Thursday, April 9, 2009

Hakikat Penyakit Riak

Firman Allah dalam surah al-Ma’un ayat 4-6 yang bermaksud:

"Maka celakalah bagi orang yang solat. (Iaitu) orang yang lalai solatnya dan orang-orang yang riak."

Pengertian riak

Riak itu ialah melakukan kebaikan dan amal ibadat semata-mata untuk mencari tempat di dalam hati manusia. Perkara yang diriakkan oleh manusia;

1. Riak dari segi badan

Riak jenis ini menunjukkan seseorang itu menampakkan keletihannya kerana berpuasa dan banyak berjaga malam untuk beribadat.

2. Riak pada pakaian

Seseorang itu memakai pakaian yang menunjukkan kewarakan dirinya sedangkan hakikatnya tidak. Memakai pakaian sebegini di hadapan golongan tertentu kerana kepentingan diri sedangkan di waktu lain dia bukanlah sebegitu malah hatinya juga bukanlah berniat untuk mendapat keredhaan Allah tetapi mengharap penghormatan daripada orang lain.

3. Riak dengan perkataan

Riak ini adalah seseorang itu menunjukkan dirinya seorang yang benar dan ikhlas melalui perkataan yang keluar dari bibirnya. Tuturnya seperti seorang penasihat dan pensyarah. Dia memilih lafaz-lafaz yang halus dan dalam maknanya juga kata-kata hikmat beserta hadith. Dia juga berkata seperti kata para Nabi dan aulia sedangkan pada hakikatnya dia sebenarnya sunyi dan kosong.

4. Riak pada amalan

Orang sebegini adalah sering menzahirkan khusyuk dalam solat dan sengaja memanjang-manjangkan rukuk dan sujud apabila ada orang melihatnya. Orang seperti ini sering bersedekah secara terang-terangan, pergi menunaikan fardhu haji, berjalan menundukkan kepala dan kurang berpaling ke kanan dan ke kiri padahal Allah mengetahui batinnya. Sedangkan jika dia bersendirian amalannya bukan sempurna sebegitu, seperti solat dengan cepat, berjalan laju dengan matanya sering meliar ke sana ke mari dan sebagainya.

5. Riak dengan ramainya murid dan pengikut

Seseorang itu berasa bangga dengan murid dan pengikut yang ramai. Demikian juga seperti seseorang yang sering menyebut nama ulama’ itu dan ulama’ ini bagi menunjukkan dirinya seorang yang banyak bertemu dengan syeikh dan ulama.

Peringkat Riak

1. Riak Akbar

Riak akbar ialah seseorang itu taat melakukan ibadat tetapi untuk mendapatkan sesuatu daripada manusia dan bukanlah untuk beroleh keredhaan Allah SWT. Riak ini adalah berpaling terus daripada Allah pada keseluruhannya kerana hanya berkiblatkan manusia.

2. Riak Asghar

Riak asghar ini pula ialah melakukan sesuatu untuk mendapatkan apa yang ada pada manusia dan apa yang pada Tuhan iaitu melakukan amal kerana Allah dan kerana yang lain daripada-Nya. Riak ini adalah lebih ringan daripada riak akbar kerana orang itu menghadap Allah pada satu segi dan kepada manusia pada satu segi yang lain.

3. Riak Jali (yang terang)

Riak ini ialah mendorong seseorang itu untuk melakukan amal ibadat. Sehinggakan jika tanpa riak ini dia tidak berminat untuk melakukan amal.

4. Riak Khafi (yang tersembunyi)

Riak ini pula tersembunyi di dalam hati di mana ianya mendorong seseorang itu untuk lebih rajin beribadat.

Punca Riak

Sebab-sebab yang boleh membawa kepada penyakit riak ini antaranya ialah;

1. Sifat suka dipuji oleh orang lain.

Sifat ini akan membawa kepada bangga diri dan suka menunjuk-nunjuk kelebihan kepada orang lain.

2. Takut dikritik atau dicerca oleh orang lain.

Ketakutan ini boleh membawa kepada penampilan yang kurang jujur dan suka berpura-pura.

3. Cintakan kehidupan dan kemewahan dunia dan lupa pada kematian.

Seseorang itu melakukan segala pekerjaan adalah semata-mata kerana untuk menarik perhatian orang lain, dan menganggap dirinya hebat. Manusia sebegini mengharapkan ganjaran atas segala pekerjaan yang dilakukan.

Bagaimana mengelakkan sifat riak?

Rawatan terbaik bagi segala penyakit di muka bumi ini adalah dengan menjauhi sebab-sebab dan punca terjadinya penyakit.Terdapat beberapa cara untuk menghindari sifat riak daripada menguasai hati;

1. Sentiasa mengingatkan diri sendiri tentang perkara yang diperintahkan Allah dan juga sering menyucikan hati dengan melakukan ibadat-ibadat khusus seperti zikir dan membesarkan kekuasaan Allah.

2. Mengawasi diri agar sentiasa takut akan kemurkaan Allah. Dengan ini akan membawa diri agar sentiasa berwaspada dalam melakukan perkara yang boleh mengheret kepada dosa dan seksaan Allah pada hari akhirat kelak.

3. Berwaspada terhadap perkara-perkara yang boleh menghapuskan pahala amalan yang dilakukan akibat riak.

4. Menanamkan di dalam diri bahawa melakukan sesuatu perkara kerana manusia sehingga membawa kemurkaan Allah itu patut dijauhkan.

5. Sentiasa mengawasi diri daripada lalai terhadap ujian dan nikmat yang dikurniakan Allah untuk menghampirkan diri kepada Allah.

6. Ikhlaskan diri dalam setiap amalan yang dilakukan. Apabila berasa suka dipuji dan diberi penghargaan setiap kali membuat sesuatu perkara yang baik dan berasa terhina apabila ditegur, maka inilah tanda wujudnya sifat riak.

Adakalanya terdapat juga orang yang melakukan amal kebajikan dengan niat ikhlas kerana Allah, namun dia mendapat mendapat perhatian daripada orang lain atas amalannya. Keadaan ini tidak diambil kira sebagai riak kerana dia sememangnya niat dengan ikhlas pada awalnya. Namun, untuk melakukan satu-satu ibadat pada permulaannya akan menyebabkan timbulnyaperasaan riak dan rasa bangga diri, namun apabila amal itu sering dilakukan dan berterusan dengan niat ikhlas pastinya perasaan riak itu akan terhapus sedikit demi sedikit.

Janganlah takut untuk pergi ke masjid, mendengar tazkirah, menunaikan solat jemaah dan sebagainya kerana takut akan dikatakan riak sedangkan dengan riak itulah akan mendorong dan menggalakkan kita untuk beramal dan meningkatkan ibadat. Tetapi, jangan biarkan perasaan riak itu terus menerus menguasai diri kerana apabila ada riak dalam setiap amalan maka amalan yang dilakukan adalah sia-sia belaka.

Wallahua’lam.

Wednesday, April 8, 2009

Kalau Mahu Semua Boleh

Di antara hikmah kita dijadikan sebagai khalifah di muka bumi Allah ini ialah bila kita diberikan akal untuk berfikir kemudian mengemudi akal kita dengan cara yang terbaik dan bila baik pelayaran akal kita maka kita akan berlabuh dengan mulia di pelabuhan abadi nanti. Namun, kadangkalanya kita sering menjadi seorang pelayar yang gagal, sudah berputus asa dan harapan, biarkan sahaja bahtera karam atau berlabuh di pulau sepi. Akhirnya pelayar kapal kalah dengan ciptaanNya yang bernama ombak dan ribut. Tiada akal dan tiada otak. Bagi pelayar yang berjaya melabuhkan kapalnya pula merupakan wira samudera, bijak dan hebat megawal keadaan serta perkasa membunuh 'TAKUT'. Kini pelayar yang berjaya sudah tiba di pelabuhan. Kemana destinasinya? Itulah hikmah manusia, dijadikan untuk benar-benar manjadi “Manusia yang Manusia”.

LUMRAH TRADISI DAN TRANSFORMASI

Menjadi seorang yang berjaya dan disegani bukanlah bermula dengan mudah dan senang, tidak seperti menyebut huruf A hingga ke Z. Rintangan dan dugaannya susah; perlu menghadapi dan dihadapi. Itu lumrah keadaan, bukan ciptaan mahupun rekaan. Bila mahu melaksanakan sesuatu yang baru, pasti ada yang memberontak; si TRADISI pasti bertindak menghalang si TRANSFORMASI untuk terus melaksanakan cita-cita. Akhirnya 1001 pertembungan akan berlaku. Siapa salah, siapa benar? Sekiranya dibincang dan dibahaskan, akhirnya pasti juga wujud “Khilaf”, akhirnya kedua-dua itu terkapai-kapai mencari titik yang tidak bertanda. TRADISI itu adatnya. Kena berpegang dan teguh berdiri. TRANSFORMASI itu pengubah adat. Perlu berkembang dan harus berjalan.

KALAU MAHU SEMUA BOLEH

Jika kita mahukan sesuatu luar biasa, apa yang kita akan buat? “Aku akan buat dan usaha sampai dapat!”, “Mestilah nak buat.. seronoknya!”. Angan-angan sudah mengatasi segalanya. Dibuai angan-angan kemudian diulit mimpi-mimpi indah dan kesudahannya sehingga kini masih lagi di KAKI AKAR. Berangan dan terus bermimpi-mimpi. KITA pasti bukan yang asyik berangan-angan dan bermimpi-mimpi, begitu juga saya. Kalau mahu semua boleh, kalau nak tiada yang mustahil dengan izin Allah. Ini kata-kata Abang Qobin (Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, Belia Melayu Islam yang pertama sampai di Everest , dan Belia Malaysia mengelilingi dunia dengan hanya berbasikal) pada saya setahun yang lalu dan ini juga maksud kata-kata Pasangan Muslim Pertama Asia dari Brunei Darussalam yang mengelilingi dunia dengan kereta pacuan 4 roda (Puan hayati dan Encik Harun).
Mereka merupakan diantara insan yang cukup bertuah dengan diri mereka kerana mereka dapat apa yang mereka mahu. Tiada tuah yang mendekati mereka, kerana mereka sendiri yang mencari tuah, itu istimewanya kerana mereka bukan pelayar yang berputus asa dan apa yang mereka tahu ialah “Kalau mahu semua boleh!”. Mereka Berjaya kerana mereka berpegang pada prinsip dan misi. Mereka juga berjaya kerana mereka mahu menjadi yang terbaik. Misi yang mulia akhirnya menjadikan mereka insan yang disegani. Mereka juga manusia seperti saya dan anda. Siapa tahu, kita bakal menjadi seperti mereka?

Fitnah Wanita

Allah telah menentukan bahawa ada perkara tertentu yang menarik perhatian di antara lelaki dan wanita. Dan untuk itu, Allah juga yang mengatur bentuk hubungan yang perlu dilakukan, agar di antara mereka tidak timbul perkara-perkara yang tidak diingini. Walaupun demikian, ramai juga manusia yang melanggar batas-batas tersebut sehingga mereka tertunduk malu kerana keterlanjuran yang mereka lakukan. Lelaki yang tidak mampu mengawal dirinya daripada daya tarik yang ada pada wanita, pasti mudah untuk melakukan perkara-perkara yang menjadi larangan Allah Taala.

Apabila membicarakan tentang fitnah wanita, bukan bermakna wanita itu jahat dan sukakan keburukan. Tetapi apa yang dimaksudkan ialah keadaan mereka itu mampu menjadikan lelaki lupa daratan dan apabila usaha pencegahan tidak dilakukan, akan berlakulah perkara-perkara yang tidak diingini. Ini sudah pasti apabila lelaki yang berkenaan tidak berhati-hati. Bagaikan binatang ternak yang memakan rumput berdekatan dengan padang larangan, adalah mudah bagi binatang itu memasuki kawasan tersebut.

Fitnah ini boleh berlaku dalam dua keadaan, iaitu sebelum kedua jenis ini berkahwin dan ketika atau selepas lelaki dan wanita ini bernikah. Sebelum bernikah, Islam menentukan adanya mahram dan yang bukan mahram. Antara lain, adalah untuk memudahkan manusia mengetahui orang yang dibolehkan mereka berhubung atau bergaul secara bebas dan yang tidak boleh berbuat demikian. Perlanggaran pada ketentuan ini akan mengakibatkan perkara mungkar yang berlaku. Kebiasaannya manusia melakukan sesuatu yang tidak baik secara berperingkat-peringkat sesuai dengan bentuk kemungkaran itu.

Bermula dari dosa kecil seperti melihat, bercakap-cakap (berdua-duaan), berpegangan dan bersentuhan kulit dan akhirnya melakukan dosa besar. Orang yang berzina sebenarnya tidak ada harganya di sisi Allah, kecualilah dia bertaubat. Mengatasi masalah zina tidak dapat diatasi hanya dengan menyediakan rumah-rumah kebajikan bagi mereka yang telah terlanjur. Apa yang utama ialah memberi kefahaman kepada mereka tentang panduan agama dalam masalah ini dan dalam masalah kehidupan yang lain.

Islam dalam masalah ini, memperuntukkan hukuman yang berat kepada penzina, kerana mereka telah bersungguh-sungguh untuk memulakannya. Setelah berkahwin pula, seorang suami kadangkala tidak berupaya memimpin dengan baik dan sempurna. Ketenangan yang sepatut dikecapi semasa bernikah, hanya menjadi impian kosong. Bernikah dengan wanita pilihan hati rupanya tidak seindah namanya. Sebabnya ialah proses dan matlamat perkahwinan tidak menjejaki apa yang telah digariskan oleh Allah.

Kecantikan yang menjadi dasar pilihan itu rupanya bagaikan memetik mawar yang berduri yang tidak ada wanginya yang harum. "Hai orang yang beriman, sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu, maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka. Dan jika kamu memaafkan dan tidak memarahi serta mengampuni (mereka) maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang ." (At-Taghaabun : 14)

Keadaan ini sebenar bukan suatu yang merendah-rendahkan wanita. Andaikata mereka mendapat pendidikan yang baik serta memahami tuntutan agama dalam perkara-perkara yang dihadapi, mereka justeru menjadi pendorong yang digigih. Sesuai dengan kejadian mereka seumpama daripada tulang rusuk yang bengkuk, kepemimpinan yang baik daripada pihak lelaki akan mampu membawa mereka ke jalan yang lurus. Jika demikian gambaran keadaan fitnah yang dihadapi melalui wanita, tentu lebih hebat keadaannya bilamana wanita itu aktif dalam perkara-perkara sumbang.

Kalau dalam masjid dan dalam rumah tangga keadaan boleh menjadi tidak tenteram kerana kurang fahamnya wanita terhadap sesuatu, tentulah lebih mencabar jikalau keadan ini digiatkan bila berada di luar masjid dan rumahtangga. Rasulullah saw pernah memberi pesanan kepada para sahabat baginda yang selalu duduk-duduk ditepi jalan agar menjaga hak-hak jalan, iaitu menjaga pandangan, tidak mengganggu orang yang lalu, menjawab salam serta melakukan pencegahan maksiat. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim dari Abu Said al-Khudry).

Ini bermakna, setiap anggota masyarakat akan menerima akibatnya apabila suasana maksiat disuburkan khususnya melalui wanita-wanita jahat. Tercatit dalam sejarah Islam, bahawa ayat 1-2 Surah at-Tahrim turun disebabkan angkara isteri-isteri baginda. Ketika baginda habis meminum madu di rumah isteri baginda Saudah, dia berkata bahawa ada bau yang busuk. Begitu juga ketika baginda selesai meminum madu di rumah Aisyah, dia diberitahu bahawa ada bau yang busuk. Lalu Rasulullah saw kerana untuk menjaga hati isterinya telah berjanji untuk tidak meminum madu lagi.

Allah lalu menurunkan firman Nya : "Hai Nabi, mengapa kamu mengharamkan apa yang Allah halalkan bagimu, kamu mencari kesenangan hati isteri-isteri kamu?" (at-Tahrim : 1) Perlu ditegaskan bahawa fitnah wanita tidak selalunya datang dari arah wanita itu sendiri. Bahkan selalunya godaan nafsu dalamlah yang menjadi pendorong bagi lelaki untuk mendekati wanita dan melakukan maksiat. Oleh kerana itu, wanita atau isteri bukanlah musuh yang sebenarnya yang perlu dijauhi. Perlakuan yang berlaku adalah antara dua jenis ini adalah gambaran umum tentang bentuk perhubungan yang diwujudkan.

Apabila masing-masingnya memberi perhatian yang wajar untuk sama-sama membina kebahagiaan, maka mereka akan mengecapinya dengan sempurna. Abu Hurairah ra berkata bahawa Rasulullah saw bersabda :
"Sesempurna iman seseorang ialah yang paling baik budi pekertinya,dan sebaik-baik kamu ialah yang terbaik pergaulannya terhadap isterinya." (Riwayat Tirmizi).

Dan dalam sebuah hadis dari Abdullah bin Amru al-Ash, bahawa Rasulullah bersabda :
"Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita yang solehah." (Riwayat Muslim)


Penegasan Islam tentang keadaan wanita dan potensi mereka untuk samada membangunkan atau meruntuhkan umat adalah suatu kenyataan yang perlu catitan semua pihak. Mereka perlukan bimbingan dan pimpinan yang baik.

Thursday, April 2, 2009

Bicara Tentang Dajjal

Pada suatu pagi Rasullullah berbincang dengan para sahabatnya mengenai Dajjal, kadang kala beliau meninggikan suaranya dan kadang kala merendahkan suaranya, sehingga kami merasa seolah-olah kami berada di dalam kelompok lebah.Petang hari kami yang mendengar cerita Rasullullah pergi ke rumah Rasullullah, beliau telah tahu tentang soalan kami. Tanya Rasullullah; “Apa khabar kamu semua”, jawab kami “Baik”, tapi kami hendak bertanya mengenai Dajjal, dan mengapa apabila Rasullullah berbicara, kadang kala suara Rasullullah tinggi dan kadang kala rendah ?.
Jawab Rasullullah; “Bukan dajjal yang mengkhutirkanku terhadap kamu semua, jika dia muncul dan aku masih berada di antara kamu tentu aku akan membela kamu terhadapnya. Dan jika dia muncul, sedangkan aku tidak berada di samping kamu, maka umat manusia akan menjadi pembela atas dirinya sendiri, dan Allah Taala pengantiku menjadi pembela atas setiap orang muslim”. Dajjal pemuda berambut kerinting, matanya sepet, aku lebih suka mengatakannya serupa dengan Abdul Uzza bin Qathan. Barang siapa di antara kamu bertemu dengannya, hendaklah dibacakan padanya permulaan surah Al-Kahfi.
Dia akan muncul di suatu tempat sunyi antara Syam dan Iraq. Lalu dia akan merusak ke kanan dan ke kiri. Wahai hamba Allah kerana itu teguhkan pendirian kamu!. Tanya kami; “Berapa lamakah Dajjal akan tinggal di bumi ?”, jawab Rasullullah : “Selama empat puluh hari, satu hari sama seperti setahun, satu hari seperti sebulan, satu hari seperti sepekan dan selebihnya seperti hari-hari kamu sekarang”. Tanya kami; “Ya Rasullullah, ketika sehari seperti setahun, cukupkah kalau kami solat seperti solat sekarang ?”, jawab Rasullullah; “Tidak” tetapi hitunglah bagaimana pantasnya.
Berapakah kecepatannya di bumi ?” jawab Rasullullah; Seperti hujan ditiup angin. Dia mendatangi suatu, maka diajaknya kaum itu supaya beriman kepadanya, lalu mereka beriman kepadanya dan mematuhi segala perintahnya. Di perintahkan langit supaya hujan, maka turunlah hujan. Maka diperintahkan bumi supaya subur, maka suburlah tumbuhan-tumbuhan. Bila hari sudah petang, ternakan mereka akan pulang ke kandang dalam keadaan lebih gemuk dan dengan susu yang lebih besar kerana cukup makan. Kemudian didatangi kaum yang lain dan diajaknya supaya mereka beriman kepadanya tetapi mereka menolak ajarannya, maka dia berlalu dari mereka. Besok pagi negeri mereka menjadi kering kontang dan habis semua kekayaan mereka.
Kemudian katanya; “Keluarkan perbendaharaanmu!” maka keluarlah seluruh kekayaan negeri itu dan pergi mengikuti Dajjal seperti pemimpin lebah diikuti rakyatnya. Kemudian dipanggilnya seoarang pemuda remaja lalu dibelah dengan pedangnya sehingga anak muda itu terbelah dua dan belahannya itu di lempar sejauh anak panah dipanahkan.
Dajjal memanggil tubuh yang terbelah itu kembali, dia datang seutuhnya dan dengan wajah yang berseri-seri sambil ketawa. Sementara Dajjal asyik dengan perbuatannya yang merosak, maka Allah Taala menurunkan Nabi Isa Al-Masih Ibnu Maryam. Dia diturunkan Allah dekat menara Putih sebelah timur Damsyik dengan memakai dua pakaian berwarna, berpegang pada dua sayap malaikat. Apabila dia menundukkan kepala hujan akan turun, dan apabila dia mengangkat kepala, berjatuhan daripadanya biji-bijik perak bagaikan mutiara.
Orang kafir tidak boleh mencium bau nafasnya, sesiapa yang kena bau nafasnya akan terus mati. Bau nafasnya boleh dirasa sejauh mata memandang, maka Nabi Isa a.s. akan mencari Dajjal. Dan Isa bertemu Dajjal di pintu gerbang kota lid (sebuah kota dekat Baitul Maqdis), lalu dibunuhnya Dajjal tersebut. Kemudian Isa menghampiri kaum yang dipelihara Allah dari kejahatan Dajjal. Maka diusapnya mereka dan dikhabarkan kepada mereka kedudukannya di syurga. Allah mewahyukan kepada Isa a.s.
“Aku akan mengeluarkan hamba-hambaku yang tidak terkalah oleh sesiapa pun, kerana itu selamatkanlah hamba-hambaku yang soleh ke bukit”, lalu Allah Taala mengeluarkan Ya’juj dan Ma’juj. Mereka turun melanda dari tempat tinggi. Gelombang pertama melewati telaga Thiber, lalu mereka minum habis telaga tersebut. Kemudian datang pula satu kumpulan yang lain, kata mereka; “Sesungguhnya dahulu ada air di sini”. Nabi Isa dan para sahabatnya terkepung, sehingga sebuah kepala sapi lebih berharga bagi mereka dari seratus dinar bagi seorang kamu pada hari ini (kerana kekurangan makanan).
Maka Nabi Isa a.s. dan pengikutnya memohon kepada Allah s.w.t semoga Allah Taala menghancurkan Ya’juj dan Ma’juj. Maka Allah s.w.t mengirimkan kepada mereka penyakit hidung seperti ada haiwan-haiwan sehingga mereka mati semuanya. Kemudian Nabi Isa dan para sahabatnya turun ke bumi. Tetapi tidak sejengkal tanah pun di dapati melainkan penuh dengan bangkai-bangkai busuk. Nabi Isa dan para sahabatnya mendoa kepada Allah s.w.t semoga sudi menghilangkan bangkai-bangkai yang busuk itu.
Maka Allah s.w.t mengirimkan burung-burung sebesar unta lalu di angkut bangkai-bangkai tersebut dan dilemparkan ke tempat yang diperintahkan Allah s.w.t. Kemudian Allah menurunkan hujan, sehingga walaupun rumah-rumah tanah liat dan rumah-rumah bulu dibersihkannya. Sehingga bumi kelihatan seperti kaca, kemudian Allah perintahkan kepada Bumi; “Tumbuhkan tumbuhan-tumbuhan dan kembali keberkatan mu!” Ketika itu sekumpulan keluarga, kenyang memakan sebuah delima dan mereka dapat berteduh di bawah kulitnya.
Rezeki mereka sangat berkah, sehingga susu unta cukup untuk orang sekampung, susu sesekor sapi cukup untuk orang satu kabilah, susu seekor kambing cukup untuk sekeluarga terdekat. Ketika itu mereka berada dalam keredaan Allah Taala. Tiba-tiba Allah mengirimkan angin yang baik memasuki ketiak mereka, maka tercabutlah roh setiap mukmin dan orang muslim.

Maka tinggal orang-orang jahat belaka, mereka bercampur baur seperti kaldai, maka dengan itu terjadilah hari kiamat.
" (Ia berlaku) semasa bumi bergoncang dengan sebenar-benar goncangan, dan gunung-ganang dihancur leburkan dengan selebur-leburnya, lalu menjadilah ia debu yang bertebaran."(Al-Waqiah ayat 4-6 )
p/s : Artikel dipetik dari buku "Himpunan Cerita-cerita Wanita Dan Laki-Laki Dalam Al-Quran Dan Hadis.

Kuasa Seorang Perempuan

KUASA LAYANAN PEREMPUAN

Kaum lelaki mudah goyah dan alah dengan layanan yang baik, apa lagi dari perempuan yang sangat dikasihi seperti isteri dan ibu. Layanan baik yang disalurkan kepada orang yang berhak menerimanya, bukan sahaja mendatangkan keredhaan Allah tetapi memungkinkan apa yang diminta akan dipenuhi dengan mudah.

KUASA DOA PEREMPUAN

Doa perempuan lebih makbul dari lelaki kerana sifat penyayangnya lebih kuat dari lelaki. Sebagaimana hadis Rasulullah saw: "Doa ibu itu lebih cepat makbul." Orang bertanya:"Kenapa ya Rasulllah?" Jawab baginda : "Ibu lebih penyayang dari bapa dan doa dari orang yang penyayang tidak akan sia-sia."

KUASA TAQWA PEREMPUAN

- Ketaqwaan adalah kuasa paling sempurna dan terbaik dalam menangani apa jua masalah. Orang yang paling bertaqwa adalah orang yang paling dikasihi Allah. Allah tidak akan membiarkan orang yang dikasihiNya melainkan dipelihara serta sentiasa dirahmatiNya.

- Kuasa taqwa lebih mudah diperolehi oleh perempuan berbanding lelaki kerana kehalusan budi yang ada pada perempuan adalah merupakan penjara daripada melakukan hal-hal yang mendatangkan dosa. Berbanding lelaki yang sebahagian hidupnya berada di luar rumah serta terdedah kepada pelbagai godaan, cubaan dan ujian.

- Kekuasaan taqwa ini pula adalah kemuliaan yang diberikan oleh Allah swt sehingga setiap lelaki pasti memerlukan perempuan untuk menghirupkan udara ini atau dalam perkataan lain setiap lelaki pasti dilahirkan oleh perempuan kecuali Nabi Adam a.s. Sekuat-kuat lelaki, kuat lagi perempuan kerana lelaki itu sendirinya datang dari perut perempuan yang menghamilkannya dan melahirkannya ke dunia, kemudian melatih, mendidik, memelihara dari kecil hingga dewasa.

- Kemuliaan perempuan akan lebih nyata, jika ditambah dengan ketaatan kepada kaum lelaki yang berhak atasnya sebagaimana maksud hadis Rasulullah saw: "Perempuan yang taat kepada suaminya, semua burung di udara, ikan di air, malaikat di langit, matahari dan bulan : semuanya beristighfar baginya (isteri) selagi mana ia masih taat kepada suaminya dan diredhainya (serta menjaga solat dan puasanya.

Wednesday, April 1, 2009

April Fool Suatu Penghinaan Kepada Islam

Rasulullah s.a.w bersabda : “ Kamu pasti akan mengikut jejak-jejak orang-orang sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, hingga mereka masuk ke lubang biawak sekalipun pasti kamu tetap mengikut mereka.” Kami bertanya: “ Wahai Rasulullah, Yahudi dan Nasrani?” Baginda menjawab : “Lalu siapa lagi(kalau bukan mereka)?” ( Bukhari dan Muslim).

Majoriti umat Islam pada hari ini telah menyimpang jauh daripada landasan Islam yang sebenar. Pelbagai telatah manusia dapat disaksikan. Atas kepelbagaian telatah ini maka timbullah kepelbagaian gejala yang kurang sihat bahkan banyak yang bertentangan dengan syariat Islam. Antaranya ialah April Fool dan Velentines Day.

Bermaharjalelanya budaya Barat ini sudah menjadi suatu trend di persekitaran kita. Bahkan ada segolongan yang berpendapat bahawa perkara ini ‘harus’ atau dengan kata lain, seri persekitaran ini akan hilang tanpa adanya perkara-perkara sedemikian. Amatlah ditakuti sekiranya pemikiran-pemikiran sebegini terus berleluasa hingga suatu masa nanti ada pula yang mengatakan bahawa ianya tidak bertentangan dengan Islam. Apa yang cuba diketengahkan di sini ialah sebahagian daripada kerosakan yang terdapat dalam alam persekitaran kita khususnya ruangan di mana kita berada pada hari ini. Sama ada suka atau tidak, apa yang dapat kita saksikan ialah remaja mahupun dewasa sudah terikut-ikut dengan budaya-budaya ini.

Asal Usul :

Fool’s Day atau April Fool mula dirayakan sewaktu kejatuhan kerajaan Islam yang telah bertapak berkurun-kurun lamanya di Granada, Sepanyol. Ia telah jatuh ke tangan tentera-tentera Kristian. Akibatnya penduduk-penduduk Islam terpaksa berlindung di dalam rumah masing-masing untuk menyelamatkan di mereka. Tentera-tentera Kristian bagaimanapun tidak berpuas hati dan berusaha menghapuskan semua orang Islam dari Sepanyol.

Penduduk-penduduk Islam ini diberitahu bahawa mereka boleh berlayar keluar dari Sepanyol dengan selamat bersama-sama barang keperluan mereka dengan menggunakan kapal-kapal yang berlabuh di pelabuhan. Di kalangan mereka ini ada yang mempercayai dan tidak kurang pula ada yang risau sekiranya tawaran tersebut hanya merupakan satu penipuan semata-mata. Maka mereka yang mempercayainya tanpa berlengah-lengah telah pergi ke pelabuhan untuk melihat kapal kapal yang dimaksudkan.

Setelah berpuas hati, mereka membuat persiapan untuk bertolak. Keesokkan harinya (1 April), mereka mengambil semua barangan yang telah disiapkan lalu menuju ke pelabuhan. Pada masa inilah puak Kristian mengambil kesempatan untuk menyerang penduduk-penduduk Islam ini. Mereka tidak sempat untuk menaiki kapal kerana semuanya telah dibakar manakala orang-orang Islam yang berada di sekitarnya telah dibunuh kesemuanya tidak kira lelaki, perempuan mahupun kanak-kanak. Peristiwa berdarah yang menyedihkan ini kemudian diraikan oleh tentera Kristian.

Keraian ini akhirnya dirayakan pada setiap tahun bukan sahaja di Sepanyol, tetapi juga di serata dunia di mana ia juga banyak diabadikan dalam bentuk perayaan-perayaan yang lain secara tidak langsung. Yang menyedihkan, hari ini orang-orang Islam yang jahil mengenai peristiwa itu turut meraikan April Fool tanpa menyedari bahawa mereka sebenarnya merayakan ulang tahun pembunuhan beramai-ramai saudara mereka sendiri.

Mahu Berhenti Merokok?

Mulakan berhenti merokok dengan YAKIN DIRI bahawa anda pasti boleh melakukannya. Langkah-langkah berikut boleh membantu anda memulakan penghidupan baru sebagai seorang bukan perokok.

Langkah 1 BERSIHKAN

Buangkan semua rokok yang ada dalam simpanan. Sembunyikan atau buangkan saja bekas abuk rokok dan pemetik api yang ada dalam rumah, dalam kereta dan di tempat kerja.

Langkah 2 BUAT NOTA PERINGATAN DAN GALAKAN

Buat suatu nota menyatakan bahawa anda sekarang bukan seorang perokok. Lekatkan nota tersebut di setiap bahagian dalam rumah, kereta atau tempat kerja anda, terutama di sudut di mana anda biasanya merokok. Buatkan juga nota tersebut dalam bentuk kad kecil yang boleh dimasukkan dalam saku baju untuk dibuat peringatan.

Langkah 3 LAKUKAN SAHAJA

Untuk kebanyakkan orang cara yang paling berkesan ialah dengan berhenti secara mengejut atau cara “ cold turkey “. Pada hari yang telah anda tetapkan untuk berhenti merokok, anda terus tidak merokok. Sebaiknya, beberapa minggu sebelum tiba hari yang ditetapkan anda telah mula mengurangkan sedikit demi sedikit bilangan rokok yang dihisap.

Langkah 4 TUMPUKAN PERHATIAN PADA HARI YANG DILALUI

Tumpukan perhatian anda pada hari yang anda sedang lalui tanpa merokok. Berilah pujian kepada diri anda dan berikan tahniah kepada diri anda setiap kali anda berjaya mengatasi keinginan untuk merokok.

Langkah 5 BERFIKIRLAH SECARA POSITIF

Fikirkan diri anda sebagai seorang bukan perokok sebaik sahaja anda mula berhenti merokok dan sentiasa peringatkan diri anda sedemikian. Sekiranya ada orang mempelawa anda rokok, katakanlah terima kasih, saya tidak merokok. Ingatlah bahawa anda telah membuat pilihan positif untuk tidak merokok.

Langkah 6 DAPATKANLAH SOKONGAN

Berikanlah peringatan kepada keluarga, kawan rapat dan rakan sekerja yang anda telah berhenti merokok dan memerlukan kerjasama serta sokongan daripada mereka. Mintalah rakan-rakan anda yang merokok supaya tidak mempelawa atau merokok berhampiran anda.

Langkah 7 MELAWAN KEINGINAN MEROKOK

Keinginan untuk merokok akan kembali sebaik sahaja anda mula berhenti merokok. Ini memang biasa berlaku, terutamanya pada masa dan situasi yang lazimnya anda merokok. Ingatlah bahawa setiap kali anda berjaya melawan keinginan untuk merokok, anda telah maju kehadapan untuk mencapai status bukan perokok. Katakan pada diri anda, setiap kali anda berjaya mengatasi keinginan untuk merokok, anda akan merasa lebih yakin dan lebih berupaya untuk melawan keinginan untuk merokok pada hari-hari yang berikutnya. Lama kelamaan keinginan untuk merokok akan hilang buat selama-lamanya.

AMALAN 4M - PETUA MENGATASI KEINGINAN MEROKOK

MELENGAHKAN-LENGAHKAN

Lengahkan tindakbalas ke atas keinginan merokok seperti melambat-lambatkan mencari rokok. Seandainya rokok ada di tangan, jangan nyalakan terus, tunggu sekurang-kurangnya 5 minit. Keinginan untuk merokok ini kesudahannya akan hilang juga. Katakan pada diri anda ” nanti ” setiap kali anda ingin merokok.

MENARIK NAFAS PANJANG.

Tariklah nafas panjang-panjang tiga kali dengan perlahan-lahan.

MINUM AIR.

Minum air banyak-banyak, sebaik-baiknya air galian atau air masak suam. Jangan minum air yang mengandungi kafin seperti kopi atau teh, kerena minuman ini biasanya membuatkan anda lebih teringin merokok seepas minum.

MEMBUAT SESUATU

Buatlah sesuatu yang boleh mengalihkan fikiran anda daripada merokok. Contohnya bersiar-siar, makan angin, membaca buku, membuat silangkata, berkebun dan bersenam.

FAEDAH YANG DIPEROLEHI SEBAIK SAJA ANDA BERHENTI MEROKOK

- Selepas beberapa jam, sistem peredaran darah akan mulai bersih daripada bahan nikotin.Dalam tempoh 2 hari, hasil sampingan bahan nikotin akan lenyap dari badan.

- Selapas 6 jam, nadi akan lebih perlahan ke paras yang lebih normal dan tekanan darah akan menurun sedikit. Ini amat baik untuk jantung anda.

- Selepas 24 jam, karbon monoksida iaitu salah satu jenis gas beracun akan mula lenyap dari tubuh. Ini membolehkan lebih banyak oksigen diserap oleh sel-sel dalam tubuh. Paru-paru akan dapat berfungsi dengan lebih baik.

- Selepas 2 hari, deria rasa pada lidah akan bertambah baik. Anda akan dapat menikmati kelazatan makanan, lebih dibandingkan semasa anda merokok. Deria menghidu akan pulih seperti sediakala. Gigi, rambut, jari, pakaian dan nafas akan menjadi lebih bersih.

- Selepas beberapa minggu, silia dalam saluran pernafasan yang berfungsi membersihkan bahan-bahan kotoran seperti habuk, debu dan sebagainya akan kembali pulih dan paru-paru dapat berfungsi dengan lebih baik.

- Selepas 2 bulan, peredaran darah ke seluruh tubuh terutama ke bahagian periferi seperti jejari tangan dan kaki mejadi lebih efisien.

- Selepas 3 bulan, kedua-dua lelaki mahupun wanita menjadi lebih subur.

GEJALA ” WITHDRAWAL “ ATAU GIAN

Sekiranya anda ketagih dengan rokok tentunya tubuh anda telah terbiasa dengan nikotin yang mana ketiadaan dalam tubuh anda akan menyebabkan anda mengalami gian atau gejala “withdrawal”. Gejala fizikal yang berlaku ke atas diri anda merupakan suatu tanda positif bahawa tubuh anda kembali pulih. Gejala-gejala ini akan hilang dalam tempoh 3 hingga 14 hari.

- Batuk-batuk menandakan mekanisma pembersihan saluran pernafasan anda berfungsi seperti sediakala.
- Pening-pening sedikit menandakan tubuh anda mula menyesuaikan diri dengan paras oksigen yang lebih berbanding semasa menjadi perokok dahulu.
- Sakit kepala boleh terjadi apabila tekanan darah menurun ke paras normal. Ini berlaku selepas tiga hari berlalu.
- Rasa kebas dan sengal-sengal kadang-kadang boleh terjadi pada otot. Ini berlaku kerana peredaran darah menjadi lebih lancar. Lakukan senaman untuk melancarkan lagi sistem peredaran darah.
- Gangguan sistem penghadaman seperti sembelit, merasa loya atau sebu perut kadang-kadang boleh terjadi tetapi cuma untuk beberapa hari sahaja.
- Gejala-gejala lain seperti gangguan tidur, gangguan konsentrasi dan perasaan resah akan juga berlaku. Gejala-gejala ini tidak berpanjangan dan boleh diatasi dengan mudah. Sekiranya tidak boleh mengatasi gejala “withdrawal” ini berjumpalah dengan doktor anda untuk mendapatkan rawatan nikotin gantian.