Monday, July 7, 2008

Amalan Zikir Jadikan Jiwa Tenang Dan Selamat

MENGINGATI Allah atau zikrullah adalah amalan yang paling mulia melalui pergerakan lidah, kesedaran akal budi dan keinsafan hati dan jiwa.
Dengan mengingati Allah manusia akan berasa ketenangan jiwa kerana dia menyedari bahawa berada di samping Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Penyayang kepada hamba-Nya.

Apabila dia kembali kepada-Nya, maka sebenarnya dia kembali berpaut kepada asas yang kukuh. Manusia kadang-kadang gelisah menghadapi masa depan belum pasti keadaannya atau kadang-kadang berasa lemah berhadapan dengan pelbagai cabaran dan halangan yang mendepaninya.

Dalam hal ini, sekiranya orang yang beriman kepada Allah, mereka akan ingat bahawa sesungguhnya Allah Maha Berkuasa di atas segala sesuatu, Allah Maha Melihat segala-galanya, Allah mampu mengatasi semua hal di dunia ini. Dengan demikian akan tenanglah jiwanya.
Firman Allah bermaksud: "Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia." (Surah al-Ra’d, ayat 28)

Perasaan tenang itu wujud kerana jiwanya berhubungan langsung dengan Allah dan rasa selamat di bawah jagaan-Nya. Ketenangan hati orang yang beriman hasil daripada zikrullah itu adalah hakikat dalaman yang hanya boleh dirasakan oleh orang yang hatinya diliputi oleh kemanisan iman. Ia tidak boleh diungkapkan melalui kata-kata kepada orang yang tidak menghayatinya. Bahkan, ia sesuatu yang meresap ke dalam hati sehingga ia berasa tenang dan sejahtera dengannya.

Akhirnya ia merasai bahawa dia tidak keseorangan tanpa teman rapat di dunia ini. Pada hal apa yang ada di sekelilingnya adalah kawannya kerana semua ciptaan Allah dan di bawah jagaan-Nya belaka. Tidak ada orang yang paling menderita di dunia ini daripada mereka yang hilang ketenangan berdampingan dengan Allah.

Orang yang mengingati Allah di dunia ini memperolehi ketenangan jiwa, sementara di akhirat pula mendapat keampunan dan ganjaran yang besar. Firman Allah bermaksud: “… dan orang lelaki serta orang perempuan yang banyak menyebut nama Allah, Allah telah menyediakan bagi mereka semuanya keampunan dan pahala yang besar." (Surah al-Ahzab, ayat 35)

Rasulullah SAW adalah pimpinan dan model bagi orang yang berzikir. Baginda menyebut nama Allah pada setiap saat - ketika makan dan selesai daripadanya. Ketika minum atau sehabisnya. Ketika memakai pakaian dan menanggalnya, ketika masuk rumah dan keluar daripadanya, ketika hendak tidur atau bangun daripadanya.

Demikian juga ketika keluar untuk musafir atau baliknya, ketika menunggang kenderaan atau ketika memasuki sesebuah kampung. Begitulah ketika menziarahi kubur, ketika kemarau dan solat minta hujan, ketika angin bertiup kencang, ketika hujan lebat atau banjir.

Ringkasnya tidak berlaku sebarang keadaan atau kejadian melainkan hatinya sentiasa ingatkan Allah dan sekaligus lidahnya akan menyebut nama Allah dalam erti kata zikir kepada-Nya.

Dengan mengingati Allah akan tersedar hati orang yang beriman terutama ketika syaitan menjerumuskannya kepada dosa sehingga melakukannya, dia tidak biarkan dalam keadaan demikian.

Dia akan mengingati bahawa dia ada Tuhan yang sedia memberi keampunan dan menerima taubat, sebagaimana firman-Nya bermaksud: “Dan juga orang yang apabila melakukan perbuatan keji, atau menganiayai diri sendiri, mereka ingat kepada Allah lalu memohon ampun akan dosa mereka dan tiada yang mengampunkan dosa melainkan Allah, dan mereka juga tidak meneruskan perbuatan keji mereka itu, sedangkan mereka mengetahui." (Surah Ali Imran, ayat 135).

Ingatkan Allah akan datang kepada seseorang ketika masa lapangnya. Alangkah banyaknya masa lapang yang kita gunakan untuk berseorang diri apa lagi pada waktu akhir malam yang sunyi sepi.

Apabila kita ingatkan Allah, mengambil pengajaran dan iktibar daripada apa yang terjadi di sekeliling akan menjadi lembut hati dan dengan tidak disedari mengalir air mata membasahi pipi, semoga Allah mengampunkan segala dosa kesalahannya. Ia kerana termasuk dalam golongan orang yang bakal mendapat bayangan teduh Allah pada hari kiamat nanti seperti disebut dalam hadis: "… seorang yang mengingati Allah ketika sunyi lalu mengalir air matanya.”

Dalam hadis, ada dinyatakan bahawa Rasulullah bersabda sebaik tiba Ramadan yang bermaksud: "Empat jenis zikir yang tidak patut ditinggalkan oleh setiap Muslim sepanjang Ramadan. Pertama, mengucapkan istighfar (memohon ampun); Kedua, memperbanyakkan ucapan syahadah; Ketiga, berdoa meminta syurga dan Keempat, memohon keredaan Allah." (Hadis riwayat Al-Baihaqi).

Jiwa Mati Jika Kering Ilmu Agama

APABILA Allah menghendaki kebaikan pada diri manusia, maka Dia akan menitiskan ke dalam hati mereka satu semangat cintakan ilmu-Nya. Dengan ilmu itu manusia mengerti mengenai dirinya, baik kelebihan, mahupun kelemahannya. Ilmu juga menunjukkannya jalan yang benar dan menasihati hati untuk tidak mengambil jalan salah.

Al-Imam Ibnu al-Jauzi menulis mengenai keutamaan ilmu dalam kitab Shaydul Khatir: “Ilmu sudah membawa diriku menuju pengetahuan mengenai Sang Pencipta dan ilmu menyuruhku untuk berbakti kepada-Nya. Maka aku pun tunduk di hadapan kekuasaan-Nya seraya melihat sifat-Nya. Hatiku juga berasa getaran kebesaran-Nya sehingga aku tertunduk malu kerana cinta kepada-Nya. Ilmu juga yang menggerakkan aku untuk sentiasa berada dekat ke riba-Nya dan menolong aku mencapai ketinggian ubudiyah kepada-Nya. Aku hanyut dalam kebesaran-Nya setiap kali mengingati-Nya dalam zikirku. Saat menyendiri adalah saat ibadahku untuk-Nya. Apabila terdetik hatiku mahu meninggalkan ilmu, ia berkata: Apakah kamu mahu berpaling dariku, padahal akulah yang menjadi petunjuk jalanmu sehingga kamu mengenal Allah? Aku pun menjawab: Sesungguhnya engkaulah penunjuk jalan, tetapi aku sudah sampai ke destinasi, masihkah aku memerlukan petunjuk jalan? Ilmu berkata lagi kepadaku: Oh, tidak! Setiap kali bekalmu bertambah, akan bertambah pula pengetahuanmu mengenai Kekasihmu dan kamu semakin faham bagaimana cara mendekati-Nya. Esok kamu akan tahu sebenarnya hari ini kamu masih banyak menyimpan kekurangan. Tidakkah kamu mendengar firman-Nya kepada Nabi SAW: Katakanlah (Wahai Muhammad) Oh Tuhanku, tambahkanlah ilmuku.” (Surah Taha, ayat 14)

Jika hati sudah berpaling daripada ilmu, ia akan disibukkan yang selain daripada-Nya. Saat itu anda kehilangan kemanisan bermunajat kepada Allah, itulah azab yang paling dahsyat dalam kehidupan seorang hamba.

Ilmu mengenai Islam bukan milik pelajar yang mengambil aliran agama saja. Ilmu Islam bukan terbatas hak milik ustaz dan ustazah saja. Al-Quran diturunkan bukan untuk kalangan hamba yang belajar agama, sementara orang kebanyakan tidak berhak mempelajarinya.

Maka, yang duduk di masjid ialah hanya pesara, orang yang pernah berkaitan dengan sekolah agama atau pondok, anak dan cucu imam saja.

Ramai lagi yang belum bersedia belajar mengenai Islam, bahkan mungkin tidak tergerak pun mahu menghayati agama yang diwariskan dari zaman berzaman. Bagi mereka cukuplah kiranya agama Islam itu hanya mengucap syahadat dan setahun sekali berasakan hari raya.

Semudah itukah sebenarnya agama yang perlu difahami dan diamalkan?

Hakikatnya, perkara yang menjauhkan seseorang daripada Islam ialah hawa nafsunya yang suka kepada kebodohan dan kemalasan, diperhamba oleh syahwatnya sendiri, condong kepada kejahatan dan termakan pujuk rayu syaitan. Hingga suatu masa, Allah membersihkan diri mereka daripada palitan kebusukan hawa nafsu yang menjijikkan itu.

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, janganlah kamu mengikuti langkah syaitan. Barang siapa yang mengikuti langkah syaitan, maka sesungguhnya syaitan itu menyuruh mengerjakan perbuatan keji dan mungkar, sekiranya tidaklah kerana kurnia Allah dan rahmat-Nya kepada kamu sekalian, nescaya tidak seorangpun daripada kamu bersih (dari perbuatan keji dan mungkar itu) selama-lamanya, tetapi Allah membersihkan siapa dikehendaki-Nya. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Nuur, ayat 21)

Ayat itu menegaskan cara Allah menyelamatkan manusia daripada kejahatan diri sendiri, iaitu Allah membersihkan mereka dengan kurnia-Nya yang berupa hidayah dan ilmu, ditambah lagi dengan turunnya rahmat supaya manusia tidak tenggelam di lautan kekejian dan kemungkaran.
Hidup tanpa ilmu Islam umpama badan tanpa roh. Tegasnya, jiwa manusia boleh mati disebabkan kekeringan ilmu agama. Akhirnya yang berjalan itu hanyalah makhluk manusia tanpa perasaan, hati dan arah tuju yang jelas.

Mahu ke mana dia melangkah? Di mana tempat berhenti dan destinasi yang terakhir? Langkah sekadar mengikuti kelazatan syahwatnya sendiri. Maka, ramai mengadu tidak pernah berasakan kepuasan, walaupun sudah berada di puncak kejayaan dalam kariernya, tetapi pada masa sama ramai tidak peduli naluri mereka yang sebenarnya haus akan sentuhan hidayah Allah.

Naluri manusia perlukan Allah. Mereka tidak mungkin mencapai-Nya melainkan dengan ilmu Islam. Tetapi sayang, ramai yang menunda masa untuk belajar. Tunggu pergi haji atau pencen nanti, nak Islam jika perlu untuk uruskan orang mati, kenduri tahlil, majlis makan dan doa selamat.

Islam seolah-olah hanya suatu simbol untuk sekadar membaca doa pada majlis keramaian, balik rumah nanti masing-masing dengan perangainya yang bercanggah nilai Islam. Islam itu ilmu, memeluk Islam bererti meletakkan komitmen belajar melebihi komitmen yang lain.

Sahabat Baginda SAW terdiri daripada pelbagai golongan, mereka bekerja sebagai peniaga dan petani yang berjaya. Islam sudah membuktikan semakin mereka mencintai ilmu, beriman dan berjuang untuk Islam semakin terbuka lebar pintu dunia boleh ditakluki.

Kurang daripada 50 tahun selepas kewafatan Rasulullah SAW, Islam sampai di Afrika Utara hingga Asia. Siapa kata orang yang berpegang kepada agama tidak boleh memimpin dunia?
Tetapi, kini generasi baru ada yang percaya konsep jika mahu berjaya pisahkan diri daripada Islam. Jangan campurkan urusan dunia dengan Islam. Akibatnya ilmu agama kehilangan peminatnya dan agama tidak dijadikan pegangan hidup. Ia hanya sekadar simbol rasmi milik masyarakat turun temurun.

Akhirnya yang lahir adalah generasi buta agama, tidak mesra al-Quran, alahan apabila mendengar hadis dibaca. Yang paling teruk ialah menaruh rasa curiga dan permusuhan apabila ada seseorang yang mahu menegakkan Islam. Mereka percaya, Islam menghalang kemajuan.

Puncanya kerana dari kecil hingga dewasa hatinya tidak tersentuh dengan ilmu Islam. Mereka hanya belajar bagaimana menguasai dunia, tetapi tidak tahu bagaimana menundukkan jiwa, mereka belajar memakmurkan bumi, tetapi jahil mengenai Tuhan yang Maha Menguasai langit dan bumi. Mereka tidak kenal agama melainkan kulitnya saja, bahkan condong kepada fahaman buatan manusia.

Prof Dr Hamka pernah mengingatkan pemuda yang dipengaruhi fahaman dari luar Islam pada zaman komunis bermaharajalela di Indonesia suatu ketika dulu. Hamka berkata: “Ramai pemuda sekarang ini yang bangga dengan fahaman liberalis, kapitalis, sosialis, marxis, nasionalis, materialis. Akhirnya apabila sudah kena jangkitan siflis (penyakit kelamin), kaki berjalan mengangkang dan menangis barulah balik kepada agama.”

Fahaman dan buah fikiran boleh dicipta, tetapi jangan sampai menentang agama dan wahyu. Ramai orang yang disesatkan oleh ilmunya kerana berpaling daripada ilmu Allah.

Bulan Rejab

Pengertian Rejab bermakna kebesaran atau kemuliaan dan ia membawa maksud bulan yang dibesarkan atau dimuliakan. Masyarakat Jahiliyah menamakan bulan ini dengan bulan Rejab kerana mereka memulia dan menghormati bulan ini dengan mengharamkan berperang di dalamnya. Dan Rasulullah SAW mengekalkan nama ini dan mengharamkan pertumpahan darah di bulan Rejab. Dan bagi umat Islam, kita memperingati dan memuliakan Rejab sempena dengan peristiwa besar yang berlaku kepada Rasulullah SAW iaitu peristiwa Isra' dan Mi'raj.

Peristiwa Penting

1.Hijrah Pertama Hijrah ke Habsyah (Ethiopia)

Pihak musyrikin Mekah meningkatkan tekanan dan ancaman kepada Rasulullah SAW dan mereka yang beriman kepada Rasulullah SAW pada ketika itu. Ada di kalangan sahabat yang mengadu kepada Rasulullah SAW tentang derita yang mereka tanggung lalu Rasulullah SAW memerintahkan agar mereka berhijrah ke negeri Habsyah.

Tujuan hijrah ini adalah untuk menyelamatkan iman dan keselamatan diri di samping untuk mencari tapak baru untuk Islam bertapak dan menyusun langkah untuk agenda seterusnya. Diantara mereka yang berhijrah ke Habsyah ialah Saidina Othman RA dan istrinya Roqiah anak Rasulullah SAW. Jumlah mereka adalah 14 orang termasuk 4 orang wanita. Habsyah dipilih adalah kerana rajanya dikenali dengan toleransi dan sikap terbukanya.

2. Isra' dan Mi'raj

Isra'dan Mi'raj ertinya Rasulullah SAW dijalankan dari Mekah ke Baitulmuqaddis di waktu malam dan diangkat ke langit bertemu Allah SWT dan untuk mengambil kewajipan solat 5 waktu dari Allah SWT. Dalam menentukan tarikh bila berlakunya peristiwa ini, sebahagian ulama mengatakan pada 27 RabiulAkhir; sebahagian ulama mengatakan pada 17 RabiulAwal; sebahagian ulama mengatakan 29 Ramadhan; sebahagian ulama mengatakan pada 27 Rejab dan sebahagian ulama yang lain mengatakan pada tanggal-tanggal selain dari yang tersebut.

Menurut Chalil, 1999 sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr.(H) Hj. Kassim Bahali, ada setengah ulama mengatakan pada malam tanggal 7 RabiulAwal. Adapun yang terbanyak ialah golongan yang mengatakan pada tanggal 27 Rejab, sekalipun tidak dengan alasan yang kuat.

Tahun berlakunya juga terdapat perselisihan pendapat ulama, ada sebahagian yang mengatakan pada tahun ke 5 dari Bi'tsah (tahun mula diutusnya peribadi Nabi), sebahagiannya berpendapat pada tahun ke 12 dari Bi'tsah; sebahagiannya berpendapat pada tahun sebelum Nabi hijrah ke Thaif, sebahagian berpendapat pada tahun ketiga sebelum hijrah Nabi S.A.W ke Madinah dan ada yang sebahagiannya pula berpendapat lain dari semuanya itu. Bagaimanapun seorang ahli sejarah Islam bernama Ibnu Saad telah mencatatkan dalam kitabnya "At-Tobaqatil Qubra", bahawa berlaku israk mikraj terhadap Nabi s.a.w. ialah pada lapan belas bulan sebelum Nabi S.A.W. hijrah ke Madinah dalam satu peristiwa yang amat bersejarah itu.(Tazkirah, Pusat Zakat N. Sembilan)

3. Perang Tabuk

Tabuk adalah mengambil nama sempena nama satu tempat di Utara Semenanjung Arab di mana Rasulullah SAW dan 30 ribu tentera Islam berkumpul. Tidak berlaku pertempuran kerana tentera Rom telah melarikan diri kerana takut dan gerun kepada kekuatan dan kecekalan tentera Islam yang sanggup menghadapi berbagai kesukaran.

4. Pembebasan Baitul-Muqaddis

Baitul Muqaddis telah dibuka pada zaman Saidina Umar Al-Khattab RA di zaman pemerintahannya. Akibat kelalaian dan perpecahan uamat Islam di zaman pemerintahan Abasiyah, umat Kristian (tentera Salib) telah melakukan serangan demi serangan ke atas Baitul Muqaddis dan akhirnya dapat menawan kota suci Baitul Muqaddis setelah 500 tahun dikuasai oleh pemerintahan Islam. Tentera Salib telah menduduki Baitul Muqaddis hampir 60 tahun sebelum dibebaskan kembali oleh panglima Islam terkenal Salehuddin Al-Ayubi. Beliau telah berjaya menawan kembali Baitul Muqaddis dari tangan tentera Salib pada hari Jumaat, 27 Rejab 583H. Dan pada tahun 1967 bersamaan 1387H umat Yahudi pula menawan Baitul Muqaddis (Palestin) dan menamakan negara baru mereka dengan nama Israel.

5. Lahirnya Imam Syafie RH.

Nama sebenar Imam Syafie RH ialah Muhammad bin Idris. Beliau lahir di Ghuzah, Palestin pada tahun 150H bersamaan 767 Masehi dalam bulan Rejab. Beliau adalah salah seorang dari empat imam mazhab yang besar dalam dunia Feqah. Malaysia mengamalkan mazhab Syafie. Diantara peninggalan imam Syafie RH yang tiada ternilai harganya dan menjadi rujukan sehingga sekarang ialah kitab al-Umm.

Amalan

Tiada amalan khusus untuk bulan Rejab yang diriwayatkan dari Rasulullah SAW yang dijumpai di dalam mana-mana hadis shahih. Penulis berpendapat ada hikmahnya kenapa Allah SWT, Rasulullah SAW dan para sahabat RA tidak memberitahu tarikh dan tahun berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj. Rasulullah SAW tidak mahu umatnya menetapkan ibadat-ibadat tertentu di bulan Rejab khasnya pada hari dan malam berlakunya peristiwa Isra' dan Mi'raj itu.

Ini untuk mengelakkan berlakunya perkara-perkara yang diada-adakan (bid'ah) dan perbuatan membeza-bezakan kemuliaan satu-satu bulan. Namun begitu ada pendapat yang meriwayatkan tentang amalan-amalan sunat tertentu seperti solat sunat Rejab, puasa Rejab dan umrah Rejab. Pendapat ini adalah bersandar kepada hadis-hadis lemah. Terlalu banyak amalan-amalan sunat yang umum yang masih kita belum berkesempatan untuk mengamalkannya boleh kita praktikkan di bulan Rejab ini sebagai persediaan kita menjelang Ramadhan al-Mubarak.

Diantaranya solat malam, qiamul-lail, puasa Isnin dan Khamis, tadarrus al-Qur'an dan lain-lain lagi. Di sini penulis ingin menyarankan agar pada akhir bulan Jamadilakhir khasnya pada 29 Jamadilakhir, kita bolehlah melatih mata kita untuk menjejaki hilal. Proses melatih mata untuk merukyah hilal boleh dimulakan 20 minit sebelum Maghrib sehinggalah 20 minit selepas maghrib dengan memerhatikan ufuk Barat sekitar tempat matahari terbenam. Ini boleh dilakukan dengan mata kasar tanpa menggunakan sebarang alat kecuali untuk melihat matahari perlukan penapis (solar filter).

Bagi mereka yang mempunyai teleskop atau teodolite ataupun binocular, inilah masanya untuk menguji peralatan dan kemahiran masing-masing agar pada hari cerapan hilal Sya'ban, Ramadhan dan Syawal kita tidak menghadapi masaalah dalam melakukan cerapan hilal. Dan sebenarnya Rasulullah SAW sendiri amat mengambil berat tentang kedudukan bulan pada setiap akhir bulan khasnya apabila menjelangnya bulan Rejab dan bulan-bulan seterusnya.

Sumber Disediakan oleh;
Bahagian Falak dan Sumber Maklumat
Jabatan Mufti Negeri Melaka
www.al-azim.com

Zikir, Doa Dan Tawakal Penawar Tekanan Perasaan

TEKANAN perasaan adalah antara penyakit dalaman yang banyak dihidapi manusia zaman ini. Walaupun ia adalah masalah rohani manusia, penyakit ini boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan fizikal lain seperti tekanan darah tinggi, jantung dan sakit kepala jika tidak diatasi segera.

Masalah tekanan yang tidak kritikal masih boleh memberi kesan negatif kepada tingkah laku manusia seperti tidak tenteram, bertindak agresif di tempat kerja atau rumah.

Sebagai manusia biasa, setiap daripada kita tidak mungkin terlepas daripada masalah tekanan. Cuma yang berbeza ialah keupayaan menangani tekanan. Ada yang mampu mengawal dengan baik dan ada yang gagal, menyebabkan kesan negatif terhadap kesihatan, tingkah laku dan psikologi.

Tekanan perasaan boleh berlaku disebabkan beberapa faktor antaranya terlalu memikirkan sesuatu yang tidak pasti dan cuba mengawal keadaan yang masih belum berlaku. Seseorang yang kehilangan sesuatu atau individu disayanginya dan tidak mampu menerima hakikat itu juga akan merasa tertekan.

Tekanan perasaan juga boleh berlaku apabila wujud konflik antara keinginan diri dan pertimbangan akal seseorang. Contohnya, seseorang yang ingin memenuhi keseronokan dirinya dan pada waktu sama menyedari bahawa dia perlu menerima kebenaran perbuatan itu salah di sisi agama.

Al-Quran memberi panduan kepada kita bagaimana menghadapi situasi sebegini. Kehilangan dalam hidup adalah ujian Allah.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan sungguh akan kami berikan cubaan kepadamu, dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan dan berikanlah berita gembira kepada orang yang sabar.” (Surah Al-Baqarah, ayat 155)

Mereka yang sabar menempuh ujian akan mendapat ganjaran baik daripada Allah. Sesungguhnya manusia sebagai makhluk tidak memiliki hak ke atas sesuatu hatta hidupnya sendiri. Segala-galanya daripada Allah dan kepunyaan-Nya.

Maka, tidak seharusnya kita menangisi atau menyesali apa yang tidak kita miliki sama sekali. Kita tidak diberi pengetahuan apa yang akan berlaku. Namun, kita boleh merancang, berusaha dan berdoa serta bertawakal.

Manusia berupaya berusaha dalam ruang lingkup takdir Ilahi bersandarkan pertimbangan akal yang waras dengan panduan wahyu Ilahi. Kita boleh memilih mana yang baik dan mengandaikan kesan daripada tindakan perbuatan kita.

Namun, ketentuan mutlak adalah daripada Allah. Oleh itu, usahlah terlalu bimbangkan sesuatu yang kita tidak pasti dan sesuatu yang tidak mampu kita kawal. Kebimbangan sebegini hanya akan memberi lebih tekanan kepada kita.

Sebagai makhluk bernama manusia yang terdiri daripada unsur rohani dan jasmani, kita tidak akan bebas daripada konflik dalaman. Setiap daripada kita dijadikan bersama unsur nafsu yang secara fitrah menyediakan segala macam keinginan.

Semua itu jika tidak dikawal iman dan akal yang waras, sudah tentu akan menjadi kesempatan hasutan syaitan dengan janjinya untuk menyesatkan umat manusia. Firman Allah yang bermaksud: “Dan Aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun lagi Maha penyayang.” (Surah Yusuf, ayat 53)

Nafsu amarah cenderung kepada keseronokan dan sifat mazmumah yang membawa manusia kepada kehancuran seperti marah, hasad, tamak dan penipuan. Dalam keadaan nafsu menguasai seseorang, hanya kepuasan diri dan keegoan akan bertakhta.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Musuhmu yang paling utama ialah nafsu jahat yang ada dalam dirimu.” (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Islam memberikan panduan yang sebaiknya dan bersesuaian dengan fitrah kejadian manusia dalam usaha mengelakkan dan menghadapi tekanan. Dalam keadaan tertekan dan keresahan menghadapi ujian Allah, perlu lebih banyak mengingati-Nya.

Allah berfirman yang bermaksud: “(Iaitu) orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allahlah hati menjadi tenteram.” (Surah al-Ra‘d, ayat 28)

Seterusnya, perbanyakkan permohonan kepada Allah dan bertawakal kepadanya. Allah berfirman yang bermaksud: “Hai orang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat. Sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 153)

Ini disusuli semula dengan sentiasa memohon keampunan Allah dan bertaubat daripada kesalahan. Selain itu, kita hendaklah sentiasa berusaha untuk mengatasi masalah yang kita hadapi.

Allah berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak merubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka merubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri dan apabila Allah menghendaki keburukan terhadap sesuatu kaum, maka tiada yang dapat menolaknya; dan sekali-kali tiada pelindung bagi mereka selain Dia.” (Surah al-Ra‘d, ayat 11)

Tekanan perasaan sebenarnya berpunca daripada lemahnya daya tahan spiritual dan ketidakseimbangan aspek dalaman kita. Konflik dalaman yang berterusan akan mengakibatkan tekanan bertambah seterusnya melahirkan pelbagai perlakuan salah hingga mengganggu kesihatan.

Kedamaian spiritual hanya boleh dicapai dengan keimanan dan penyerahan diri kepada Allah, ingatan yang berterusan kepada-Nya. Permintaan yang mutlak daripada-Nya serta permohonan keampunan tidak kira ketika senang, mahupun susah membantu menghadapi

Friday, July 4, 2008

Ust. Abu Hisham Al-Besuty : Sikap Ibu bapa Antara Punca Anak Lupa Agama

Pada hari Sabtu (28/7/08) yang lepas saya sempat menghadiri satu Majlis Doa Selamat yang diadakan di rumah sahabat saya iaitu Saudara Syed Syaqir sempena ulang tahun anaknya, Sharifah Nur Zahraa di Taman Puncak Jalil. Majlis dimulakan dengan tazkirah ringkas yang disampaikan oleh Ustaz Abu Hisham Al-Besuty tentang tanggungjawab ibubapa dalam memberi pendidikan sempurna terhadap anak-anak terutamanya dalam keagamaan.

Beliau menegaskan bahawa realiti sekarang muda-mudi sudah lupa kepada tuntutan agama. Adakah masalah itu berpunca daripada sikap ibu bapa?

Hakikatnya, bukan wanita saja yang lupa pada agama. Lelaki juga bahkan tanggungjawab mereka sebenarnya lebih berat kerana Allah meletakkan kelebihan kepada lelaki sehingga mereka menjadi pelindung kepada wanita, tegas beliau.

Jika ramai wanita hari ini melupakan agama, sebahagiannya berpunca daripada lelaki yang juga meninggalkan agama sehingga mereka gagal melindungi wanita mereka daripada melanggar hukum agama.

Apakah gejala lupa kepada agama berpunca daripada kurangnya pendidikan ibu bapa? Pernyataan itu sebenarnya menggambarkan apa yang disebut Rasulullah SAW dalam hadisnya yang bermaksud: "Setiap anak Adam itu dilahirkan dalam keadaan fitrah, ibu bapanya yang menjadikan ia Yahudi, Majusi dan Nasrani."

Beliau menerangkan bahawa hadis ini menunjukkan jika anak membesar dengan corak akhlak atau pegangan hidup yang tertentu, ia boleh dikesan kepada pendidikan yang diterima daripada ibu bapa.

Ibu bapa adalah madrasah (sekolah) pertama bagi anak. Sebelum anak dihantar ke institusi pendidikan formal bermula dari tadika, sekolah dan peringkat lebih tinggi, anak mempelajari asas pembentukan pandangan hidup (akidah) dan sahsiah (keperibadian dan akhlak) daripada ibu bapa mereka. Inilah objektif pendidikan sebenar, ujar beliau.

Pendidikan ialah menurunkan nilai sehingga lahir insan mempunyai pegangan hidup yang mantap dan jitu. Bagi umat Islam, nilai itu ialah nilai Islam yang berteraskan tauhid. Asas tauhid yang mantap menatijahkan tingkah laku, tutur kata dan tindakan didasarkan tuntutan syariat Islam.

Jika hari ini kita melihat anak perempuan dan lelaki mendedahkan aurat, bergaul bebas tanpa batas, terbabit dengan pelbagai gejala sosial, maka itu adalah natijah daripada pendidikan yang mereka terima di rumah - pastinya tidak menepati apa yang dikehendaki Islam.

Mereka mungkin terpelajar dan mencapai kejayaan cemerlang dalam akademik, tetapi itu bukan matlamat pendidikan. Pendidikan Islam bukan sekadar menguasai bidang teknikal dan akademik, tetapi lebih menjurus pemupukan nilai dan pembentukan akhlak.

Ia tidak bermakna Islam mengetepikan akademik kerana ia adalah bahagian penting daripada pembinaan kebudayaan dan tamadun, tetapi mesti diasaskan atas pendidikan tauhid yang mantap.

Beberapa kajian menunjukkan kesilapan mendidik anak pada peringkat awal (antara umur tiga hingga tujuh tahun) menyebabkan kecelaruan nilai dan keruntuhan akhlak pada peringkat umur 13 hingga 20 tahun.

Berdasarkan penilaian ini, masalah yang berlaku pada kelompok umur remaja sebenarnya boleh dikesan pada peringkat awal pendidikan. Siapakah yang bertanggungjawab pada peringkat umur di bawah tujuh tahun kalau bukan ibu bapa. Boleh kita simpulkan di sini ibu bapa menjadi satu daripada punca kepada sikap umat Islam yang melupakan agama mereka hari ini.

Pendidikan awal penting dan Rasulullah SAW berpesan kepada ibu bapa supaya menyuruh anak mendirikan sembahyang pada usia tujuh tahun. Ia bermakna pada umur itu anak tadi sudah patut menerima dan mematuhi suruhan agama, tegas beliau.

Ia juga bermakna anak sudah terbiasa dengan suasana ibu bapa dan keluarga yang mendirikan dan mementingkan ibadat solat di rumah. Jika mereka tidak terbiasa melihat ibu bapa dan seisi keluarga mendirikan solat, bagaimana mungkin anak boleh meniru dan melakukan perbuatan sama.

Sebenarnya, ini juga satu isyarat bahawa pendidikan yang sebenar ialah dengan amal. Pendidikan hanya akan berlaku apabila pengajaran berlaku dalam bentuk amal, bukan dalam bentuk kata-kata. Ia juga menunjukkan hanya ibu bapa yang terdidik dengan kehidupan Islam mampu mendidik anak dalam acuan dikehendaki agama.

Beliau juga menerangkan mengapa Rasulullah SAW menyuruh ibu bapa memukul anak yang masih meninggalkan solat ketika berusia 10 tahun. Pengajarannya ialah apabila anak sudah berusia 10 tahun, nilai kehidupan sepatutnya sudah mewarnai jiwanya sehingga dia akan melakukan suruhan agama dan meninggalkan larangannya tanpa disuruh.

Jika masih meninggalkan solat pada usia itu, ia satu petanda nilai belum terbina dengan baik sehingga hukuman perlu digunakan bagi memperbetulkan keadaan.

Apabila anak memasuki umur baligh keadaan menjadi lebih sukar jika jiwa mereka tidak dipupuk dengan nilai yang berlandaskan syariat Islam.

Wallahualam...

Tokoh : Sayyid Qutb Rela Mati Membela Tauhid


SEORANG pejuang menegakkan kalimah tauhid, Sayyid Qutb, kembali ke rahmatullah 41 tahun lalu. Tokoh dilahirkan pada 9 Oktober itu adalah penulis kitab Fi Zilal Al-Quran, Ma’alim Fi Tariq dan Al-Mustaqbal li haza ad-Din.

Tiga buku itu diterjemahkan ke bahasa Indonesia dan Malaysia, serta mendapat sambutan hebat di kalangan umat Islam seluruh dunia.

Memang ada perbahasan mengenai metod Sayyid Qutb dalam tulisan yang tegas menyatakan kesesatan masyarakat moden berkaitan penghakiman yang tidak merujuk kepada Allah. Bagaimanapun sejarah Sayyid Qutb perlu diulas sebagai sebahagian daripada perjalanan seorang tokoh yang rela mengorbankan diri untuk membela tauhid yang diyakini kebenarannya.

Sayyid Qutb gugur di tiang gantungan pada 20 Ogos 1966. Ia dikenali sebagai tokoh yang berjuang di jalan Allah, menyerahkan seluruh hidupnya untuk Allah. Seorang mukmin yang begitu kuat keyakinannya. Ia persembahkan nyawa yang murah kepada keyakinan dan akidahnya.
Beliau melalui bertahun usia terakhir di penjara. Ia tuangkan jiwa dan fikiran yang luar biasa dalam lembar tulisan tangannya dengan untaian kata penuh makna dan bernilai sastera. Hampir semua orang yang membacanya, akan rasa getar hati nurani dan fikirannya.

Sayyid Qutb mendapat pendidikan pertama di rumah, daripada orang tuanya yang kuat dan taat beragama. Ketika usia enam tahun, Qutb dihantar ke sekolah rendah di kampungnya, Assiyut. Pada usia tujuh tahun, ia mula menghafal al-Quran dan tiga tahun kemudian menghafal seluruh Al-Quran.

Awal dekad 1940-an, satu era baru bermula dalam kehidupan Sayyid Qutb. Dalam karya pada 1939, beliau mulai menulis beberapa siri At-Taswir Fanni Fi Quran. Tulisan ini mengupas indahnya seni yang ada dalam ayat al-Quran.

Pada 1945, beliau menulis kitab Masyahidul Qiamah Fi Quran yang isinya menggambarkan peristiwa hari kiamat dalam al-Quran. Pada 1948, Sayyid Qutb menghasilkan Al-Adalah al-Ijtima’iyyah Fi Islam atau Keadilan Sosial dalam Islam, menyatakan bahawa keadilan masyarakat sejati hanya akan tercapai apabila masyarakat menerapkan sistem Islam.

Fasa terakhir perjalanan Sayyid Qutb bermula pada 1951, waktu beliau mula bergabung dengan Jama’ah al-Ihkwan al-Muslimun, sehingga beliau meninggal di tali gantung pada 1966. Baginya, masa itu sangat penting dan kerana itu beliau menyatakan 1951 adalah tahun kelahirannya.

Sayyid Qutb bergabung bersama al-Ikhwan al-Muslimun, dua tahun selepas meninggal Imam Hassan al-Banna, pelopor al-Ikhwan pada 1949. Mereka tidak pernah bertemu muka meskipun dilahirkan tahun yang sama 1906 dan mendapat pendidikan di Darul Ulum.

Walaupun begitu, mereka mempunyai kesatuan jiwa dan persamaan orientasi berfikir. Sebelumnya, ketika Hassan al-Banna membaca buku Al-’Adalah al-Ijtima’iyyah Fi Islam karya Sayyid Qutb, dia menganggap pengarang adalah sebahagian daripada Al-Ikhwan. Lalu, Al-Banna menyatakan bahawa ‘orang ini’ (Sayyid Qutb) tidak lama lagi akan bergabung bersama Al-Ikhwan.

Sayyid Qutb juga mempunyai perasaan yang sama terhadap Hassan al-Banna. Kematian al-Banna sangat terasa dalam jiwanya, walaupun belum pernah bersama dengan al-Banna. Berita kematian al-Banna diterimanya dengan perasaan menyayat hati ketika dirawat di sebuah hospital di Amerika.

Disebabkan orang Amerika bergembira menyambut berita kematian al-Banna, selepas pulang dari Amerika, Sayyid Qutb mengkaji kehidupan al-Banna dan membaca seluruh risalah karangannya. Seterusnya ia pun memutuskan untuk memikul amanah perjuangan Hassan al-Banna.

Pesan utama Sayyid Qutb yang ditekankan dalam tulisan adalah konsep al-Tauhid dari sudut al-Uluhiyyah. Menurutnya, inti tauhid Uluhiyyah adalah hak Allah daripada sudut al-Hakimiyyah dan al-Tasyri (pembuatan peraturan).

Beliau berkata, ikrar syahadah adalah pernyataan revolusi terhadap seluruh kedaulatan yang berkuasa di atas muka bumi-Nya. Maka seluruhnya itu mesti dikembalikan kepada hak-Nya.
Pada 13 Januari 1954, Revolusi Mesir melarang al-Ikhwan al-Muslimun dan pimpinannya ditangkap kerana dituduh hendak merampas kuasa. Tanpa bukti yang jelas, tujuh pemimpin tertinggi al-Ikhwan dijatuhi hukuman mati, termasuk Hassan Hudhaibi, Abdul Qadir Audah dan Syeikh Muhammad Farghali, ketua sukarelawan Mujahidin Ikhwan al-Muslimin di dalam Perang Suez 1948.

Tetapi hukuman terhadap Hassan Hudhaibi diubah menjadi penjara seumur hidup dan Sayyid Qutb dihukum penjara 15 tahun dengan kerja berat.

Pada 1964, Sayyid Qutb dibebaskan atas permintaan peribadi Presiden Iraq, Abdul Salam Arif tetapi pemerintahan Revolusi Mesir belum menerima pembebasan itu. Selepas Presiden Abdul Salam Arif meninggal dalam satu musibah pesawat, Sayyid Qutb ditangkap semula pada tahun berikutnya.

Alasannya beliau dituduh hendak merampas kuasa. Selain itu, Mahkamah Revolusi merujuk pada buku Sayyid Qutb terutama Ma’alim Fi Tariq, yang menyatakan seruan revolusi terhadap seluruh kedaulatan yang tidak berdasarkan syariat Allah.

Sayyid Qutb ditahan bersama seluruh anggota keluarganya. Sebelum hukuman gantung dilaksanakan, Presiden Naser menghantar utusan menemui Sayyid Qutb. Melalui utusan itu Presiden Naser meminta Sayyid Qutb menulis pernyataan memohon ampun supaya ia dibebaskan.

Bagaimanapun Sayyid Qutb dengan tegas menjawab:
“Telunjuk yang bersyahadah setiap kali dalam solat menegaskan bahawa tiada Tuhan yang disembah dengan sebenarnya melainkan Allah dan Muhammad adalah Rasulullah, dan aku takkan menulis satu perkataan yang hina. Jika aku dipenjara kerana kebenaran, aku reda. Jika aku dipenjara kerana batil, aku tidak akan menuntut rahmat daripada kebatilan.”

Pada pagi Isnin, 29 Ogos 1966, Sayyid Qutb digantung bersama sahabat seperjuangannya, Muhammad Yusuf Hawwasy dan Abdul Fatah Ismail. Dunia Islam kehilangan salah seorang pejuangnya yang berani mempertaruhkan nyawanya untuk membela kalimah tauhid.

PROFIL SAYYID QUTB

- Sayyid Qutb mendapat pendidikan pertama di rumah, daripada orang tuanya yang kuat dan taat beragama.
- Ketika usia enam tahun, Qutb dihantar ke sekolah rendah di kampungnya, Assiyut.
- Pada usia tujuh tahun, ia mula belajar menghafal al-Quran dan tiga tahun kemudian menghafal seluruh Al-Quran.
- Pada 1951, beliau bergabung dengan Jama’ah al-Ihkwan al-Muslimun, sehingga beliau meninggal di tali gantung pada 1966. Baginya, masa itu sangat penting dan kerana itu beliau menyatakan 1951 adalah tahun kelahirannya.- Maut di tali gantung 20 Ogos 1966.
- Tiga karya besar adalah Fi Zilal Al-Quran, Ma’alim Fi Tariq dan Al-Mustaqbal li haza ad-Din. Karyanya menjadi rujukan umat Islam.

Jangan Putus Asa Berdoa


Doa hendaklah dibaca dengan perasaan penuh rendah diri di hadapan Allah SWT.
SABAN hari umat Islam di seluruh pelosok dunia memanjatkan doa kepada Allah SWT dengan harapan segala permohonan diperkenankan-Nya. Namun tidak semua doa daripada seseorang insan itu termakbul. Lantaran itu, sesetengah pihak tertanya-tanya kenapa doanya itu tidak berhasil sedangkan Allah telah berfirman:

"Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu." (Ghaafir: 60)

Disebabkan perasaan kecewa kerana tanggapan bahawa permohonannya itu seakan-akan tidak dimakbulkan, maka timbul perasaan putus asa. Sehingga ada yang meninggalkan amalan berdoa yang sebenarnya merupakan salah satu ibadah yang dimuliakan Allah. Nabi SAW bersabda:

“Tidak ada sesuatu yang lebih mulia di sisi Allah dibanding doa”. (Riwayat Tirmidzi)

Hakikatnya, Allah SWT adalah Tuhan yang Maha Adil dan Dia sentiasa mengotakan janji-janji-Nya. Namun hamba-hamba-Nya adakalanya gagal untuk memahami hikmah di sebalik segala keputusan Allah. Kita merasakan apa yang dipinta daripada-Nya itu merupakan yang terbaik untuk diri kita sedangkan Allah lebih mengetahui segala-galanya dan setiap keputusan-Nya itu memiliki hikmah yang adakalanya tidak disedari oleh seseorang insan.

Ada ketikanya apabila Allah tidak memperkenankan sesuatu permintaan hamba-Nya disebabkan kerana Allah ingin memberikan sesuatu yang lebih baik dari apa yang dipinta.

Nabi SAW bersabda: “Tidaklah seorang Muslim berdoa kepada Allah dengan sebuah doa yang tidak berisi dosa dan permintaan untuk memutuskan silaturahim melainkan Allah akan mengurniakan kepadanya salah satu dari tiga perkara: Allah akan segera memakbulkan doanya atau Allah akan menyimpan doanya sebagai pahala di akhirat atau Allah akan menghindarkan dirinya dari keburukan semisalnya. Mereka berkata: Kalau begitu kami harus memperbanyakan berdoa.

Nabi bersabda: "Apa yang Allah kurniakan kepada kalian lebih banyak dari yang kalian minta”. (Riwayat Imam Ahmad)

Begitulah resam seorang insan yang selalu lupa tentang apa yang telah dikurniakan Allah yang hakikatnya lebih banyak berbanding permintaannya yang dianggapnya tidak dimakbulkan itu. Malah menerusi hadis di atas dapat kita fahami bahawa ada waktunya Allah menggantikan apa yang dipinta oleh hamba-hamba-Nya itu dengan menghindarkan diri mereka dari ditimpa kemalangan ataupun apa-apa jua bentuk musibah.

Ada ketikanya Allah menangguhkan untuk memperkenankan sesuatu permintaan dan dikurniakan sebagai ganti berupa ganjaran pahala di akhirat yang tentu sekali akan lebih memberi manfaat yang besar kepada hamba-hamba-Nya.

Insan tetap insan yang sebagaimana telah kita semua sedia maklum terbelenggu dengan pelbagai kelemahan. Kenapa tatkala merasakan Allah seperti tidak memperkenankan doa-doanya, seseorang insan itu tidak terlebih dahulu melihat kekurangan yang ada pada dirinya sendiri.

Bagaimana mungkin Allah ingin menjawab permintaannya itu sekiranya seseorang itu sentiasa bergelumang dengan perbuatan maksiat serta meninggalkan segala kewajipan yang telah diperintahkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Sabda Rasulullah SAW:

“Demi Allah yang jiwaku berada di tangan-Nya, kamu harus mengerjakan segala yang baik (makruf) dan meninggalkan segala yang keji (mungkar), atau jika tidak Allah pasti akan menurunkan seksa ke atas kalian, nanti bila kalian berdoa tidak akan dimakbulkan”. (Riwayat Tirmidzi)

Tidak dapat dinafikan kelalaian seseorang dalam menurut perintah Allah dan juga tewasnya seseorang dengan godaan hawa nafsu merupakan penyebab utama terhalangnya kurniaan kebaikan (seperti mudah termakbulnya doa) daripada Allah terhadap hamba-hamba-Nya.

Firman-Nya:
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. Dan apabila Allah menghendaki untuk menimpakan kepada sesuatu kaum bala bencana (disebabkan kesalahan mereka sendiri), maka tiada sesiapapun yang dapat menolak atau menahan apa yang ditetapkan-Nya itu, dan tidak ada sesiapapun yang dapat menolong dan melindungi mereka selain daripada-Nya." (al-Ra’du: 11)

Mana mungkin Allah SWT akan memperkenankan sesuatu permohonan jika hamba-hamba-Nya tidak mempedulikan perkara halal dan haram dari segi sumber rezeki, pemakanan dan pakaian-pakaiannya dalam kehidupan seharian.

Firman Allah:
"Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan." (al-Mukminun: 51).

Dan Dia berfirman:
"Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu, dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadanya." (al-Baqarah:172).

Kemudian Baginda menyebutkan tentang seseorang yang sedang dalam perjalanan panjang, rambutnya kusut dan berdebu. Dia berdoa sambil menadahkan tangannya ke langit, dia berucap: Ya Rabbi, Ya Rabbi, sementara makanannya haram, minumannya haram, pakaiannya haram dan dia dikenyangkan dengan makanan yang haram, lalu bagaimana mungkin doanya dimakbulkan. (Riwayat Imam Muslim)

Sikap terburu-buru sesetengah insan dalam meminta doanya agar dimakbulkan segera sehinggakan wujud perasaan putus asa apabila permintaan tersebut tidak tercapai merupakan antara faktor yang menyebabkan terhalangnya doa itu diterima oleh Allah SWT.

Rasulullah SAW bersabda:

"Akan dimakbulkan doa salah seorang di antara kamu selagi dia tidak terburu-buru lalu dia mengatakan: Aku sudah berdoa namun tidak dimakbulkan bagiku." (Riwayat Imam al-Bukhari)

Sewajarnya setiap insan tidak putus harapan dalam berdoa dan tetap memperbanyakkan amalan berdoa. Keyakinan bahawa Allah SWT akan memperkenankan doa hamba-hamba-Nya juga merupakan faktor yang dapat mempermudahkan termakbulnya doa.

Sekiranya doa itu diyakini sebagai ibadah maka hendaklah kita menghadapkan doa itu ikhlas hanya kepada Allah SWT tanpa sebarang perantaraan yang bertentangan dengan syarak dan tatacara berdoa itu juga hendaklah bersesuaian dengan sunah Rasulullah agar ia diterima oleh Allah SWT. Doa itu hendaklah dibaca dengan perasaan penuh rendah diri di hadapan Allah dan dengan suara yang perlahan.

Firman-Nya:
"Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas." (al-A’raaf: 55)

Justeru, hendaklah setiap insan melazimkan diri mereka dengan berdoa. Pada masa yang sama hendaklah setiap insan itu juga berusaha untuk memperbaiki kekurangan diri dalam menurut segala perintah Allah SWT dan meninggalkan larangan-Nya agar ia dapat memudahkan termakbulnya doa.

Wallahualam.