. Dia berdiri sebagai pendamping yang jujur dalam menyatakan pandangannya, tidak ada apa yang ditutupi, yang pahit sama ditelan yang manis sama dirasa.

Dialah penasihat paling ikhlas demi kebaikan saudaranya, dia mewarnai pemikiran dan perasaan, pandangan dan sikap saudaranya dengan nilai agama yang membawa suasana harmoni di antara dua hati. Matlamat mereka bertemu dan bersahabat ialah kerana Allah SWT, agenda mereka rancang bersama ialah demi cita-cita akhirat. Tidak sesekali mereka biarkan dunia menghancurkan persahabatan itu.

Rasulullah SAW bersabda mengenai keperibadian sahabat sejati yang bermaksud:
“Mahukah kamu aku beritahukan mengenai orang baik di kalangan kamu? Para sahabat menjawab: Ya Wahai Rasulullah. Baginda SAW bersabda: Apabila kamu memandang kepada mereka, kamu teringat kepada Allah. Kemudian Rasulullah SAW bersabda lagi, bermaksud: “Mahukah kamu aku beritahukan orang yang jahat di kalangan kamu? Mereka ialah orang yang suka melaga-lagakan antara dua orang, yang suka merosakkan hubungan kasih sayang antara mereka yang berkasih sayang dan suka mencari aib cela orang yang baik-baik.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Jika kita memandang ke wajah seseorang diberkati Allah SWT, seolah-olah memancar cahaya keimanan yang menembusi hati kita, aura iman itu mengajak kepada kebaikan dan mengingatkan kita kepada kelemahan diri.

Tetapi kadang-kadang kita menemukan seseorang yang membawa aura jahat daripada kalbunya sehingga pantulannya mempengaruhi pemikiran, sikap dan matlamat kita. Bukan senang menemukan seseorang yang benar-benar ikhlas mahu bersahabat kerana Allah SWT, mungkin disebabkan diri kita sendiri belum lagi baik maka susah sungguh untuk menemukan lelaki yang benar-benar baik dijadikan sahabat sejati.

Hati Penentu Baik, Buruk Amalan Umat

Orang beriman sentiasa terdorong melakukan kebaikan dalam hidup

HATI ibarat raja dalam diri manusia kerana di situ letaknya keyakinan seorang hamba terhadap Tuhannya. Hati juga menjadi sasaran syaitan untuk menyesatkan manusia. Manusia mempunyai hati yang baik, sentiasa berada dalam ketenangan, kedamaian dan ketenteraman.

Secara zahirnya hati ialah organ berwarna perang kemerah-merahan terletak pada sebelah kanan perut yang tugasnya mengeluarkan hempedu, mengawal kandungan gula dalam darah, menawarkan kesan keracunan nitrogen, menghasilkan urea dan menyimpan glikogen.
Berkaitan hati, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Di dalam diri manusia ada seketul daging, apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota lahir manusia. Jika seketul daging itu rosak maka seluruh anggota lahir manusia itu akan rosak, itulah dia hati.”

Allah menilai orang yang beriman dan beramal soleh melalui hati baik yang memiliki sifat mahmudah untuk dimasukkan ke dalam syurga-Nya. Firman Allah yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah memasukkan orang beriman dan beramal soleh ke dalam syurga di bawahnya sungai, sesungguhnya Allah berbuat apa yang Dia kehendaki.” (Surah al-Haj, ayat 14)

Jelaslah orang beriman dan beramal soleh mempunyai sifat terpuji seperti berkasih sayang sesama Muslim, bersikap lemah lembut, pemaaf, tenang, berbakti terhadap ibu bapa, sabar apabila susah, syukur apabila senang, mengawal diri ketika marah, bertimbang rasa serta berakhlak baik.

Segala sifat terpuji berpunca dari hati. Oleh itu, sifat terpuji mesti dimiliki dulu yang boleh mendorong kita melakukan amal soleh dalam kehidupan di dunia. Semuanya akan dinilai oleh Allah dan diberi nikmat syurga.

Dalam kehidupan masyarakat Melayu ada banyak peribahasa berkaitan hati seperti ‘ada hati’ iaitu mempunyai perasaan, ‘kecil hati’ yang bermaksud merajuk dan berasa tersinggung, ‘hati muda’ bermaksud rasa muda dalam hati, ‘rasa hati’ bermaksud perasaan, ‘terang hati’ bermaksud mudah mengerti dan ‘hati kecil’ bermaksud perasaan dalam batin. Segala-galanya berpunca dari hati. Hati yang bertakwa dan bersih tidak ada sifat derhaka, khianat, dendam, dengki dan rakus.

Imam Al-Ghazali dalam bukunya Keajaiban Hati dan Keunikannya menyatakan, hati ibarat cermin yang dapat memantulkan pelbagai bentuk benda yang mengarah padanya sehingga tampak bayangan bermacam bentuk itu silih berganti, tanpa henti, ibarat sebuah telaga yang airnya dari pelbagai air sungai yang tidak terjamin kebersihan dan kejernihannya, dapat pula telaga itu berisi air dari kedalaman telaga itu sendiri melalui sumber mata air yang memancar dari dalam.

Oleh itu, hati melalui pintunya yang mengalir kepada pancaindera luar dapat menampung dan menyerap ilmu empiris, melalui proses pembelajaran; sedangkan melalui pintunya yang mengarah ke alam malaikat, ia dapat menyerap ilmu melalui jalan ilham.

Manusia mengawal (makrifat) kepada Allah adalah melalui hatinya, bukan melalui anggota tubuh jasmaninya. Hatilah yang dapat mengenal Allah dan mendekatkan diri kepada-Nya. Hatilah yang mengadakan interaksi dengan Allah, dan selalu berjalan menuju ke hadrat-Nya.
Sementara itu, hati yang diterima Allah, adalah apabila bersih dari yang selain Allah. Manakala, hati yang akan terhalang dari Allah adalah apabila ia sibuk dan tenggelam dengan selain Allah. Hatilah yang bakal dituntut, serta diajak berbicara, dan dicela, jika ingkar kepada-Nya.

Hatilah yang akan merasa bahagia dan beruntung kerana mendekatkan hubungan dengan Allah dan kebersihannya. Sebaliknya, hati yang akan dimainkan, dicaci, dimaki, diseksa pula adalah hati yang kotor berlumuran noda dan dosa.

Ali bin Abi Thalib berkata, “Sesungguhnya Allah mempunyai tempat air di bumi-Nya, iaitu hati. Maka hati yang paling dikasihi Allah ialah paling halus, bersih dan keras.” Kemudian Ali mengatakan, “Yang paling keras hati itu mengenai agama, paling bersih mengenai keyakinan dan paling halus adalah kepada saudaranya.”

Kata-kata lain mengenai hati, “Sebaik-baik kaya ialah kaya hati, sebaik-baik bekal ialah takwa, seburuk-buruk buta ialah buta hati, seburuk-buruk dosa ialah berdusta, seburuk-buruk usaha ialah memungut riba, seburuk-buruk makanan usaha ialah makan harta anak yatim, sesiapa memaafkan orang akan dimaafkan Allah dan sesiapa mengampuni orang akan diampuni Allah.”
Jelaslah, tempat ilmu terletak di hati. Hati memiliki kemampuan untuk mengatur seluruh anggota tubuh. Jiwa yang tenang juga terletak pada hati seseorang.

Allah berfirman yang bermaksud:

“Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama’ah hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku.” (Surah al-Fajr, ayat 30)

Hati yang taat kepada Allah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Hati itu ada empat macam iaitu; hati yang bersih di dalamnya ada pelita bersinar, itulah hati orang mukmin. Hati yang hitam seluruh permukaannya, itulah hari orang kafir. Hati tertutup yang terlihat tutupnya, itulah hati orang munafik. Hati yang memiliki dua sisi, yang satu iman dan yang lain nifaq.” (Hadis Ahmad dan Thabrani).

Tuesday, July 8, 2008

Ganjaran Pahala Sempurna Bagi Ummah Rahsiakan Amal Ibadat


MESTI IKHLAS: Apabila amal dilakukan tidak boleh disembunyikan seperti sembahyang berjemaah seseorang mestilah mengawasi gerak hatinya supaya tetap membulatkan niat hanya kerana Allah.

Umat ikhlas sentiasa memelihara kualiti amalan sama ada dilihat atau tidak.

IKHLAS tidak akan berada di hati orang yang gilakan pujian. Boleh jadi jasanya dikenang manusia tetapi di sisi Allah ia tiada bernilai walau seberat debu. Allah berfirman yang bermaksud:

“Dan Kami hadapkan segala amal yang mereka kerjakan, lalu Kami jadikan amal itu umpama debu yang berterbangan, tiada bernilai.” (Surah al-Furqan, ayat 23)

Sesungguhnya ikhlas adalah rahsia antara Allah dan hamba-Nya. Tidak ada seorang pun yang mengetahui rahsia itu walaupun dia adalah malaikat pencatat amalan. Pengetahuan lupus atau tidaknya amalan manusia hanya berada pada ilmu Allah.

Dalam hal ini Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Allah berfirman, “Aku adalah yang paling tidak memerlukan sekutu. Barang siapa yang beramal sedangkan Aku disekutukan dengan selain-Ku nescaya Aku tinggalkan dia dengan sekutunya.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Apabila amal yang dilakukan tidak boleh disembunyikan atas sebab tertentu seperti sembahyang berjemaah, haji atau sedekah yang diisytiharkan untuk memberi teladan kepada masyarakat supaya mengikuti perbuatan baik itu, maka seseorang mestilah mengawasi gerak hatinya supaya tetap membulatkan niat hanya kerana Allah.

Tidak salah beramal di hadapan manusia kerana setiap amal mesti diberi ganjaran yang sesuai sehingga 700 kali ganda balasannya. Tetapi jika mahu mendapatkan pahala yang sempurna tanpa dikurangkan sedikit pun seseorang hendaklah merahsiakan amalnya itu daripada pandangan manusia.

Rasulullah SAW menyatakan bahawa di akhirat nanti ada tujuh golongan manusia yang akan dinaungi rahmat Allah, dua daripadanya adalah orang yang memberi sedekah dengan tangan kanan sedangkan tangan kirinya tidak mengetahui, dan orang yang bersendirian mengingati Allah (berzikir) sehingga menitislah air matanya.” (Hadis riwayat Al-Bukhari, Muslim, Al-Nasai)

Sesiapa yang mahukan pujian dari yang Maha Terpuji hendaklah dia menyediakan amal perbuatannya semata-mata kerana mahu berkhidmat kepada yang Maha Terpuji. Hartanya, jiwa raganya, hidup dan mati diserahkan seluruhnya kerana mengharap reda Ilahi.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Sesungguhnya Allah mencintai hamba yang bertakwa, yang kaya dan yang suka menyembunyikan amalnya.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Kisah teladan sahabat Rasulullah SAW, tabiin dan salafus saleh adalah yang terbaik untuk diikuti dan diberi keutamaan bagi mereka yang mahu menyembunyikan amal soleh.

Imam Muslim melaporkan dalam Sahihnya daripada Abu Hurairah. Ketika Nabi SAW berada dalam suatu peperangan yang Allah memberikan kemenangan dan harta rampasan kepada Baginda SAW. Pada saat itu baginda bertanya kepada sahabatnya: “Apakah kalian kehilangan seseorang? Mereka menjawab: Ya, iaitu si dia, si dia dan si dia (mereka menyebut nama yang hilang).

Baginda SAW bersabda lagi: “Apakah kalian kehilangan seseorang? Mereka menjawab: Ya, si dia, si dia dan si dia. Sekali lagi Baginda SAW bersabda: Apakah kamu kehilangan seseorang? Mereka menjawab: Tidak ada lagi, ya Rasulullah. Baginda SAW bersabda: Tetapi aku kehilangan Julaibib. Carilah dia di antara mayat yang ada.”

Mereka pun mencarinya dan mendapatkannya di antara tujuh orang mayat musuh yang berhasil dibunuhnya. Rasulullah SAW mendatangi mayatnya dan bersabda: “Dia membunuh tujuh orang musuh dan mereka pun membunuhnya. Lelaki ini adalah sebahagian daripada aku dan aku sebahagian daripadanya. Lelaki ini adalah sebahagian daripada aku dan aku sebahagian daripadanya.”

Abu Hurairah berkata, bahawa Nabi SAW meletakkan jasadnya di atas kedua lengan Baginda sementara lengan lelaki itu hanya tinggal satu. Lalu Baginda SAW menggali kubur, meletakkan jasadnya di dalam kubur dan tidak memandikannya.

Julaibib adalah seorang insan yang tidak dikenali antara sahabat Rasulullah SAW. Selepas mendapat syahid, namanya begitu harum hingga menjadi sebutan yang indah di mata sejarah, melalui lisan Nabi SAW beliau dikenang walaupun manusia tidak pernah mengenalinya sebelum itu.

Kisah kedua pula menceritakan mengenai Umar bin al-Khattab yang mencari Uwais bin ‘Amir al-Qarny. Apabila bertemu Uwais, Umar berkata, “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Akan datang kepada kalian seorang yang bernama Uwais bin ‘Amir bersama rombongan dari Yaman, Murad dan Qiran. Dia terkena penyakit kulit dan sembuh kecuali tinggal di satu tempat sebesar sekeping dirham. Dia mempunyai seorang ibu dan sangat berbakti kepada ibunya. Jika dia bersumpah atas nama Allah, tentu Allah akan mengabulkan untuknya. Jika kamu mampu supaya dia meminta ampunan untuk kamu maka lakukanlah.” (Hadis riwayat Imam Muslim)
Lalu Umar meminta Uwais berdoa memohon keampunan Allah untuknya dan Uwais melakukan permintaan Umar. Apabila Umar ingin memberi wang belanja dan sehelai kain, Uwais berkata:
“Sesungguhnya aku sudah mendapatkan empat dirham dari pekerjaanku mengembala unta ini. Apakah kamu melihat aku meminta tambahan? Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya di hadapanku dan di hadapanmu ada beban yang berat, yang tidak dapat dipikul kecuali oleh orang yang menganggapnya ringan, kerana itu buatlah ia ringan, semoga Allah merahmatimu.”

Penampilan luaran kadang-kadang boleh menipu, oleh itu Allah hanya melihat yang berada di dalam hati dan diamal dengan nyata. Tanda ikhlas itu jika dilihat orang atau tidak, dia tetap melakukan amal dengan berkualiti kerana Allah.

Nilai Tudung Seorang Wanita


Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan muhram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki.

Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, Kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak. Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia.

Menyentuh berkenaan pakaian wanita, alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat.

Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya.

Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini. Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan suratkhabar fesyen untuk tudung.

Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita. Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan muhramnya.

Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab. Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung?

Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki . Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan muhramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi. Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan hukum-hakam Islam.

Walaupun bertudung, perangai mereka sama sahaja dengan orang-orang bukan Islam. Mereka tidak nampak perbezaan agama Islam dengan agama mereka. Lihatlah betapa besarnya peranan tudung untuk dakwah orang lain. Selama ini kita tidak sedar diri kitalah agen bagi Islam. Kita sebenarnya pendakwah Islam. Dakwah kita bukan seperti pendakwah lain tapi hanya melalui pakaian.

Kalau kita menutup aurat, tetapi tidak terus memperbaiki diri zahir dan batin dari masa ke semasa, kitalah punca gagalnya mesej Islam untuk disampaikan. Jangan lihat orang lain. Islam itu bermula dari diri kita sendiri. Ini tidak bermakna kalau akhlak belum boleh jadi baik tidak boleh pakai tudung. Aurat, wajib ditutup tapi dalam masa yang sama, perbaikilah kesilapan diri dari masa ke semasa. Tudung di luar tudung di dalam (hati).

Buang perangai suka mengumpat, berdengki, berbangga, ego, riak dan lain-lain penyakit hati. Walau apapun, kewajipan bertudung tidak terlepas dari tanggungjawab setiap wanita Muslim. Samada baik atau tidak akhlak mereka, itu adalah antara mereka dengan Allah. Amat tidak wajar jika kita mengatakan si polanah itu walaupun bertudung, namun tetap berbuat kemungkaran.

Berbuat kemungkaran adalah satu dosa, manakala tidak menutup aurat dengan menutup aurat adalah satu dosa lain. Kalau sudah mula menutup aurat, elak-elaklah diri dari suka bertengkar. Hiasi diri dengan sifat tolak ansur. Sentiasa bermanis muka. Elakkan pergaulan bebas lelaki perempuan. Jangan lagi berjalan ke hulu ke hilir dengan teman lelaki.

Serahkan pada Allah tentang jodoh. Memang Allah sudah tetapkan jodoh masing-masing. Yakinlah pada ketentuan qada' dan qadar dari Allah. Apabila sudah menutup aurat, cuba kita tingkatkan amalan lain. Cuba jangan tinggal sembahyang lagi terutama dalam waktu bekerja. Cuba didik diri menjadi orang yang lemah-lembut. Buang sifat kasar dan sifat suka bercakap dengan suara meninggi. Buang sikap suka mengumpat, suka mengeji dan mengata hal orang lain. jaga tertib sebagai seorang wanita.
Jaga diri dan maruah sebagai wanita Islam. Barulah nampak Islam itu indah dan cantik kerana indah dan cantiknya akhlak yang menghiasi peribadi wanita muslimah. Barulah orang terpikat untuk mengamalkan Islam. Dengan ini, orang bukan Islam akan mula hormat dan mengakui "Islam is really beautiful." Semuanya bila individu Islam itu sudah cantik peribadinya.

Oleh itu wahai wanita-wanita Islam sekalian, anda mesti mengorak langkah sekarang sebagai agen pengembang agama melalui pakaian.