Friday, March 27, 2009

As Syahiid Sheikh Ahmad Yassin Kekal di Memori

Sheikh Ahmad Yassin telah dilahirkan di sebuah kampung bernama Al-Jora, daerah Majdal di dalam wilayah Asqalan (Ashkelon) pada tahun 1938. Beliau telah dibesarkan di sana sehingga tahun 1948 ketika pendudukan pengganas Yahudi ke atas bumi Palestin,beliau dan keluarganya dipaksa berhijrah ke Semenanjung Gaza.Membesar sebagai seorang pelajar yang cemerlang di dalam pelajarannya beliau amat disayangi oleh guru-gurunya ketika berada di sekolah. Beliau juga merupakan seorang ahli sukan yang aktif di zaman persekolahannya. Di zaman mudanya beliau telah ditimpa kemalangan, dimana beliau telah terjatuh ketika sedang beriadah yang menyebabkan beliau mengalami lumpuh pada bahagian kakinya.

Keadaannya yang lumpuh itu tidak menghalang beliau untuk meneruskan kecemerlangannya di dalam bidang pelajaran dan juga aktiviti-aktiviti Islam. Pada tahun 1964 beliau telah melanjutkan pelajaran di Universiti Ain Shams di Kaherah. Pengajiannya di universiti tersebut walaubagaimanapun tidak sampai ke penghujungnya apabila beliau telah dipenjarakan selama sebulan oleh pihak berkuasa Mesir kerana penglibatannya dengan pertubuhan Ikhwan Muslimin pada tahun 1966. Lebih dahsyat lagi beliau telah dihantar pulang ke Gaza oleh pihak berkuasa Mesir tanpa sempat menamatkan pengajiannya. Ujian yang getir ini tidak sedikit pun membunuh semangatnya untuk terus bergerak aktif dalam pertubuhan tersebut untuk memperjuangkan Islam dan dakwah islamiyyah.

Kepulangannya ke Gaza telah menyaksikan bagaimana beliau bergerak aktif memperjuangkan Islam sebagai guru bahasa Arab dan juga khatib di masjid Gaza. Dalam tempoh yang singkat sahaja beliau telah menjadi terkenal di kalangan penduduk Gaza dengan khutbah-khutbahnya terutamanya selepas pendudukan rejim Zionis ke atas Gaza pada tahun 1967.

Selain daripada dua tugas utama tersebut, Semenanjung Gaza juga telah menyaksikan jasa Ahmad Yassin sebagai pekerja kebajikan dan juga pendakwah yang gigih mendidik anak-anak remaja dan para pemuda dengan didikan Islam. Hasil dari usaha tersebut sekitar tahun 1969 dan 1970 pertubuhan Ikhwan Muslimin telah berkembang hebat di kawasan Gaza. Hasilnya pada tahun 1973 dengan bantuan anggota pertubuhan tersebut, Syeikh Ahmad Yassin telah berjaya menubuhkan sebuah pertubuhan kebajikan yang menjaga kebajikan pelarian-pelarian Palestin yang diberikan nama Mujamma al-Islam.

Usahanya tidak terhenti setakat itu sahaja. Memandangkan keadaan di Palestin lebih memaksa umat Islam di sana untuk berjihad, beliau dan beberapa anggota Ikhwan Muslimin yang lain telah menubuhkan sebuah gerakan jihad yang dinamakan sebagai "Al-Mujahidun Al-Filastiniyyun" pada tahun 1982 sebagai kesinambungan perjuangan "Kataib Syuyukh" yang mengambil wasilah jihad sebagai landasan perjuangan mereka. Bagi Ahmad Yassin kelumpuhan dirinya tidak menghalang dirinya dari usaha mendidik dan membina generasi mujahidin Palestin untuk berhadapan dengan penjajah Zionis yang telah menjajah bumi mereka dan juga Masjid al-Aqsa.

Pada tahun 1983, ketika beliau menjawat jawatan sebagai pengarah Pusat Islam di Gaza, beliau telah ditangkap dan dipenjarakan oleh pihak rejim Zionis diatas tuduhan memiliki senjata api dan cuba untuk menggugat kerajaan Zionis Israel. Beliau telah dijatuhkan hukuman penjara selama 13 tahun melalui mahkamah tentera Israel, namun pada tahun 1985 hasil dari proses pertukaran tawanan di antara pihak PLO (Palestine Liberation Organization) dengan rejim Zionis, beliau telah dibebaskan setelah menjalani hukuman penjara selama 11 bulan.

Melihatkan kepada kondisi Negara-Negara Arab yang tidak lagi berminat untuk memerdekakan bumi Palestin dan Masjid Al-Aqsa, begitu juga dengan gerakan PLO yang semakin bersikap lunak terhadap rejim Zionis, Sheikh Ahmad Yassin dan juga rakan-rakannya di dalam pertubuhan Ikhwan Muslimin telah menubuhkan gerakan pembebasan Islam yang dikenali sebagai HAMAS (Harakah Al Muqawamah Al Islamiyyah ) pada tahun 1987.

HAMAS telah memulakan corak baru penentangan cara baru, iaitu dengan mengadakan demonstrasi jalanan dan pertempuran secara bersemuka dengan pihak tentera Zionis. Kebanyakan ahli pergerakan ini dihasilkan dari masjid-masjid dari kalangan orang-orang muda yang dikenali dengan nama "Atfal Hijarah"(Kanak-kanak Batu) kerana menggunakan batu untuk berhadapan dengan tentera Zionis. Penentangan yang mempunyai impak yang besar terhadap rejim Zionis ini dikenali sebagai "Intifadah". Kesan dari "Intifadah" ini amat hebat, pihak tentera Zionis terpaksa mengambil tindakan-tindakan drastik sebagai tindak balas terhadap kemaraan gerakan HAMAS.

Sebagai natijahnya, pada bulan Ogos 1988 pihak tentera Zionis telah merobohkan rumahnya dan membuangnya ke sempadan Lebanon. Tidak cukup sekadar itu sahaja, pada 18/5/1989 beliau bersama ratusan anggota pergerakan HAMAS yang lain telah dipenjarakan kerana kejayaan operasi-operasi yang telah dilancarkan oleh gerakan tersebut dalam usaha membunuh tentera-tentera dan komando-komando Israel. Sekali lagi mahkamah tentera Israel pada 16/10/ 1991 telah menjatuhkan hukuman 15 tahun penjara ke atas Sheikh Ahmad Yassin di atas sembilan pertuduhan yang disabitkan ke atasnya, termasuk tuduhan membunuh, menculik dan juga menyerang tentera-tentera Zionis.

Kesan dari penahanan tersebut beliau telah mengalami lumpuh seluruh tubuh kecuali kepalanya sahaja. Beliau juga hilang penglihatan mata kanannya dan juga kekaburan penglihatan pada mata kirinya selain daripada masalah pendengaran akibat tekanan dan deraan yang dikenakan ke atasnya. Sepanjang tempoh itu juga beliau dihidapi jangkitan pada paru-parunya dan juga hidapan pada abdomennya. Keadaan kesihatannya yang semakin parah itu telah memaksa pihak penjara terpaksa membawanya berulang-alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Pada 13/12/1992 kumpulan komando HAMAS yang dikenali sebagai Kataib al-Qassam telah berjaya menculik seorang tentera Zionis dan menawarkan pertukaran tawanan dengan pihak rejim. Mereka menawarkan pertukaran di antara tentera tersebut dengan pembebasan Sheikh Ahmad Yassin dan beberapa tawanan HAMAS lain yang sakit dan yang telah berumur. Pihak rejim Zionis walaubagaimanapun menolak permintaan tersebut malah cuba menyerbu masuk ke rumah di mana tenteranya ditawan dengan harapan untuk membebaskannya. Percubaan mereka gagal, tentera Zionis yang ditawan itu mati dibunuh beserta dua tentera Zionis yang lain dan juga tiga pejuang Palestin telah mati syahid di tempat kejadian. Kejadian tersebut berlaku di Bir Nabala berdekatan dengan kota Baitul Maqdis.

Pada 1/10/1997, hasil dari perundingan pertukaran tawanan di antara kerajaan Jordan dengan rejim Zionis, Sheikh Ahmad Yassin telah berjaya dibebaskan. Kerajaan Jordan yang telah berjaya memberkas dua orang anggota perisikan rejim Zionis ketika mereka gagal dalam percubaan untuk membunuh ketua biro politik HAMAS, Khaled Mishaal di Amman, Jordan. Demi untuk mendapatkan kembali dua perisik tersebut, pihak rejim Zionis telah bersetuju dengan tawaran yang diberikan oleh mendiang raja Jordan, Raja Hussin yang meminta Sheikh Ahmad Yassin dibebaskan.

Sejurus pembebasannya Sheikh Ahmad Yassin kembali memainkan peranannya sebagai pemimpin agama bagi gerakan HAMAS yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Palestin dan juga semakin digeruni oleh rejim Zionis. September 2000 telah menyaksikan tercetusnya Intifadah kali kedua selepas perdana menteri rejim Zionis, Ariel Sharon telah mencemarkan Masjid al-Aqsa bersama 200 tenteranya. Sekali lagi Sheikh Ahmad Yassin telah berjaya membangkitkan rakyat Palestin untuk bangun berjuang menentang kegilaan rejim Zionis.
Impaknya amat besar kepada rejim Zionis. Kerugian harta dan nyawa yang dialaminya adalah yang paling teruk dalam 50 tahun penubuhan Negara haram Israel. Penentangan berlaku tiap-tiap hari tanpa menunjukkan rasa menyerah kalah. Hasilnya pelbagai usaha dilakukan oleh pihak rejim demi mengekang kemaraan rakyat Palestin. Antaranya menyerang bandar-bandar, membunuh orang-orang awam, membina tembok pemisah, membunuh pejuang-pejuang Palestin dan pemimpin-pemimpin mereka.


Hasil dari kegilaan tersebut, beberapa pemimpin pejuang Palestin telah berjaya menemui syahid dibunuh oleh rejim Zionis dengan menggunakan jet-jet pejuang, helikopter dan juga kereta-kereta kebal mereka. Antaranya Salah Shahadah, Ismail Abu Shanab dan lain-lain lagi. Sheikh Ahmad Yassin juga tidak terlepas dari usaha jahat tersebut, seperti yang berlaku pada 6 / 9 / 2003 bilamana sebuah helikopter Apache milih tentera Zionis telah membedil dan merobohkan rumah Sheikh Ahmad Yassin, mujurlah beliau selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan di tangan kanannya. Begitu juga apa yang dialami oleh Abdul Aziz Rantisi, orang nombor dua HAMAS yang telah dibedil keretanya ketika beliau di dalam perjalanan.

Namun, pada subuh 22 / 3 / 2004, mereka sekali lagi menyerang Sheikh Ahmad Yassin ketika beliau dalam perjalanan pulang dari masjid setelah selesai solat subuh secara berjemaah. Tiga buah roket telah dilancarkan ke atas Sheikh yang lumpuh itu telah mengorbankan Sheikh Ahmad Yassin dan empat yang lain termasuk anaknya.

Walaupun Sheikh Ahmad Yassin telah tiada untuk membangkitkan semangat jihad, namun beliau telah meninggal roh jihadnya buat para pejuang yang cintakan Islam dan mahukan bumi Palestin dibebaskan.

Tangisan Pembaca Al-Quran

Diriwayatkan dari Sa’ad bin Abi Waqas, hadith yang bermafhum; “Bacalah Al-Quran dan menangislah. Sekiranya tidak dapat menangis, maka buat-buatlah menangis (paksa menangis)."

Menangis yang dimaksudkan di sini ialah tangisan yang tercetus dari penghayatan kerana memahami ayat-ayat Al-Quran. Jika kita benar-benar memahami isi kandungan Kitabullah ini, kita dikhabarkan dengan azab dan ancaman Allah Ta’ala ke atas segenap manusia yang mengingkari akan syar’iat, jiwa-jiwa yang enggan untuk mematuhi suruhan dan larangan Tuhan.

Kita akan sedar betapa lemahnya kita dalam melunaskan janji-janji kita terhadap Allah Azzawajalla. Jika pembaca Al-Quran itu tidak dapat menangis, maka berusahalah sedaya mampu untuk mengalirkan air mata. Demi mengelakkan sebesar-besar musibah ke atas dirinya, iaitu kegagalan untuk menghayati firman Tuhan.

Untuk menampung kesukaran dalam memahami ayat-ayat Allah Ta’ala, amatlah digalakkan bagi kita untuk mengalunkan bacaan Al-Quran dan mentadabbur ayat-ayat tersebut. Jangan sekali-kali lupa untuk merujuk terjemahannya. Yusuf Al-Qardhawi menyatakan bahawa kesan dari membaca Al-Furqan bakal membentuk dua sifat sahaja, sama ada sifat orang kafir atau orang yang beriman. Karakteristik orang kafir telah dinyatakan di dalam ayat 5, surah Fussilat yang membawa maksud; “Dan mereka berkata, ‘Hati kami sudah tertutup dari apa yang engkau seru kami kepada-Nya, dan telinga kami sudah tersumbat, dan di antara kami dan engkau ada dinding, kerana itu lakukanlah (sesuai kehendakmu), sesungguhnya kami akan melakukan (sesuai kehendak kami).”

Di dalam ayat ini, ’al-kinnah’ ditafsirkan sebagai kunci yang menghalang seseorang untuk memahami Al-Quran. Contohnya, tidak berusaha untuk memahami dan mengambil iktibar dari ayat-ayat Allah Ta’ala. Manakala ‘waqrun’ didefinisikan sebagai penyumbat yang menghalang telinga dari mendengar Al-Quran dan ‘hijab’ pula suatu yang menghalang pandangan dari memahami intipati Al-Furqan.

Pembaca Al-Quran perlulah cuba sedaya upaya untuk memahami kalam Allah Ta’ala agar tergolong dalam kelompok orang-orang yang beriman. Inilah yang telah dinyatakan di dalam ayat 53, surah Al-Qasas, maksudnya; “Dan apabila (Al-Quran) dibacakan kepada mereka, mereka berkata ‘Kami beriman kepadanya, sesungguhnya (Al-Quran) itu adalah suatu kebenaran dari Tuhan kami. Sungguh, sebelumnya kami adalah Muslim.”

Ayat 2, surah Al-Anfaal pula mengkhabarkan bahawa orang yang beriman apabila dibacakan ayat-ayat Al-Quran kepadanya, akan bertambahlah iman mereka. Juga mereka merasa gementar apabila disebut nama Allah Ta’ala! Menurut Asma’ bin Abu Bakar, para sahabat Rasulullah Solallahu ‘alaihi wassalam apabila mendengar bacaan Al-Quran, bergenanglah air mata serta dan bergetarlah kulit mereka lantaran rasa ketundukan sebagai hamba Tuhan.

Syed Qutb menambah tentang sifat yang paling menyerlah di kalangan para sahabat, iaitu menerima Al-Quran untuk mengamalkannya. Abu Bakar As- Siddiq dan Umar Al-Khattab, ketika berada di sisi Rasulullah Solallahu ‘alaihi wassalam telah ditanya oleh suatu kabilah yang sedang bertengkar; siapakah yang lebih layak di kalangan kabilah itu untuk menjadi ketua. Lalu Abu Bakar menjawab si fulan, dan Umar pula menjawab si fulan. Lalu kedua-duanya bertekak dengan dengan suara yang keras sehingga turun ayat 2, surah Al-Hujuurat (larangan untuk meninggikan suara di atas suara Nabi dan untuk bersuara keras).

Setelah turun ayat tersebut, kedua-dua insan agung itu mengalirkan air mata dan berbicara dengan lemah-lembut apabila berhadapan dengan Nabi. Ayuh renung sekilas kisah tentang sikap Imam Hassan Al-Banna yang asyik mendampingi Al-Quran.

Abdul Rahman As-Saati (ayahnya) menceritakan bahawa di rumahnya hanya Allah Ta’ala yang menjadi saksi bahawa Al-Banna tidak pernah melepaskan mushafnya, membaca Al-Quran dan juga berzikir. Lazimnya, Al-Banna akan memperdengarkan bacaannya kepada Al-Hafiz dari kalangan mereka. Jika tiada Al-Hafiz di situ kecuali dari kalangan kanak-kanak, dia tetap akan menyemak bacaannya dengan kanak-kanak itu. Sujudnya juga larut dalam keimanan. Apabila Al-Banna tahu bagaimana cara Rasulullah Solallahu ‘alaihi wassalam mengaji, dia akan mengikut cara tersebut.

Kadangkala Al-Banna membaca Al-Quran dengan penuh kegentaran, dan adakalanya gembira hingga terbawa-bawa di luar tilawahnya (apabila membaca khabar-khabar gembira yang diwahyukan oleh Allah Ta’ala). Dikisahkan bahawa seorang anak murid Hassan Al-Basri di Basrah tidak datang ke majlis ilmunya, lalu beliau bertemu dengannya untuk bertanyakan sebabnya. Anak muridnya menjawab; semasa dia sedang membaca Al-Quran, dia terjumpa ayat 11, surah As-Sajjadah.

Kerana terlalu takut dengan apa yang diberitakan oleh Allah Ta’ala, sehari suntuk dia menggeletar kerana memikirkan bagaimanakah nasibnya apabila berdepan dengan malaikat maut satu hari kelak. Dua lagi ayat yang benar-benar menjentik sikap beraninya ialah ayat 100, surah Al-Mu’minun dan ayat 41, surah Al-Qaff.

Ayuh kita sama-sama membaca ketiga-tiga ayat ini.

Bagaimana pula dengan perasaan kita?

Thursday, March 5, 2009

Proton MPV : Tempahan dan Ulasan Hukum

Proton Exora, itulah nama bagi kenderaan baru proton, sebuah MPV. Info berkenaan kenderaan ini sudah lama saya ketahui dari vendor-vendor Proton, reka bentuknya juga banyak disebar di sana sini. Walaupun belum rasmi bentuk terakhirnya. cumanya masalah semakin membesar apabila terdapat dua bentuk proton mpv yang disebarkan.

PENGALAMAN SAYA DAN PROTON

Pengalaman saya mempunyai kereta. Dua kali saya membeli kereta proton dan kedua-duanya brand new car iaitu proton wira berwarna putih dan Proton Perdana V6 berwarna biru kehitaman. Saya membeli proton baru atas nasihat ramai rakan yang menggunakan proton used car atau second hand dan bergantung kepada nasib kata mereka. Iaitu jika bernasib baik, kereta second hand yang dibeli tiada banyak masalah besar, jika tidak akan habislah wang dan waktu kita untuknya.

Hasilnya, saya membeli kereta proton baru dengan harapan tinggi agar sekurang-kurangnya 3 tahun pertama menggunakannya tidak akan dijengah oleh sebarang masalah berat. Saya juga amat menjaga servis.

Setakat ingatan saya, Alhamdulillah kedua-dua proton yang saya miliki ini tidak begitu mendukacitakan, tiada masalah besar dan prestasi ok walaupun kualiti secara keseluruhannya kurang berbadning jenama Toyota, Honda dan lainnya. Cuma saya masih ingat bagaimana proton perdana saya mempunyai masalah aircond yang tidak sejuk sedangkan ia dalam tempoh jaminan. Apabila dibawa ke ejen proton servis mereka mengarahkan saya untuk pergi ke vendor aircond proton sendiri. Agak terkejut apabila mereka menyatakan bahawa satu bahagian dalam aircond yang saya dah tak ingat namanya, terdapat sedikit rumput dan daun kecil., menunjukkan ia pernah di'usik'. Lalu specialist bertanya sama ada saya atau mana-mana mekanik pernah membuak dna memperbaikinya.

Saya jawab tidak kerana memang tidak pernah, malah bahagian yang ditunjukkan juga adalah amat dalam dan tidak boleh dicapai oleh tangan biasa.

Dari situlah, baru saya ketahui saya menjadi mangsa membeli proton perdana baru tetapi ada kemungkinan telah terpakai atau terlalu lama disimpan. Hal ini semakin kuat mengganggu minda saya apabila ketika saya memasang tint di cermin, pakar di kedai tinted shop mengatakan tint asal di kereta Perdana saya sudah lama terpasang, sukar ditanggalkan dan ini menunjukkan kereta ini sudah lama walaupun saya beli brand new.

Itulah salah satu pengalaman sakit hati bersama Proton yang masih saya ingati. Saya yakin terlalu ramai yang mempunyai masalah yang lebih dahsyat dan kronik namun dalam maki hamun pengguna Proton, mereka masih setia mengguna dan membelinya. Banyak sebab dan bukan maskud saya untuk menghuraikannya di sini.

PROTON MPV DAN JUALAN PRA PELANCARAN

Bulan februari 2009, Proton MPV muncul, di kesempatan ini saya ingin mengucapkan tahniah kepada Proton Holdings atas pengeluaran kereta baru ini dan tidak dinafikan bentuknya boleh dipuji, tetapi kualiti lain masih belum diketahui.

Cuma apa yang mendorong saya menulis artikel ini adalah pertanyaan dan laporan dari orang ramai yang sampai kepada saya mengatakan kereta MPV baru Proton ini sudah boleh ditempah, sedangkan harganya belum diputuskan. Ramai yang bertanya hukum kepada saya.

Sebelum saya memberikan ulasan, saya cuba mencari pengesahan pertanyaan ini. Namun tidak saya jumpai tawaran tempahan dibuka di web rasmi Proton Holdings iaitu http://www.proton.com/ dan http://www.proton-edar.com.my/

Namun saya jumpainya di dalam laporan berita berikut :-

Exora dapat sambutan hangat

PETALING JAYA 21 Feb. - Kenderaan belum siap. Rupa bentuk fizikalnya pun tidak diketahui umum tetapi tempahan sudah mula diterima.

Sambutan rakyat Malaysia terhadap kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora, hasil tangan tempatan ini sememangnya menakjubkan.

Menurut Pengarah Urusan Proton Holdings Bhd. (Proton), Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, pihaknya mengunjurkan 4,000 hingga 5,000 tempahan menjelang pelancaran Proton Exora pada April ini.

‘‘Pada hari ini, kami menerima tempahan 15 hingga 20 buah MPV di cawangan ini,'' katanya pada Majlis Pra Pelancaran Tempahan Proton Exora di bilik pameran Proton di Mutiara Damansara hari ini.

Bagaimanapun, Syed Zainal berkata, pihaknya belum dapat menyatakan jumlah sebenar tempahan yang diterima di seluruh negara.

Tetapi jika cawangan di tempat lain juga menerima angka tempahan yang sama, ia sudah pun melebihi unjuran kerana Proton mempunyai 300 bilik pameran di seluruh negara.
Beliau berkata, setakat ini ramai orang telah datang bertanyakan mengenai Proton Exora

SUMBER

Jelas dari berita di atas dan lain-lain berita yang boleh kita temui dari pelbagai web berIta nasional. Tempahan sudah dibuat sedangkan subject matter atau kereta itu masih belum diketahui bentuk sebenar luar dalam, harga tepat dan macam-macam lagi.

Hukum asal bagi setiap pembelian sebegini adalah HARAM disebabkan wujudnya gharar atau uncertainty harga, bentuk dan ciri specific kereta tersebut. Pembelian ini boleh dikategorikan sebagai Istisna' iaitu pembelian sesuatu barangan yang akan disiapkan oleh penjual melalui proses perkilangan dan pembuatan.

Beirkut adalah beberapa syarat utama secara ringkas yang mesti dijaga dalam jual beli bentuk tempahan baranagn pembuatan ini :

1) Kemestian menjelaskan sifat-sifat barang yang diingini dengan jelas.

2) Menetapkan tempoh siap pembuatan sama ada panjang atau pendeknya. Kecuali mazhab Hanafi tidak mensyaratkan sebarang tempoh tertentu, kerana itu adalah syarat dalam jualan as-Salam. [1]

3) Sebelum pembuat memulakan kerja, status aqad adalah ghayru lazim ( boleh dibatalkan oleh sebelah pihak walau tanpa persetujuan yang lain), namun setelah kerja tamat sebelum diberikan kepada penempah, aqad telah bertukar menjadi lazim (hanya boleh dibatal dengan persetujuan kedua belah pihak). Adapun, jika hasil kerja pembuat berbeza dengan perincian sifat yang ditempah, penempah boleh memilih sama ada untuk meneruskannya. Keputusan Akademi Fiqh OIC dan Majlis Syariah Majis Perakauan dan Kewangan Islam sedunia memutuskan bahawa istisna adalah aqad lazim. [2]

4) Harus penempah (pembeli) mengenakan denda dalam bentuk kewangan ke atas pembuat sekiranya ia gagal menyerahkan barang yang dijanjikan dalam masa yang ditetapkan. [3]
Keperluan mengetahui dengan jelas harga, tempoh serahan dan lain-lainya diadaptasi dari hadis Nabi s.a.w dalam hal jualan as-salam

من أسلف فليسلف في كيل معلوم , أو وزن معلوم إلى أجل معلوم

Barangsiapa yang membeli secara serahan barangan tangguh (as-Salam), hendaklah ia menetapkan timbangan, beratnya dan tempoh masa dengan jelas. (Riwayat al-Bukhari)

Namun demikian, hukum mungkin berubah dalam beberapa keadaan tempahan, iaitu:-

1- Tempahan tanpa sebarang bayaran. Ia harus atau dibenarkan menurut hukum kerana ia ibarat janji satu pihak untuk memeterai kontrak istisna sahaja.

2- Tempahan dibuat dengan bayaran namun pembeli boleh menarik balik. Iaitu jika harga tepat dikeluarkan, pembeli boleh menarik balik tempahan tanpa denda jika mereka tidak selesa dengan kualiti, bentuk dan harga terakhir kereta itu. Jika tempahan yang dibuat dengan sifat sebegini, ia mungkin boleh menjadi harus akibat kuantiti gharar yang mengecil bagi pihak pembeli, manakala gharar yang berlaku di pihak Proton adalah masih kecil selagi mereka belum memulakan proses pembuatan.

3- Tempahan dibuat tetapi harga kereta diberikan secara range iaitu dari RM 70,000 ke RM 80,000. Ia masih dikira gharar yang besar. Justeru, ia masih jatuh dalam hokum haram kerana bercanggah dengan syarat istisna dan salam yang ditentukan oleh Nabi s.a.w.

Kesimpulan.

Sebaiknya pihak proton tidak terlalu tergesa-gesa untuk membuka tempahan kecuali setelah pelancaran mempamerkan kereta contoh di showroom proton edar dan harga tepat bagi setiap kapasiti enjin. Masalah semakin mendalam apabila gamabr yang disebarkan awam mempamerkan dua bentuk proton. Kita bimbang ada yang menyangka proton MPV dalam bentuk futuristik di atas tetapi apabila dilancarkan, bentuk pertama yang keluar.

Tanpa dipenuhi kedua syarat ini, pengurusan Proton dikira telah dan sedang melakukan penjualan kereta dengan kaedah dan cara yang bercanggah dengan Shariah. Kecualilah jika tempahan adalah dalam dua bentuk yang dijelaskan di atas. Apa yang jelas dari web proton, BOOKING FEE SEBANYAK RM 1000 adalah Non refundable ( tidak boleh dipulangkan kembali) dan dengan jelas juga dimaklumkan di dalam terms & conditions:

Accessories and packages are subject to change without prior notice.

Ertinya : Semua aksesori dan kackage kereta adalah tertakluk kepada perubahan TANPA SEBARANG NOTIS.

Jika inilah keadaannya, anda tentu dapat mengagak apa hukumnya?

Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
26 Feb 2009
http://www.zaharuddin.net/

Tuesday, March 3, 2009

Pesanan Rasulullah SAW Terhadap Wanita

1) Dunia ini ialah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita (isteri) yang solehah. (Riwayat Muslim).

2) Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan kemudian ia keluar melintasi kaum lelaki ajnabi, agar mereka mencium bau harumnya maka ia adalah perempuan zina,dan tiap-tiap mata yang memandang itu adalah zina. (Riwayat Ahmad, Thabarani dan Hakim)

3) Dikahwini wanita itu kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka carilah yang kuat beragama nescaya kamu beruntung.

4) Wanita apabila ia sembahyang lima waktu, puasa sebulan Ramadhan, memelihara kehormatan serta taat pada suami, maka masuklah mana-mana pintu syurga yang ia kehendaki. (Riwayat dari Ahmad Ibnu Hibban, Thabarani, Anas bin Malik).

5) Perempuan yang melabuhkan pakaian dalam keadaaan berhias bukan untuk suaminya dan muhrimnya adalah seumpama gelap gelita di hari kiamat, tiada nur baginya. (Riwayat Tarmizi)

6) Apabila lari seorang wanita dari rumah suaminya, tidak diterima sembahyangnya, sehingga ia kembali dan menghulurkan tangan kepada suaminya (meminta maaf). (Riwayat dari Hassan).

7) Wanita yang taat pada suami, semua burung-burung di udara, ikan diair, malaikat di langit, matahari dan bulan semuanya beristigfar baginya selama ia masih taat pada suaminya dan diredainya (serta menjaga sembahyang dan puasanya).

8) Dari Muaz bin Jabal bersabda Rasululllah SAW: Mana-mana wanita yang berdiri di atas kakinya membakar roti untuk suaminya hingga muka dan tangannya kepanasan oleh api, maka diharamkan muka dan tangannya dari bakaran api neraka.

9) Tiap-tiap wanita yang menolong suaminya di dalam urusan agama, maka Allah memasukkanya dalam syurga lebih dahulu dari suaminya (sepuluh ribu tahun) kerana dia memuliakan suaminya di dunia maka mendapat pakaian dan bau-bauan syurga untuk turun ke mahligai suaminya dan mengadapnya.

10) Ya Fatimah, jika seorang wanita meminyakkan rambut suaminya dan janggutnya dan memotong kumisnya dan mengerat kukunya, diberi minum Allah akan dia sungai syurga, diiringi Allah baginya sakaratul maut dan akan didapati kuburnya menjadi sebuah taman dari taman-taman syurga serta dicatatkan Allah baginya kelepasan dari neraka dan selamatlah ia melintasi titian Siratul-mustaqim.

11) Mana-mana wanita yang berkata kepada suaminya "tidak pernah aku dapat dari engkau satu kebajikan pun". Maka Allah akan hapuskan amalannya selama 70 tahun, walaupun ia berpuasa siang hari dan beribadah pada malamnya.

12) Apabila wanita mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya, Allah mencatatkan baginya setiap hari seribu kebajikan dan menghapus baginya seribu kejahatan.

13) Apabila wanita mulai sakit untuk bersalin, Allah mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah (perang sabil).

14) Apabila wanita melahirkan anak keluarlah dosa-dosa darinya seperti keadaan ibunya melahirkannya.

Tuesday, February 24, 2009

10 Muwassafat Tarbiyah

Muslim yang ingin mempersiapkan diri dalam perjuangan Islam perlu memperbaiki dirinya agar sentiasa terkehadapan daripada manusia lain. Risalah Islam yang syumul ini hendaklah difahami dengan membentuk diri yang syumul juga. Maka hendaklah diteliti di sini tentang aspek-aspek seorang da’ie Muslim dalam rangkanya untuk menjadi seorang Muslim yang sempurna. Sifat-sifat yang perlu ada pada diri ialah:

1) Kuat tubuh badan (Qawiyyal Jism)

Dakwah adalah berat pada tanggungjawab dan tugasnya, maka di sini perlunya seorang da’ie itu tubuh badan yang sihat dan kuat. Rasulullah saw menitikberatkan soal ini, sabdanya:

"Mukmin yang kuat itu lebih baik dan lebih dikasihi Allah dari mukmin yang lemah, tetapi pada keduanya ada kebaikan."

Kita juga hendaklah sentiasa memeriksa kesihatan diri, mengamalkan riadah dan tidak memakan atau minum suatu yang boleh dan diketahui merosakkan badan.

2) Akhlak yang mantap (Matinul Khuluq)

Akhlak kita ialah Al-Quran dan ianya terserlah pada diri Nabi saw. Telah dijelaskan beberapa unsur oleh Imam Al-Banna dalam kewajipan seorang da’ie iaitu bersifat sensitif, tawadhu’, benar dalam perkataan dan perbuatannya, tegas, menunaikan janji, berani, serius, menjauhi teman buruk dan lain-lain.

3) Fikiran yang berpengetahuan (Mutsaqqafal Fikri)

Seorang da’ie perlu berpengetahuan tentang Islam dan maklumat am supaya mampu menceritakan kepada orang lain perihalnya di samping perlu bersumberkan kepada Al-Quran dan Hadis serta ulama’ yang thiqah. Pesan Imam Banna:

"Perlu boleh membaca dengan baik, mempunyai perpustakaan sendiri dan cuba menjadi pakar dalam bidang yang diceburi."

Selain itu, seorang da’ie perlu mampu membaca Al-Quran dengan baik, tadabbur, sentiasa mempelajari sirah, kisah salaf dan kaedah serta rahsia hukum yang penting.

4) Mampu berusaha (Qadiran ala Kasbi)

Seorang da’ie walaupun kaya, perlu bekerja. Dia juga tidak boleh terlalu mengejar jawatan dalam kerajaan. Dalam keadaan tertentu, meletakkan jawatan dan meninggalkan tempat kerja mengikut keperluan dakwah lebih utama dari gaji dan pendapatan yang diterima. Selain itu, dia hendaklah sentiasa melakukan setiap kerja dengan betul dan sebaiknya (ihsan). Dalam soal kewangan, menjauhi riba dalam semua lapangan, menyimpan untuk waktu kesempitan, menjauhi segala bentuk kemewahan apatah lagi pembaziran dan memastikan setiap sen yang dibelanja tidak jatuh ke tangan bukan Islam adalah beberapa perkara penting yang perlu dititikberatkan dalam kehidupan.

5) Akidah yang sejahtera (Salimul Aqidah)

Seorang da’ie semestinya redha Allah sebagai Tuhan, Islam sebagai agama dan Muhammad saw sebagai Nabi dan Rasul yang terakhir. Sentiasalah muraqabah kepada Allah dan mengingati akhirat, memperbanyakkan nawafil dan zikir. Di samping itu, jangan dilupakan tugas menjaga kebersihan hati, bertaubat, istighfar, menjauhi dosa dan syubhat.

6) Ibadah yang betul (Sahihul Ibadah)

Seorang da’ie perlu melakukan ibadat yang meninggikan roh dan jiwanya, perlu belajar untuk membetulkan amalannya dan mengetahui halal dan haram dan tidak melampau atau berkurang (pertengahan) atau dengan kata lainnya bersederhana dalam setiap urusan dalam kehidupannya.

7) Mampu melawan nafsu (Mujahadah ala Nafsi)

Seorang da’ie perlu mempunyai azam yang kuat untuk melawan kehendak nafsunya dan mengikut kehendak Islam di samping tidak menghiraukan apa orang lain kata dalam mempraktikkan Islam yang sebenarnya. Perlulah diingatkan bahawa dai'e mungkin melalui suasana sukar yang tidak akan dapat dihadapi oleh orang yang tidak biasa dengan kesusahan.

8) Menjaga waktu (Haarithun ala Waqtihi)

Sentiasa beringat bahawa waktu, nilainya lebih mahal dari emas, waktu adalah kehidupan yang tidak akan kembali semula. Mengimbau kembali sejarah di zaman dahulu, para sahabat sentiasa berdoa agar diberkati waktu yang ada pada mereka.

9) Tersusun dalam urusan (Munazzamun fi syu’unihi)

Untuk manfaatkan waktu dengan baik, maka timbulnya keperluan kepada penyusunan dalam segala urusan. Gunakanlah segala masa dan tenaga tersusun untuk manfaat Islam dan dakwah.

10) Berguna untuk orang lain. (Nafi’un li ghairihi)

Da'ie umpama lilin yang membakar diri untuk menyuluh jalan orang lain. Da'ie adalah penggerak kepada dakwah dan Islam. Masa depan Islam, hidup dan terkuburnya Islam bergantung kepada da’ie. Amal Islam seorang da’ie ialah untuk menyelamatkan orang lain daripada kesesatan. Da'ie akan sentiasa merasa gembira bila dapat membantu orang lain. Paling indah dalam hidupnya ialah bila dapat mengajak seorang manusia ke jalan Allah.

Empayar Iblis Raya

Aku berlindung dengan Allah dari syaitan yang direjam. Iblis Azazil nekad untuk menjadi penderhaka, lalu dia meminta supaya Allah s.w.t. panjangkan umurnya hingga ke hari kiamat iaitu selagi wujudnya manusia.

Dia (Iblis) berkata(Al-Israk:62):

“Terangkan kepadaku inikah orang yang Engkau muliakan atas diriku? Sesungguhnya jika Engkau memberi tangguh kepadaku sampai hari kiamat, nescaya benar-benar akan aku sesatkan keturunannya, kecuali sebahagian kecil.” Permintaannya diperkenankan. Allah s.w.t. murka kepada syaitan laknatullah di atas sifatnya yang sombong, degil dan dengki.

Firman Allah: “Pergilah, siapa di antara mereka yang mengikuti kamu maka sesungguhnya neraka jahanam adalah balasanmu semua, sebagai suatu pembalasan yang cukup.” Lalu Iblis Azazil dihalau dari syurga.
Allah berfirman (Shaad:77-78):
“Kalau demikian, keluarlah engkau dari syurga, kerana sesungguhnya engkau adalah makhluk yang direjam. Dan sesungguhnya engkau ditimpa laknat-Ku terus menerus hingga ke hari kiamat.

Alam syaitan yang ghaib itu berpusat di empayar Iblis. Iblis laknatullah mengetuai kerajaannya selaku maharaja hingga ke hari kiamat. Ianya tiada pilihanraya di mana ada syaitan yang mencabar kerusinya. Iblis duduk di singgahsana memberi arahan dan terima laporan daripada syaitan yang berkhidmat untuknya, persis seorang presiden sebuah negara. Iblis mempunyai barisan menteri kanan yang setiap satunya mempunyai kerajaan tersendiri yang bernaung di bawah empayar Iblis.

Lima menteri kanan itu terdiri daripada anak-anaknya sendiri. Mari kita mengenali menteri-menteri ini:

1. Dasim

Malaun ini dikatakan anak emas Iblis laknatullah. Kenapa? Dasim serta seluruh rakyat kerajaannya berperanan memutuskan ikatan perkahwinan. Iblis sangat benci, berang dan dengki setiap kali ijab kabul dilafazkan. Si laknat ini tidak mengenal erti putus asa dalam menimbulkan rasa benci dan marah antara suami isteri. Apabila lafaz talak dijatuhkan, maka itulah kemuncak kegemilangan bagi kerajaan Dasim yang terkutuk.

2. Al-A’war

Membentuk dan memudahkan laluan zina dan keruntuhan moral ialah tugas kementerian si durjana ini. Gembiralah Iblis apabila zina berleluasa dan lahir anak-anak luar nikah, kerana itu petanda keturunan Adam pincang.

3. Maswath

Anak Iblis yang satunya ini merupakan pakar jurusan menipu. Dia dan pengikutnya sentiasa membisikkan fitnah, khabar angin dan penipuan sehingga tersebar luas dalam kelompok manusia. Permusuhan dan sangka buruk sesama manusia merupakan matlamat hidupnya.

4. Zalnabur

Si terkutuk ini pula dan kakitangannya berkeliaran menghasut manusia hingga tercetusnya caci-maki, pertengkaran dan pembunuhan. Pusat operasinya adalah di tempat-tempat tumpuan orang ramai, seperti di pasar atau shopping mall.

5. Tsaba

Geng syaitan ini memburu orang yang ditimpa musibah atau masalah. Mangsa banjir, mangsa tanah runtuh, mangsa rogol mahupun mereka yang kematian orang tersayang termasuk dalam senarai ‘most wanted’ Tsaba. Mempraktikkan strategi yang menimbulkan buruk sangka terhadap Allah, manusia yang terpedaya akan mengeluh atas takdir diri dan menyalahkan Allah s.w.t. atas semua yang terjadi.

Tidak ada yang terlepas dari gangguan syaitan kecuali mereka yang dilindungi Allah s.w.t. Sebenarnya sejak dilahirkan, setiap bayi ditemani seekor syaitan bernama ‘qarin’ (syaitan ini umpama ‘baby sitter’ berbanding syaitan-syaitan lain yang mempunyai tugas tersendiri). Hanya selepas nyawa terpisah dari badan, tugas ‘qarin’ dikira beres.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Tangisan bayi ketika kelahirannya (adalah akibat perbuatan jahat) dari syaitan.” (Riwayat Muslim dari Abu Hurairah r.a.)

“Setiap anak Adam pasti akan ditusuk di bahagian tepi (badannya) dengan jari-jarinya (Iblis) ketika dilahirkan, melainkan Isa bin Maryam sahaja. Iblis telah cuba melakukan tusukan tetapi tusukannya telah terhalang”. (Riwayat Al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a.)

Monday, February 16, 2009

Adakah Kita Akan Tenggelam?

Dalam hidup bermasyarakat, seringkali kita tidak lekang dengan ungkapan privacy, kehidupan sendiri dan macam-macam lagi. Kita tidak suka jika perihal kita dan tata cara hidup kita diganggu gugat oleh orang lain. Bahkan dengan yang demikian timbullah peribahasa “jangan ganggu tepi kain orang”.

Tetapi sedarkah kita, bahawa dalam hidup bermasyarakat, kita bukanlah hidup berseorangan. Kita adalah ibarat sebuah kapal yang diketuai oleh ulil amri (pemimpin-pemimpin) yang terpercaya. Kapal dan bahtera masyarakat ini lah yang membawa kita sama ada ke arah kejayaan yang gemilang atau pun kehancuran.

Sungguhpun manusia ini hidup diatas daratan, tetapi selayaknya hidup kita adalah lautan yang penuh gelora dan tidak selalunya tenang. Maka Allah dan Rasul telah menetapkan aturan hidup yang cantik, indah dan sempurna sebagai jalan hidup.

Tetapi, malang dan sangat kesal sekali bilamana kita tidak menurut apa yang telah lama kita ketahui. Kita hanya pandai bercakap undang-undang Islam, hukum Islam dan macam-macam lagi tentang Islam. Tetapi, adakah Islam itu tertegak hanya dengan kata-kata tanpa apa-apa tindakan? Adakah tamadun Islam itu sendiri gah dengan ucapan-ucapan kosong?

Kalau lah benar Islam ini tertegak sebegitu mudah, Rasulullah tidak perlu berdakwah ke merata tempat. Kalaulah benar Islam ini tertegak dengan kata-kata, kenapa makam sahabat banyak di serata pelusuk dunia. Kalaulah Islam ini tertegak dengan kata-kata, kenapa perlu mujahid setia mengangkat pedang menaikkan maruah Islam?

Islam ini bukan tertegak dengan kata-kata sahaja! Islam ini tertegak dengan perbuatan yang selaras dengan apa yang diucapkan berpandukan Quran dan Sunnah. Dan dalam kita hidup bermasyarakat juga, dalam bahtera perpaduan tidak kira anda agama apa pun, anda bayangkanlah, jika kapal yang anda naiki itu dilubangi atau dirosakkan oleh segolongan pihak.

Contohnya, ada segolongan lelaki cuba melubangkan lantai bahtera itu dan anda berdiri disitu, sedang suasana luar kapal itu penuh gelora dan lambungan ombak. Adakah anda akan berdiam diri? Adakah anda akan duduk disitu sahaja dan anda akan berkata, “Ini bukan hal aku. Aku tak buat apa pun. Biarlah diorang”.

Adakah anda akan berdiam diri kerana anda tahu yang jika kapal itu dilubangkan, maka anda akan turut tenggelam dan mungkin sekali anda juga bersalah kerana tidak mencegah apa yang dilakukan itu. Inilah masyarakat. Inilah yang sedang terjadi kepada masyarakat.

Bilamana pelaku kerosakan dan pembuat dosa dan maksiat bebas mengatakan yang urusan mereka adalah hak mereka sahaja, bahkan dengan lantang mengatakan, “Suka hati akulah. Kubur masing-masing. Aku tak susahkan orang lain”. Peminum arak, penzina, pelaku maksiat memang melakukan dosa itu sendiri tanpa mudharatkan orang lain secara zahirnya. Tetapi azab Allah tidak hanya tertimpa pada satu golongan manusia sahaja.

Mahukah nanti bilamana kita bertanya kepada Allah: “Ya Allah, kenapa aku diazab sedangkan aku tidak lakukan apa yang mereka lakukan??. Lalu Allah menjawab, “Apakah tanggungjawab mu yang telah Ku berikan ilmu dan hidayah sedangkan kau tak berani membetulkan kaum mu?”

Bilamana kapten kapal kita juga melakukan silap dalam menakhoda kapal itu bahkan kita ketahui yang kapal itu jika terus berada pada laluan yang diterajui nakhoda kapal itu akan menyebabkan kapal yang kita naiki akan karam, adakah kita akan mendiam diri bahkan mungkin sekali berkata, “Nakhoda hebat membawa kami ke jalan yang hebat”. Sedangkan kita tahu di hadapan penuh batu dan karang yang akan merobekkan badan kapal dan menyebabkan kita semua lemas. Adakah itu yang kita akan lakukan?

Sedarlah, kita ini adalah bahtera yang dirangkumkan menjadi satu ummat. Bilamana ada nya kemungkaran dimata kita dan tidak kita berani untuk mencegah bahkan tidak terasa untuk membenci, akan sampai satu ketika kapal ummat ini akan terus lemas dalam kejahilan sehingga sampai ummat yang akan menggantikan kita dan memerangi kejahilan itu. Fikirkanlah, adakah kamu akan menjadi ummat yang tenggelam atau yang akan membetulkan kapal ini?

"Maka mereka mendustakan Nuh, kemudian Kami selamatkan dia dan orang-orang yang bersamanya di dalam bahtera, dan Kami tenggelamkan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami. Sesungguhnya mereka adalah kaum yang buta (mata hatinya)." [7:64]