Friday, May 8, 2009

KISAH ORANG JEPUN DAN IKAN JERUNG

Masyarakat Jepun begitu menggemari ikan yang segar. Akan tetapi, bekalan ikan di lautan Jepun adalah terhad. Maka, para nelayan terpaksa menangkap ikan di kawasan laut dalam yang lebih jauh daripada daratan.Maka, semakin jauh ke laut dalam, semakin lama masa yang diambil untuk membawa balik ikan ke daratan. Syarikat perikanan ini mendapat satu jalan penyelesaian dengan menyediakan peti sejuk beku di dalam bot. Akan tetapi, masalah tetap muncul yang mana ikan menjadi tidak segar selepas beberapa hari di lautan.Orang jepun tidak menggemari ikan yang tidak segar! Maka, harga ikan sejuk beku ini dijual dengan harga yang lebih murah kerana permintaan yang rendah.

Syarikat ini tidak berputus asa untuk mencari penyelesaian dan akhirnya telah mengemukan idea dengan menyediakan tangki ikan! Teorinya begini, ikan hidup yang ditangkap akan terus dimasukkan ke dalam tangki ikan hidup-hidup! Maka, ikan tersebut di bawa balik ke daratan dalam keadaan hidup-hidup. Akan tetapi, masalah tetap timbul kerana walaupun ikan tersebut masih hidup, tetapi masyarakat jepun tidak dapat merasai kemanisan ikan yang segar. Hal ini adalah kerana ikan tersebut menjadi pasif yang menyebabkan daging ikan tidak segar.Maka, syrikat perikanan ini terus bertungkus lumus memerah idea bagi menyelesaikan masalah ini.

Akhirnya timbul satu idea yang cukup bernas bagi mengatasi masalah yang timbul. Syarikat ini masih mengekalkan konsep yang sama iaitu menyimpan ikan di dalam tangki air yang ditambah dengan ikan jerung kecil di dalamnya! Walaupun terdapat ikan yang menjadi mangsa kepada ikan jerung ini, akan tetapi kebanyakan ikan masih lagi hidup apabila sampai ke daratan.Ikan yang dibawa balik mendapat permintaan yang tinggi kerana ikan ini masih segar dan isinya manis. Hal ini adalah kerana, ikan-ikan ini terpaksa berenang dengan aktif untuk mengelakkan diri daripada di makan oleh jerung tadi.

Ironinya cerita ini dengan kehidupan kita seharian adalah kita menganggap cabaran dan dugaan sebagai ikan jerung kecil yang menjadikan kita sentiasa bersedia, bertenaga dan aktif.Ikan jerung ini juga menjadikan kita lebih bijak, berusaha secara berterusan dan berdaya saing dalam kehidupan seharian. Jadi jika kita malas dan tidak berusaha, pastilah kita akan menjadi mangsa kepada jerung kecil ini bukan? Bersyukurlah kita kepada Allah kerana menganugerahkan kita ” seekor ikan jerung kecil” dalam kehidupan kita seharian yang menjadikan kita lebih berusaha, berdaya saing dan menjadi lebih baik daripada semalam.

وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ ۖ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ

'Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyata pula apa yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.' (Al-Ankabut:3)

Taubat yang syaratnya gagal dipenuhi

Oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: "Barangsiapa yang beristighfar dengan sebanyak-banyaknya, Allah SWT akan bebaskan mereka daripada sebarang kesusahan, akan mendapat rezeki yang tidak diduga daripada sumber itu serta mendapat jalan penyelesaian daripada sebarang kerunsingan."

Orang yang tidak ditimpa runsing dalam kehidupannya, adalah merupakan suatu nikmat daripada Allah SWT.

Berapa ramai manusia yang memiliki harta kekayaan yang banyak tetapi tidak sunyi daripada dilanda runsing. Kekadang kehidupan seseorang sederhana sahaja tetapi mereka aman daripada sebarang kerunsingan jiwa dan fikirannya.

Jika berikhtiar menghilangkan kerunsingan dengan bukan jalan Allah SWT, seperti dengan berhibur yang melampau, maka usaha itu seperti menghilangkan gatal dengan menggaru akan hilang gatal sejenak. Dengan menggaru boleh menyebabkan calar berdarah bertukar jadi kudis.
Apabila kuman yang menyebabkan kegatalan aktif semula, maka gatal akan muncul kembali malah lebih parah lagi dengan munculnya kudis akibat luka digaru.

Fadilat beristighfar ialah Allah SWT akan memberi jalan penyelesaian daripada sebarang kesempitan, sama ada kesulitan hidup di dunia berbentuk kebendaan atau pemikiran dan perasaan.

Fadilatnya lagi ialah dikurniakan rezeki daripada sumber yang tidak diduga. Lebih istimewa lagi jika rezeki datang mecurah pada saat amat diperlukan.

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya aku seorang Nabi memohon ampun dosa (istighfar) kepada Allah SWT, setiap hari sebanyak 70 kali."

Meskipun Nabi s.a.w. maksum (dikawal) dosa oleh Allah SWT, namun baginda tetap memohon ampun sebanyak 70 kali saban hari.

Apakah tujuan Nabi s.a.w. mohon ampun kepada Allah SWT dalam keadaan maksum. Tujuannya ialah untuk mentarbiyah umatnya supaya tidak mengabaikan istighfar mohon supaya Tuhan ampuni dosanya.

Jika Nabi s.a.w. yang maksum beristighfar 70 kali, umatnya sebagai insan biasa yang bergelumang dosa, secara logiknya mestilah mohon ampun kepada Allah SWT setiap hari lebih daripada yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. itu.

Bagi Nabi s.a.w. yang maksum beristighfar itu bukanlah untuk mohon ampun dosa, tetapi istighfar Nabi s.a.w. ialah mohon ampun daripada perkara yang dikira silap.

Ini kerana amalan baik bagi orang yang jujur (abrar) itu, masih dikira sesuatu yang buruk bagi golongan 'muqorrobin' seperti golongan para nabi itu.

Contohnya, jika melakukan solat fardu didahului dan diiringi dengan solat rawatib, juga mendirikan solat malam tahjud empat rakaat dan tiga rakaat witir, jika boleh kekalkan sudah dikira termasuk golongan 'abrar'.

Tetapi sekadar itu tidak layak bagi golongan para anbiya, ia dikira berdosa bagi golongn muqarrabin jika ibadatnya sekadar itu.

Adapun istighfar yang sering diucapkan oleh Nabi s.a.w. seperti berikut: "Allahummaghfirli ma qaddamtu wama akhkhartu wama asrartu wama a'alantu wama Anta a'alamu bihi minni wa Antal muqaddimu wa Antal muakhkhir wa Anta 'ala kulli syai-in qadir."

Ia bermaksud: "Wahai Tuhan, ampunilah dosaku yang terdahulu dan dosa kemudian yang belum dilakukan, dosa yang kulakukan secara sulit tersembunyi dan dosa yang kulakukan secara terbuka, sebanyak mana yang Engkau ketahui. Sesungguhnya atas Engkau Yang Berkuasa penuh atas segala sesuatu."

Seorang ulama bernama Fudhul bin Akhyar berkata mengenai istighfar katanya: "Bahawa minta ampun dalam keadaan tidak menghentikan daripada berbuat dosa itu adalah taubat seorang pendusta."

Apabila seseorang beristighfar bererti dia mohon ampun kepada Allah SWT, apa ertinya dia mohon ampun kalau terus melakukan dosa maksiat.

Sedangkan syarat taubat ialah insaf dan menyesal, bertekad untuk tidak melakukannya lagi. Sangat pembohong bagi seorang yang mohon ampun kepada Tuhan, tetapi tidak berhasrat uantuk meninggalkan dosa dan menyesalinya.

Perbuatan itu umpama orang solat dengan memakai kain yang tercemar dengan najis, setelah dia sedar lalu digantinya dengan kain baru, sayangnya kain baru itu adalah kain curi.

Dia tinggalkan dosa diganti dengan dosa yang lain pula. Apakah ertinya itu jika dia tidak sedar sedang menipu diri sendiri?

Seorang wali besar yang masyhur dalam sejarah Islam, seorang wanita bernama Rabi'ah Al-'Adawiyyah berkata: "Sesungguhnya minta ampun bukan sekadar kerana berdosa, tetapi istighfar kerana kesalahan minta ampun daripada taubat yang tidak memenuhi syarat taubat itu."

Ertinya adalah dianggap satu dosa bagi orang minta ampun (istighfar) dalam keadaan dia tetap melakukan dosa, kerana sepatutnya dia menyesal serta berazam untuk tidak lakukannya lagi.
Beristighfar dalam keadaan demikian bererti dia sedang berdusta, seolah-olah mempermain-main dengan Allah SWT dengan istilah taubat.

Bertaubat dalam suasana demikian lebih buruk daripada melakukan dosa yang sebenar, kerana taubat seperti itu merupakan suatu dosa yang perlu bertaubat semula kerana bertaubat yang menyalahi syarat taubat. Inilah taubat manusia pendusta terhadap Tuhan.

Bagaimana Aqal Kita Tatkala Di Alam Kubur?

Apa perasan kita jika berselubung di dalam selimut tebal di waktu tengahari? Cuba lakukan ia selama sepuluh minit sambil berbaring seperti sekujur tubuh yang telah mati. Tanpa kipas, penghawa dingin dan tingkap dan pintu di tutup rapat.

Siapakah yang mampu bertahan lebih dari 30 minit ?

Sudah tentu minda dan tubuh kita tidak mampu menanggung ketidakselesaan itu walaupun hanya untuk 10 minit. Saya pasti kerana saya pernah mencubanya. Panas dan berhaba.

Setiap kali saya fikirkan semula percubaan saya itu, saya terfikir keadaan di alam barzakh kelak..terutamanya di liang lahad yang sempit, tertutup, tanpa penghawa dingin, tilam, tingkap serta kipas itu.

Sewaktu kita berada di alam barzakh kelak, adakah pancaindera dan penilaian minda kita terhadap alam ini sama seperti sewaktu kehidupan biasa kita di dunia?

Apabila saya utarakan hal ini. Ramai yang menjawab : "Tidak" atau juga "tidak tahu"
Apa jawapannya sebenar ?

Suka saya membawakan sebuah hadis berikut :-

ان رَسُولَ اللَّهِ ذَكَرَ فَتَّانَ الْقُبُورِ فقال عُمَرُ أَتُرَدُّ علينا عُقُولُنَا يا رَسُولَ اللَّهِ فقال رسول اللَّهِ نعم كَهَيْئَتِكُمُ الْيَوْمَ

Ertinya : Sesungguhnya Nabi Muhammad s.a.w menyebut berkenaan ujian-ujian di dalam kubur.

Lalu Umar al-Khattab r.a bertanya : "Adakah akan dikembalikan kepada kita aqal-aqal kita (di dalam kubur kelak)?"

Nabi menjawab: Ya, (ia akan dikembalikan) sebagaimana keadaan kamu (sekarang) :
(Riwayat Ahmad, no 6603, 2/172 ; Ibn Hibban, 7/387 ; Majma Zawaid , 3/47 : Al-Haithami : Perawi Ahmad adalah Sohih kecuali terdapat Ibn Lahi'ah ; Syeikh Syuaib : Hasan Lighairi)

Bagaimana pula jika terpaksa menunggu di alam kubur ni sepanjang seribu tahun sebagaimana yang dikenakan kepada si Abu Jahal. !

Dalam keadaan status penilaian aqal kita sama seperti di waktu hidup, tetapi status keadaan tubuh dan keselesaannya adalah diletakkan di ruang liang lahad yang kecil, berselimut dek kain kapan dan ditimbus oleh tanah.

Namun, bagi mereka yang derhaka kepada Allah swt, disebutkan di dalam sebuah lagi hadis :-

إن للقبر ضغطه لو سلم أو نجا منها أحد لنجا سعد بن معاذ

Ertinya : "Sesungguhnya di dalam kubur itu terdapat himpitan, dan jika seorang itu mampu selamat darinya sudah tentu (salah seorangnya) adalah Sa'ad Bin Muadz ( seorang sahabat Nabi yang hebat )" ( Riwayat Ahmad, dengan sanad yang baik ; al-Mughni 'an hamlil asfar, no 4466, 2/1237 ; Ibn Hibban, Sohih, 7/379 ; Al-ahadith Al-Mukhtarah, Dhiya ad-Din al-Maqdisi, 5/200 ; Al-Maqdisi : Perawinya thiqat)

Ya, ruh terperangkap di dalam jasad di kuburan dan merasai azab himpitan dan lainnya yang amat berat lagi perit. Moga kita dijauhkan Allah swt dari keadaan ini.

Hanya amal soleh yang dapat memberikan keselesaan tatkala itu. Ye, benar, bagi yang bersedia, bersukar untuk mempelajari, mengamalkan, dan mengajarkan Islam kepada orang ramai dengan ikhlas dan tulus, mereka akan dikurniakan kenikmatan barzakh yang bermula dengan ruhnya diangkat dan dimasukkan ke dalam burung-burung berwarna hijau dan berterbangan serta menikmati makanan di pepohon syurga. Demikian sabdaan Nabi s.a.w yang mengatakan :-
إنما المؤمن طائر يعلق في شجر الجنة حتى يرجعه الله إلى جسده يوم يبعثه

Ertinya : Sesungguhnya ruh orang mukmin itu seperti burung (atau berada di dalam burung - bermakna tidalah kelihatan ruh manusia berterbangan), yang menikmati hidangan (dan berterbangan bebas) di pepohon Syurga sehinggalah dikembalikannya oleh Allah ke jasadnya di hari kebangkitannya. ( Riwayat Malik, Tirmidzi & Ibn HIbban : Hadis Sohih ; Ibn Hibban, Arnout, Syakir)

Segeralah kita menyiapkan diri sehabis mungkin untuk selamat dari sebarang azab kubur yang amat mengerikan.

Bagi orang yang bertaqwa, inilah peluang terhebat. Bagi individu yang hatinya diselaputi sifat nifaq dan dosa. Ia adalah a 'piece of cake' dan 'need no worries', hidup untuk ENJOYYYY!! .

Nau'zubillah.

Sekian,

Zaharuddin Abd Rahman

Monday, May 4, 2009

10 Cara Membina Motivasi Diri

Sebelum mengambil sebarang langkah, duduk sejenak. Tarik nafas panjang dan lepaskan sekali gus. Kemudian pejamkan mata. Beri salam kepada diri sendiri dan katakan, "Hai, engkau dijadikan bukan untuk berkeluh-kesah.” Kemudian bangkitlah dan cuba lakukan perkara-perkara berikut:

1. Perbaiki imej anda

Cuba lakukan sedikit perubahanKalau selama ini anda tidak kisah kalau seluar yang dipakai sehingga seminggu dan tidak bergosok, cuba kali ini menukarnya selalu dan pelbagaikan warnanya. Jika anda wanita, tukar imej kusam kepada kemas. Elegan dan aktif. Perkemaskan juga wajah anda denga sedikit solekan ringan. Kenakan warna-warna ceria pada tubuh anda; pada baju dan tudung. Hiasi jari dengan sebentuk cincin untuk menambah seri. Jangan terlalu pendiam, tetapi jangan pula terlalu bising. Bersikap sederhana dan ringankan mulut jika orang meminta pendapat.

2. Lakukan senaman ringan

3. Senyum

Senyum boleh mengubah segala-galanya. Hadiahkanlah senyuman kepada seseorang, anda akan mendapat senyumannya balik.

4. Berfikiran positif

Berfikiran positif membolehkan minda anda mengeluarkan arus alpha iaitu arus kecemerlangan untuk membina kejayaan. Berfikiran positif juga membuatkan perkara yang sukar menjadi senang, masalah bertukar menjadi peluang, masa depan kelihatan lebih cerah dan insyaAllah rezeki pun akan meluas. Fikiran-fikiran positif itu adalah doa berpanjangan yang kita panjatkan. Selama kita berfikiran positif, selama itulah menjadi satu pengharapan yang amat besar terhadap ALLAH.

5. Dapatkan tidur yang mencukupi

Rungsing dan marah-marah kadangkala disebabkan keletihan akibat tidak mendapat rehat yang mencukupi. Tidur yang tidak mencukupi akan mencetuskan arus theta atau arus delta, dua arus kemunduran.

6. Luahkan pada seseorang

Anda memerlukan seorang sahabat ketika anda berasa tidak stabil seperti ini, bahkan dalam suasana yang biasa pun anda memerlukan seorang sahabat.

7. Curahkan di atas kertas

Curahkan semua yang merunsingkan fikiran anda itu ke atas kertas. Curahkan segala-galanya tanpa tertinggal satu pun. Kemudian bakar dan hanyutkan ke sungai. Terasa lega.

8. Bersedia untuk berubah

Jangan teragak-agak untuk melakukan perubahan. Jika orang lain boleh, mengapa anda tidak? Apa istimewanya orang lain, sedang anda juga makhluk ALLAH yang dikurniakan dengan pelbagai kelebihan dan keistimewaan tertentu.

9. Cari kegemaran baru

Sesetengah daripada kesukaan kita akan sampai kepada penghujungnya. Hobi juga begitu. Maka apabila anda mula merasakan hidup ini mulai kosong carilah kegemaran-kegemaran baru. Tidak salah bermain game misalnya, untuk melihat adakah minat anda boleh tumbuh di sini.

10. Bertegaslah

Bertegaslah dengan diri anda sendiri. Apabila anda mengambil satu-satu keputusan anda berpegang teguh pada keputusan itu dengan meletakkan sepenuh kepercayaan bahawa anda akan berjaya.

Sahabat

Siapakah yang dikatakan sahabat? Adakah perlu dia kaya dan segak? Apakah perlu dia pandai mengambil hati? Mestikah dia tidak mementingkan diri sendiri? Atau.. Sahabat ialah orang yang sekepala dengan sahabatnya? Satu hala tuju dan matlamat yang selari?

Mestikah dia mengetahui kegemaran sahabatnya? Atau.. Adakah orang yang dapat gembira suka dan duka bersama? Membantu bila sahabatnya kesusahan? Atau.. Seorang sahabat ialah orang yang menjaga sahabatnya dari kemurkaan Allah? Dia menegur apabila sahabatnya lupa.. Pastinya dia orang yang menyayangi sahabatnya seperti menyayangi dirinya..

Kenapa mesti kita bersahabat???

1. Sebagai seorang manusia kita tidak dapat hidup bersendirian, kerana manusia dengan sifat kurniaan Allah itu saling perlu memerukan. Ibaratnya tidak ada diciptakan juga daripada golongan Adam sahaja tetapi diciptakan juga dari golongan Hawa. Kerana sudah menjadi fitrah manusia memerlukan teman..

2. Sahabat adalah cermin diri kita. Jka kita bersahabat dengan orang jahat,maka kita pasti dicerminkan sedemikian. Jika bersahabat dengan orang yang soleh, maka kita juga pasti dicerminkan sedemikian. Oleh yang demikian, pilihlah siapa sahabatmu..

3. Islam menganjurkan umatnya supaya memilih sahabat yang baik. Pilih sahabat yang baik seumpama jika kita berkawan dengan pelebur besi, maka kita pasti mendapat percikan api. Tapi jika berkawan dengan penjual haruman, maka kita pasti berbau harumannya.. Dan pohonlah kepada Allah supaya Allah mengurniakan kita sahabat yang boleh membawa kita untuk mendapat keredhaanNYA...

Monday, April 27, 2009

Mengapa Muslim Biarkan Hati Mati??

Hati adalah organ paling utama dalam tubuh manusia dan adalah nikmat paling agung yang diberikan oleh Allah. Hati menjadi tempat Allah membuat penilaian terhadap hamba-Nya. Pada hatilah letaknya niat seseorang. Niat ikhlas itu akan diberi pahala. Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik agar tidak rosak, sakit, buta, keras dan lebih-lebih lagi tidak mati. Sekiranya berlaku pada hati keadaan seperti ini, kesannya membabitkan seluruh anggota tubuh manusia. Akibatnya, akan lahir penyakit masyarakat berpunca daripada hati yang sudah rosak itu.

Justeru, hati menjadi amanah yang wajib dijaga sebagaimana kita diamanahkan menjaga mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan sebagainya daripada berbuat dosa dan maksiat. Hati yang hitam ialah hati yang menjadi gelap kerana bergelumang dengan dosa. Setiap dosa yang dilakukan tanpa bertaubat akan menyebabkan satu titik hitam pada hati. Itu baru satu dosa. Bayangkan bagaimana kalau 10 dosa? 100 dosa? 1,000 dosa? Alangkah hitam dan kotornya hati ketika itu. Perkara ini jelas digambarkan melalui hadis Rasulullah yang bermaksud:

"Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam." (Hadis riwayat Ibn Majah)

Hadis ini selari dengan firman Allah bermaksud:

"Sebenarnya ayat-ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka sudah diselaputi kotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan." (Surah al-Muthaffifiin, ayat 14)

Hati yang kotor dan hitam akan menjadi keras. Apabila hati keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan. Ia akan menjadi penghalang kepada masuknya nur iman dan ilmu. Belajar sebanyak mana pun ilmu yang bermanfaat atau ilmu yang boleh memandu kita, namun ilmu itu tidak masuk ke dalam hati, kalau pun kita faham, tidak ada daya dan kekuatan untuk mengamalkannya. Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud:

"Kemudian selepas itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Pada hal antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir sungai daripadanya dan ada pula antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya. Dan ada juga antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan." (Surah al-Baqarah ayat 74)

Begitulah Allah mendatangkan contoh dan menerangkan batu yang keras itu pun ada kalanya boleh mengalirkan air dan boleh terpecah kerana amat takutkan Allah. Oleh itu, apakah hati manusia lebih keras daripada batu hingga tidak boleh menerima petunjuk dan hidayah daripada Allah. Perkara paling membimbangkan ialah apabila hati mati akan berlaku kemusnahan amat besar terhadap manusia. Matinya hati adalah bencana dan malapetaka besar yang bakal menghitamkan seluruh kehidupan. Inilah akibatnya apabila kita lalai dan cuai mengubati dan membersihkan hati. Kegagalan kita menghidupkan hati akan dipertanggungjawabkan Allah pada hari akhirat kelak.

Kenapa hati mati? Hati mati disebabkan perkara berikut:

Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah. Allah berfirman bermaksud:

"Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata." (Surah al-Zumar ayat 22)

Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani dengan sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitu juga hati. Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya. Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri. Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah (berzikir).

Firman Allah bermaksud:

"Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang tenteramlah hati manusia." (Surah al-Ra'd ayat 28)

Firman-Nya lagi bermaksud:

"Hari yang padanya harta benda dan anak-anak tidak dapat memberikan sebarang pertolongan, kecuali harta benda dan anak-anak orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera daripada syirik dan munafik." (Surah al-Syura ayat 88-89)

Tanda-tanda hati mati Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah:

- Mengaku kenal Allah SWT, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.
- Mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi mengabaikan sunnah baginda.
- Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.
- Memakan nikmat-nikmat Allah SWT, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.
- Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.
- Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.
- Mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.
- Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.
- Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.
- Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya.

Semoga dengan panduan yang di sampaikan itu akan dapat kita sama-sama mengambil iktibar semoga segala apa yang kita kerjakan akan diredai Allah SWT. Menurut Sheikh Ibni Athoillah Iskandari dalam kalam hikmahnya yang berikutnya; Sebahagian daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan juga tidak menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa.

Mati hati itu adalah kerana tiga perkara iaitu :

- Hubbul dunia (kasihkan dunia)
- Lalai daripada zikirullah (mengingati Allah)
- Membanyakkan makan dan menjatuhkan anggota badan kepada maksiat kepada Allah.

Hidup hati itu kerana tiga perkara iaitu :

- Zuhud dengan dunia
- Zikrullah
- Bergaul atau berkawan dengan aulia Allah

Wednesday, April 22, 2009

Mohon Sumbangan Dana

Mohon Sumbangan Dana Menyempurnakan Surau Al Ikhwan PUJ 2, Taman Puncak Jalil.

Assalamualaikum tuan/puan semua,

Firman Allah s.w.t :
"Bandingan (derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah sama seperti sebiji benih yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai, tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji." (Al-Baqarah : ayat 261)

Sabda Nabi s.a.w :
"Orang yang menbangunkan Rumah Allah di dunia, bererti dia telah membangunkan tempat tinggalnya di Syurga."

Untuk makluman semua, pihak AJK Surau Al Ikhwan sekarang dalam proses untuk menyempurnakan keadaan bangunan surau tersebut demi keselesaan ahli jemaah menjelang Ramadhan tahun ini. Antara perkara-perkara yang ingin dilakukan ialah :

1). Memasang syiling surau yang melibatkan

i). kawasan kolah tempat berwudhuk,
ii). bilik pentadbiran,
iii). bilik imam,
iv). kawasan imam,
v). bahagian koridor surau,
vi). ruangan solat

2). Membuat tempat membasuh pinggan mangkuk (Table top)

Kos keseluruhan yang terlibat adalah sebanyak RM10 000.

Oleh yang demikian, saya mewakili AJK Surau Al-Ikhwan ini memohon sumbangan dana dari tuan/puan dalam menyempurnakan bangunan surau kami ini.

Sebarang sumbangan dalam bentuk tunai atau cek boleh disalurkan ke dalam akaun surau kami atas nama "Dana Pembinaan Surau Al-Ikhwan PUJ 2", akaun no. 1060-2003-7368 AFFIN ISLAMIC BANK BERHAD, Cawangan Puchong atau berhubung terus dengan :

En Azlan (012-2823860),
En. Tn Faeh (019-3823879),
En Azmuddin (013-2696411),
En.Hassan (019-6000252),
En.Ikram (013-3651009).

Semuga sumbangan tuan/puan tersebut mendapat keberkatan dan keredhaan dari Allah s.w.t.

Sekian terima kasih,

Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah S.A.W. telah bersabda :
"Apabila telah mati anak Adam itu, maka terhentilah amalnya melainkan tiga macam :
1. Sedekah yang berjalan terus (Sedekah Jariah)
2. Ilmu yang berguna dan diamalkan.
3. Anak yang soleh yang mendoakan baik baginya.