Wednesday, February 4, 2009

Kaabah dibina sejak Nabi Adam

RUMAH ibadat yang dimaksudkan oleh ayat itu merupakan Kaabah. Iaitu perkataan Arab bermaksud tempat tinggi yang dihormati dan penuh kebesaran, selain turut bermakna segi empat berbentuk kiub.

Kaabah di Kota Mekah tidak sahaja disifatkan sebagai rumah ibadat pertama malah dikatakan binaan pertama dibina di muka bumi ini, iaitu sejak zaman Nabi Adam a.s lagi.

Mungkin sesuai dengan antara gelaran lain yang diberikan kepada Kaabah, iaitu Baitul Ateeq yang bermakna paling awal atau paling lama (Kaabah juga digelar Baitul Haram yang bermakna Rumah yang dihormati).
Dikatakan Allah telah memerintahkan Nabi Adam supaya mendirikan sebuah binaan seakan-akan sama dengan Baitul Makmur di langit.

Itulah keistimewaan Kaabah yang kekal sehingga ke hari ini apabila mempunyai kedudukan yang selaras dengan kedudukan Baitul Makmur di langit.


Menurut riwayat Ibnu Abbas, Rasulullah s.a.w menyebut Kota Mekah dipilih sebagai tempat binaan Kaabah kerana kedudukannya yang selaras dengan kedudukan Baitul Makmur di alam malaikat.

Baitul Makmur merupakan tempat khas yang diciptakan Allah khusus untuk malaikat melakukan tawaf menggantikan tempat yang asal iaitu di Arasy. Ini kerana Arasy kawasannya amat luas dan sekiranya melakukan untuk menghabiskan satu tawaf ia mungkin menjangkau waktu hingga ke hari Kiamat.

Sebelum terciptanya Baitul Makmur, seluruh malaikat bertawaf di sekitar Arasy sambil beristighfar, bertasbih dan membesarkan Allah sebagai bukti kepatuhan mereka kepada Allah Yang Maha Agung.

Dikatakan ketika Nabi Ibrahim dalam usia yang lewat, baginda diperintahkan oleh Allah untuk membina Kaabah dengan bantuan putera baginda Nabi Ismail.

Nabi Ibrahim dan anaknya itu diperintahkan oleh Allah supaya membina semula Kaabah yang sesetengah riwayat binaan itu dibina di atas timbunan batu dan tanah liat daripada bekas binaan Kaabah yang runtuh akibat banjir besar dan taufan yang melanda di zaman Nabi Nuh as.

Ini disebut dalam firman Allah yang bermaksud: "Dan ketika Kami tentukan bagi Nabi Ibrahim tempat Kaabah (untuk membina, lalu Kami berfirman kepadanya): Janganlah engkau menyekutukan sesuatu pun denganKu dan bersihkanlah rumah-Ku (Kaabah ini) bagi orang yang tawaf dan orang yang berdiri dan yang rukuk serta yang sujud." (Surah al-Hajj: 26-27)

Pembinaan Kaabah oleh Nabi Ibrahim dikatakan menggunakan batu-batu dari tujuh bukit di sekitar kota Mekah. Binaan Kaabah kali ini mempunyai dua sudut utama iaitu sudut Rukun Al-Hajarul Al-Aswad dan Rukun Yamani dan satu sudut berbentuk melengkung pada bahagian yang bertentangan dengan kedua-dua sudut.

Ketika membina Kaabah itu, Nabi Ibrahim berkata kepada Ismail: "Bawakan batu yang baik kepadaku untuk aku letakkan di satu sudut supaya ia menjadi tanda kepada manusia".

Hajar Aswad

Kemudian Malaikat Jibril memberi ilham kepada Ismail supaya mencari batu hitam (Hajar Aswad) untuk diserahkan kepada Nabi Ibrahim.

Persoalan mengenai batu hitam atau Hajar Aswad ini benarkah batu ini dikatakan berasal dari syurga? Benarkah malaikat Jibrail mengambilnya dari syurga dan menyerahkan batu itu kepada Nabi Ismail?

Menurut banyak riwayat, antara lain daripada Abdullah bin Umar bin Khattab, Hajar Aswad berasal dari syurga. Riwayat oleh Sa'id bin Jubair r.a daripada Ibnu Abbas daripada Ubay bin Ka'b r.a, menerangkan bahawa Hajar Aswad dibawa turun oleh malaikat dari langit ke dunia.

Abdullah bin Abbas juga meriwayatkan bahawa Hajar Aswad ialah batu yang berasal dari syurga, tidak ada sesuatu selain batu itu yang diturunkan dari syurga ke dunia ini.

Riwayat-riwayat di atas disebutkan oleh Abu al-Walid Muhammad bin Abdullah bin Ahmad al-Azraki (224 H/837 M), seorang ahli sejarah dan penulis pertama sejarah Mekah.

Tidak ditemukan maklumat yang jelas tentang siapa yang meletakkan Hajar Aswad itu pertama kali di tempatnya di Kaabah; apakah malaikat ataukah Nabi Adam a.s.

Sesetengah ada diceritakan bahawa batu tersebut berasal dari syurga yang sama-sama turun ke bumi bersama-sama dengan Nabi Adam dan isterinya, Siti Hawa.

Batu itu kemudiannya hilang ketika berlaku banjir besar zaman Nabi Nuh dan sehinggalah ditemui semula oleh Nabi Ismail dengan bantuan Malaikat Jibrail.

Walau apa pun mengenai latar belakang dan asal usul batu ini, setelah beroleh batu tersebut Nabi Ibrahim berdiri dan meletakkan batu itu di sudut timur Kaabah atau sebelah kiri Multazam (antara Hajar Aswad dan pintu Kaabah), yang tingginya sekitar 150 sentimeter dari permukaan tanah.
Setiap kali bangun, mereka berdoa: "Wahai Tuhan kami, terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkau Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui".

Ketika Nabi Ibrahim berdiri di satu sudut, bekas tapak kaki baginda itu yang kini dikenali sebagai Makam Ibrahim.

Sementara Hijir Ismail merupakan suatu kawasan lengkungan yang berbentuk separa bulatan yang terletak di Utara Kaabah.

Pada asalnya kawasan ini merupakan tempat berteduh bagi Nabi Ibrahim sepanjang sesi pembinaan Kaabah dan menunaikan ibadah haji di Baitullah.

Seterusnya ia menjadi kandang kambing kepunyaan Nabi Ismail. Pada waktu itu juga, kawasan itu tidak menjadi sebahagian daripada binaan Kaabah.

Namun begitu, selepas pembinaan Kaabah oleh bangsa Arab Quraisy, ukuran panjangnya telah dikecilkan sebanyak 6 hasta 1 jengkal, sebahagian daripada Hijir Ismail telah dimasukkan sebagai kawasan Kaabah.

Justeru, bagi mereka yang tiada kesempatan untuk masuk ke dalam Kaabah, memadailah bagi dirinya berada di Hijir Ismail untuk beribadat.

Diingatkan bahawa seseorang itu adalah dilarang melakukan tawaf di Hijir Ismail kerana ia merupakan sebahagian daripada Kaabah.

Selepas menyempurnakan binaan itu, Nabi Ibrahim dan keluarganya diperintahkan pula mengerjakan ibadat tawaf mengelilingi Kaabah sebagai sebahagian daripada ibadat haji.

Kaabah dengan segala macam keistimewaan telah berdiri kukuh selama hampir 2,000 tahun hingga ke saat ini.

Tuesday, February 3, 2009

Bertudung atau Berfesyen?

Bertudung atau Berfesyen? Bila wanita menjaga auratnya dari pandangan lelaki bukan mahram, bukan sahaja dia menjaga maruah dirinya, malah maruah wanita mukmin keseluruhannya. Harga diri wanita terlalu mahal. Ini kerana syariat telah menetapkan supaya wanita berpakaian longgar dengan warna yang tidak menarik serta menutup seluruh badannya dari kepala hingga ke kaki. Kalau dibuat perbandingan dari segi harta dunia seperti intan dan berlian, ianya dibungkus dengan rapi dan disimpan pula di dalam peti besi yang berkunci. Begitu juga diumpamakan dengan wanita, kerana wanita yang bermaruah tidak akan mempamerkan tubuh badan di khalayak umum. Mereka masih boleh tampil di hadapan masyarakat bersesuaian dengan garisan syarak.

Wanita tidak sepatutnya mengorbankan maruah dan dirinya semata-mata untuk mengejar pangkat, darjat, nama, harta dan kemewahan dunia. Menyentuh berkenaan pakaian wanita, Alhamdulillah sekarang telah ramai wanita yang menjaga auratnya, sekurang-kurangnya dengan memakai tudung. Dapat kita saksikan di sana sini wanita mula memakai tudung. Pemakaian tudung penutup aurat sudah melanda dari peringkat bawahan hingga kepada peringkat atasan. Samada dari golongan pelajar-pelajar sekolah hinggalah kepada pekerja-pekerja pejabat-pejabat. Walaupun pelbagai gaya tudung diperaga dan dipakai, namun pemakaiannya masih tidak lengkap dan sempurna. Masih lagi menampakkan batang leher, dada dan sebagainya. Ada yang memakai tudung, tetapi pada masa yang sama memakai kain belah bawah atau berseluar ketat dan sebagainya.

Pelbagai warna dan pelbagai fesyen tudung turut direka untuk wanita-wanita Islam kini. Ada rekaan tudung yang dipakai dengan songkok di dalamnya, dihias pula dengan kerongsang (broach) yang menarik. Labuci warna-warni dijahit pula di atasnya. Dan berbagai-bagai gaya lagi yang dipaparkan dalam majalah dan surat khabar fesyen untuk tudung. Rekaan itu kesemuanya bukan bertujuan untuk mengelakkan fitnah, sebaliknya menambahkan fitnah ke atas wanita. Walhal sepatutnya pakaian bagi seorang wanita mukmin itu adalah bukan sahaja menutup auratnya, malah sekaligus menutup maruahnya sebagai seorang wanita. Iaitu pakaian dan tudung yang tidak menampakkan bentuk tubuh badan wanita, dan tidak berhias-hias yang mana akan menjadikan daya tarikan kepada lelaki bukan mahramnya. Sekaligus pakaian boleh melindungi wanita dari menjadi bahan gangguan lelaki yang tidak bertanggungjawab.

Bilamana wanita bertudung tetapi masih berhias-hias, maka terjadilah pakaian wanita Islam sekarang walaupun bertudung, tetapi semakin membesarkan riak dan bangga dalam diri. Sombong makin bertambah. Jalan mendabik dada. Terasa tudung kitalah yang paling cantik, up-to-date, sofistikated, bergaya, ada kelas dan sebagainya. Bertudung, tapi masih ingin bergaya.

Kesimpulannya, tudung yang kita pakai tidak membuahkan rasa kehambaan. Kita tidak merasakan diri ini hina, banyak berdosa dengan Tuhan mahupun dengan manusia. Kita tidak terasa bahawa menegakkan syariat dengan bertudung ini hanya satu amalan yang kecil yang mampu kita laksanakan. Kenapa hati mesti berbunga dan berbangga bila boleh memakai tudung? Ada orang bertudung tetapi lalai atau tidak bersembahyang. Ada orang yang bertudung tapi masih lagi berkepit dan keluar dengan teman lelaki. Ada orang bertudung yang masih terlibat dengan pergaulan bebas. Ada orang bertudung yang masih menyentuh tangan-tangan lelaki yang bukan mahramnya. Dan bermacam-macam lagi maksiat yang dibuat oleh orang-orang bertudung termasuk kes-kes besar seperti zina, khalwat dan sebagainya.

Jadi, nilai tudung sudah dicemari oleh orang-orang yang sebegini. Orang Islam lain yang ingin ikut jejak orang-orang bertudung pun tersekat melihat sikap orang-orang yang mencemari hukum Islam. Mereka rasakan bertudung atau menutup aurat sama sahaja dengan tidak bertudung. Lebih baik tidak bertudung. Mereka rasa lebih bebas lagi. Orang-orang bukan Islam pula tawar hati untuk masuk Islam kerana sikap umat Islam yang tidak menjaga kemuliaan.

Sekian, wassalam.


Aktivis Muslimah Harapan Rasulullah

Oleh Ustadzah Yoyoh Yusroh

Menjadi wanita memang menyenangkan, apalagi wanita "Muslimah", sebab muslimah bererti wanita yang telah diseleksi oleh Allah untuk menerima hidayah-Nya dan menjalankan kehidupan sesuai dengan sunnah Rasul-Nya. Rasulullah sebagai manusia pilihan Allah, sangat peduli terhadap muslimah.

Baginda sangat menyayangi muslimah sehingga beliau berpesan dalam sebuah hadits yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas, "Tidaklah seorang muslim yang mempunyai anak dua orang perempuan kemudian ia berbuat baik dalam berhubungan dengan keduanya akan bisa memasukannya ke dalam surga."

Di masa baginda hidup kaum wanita merasakan angin segar dalam kehidupannya, setelah sebelumnya pada masa jahiliyah hidup teraniaya, tidak mendapatkan hak yang semestinya. Kehidupan wanita muslimah saat itu boleh dikata beruntung dibandingkan dengan wanita sekarang pada umumnya. Kerana muslimah relatif hidup dalam komuniti masyarakat yang memahami nilai Islam secara baik. Hidup mereka betul-betul tersanjung, kerana mereka merasakan hidup sesuai fitrahnya.

Berbeza dengan situasi sekarang, ketika banyak wanita menuntut persamaan hak dan darjat. Boleh dikatakan kehidupan wanita sekarang berada ditengah komuniti masyarakat yang tidak memahami nilai-nilai Islam. Ini menyebabkan keserabutan dalam hidup mereka. Sudah tentu wanita muslimah harus berupaya menghilangkan dugaan tersebut. Caranya adalah dengan mulai mengaktifkan dirinya dalam pelaksanaan nilai-nilai Islam serta berupaya mengajak wanita lain untuk beramal Islami.

Ustadz Faisal Maulawi, seorang Mufti Lebanon, menyatakan, "Saatnya sekarang keadaan ummat sedang dalam keadaan bahaya, para wanita muslimah yang solehah terjun untuk terlibat aktif dalam membentengi dan memperbaiki ummat."

Untuk menjadi muslimah yang disayang oleh Rasulullah SAW hendaknya diperhatikan empat hal berikut:

1. Faqihah Lidiiniha

Seorang muslimah hendaklah faqih (paham) terhadap din (agamanya). Selayaknya ia dapat membaca Al-Qur'an dengan baik dalam erti tajwid dan makhraj hurufnya. Kemudian dapat membaca hadits dan selalu pula menjadi bacaan hariannya, karena dengan itu ia memahami keinginan Rasulnya untuk kemudian berusaha menyesuaikan kehidupannya sesuai dengan cara hidup Rasulullah SAW.

Ia juga harus berusaha memperkaya diri dan wawasannya melalui belajar kepada seorang guru yang jujur dalam menyampaikan ilmunya, dan berusaha banyak membaca buku agama lainnya seperti tentang aqidah, akhlaq, fiqh, sirah, fiqh da'wah, Tarikh Islam, sejarah dunia dan ilmu kontemporari lainnya. Contoh muslimah yang menguasai ilmu-ilmu ini adalah Aisyah RA.

2. Najihah fi Tarbiyyati Auladiha

Seorang aktivis muslimah yang telah berkeluarga hendaklah berupaya dalam mendidik anaknya, bahkan bagi seorang aktivis yang belum berkeluarga pun seharusnya mempelajari bagaimana cara mendidik anak dalam Islam, kerana ilmu tersebut fardhu 'ain, sehingga mempelajarinya sama dengan mempelajari wudhu, sholat, puasa, dan sebagainya. Sehingga ia tahu betul cara mendidik anak dalam Islam yang nantinya anak-anak tersebut akan ia persembahkan untuk kejayaan Islam dan kaum muslimin. Insya Allah kelak ia akan menjadi Ibu yang sukses seperti Hajar dan Khadijah ra.

3. Muayyidah fi Da'wati Zaujiha

Sebagai aktivis amal Islami, kepedulian kita bukan hanya kepada masalah luaran, mengupayakan pelaksanaan amal Islam terhadap orang lain, akan tetapi kepedulian terhadap aktiviti keluarga harus lebih diutamakan, misalnya memberikan motivasi amal Islami kepada anak, pembantu, juga suami. Ia menjadi muslimah yang senantiasa menjadi motivator kebaikan suaminya, seperti Ummu Sulaim yang menikah dengan Abu Tholhah dengan mahar syahadat. Namun ketika Abu Tholhah wafat Rasulullah mensholatkannya sampai sembilan kali takbir, menunjukkan sayangnya Rasulullah kepada beliau karena tidak pernah berhenti dalam beramal dan berjihad bersama Rasul. Hal ini ia lakukan karena selalu mendapat motivasi dari Ummu Sulaim, istrinya.

4. Naafi'ah Fi Tagyiiri Biiatiha

Ia selalu peduli terhadap lingkungannya, selalu membuka mata dan telinga untuk mengetahui keadaan sekelilingnya, selalu mengupayakan lingkungannya menjadi lebih baik. Contohnya Ummu Syuraik yang selalu mengelilingi pasar bila saat sholat tiba untuk mengingatkan penghuni pasar agar segera melaksanakan sholat dengan kalimatnya yang terkenal 'Assholah, Assholah!!!'
Demikian semoga dengan empat hal ini kita dapat menjadi aktivis Muslimah yang di cintai Rasulullah SAW. Amin.

Friday, January 30, 2009

Mencari Teman Ke Syurga

Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih, Maha Penyayang.Teman yang baik adalah anugerah yang tidak ternilai daripada Allah. Teman yang baik penunjuk jalan, penguat langkah dan azam, pendamping yang akan selalu mengingatkan untuk bersungguh-sungguh berusaha membuat bekal negeri abadi. Manusia yang lemah seperti kita tentunya memerlukan teman, untuk berkongsi suka dan duka, untuk mengingatkan kala terleka, untuk menemani kala beramal ibadat agar lebih bersungguh-sungguh, demi bersama meraih syurgaNya. Seorang Nabi Allah, Nabi Musa AS pun memerlukan teman lantas baginda berdoa kepada Allah agar mengurniakan teman penguat langkah, teman ke syurga.

"Dan jadikanlah untukku seorang pembantu dari keluargaku, iaitu (Harun), saudaraku, teguhkanlah kekuatanku dengan (adanya) dia, dan jadikanlah dia teman dalam urusanku, agar kami banyak bertasbih kepadaMu, dan banyak mengingatiMu, sesungguhnya Allah Maha Melihat Keadaan kami" (20:29-35)

Kisah Nabi Musa memohon teman dari Allah untuk membantu menguatkannya membuktikan betapa kita sebagai manusia sangat memerlukan teman untuk menemani dalam urusan hidup seharian dan juga untuk sama-sama beribadat kepada Allah. Bukankah seorang anak Adam itu akan lebih bersungguh-sungguh mengejar redhaNya dan meningkatkan segala amal apabila mempunyai teman yang seiring dan sejalan?

Saidina Umar mengatakan, "Tiada satu kebaikan pun yang dianugerahkan kepada seorang hamba sesudah Islam, selain saudaranya yang soleh. Apabila seseorang di antara kamu merasakan sentuhan kasih sayang dari saudaranya, maka hendaklah ia berpegang kepadanya" Malah, Saidina Umar meminta kita 'berpegang kepadanya', iaitu bermakna tidak melepaskan dan menghargai teman tersebut kerana kita sebenarnya dianugerahkan kebaikan yang sangat besar apabila dikurniakan teman yang soleh.

Namun, berusahakah kita untuk menjadi teman ke syurga kala mencari teman ke syurga? Jadikah kita sahabat yang baik yang sentiasa mengajak teman kita kepada kebaikan, yang sentiasa mengingatkan teman kita akan janji-janji Allah, yang menunjukkan kepada teman kita qudwah yang baik? MENJADI TEMAN KE SYURGA Menjadi teman ke syurga dan mencari teman ke syurga, segalanya hanya berlaku apabila asasnya didasari taqwa yang kuat. Taqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dengan ketaqwaan yang layak bagiNya.

"Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa kepadaNya" (3:102)

Ayat ini mengisyaratkan kepada kita untuk membiarkan hati kita berusaha keras mencapai taqwa menurut batas kemampuan yang ada pada dirinya. Setiap kali ia mendekat kepada Allah dengan ketaqwaan maka akan terbukalah hatinya untuk berusaha mencapai kedudukan yang lebih tinggi dari apa yang telah dicapainya, dan merindukan darjat yang ada di atas apa yang telah diraihnya lalu selalu memandang ke arah kedudukan yang lebih tinggi lagi.

Muhammad Ahmad Rasyid mengatakan "ketinggian itu hanya boleh diraih dengan kelelahan", memberitahu kepada kita bahawa kita perlu berusaha bersungguh-sungguh utk mendapat darjat ketinggian taqwa di sisi Allah. Apa kaitan taqwa dan teman ke syurga? Taqwa dalam diri sahaja yang akan mendorong seseorang mencari teman ke syurga, menemaninya dalam kehidupan siang harinya, mendampinginya dalam ibadah malamnya. Dan seseorang yang benar-benar meletakkan taqwanya kepada Allah sahaja akan bersungguh-sungguh (sehingga kelelahan tetapi) terus ingin meningkatkan darjatnya di sisi Allah dan dia benar-benar memerlukan teman untuk menguatkan urusan siang dan malamnya, sebagai hamba, dan khalifah. Ciri taqwa ini akan menjadikan dirinya sendiri adalah seorang teman ke syurga, lantas dia layak untuk mendapat teman ke syurga yang hanya didapati melalui anugerah dari Allah. Teman yang akan sentiasa mengingatkan, tatkala kelelahan, akan janji yang menjadi asas perhubungan ini, asasnya hanya kerana Allah, lantas itu kita menjadi "menjadi teman ke syurga".

Kita bertemu atas kesungguhan dan ikrar kita pada jalan Allah, dan perpisahan kita pun hanyalah kerana Allah juga kerana walau apapun matlamat kita hanya satu, meraih syurgaNya. "Didiklah diri kamu kepada cinta pada Allah, bermula pada diri kamu. Tingkatkan penghayatan diri kamu pada cinta pada Allah, berusaha membaiki dan meningkatkan diri kamu menjadi hamba Allah yang lebih taat, nescaya kamu akan menjadi teman ke syurga dan Allah akan mengurniakanmu teman ke syurga.

" Marilah sejenak kita mengambil pengajaran dari Hadith Qudsi, dari Allah, Pencipta dan Pemilik kasih sayang dan cinta, yang menitipkan kasih sayang antara hati-hati, yang mengekalkan ikatan antaranya, yang memperteguhkan janji ikrar mereka untuk menjadi 'teman ke syurga', mencari redhaNya yang Esa, Pemberi Segalanya, Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. "CintaKu mesti bagi orang-orang yang saling mencintai kerana Aku, CintaKu mesti bagi orang-orang yang saling bersilaturahim kerana Aku, CintaKu mesti mesti bagi orang yang saling menasihati kerana AKu, CintaKu mesti bagi orang-orang yang saling mengunjungi kerana Aku, CintaKu mesti bagi orang-orang yang saling memberi kerana Aku" (Hadith Qudsi)

Lihatlah betapa Allah menjanjikan cintaNya yang Maha Agung kepada "teman ke syurga". Besarnya kemuliaan Allah janjikan kepada mereka yang mendasari perhubungan kerana sama-sama mahu mengejar redhaNya, menjadi teman ke syurga lantas dikurniakan teman ke syurga.

Ayuh, perbaiki diri !

Friday, January 23, 2009

Menunduk Musuh Islam Dengan Ilmu

HATI yang jahil pernah bertanya mengapa Allah menguji umat Islam dengan peperangan, pengkhianatan, kelaparan, penyeksaan dan penyembelihan oleh tangan-tangan kuffar? Mengapa ujian itu kini tidak bernoktah?

Kita sering bertanya, namun kita sudah tahu jawapan dan syarat bagi melepasi ujian berat ini. Muslimin terdahulu sudah memenuhi syaratnya dan mereka berjaya, namun kita yang jauh lebih moden kini alpa dan tertanya-tanya.

Padahal Allah sudah berjanji dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Wahai orang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, nescaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (Surah Muhammad, ayat 7)

Bilakah datangnya pertolongan Allah? Dulu, disebabkan hebatnya seksaan yang dialami sahabat di sisi Baginda SAW, mereka mendesak Rasulullah SAW dengan satu pertanyaan: “Wahai Rasulullah, apakah engkau tidak memintakan pertolongan untuk kami? Apakah engkau tidak mendoakan kami? Baginda SAW yang saat itu sedang berbaring, bangkit dengan wajah merah padam akibat marah bersabda yang bermaksud: Ketahuilah bahawa sesungguhnya orang sebelum kalian ada yang ditanam hidup-hidup, digergaji dari atas kepalanya sehingga tubuhnya terbelah dua dan ada pula yang disisir dengan sisir besi sehingga mengenai dagingnya hingga memisahkan ia daripada tulangnya, semua itu tidak menggoyahkan agama mereka.

“Demi Allah, Allah pasti memenangkan agama ini hingga merata dari Sana’a sampai Hadhramaut dan manusia saat itu nanti semuanya tidak takut melainkan hanya kepada Allah melebihi takutnya kambing terhadap serigala. Tetapi kalian sangat tergesa-gesa (meminta kemenangan).” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

Kesedihan pejuang Islam di merata dunia berikutan pertumpahan darah dan pencerobohan ke atas Palestin semestinya tidak menyurutkan semangat pejuang untuk tetap istiqamah menjaga agama Allah dari tipu daya jahat musuhnya. Apatah lagi untuk berputus harap kepada Allah kerana dijangkiti penyakit cinta dunia dan takut mati.

Gesaan untuk memboikot barangan Amerika pastinya melahirkan polemik hangat yang mencetuskan pendapat antara yang menyokong dan menolak gagasan itu. Melalui tragedi ini akan jelas terlihat siapakah yang berpeluk tubuh dan memekakkan telinga atau sekadar bermulut manis membantah tanpa aksi sebenar dan hakiki di kalangan negara saudara seagama yang disembah adalah sama iaitu Allah.

Hal itu hakikatnya adalah suatu bentuk ujian iman supaya Allah membersihkan di kalangan barisan umat ini orang yang terpilih sebagai pejuang di jalan Allah dan mereka yang terkeluar dari barisan, duduk ketakutan, cemas kehilangan takhta, harta dan jiwanya. Padahal, akhirat itu jauh lebih baik dan kekal, ternyata betapa dunia amat membius jiwa manusia.

Namun begitu di kalangan manusia jahil, lalai dan memilih menjual akhiratnya dengan harga dunia yang murah, pasti wujud golongan diselamatkan Allah daripada fitnah dunia. Mereka sentiasa dibangkitkan untuk satu peranan penting demi menjaga agama Allah.

Tidak semestinya mereka berada di medan perang terbuka, menghadapi senapang, bom dan roket bahkan mereka boleh mengikut jejak mujahidin melalui kepakaran ilmu dan teknologi demi masa depan Islam.

Mereka sedar amaran al-Quran supaya umat Islam berwaspada hingga ke akhir zaman disebabkan peperangan sentiasa wujud baik secara terbuka mahupun senyap, bukan kerana umat Islam yang memetik apinya bahkan musuh merekalah yang membakar dendam yang tidak mungkin dihapuskan.

Allah berfirman yang bermaksud:
“Mereka tidak henti-henti memerangi kamu sampai mereka (dapat) mengembalikan kamu daripada agamamu (kepada kekafiran), seandainya mereka sanggup.” (Surah Al-Baqarah, ayat 217)

Dengan kekuatan persenjataan orang kafir jauh lebih canggih daripada umat Islam, strategi dan perancangan umat Islam mesti disusun secara matang serta tidak tergopoh-gapah. Sesuai dengan hadis Baginda SAW yang mengingatkan umatnya tidak tergesa-gesa dan kurang sabar dalam perjuangan. Langkah jangka panjang itu membabitkan ilmuwan dan cendekiawan Islam bersama umara dan seluruh umat.

Peranan umara sebagai pemimpin Islam seharusnya meletakkan wawasan jauh dan perancangan jitu supaya umat mampu berdiri setanding bangsa Yahudi dan Nasrani yang sudah pun jauh lebih maju.

Sudahkah disediakan pakar nuklear setanding ilmuwan Amerika dan Yahudi? Teknologi canggih dan penemuan baru apakah sudah diterokai generasi Muslim? Apakah kestabilan negara, politik dan ekonomi menjadi agenda utama pemimpin berlainan fahaman politik?

Sejauh mana usaha melahirkan hartawan Muslim pada peringkat antarabangsa dan melatih pendidik, ilmuwan dan cendekiawan supaya menerima transformasi ilmu dari seluruh jendela dunia sebagai bekalan mempersiapkan anak bangsa yang berdaya saing di segala bidang keilmuan setaraf bangsa maju.

Amat menyedihkan, fakta sejarah menyenaraikan 180 orang Yahudi memenangi hadiah Nobel selama 105 tahun dan hanya tiga orang Muslim memenanginya. Dengan perbandingan 14 juta Yahudi dan 1.5 bilion Muslim di seluruh dunia.

Kemudian bagaimana pula peranan ulama untuk menghadapi gelombang kebangkitan Yahudi dan Nasrani? Ulama seharusnya lebih bersikap terbuka dan bersedia melakukan dialog antara penganut agama dan kepercayaan di seluruh dunia untuk memberi maklumat yang benar mengenai Islam.

Usaha untuk menyampaikan Islam yang asli dengan strategi dakwah moden menjadi keutamaan. Slogan kembali kepada Islam seharusnya menjadi jenama yang boleh dijual di pasaran dunia. Bukan untuk umat Islam saja tetapi kepada bangsa lain yang belum mengetahui keindahan Islam.

Jangan asyik-asyik suka mengharamkan, mengeluarkan fatwa yang menyebabkan ketegangan di antara kaum dan umat beragama. Seolah-olah memusuhi dan mahu menguasai dengan kuasa majoriti.

Bukankah Rasulullah SAW mengirim duta ulamanya ke luar negara untuk menjalinkan hubungan diplomatik dan dakwah kepada mereka? Semangat kemanusiaan seharusnya lebih ditonjolkan daripada semangat perkauman dan fanatik kepercayaan agama membabi buta. Islam tidak sesekali membenarkan umatnya memaksakan akidah kepada umat lain.

Seharusnya, menjadi tugas ilmuwan Islam mendekati orientalis yang mengkaji Islam secara bermuzakarah, berdialog dan membincangkan fakta Islam dengan semangat perdamaian bukan kebencian.

Pada kurun ke 20 sikap orientalis berbeza-beza, jika dulu mereka bekerja untuk kepentingan imperialisme dan menggunakan hasil kajian itu sebagai senjata bagi menjajah dan memusnahkan umat Islam. Kini, ramai di kalangan mereka bersikap terbuka, jujur dan bebas mengkaji seiring dengan berkurangnya kuasa imperialisme. Jika ulama tidak menyediakan kitab bermutu serta karangan ilmiah bagi menjawab hujah negatif mengenai Islam, mustahil orientalis ini menemui kebenaran dan hidayah dalam Islam.

Antara mereka yang terkenal seperti Rene Guenon (Abdul Wahid Yahya), Martin Lings, Titus Burchhardt dan Leopold Weiss (Mohammad Asad), Murad Hoffman dan ramai lagi hampir mengucap syahadah.

Kekuatan ilmu ulama mesti dimanfaatkan untuk penyiaran dakwah dengan cara pembabitan langsung ke medan dakwah. Mencetak pejuang dakwah yang berwibawa, menyampaikan al-Quran dan hadis secara indah dan tidak menakutkan apatah lagi memberatkan.

Kadang-kadang sebutan haram itu lebih kedengaran, membuat umat fobia dan meninggalkan terus agamanya padahal haram itu sedikit berbanding yang halal dalam agama kita. Akhirnya, kejahilan berleluasa dalam diri generasi yang menolak agama, mereka menganggap Islam sebagai agama warisan untuk mengurus hal-hal kematian, kelahiran dan sambutan hari kebesarannya saja tetapi tidak berupaya menjawab permasalahan keduniaan.

Kerana kelalaian ulama dan pendakwah, lahir satu fenomena berbahaya di tengah-tengah umat, kewujudan dua generasi Islam. Pertama, yang melepaskan habis ikatan agama dan kedua, golongan tradisional jumud yang memberatkan permasalahan agama sehingga melupakan perjuangan sebenar.

Jika orang kafir sudah sampai ke bulan dan mengkaji teknologi perang luar angkasa, umat Islam yang jumud ini masih bercakaran dan berselisih mengenai mazhab siapa yang paling baik dalam berwuduk.

Fanatisme mazhab menjadi punca terpecahnya perpaduan umat, ia bertanggungjawab atas kemunduran umat Islam yang tidak mampu bersaing melalui teknologi, ekonomi dan kekuatan senjata orang kafir.

Padahal Rasulullah SAW tidak pernah menyuruh umatnya memegang pada satu mazhab saja, bukankah mazhab itu lahir selepas Baginda wafat dan tak ada satu pun lebih tinggi nilainya daripada kesahihan al-Quran dan hadis Rasulullah SAW? Bahkan Imam al-Syafie melarang pengikutnya bertaklid buta dan menyuruh mereka mengutamakan kitab Allah dan sunah Rasul daripada pendapatnya.

Peranan ulama dan pendakwah seterusnya ialah berganding bahu bersama umara menyelesaikan isu umat. Sikap ulama terhadap umara hendaklah sesuai dengan suruhan al-Quran dan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Aku berwasiat kepada kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat sekalipun yang memimpin kamu hanya seorang hamba.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi)

Antara kelemahan umat Islam ialah tercabutnya kasih sayang antara ulama dan umara. Bagaimanakah masa depan umat jika umara melepaskan ikatan agama dalam memimpin negara? Dan ulama pula menjauhkan diri daripada pemimpin dan membiarkan kesilapan berlaku sehingga menghancurkan agama, bangsa dan negara?

Bukankah kebinasaan akan berlaku jika tidak ditegakkan amar makruf nahi mungkar? Peranan ulama di sisi umara adalah sahabat dan saudara adalah memberi pandangan serta fatwa dengan semangat ijtihad demi kemajuan umat.

Ulama dan umara seharusnya duduk bersama merancang strategi menyediakan generasi pelapis yang bakal memperjuangkan misi agama. Ketiadaannya akan mematikan nadi umat. Pencerobohan ke atas umat terjadi di mana-mana kerana kemunduran, kemiskinan, kebodohan dan kejumudan cara berfikir. Tetapi, perlu diingat faktor paling utama penyebab kehancuran Islam ialah kejahilan umat terhadap agamanya.

Agama menjadi benteng terkuat untuk memenangi perjuangan kerana ia adalah asas penting penggerak paling hebat untuk melawan kezaliman. Tanpa agama tidak ada orang sanggup mati membela Islam.

Sesekali mereka tidak pernah takut mati bahkan mengharapkan syahid di jalan Allah. Mereka memandang dunia dengan harga yang murah dan memilih syurga yang kekal abadi di sisi Tuhannya.

Kembali kepada Islam menjadi slogan yang sering dilaungkan, sejauh mana ia berjaya bergantung dengan peranan ulama dan umara serta sikap umat yang diharapkan mahu berubah. Mampukah kebangkitan Islam direalisasikan generasi berkiblat ke Barat, berjiwa kapitalis dan bernafsukan liberalis?

Rasulullah SAW pernah meramalkan perkara ini dan tiada satu pun perkataan Baginda melainkan benar belaka:

“Kamu akan mengikuti jejak langkah umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehinggalah jika mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka. Sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani? Nabi SAW bersabda: Siapa lagi kalau bukan mereka.” (Hadis riwayat Muslim)

Thursday, January 22, 2009

Ukhuwah Fillah Abadan Abada

'Maafkan saya bang, saya dah tak mampu nak join kawan-kawan lain untuk ikut program lagi. Saya nak…’ Hassan mengeluh panjang dan berat, sambil menahan gejolak hatinya yang kencang. Berat sekali untuk meneruskan kata-kata yang hendak dia ucapkan kepada murabbinya. Namun, dia benar-benar merasakan dia tidak mampu untuk bersama-sama dengan jemaah dakwah yang ia sertai selama ini.

Fikiran Hassan menerawang jauh mengenangkan detik-detik awal dia memasuki dunia dakwah. Hassan akui bahawa tarbiyahnya yang selama ini dia ikuti memberi impak yang sangat besar kepada pembentukan peribadinya. Dia mampu mengubah penampilannya secara sempurna kerana tarbiyahnya dan dia juga temukan keindahan ukhuwah dengan tarbiyah, bahkan dia mampu ‘bekerja’ sekarang kerana tarbiyah. Tapi saat ini, keindahan ukhwah yang dulu pernah dia rasakan terasa begitu hambar. Kemesraan dan kecintaan yang dibina bersama teman-teman se halaqah sudah mula memudar. Hassan merasakan teman-temannya terlalu cepat berjalan dan dia tertinggal jauh. Mereka begitu sibuk dengan amanah dakwah masing-masing, sementara pada waktu yang sama dia berasa tenggelam, malas dan letih dengan semua itu. Dia pun tidak tahu mengapa.

Dia ingin teman-temannya mengerti kelemahan jiwanya dan membantunya keluar daripada jeratan-jeratan maksiat yang menjadi asbab kepada kemunduran semangatnya. Namun ketika dia mahu meluahkannya kepada mereka, dia lantas berasa sangat malu. Teman-temannya asyik membincangkan masalah dakwah bersama murabbinya membuatkan Hassan sukar untuk mengucapkannya. ‘Ala.. masalah kecik je, diorang mesti rasa buang masa je untuk cerita’, begitu fikirnya. Akhirnya dia tenggelam keseorangan menelan permasalahannya sehinggalah dia mencari teman-teman di luar komuniti dakwahnya untuk sekadar melabuhkan masalah yang terkubu di dalam hati.

Fenomena di atas bukanlah sesuatu yang mustahil dalam putaran dakwah. Jatuh bangunnya aktivis dakwah dalam meniti jalan ini, fenomena futurnya iman serta keguguran jundi-jundi dakwah adalah biasa dalam perjuangan ini. Itu adalah sunnatullah. ‘Imanu Yazid way an quz- Iman itu naik dan turun’. Akan tetapi yang patut disesalkan adalah ketika jatuhnya aktivis dakwah ini, ia bukan kerana mereka tidak mahu bangun dan kembali bersama dakwah, tetapi kerana orang-orang yang disekelilingnya tidak mahu membantunya bangkit semula bahkan tidak peduli sama sekali kalau saudaranya sedang terjatuh. Inilah yang patut direnungi bersama. Kisah Hassan adalah satu contoh.

Kadang-kadang seorang murabbi itu merasakan bahawa anak-anak buahnya sangat bagus sekali, mendengar pengisian dengan teliti dan bersemangat, mencatat nota dengan rapi, kemudian pulang ke rumah masing-masing dengan aman. Tiada sebarang masalah. Padahal di sebalik penampilan yang bagus di hadapan murabbinya, ada jurang kemaksiatan yang dilakukan tanpa pengetahunnya. Anak buah seterusnya mahu mengundur diri dan merasa diri tidak setanding dengan teman-teman halaqahnya.

Kuncinya di sini adalah dengan berterus-terang. Mutu sesebuah halaqah itu sangat bergantung kuat pada kualiti dialog yang dibina di dalam halaqah itu. Tidak mungkin dialog-dialog itu mampu berlaku dengan baiknya jika tidak adanya keterbukaan pada jiwa individu yang ada didalam halaqah tersebut. Keterbukaan di sini adalah berterus terang dalam menyampaikan segala permasalahan walau sekecil manapun masalah itu. Jangan memandang enteng sesuatu masalah itu jika itu memang memerlukan penyelesaian. Bagi seorang murabbi tidak sebolehnya terlalu mempercayai bahawa ia telah memberikan banyak bahan dan terlalu yakin bahawa mad’unya telah menjadi kader-kader yang tidak mungkin jatuh tatkala ketika tersadung batu ujian.

Lihat sahaja kisah keterbukaan Kaab bin Malik semasa perang Tabuk kepada Rasulullah saw. Panglima besar Islam itu tidak mahu berperang hanya kerana malas! Namun dia bersimpuh di hadapan Rasulullah saw sambil berkata, "Wahai Rasulullah, andai aku berhadapan dengan selain engkau, aku yakin aku dapat mencari alasan, namun aku khuatir Allahswt akan membuatmu marah padaku dengan mengungkapkan kedustaan itu melalui wahyu…” Apa yang ditonjolkan Kaab sudah cukup menjadi renungan kita semua akan erti keterbukaan,berterus terang dan kejujuran. Di sanalah kuncinya.Ketika seorang mad’u berterus terang akan kesalahannya, maka akan legalah hati walaupun mungkin ianya memalukan.

Di saat itulah motivasi rohani daripada murabbi dan nasihat teman-teman harus segera diberikan untuk membantu dan mengembalikannya semula kepada langkah yang sudah ditinggalkan. Eratkan kembali ukhwah. Satu lagi perkara yang berperanan besar dalam menjaga stamina ruhiyah seorang individu dalam tarbiyah adalah ukhwah. Kadang-kadang kerana kesibukan yang mencengkam, hak-hak ukhwah yang seharusnya kita berikan kepada saudara kita menjadi terabai. Maka wajarlah apabila kita rasakan sewaktu berprogram atau pertemuan rutin seperti menjadi kering tanpa makna. Kosong!

Perkara sebegini haruslah diatasi.Sesibuk manapun kita dengan aktiviti yang dilakukan, hak-hak ukhwah harus tetap kita berikan. Berwajah ceria ketika bertemu, saling berziarah sehingga kita tahu keadaan keluarganya,masalah yang sedang dihadapinya serta keadaan imannya. Cari masa untuk bermalam bersamanya agar dapat bertukar cerita sehingga kita boleh merasakan sifat empati terhadap permasalahan saudara kita. Saling nasihat menasihati baik diminta ataupun tidak, saling bertukar-tukar hadiah dan saling mendoakan doa rabithah.

Andai kesemua hak-hak ukhwah tersebut kita tunaikan, akan menjadi tipislah kemungkinan untuk gugurnya sahabat-sahabat kita di atas jalan dakwah ini, insyaAllah. Akhirnya saudaraku, tarbiyah itu unik. Di situ bukan sahaja sekadar perpindahan ilmu dan bahan, tetapi adalah proses bagi setiap individu di dalamnya untuk menjadi lebih baik dari yang sebelumnya. Dan lebih dari itu, langkah-langkah ke arah menjadi lebih baik itulah yang menjadikan kita mengerti akan hakikat hidup berjemaah. Tarbiyah bukanlah segala-galanya, namun segala-galanya bermula dari tarbiyah.

Wallahua'lam...

Atas Jalan Ini ...

Dalam antara kita yang ingin mengajak ke arah kebaikan,ada yang mungkin akan tumpas atau pun dengan kata lainnya berhenti dari medan da`wah seperti mana Ustaz Hassan Hudaybi menyatakan:

Da`wah ini akan berjalan dan bergerak sama ada dengan kita atau tanpa kita. Seorang aktivis da`wah tidak perlu sedih sekiranya tidak nampak hasil. Allah melihat usaha kita. Pengasas empayar Rom tidak sempat melihat kejayaan nya kerana Rom itu terbina dalam masa yang lama. Kalau sang pengasas itu juangnya semata-mata untuk melihat hasil daripada usaha itu berada dalam hayatnya, maka usahanya mungkin sekali usaha yang tergopoh gapah tanpa perancangan yang kukuh.

Sahabatku,
Usaha anda mungkin tidak akan nampak hasilnya dalam hayat kita ini. Tetapi insya allah akan membawa hasil kerana jalan yang kita bawa adalah kesinambungan jalan Rasulullah dan para salafussoleh. Bukankah dalam surah Al-Fussilat ayat ke 33 Allah mengungkapkan

“Siapakah yang paling baik seruannya berbanding orang yang mengajak kepada Allah”.

Sahabat,
Dalam menjalani hidup,kita tidak akan lari daripada segala jenis cabaran. Al Quran sendiri perlu kita kaji dimana dinyatakan

“Adakah manusia itu menyatakan dirinya beriman sedangkan dia belum lagi diuji?”.

Maka ujian dan cabaran itu adalah penyukat terhadap kita. Sebagaimana kita mahu mendapatkan kualiti ISO atau SIRIM pun sesuatu produk itu perlu diuji, kita juga merupakan produk. Produk seorang Muslim untuk diuji sama ada kita ini seorang Mu`min sejati atau bukan. Ada pepatah asing mengatakan, “Tea shows it flavor in hot water“.

Maka dapat kita ambil pengajaran bahawa dalam cabaran itu, kita mampu membina diri kita dan mencari serta memperbaiki kelemahan diri. Anda bayangkan tentang pedang. Diciptakan pedang itu dari besi yang dipanaskan dan ditempa dengan ketukan untuk menempanya. Lalu menjadi pedang yang tajam yang berguna. Begitu juga manusia. Anggap saja manusia ini sebagai besi yang belum ditempa. Ketukan dan kepanasan yang amat tinggi itu adalah cabaran bagi kita dan produknya adalah seorang Mukmin yang berkualiti. Yang bukan sahaja baik pada akhlak dan imannya tetapi turut sukses dalam kehidupan.

Bukankah Islam ini menyuruh kita untuk berjaya dalam pelbagai segi. Tidak cukup untuk kita baik perangai kita sendiri sahaja. Perlunya kita cemerlang dalam ilmu, ekonomi dan kekuatan. Dan juga perlu kita seru orang lain. Sebagai contoh, perumpamaan dalam buku tulisan Muhammad Qutb,

“ Masyarakat ini ibarat sebuah bahtera lalu wujudnya segolongan yang ingin membocorkan lantai bahtera itu, sedangkan kita hanya melihat. Akhirnya kita sama - sama tenggelam.”

Justeru, hal inilah yang terjadi dalam fenomena sekarang! Kita melihat orang melakukan kemungkaran tetapi tidak langsung ingin menghalang. Alasannya, jangan jaga tepi kain dan itu bukan hal dan masalah kita. Namun akhirnya penyakit ini membarah dan merosakkan masyarakat sehingga ahli keluarga kita sendiri. Sekarang, ADAKAH INI JUGA BUKAN MASALAH KITA??.

Masalahnya, bilamana umat ini hanya menganggap Islam itu sebagai agama ritual. Yang setiap perlakuannya hanya adat dan budaya serta ibadat ritual, tiada pengertian lebih dari itu. Sedangkan Islam ini bukan ibadat sahaja. Kehidupan kia seharian dari kita memulakan hari kita perlu dalam kehidupan Islam dari segi pentadbiran, pergaulan, pendidikan dan lain-lain.

Merujuk kepada artikel tulisan bekas mufti Perlis Dr Asri Zainal Abidin dalam penulisannya, dia mengatakan yang golongan agama ini dilabel dengan orang yang selalu berjalan lambat, tetapi cepat bila ada majlis kenduri, dan cepat juga pulang bila tamat kenduri, berselisih sama ada daging korban wajar diberi kepada bukan Islam atau tak. Sedangkan umat bukan Islam telah maju kedepan dengan teknologi. Dalam zaman ini, kita seakan kembali ke zaman jahiliah dimana kesedaran bahawa Islam itu sebagai jalan hidup amat nipis sekali.

Dimana Jahiliah moden ini menganggap bahawa Islam itu hanya ritual. Hanya ibadah ritual dilakukan seharian. Hidup bekerja dan berkeluarga perlu ikut konsep lain dan bukan Islam.Ini suatu pemikiran yang mematikan.Tidak salah untuk kita mengambil konsep yang dibawakan kerna ia juga adalah ilmu yang berharga. Tetapi,bukankah sewajarnya kita berpaksikan kepada kehidupan yang menjadikan Islam itu sebagai jalan hidup dari semua segi.

Kejayaan cendekiawan Islam dahulu bukan hanya sekdar cerita dongeng semata. Itu adalah realiti sebenar. Tambahan pula,ada sebab kenapa mereka berjaya. Ini kerana, mereka menjadikan Islam ini sebagai jalan hidup bukan sebagai ritual. Jadi permulaannya, kita perlu membawa umat ini memahami erti shahadah itu sendiri. Dari satu kalimat ke satu kalimat. Bilamana kefahaman terhadap aqidah itu wujud dimana menerima konsep Tiada illah selain ALLAH, dan ini senang sekali membawa kepada da`wah berkaitan kehidupan seharian.

Contohnya, kenapa perlu bertudung,kenapa perlu menjaga pergaulan, kenapa perlu nya negara Islam, kenapa itu dan ini. Semuanya sudah ada jawapan kalau kita menerima konsep shahadah itu. Bukan maksudnya menerima itu sekadar melafazkan tetapi memahami dengan sebetulnya apa yang terkandung dalam shahadah. Bilamana kefahaman itu tiada maka terlampau banyak soalan yang bakal menjadikan kita lelah untuk menjawab. Semua perkara yang dipersoalkan akan perlu kita jawab.

Yang terbaru, Syed Tantawi dikecam kerana bersalam dengan shimon peres. Syed tantawi adalah ulama yang hebat. Pasti dia sudah berijitihad dengan sungguh-sungguh. Kita tidak bersalam dengan yahudi pun, mereka tetap menindas saudara kita di Palestin. Bukankah dari penat berbalah dan mengecam seseorang, kita berusaha menyemaikan kefahaman tentang Islam kedalam hati orang Islam itu sendiri yangt tidak akan muncul macam-macam bantahan lagi seperti pengharaman yoga, tidak boleh pakai seluar bagi perempuan dan sebagainya yang dipersoalkan. Walhal,itu semua adalah ranting-ranting.

Padahal pokok asasnya tidak kita perbetulkan dan fahami dengan sebaiknya. Kita potong ranting, ranting baru akan muncul. Tetapi kalau kita potong pokok tu terus, masalah akan selesai. Oleh itu, pokoknya adalah kefahaman.

Wallahua'lam ....