Monday, June 16, 2008

Keistimewaan Masjidil Haram, Masjid An-Nabawi dan Masjidil Aqsa

Masjid yang paling utama di dalam Islam ialah Masjidil haram di Mekah Al-Mukarramah kemudian Masjid an-Nabawi, di Madinatul Munawwarah dan selepas itu Masjidil Aqsa di Palestin iaitu berdasarkan kepada sebuah hadis yang bererti,

Dari Abu Hurairah Radiallahu Anhu dari Nabi Muhammad Sallallhu 'alaihi Wasallam sabdanya : "Tidak sepatutnya ( bersusah payah ) keluar belayar ( untuk menziarahi mana-mana masjid ) kecuali ( pergi ) ketiga-tiga buah masjid ( yang berikut ) : Masjidil Haram di Mekah, Masjidir Rasul ( Masjidi an-Nabawi di Madinah ) dan Masjidil Aqsa di Palestin." Hadis Al-Bukhari

Dalam hadis-hadis yang lain ada menerangkan kelebihan ketiga-tiga masjid tersebut di antaranya yang bererti ,

Dari Abu Hurairah Radhiallahu Anhu Rasulullah Sallallu 'alaihi Wasallam telah bersabda "Melakukan sekali sembahyang di dalam masjidku ( Masjidil nabawi di Madinah ) ini adalah lebih baik daripada 1 000 kali sembahyang dalam masjid yang lain melainkan Masjidil Haram."

Kemudian diterangkan lagi dalam sebuah hadis yang bermaksud ;
Dari Jabir Radhiallahu Anhu ; bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda "Satu sembahyang di masjidku lebih afdhal daripada 1 000 sembahyang di masjid-masjid yang lain kecuali Masjidil Haram di Mekah dan satu sembahyang di Masjidil Haram pula lebih afdhal daripada 100 000 sembahyang di masjid-masjid yang lain."

Daripada hadis-hadis di atas Nabi menggalakkan untuk menziarahi ketiga-tiga masjid yang bersejarah iaitu Masjidil Haram di Mekah, Masjid An-Nabawi di Madinah dan Masjidil Aqsa di Palestin. Di samping itu, baginda menggalakkan juga kepada umat Islam sama ada yang tinggal menetap di Mekah, di Madinah atau yang datang dari seluruh dunia untuk mengerjakan ibadat haji kemudian mengerjakan sembahyang sebanyak-banyak yang dapat di kedua-dua masjid yang mulia itu bagi mendapat pahala yang berganda-ganda.

Dalam sebuah hadis lagi ada menerangkan pula secara khusus kelebihan orang yang mengerjakan sembahyang di masjid Nabi sebanyak 40 waktu berturut-turut iaitu :-

Ertinya :
Dari Anas bin Malik Radhiallahu Anhu, Rasulullah Sallallhu 'alaihi Wasallam bersabda " Sesiapa sembahyang di masjidku 40 sembahyang ( dengan syarat ) ia tidak ketinggalan dalam satu sembahyang ( waktu ) pun, nescaya akan ditulis baginya kelepasan dari api neraka, dan kelepasan dari azab siksa dan (ia juga akan bersih ) dari sifat munafik."

Biasanya orang-orang yang pergi menunaikan haji dan menziarahi masjid dan makam Nabi di Madinah, untuk mendapatkan kelebihan ini mereka akan tinggal di Madinah selama 8 hari sekurang-kurangnya iaitu untuk mengerjakan sembahyang dalam 40 waktu selain daripada mengerjakan sembahyang-sembahyang sunat yang dituntut.

Mengenai kelebihan Masjidil Aqsa pula ada diterangkan dalam hadis-hadis yang lain yang bermaksud,
"Satu sembahyang yang dikerjakan di masjid itu lebih afdhal daripada 500 sembahyang yang dikerjakan di masjid-masjid yang lain kecuali Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah."

Demikianlah kelebihan ketiga-tiga masjid itu iaitu satu sembahyang yang dikerjakan di Masjidil Haram lebih afdhal daripada 100 000 sembahyang yang dikerjakan di masjid-masjid yang lain ( kecuali Masjid Nabi di Madinah dan Masjid Aqsa di Palestin, dan satu sembahyang yang dikerjakan di Masjid Nabi ( di Madinah ) pula lebih afdal daripada 1 000 sembahyang yang dikerjakan di masjid-masjid yang lain ( kecuali Masjidil Haram dan Masjid Nabi ) sementara satu sembahyang yang dikerjakan di Masjidil Aqsa ( di Palestin ) lebih afdhal daripada 500 sembahyang yang dikerjakan di masjid-masjid yang lain ( kecuali Masjidil Haram dam Masjidil Nabawi ).

Di samping itu, Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu 'alaihi Wasallam telah mengakui bahawa Masjid Quba' adalah sebuah masjid yang dikasihinya dan kerap kali baginda menziarahinya serta sembahyang di dalamnya.

Abdullah bin Omar Radiallahu Anhu ada meriwayatkan "adalah Nabi Sallallahu 'alaihi Wasallam selalu berziarah ke Masjid Quba'" dan satu riwayat lagi menyatakan Rasulullah berziarah ke Masjid Quba' setiap hari Sabtu, kadang-kadang menunggang unta dan terkadang-kadang berjalan kaki serta menunaikan sembahyang sunat dua rakaat di dalamnya.

Usaid bin Zahir Radiallahu Anhu pula meriwayatkan sebuah hadis yang maknanya "satu sembahyang di dalam masjid Quba' diberi pahala seperti menunaikan satu ibadat umrah."

Tazkirah : Adab Terhadap Diri Sendiri

Kaum muslimin percaya bahwa kebahagian di dunia dan akhirat bergantung pada perilaku dan adab terhadap diri sendiri dan pada kesucian serta kebersihan jiwa. Begitu juga dengan kesengsaraan disebabkan kerosakan dan kekotoran jiwa hal ini nyata dalam firman Allah :

“ Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu, dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya”( Asy-Syam [ 91] 9-10)

Rasullullah bersabda :
“ Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bila melakukan sesuatu dosa terjadilah bintik hitam dalam hatinya. Bila dia bertaubat dan menghentikan dosanya dan mencela perbuatannya, hatinya akan bersinar kembali, dan apabila dosanya bertambah, akan bertambah pula bintik hitam itu hingga hatinya akan tertutup….”( Nasa’i dan Tarmizi, hadis hasan sahih)

Oleh yang demikian kaum muslim haruslah berusaha menjaga dirinya dengan membersih dan menyucikan jiwanya. Kerana jiwa yang suci dan bersih dapat menjauhkan diri dari melakukan perbuatan-perbuatan yang buruk dan boleh merosakkan. Beberapa langkah yang perlu di lalui untuk mencapai kesucian jiwa iaitu :

a. Taubat
Taubat yang bermaksud menyucikan diri dari dosa dan maksiat, menyesali segala dosa yang telah dilakukan dan berazam untuk tidak mengulangi. Seperti firman Allah yang bermaksud:

“ Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang seikhlas-ikhlasnya, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menutupi kesalahan-kesalahanmu dan memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai….” (at-Tahrim[66] : 8)

Dan sabda Rasullullah :
“ Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah kerana aku bertaubat setiap hari seratus kali” ( Muslim )

b. Muraqabah ( Pengawasan )
Umat Islam sentiasa merasakan setiap perbuatan dan pergerakan diawasi oleh Allah. Sehingga mereka yakin bahawa Allah sentiasa memerhatikan dan megetahui segala yang nyata mahupun tersembunyi.Dengan keyakinan itulah manusia merasakan jiwanya tenang mengingati Allah dan puas mendampingiNYA. Ia di nyatakan dalam firman Allah :

“ Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia pun mengerjakan kebaikan .....” ( an-Nisa [4] : 125 )

Rasullullah juga bersabda :
" Beribadahlah kamu kepada Allah seperti kamu melihat-NYA, apabila kamu tidak melihat Allah, sesungguhnya Dia melihatmu ......” (Muttafaq ’alaih)

c. Muhassabah
Melakukan perhitungan terhadap diri sendiri di atas apa yang telah dilakukan demi mengecapi kebahagian di dunia dan akhirat. Sentiasa membuat perhitungan dengan apa yang telah dilakukan. Andainya apa yang dilakukan adalah perkara-perkara yang dilarang, maka mestilah segera beristigfar menyesali perbuatan dan segera bertaubat dan membuat kebaikan. Inilah yang dimaksudkan dengan muhassabah terhadap diri sendiri.Ianya satu cara memperbaiki, mendidik, menyuci dan membersihkan diri

Allah berfirman :
“ Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memerhatikan apa yang telah dilakukannya untuk hari esok (akhirat), dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan. ” (al-Hasyr [59] : 18)

d. Mujahadah (Berjuang Melawan Hawa Nafsu)
Hawa Nafsu adalah musuh yang paling besar bagi setiap individu Islam. Hawa nafsu hanya cenderung untuk melakukan kejahatan dan menjauhi kebaikan.

Allah telah berfirman :
“ Dan Aku tidak membebaskan diriku (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu menyuruh kepada kejahatan.....”(Yusuf [12] : 53 )

Sebagai umat Islam seharusnya kita berjuang untuk melawan hawa nafsu jangan sampai ianya menguasai diri kita. Didiklah nafsu agar tenang dan tenteram serta suci dan bersih.

Allah berfirman :
“ Dan orang-orang yang berjihad untuk (mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik.” (al-Ankabut : 69)

Sebagai umat Islam kita mestilah sentiasa berjuang di jalan Allah demi memastikan nafsu terkawal, baik, bersih, suci dan tenteram serta memperolehi kemuliaan dan keredhaan dari Allah S.W.T.

Friday, June 13, 2008

10 Tips Mengekalkan Kebahagian Rumah Tangga

1) Beri pujian kepada isteri
Jangan lokek memberi pujian kepada isteri dengan mengatakan dia cantik dan kemas.Pujian ini penting untuk menaikkan semangat isteri tatkala semangatnya hilang dan luntur.

2) Dengar pendapat isteri
Suami isteri perlu sering bertukar-tukar pendapat tidak kira taraf pendidikan atau profesionalisme mereka. Isu semasa boleh dijadikan sebagai ‘ice-breaking’. Kemudian,berbincanglah mengenai hal rumah tangga dan masa depan. Suami boleh bertanyakan pandangan isteri mengenai masalah kerjanya.

3) Penuhi hajat isteri
Bukan semua hajat isteri boleh dipenuhi suami. Bukankah pemberian itu melambangkan anda suami yang amat menghargai pengorbanan isteri.

4) Anggap pasangan seperti diri sendiri.
Menganggap pasangan sebagai diri sendiri yang harus dihargai, dibelai, dihormati, disayangi dan dikasihi. Semua orang suka dibelai dan dikasihi apatah lagi pasangan suami isteri. Mengapa selepas berkahwin cinta tidak sehangat sewaktu bercinta. Inilah yang sering diabaikan oleh banyak pasangan. Pasangan anda adalah cerminan diri anda sendiri. Kemana pon anda pergi, potret wajahnya perlu anda bawa bersama. Jika ini diamalkan selalu, rumahtangga akan bahagia.

5) Isteri bukan pembantu rumah
Banyak suami menganggap kerja-kerja rumah tanggunjawab isteri seratus peratus. Padahal dalam Islam, tidak ada hukum isteri wajib melakukan kerja rumah. Cuma, ajaran Islam mengatakan wanita berkahwin yang taat dengan suami dan Tuhan, menjaga harta dan maruah suami dengan sebaiknya akan dijamin syurga. Itu sahaja. Atas jaminan inilah ramai wanita tidak berkira dengan kerja rumah yang mereka lakukan.

6) Isteri juga manusia
Mereka ialah golongan wanita yang penuh dengan perasaan emosi. Apabila mereka redha dan bahagia dengan setiap perkara yang mereka lakukan, maka perasaan mereka tenang dan gembira. Namun, jika mereka tertekan dengan apa yang berlaku, maka emosi mereka mulai berkecamuk dan sering mencari jalan keluar daripada masalah yang mereka hadapi.

7) Ingat tarikh penting
Manusia memang suka dihargai dan dikejutkan dengan pemberian hadiah oleh sesiapa sahaja apatah lagi daripada orang yang disayangi. Cukup sekadar seutas jam atau sehelai tudung. Jika ‘budget’ anda tidak mencukupi, memadai sekuntum bunga dan sekeping kad.

8) Bantu ringankan tugas isteri
Suami perlu turun padang membantu isteri jika setiap hari isteri anda bertungkus lumus memasak,membasuh dan mengemas rumah. Jika anda tidak mahir memasak makanan yang berat seperti lauk pauk, cukup sekadar menggoreng ikan atau telur. Cuba perhatikan isteri anda yang sedang menikmati makanan anda masak. Tentu dia gembira dan tersenyum.

9) Bawa isteri berehat
Kebanyakan suami menganggap berjauhan daripada isteri kebebasan baginya kerana isteri tidak dapat menghidu apakah dilakukan di belakangnya. Kini, anda cuba terbalikkan situasi ini. Sentiasa bawa isteri berjalan-jalan dan berehat di tempat peranginan.

10) Ciuman khas untuk isteri
Cuba tanya diri sendiri bilakah kali terakhir anda mencium dahi isteri anda ketika dia berehat selepas penat bekerja. Tahukah anda ciuman anda di dahi atau kucupan di bibirnya dapat menghilangkan segala kepenatan dan tekanan pada dirinya hari itu. Begitulah kuatnya kuasa ciuman suami kepada isterinya.

Rahsia Surah Al-Kautsar

Surah ini paling pendek, hanya mengandungi 3 ayat & diturunkan di Makkah dan bermaksud sungai di syurga. Kolam sungai ini diperbuat daripada batu permata nan indah dan cantik.
Rasanya lebih manis daripada madu, warnanya pula lebih putih daripada susu dan lebih wangi daripada kasturi.

Surah ini disifatkan sebagai surah penghibur hati Nabi Muhammad s.a.w. kerana diturunkan ketika baginda bersedih atas kematian 2 orang yang dikasihi iaitu anak lelakinya Ibrahim dan bapa saudaranya Abu Talib.
Pelbagai khasiat terkandung di dalam surah ini dan boleh kita amalkan, iaitu:

1). Baca surah ini ketika hujan dan berdoa, mudah-mudahan Allah s.w.t. makbulkan doa kita.

2). Jika kita kehausan dan tiada air, bacalah surah ini dan gosok di leher, Insya’allah hilang dahaga.

3). Jika sering sakit mata, seperti berair, gatal, bengkak, sapukan air mawar yang sudah dibacakan surah ini sebanyak 10x pada mata.

4). Jika rumah dipercayai terkena sihir, baca surah ini 10x, mudah-mudahan Allah s.w.t. bagi ilham pada kita dimana letaknya sihir itu.

5). Jika membacanya 1,000x rezeki kita akan bertambah.

6). Jika rajin membacanya, hati kita akan menjadi lembut dan khusyuk ketika menunaikan solat.

7). Jika orang teraniaya dan terpenjara membacanya sebanyak 71x, Allah s.w.t . akan memberikan bantuan kepadanya kerana dia tidak bersalah tetapi dizalimi.

Perkara yg baik kita amalkan selalu.

Wallahu a’lam

Apa Punca Anak Derhaka?

Sabda Rasulullah s.a.w.:
“Berguraulah dengan anak kamu kala usianya satu hingga tujuh tahun. Berseronok dengan mereka, bergurau hingga naik atas belakang pun tak apa. Jika suka geletek, kejar atau usik anak asalkan hubungan rapat. Lepas tujuh hingga 14 tahun kita didik dan ajar, kalau salah pukullah dia (sebagai pengajaran)”

Dimana yang nak dipukul tu? Tapak kakinya, bukan muka, punggung, telinga dan ditempat-tempat yang sensitif, itu salah.Jika dia bijak dan menang dalam sebarang pertandingan sekolah, ucapkan tahniah. Tidak salah kita cium atau peluk mereka sebagai tanda penghargaan. Kala umur mereka 14 hingga 21 tahun jadikan kawan. Tetapi selalunya usia beginilah ibu bapa mula merenggangkan hubungan dan ini menyebabkan anak derhaka.

Yang penting anak-anak harus dilatih sembahyang jemaah bersama, latih cium tangan dan peluk penuh kasih dan sayang, maka mereka tidak akan tergamak menderhaka.

Kebanyakan kes anak-anak yang lari daripada rumah, berpunca daripada rasa bosan. Belum sempat letak beg sekolah, ibu dah suruh macam-macam. Si anak rasa tertekan dan menyampah dengan persekitaran dan rumahnya. Boleh disuruh tetapi berikan hak mereka di rumah. Yang penting dia balik ke rumah suka, dan pergi sekolah pun seronok.

Mungkin ibu bapa punya alasan tidak rapat dengan anak-anak kerana sibuk. Kita boleh cuba cara lain, balik di tengah malam, anak-anak sudah tidur, pergi bilik dan cium dahinya. Hubungan rohani tetap subur, walaupun anak tidur tetapi jiwanya sentiasa hidup.

Jangan kita tunjuk sikap kita yang panas baran, pemarah dan ada kuasa veto kepada mereka, jangan suka mengherdik mereka dengan perkataan bodoh, kurang ajar, sumpah seranah dan sebagainya yang merupakan doa kepada mereka. Inilah yang menyebabkan mereka derhaka kepada kita.

Lazim orang tua, pantang anak menegur walaupun tahu mereka bersalah. Jangan rasa tercabar kerana pesan orang tua-tua, bisa ular tidak hilang walau menyusur di bawah akar. Sayyidina Umar berkata, kanak-kanak tidak berdosa dan doa mereka mudah diterima.

Begitu juga dengan Rasulullah, kalau berjumpa anak-anak kecil, Baginda cukup hormat dan sayang sebab anak-anak tidak berdosa. Lagipun kanak-kanak kalau menegur memang ikhlas dan jangan ambil endah tidak endah. Perasaan anak juga mesti dihargai, sesetengah orang tua kurang bercakap dengan anak-anak. Kalau menegur pun dengan ekor mata dan herdikan. Si anak rasa tersisih dan tidak dihargai. Kepada kawan tempat mereka mengadu, bila jumpa kawan baik tidak mengapa, tetapi jumpa yang samseng, sudah tentu membawa padah.

Tazkirah Jumaat : 10 Pesanan Allah swt Kepada Nabi Musa a.s

Abul-Laits Assamarqandi meriwayatkan kepada sanadnya dari Jabir bin Abdillah r.a. berkata Rasulullah S.A.W bersabda : "Allah S.W.T. telah memberikan kepada Nabi Musa bin Imran a.s. dalam alwaah 10 bab :

1). Wahai Musa jangan menyekutukan aku dengan suatu apa pun bahwa aku telah memutuskan bahwa api neraka akan menyambar muka orang-orang musyrikin.

2). Taatlah kepada-Ku dan kedua orang tuamu nescaya Aku peliharamu dari sebarang bahaya dan akan Aku lanjutkan umurmu dan Aku hidupkan kamu dengan penghidupan yang baik.

3). Jangan sekali-kali membunuh jiwa yang Aku haramkan kecuali dengan hak nescaya akan menjadi sempit bagimu dunia yang luas dan langit dengan semua penjurunya dan akan kembali engkau dengan murka-Ku ke dalam api neraka.

4). Jangan sekali-kali sumpah dengan nama-Ku dalam dusta atau durhaka sebab Aku tidak akan membersihkan orang yang tidak mensucikan Aku dan tidak mengagung-agungkan nama-Ku.

5). Jangan hasad dengki dan irihati terhadap apa yang Aku berikan kepada orang-orang, sebab penghasut itu musuh nikmat-Ku, menolak kehendak-Ku, membenci kepada pembahagian yang Aku berikan kepada hamba-hamba-Ku dan sesiapa yang tidak meninggalkan perbuatan tersebut, maka bukan daripada-Ku.

6). Jangan menjadi saksi terhadap apa yang tidak engkau ketahui dengan benar-benar dan engkau ingati dengan akalmu dan perasaanmu sebab Aku menuntut saksi-saksi itu dengan teliti atas persaksian mereka.

7). Jangan mencuri dan jangan berzina isteri jiran tetanggamu sebab nescaya Aku tutup wajah-Ku daripadamu dan Aku tutup pintu-pintu langit daripadanya.

8). Jangan menyembelih korban untuk selain dari-Ku sebab Aku tidak menerima korban kecuali yang disebut nama-Ku dan ikhlas untuk-Ku.

9). Cintailah terhadap sesama manusia sebagaimana yang engkau suka terhadap dirimu sendiri.

10). Jadikan hari Sabtu itu hari untuk beribadat kepada-Ku dan hiburkan anak keluargamu. Kemudian Rasulullah S.A.W bersabda lagi : "Sesungguhnya Allah S.W.T menjadikan hari Sabtu itu hari raya untuk Nabi Musa a.s. dan Allah S.W.T memilih hari Juma'at sebagai hari raya untukku."

Gersang Bumi Tanpa Hujan, Gersang Minda Tanpa Ilmu,
Gersang Hati Tanpa Iman, Gersang Jiwa Tanpa Amal.

Tazkirah Jumaat : Manusia Berhadapan Dengan 6 Persimpangan

Abu Bakar r.a. berkata, " Sesungguhnya iblis berdiri di depanmu, jiwa di sebelah kananmu, nafsu di sebelah kirimu, dunia di sebelah belakangmu dan semua anggota tubuhmu berada di sekitar tubuhmu. Sedangkan Allah di atasmu. Sementara iblis terkutuk mengajakmu meninggalkan agama, jiwa mengajakmu ke arah maksiat, nafsu mengajakmu memenuhi syahwat, dunia mengajakmu supaya memilihnya dari akhirat dan anggota tubuh menagajakmu melakukan dosa. Dan Tuhan mengajakmu masuk Syurga serta mendapat keampunan-Nya, sebagaimana firmannya yang bermaksud, "....Dan Allah mengajak ke Syurga serta menuju keampunan-Nya..."


Siapa yang memenuhi ajakan iblis, maka hilang agama dari dirinya. Sesiapa yang memenuhi ajakan jiwa, maka hilang darinya nilai nyawanya. Sesiapa yang memenuhi ajakan nafsunya, maka hilanglah akal dari dirinya. Siapa yang memenuhi ajakan dunia, maka hilang akhirat dari dirinya. Dan siapa yang memenuhi ajakan anggota tubuhnya, maka hilang syurga dari dirinya. Dan siapa yang memenuhi ajakan Allah S.W.T., maka hilang dari dirinya semua kejahatan dan ia memperolehi semua kebaikan."

Iblis adalah musuh manusia, sementara manusia adalah sasaran iblis. Oleh itu, manusia hendaklah sentiasa berwaspada sebab iblis sentiasa melihat tepat pada sasarannya.

Gersang Bumi Tanpa Hujan, Gersang Minda Tanpa Ilmu,
Gersang Hati Tanpa Iman, Gersang Jiwa Tanpa Amal.